Blog

  • Keselamatan warga emas di rumah

    Keselamatan warga emas di rumah

    MENJAGA ibu, bapa ataupun warga emas yang terlantar dek penyakit kronik di kediaman peribadi memerlukan persediaan rapi baik dari segi segi mental mahupun fizikal.

    Biarpun ia bukan tugasan yang mudah, namun pengalaman menjaga mereka tidak akan terbeban sekiranya para penjaga bijak mengatur masa, keadaan dan menyediakan kelengkapan.

    Satu daripadanya adalah dengan menitikberatkan aspek keselamatan di rumah bagi mengelak kemalangan atau kecederaan ringan menimpa insan tersayang.

    Sehubungan itu, Tip Keluarga edisi kali ini menyenaraikan panduan keselamatan di rumah hasil saranan TENA, Pakar Yang Memahami sempena Kempen Sentiasa Denganmu Mak Abah Di Mana Jua: Idea Mudah Untuk Rumah, Ibu Bapa Lebih Selesa TENA yang mendapat kerjasama pereka dekorasi terkenal, Dr Eric Leong.

    Kempen tersebut bertujuan mengalakkan anak-anak lebih peka dengan perkara kecil termasuk memainkan peranan aktif dalam mendepani cabaran menguruskan ibu dan bapa.

    Antaranya melibatkan cara pengurusan dan pengubahsuaian mudah kediaman bagi mengurangkan risiko para ibu dan bapa yang semakin meningkat usia terjatuh.

    “Satu perkara terbaik yang boleh dilakukan demi keselesaan ibu dan bapa adalah membantu mengekalkan kebebasan mereka di dalam rumah. Justeru, inisiatif pengubahsuian kamar tidur, bilik mandi dan ruang tamu dapat memudahkan pergerakan mereka dengan selamat.

    “Selain itu, penggunaan warna yang betul dan aroma menyegarkan juga menyuntik suasana lebih santai,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

    Berikut ialah beberapa tip keselamatan di kediaman seperti yang dicadangkan:

    Keselamatan umum

    – Menyimpan satu senarai nombor kecemasan di dalam telefon.

    – Menggunakan peranti amaran perbuatan yang menawarkan bantuan kecemasan dan pemantauan selama 24/7.

    – Jangan biarkan wayar berselerak di atas lantai.

    – Memakai kasut tapak getah yang bersesuaian.

    Lampu

    – Pastikan lampu dipasang berhampiran tangga, bilik air, bilik tidur, dapur dan laluan utama.

    – Menempatkan sebuah lampu. berhampiran katil insan tersayang.

    – Memastikan cahaya lampu menerangi laluan ke bilik ai pada waktu malam.

    Lantai dan perabot

    – Memastikan ruang lebih luas dan laluan berjalan yang selamat.

    – Meletakkan tikar antilicin dan pita di atas permukaan lantai yang licin.

    – Mengalihkan semua permaidani berbulu yang licin.

    – Memastikan semua perabot di rumah dalam keadaan stabil.

    – Menutup semua sudut, permukaan atau bucu yang tajam.

    Bilik air

    – Memasang palang sokongan.

    – Meletakkan tikar antilicin di dalam bilik air dan berhampiran sinki.

    – Menyediakan kerusi mandi di bilik air dan tempat duduk tandas.

    – Memastikan tikar dipasang dengan baik dan selamat di lantai bilik air

    Dapur

    Menyimpan perkakas dapur di tempat yang mudah diambil.



    Sumber

  • Masjid Kuipsas lokasi Malaysia#QuranHour peringkat Pahang

    Masjid Kuipsas lokasi Malaysia#QuranHour peringkat Pahang

    KUANTAN – Sekretariat Rumah Ngaji Pahang meneruskan tradisi bersama menjayakan Malaysia #QuranHour 1440H/2019 yang akan diadakan serentak seluruh negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada 30 Ogos ini.

    Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) dipilih sebagai lokasi sambutan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini.

    Penyelaras Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kuipsas bagi menjayakan kempen tersebut.

    Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan bersama Kuipsas bagi mengatur perancangan dan gerak kerja termasuk penubuhan jawatankuasa pelaksanaan dan pengelola program.

    “Kami juga sedang mengenal pasti qari jemputan, pentausiah dan perasmi program ini di mana keputusannya mungkin akan dicapai pada mesyuarat itu nanti.

    “Dalam konteks pengisian, memandangkan masa yang agak terhad kerana ia berlangsung pada hari Jumaat, jadi kita akan lebih memberi penekanan kepada bacaan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah al-Kahfi yang menjadi surah pilihan.

    “Selain itu kita juga akan memberi penekanan kepada tausiah pesan kemerdekaan yang tersingkap di sebalik ayat-ayat dari surah al-Kahf yang dibacakan”, katanya.

    Beliau berkata, pesan kemerdekaan daripada al-Quran ini berdasarkan intipati yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibacakan termasuk mengenai sifat bersyukur dan tidak syirik, yakin bantuan ALLAH, syurga adalah kebahagiaan hakiki, amaran terhadap amalan sia-sia golongan pendusta, kufur dan mereka yang memperolokkan agama.

    “Tema ‘Pesan Kemerdekaan Surah Al-Kahf’ ini amat bersesuaian dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

    “Kalau ikutkan nota diberi untuk keseragaman di semua negeri, ia masih terikat dengan surah al-Kahf di mana intipati daripada ayat itu dapat menjadi pesanan kepada umat islam dalam suasana kita bakal menyambut kemerdekaan”, katanya.

    “Pesanan di sebalik dari ayat-ayat ini sebenarnya menjurus kepada mengajak umat Islam supaya sentiasa bergantung kepada ALLAH dan bersyukur bahawa kemerdekaan itu juga sebahagian daripada nikmat ALLAH dan nikmat itu perlu diperlakukan seperti mana yang dituntut syariat”, katanya.

    Dalam perkembangan sama, Mohd Rozamli berkata, bagi menjayakan sambutan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini, pihaknya berusaha untuk mengajak seramai mungkin umat Islam untuk bersama-sama menyertainya.

    “Justeru kami akan mendapat kerjasama dengan pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk mendapatkan kebenaran hebahan program ini ke masjid-masjid.

    “Pada masa sama, kami juga turut menyasarkan penyertaan pelajar sekolah-sekolah berdekatan, pelajar pusat tahfiz, kumpulan tahsin dan kelas tafaqquh dan masyarakat sekitar”, katanya.

    Malaysia #QuranHour 1440H/2019 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 yang bakal berlangsung serentak di seluruh negara dengan lokasi utama di di Masjid Putra, Putrajaya.

    Program yang akan bermula pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari itu bakal menyaksikan umat Islam di negara ini dan di luar negara turut berinteraksi dengan al-Quran pada hari dan waktu sama di tempat masing-masing.



    Sumber

  • Tip segak, kemas buat si jejaka sepanjang Syawal

    Tip segak, kemas buat si jejaka sepanjang Syawal

    DALAM sibuk meraikan Syawal selama sebulan, jangan lupa untuk sentiasa tampil segak dan menawan.

    Selain wanita, golongan jejaka juga wajar menitikberatkan aspek penampilan diri terutamanya ketika mengunjungi sanak saudara mahupun menghadiri rumah terbuka.

    Menurut Perunding Imej, Syaheerah Hanis Che Kamarudin, tata rias asas lelaki adalah sama seperti rutin asas wanita bermula daripada hujung rambut hingga hujung kaki.

    Ini kaedah asas perlu dipatuhi buat si lelaki yang mahu kelihatan rapi yang dikongsikan oleh Syaheerah kepada Oh! Lelaki. Setiap anggota badan perlu diberi perhatian. Antaranya:

    1) Bahagian kepala

    – Pastikan rambut dipotong atau disisir rapi agar kelihatan kemas dan bersih.

    – Gunakan minyak rambut dan syampu yang bersesuaian dengan jenis kulit kepala. Amalan ini membantu mengelakkan masalah rambut berbau dan kelemumur.

    2) Jambang

    Jaga kebersihan janggut, kumis dan jambang agar tampak segak apabila menyarungkan pakaian pilihan.

    3) Kuku

    Bahagian kuku juga harus diambil kira memandangkan kebiasaannya kita akan bersalam. Kuku yang kotor akan menyebabkan rasa kurang senang atau rasa geli dalam kalangan orang sekeliling.

    4) Kaki

    Buat golongan jejaka, anda juga digalakkan supaya memakai sarung kaki sekiranya berkasut.

    Kuku yang kotor menimbulkan rasa geli dan kurang senang orang sekeliling.

    Kuku yang kotor menimbulkan rasa geli dan kurang senang orang sekeliling.



    Sumber

  • Genting rai Festival Musim Luruh

    Genting rai Festival Musim Luruh

    SEMPENA Festival Pertengahan Musim Luruh, Resorts World Genting akan menganjurkan satu majlis minum teh bertemakan Tea Party on the Moon di SkyAtrium bermula dari 10 Ogos hingga 16 September ini.

    Tea Party on the Moon di SkyAtrium, Resort World Genting.

    Tea Party on the Moon di SkyAtrium, Resort World Genting.

    Ia akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti melibatkan makanan dan permainan termasuk persembahan animasi baharu Moondance di pentas SkySymphony, SkyAvenue.

    Terdapat juga pelbagai jenis kuih bulan untuk dinikmati dan pertunjukan hebat di Times Square.

    Naib Presiden Eksekutif Leisure dan Hospitaliti Resorts World Genting, Datuk Edward Holloway berkata, SkyAtrium akan menjelma menjadi alam semesta sama seperti tema yang digunakan dalam persembahan SkySymphony Moondance.

    “Di atas puncak ini, keseluruhan kawasan Resorts World Genting memiliki pemandangan jelas untuk melihat bulan. Ia menjadikannya suasana paling sempurna untuk meraikan festival.

    “Bagi memeriahkan suasana, pelbagai hidangan turut dijual di lapan kiosk termasuk kuih bulan,” katanya.

    Mengenai Moondance, persembahan pengembaraan itu akan ditayangkan menerusi layar skrin LED 360 darjah setinggi empat tingkat dan disokong oleh pergerakan bebola kinetik menerusi sistem win. Moondance merupakan persembahan animasi CG ketiga yang dihasilkan oleh Genting Studios selepas memperkenalkan Highland Hereos.

    Untuk maklumat lanjut, layari www.rwgenting.com atau hubungi 03-2718 1118.



    Sumber

  • Benarkah isteri perlu lebihkan ibu mertuanya?

    Benarkah isteri perlu lebihkan ibu mertuanya?

    SELALU kita dengar orang kata bahawa isteri perlu melebihkan ibu mertuanya berbanding dengan ibunya sendiri selepas mereka berkahwin.

    Itu tanggapan hampir kebanyakan masyarakat kerana selepas berkahwin, keutamaan mereka adalah kepada suami masing-masing dan sudah tentulah keluarga mertua juga terlibat.

    Benarkah begitu? Bagaimana pula tanggungjawab wanita berkahwin kepada ibu bapanya sendiri?

    Pada edisi sulung segmen Kalam kali ini, segala persoalan berkenaan, penulis dilontarkan kepada pendakwah bebas dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed.

    Mengupas tentang topik tersebut, ujar agamawan berkenaan, ibu mertua sebenarnya tiada hak yang wajib ke atas menantunya sepertimana ibu sendiri yang mempunyai hak terhadap anaknya sendiri.

    “Perkara itu dinyatakan jelas dari sudut memberikan khidmat kepada ibu mertua. Ia sebagaimana dipetik menerusi keputuasan Fatwa Lajnah Daimah, sebuah badan fatwa kerajaan Arab Saudi,” kata beliau.

    Ustaz Syed Shahridzan menjelaskan, sebagai seorang anak, wajib bagi kita untuk membantu ibu bapa masing-masing, apatah lagi jika kedua-dua orang tua kita hidup dalam kemiskinan.

    “Justeru, kita wajib memberikan nafkah kepada kedua ibu bapa kita,” katanya.

    Bagaimana pula apabila khidmat kepada ibu mertua yang dikaitkan dengan ketaatan kepada para suami?

    Dalam hal itu, ujar Ustaz Syed Shahridzan, isteri wajib mentaati perintah suami dan berkhidmat kepada ibu mertuanya jika si suami memerintahkan demikian.

    “Namun, khidmat yang diberikan oleh isteri itu bukanlah atas kapasiti bahawa ibu mertua ada hak sepertimana ibu sendiri, tetapi isteri wajib taat dalam berkhidmat kepada ibu mertua disebabkan atas kapasiti ketaatan kepada suami.

    “Menjadi kewajipan isteri atau menantu menghormati ibu mertuanya. Itu keperluan yang tak boleh dinafikan. Namun, melebihkan daripada hak ibu dan bapa sendiri ialah hal yang tidak boleh diterima segi hukum akal dan syarak,” katanya.

    Justeru, perkara itu perlu difahami dengan lebih baik supaya tidak timbul persengketaan dan salah faham pada kemudian hari.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Antara mertua dan ibu sendiri, mana lebih utama bagi wanita berkahwin?)



    Sumber

  • Resort Wear karya Syaiful Baharim

    Resort Wear karya Syaiful Baharim

    PEREKA fesyen berbakat besar, Syaiful Baharim kembali beraksi di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019) yang berlangsung di ibu kota pada bulan lalu selepas ‘menghilangkan diri’ dalam tempoh dua tahun.

    Beliau yang juga pemenang Jarum Berlian 2002 kini tampil dengan penjenamaan baharu yang dikenali sebagai SB.

    Pemilihan jenama tersebut disifatkan simbolik pada huruf pertama nama beliau.

    Justeru, sempena memeriahkan kemunculan semula di pentas KLFW tahun ini, label SB menampilkan variasi busana berkonsepkan Resort Wear khas buat wanita yang mendambakan gaya percutian serba mewah.

    “Saya mengambil masa selama enam bulan bermula daripada proses melakar dan seterusnya menghasilkan koleksi Resort Wear ini.

    “Pastinya, ia bukan tugasan yang mudah. Bagaimanapun, saya atasinya secara perlahan-lahan supaya tidak mengabaikan signatur rekaan,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

    Selain dres, Resort Wear SB turut menampilkan celana, blaus, kemeja, jaket dan gaun mini yang ideal digayakan pelbagai peringkat umur memandangkan rekaannya tidak sarat dan keterlaluan.

    Dari segi warna, Syaiful nampaknya lebih cenderung memilih putih dan terra cotta sebagai nuansa utama termasuk bermain konsep cetakan agar selari dengan tema Resort Wear.

    Sementara itu, fabrik jenis sutera, sifon, kain kapas, kain kasa dan denim pula menjadi pelengkap istimewa dalam menyerlahkan kesempurnaan koleksi pakaian jenama keluaran SB.

    Tambah beliau, koleksi SB kali ini mengetengahkan busana lebih fleksibel dan memahami kehendak wanita yang ingin tampak bergaya mengikut situasi dan destinasi.

    Pada masa sama, menerapkan unsur komersial dalam setiap helaian rekaan.

    “Tatkala melahirkan koleksi (Resort Wear) ini, saya membayangkan seorang wanita sedang menikmati momen percutian di resort mewah.

    “Gayanya bersahaja, tetapi masih kelihatan anggun dan mempersonakan,” ujarnya.

    Keterangan lanjut mengenai koleksi fesyen Resort Wear SB, sila layari laman Instagram @syaifulbaharimrtw.



    Sumber

  • Sibuk bukan alasan tidak baca al-Quran

    Sibuk bukan alasan tidak baca al-Quran

    SHAH ALAM – Kesibukan tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam tidak membaca al-Quran, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff.

    Menurutnya, umat Islam yang sering menjadikan kesibukan mereka sebagai halangan untuk mendekati dan membaca al-Quran perlu mengubah minda.

    “Kita selalu kata sibuk sebab itu tak baca al-Quran tetapi sebenarnya kita jadi sibuk kerana tidak membaca al-Quran.

    “Mungkin kita juga sudah hilang ‘baraqah’ masa kerana tidak membaca al-Quran,” katanya ketika temubual secara langsung Gema Wahyu sempena Malaysia #QuranHour 2019 di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

    Menurutnya, sebelum ini beliau sendiri mempunyai masalah pernafasan pendek untuk membaca al-Quran tetapi tidak menjadikan ia sebagai halangan utama.

    “Saya amalkan baca al-Quran setiap hari, akhirnya ada perubahan dan saya kini boleh mengawal pernafasan dengan lebih baik.

    “Jadi jelas, sebab ada masalah kita kena baca al-Quran,” katanya.

    Sementara itu, Johan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa 2011, Amirahman Abas yang merupakan salah seorang qari yang akan terlibat dengan program Malaysia #QuranHour 2019 pada 30 Ogos ini turut senada dengan Marhaini.

    Marhaini (kanan) dan Amirahman (tengah) ketika temubual secara langsung Gema Wahyu sempena Malaysia #Quranhour 2019 di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

    Marhaini (kanan) dan Amirahman (tengah) ketika temubual secara langsung Gema Wahyu sempena Malaysia #Quranhour 2019 di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

    Beliau berkata, seseorang itu tidak perlu takut untuk membaca al-Quran atau menjadikan masalah tertentu sebagai penghalang untuk tidak membaca al-Quran.

    “Jangan fobia atau takut, cuba dulu baru tahu. Sepanjang pengalaman saya, ada ramai yang tidak boleh sebut huruf ‘L’, ‘R’ termasuk alami masalah nafas pendek ketika baca al-Quran. Jadi kena cari guru dan belajar, baru kita rasa seronok.

    “Program #QuranHour juga sebenarnya menjadikan kita terbuka hati untuk belajar. Bila sudah belajar, baru kita tahu sama ada suka atau tidak,” katanya mengakui program tersebut memberi impak baik bukan sahaja kepada generasi muda, pesara mahupun organisasi tetapi juga penyelesaian kepada masalah sosial dalam kalangan remaja atau keluarga bermasalah.

    Beliau berkata, terdapat hadis mengatakan sebaik-baik teman ialah al-Quran dan bertepatan dengan itu, program yang dilaksanakan WUIF termasuk #QuranHour berperanan untuk menarik golongan yang bermasalah ini untuk mendekati dan membaca al-Quran.

    “Kita mahu orang rasa al-Quran ini kawan mereka dan insya-ALLAH apabila mereka dekati al-Quran segala masalah, tabiat kurang baik, perangai tak elok akan dapat dibendung.

    “Orang yang baca al-Quran dengan cara benar pertama mereka akan baiki bacaan, kemudian belajar sedikit maksud bacaan dan kemudian hati mulai tadabbur dan rasa seronok. Bila ada Quran dalam diri, mereka boleh kawal sendiri tingkah laku,” katanya.

    Dalam pada itu, Marhaini menyeru orang ramai untuk bersama menggemakan surah al-Kahf pada 30 Ogos ini termasuk menghayati pesan kemerdekaan menerusi 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah Al-Kahf bermula jam 11 pagi hingga jam 12 tengah hari di Masjid Putra, Putrajaya.



    Sumber

  • Bahan semula jadi pengganti produk wajah

    Bahan semula jadi pengganti produk wajah

    MAJORITI lelaki menyifatkan penjagaan wajah itu adalah hak mutlak wanita. Walhal, rutin tersebut juga wajar diamalkan golongan jejaka bagi mendapatkan kondisi kulit wajah yang bersih dan licin.

    Kulit wajah yang sihat bukan sahaja membantu menaikkan seri malah meningkatkan keyakinan diri seseorang dikala tampil di depan khalayak ramai. Justeru, jangan memandang ringan aspek penjagaan kulit wajah apatah lagi dalam keadaan cuaca negara panas dan lembap.

    Selain menggunakan rangkaian produk muka lelaki yang dijual di pasaran, anda juga mengamalkan rutin kecantikan berasaskan bahan-bahan semula jadi seperti ketulan ais, madu, timun mahupun garam.

    Ais kurangkan bengkak, kecut jerawat

    Ais bukan sahaja menyejukkan minuman bahkan, ideal digunakan dalam amalan menyerikan wajah. Caranya mudah sahaja dengan mengambil beberapa ketulan ais dan gosok secara lembut pada keseluruhan muka.

    Amalan ini membantu mengurangkan kemerahan dan bengkak termasuk mengecilkan saiz liang pori serta mengecutkan jerawat. Jika dilakukan secara konsisten kulit wajah akan kekal sihat dan segar sentiasa.

    Garam agen tanggal kulit mati

    Garam merupakan agen pengelupasan semula jadi yang bertindak menanggalkan kulit mati. Selain itu, kandungan mineralnya membantu melembutkan dan memulihkan penghidratan dengan menggosok lembut ke atas kulit wajah.

    Jangan skrub muka terlalu kasar kerana bimbang menimbulkan keradangan.

    Menariknya, garam yang mengandungi sumber fluorida asli juga boleh digunakan untuk memutihkan gigi berkarat gara-gara kerap merokok atau minum kopi.

    Lingkaran hitam hilang 30 minit

    Kesan tidak cukup tidur atau penggunaan komputer secara berlebihan sama ada di pejabat dan kuliah akan menyebabkan lingkaran hitam bawah mata. Bagi mengatasi masalah tersebut ambil dua hirisan timun lalu tekap pada mata semalam 30 minit.

    Rutin kecantikan bersama sayuran yang mengandungi mineral seperti vitamin C, magnesium, potassium dan silica itu turut merawat kulit wajah akibat selar matahari.

    Dalam pada itu, jus timun juga meningkatkan kecantikan kulit wajah selain mengurangkan iritasi dan bengkak.

    Rawat bibir guna madu

    Bagi lelaki yang mengalami masalah bibir hitam kerana tabiat merokok disarankan menyapu madu asli pada bahagian bibir setiap malam sebelum tidur.

    Selepas bangun tidur, bersihkan bibir menggunakan air suam dan gosok secara lembut.

    Madu asli membantu merawat masalah bibir hitam akibat tabiat merokok.

    Madu asli membantu merawat masalah bibir hitam akibat tabiat merokok.



    Sumber

  • Jom meriahkan Absolut Food Festival JB 2019 Sabtu ini

    Jom meriahkan Absolut Food Festival JB 2019 Sabtu ini

    KEPADA pencinta makanan, anda diajak memeriahkan Absolut Food Festival Johor Bahru (JB) 2019 yang bakal berlangsung di pusat beli-belah terkemuka, Angsana Johor Bahru, Johor pada 6 hingga 8 September ini.

    Festival makanan berprestij itu merupakan kali kedua dianjurkan oleh Absolut Event & Management selepas program yang sama dijalankan di Shah Alam, Selangor pada April lalu.

    Sambutan yang diterima ketika itu sungguh luar biasa apabila lebih 250,000 pengunjung bertandang ke Absolut Food Festival di sana.

    Nurali

    Nurali

    Ketua Pegawai Eksekutif Absolut Event & Management, Nurali Nadzwan berkata, penganjuran festival yang seterusnya di Johor Bahru tambah istimewa apabila mendapat perhatian dan sokongan syarikat pemaju hartanah, Uda Property yang bertindak sebagai penaja utama festival.

    Sementara Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) selaku penaja bersama.

    Mengulas lanjut, Nurali berkata, Absolut Food Festival JB yang bertemakan Retro itu akan menonjolkan keunikan dan kepelbagaian menu hidangan makanan yang pasti akan membuatkan orang ramai tertarik untuk mencuba dan membelinya.

    “Festival tersebut bakal mengetengahkan 150 variasi makanan selera Malaysia dan Barat dengan penglibatan 170 usahawan tempatan dan dari Kota Singa.

    “Orang ramai boleh mendapatkan makanan seperti seperti ikan bakar, kambing golek, bakso, pelbagai jenis biskut, kek, air dan bermacam-macam lagi bermula pada pukul 10 pagi hingga 11 malam selama tiga hari berturut-turut,” katanya yang optimis festival berskala besar bakal dibanjiri pengunjung tempatan termasuk dari Singapura.

    Jenama-jenama makanan terkenal dan tular dalam media sosial seperti Fam Fries, 3 Budak Gemok, Otak King, Ayo Fried Chicken dan Nachoslah antara yang mengesahkan penyertaan.

    Tidak ketinggalan ialah jenama Absolut Chocolat yang sentiasa ditunggu-tunggu ramai.

    “Sebenarnya, acara itu bukan sekadar memperkenalkan bermacam-macam kulinari yang lazat tetapi salah satu inisiatif syarikat bagi menggalakkan usahawan muda yang mempunyai perniagaan dan ingin mencari platform yang sesuai untuk mengetengahkan produk makanan mereka secara meluas dan lebih dekat dengan pelanggan,” katanya.

    Sebagai tambah nilai pada festival itu kata Nurali, para pengunjung berpeluang menyaksikan beberapa persembahan selebriti terkenal tanah air dan Singapura yang diadakan di pentas utama.

    “Selepas itu, orang ramai juga berpeluang ‘meet and greet’ bersama artis kegemaran masing-masing,” ujarnya.

    Antara artis yang bakal mewarnai festival hebat itu ialah Mia Ahmad, Tya Arifin, Sharnaaz Ahmad, Ben Amir, Che Ta, Ismail Izzani, Sharif Sleeq, Puteri Aishah, Ruhainies, Nadia Brian dan ramai lagi.

    Selain itu, pihak penganjur juga menyediakan ruang bergambar dengan konsep retro untuk pengunjung merakamkan gambar sebagai kenang-kenangan.

    "Sehubungan itu, kami menjemput orang ramai bagi memeriahkan festival tersebut, kehadiran anda bermakna kepada kami selaku penganjur,” katanya.

    Untuk keterangan lanjut, boleh layari Instagram @absolutfoodfest.


    Sumber

  • Bersangka baik kepada ALLAH SWT, sabar dengan ujian, musibah yang dihadapi…

    Bersangka baik kepada ALLAH SWT, sabar dengan ujian, musibah yang dihadapi…

    “KALAULAH saya tidak buat begitu sebelum ini, tentu tidak jadi begini.”

    Sedar atau tidak, ayat itu kadangkala terpacul daripada bibir kita pada saat kita menyesali akan sesuatu yang lazimnya membawa hasil yang kurang menyenangkan.

    Bolehkah kita menyalahkan takdir dengan apa yang berlaku dalam hidup kita sebelum ini?

    Sebagai hamba-NYA, bersangka baik kepada ALLAH SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi.

    Sabda Nabi Muhammad SAW: “Ketahuilah bahawa seseorang daripada kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada ALLAH SWT.” (Riwayat Muslim)

    Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis berkenaan menyatakan: “Para ulama berpendapat, makna bersangka baik kepada ALLAH SWT dengan percaya ALLAH SWT Maha Penyayang dan Maha Pengampun.”

    Sebenarnya, percaya kepada takdir merupakan salah satu daripada Rukun Iman yang wajib dipercayai oleh setiap manusia.

    Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri melarang umatnya merungut dan menyalahkan takdir yang ditetapkan ALLAH SWT.

    Baginda SAW bersabda: “Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan ‘kalaulah aku melakukan itu dan ini’. Akan tetapi, katakanlah ‘takdir (ketentuan) ALLAH dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi’.” (Riwayat Sahih Muslim)

    Sebaiknya, bersangka baik kepada ALLAH SWT dan sabar dengan ujian dan musibah yang dihadapi.

    Oleh itu, kita disarankan supaya memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan iman.

    Pelajarilah dan tambah ilmu pengetahuan tentang agama dan akidah supaya dapat memahami serta menambah keyakinan terhadap ALLAH SWT.

    (Sumber: Al-Kafi #1249: Hukum Menyalahkan Takdir dalam Hidup Kita Sebelum Ini, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



    Sumber