Blog

  • Risiko alahan ubat boleh bawa maut

    Risiko alahan ubat boleh bawa maut

    ANDA mungkin pernah ditanya oleh doktor atau ahli farmasi tentang alahan terhadap sebarang ubat.

    Maklumat itu sebenarnya penting kerana kesan buruk boleh berlaku disebabkan oleh ubat-ubatan yang diambil.

    Alahan ubat merupakan tindak balas disebabkan pengambilan ubat yang tidak normal. Ia berlaku disebabkan oleh tindak balas hipersensitiviti yang mendorong tindak balas imunisasi terhadap ubat.

    KESAN tindak balas ubat antaranya ruam, gatal-gatal, sensitif terhadap cahaya dan tanda kemerahan.

    KESAN tindak balas ubat antaranya ruam, gatal-gatal, sensitif terhadap cahaya dan tanda kemerahan.

    Tindak balas hipersensitiviti boleh diklasifikasikan dengan pelbagai jenis gejala yang dipanggil gejala alahan. Berlaku pada hidung, paru-paru, tekak, sinus, telinga, perut atau pada kulit. Ia boleh berlaku serta-merta, lambat, atau gabungan kedua-duanya.

    Tindak balas terhadap ubat adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang mengalami ruam, manakala individu lain yang mengambil ubat yang sama mungkin tidak mengalami apa-apa kesan buruk.

    Semua ubat-ubatan mempunyai potensi untuk menyebabkan kesan sampingan, tetapi hanya lima peratus hingga 10 peratus daripada kesan sampingan ubat adalah alahan.

    Tindak balas alahan terdiri daripada ruam biasa hingga kepada tindak balas sistemik yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengenal pasti tanda-tanda dan gejala alahan.

    Kebanyakan tindak balas alahan tidak berlaku setelah ubat diambil buat pertama kali. Sebaliknya, pengambilan ubat yang kedua dan seterusnya yang akan mendorong tindak balas imunisasi.

    Antara tindak balas alahan seperti berikut:

    – Anafilaksis

    Tindak balas kulit contohnya ruam, gatal-gatal, sensitif terhadap cahaya dan tanda kemerahan.

    – Kesukaran bernafas

    – Pitam

    – Degupan jantung tidak sekata

    – Pembengkakan di bawah kulit

    – Sakit sendi dan otot

    Anafilaksis adalah salah satu tindak balas alahan paling serius dan boleh membawa maut. Tindak balas ini selalunya bertindak dengan pantas dan mengambil masa beberapa saat atau minit.

    Gejala anafilaksis seperti sesak hidung, kesukaran bernafas, batuk, kulit kebiruan, termasuk bibir dan kuku, pitam, hilang daya imbangan badan, pening, bimbang, kebingungan, percakapan yang tidak teratur, degupan jantung yang cepat, berdebar-debar, loya, muntah, cirit-birit serta kekejangan otot.

    Ubat-ubatan yang dikaitkan dengan alahan:

    – Orang ramai boleh mengalami alahan kepada mana-mana ubat.

    – Antibiotik punca alahan yang paling kerap dikaitkan.

    Berikut adalah senarai ubat-ubatan yang paling kerap dikaitkan dengan alahan seperti:

    1. Penicillin

    2. Cephalosporins (dan semua antibiotik yang berkaitan).

    3. Sulfonamides (termasuk antibiotik, ubat oral diabetik dan beberapa ubat diuretik).

    4. Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAID), termasuk aspirin, ibuprofen dan naproxen.

    5. Ubat Bius Setempat

    6. Anestesia Am (General Anesthesia).

    Alahan ubat jarang berlaku tetapi ia boleh menyebabkan tindak balas dari kurang berisiko hingga mengancam nyawa. Oleh itu, amat penting untuk menyemak ubat-ubat yang perlu diambil bagi mengelak kejadian alahan ubat yang boleh mengancam nyawa seperti anafilaksis.

    Sumber: http://www.myhealth.gov.my



    Sumber

  • Sumbangan Sahabah Al-Quran bantu warga Utusan

    Sumbangan Sahabah Al-Quran bantu warga Utusan

    Sumbangan Sahabah Al-Quran bantu warga Utusan

    Sumber

  • Cara unik kejut bangun sahur

    Cara unik kejut bangun sahur

    AMALAN kejut sahur merupakan satu aktiviti zaman silam yang bertujuan mengejutkan umat Islam untuk bangkit bersahur.Ia ibarat sebagai ‘penggera’ atau ‘jam loceng’ kepada masyarakat kampung.

    JET pejuang digunakan di Indonesia sebagai satu cara alternatif mengajak umat Islam bangun bersahur.

    JET pejuang digunakan di Indonesia sebagai satu cara alternatif mengajak umat Islam bangun bersahur.

    Namun, selari dengan perkembangan teknologi, pendekatan itu sudah jarang dilakukan. Pun demikian, di sesetengah lokasi, praktis itu masih kekal terpelihara.

    Menariknya lagi, ia telah dimodenkan seperti yang dilakukan oleh seorang jejaka, Muhammad Latiff Azmi, 22, atau Atip.

    Atip yang menjadi tular baru-baru ini memberi perkhidmatan kejut sahur dengan membuat panggilan kepada individu yang berminat. Servis itu telah diiklankannya menerusi laman Twitter sehari sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa.

    Menerusi entri tersebut, Atip menyenaraikan harga untuk perkhidmatan kejut sahur dengan mengenakan caj RM2 untuk sekali panggilan.

    Pakej seminggu pula berharga RM10. Namun yang paling menjadi bualan netizen ialah caj tambahan RM1 sekiranya ada pelanggan mahu dipanggil sebagai ‘sayang’.

    Nampak, siapa sangka idea ‘gila-gila’ itu membuahkan hasil apabila respons yang diterima begitu menggalakkan.

    Bukan sahaja statusnya diulang kicau lebih 26,000 dan 18.8 likes malah dalam tempoh 24 jam, beliau menerima lebih 500 permintaan daripada warga Twitter yang mahu menggunakan servisnya.

    Atip memberi khidmat panggilan untuk kejut bangun sahur

    Atip memberi khidmat panggilan untuk kejut bangun sahur

    “Ya, memang tak sangka. Namun, saya tidak ambil ramai pelanggan, tak mampu rasanya mahu buat panggilan sebanyak itu,” ujar Atip yang turut mengambil pendekatan berborak-borak selama lima minit bagi menghilangkan rasa mengantuk pelanggannya sebelum mereka menikmati juadah sahur.

    Menurut Atip, setakat ini beliau tidak menghadapi masalah dengan para pelanggannya.

    “Semua memberi kerjasama yang baik. Kebanyakannya dengan dua kali deringan telefon, pelanggan sudah angkat,” katanya yang berjaya mengumpul wang sekitar RM50 pada hari pertama berpuasa.

    Selain Atip yang memperkenalkan cara kejut sahur yang unik, Oh! Lelaki menyenaraikan beberapa lagi pendekatan unik lain yang pernah dilakukan di sesetengah tempat:

    Guna jet pejuang

    Jangan tidak percaya, di Indonesia program kejut sahur mereka menggunakan jet pejuang. Usaha itu dibuat oleh Tentera Udara Indonesia yang menggunakan pesawat pejuang mereka.

    Menerusi maklumat di akaun Twitter @_TNIAU, program tersebut dibuat sebagai latihan untuk anggota membuat latihan pada bulan Ramadan.

    Antara bandar yang dipilih ialah Surabaya di Jawa Timur, Surakarta, Klaten dan Sragen di Jawa Tengah dan Yogyakarta.

    Menurut Jurucakap Tentera Udara negara itu, Kolonel M. Yuris, juruterbang pesawat pejuang tidak dibenarkan mengendalikan pesawat ketika berada dalam keadaan paras gula darah yang rendah.

    “Ia merupakan satu misi gabungan iaitu membangunkan orang ramai untuk bersahur dan pada masa yang sama mengadakan latihan,” katanya kepada media Indonesia.

    Bukan Islam main peranan

    Di Jeddah, Arab Saudi, amalan kejut sahur dilakukan oleh orang beragama Kristian.

    Gelaran mesaharati turut kepada individu yang secara sukarela berusaha mengejutkan Muslim bersahur.

    DI BEBERAPA buah negara Arab, golongan Mesaharati iaitu mereka yang bukan beragama Islam membantu mengejutkan masyarakat Islam bangun sahur.

    DI BEBERAPA buah negara Arab, golongan Mesaharati iaitu mereka yang bukan beragama Islam membantu mengejutkan masyarakat Islam bangun sahur.

    Pendekatan itu difahamkan telah menjadi tradisi paling lama di beberapa buah negara Arab.

    Kejut sahur itu dimulakan pada pukul 2 pagi menggunakan alat muzik tamborin sambil berteriak berulang-ulang untuk mengejutkan umat Islam bangun sahur.

    Salah seorang mesaharati, Michel Ayoub, 39, yang berbangsa Arab Israel menjalankan tugas itu dengan gembira meskipun dirinya bukan Islam.

    “Saya membesar dengan percaya kepada idea kewujudan bersama, menghormati dan tahu mengenai agama lain,” kata Michael yang mengejutkan masyarakat bersahur di Acre iaitu kota lama di barat laut Israel.

    Geng Kejut Sahur Bukit Piatu

    Sejak 75 tahun lalu, penduduk Bukit Piatu, Melaka masih terus mempraktikkan amalan mengejutkan orang kampung bersahur.

    Mereka menggunakan alat muzik tradisional seperti serunai, gendang anak, gendang ibu, kompang dan gong serta diiringi muzik tradisional.

    Kepada mereka yang liat berbangun sahur, dendangan lagu Geng Kejut Sahur Bukit Piatu yang mendendangkan lagu klasik seperti Madu Tiga dan Ali Baba pasti membuatkan sesiapa terjaga.

    Cara yang sedikit lebih kurang serupa, sejumlah penduduk Tawau, Sabah yang prihatin akan bermain gitar sambil menyanyi mengelilingi rumah di beberapa lokasi terpilih.

    Sementara itu, di Kampung Seberang Sarikei, Sarawak pula, mereka menggunakan tong, kompang dan gendang.



    Sumber

  • Menghadam sejarah silam, menjiwai alam

    Menghadam sejarah silam, menjiwai alam

    MALAYSIA sememangnya bumi yang bertuah. Justeru, pendapat yang menyebut bahawa negara ini merupakan syurga pelancongan, usahlah dipertikaikan lagi.

    Katakan apa sahaja. Berkeinginan menyusuri keindahan pantai atau laut, mendaki gunung-ganang, menghirup udara segar di kawasan hutan yang dibaluti flora jarang dilihat, teringin melewati hutan batu di bandar-bandar tertentu atau menghadam lipatan sejarah, semua ‘pakej’ itu, Malaysia miliki.

    MENEROKA keindahan hutan di Sabah.

    MENEROKA keindahan hutan di Sabah.

    Namun, jika anda ‘mengecilkan’ pengembaraan tetapi pada masa sama mahu merasai kesemua pengalaman yang dinyatakan, negeri Sabah merupakan pilihan paling tepat.

    Usul penulis bukan kata-kata kosong. Peluang yang diberikan oleh Tourism Malaysia baru-baru ini untuk meneroka Negeri Di Bawah Bayu telah memberi keyakinan kepada penulis mengesyorkannya kepada pembaca Sihat:Aktif.

    Jika pada edisi lalu, telah diceritakan tentang betapa indahnya pulau-pulau di sana, kali ini, penulis berkongsi kembara di beberapa destinasi lain seperti di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

    Menjiwai ketenangan alam semula jadi di Menara Kayangan

    KENDERAAN boleh digunakan untuk ke Menara Kayangan.

    KENDERAAN boleh digunakan untuk ke Menara Kayangan.

    Kepada ‘kaki hiking’ dan pencinta alam sekitar, Menara Kayangan yang terletak di Lahad Datu merupakan salah satu lokasi yang dicadangkan.

    Istimewanya, lokasi itu boleh diumpamakan seperti berada di tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang. Pastinya, cuacanya sejuk dan nyaman. Suasana sekeliling sentiasa diselimuti kabus tebal. Seronok sungguh melihat betapa agungnya ciptaan ILLAHI.

    PEMANDANGAN sungguh indah di tapak Menara Kayangan.

    PEMANDANGAN sungguh indah di tapak Menara Kayangan.

    Berdasarkan rekod, Menara Kayangan terletak pada ketinggian 620 meter (m) di atas paras laut dan dibina di atas Gunung Silam dengan ketinggian 884m.

    Menurut Pembantu Pegawai Perhutanan Daerah, Geungnong Ahjing, menara atau dipanggil sebagai Tower of Heaven dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

    “Menara tersebut menghadap ke arah Teluk Darvel, jadi para pelawat berkesempatan melihat pemandangan laut yang terbentang luas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Dari menara tinjau berketinggian 33m yang dibina pada tahun 2010 dan dibuka kepada orang ramai bermula 2012 itu, beberapa pulau terkenal dapat ditelusuri.

    Antaranya ialah Pulau Serangga, Pulau Tabun, Pulau Saga, Pulau Sadel dan Pulau Kalung-Kalung (pulau yang dapat dilihat secara jelas).

    “Menariknya lagi di sini, terdapat tumbuhan yang berusia ratusan tahun! Hidupan yang jarang ditemui seperti buluh Pairin (daun tumbuh ke bawah bukannya ke atas) dan ketam Endemik (ketam kecil berwarna jingga kemerahan) juga boleh dilihat.

    “Bagi mereka yang suka mendaki, inilah tempat yang sesuai. Kami menyediakan laluan pendakian seperti Kubu Jejak Jepun, Kayangan Trail dan Laluan Kalung-Kalungan. Pendaki akan melihat barangan lama yang digunakan semasa pemerintahan Jepun dan menyaksikan kepelbagaian biologi flora,” ujar.

    Memahami barangkali rasa lelah mengikuti banyak aktiviti disediakan, pengunjung tidak perlu khuatir akan kesukaran mengisi perut, katanya.

    Terdapat sebuah kafe dan tapak perkhemahan disediakan.

    Untuk ke sana, para pelancong boleh menggunakan kenderaan.

    “Cuma apabila sampai, harus mendaki tangga lebih kurang 10 minit untuk ke tapak Menara Kayangan. Percayalah, biarpun memerlukan sedikit usaha mendaki tujuh aras tingkat, kepuasan pasti terasa tika tiba di puncak.

    “Buat mereka yang gayat atau takut tinggi, tidak perlu memaksa diri. Memang terasa seakan bergoyang apabila ditiup angin, namun usah risau kerana menara itu dibina begitu kukuh. Cubalah cabar diri,” kata Geungnong sambil tersenyum.

    KUMPULAN media yang terlibat.

    KUMPULAN media yang terlibat.

    Merasai era Neolitik di Bukit Tengkorak

    Di Tawau, rombongan media dibawa melawat Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak. Pada penulis, amat berbaloi untuk meluangkan waktu di situ terutama bagi mereka yang sukakan sejarah dan aktiviti kecerdasan.

    Jadi, apa yang ada di Tapak Warisan Arkelogi Bukit Tengkorak?

    JEJANTAS yang disediakan di Bukit Tengkorak untuk melihat keindahan alam.

    JEJANTAS yang disediakan di Bukit Tengkorak untuk melihat keindahan alam.

    Jangan ragu-ragu walaupun nama lokasinya agak seram. Pengunjung pastinya akan dibuai bayangan kehidupan sekitar 3,000 tahun dahulu atau pada era Neolitik di Muzium Arkeologi Bukit Tengkorak.

    Penulis memperoleh banyak ilmu ketika berada di tapak prasejarah yang penting di kawasan Asia Tenggara dan Pasifik itu.

    Sungguh kagum apabila dapat menyaksikan bukti dan artifak arkeologi seperti tembikar, tengkorak, alat buatan manusia dan banyak lagi tinggalan sejarah yang dijejaki di sana pada suatu masa dahulu.

    Berdasarkan catatan sejarah, Bukit Tengkorak merupakan salah sebuah tapak pembuatan tembikar prasejarah yang terbesar di Kepulauan Asia Tenggara.

    
OBJEJ tengkorak diletakkan di dalam Galeri Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak.

    OBJEJ tengkorak diletakkan di dalam Galeri Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak.

    Selepas menelaah ilmu berguna, kami meneruskan aktiviti mendaki puncak Bukit Tengkorak yang mengambil masa lebih kurang 30 minit.

    Pun demikian, bagi sesiapa yang mempunyai stamina yang kuat, masa mendaki menjadi lebih pendek. Laluan daripada binaan tangga lantai kayu barangkali membantu.

    Sebelum mendaki, pastikan anda membawa air mineral. Jangan memaksa diri. Bolehlah berhenti seketika di beberapa wakaf perhentian yang disediakan.

    Satu lagi puncak sedia menanti pengunjung yang mahu menyaksikan pemandangan dari ketinggian kira-kira 500 kaki di atas paras laut perairan Pulau Sipadan.

    PEMANDANGAN dari jauh  Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak.

    PEMANDANGAN dari jauh Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak.

    Pemandangan yang indah dengan angin sepoi-sepoi bahasa menjentik begitu ketenangan jiwa. Hilang seketika tekanan perasaan yang dipendam. Jika pengunjung kreatif dalam mengambil sudut terbaik swafoto, gunakanlah momen di sana sebaik-baiknya.

    Kembara di latitud berbeza di Taman Bukit Tawau

    Sabah juga merupakan satu destinasi yang sarat dengan tempat beriadah. Antaranya ialah Taman Bukit Tawau.

    Di lokasi berkenaan, bukan sahaja aktiviti pendakian boleh dilakukan malah pengunjung boleh berkelah sambil menghayati keindahan semula jadi bersama keluarga tersayang.

    Bercerita lebih lanjut tentang Taman Bukit Tawau, Pemandu Pelancongan merangkap Pengarah Borneo Sandakan Tours Sdn Bhd, Gary Solacito berkata, destinasi tersebut diwartakan menjadi Taman-Taman Sabah pada tahun 1979.

    PEMANDANGAN dari atas Taman Bukit Tawau.

    PEMANDANGAN dari atas Taman Bukit Tawau.

    “Taman Bukit Tawau merupakan pusat tadahan air dengan keluasan 28,000 hektar. Tiga puncak gunung tertinggi daerah Tawau iaitu Gunung Magdalena, Gunung Lucia dan Gunung Maria terdapat di situ. “Menariknya taman itu juga ditumbuhi pelbagai spesies tumbuhan unik. Orkid liar, periuk kera, pokok raflesia, paku pakis dan pelbagai spesies burung, serangga dan kupu-kupu boleh ditemui.

    Taman itu turut menjadi tumpuan kerana terdapatnya antara pokok tropika tertinggi di dunia dari spesis Seraya Kuning Siput yang berketinggian 88.32m,” katanya.

    ANTARA pokok tertinggi di dunia di Taman Bukit Bakau.

    ANTARA pokok tertinggi di dunia di Taman Bukit Bakau.

    Sebenarnya, selain Air Terjun Bukit Gelas terdapat kolam air panas sulfur yang turut menjadi kesukaan ramai pelawat, kongsi Gary.

    AKTIVITI riadah bersama keluarga yang boleh dibuat bersama-sama di Taman Bukit Tawau.

    AKTIVITI riadah bersama keluarga yang boleh dibuat bersama-sama di Taman Bukit Tawau.

    Setiap lokasi riadah berada di latitud berbeza. Walaupun demikian, pada hemah penulis, tidak sukar untuk ke sesuatu lokasi kerana laluan pendakian itu mendatar sahaja.

    Ada laluan dilekuk seperti tangga dan dipasang jaring untuk mengelak jalan licin.

    Sesungguhnya, sukar untuk penulis lumpuhkan ingatan terhadap destinasi-destinasi yang dibawa oleh Tourism Malaysia sepanjang pengembaraan di Sabah.

    Perjalanan ke sana membuatkan penulis lebih menghargai negara sendiri. Penulis pasti, para pelancong tempat turut merasai perasaan serupa apabila memilih untuk bercuti di Malaysia.

    Latok, nasi kuning sajian tradisional wajib dicuba

    PERJALANAN ke bumi Sabah tidak sah jika pengunjung tidak mencari dan menikmati makanan unik di sana.

    Cuba ‘singkirkan’ seketika daripada kelaziman, penulis mengesyorkan agar mencuba masakan tradisional Kadazan Dusun yang dihidangkan dalam buluh seperti yang terdapat di restoran D’Place Kinabalu.

    
MAKANAN tradisional masyarakat Kadazan Dusun yang dihidangkan dalam buluh.

    MAKANAN tradisional masyarakat Kadazan Dusun yang dihidangkan dalam buluh.

    Jangan lupa juga mencuba nasi kuning di Tawau Sabah dan Latok (rumpai laut) yang merupakan makanan tradisional suku kaum Bajau Laut di daerah Semporna.

    LATOK makanan tradisional suku kaum Bajau Laut.

    LATOK makanan tradisional suku kaum Bajau Laut.

    Kepada kaum Hawa, sebelum pulang, singgahlah ke Pasar Tanjung Tawau. Terdapat cenderahati boleh dibeli dan dihadiahkan kepada mereka yang menanti kepulangan anda.

    Ikan bilis mata biru boleh didapati pada harga yang murah. Begitu juga dengan keropok amplang, kuih cincin termasuk barangan perhiasan daripada batu permata.

    Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara, Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan Sabah menjadi salah satu destinasi yang digemari oleh pelancong tempatan mahupun luar negara.

    PASAR Tanjung Tawau dikenali sebagai tempat yang murah untuk membeli ikan bilis.

    PASAR Tanjung Tawau dikenali sebagai tempat yang murah untuk membeli ikan bilis.

    “Saya berharap industri pelancongan di Sabah dapat menyahut cabaran Visit Malaysia 2020 yang menyasarkan 30 juta pelancong asing. Penjanaan pendapatan pelancongan negara dijangka sebanyak RM100 bilion.

    “Pihak Tourism Malaysia sentiasa memberi sokongan untuk menggerakkan program-program promosi di peringkat negeri. Inisiatif dibuat bagi memperkukuh industri pelancongan domestik,” katanya pada sidang media Tourism Malaysia bersama penggiat industri Sabah di Hotel Marriott, Kota Kinabalu.

    Pada majlis itu, Tourism Malaysia turut memperkenalkan pelakon dan pengacara terkenal, Alif Satar sebagai dutanya.

    ANEKDOT

    1. Menara Kayangan Lahad Datu, Lahat Datu, Sabah

    (Lebih kurang dua jam perjalanan dari Lapangan Terbang Lahad Datu dan 10km dari bandar).

    Harga tiket: Warganegara – dewasa RM5 & kanak-kanak RM3.

    Bukan warganegara – dewasa RM15 & kanak-kanak RM7.

    Waktu operasi: Setiap hari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

    2. Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak, Tawau

    (Lebih kurang satu jam 40 minit dari Tawau dan 3km dari Pekan Semporna).

    Masuk percuma

    Waktu operasi: Setiap hari, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

    PEMANDANGAN pokok tertinggi di Taman Bukit Bakau.

    PEMANDANGAN pokok tertinggi di Taman Bukit Bakau.

    3. Taman Bukit Tawau, Tawau

    (Terletak 22km dari bandar Tawau iaitu kira-kira 30 minit perjalanan).

    Harga tiket:

    Warganegara – 18 tahun ke atas RM3 & bawah 18 tahun, RM1.

    Bukan warganegara – 18 tahun ke atas RM10 dan bawah 18 tahun RM6.

    Waktu operasi: Setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.



    Sumber

  • Karya seni Yusof Ghani dalam sehelai busana

    Karya seni Yusof Ghani dalam sehelai busana

    SofeaRose berkolaboratif dengan pelukis terkemuka negara menerusi koleksi art to wear

    JENAMA fesyen tempatan, SofeaRose sekali lagi mencipta ledakan dalam industri fesyen tanah air apabila menampilkan koleksi art to wear, SofeaRose x Yusof Ghani Segerak VIII- Utopia.

    Koleksi busana istimewa yang memasuki musim ke-3 itu merupakan kolaboratif tahunan antara jenama SofeaRose bersama Ikon Pelukis Negara, Prof Yusof Ghani.

    SofeaRose x Yusof Ghani sebelum ini pernah mengambil tempat di London pada tahun 2017 dan Madrid (2018).

    Hasil seni lukisan Yusof diterjemahkan dan dicetak bagi menghasilkan rekaan pakaian wanita yang eksklusif.

    Menurut Pengarah Urusan SofeaRose, Zaki Yusof, beliau ingin membuktikan bahawa fesyen bukan sesuatu yang kosong dan membosankan, tetapi sarat dengan warna dan aura.

    “Bertitik tolak daripada itu, saya mendapat idea untuk menjadikan sebuah lukisan pada helaian pakaian.

    “Justeru, dek mengagumi dan menyanjungi karya-karya beliau (Yusof) maka saya menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dan maklum balas diterima amat positif,” jelas Zaki yang mengasaskan SofeaRose bersama pasangan, Farrah Aina dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

    Berusaha merealisasikan koleksi SofeaRose x Yusof Ghani untuk musim kali ini, mereka mempertaruhkan lukisan Solitude II, Jubilant II, Sublime II, Grandee II, Sovereignty II dan Avengers I daripada siri Segerak VIII.

    Pada masa sama, ia turut mengetengahkan enam rekaan busana berkonsepkan gaun malam dan smart kasual.

    “Elemen Ruffles, Bishop dan Maskulin Cut menjadi pilihan kerana melambangkan sisi wanita zaman moden.

    “Sementara itu, pemilihan siluet Trumpit, Sheath dan Column pula bagi menonjolkan kesepaduan lukisan Yusof dalam setiap helaian,” katanya.

    Menyentuh mengenai fabrik, Zaki memberitahu, kain net, sutera Thai, satin matte dan sifon merupakan material utama digunakan mengikut kesesuaian potongan dan mood koleksi kali ini.

    Bagi pemilihan warna, permainan nuansa tanah seperti coklat, buah zaitun, merlot dan cognac menjadi pilihan supaya diselarikan dengan pemilihan lukisan pelukis tersebut.

    Terdahulu, koleksi art to wear, SofeaRose x Yusof Ghani Segerak VIII- Utopia telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Galeri Prima, Kuala Lumpur pada 9 Ogos lalu. Turut mencemar duli, Tuanku Zara Salim.

    ANEKDOT

    KOLEKSI SofeaRose

    Lokasi: Bangi Sentral, Melawati Mall, Seksyen 7, Shah Alam dan Seksyen 19, Shah Alam

    Telefon: 019-635 0464

    Web: www.sofearose.com/

    Facebook: www.facebook.com/sofearose.my

    Instagram: @sofearose_hq



    Sumber

  • Sumbangan Sahabah Al-Quran bantu warga Utusan

    Sumbangan Sahabah Al-Quran bantu warga Utusan

    Sumbangan Sahabah Al-Quran bantu warga Utusan

    Sumber

  • Bersedekah dengan guna kod QR

    Bersedekah dengan guna kod QR

    TNG Digital Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) baru-baru ini memperkenalkan program 7 tangkai: Jom Infak yang menggalakkan orang ramai bersedekah dengan cara paling mudah.

    Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya akan menggunakan kod QR menerusi aplikasi eWallet di masjid-masjid terlibat sekitar Kuala Lumpur.

    Berdasarkan rekod, setakat ini, terdapat 10 buah masjid yang telah dilengkapi dengan kemudahan kod QR.

    Dari kiri Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Ustaz Munir Mohd Saleh; Syahrunizam; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid Jawi, Ustaz Mohd Fadzil Abu Kasim hadir merasmikan program 7 tangkai: Jom infak baru-baru ini.

    Dari kiri Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Ustaz Munir Mohd Saleh; Syahrunizam; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid Jawi, Ustaz Mohd Fadzil Abu Kasim hadir merasmikan program 7 tangkai: Jom infak baru-baru ini.

    Bagaimanakah cara menggunakannya? Ujar beliau, para pengguna hanya perlu mengimbas kod QR untuk menderma dan setiap transaksi akan dipindahkan terus ke masjid-masjid yang terlibat.

    “Kami ingin mengubah cara sumbangan derma sejajar dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya yang menyasarkan 40 buah masjid di sekitar Kuala Lumpur untuk diserapkan di bawah program tersebut menjelang akhir tahun 2019.

    Syahrunizam menambah, dengan penggunaan kod QR, ia akan membuka lebih banyak peluang dari sudut interaksi dan penglibatan antara masjid-masjid.

    Untuk maklumat lanjut dan terkini, sila layari https://www.tngdigital.com.my/ dan daftar masuk melalui www.facebook.com/touchngoewallet/.



    Sumber

  • Risiko si kecil kerap terhantuk kepala

    Risiko si kecil kerap terhantuk kepala

    Anda Musykil, Doktor Jawab

    SOALAN 1

    DOKTOR, sepanjang tumbesaran anak saya yang kini sudah mencecah usia dua tahun, beliau sering mengalami hentakan yang agak kuat pada bahagian kepala dan terdapat benjolan di situ. Saya bimbang ia akan mencetuskan darah beku. Adakah kemungkinan kebarangkalian itu boleh berlaku?

    – IBU RISAU, MAISARAH ISMAIL, 35, RANTAU PANJANG, KELANTAN

    SEGERA dapatkan rawatan doktor apabila pendarahan tidak berhenti.

    SEGERA dapatkan rawatan doktor apabila pendarahan tidak berhenti.

    JAWAPAN:

    PUAN, terlebih dahulu saya ingin menjelaskan tentang kesan-kesan hentakan kepala yang serius dan tidak serius.

    Semua ibu bapa risau apabila anak terjatuh, mengalami hentakan pada kepala dan berlaku pendarahan.

    Bagaimanapun, tidak semua hentakan mesti disusuli dengan pendarahan. Itu kerana lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Kesan hentakan tidak serius hanya memberi kesan pada kulit.

    Apa yang puan perlu lakukan apabila berhadapan dengan kecederaan tidak serius ialah dengan mengambil kain bersih dan tekan pada tempat yang luka. Jika pendarahan tidak berhenti, terus bawa anak ke klinik sambil meneruskan tekanan tersebut.

    Namun, jika kecederaan disusuli dengan benjolan, ia disebabkan oleh bengkak atau berlaku pendarahan di bawah kulit (darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak).

    Ia juga bermakna pendarahan berlaku di luar otak dan tidak menghimpit otak kerana dihalang oleh tengkorak.

    Benjolan tersebut biasanya akan hilang dengan sendirinya dan mengambil masa satu hingga dua minggu untuk sembuh.

    Puan boleh meredakan bengkak dengan menuam kain sejuk di tempat bengkak. Benjol atau darah tersebut akan perlahan-lahan diserap balik oleh tisu dan bengkak akan surut.

    Simptom pendarahan

    Walaupun demikian, sebarang kemungkinan lain boleh berlaku apabila anak menunjukkan simptom-simptom yang menandakan pendarahan dalam otak.

    Kecederaan pada tengkorak dan otak mempunyai kesan lebih serius berbanding kecederaan pada kulit dan pendarahan dalaman atau kedua-dua sekali.

    Kesan hentakan yang serius pada tengkorak bermaksud hentakan yang sangat kuat dan memberi kesan kepada saraf dan otak.

    Otak akan terdedah kepada risiko jangkitan kuman melalui retakan yang berlaku pada tengkorak.

    Antara simptom-simptom pendarahan dalaman otak seperti pengsan selepas trauma, otot menjadi lemah atau sebahagian badan tidak boleh bergerak, hilang ingatan, keliru, sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya.

    Boleh jadi juga sawan, muntah lebih daripada sekali, tidak dapat bercakap dengan betul dan muka menjadi senget sebelah, keluar darah dari hidung atau telinga, mata hitam tidak sama saiz dan penglihatan menjadi kabur.

    Jika ada simptom-simptom tersebut, terus bawa anak ke hospital yang berdekatan.

    Doktor akan menjalankan pemeriksaan rapi. Jika tidak ada masalah, pakar akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam yang pertama untuk melihat tanda-tanda tersebut.

    Bagaimanapun, kebanyakan kes yang tiada tanda pendarahan dalaman otak, mereka akan pulih sepenuhnya tanpa ada apa-apa kesan jangka masa panjang walaupun tempoh untuk pulih mengambil masa yang lama.

    Jika anak puan membesar dengan sihat, puan tidak perlu risau.

    Serangan batuk pada waktu malam

    SOALAN 2

    DOKTOR, anak saya yang berusia enam tahun disahkan menghidap asma. Apa yang membimbangkan, batuk dan asmanya begitu kronik pada waktu malam. Walaupun sudah mengambil nebuliser, tetap diserang batuk dan asma. Doktor, apa sebenarnya masalah yang dihadapi olehnya? Mohon nasihat doktor.

    -ASMA MALAM, SHAHRINA ABDULLAH, 39, FELDA CHINI, PEKAN PAHANG

    DOKTOR akan berikan inhaler apabila kerap berlaku batuk dan asma.

    DOKTOR akan berikan inhaler apabila kerap berlaku batuk dan asma.

    JAWAPAN:

    PUAN, masalah batuk antara paling kerap disuarakan oleh ibu bapa. Sebelum itu, penjaga harus faham tentang penyakit batuk.

    Batuk sebenarnya satu tindak balas yang terhasil apabila terdapat benda asing yang cuba memasuki saluran pernafasan sama ada kahak atau makanan.

    Ia merupakan cara ‘pertahanan’ badan untuk mengelak daripada paru-paru dicemari atau mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat yang boleh membawa kepada masalah pernafasan atau jangkitan.

    Bagi menjawab persoalan puan mengenai anak yang kerap batuk pada waktu malam dan kurang pada waktu siang, berkemungkinan ada dua sebab.

    Pertama, ia disebabkan oleh asma kerana perubahan suhu dari siang ke malam (menjadi lebih sejuk). Perubahan itu menyebabkan serangan asma dizahirkan dalam bentuk batuk.

    Apabila ia berlaku, otot-otot saluran pernafasan akan mengembang dan berlaku keradangan terhadap saluran pernafasan dan terhasilnya kahak. Ia membuatkan pesakit sesak nafas dan batuk.

    Puan perlu mendapatkan rawatan segera jika anak mengalami sesak nafas, bernafas laju dan nampak letih.

    Namun, jika anak hanya batuk-batuk tetapi masih boleh tidur dengan selesa, tidak perlu segera untuk mendapatkan rawatan.

    Bagaimanapun, pesakit masih perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengesahkan penyakitnya. Dapatkan ubat inhaler.

    Profil

    DR Faisal

    DR Faisal

    Dr Faisal Mohd Fadzli merupakan Perunding Pediatrik,

    KPJ Tawakkal Specialist Hospital,

    Kuala Lumpur.



    Sumber

  • Kisah terpilih dalam Surah Maryam

    Kisah terpilih dalam Surah Maryam

    AL-QURAN memberi barakah dalam kehidupan dengan syarat kita perlu baca, faham dan amal. Lebih banyak kita berinteraksi dengan al-Quran, lebih dekat dengan ALLAH SWT dan lebih banyak menerima rahmat-NYA.

    Daripada Uthman bin Affan RA, Rasululullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

    Kaedah tadabbur dan tazakkur al-Quran mampu memberi penghayatan terhadap mesej ALLAH SWT. Inisiatif tersebut turut diambil oleh Nur ‘Ala Nur Academy yang menganjurkan Jewels of Quran 10: Surah Maryam bersama Ustazah Aisha Altaf dari Institut Al-Huda yang berlangsung di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Ayat 1 Surah Maryam dimulakan dengan huruf Muqatha’ah iaitu Kaaf Haa Yaa ‘Ain Shaad. Ia menunjukkan kita sebagai hamba ALLAH tidak tahu apa-apa melainkan ALLAH yang Maha Mengetahui. ALLAH memberi khabar melalui al-Quran untuk kita mengetahui perkara lalu, sekarang dan akan datang.

    Dalam Surah Maryam, ALLAH SWT menceritakan kebesaran-NYA yang memberi rahmat hamba-NYA dalam beberapa kisah yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan kita:

    1. Kisah Nabi Zakaria AS (ayat 2-15)

    Nabi Zakaria berdoa dengan suara yang lembut kepada ALLAH SWT untuk dikurniakan zuriat. Sebelum menyampaikan hajatnya, Nabi Zakaria dengan rendah hati menyatakan, keuzuran tubuh badannya yang lemah dan rambut dipenuhi uban, namun tidak pernah berputus asa untuk terus berdoa kepada ALLAH SWT. Dalam doa tersebut, Nabi Zakaria melahirkan rasa kebimbangan tentang kesinambungan legasinya untuk menyampaikan dakwah, sedangkan isterinya mandul. Oleh itu, baginda AS memohon dikurniakan anak lelaki yang diredai ALLAH.

    Dengan rahmat dan kekuasaan ALLAH SWT, Nabi Zakaria dianugerahkan anak bernama Nabi Yahya AS, yang diberi hikmah (kebijaksanaan), berkasih sayang, bertakwa dan baik terhadap kedua orang tuanya. Ternyata kuasa doa itu amat penting dalam kehidupan manusia. ALLAH mendengar doa hamba-NYA secara perlahan atau kuat. Doa juga menunjukkan sifat kehambaan kita yang mengharapkan bantuan ALLAH.

    2. Kisah Maryam (ayat 16-40)

    ALLAH menceritakan kisah Maryam, anak kepada pasangan Imran dan Hannan, keluarga yang dimulia dan dicatatkan dalam al-Quran. Ibu Maryam telah bernazar jika mendapat zuriat, beliau akan mewakafkan anaknya untuk berkhidmat di Baitulmaqis. Maryam menjadi idola kepada golongan wanita yang memfokuskan diri untuk belajar dan ikhlas beribadah kepada ALLAH SWT.

    Maryam telah mengasingkan diri daripada dunia luar agar lebih fokus beribadah. Namun dengan rahmat ALLAH, Maryam dianugerahkan anak lelaki bernama Nabi Isa AS kepada Maryam tanpa berkahwin. Apabila ALLAH berkehendak dan menghendakinya adalah mudah bagi-NYA, ‘Kun Fayakuun‘. Ini menunjukkan kekuasaan ALLAH yang Maha Pencipta.

    3. Kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS (ayat 41-50)

    ALLAH mengisahkan Nabi Ibrahim sebagai orang yang sangat mencintai kebenaran dan seorang nabi. Baginda AS yang juga dikenali sebagai Amirul Sadiq menentang bapa dan kaumnya yang menyembah berhala. Untuk bercakap sesuatu yang benar, bukan mudah terutama dengan orang yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada kita. Nabi Ibrahim AS menegur bapanya secara berhikmah, hormat dan sopan untuk menyampaikan kebenaran. Baginda AS memanggil bapanya dengan ikhlas dan kasih sayang, ‘Ya abati’.

    Kesan Nabi Ibrahim AS mengasihi dan menghormati ibu bapa serta doa, menjemput rahmat ALLAH. ALLAH SWT Yang Maha Penyayang menganugerah zuriat dan keturunannya dalam kalangan para nabi seperti Nabi Ismail AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yaakub AS sehingga utusan terakhir, Nabi Muhammad SAW.

    Apabila kita mengharapkan keredaan dan mengutamakan ALLAH, ALLAH akan memberikan yang terbaik dalam hidup kita. Oleh itu, kita perlu sentiasa positif kepada ALLAH SWT dengan memperbanyakkan doa dan ibadah. Apabila berdoa, jangan mementingkan diri. Sebaliknya, kita berdoa untuk zuriat dan keturunan kita dan apa harapan kita.

    4. Kisah para nabi (ayat 51-57)

    ALLAH SWT menyebut beberapa orang nabi antaranya Nabi Musa AS sebagai orang terpilih, nabi dan rasul yang berbicara secara langsung dengan ALLAH. ALLAH dengan rahmat-NYA juga memilih saudara Nabi Musa AS, Harun sebagai nabi.

    Turut dinukilkan dalam Surah Maryam, Nabi Ismail sebagai nabi dan rasul benar-benar menepati janjinya dan diredai ALLAH.

    Baginda AS menyuruh keluarganya untuk mendirikan solat dan menunaikan zakat. Nama Nabi Idris AS turut dinyatakan oleh ALLAH dalam al-Quran sebagai nabi dan sangat mencintai kebenaran serta mendapat martabat yang tinggi.

    Kisah para nabi yang disebut oleh ALLAH adalah dalam kalangan mereka yang benar. Oleh itu, apa yang kita cakap, lakukan dan niatkan hendaklah benar berdasarkan al-Quran dan sunah. Kebenaran merupakan satu perjuangan untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan.

    PESERTA Jewels of Quran 10 mempelajari isi kandungan Surah Maryam pada program yang diadakan di IAIS Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    PESERTA Jewels of Quran 10 mempelajari isi kandungan Surah Maryam pada program yang diadakan di IAIS Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    5. Kisah alam akhirat (ayat 59-98)

    Al-Quran memberi panduan kepada kita tentang kepentingan iman dan hubungan kita dengan ALLAH. Orang yang mengabaikan solat dan mengikut hawa nafsu akan tersesat. Jika mereka bertaubat dan melakukan kebaikan, mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga ‘Adn.

    Sesungguhnya, janji ALLAH itu benar. Syurga ialah milik orang bertakwa. ALLAH SWT menanamkan rasa kasih sayang ke dalam hati orang beriman, manakala golongan kafir dan zalim akan dikumpulkan bersama syaitan ke neraka jahanam kerana mengingkari ALLAH. Mereka berasa dahaga dan tidak mendapat syafaat kecuali mereka patuh perintah ALLAH.

    Manusia sentiasa diuji dalam kehidupan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Oleh itu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk bertaubat dan memohon bimbingan ALLAH SWT untuk ke syurga selagi hayat masih ada. Kita juga bertanggungjawab untuk selamatkan ahli keluarga daripada api neraka.



    Sumber

  • Cuci peti ais seminggu sekali

    Cuci peti ais seminggu sekali

    KECANTIKAN dapur bukan sahaja dinilai dari aspek penggunaan kabinet berkualiti ataupun dekorasi mewah semata-mata, tetapi ia turut melibatkan kebersihan di segenap ruang tersebut.

    Bagaimanapun, menyentuh mengenai kebersihan, sebahagian besar individu lebih cenderung melakukan proses pembersihan secara ‘luaran’ seperti mop lantai dan mengelap kabinet sehingga mengabaikan yang tersembunyi.

    Satu daripada ialah kebersihan di dalam peti ais. Mungkin kita beranggapan bahawa kelengkapan dapur tersebut tidak perlu dititikberatkan kerana ia terlindung di sebalik pintu.

    Namun, tahukah anda ruang peti yang kotor dan tercemar dek sisi makanan ataupun sayuran layu, lembik dan busuk boleh menjejaskan kualiti udara di dalamnya.

    Justeru, pada edisi kali ini, Dapur berkongsi 10 tip mudah dan murah bagi memastikan kebersihan dan susun atur di dalam peti ais nampak kemas. Selamat mencuba!

    1. Cuci seminggu sekali

    Mencuci peti ais wajar dilakukan sekali seminggu bagi menghilangkan kesan kotoran dan bau yang kurang menyenangkan.

    Sebelum proses mencuci, kosongkan ruang di dalam peti ais mengikut rak. Kemudian kenal pasti baki makanan, bahan basah kering ataupun sayur-sayuran yang rosak dan perlu dibuang.

    Selepas itu, lap bahagian dalam peti sejuk dengan menggunakan kain bersih dan semburkan air yang dicampur cuka.

    Cuka ialah bahan cuci yang selamat digunakan dan pantas menanggalkan kotoran.

    2. Aroma daun pandan

    Selepas proses mencuci bagi mendapatkan bau harum ambil tiga helai daun pandan, ikat dan letak di dalam peti ais.

    3. Susun ikut rak

    Bagi memudahkan proses mengambil barang di dalam peti ais, susun bahan-bahan mengikut rak dan bahagian yang betul. Misalnya, letakkan telur di bahagian paling atas tepi pintu ais memandangkan ia mudah pecah jika terhempap dengan barangan lain.

    Sementara itu, pes cili, halia ataupun bawang pula disusun dengan kemas di rak pertama bagi memudahkan anda mengambilnya ketika memasak.

    4. Produk cecair

    Produk dalam bentuk pek atau tin yang telah dibuka elok dipindahkan ke dalam bekas atau botol kaca. Jangan sesekali simpan tin atau pek asal di dalam peti kerana bimbang berkulat hingga boleh merosakkan kualiti makanan.

    5. Susunan botol

    Botol sos tomato, kicap, sos tiram ataupun kordial elok disimpan di bahagian paling bawah tepi pintu.

    Pastikan sebelum disimpan semula di dalam peti sejuk lap sekeliling badan dan penutup botol bagi menghilangkan sisa kotoran dan mengelakkan kulat.

    6 Penyimpanan sayur

    Satu tip mudah adalah dengan menyimpan sayur di dalam bekas yang beralaskan tisu lembap. Asing atau potong sayur mengikut saiz pilihan sebelum disimpan di dalam bekas tersebut.

    Kaedah berkenaan membantu mengelakkan sayur-sayuran menjadi lembik dan cepat rosak.

    7. Barang basah

    Simpan daging, ayam atau makanan laut seperti ikan, udang dan sotong di dalam bekas bertutup atau plastik zip lock.

    Cara tersebut bukan sahaja mengekalkan kesegaran bahan basah, bahkan memudahkan proses menyimpan mengikut kategori dan membuatkan ruang sejuk beku tampak tersusun.

    8. Balut keju

    Bagi penggemar keju, elak menyimpan produk tersebut di dalam plastik kerana ia akan mendorong pertumbuhan kulat.

    Sebaik-baiknya balut keju menggunakan pembalut aluminium, tetapi jangan terlalu ketat dan longgar. Selain itu, pastikan anda membuat lubang kecil atas aluminium berkenaan untuk memberikan ruang udara.

    9. Guna bekas lut sinar

    Gunakan bekas lut sinar pelbagai saiz supaya mudah untuk mengenal pasti isi di dalam. Bagi mendapatkan pemandangan susunan yang cantik pilih bekas lut sinar berpenutup warna sama.

    10 Label

    Selain bekas lut sinar meletakkan label pada setiap bekas, botol atau pek plastik juga akan memudakan proses mengambil ketika memasak.



    Sumber