Blog

  • Rezeki tak ‘masuk’ jika tidur lepas subuh?

    Rezeki tak ‘masuk’ jika tidur lepas subuh?

    “JANGAN tidur selepas subuh, nanti rezeki tak ‘masuk’.”

    Kata-kata itu seringkali kita dengar daripada orang di sekeliling kita, bukan?

    Andai benar kata-kata itu, bagaimana pula mereka yang bekerja pada syif malam dan pulang pada waktu pagi? Adakah mereka tidak boleh tidur hanya hendak mendapatkan rezeki ‘masuk’ tadi?

    Jom kita ikuti kupasannya bersama pendakwah bebas dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed dalam segmen Kalam.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Begitu besarnya rahmat apabila bangun sebelum subuh)



    Sumber

  • Cara atasi masalah kaki berbau

    Cara atasi masalah kaki berbau

    MEMAKAI kasut lebih empat jam setiap hari akan menyebabkan kaki yang mempunyai sekurang-kurangnya 250,000 kelenjar peluh cenderung mengeluarkan lebih banyak peluh berbanding anggota badan lain.

    Situasi tersebut mengakibatkan kaki berbau busuk, apatah lagi dengan kehadiran bakteria dan sel kulit mati.

    Justeru, bagi membantu masalah kaki yang mengeluarkan bau kurang menyenangkan, peneraju bidang penghasilan bedak berubat Agnesia memperkenalkan Bedak Agnesia Foot Care.

    Produk baharu yang menggabungkan bahan-bahan semula jadi dan sintetik itu dirumus khas dengan Tri-Activ Botanical Complex. Ia terdiri daripada ekstrak akar bambusa arundinacea, ekstrak equisetum arvense, salvia officinalis dan klorheksidina.

    Kesemua bahan tersebut membantu membunuh hingga 99.9 peratus bakteria dan zink oksida berikutan tahap penyerapan lembapan yang tinggi.

    Pada masa sama, ia turut memastikan kaki sentiasa kering, mengecilkan bukaan liang dan bertindak sebagai agen penyahbauan.

    Menurut Penolong Pengurus Besar Apex Pharma (syarikat induk Agnesia), Ang Girl Bee, dengan adanya Bedak Agnesia Foot Care di pasaran diharapkan masalah kaki berbau dapat diatasi.

    “Tidak dinafikan sebahagian besar pengguna mencari-cari solusi terbaik dan bersesuaian untuk rejim kebersihan kaki mereka.

    “Oleh itu, jangan gusar kerana Bedak Agnesia Foot Care dapat membantu anda melangkah dengan yakin dan selesa,” katanya.

    INFO

    Bedak Agnesia Foot Care

    – Lokasi: AEON Wellness, Multicare, Big Farmasi dan farmasi-farmasi lain di seluruh negara

    – Harga: RM16.90



    Sumber

  • Bakat muda hargai Makanan Malaysia

    Bakat muda hargai Makanan Malaysia

    MENGANGKAT tema ‘Anda dan Maggi Membawa Kesan Positif Kepada Masakan Harian’, Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi 2019 (MSSCC 2019) berjaya meningkatkan kemahiran bakat muda beraksi di dapur.

    Peringkat akhir MSSCC 2019 di Ipoh, Perak baru-baru ini misalnya, peserta berusia antara 13 hingga 15 tahun diberi tugasan menyediakan hidangan berkonsepkan, Makanan Malaysia yang enak dan seimbang.

    Inisiatif itu secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta remaja khususnya mempelajari keistimewaan masakan dari negeri dan budaya masing-masing.

    Pada masa sama, ia memupuk minat memasak di rumah termasuk menggalakkan memilih menu sihat mengikut kiraan Suku Suku Separuh, 5 Warna Sehari dan Piramid Makanan Malaysia.

    Menurut Pegawai Eksekutif Perniagaan, Maggi Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna, acara tahunan MSSCC bukan sekadar pertandingan memasak.

    “Kami ingin memberi inspirasi kepada mereka (pelajar) supaya memasak di rumah, bijak membuat pilihan nutrisi dan mengaplikasi kemahiran serta pengetahuan dengan cara berbeza.

    “Pertandingan tahun ini telah menyaksikan sentuhan baharu iaitu Cabaran Masakan Kreatif yang menyaksikan peserta keluar daripada zon selesa, berfikiran inovatif dan mahir menyelesaikan masalah, sekali gus menghasilkan sajian enak,” katanya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

    Selain Geetha, peserta MSSCC 2019 turut diadili barisan juri lain seperti Duta Maggi Cukup Rasa, Datin Paduka Eina Azman, Cef Korporat Nestle Malaysia, Cef Abdul Muluk dan Ketua Program Seni Kulinari Kolej Vokasional Kuala Kangsar, Perak, Norliza Yahaya.

    Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura Dungun, Terengganu, Wan Najmiatul Fadhilah Wan Zailany dan Siti Nurliana Muhamad Nazri, masing-masing berusia 15 tahun dinobatkan sebagai juara.

    Mereka membawa pulang Piala MSSCC dan wang tunai sebanyak RM3,000 selepas berjaya menambat hati juri dengan sajian Sata Udang Sos Lemak Cili Api dan Pasembur Chutney.

    Sementara itu, tempat kedua memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 manakala RM1,000 untuk tempat ketiga.



    Sumber

  • Jaga kesihatan, kebersihan kucing

    Jaga kesihatan, kebersihan kucing

    PAKAR veterinar, Dr Nurul Hafizah Abu Jazid menjelaskan, apabila seseorang itu memutuskan untuk membela kucing sama ada yang dibeli di kedai haiwan ataupun dikutip di jalanan maka mereka perlu bersiap siaga daripada pelbagai aspek.

    Tutur beliau, menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan bermakna tanggungjawab dipukul sama seperti kita menjaga dan menyayangi anak sendiri. Ia berikutan si comel berkenaan mempunyai emosi, perasaan dan karakter tersendiri yang wajar diberi perhatian.

    NURUL HAFIZAH

    NURUL HAFIZAH

    “Peringkat permulaan, wajar mencari ilmu mengenali habitat, pemakanan, gaya hidup, jenis dan baka haiwan ini supaya dapat menyediakan keperluan bersesuaian.

    “Sebelum dibawa pulang ke kediaman langkah terbaik adalah berjumpa pakar veterinar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin.

    “Langkah ini demi mencegah pelbagai penyakit yang boleh membawa kemudaratan bukan sahaja kepada manusia, bahkan haiwan itu sendiri,” jelasnya ketika dihubungi Femina baru-baru ini.

    Tambah beliau, keperluan vaksin adalah bergantung pada umur, gaya hidup dan hari pertama ia diambil oleh pemilik. Selain itu, jumlah suntikan pula diberi mengikut dos ditetapkan.

    Berbicara mengenai penyakit kucing, Nurul Hafizah memaklumkan agar berwaspada sekiranya haiwan itu mengalami jangkitan Sporotrichosis atau Toksoplasmosis.

    “Sporotrichosis misalnya, merupakan penyakit kulat Sporo yang masuk ke dalam badan kucing melalui luka atau mulut. Penyakit ini lazimnya memberi kesan buruk sekiranya kucing dijangkiti mencakar atau menggigit manusia.

    “Jika anda berdepan situasi ini (digigit, dicakar), dapatkan rawatan doktor dalam kadar segera bagi mengelakkan penyakit itu merebak,” ujarnya yang turut menasihatkan supaya sangkar atau tempat tinggal kucing sentiasa berada dalam keadaan bersih.

    Beliau juga menyatakan, jenis makanan atau suplemen yang diberikan harus mengikut kesesuaian haiwan berkenaan memandangkan setiap kucing mempunyai keperluan berbeza-beza.

    Tip membela kucing

    – Kenal pasti kemampuan diri. Bijak memperuntukkan masa untuk bermain bersama bagi mengelakkan kucing tidak berasa terbiar.

    – Banyakkan membaca untuk mengenali sifat, perasaan, jenis atau baka sebelum memelihara kucing.

    – Bawa kucing berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit berbahaya.

    – Rujuk doktor untuk mengenal pasti makanan tambahan atau suplemen bersesuaian dengan kondisi kesihatan kucing.

    – Elakkan memberi makanan bergoreng kerana ia boleh menyebabkan bulu kucing gugur.

    – Pastikan sangkar tidak terlalu sempit bagi memudahkan haiwan berkenaan bergerak.

    – Sentiasa bersihkan tempat dan menukar pasir sekurang-kurang dua kali sehari.



    Sumber

  • Bahagia bersama si comel

    Bahagia bersama si comel

    BELON berwarna-warni pelbagai bentuk seperti bunga, hati (love) dan haiwan diletakkan di dalam bekas di satu sudut kafe khusus buat pengunjung yang membawa anak-anak kecil.

    Di tepi bekas belon berkenaan pula terdapat sekeping papan tanda hitam kecil yang tertera ayat ringkas.

    ‘Ambil belon dan derma seikhlas hati untuk bantu kucing jalanan. Tq’. Tulis ‘Mama Pinky’, si badut wanita.

    Nazirah Abd Rahman, 42, seorang perunding kecantikan sanggup melakukan kerja sambilan sebagai badut di Konda Kondi Cafe, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, Perak pada setiap hujung minggu.

    MAMA PINKY sanggup melakukan kerja sampingan sebagai badut demi mencari duit poket untuk menyara puluhan kucing jalanan dan peliharaan. Foto: BERNAMA

    MAMA PINKY sanggup melakukan kerja sampingan sebagai badut demi mencari duit poket untuk menyara puluhan kucing jalanan dan peliharaan. Foto: BERNAMA

    Kelibat Nazirah atau lebih dikenali panggilan Mama Pinky tepat pukul 9 malam adalah untuk mencari duit poket tambahan bagi menyara 50 si comel berbulu yang dipeliharanya bermula tiga tahun lalu.

    Lazimnya, sebaik selesai tugas sebagai perunding kecantikan di bandar Ipoh, Nazirah akan menyarungkan kostum badut berwarna merah jambu dan solekan berkonsep ceria.

    Menurut Nazirah, ilmu kemahiran menyolek persis badut dan kreativiti menggubah belon dipelajari melalui laman sosial Youtube, badut ‘Piweet dan ‘Bobo’ daripada komuniti ‘Kami Clown’ di Taiping, Perak.

    Matlamat utama Mama Pinky, ingin menarik perhatian sebagai penghibur dan berharap pengunjung menghulurkan sumbangan secara ikhlas.

    Gelagat Mama Pinky yang sentiasa mengukirkan senyuman ternyata menghiburkan pelanggan, apatah lagi disusuli aksi mencuit hati.

    Malangnya, langit tidak selalunya cerah, meskipun belon diambil, namun adakalanya sumbangan tidak dihulurkan. Bagaimanapun, beliau tetap mengukirkan senyuman dan tabah kerana niat ikhlas Mama Pinky adalah untuk membantu kucing dan anjing jalanan. Duit poket lebihan itu akan digunakan untuk membeli makanan baik untuk kucing jalanan mahupun yang dibelanya.

    Didikan ibu bapa agar sentiasa menyayangi haiwan menyebabkan wanita kecil molek itu begitu kasih dan sayang terhadap haiwan tanpa mengira fizikal.

    Kini Nazirah membela sebanyak 50 ekor kucing di rumahnya di Batu Gajah, Perak. Ada yang diambil dari beberapa pejabat veterinar setelah ditinggalkan pemilik.

    Bukan itu sahaja, Nazirah juga sanggup menaiki motosikal setiap malam tanpa mengira waktu untuk singgah di Pasar Pinji di Ipoh semata-mata untuk memberi makan kucing dan anjing berkeliaran di sekitar pasar berkenaan.

    “Mama risau kalau tidak singgah situ, semua kucing tetap tunggu. Ada seekor kucing berwarna putih tompok-tompok hitam pun dah bersedia tunggu Mama kat pasar itu.

    “Jadi biar apapun, Mama akan singgah untuk beri makanan.

    “Jika kucing sakit pula Mama selalu hantar ke Ipoh Garden Animal Clinic, Jean Veterinary Centre dan Klinik Haiwan Menglembu mengikut keadaan dan jenis kesakitan,” katanya ketika ditemui Bernama. Beliau sanggup mengeluarkan kos makanan antara RM400 dan RM500, perbelanjaan ditanggungnya belum termasuk kos rawatan di klinik.

    Tambah Nazirah, tiga anak lelakinya Muhd Nur Zikry Azamuddin, 23, Muhd Nur Aqil Naqimuddin, 22, dan Muhd Nur Danial Hafizuddin berusia 20 tahun turut dididik mencintai haiwan.

    “Anak-anak Mama pun sayang kucing. Mereka rajin membawa ke veterinar kalau kucing sakit semasa Mama bekerja. Jika jumpa kucing jalanan yang sakit mereka akan bawa balik untuk dirawat dan kalau mati akan dibawa pulang untuk ditanam,” tuturnya.

    Tabah dan Tuah Ramadan

    Bicara anak kedua daripada lima beradik itu ‘Tabah’ yang berbulu jingga merupakan kucing pertama menawan hati beliau.

    “Tabah, kucing jantan yang Mama jumpa ketika merayau-rayau di pasar raya Ipoh Parade dalam keadaan comot, busuk dan kaki kanan berulat. Mama ambil dan bawa ia untuk rawatan doktor,” jelasnya yang bersimpati dengan nasib Tabah apabila kaki terpaksa dipotong.

    Nazirah berkata, walaupun menghabiskan banyak wang untuk kos rawatan, namun beliau gembira melihat Tabah yang semakin sembuh, cergas dan bersemangat.

    Namun, umur Tabah tidak panjang kerana mati akibat Leukemia pada bulan November tahun lalu.

    Selepas kematian Tabah, dek terlampau cinta dan kasih terhadap haiwan comel tersebut, Nazirah sanggup datang ke ibu negara untuk mengambil anak kucing yang putus kedua-dua tangan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cheras, Kuala Lumpur kerana tersepit di dalam enjin sebuah trak forklift.

    “Mama terbaca berita mengenai kucing terbabit dan terus membuat keputusan untuk mengambil dan menjaganya,” luah beliau.

    “Kucing yang saya namakan ‘Tuah Ramadan’ itu diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn di Balakong, Cheras,” katanya yang turut mengambil kucing peliharaan yang ditinggalkan pemilik akibat sakit di Pejabat Veterinar Bukit Minyak, Seberang Perai, Pulau Pinang.

    Harapkan perlindungan Nazirah menyifatkan masyarakat seharusnya mempunyai perasaan belas kasihan terhadap haiwan jalanan dan peliharaan kerana ia mengharapkan perlindungan dan makanan daripada manusia.

    “Kita perlu menganggap haiwan kesayangan sebahagian daripada keluarga dan bukan atas nama haiwan. Jaga ia hingga ke akhir hayat. Jika sakit bawa ke klinik untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Beliau juga meminta masyarakat agar tidak meninggalkan kucing peliharaan di jalanan kerana haiwan itu sukar berdikari.

    “Sebelum ini, mereka ada tuan yang menguruskan makanan dan tempat tinggal. Tindakan meninggalkan kucing belaan di pasar atau kedai makan amat tidak selamat untuk haiwan, ia sangat bahaya,” tegasnya.

    Opie cari rumah selesa

    Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kebajikan si comel, Che Wan Sofiatul Shima Wan Chik antara pencinta kucing yang sentiasa menitikberatkan aspek keselesaan secara holistik.

    OPIE cukup menyayangi Ville Valo Maulana kucing pertama yang dipeliharanya bermula pada 12 tahun lalu.

    OPIE cukup menyayangi Ville Valo Maulana kucing pertama yang dipeliharanya bermula pada 12 tahun lalu.

    Bicara wanita berusia 39 tahun tersebut, acap kali berpindah kediaman beliau akan memastikan reka bentuk, bahagian, sistem pengudaraan dan persekitaran di rumah baharu bersesuaian dengan kondisi kucing peliharaannya.

    “Sedekad lalu, saya memiliki 55 ekor kucing. Tapi sejak dua tahun kebelakangan ini, ia berkurangan hingga 15 ekor sahaja. Ada mati kerana sakit dan dihadiahkan juga kepada sahabat.

    “Tanggungjawab menjaga puluhan kucing bukan tugas mudah, namun ia sedikitpun tidak membebankan. Sebab itu, apabila berpindah saya akan memastikan rumah baharu serasi dan selesa dengan keadaan Ville Valo Maulana, Apple, Tompok dan rakan-rakan,” jelasnya ketika ditemui Femina di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Tutur wanita yang mesra disapa Opie itu, haiwan kesayangannya menikmati makanan jenis kering sebanyak tiga kali sehari. Setiap pagi sebelum keluar bekerja beliau akan membersihkan sangkar dan kotak pasir yang dikotori najis termasuk mengisi bekas air mencukupi bagi mengelakkan kucing peliharaannya kehausan.

    “Selain itu, saya turut melakukan pemeriksaan fizikal bagi mengesan luka, koyak atau kecederaan. Maklumlah, apabila tiada rumah macam-macam boleh berlaku. Minggu lalu misalnya, seekor kucing saya mengalami kedudukan rahang terganjak kerana terjatuh ketika bermain.

    “Sedarpun apabila bunyi mengiaunya berbeza dan tidak lalu makan. Kemudian, ia menjalani imbasan X-ray, dan terpaksa dirawat di klinik selama seminggu,” ujarnya yang tidak kisah berbelanja ribuan ringgit, asalkan kucing-kucing kesayangannya tinggal di persekitaran yang baik, kesihatan terjaga dan menikmati makanan berkhasiat.

    Dalam pada itu, Opie turut menyifatkan kucing ialah haiwan peliharaan yang sarat dengan kasih sayang dan bijak menjentik emosi kebahagiaan.

    “Tatkala mempunyai masalah, saya selalu berkongsi bersama ‘sahabat baik’ Ville Valo Maulana, kucing peliharaan yang dibela sejak 12 tahun lalu.

    “Memeluk dan berkomunikasi dengannya membantu mengurangkan kedukaan. Keletahnya sentiasa mencuit hati dan gemar baring di atas sejadah apabila mendengar alunan ayat al-Quran,” bicara anak kelahiran Kuantan, Pahang tersebut.



    Sumber

  • Boeing 737 MAX 10 diperkenalkan

    Boeing 737 MAX 10 diperkenalkan

    BOEING memperkenalkan pesawat 737 MAX 10 pertamanya, varian terbesar kumpulan MAX di kilang syarikat itu di Renton, Washington.

    Pesawat 737 MAX 10 boleh menampung sehingga 230 penumpang dan menawarkan kos perbatuan tempat duduk terendah dalam mana-mana pesawat satu lorong yang pernah dihasilkan, dan pesawat itu akan menjalani pemeriksaan sistem dan pengendalian enjin sebelum penerbangan pertamanya pada tahun depan, menurut Boeing dalam kenyataan hari ini.

    “Pesawat 737 MAX 10 pada masa ini mempunyai lebih 550 tempahan dan komitmen daripada lebih 20 pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

    Naib Presiden dan Pengurus Besar program 737, Mark Jenks berkata, tumpuan berterusan pasukan itu terhadap keselamatan dan kualiti menunjukkan komitmen Boeing kepada pelanggan dan penumpangnya.

    “Hari ini bukan hanya mengenai pesawat baharu. Ia mengenai mereka yang menghasilkan, membina dan menyokongnya,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Anugerah Pereka Dalaman IJM Land

    ILDA-IJM Land Designer Awards

    Pemaju Seremban 2,IJM Land Berhad (IJM Land) telah mengumumkan pemenang bagi Anugerah Pereka Hiasan Dalaman IJM Land (iLDA) 2019. Penyertaan yang dibuka kepada  orang ramai beberapa bulan lalu telah menarik lebih 300 pereka. Penganjuran kali kedua ini merupakan rentetan kejayaan anugerah kali pertama pada tahun 2016 yang berjaya mengumpulkan 200 orang peserta.

    Matlamat Anugerah Pereka Dalaman IJM Land (ILDA-IJM Land Designer Awards) 2019  untuk mengiktiraf pereka bentuk dalaman muda terbaik di Malaysia.  Hasrat IJM Land ini membolehkan pereka bentuk dalaman muda untuk mengembangkan idea Dan perspektif mereka serta menyokong pembangunan komuniti pereka bentuk dalaman dengan menggalakkan para pereka muda supaya menepati keperluan industri dan bergerak ke tahap piawaian antarabangsa.

    Tema pertandingan untuk Kali ini adalah ‘Keluarga Moden dan Ruang’.
    Kemampuan pereka mengolah cara bagaimana menawarkan ruang yang selesa kepada anggota keluarga untuk mereka menikmati masa sendiri, dan pada masa sama memiliki ruang kegunaan bersama yang cukup untuk seisi keluarga.

    Panel juri ILDA telah menyenarai pendek  20 pereka bentuk dalaman terbaik bagi menghias rumah yang bertepatan dengan tema. Peserta kemudian berpeluang menyertai lawatan industri dan memperoleh pengalaman mengenai selok-belok pembinaan dan renovasi serta pengetahuan industri yang lebih mendalam dan  khidmat nasihat daripada pakar.
    Setelah itu peserta diberi masa 20 hari untuk melengkapkan rekaan dan membentangkan idea rekaan mereka kepada panel juri.


    Dua pereka terbaik telah dipilih ke peringkat akhir pertandingan. Dua pereka ini perlu membuat kerja ubah suai, merealisasikan rekaan dan implementasi idea ke dalam satu unit setiap pereka di unit kediaman kosong  di Apartmen Eksekutif Kalista 2 di Seremban 2.  Unit itu kemudiannya dinilai oleh juri, orang ramai dan pihak media bagi menentukan rekaan yang terbaik.


    Peruntukan RM150,000 untuk setiap finalis disumbangkan penaja berkenaan digunakan sebagai kelengkapan rekaan dalaman untuk dua unit kediaman apartment tersebut.

    Barisan penaja perandingan terdiri daripada iaitu Signature Kitchen Sdn Bhd, Inovar Resources Sdn Bhd dan lain-lain.


    Pemenang iLDA2019 dipilih berdasarkan penilaian daripada juri, undian orang ramai dan pihak media telah dimenangi oleh Lee Jun Yan dari Reno Bros. Pemenang Anugerah Emas ILDA 2019 telah menerima tunai RM20,000, manakala pemenang Anugerah Perak, Boon Zi Yang telah menerima RM10,000.

  • AirAsia yakin pertumbuhan 2020

    AirAsia yakin pertumbuhan 2020

    AIRASIA Group Bhd yakin akan pertumbuhan perniagaannya pada 2020 walaupun permintaan perjalanan yang perlahan selain halangan ekonomi serta protes berterusan di Hong Kong.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat itu telah berkembang lebih 20 tahun sejak penubuhan syarikat penerbangan tambang rendah itu dan akan tetus menawarkan harga berpatutan.

    “Berjalan sudah menjadi suatu keperluan. Orang pergi bercuti, orang mahu berhijrah untuk bekerja. Unjuran saya kekal positif. Kami melihat lebih banyak pertumbuhan, itu sebab kami membeli 300 pesawat.

    “Kami sangat yakin,” katanya kepada pemberita selepas menyambut airbus A321neo pertama AirAsia dari Hamburg, Jerman di sini hari ini.

    Turut hadir, Menteri Pelancongan Datuk Mohamaddin Ketapi.

    Awal tahun ini, AirAsia mengubah 253 pesanan untuk A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar dengan sejumlah 353 pesawat ditempah menjadikannya sebagai antara pelanggan terbesar di dunia untuk A321neo.

    Pesawat itu kini merupakan pesawat pertama jenis itu yang beroperasi di Malaysia.

    A321neo yang merupakan barisan keluarga Airbus A320 paling laris, menggabungkan teknologi terkini, seperti enjin generasi baharu dan Sharklets yang bersama-sama menyediakan penjimatan bahan api sebanyak 10 peratus.

    Fernandes berkata, pesawat baharu itu membolehkan AirAsia membakar bahan api secara lebih mampan.

    “Keuntungan akan meningkat. Kami menunggu keputusan yang kukuh pada 2020,” katanya.

    Ditanya sama ada kumpulan itu merancang untuk mengapung unitnya di Filipina, Fernandes berkata, ia akan menunggu penilaian yang adil.

    “Filipina adalah ‘berlian’ yang belum digilap kerana kedudukannya di sempadan China dan Taiwan dan penghubung utama di timur Amerika. Prestasi kami baik dan tidak mahu menjual pada kadar rendah,” katanya.

    Unit AirAsia Filipina menangguhkan tawaran awam permulaan ke tahun tahun depan atau 2021 sementara ia memberi tumpuan kepada penyusunan semula korporat dan mencari dana daripada pemegang saham sedia ada.

    Syarikat penerbangan tambang rendah itu merancang menjadi syarikat awam dan mengumpul kira-kira AS$200 juta sejak 2015, namun menangguhkan pelan itu beberapa kali ekoran kedudukan pasaran yang lemah dan harga minyak yang tidak menentu.

    Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamaddin berkata, penyambungan penerbangan yang semakin meningkat dari destinasi lain ke Malaysia merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan ketibaan pelawat ke Malaysia bagi memenuhi matlamat Tahun Melawat Malaysia 2020.

    “AirAsia telah memberi sumbangan ketara ke arah pertumbuhan pelancongan di Malaysia dan lebih lagi menerusi penambahan AirAsia A321neo ke dalam kumpulan pesawatnya dengan tambahan 50 tempat duduk berbanding Airbus A320 yang digunakan AirAsia sekarang,” katanya.

    AirAsia akan menggantikan pesawat A320 dan A320neo sedia ada dalam keseluruhan rangkaian yang meliputi Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

    Menggunakan 236 kerusi peningkatan kapasiti sebanyak 27 peratus berbanding pesawat A320 (180 kerusi) dan A320neo (186 kerusi), A321neo akan dapat memenuhi permintaan yang berterusan dalam seluruh rangkaian, dengan kecekapan operasi yang ketara serta membuka peluang untuk meneroka destinasi baharu, dengan lebih daripada 10 peratus penjimatan bahan api.

    Kumpulan AirAsia kini mengendalikan kumpulan pesawat Airbus dari habnya di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun. – Bernama



    Sumber

  • ASNB gesa pemegang unit kemas kini maklumat peribadi

    ASNB gesa pemegang unit kemas kini maklumat peribadi

    PEMEGANG unit Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) diminta mengemas kini butiran peribadi masing-masing di mana-mana cawangan atau ejen jika belum melakukannya sebelum ini.

    Dalam kenyataan hari ini, ASNB, cabang pengurusan unit amanah Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, ia melaksanakan syarat mandatori ke atas pemegang unit untuk mengemas kini butiran masing-masing mulai 11 Nov, 2019.

    Beliau berkata, pemegang unit perlu mengemas kini butiran peribadi mereka, termasuk nombor telefon, alamat, pekerjaan dan pendapatan bulanan, yang hanya boleh dilakukan di cawangan atau ejen ASNB bagi mengelakkan kemungkinan penipuan, terutama berkaitan penipuan identiti.

    Mereka yang mempunyai akaun portal myASNB juga akan diminta untuk mengemas kini butiran peribadi mereka semasa log masuk ke portal.

    ASNB berkata, langkah itu selaras dengan keperluan pengawalseliaan industri untuk memastikan butiran peribadi sentiasa dikemas kini untuk melindungi data peribadi dan maklumat urus niaga.

    Keperluan ini juga bertujuan memastikan ASNB mempunyai pangkalan data pemegang unit yang lengkap dan terkiniyang merupakan sebahagian daripada usaha ASNB untuk terus menyediakan produk dan perkhidmatan yang relevan kepada pemegang unit.

    “Pemegang unit yang telah memperbaharui butiran peribadi mereka juga boleh menggunakan kemudahan dalam talian percuma yang kami tawarkan melalui portal myASNB (www.myasnb.com.my),” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin.

    Beliau berkata, portal itu membolehkan pemegang unit membuat pelaburan tambahan, menyediakan pelaburan bulanan secara automatik melalui Auto Labur dan melihat transaksi terbaru serta baki akaun.

    Di samping itu beliau berkata, menerusi pangkalan data yang dikemas kini, ASNB akan dapat mengesan transaksi mencurigakan dan melindungi akaun.

    Mohammad berkata, pelaksanaan program kemas kini perincian peribadi boleh mengakibatkan masa transaksi yang lebih lama di cawangan atau ejen ASNB.

    “Ini kerana pegawai kami perlu mengemas kini dan mengesahkan data peribadi pemegang unit secara tepat masa untuk diluluskan oleh para pemegang unit sendiri bagi memastikan tidak ada aktiviti penipuan oleh pihak ketiga.

    “Kami mendokong serius kewajipan kami sebagai penjaga pelaburan anda dan proses ini akan memastikan tahap perlindungan tertinggi ke atas data pemegang unit,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Lala daun kucai Cef Naem

    Lala daun kucai Cef Naem

    BAHAN-BAHAN

    – Lala 500gram

    – Cili merah 2 tangkai

    – Daun kucai 20gram

    – Sos tiram 1 sudu

    – Bawang merah 1 biji

    – Bawang putih 2 biji

    – Sedikit air

    CARA-CARA MEMASAK

    1) Tumis bawang merah, bawang putih dan cili merah sehingga garing.

    2) Masukkan air dan sos tiram. Biarkan mendidih.

    3) Selepas itu, masukkan lala bersama daun kucai.

    4) Biar ia masak sekurang-kurangnya dua minit.

    5) Siap untuk dinikmati bersama nasi putih.

    CEF NAEM

    CEF NAEM

    Sumber: Instagram @chefnaem



    Sumber