Blog

  • Ismalia timba ilmu keusahawanan menerusi PACBE

    Ismalia timba ilmu keusahawanan menerusi PACBE

    MESKIPUN kedai kek dan roti diusahakan sebelum ini gagal disebabkan kemelut rumah tangga yang dihadapi, namun ia bukan titik noktah buat seorang ibu tunggal lapan anak.

    Ismalia Ismaon, 38, mendapat sinar baharu setelah menyertai program Pusat Cakna Bangun Ekonomi (PACBE) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang memberikannya suntikan untuk bangkit semula.

    Biarpun hanya menjalankan perniagaan cream puff, coklat moist dan biskut menggunakan jenama Miszlea Oven di rumah ibunya di Jelatek, Kuala Lumpur, wanita cekal itu mampu menjana pendapatan kasar mencecah RM4,000 sebulan.

    “Sebelum ini saya tidak pernah tahu mengenai program PACBE dan hanya mengetahuinya melalui grup WhatsApp sekitar pertengahan tahun ini.

    “Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya terus mendaftar kerana berasakan ini peluang terbaik untuk saya bangkit semula demi anak-anak. Saya sertai ‘Bisnes Make Over’ bawah JPW dan daripada beberapa saringan saya terpilih sehingga memasuki peringkat akhir dalam satu pertandingan.

    “Dalam pertandingan buat kek dan pastri Julai lalu, saya mendapat tempat kedua dengan membawa pulang hadiah bernilai RM1,800, ” katanya kepada Femina.

    CREAM puff Ismalia yang mendapat tempahan ramai.

    CREAM puff Ismalia yang mendapat tempahan ramai.

    Ismalia menggunakan peluang yang diberikan PACBE untuk menimba ilmu keusahawanan merangkumi pelbagai aspek, termasuk berkenaan logo.

    “Saya turut diberikan pendedahan berkaitan kepentingan jenama untuk pemasaran selain berpeluang menyertai pelbagai kursus dan program bersama usahawan berjaya,” katanya.

    Menyentuh mengenai perancangan masa depan katanya, dalam tempoh setahun akan datang dia merancang untuk memiliki premis perniagaan.

    “Cari juga mencari peluang menyertai pelbagai kursus berkaitan untuk terus menimba ilmu bagi memajukan diri,” jelasnya.

    KEK coklat moist.

    KEK coklat moist.



    Sumber

  • Produk ENNA pilihan terbaik

    Produk ENNA pilihan terbaik

    PRODUK makanan sejuk beku atau frozen food sememangnya banyak di pasaran tetapi daripada segi kualiti, rasa dan harga tentunya berbeza serta mungkin tidak memenuhi keperluan pengguna Islam di negara ini.

    Bagaimanapun, produk jenama ENNA keluaran Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) bukan sahaja dijamin kualitinya dengan kelembutan, kesedapan dan kemanisan rasa, malah tidak perlu diragui kerana mendapat persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    Produk-produk itu juga bersatus Good Manufacturing Practice (GMP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Produk jenama ENNA sudah berada di pasaran di lebih 100 lokasi jualan termasuk sekitar kawasan Lembah Klang, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah.

    Tidak ketinggalan, produk ikan segar beku QFISH Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dibekukan menggunakan teknologi IQF (Individual Quick Freezing).

    Pengurus Besar Nekmat, Azrin Shah Ismail berkata, Nekmat mengorak langkah berkecimpung dalam bidang pemprosesan dan pembuatan serta pemasaran produk sejuk beku bagi meningkatkan pembangunan ekonomi nelayan di samping memenuhi keperluan pengguna terutamanya masyarakat beragama Islam di negara ini.

    “Nekmat juga membangunkan sebuah kilang proses hasil perikanan di Puchong, Selangor. Buat masa ini kita ada empat produk di bawah jenama ENNA iaitu jejari ikan, nuget ikan, keropok lekor dan nuget ayam.

    “Harga ditawarkan pula setanding kualiti diberikan kepada pengguna iaitu antara RM6.50 hingga RM12.50 sebungkus bergantung kepada berat.

    “Selain ENNA, kita turut memasarkan QFISH menerusi LKIM iaitu produk ikan segar sejuk beku seperti kembung, selar, selayang, pelaling, tilapia, keli dan cencaru yang cuma dijual RM10 setiap pek seberat satu kilogram,” katanya ketika ditemui di pejabat Nekmat di sini baru-baru ini.

    Menurutnya, inisiatif itu selaras seruan kerajaan bagi membantu rakyat menurunkan kos sara hidup.

    “Purata jualan bulanan bagi QFISH sahaja paling kurang 15 tan. Keistimewaan QFISH ialah kualitinya adalah sama dengan ikan segar kerana dibekukan guna teknologi IQF dan boleh disimpan selama enam bulan berbanding ikan segar yang lebih cepat rosak.

    Nekmatbiz platform pasar produk Nekmat

    Menyentuh mengenai corak pemasaran, Azrin Shah berkata, pemasaran dilakukan dalam beberapa cara termasuk memasuki rangkaian pasaran kedai, koperasi atau pasar raya ‘halal mart’, promosi di tapak-tapak ekspo dan platform jualan atas talian iaitu nekmatbiz.com.my yang diperkenalkan Julai tahun ini.

    Katanya, selain memperluaskan jaringan pemasaran secara konvensional pihaknya kini memfokuskan ke arah menguatkan jenama di media sosial termasuk menggunakan khidmat instafamous untuk meningkatkan jualan produk keluaran ENNA dan QFISH.

    Menurutnya, jumlah jualan keseluruhan meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus sebulan selepas wujudnya nekmatbiz.

    “Pembelian ikan segar juga boleh dilakukan tetapi buat masa ini penghantaran hanya sekitar kawasan Lembah Klang sebagai perintis.

    “Menerusi Nekmatbiz, kita memasarkan tiga cabang utama iaitu produk sejuk beku jenama ENNA, ikan segar beku QFISH serta ikan segar,” katanya.

    Beliau berkata, pelanggan boleh menempah secara atas talian dan mereka akan dihubungi bagi penghantaran mengikut kesesuaian masa.

    “Pembeli juga boleh buat permintaan untuk siang ikan segar itu terlebih dahulu,” katanya.

    Kolaborasi bersama 50 persatuan nelayan

    Nekmat masih dalam tempoh percubaan di Lembah Klang untuk melihat kelemahan atau kekurangan yang mungkin ada untuk diperbaiki.

    Azrin Shah berkata, pihaknya merancang memperluaskan pasaran produk awal tahun hadapan dengan memasuki pasaran di seluruh Semenanjung.

    Beliau berkata, pihaknya bakal berkolaborasi bersama lebih 50 persatuan nelayan kawasan di Semenanjung bagi membantu Nekmat, sekali gus meningkatkan jualan.

    Katanya, kerjasama itu juga membolehkan pengguna lebih mengenali produk jenama ENNA dan QFISH yang berkualiti, enak dan berkhasiat.

    Menurutnya, platform Nekmatbiz tidak hanya memudahkan pengguna tetapi turut memberi manfaat kepada kumpulan sasar iaitu nelayan.

    Azrin Shah berkata, keuntungan dapat dijana untuk menyalurkan dividen selain Nekmat turut menyediakan peluang latihan kepada anak-anak nelayan termasuk menjalani praktikal berkaitan dan berhubung perkara itu pihaknya juga kerjasama dengan Bahagian Latihan Kementerian Pertanian.

    Azrin Shah menerangkan fungsi dan peranan Nekmat serta produk sejuk beku jenama ENNA termasuk ikan segar. - FOTO ZAHID IZZANI

    Azrin Shah menerangkan fungsi dan peranan Nekmat serta produk sejuk beku jenama ENNA termasuk ikan segar. – FOTO ZAHID IZZANI

    Perkenal dua produk baharu 2020

    Nekmat merancang mengeluarkan dua produk baharu iaitu bebola ikan dan burger pada tahun hadapan.

    Azrin Shah berkata, produk bebola ikan sering mendapat pertanyaan dalam kalangan pelanggan, sekali gus menunjukkan sudah ada permintaan terhadapnya.

    “Selain tampil dengan produk baharu tentunya kita juga ingin pastikan jenama ENNA dan QFISH lebih dikenali dan menjadi pilihan pengguna seluruh tanah air.

    “Ada dalam kalangan pembeli yang tidak makan ikan tetapi boleh menikmati produk-produk sejuk beku jenama ENNA. Ada yang tidak begitu percaya ia dihasilkan berasaskan ikan kerana rasanya yang enak dan lembut,” katanya.

    Azrin Shah berkata, Nekmat berkolaboratif bersama agensi lain dalam pelbagai aspek termasuk promosi, khidmat nasihat dan meningkatkan kesedaran pengguna berhubung kualiti QFISH yang sebenarnya setanding ikan segar memandangkan masih ada segelintir pihak berpendapat produk ikan segar beku tidak berkualiti.

    “Antara pihak atau jabatan terlibat sudah tentunya LKIM yang banyak membantu daripada segi program kesedaran mengenai QFISH, Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Pertanian, Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang membantu dalam aspek sistem penentuan lokasi ikan,” katanya.

    Sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 pada 28 November hingga 1 Disember depan di Angsana Johor Bahru Mall, promosi hebat menanti pengunjung seperti ikan segar beku QFISH berharga RM25 untuk tiga pek, produk sejuk beku ENNA ditawarkan pada harga RM20 bagi dua pek pembelian nuget ikan, jejari ikan dan nuget ayam seberat 850 gram.

    Produk jenama ENNA boleh didapati di My Farm Outlet, Putrajaya; Az-Zain Rawang; Pasaraya Kobeta Mart, Batu Caves; Barakah Halal Mart, Taman Tropika Kajang; Qawwy Enterprise, Tangkak Johor; Pertubuhan Peladang Kawasan Gerik; Pantai Remis Fres Mart, Seri Iskandar Perak; Persatuan Nelayan Negeri Sembilan; Koperasi Amal Infak, Kuala Lipis Pahang dan Pasaraya Istafa Sdn Bhd di Alor Setar, Kedah.

    Maklumat lanjut boleh didapati di Facebook persatuannelayankebangsaan, Twitter dan Instagram nekmat_kl.



    Sumber

  • Waswas terkena bekas tapak kaki anjing

    Waswas terkena bekas tapak kaki anjing

    ADAKALANYA anjing jalanan berkeliaran berhampiran kawasan perumahan kita.

    Sekali-sekala rumah kita pun barangkali menjadi lokasinya untuk ‘beristirahat’.

    Situasi itu pastinya mendatangkan rasa waswas dalam diri kita.

    Apa tidaknya, haiwan itu termasuk sebagai najis mughallazah atau najis berat.

    Walaupun tidak menyentuhnya, perlukah menyamak kasut atau selipar kita yang terkena atau terpijak bekas tapak kaki anjing?

    Jom ikuti kupasannya bersama pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki dalam segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Samak kasut bila terpijak bekas tapak kaki anjing?)



    Sumber

  • Kes sakit mental lelaki kerap gagal dikesan

    Kes sakit mental lelaki kerap gagal dikesan

    KES Kesihatan mental dalam kalangan lelaki adalah tinggi tetapi kerap tidak dikesan kerana lelaki tidak menunjukkan simptom dan tanda kepada masyarakat.

    ​Ia berbeza berbanding wanita. Pengurusan kesihatan mental lelaki memerlukan pendekatan sensitif-jantina yang membantu lelaki untuk berfikiran lebih terbuka.

    Selain daripada itu, cabaran terbesar adalah stigma masyarakat berhubung stereotaip negatif kepada individu dengan masalah mental dan dikaitkan dengan ‘gila’.

    Stigma itu menjadikan individu berkenaan disisihkan kerana berbeza. Stigma itu juga memberi kesan kepada lelaki untuk mencari bantuan kesihatan mental kerana ketahanan mental yang tinggi berbanding wanita dan imej maskulin.

    Lelaki lebih cenderung untuk menyendiri dan tidak berkongsi lalu melepaskan rasa atau kesedihan mereka melalui perkara lain seperti melakukan keganasan, mengambil alkohol, dadah atau membunuh diri.

    Sumber: Pelan Kesihatan Lelaki Kebangsaan



    Sumber

  • AirAsia harap terminal tambang rendah di Sarawak

    AirAsia harap terminal tambang rendah di Sarawak

    AIRASIA berharap terminal tambang rendah dan kemudahan yang lebih murah untuk membangunkan pelancongan di Sarawak.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, jika syarikat penerbangan mendapat lapangan terbang tambang rendah, industri pelancongan akan berkembang pesat.

    “Saya masih berpendapat cukai lapangan terbang amat tinggi – RM50. Kuching ke China cukai lapangan terbang sebanyak RM75, sebelum ini. Kini, sebanyak RM50, kami masih berpendapat ia amat tinggi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Fernandes berada di sini untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa hari ini.

    Fernandes berkata, AirAsia kini mencari tempat baharu untuk mempromosikan dan membawa lebih banyak pelancong dan pekerjaan serta memuji Sarawak yang telah melaksanakan pelbagai langkah dari segi pelancongan domestik.

    “Kami mempunyai kejayaan yang terhad di peringkat antarabangsa. Hanya Singapura mencatat prestasi yang baik secara konsisten. Dalam pusingan pengembangan kami yang seterusnya, Sarawak amat penting.

    “Membaca mengenai pelan Ketua Menteri untuk melabur dalam infrastruktur pelancongan dan datang (ke sini) untuk mengetahui pelannya – pelancongan perubatan dan sebagainya. Kami mahu memperluaskan lebih banyak penerbangan (dari Sarawak) ke Indonesia,” katanya.

    Fernandes berkata, sejak AirAsia bermula 18 tahun lepas, syarikat penerbangan itu telah membawa 60 juta orang ke Sarawak dan penerbangan sambungan meningkat 43 peratus pada tahun ini, dengan 73,000 orang datang dari pelbagai negara melalui Kuala Lumpur.

    “Kami mahu melabur semula, kami mahu bekerjasama dengan kerajaan Sarawak…situasi menang-menang. Dan berharap kepada bantuan (dari segi) lapangan terbang (tambang rendah).

    “Bercakap mengenai e-dagang dan logistik. Kami berpendapat banyak produk makanan Sarawak boleh dijual di Asia. Kami melihat banyak potensi yang membolehkan usahawan menjual produk mereka kepada khalayak yang lebih besar. Kami memerlukan bantuan dan bahan promosi,” katanya.

    — BERNAMA

    ASNA ASNA NN NJ

    Monday, 25 November 2019



    Sumber

  • Michelin lantik pengarah urusan baru

    Michelin lantik pengarah urusan baru

    PENGELUAR jenama tayar terkemuka, Michelin baru-baru ini mengumumkan pelantikan Tushar Gupta sebagai Pengarah Urusan baru bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei.

    Tushar Gupta menggantikan Pascal Nouvellon yang dinaikkan pangkat untuk menjawat peranan global di ibu pejabat Michelin, Perancis. Pelantikan tersebut berkuat kuasa September lalu.

    Berbekalkan ijazah perakaunan bertauliah dan MBA dari Sekolah Perniagaan Fuqua, Universiti Duke, Tushar Gupta menyertai Michelin Group pada tahun 2010 sebagai Pengurus Pembangunan Korporat bagi Asia Tenggara, Australia dan India. Pada tahun 2012, beliau memegang jawatan Pengarah Pembangunan Korporat Global di Clermont Ferrand, Perancis.

    Beliau kemudian menjawat sebagai Pengarah Zon, Michelin Aviation Tyres, Asia Pasifik pada tahun 2016 sehingga Julai tahun ini. Antara kejayaannya dalam perniagaan tayar pesawat di Asia adalah melalui campur tangan strategik, penstrukturan semula dan perkhidmatan pelanggan yang dipertingkat.

    “Setelah menjadi sebahagian daripada keluarga Michelin sejak hampir sedekad, saya berasa teruja dengan peluang yang diberi ini.

    “Saya berharap dapat membawa organisasi kami lebih jauh ke hadapan dalam industri automotif dan tayar di Malaysia yang memperlihatkan pasaran kukuh menerusi jenama-jenama kami seperti Michelin, BFGoodrich dan TyrePlus,” jelas beliau.

    Berbekalkan 15 tahun pengalaman dalam pelbagai industri termasuk kimia, automatif dan penerangan, beliau akan memastikan Michelin terus mendukung polisi dan strategi yang memberi tumpuan utama kepada pengguna.



    Sumber

  • Himpunan 1,000 pacuan 4×4

    Himpunan 1,000 pacuan 4×4

    KIRA-KIRA 1,000 kenderaan pacuan empat roda (4×4) dari seluruh negara dan Thailand dijangka berhimpun pada bulan depan dalam program Malaysia 4×4 Mega Jamboree 2019. Ia sempena menyambut ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2020.

    Program anjuran badan bukan kerajaan, Forward Kedah bersama Majlis Bandaraya Alor Setar itu akan diadakan di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah, bermula 20 hingga 22 Disember 2019.

    Pengerusi Forward Kedah, Khairil Hanafi berkata, program itu bukan sahaja bertujuan mengumpulkan peminat dan pemilik kenderaan 4×4, tetapi dilihat berupaya menjadi platform menggalakkan aktiviti pelancongan di bandar raya berkenaan.

    “Program ini bertemakan ‘Penyatuan Dalam Kepelbagaian’. Pelbagai aktiviti diadakan antaranya mencari harta karun, autoshow, urban trial challenge, autokhana dan aktiviti riadah untuk kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu oleh Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Ahmad Basri baru-baru ini.

    Khairil berkata, pihaknya menganggarkan lebih 20,000 pengunjung akan menghadiri program tiga hari itu. Orang ramai berpeluang melawat ruang pameran yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan kenderaan.

    Beberapa syarikat antaranya Toyo, Silverstone, Pertamina, Kinti, Radar Monsta, Rymax, Ultra Racing dan Auto Galeri akan menyertai pameran.

    Orang ramai boleh melawat dan mendapatkan perkhidmatan seperti pemasangan audio, pemasangan rim dan aksesori kereta, katanya lagi.

    Sementara itu, Ahmad Husni dalam ucapannya berkata, sukan permotoran dilihat semakin diminati dan berharap lebih ramai golongan belia dapat menganjurkan program sebegitu dengan penglibatan agensi dan jabatan kerajaan.

    “Perluaskan program seperti ini agar menjadi salah satu acara kerajaan negeri kerana kita ada dana pembangunan untuk bangunkan sukan permotoran ini dan juga promosi agar dapat menggalakkan kedatangan pelancong terutama sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.



    Sumber

  • 10 Badang terkenal dunia

    10 Badang terkenal dunia

    BANYAK pertandingan menguji kekuatan ‘lelaki sado’ di peringkat antarabangsa dianjurkan saban tahun antaranya The World’s Strongestman, The Strongestman Guinness World Record, Arnold Strongman Classic dan Strongman Super Series.

    Bukan calang-calang cabaran diberikan. Mereka diuji dengan pelbagai rutin mustahil seperti mengangkat beban seberat 100 kilogram (kg) sehingga lebih 400kg sambil berlari menaiki tangga dan menarik rantai sauh seberat 430kg.

    Tetapi, apa yang paling tidak boleh terima dek akal, cabaran menarik satu kapal terbang dipenuhi penumpang sejauh 100 meter! Mungkin kedengaran satu kerja ‘gila’ namun ada jejaka terbukti berjaya melakukannya.

    Sebagai contoh, acara terbesar The World’s Strongestman anjuran International Management Group (IMG) yang berpangkalan di kota New York itu menyaksikan 42 pemegang gelaran Orang Terkuat Dunia sejak 1977.

    Justeru itu, e-Trend membawakan kisah menarik 10 si gagah dunia dalam sisipan minggu ini sempena sambutan Hari Lelaki Sedunia.

    MARTIN LICIS

    MARTIN LICIS

    Martin Licis

    Anak jati Republik Latvia itu dinobatkan sebagai Lelaki Paling Kuat Dunia 2019 selepas berjaya menewaskan penyandang yang juga bintang drama The Game of Thrones, Hafthor Bjornsson dalam saingan The World’s Strongest Man tahun ini.

    Mesra dengan panggilan The Dragon, Martin yang pernah bergelar juara Ultimate Strongman Summermania 2017 itu cemerlang dalam beberapa rutin termasuk Atlas Stone dan sembilan ulangan Squat Lift tanpa gagal sehingga disebut sebagai pelapis atlet Strongman masa depan.

    Juara MAS Wrestling Open World Championships berusia 29 tahun itu dilihat tidak berputus asa selepas menduduki tempat ke-6 bagi percubaan pertama The World’s Strongest Man 2016 dan berjaya merebut gelaran kali ini.

    MATEUSZ KIELISZOWSKI

    MATEUSZ KIELISZOWSKI

    Mateusz Kieliszowski

    Pesaing kelahiran Poland itu tidak kurang hebatnya. Meskipun menduduki tempat kedua dalam The World’s Strongest Man tahun ini, namun jejaka berusia 26 tahun itu cukup terkenal dek kerana kekuatannya mengangkat bebanan dumbell gergasi seberat lebih 100kg dengan hanya satu tangan.

    Penyandang gelaran Poland’s Strongest Man untuk lima tahun berturut-turut sejak 2015 itu turut memegang pelbagai rekod dunia dalam Giant Live 2019, Arnold Pro Strongman Europe 2019 dan Beasts of the Middle East World’s Ultimate Strongman 2019.

    Handal bukan? Hanya bermula dengan minat mendalam terhadap sukan kekuatan sejak di bangku sekolah lagi, Kieliszowski mencuba nasib seawal usia 17 tahun menyertai beberapa siri pertandingan amatur.

    Selepas berjaya memenangi Arnold Amateur Competition 2014, langkah kariernya lebih luas sehingga dapat melayakkan diri di tempat ke-3 dalam kejuaraan professional, Arnold Strongman Classic 2015.

    HAFTHOR JULIUS BJORNSSON

    HAFTHOR JULIUS BJORNSSON

    Hafthor Julius Bjornsson

    Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Aktor yang terkenal dengan gelaran The Mountain dalam siri drama aksi fantasi, Game of Thrones itu pernah menyandang gelaran juara dunia The World’s Strongest Man 2018.

    Bukan sahaja memegang gelaran Iceland’s Strongest Man sembilan kali berturut-turut, kegagahan bapa anak satu berkenaan mula terserlah selepas memenangi Arnold Strongman Classic dan menewaskan penyandang terhebat, Brian Shaw.

    Lebih dikenali dengan panggilan Thor, bekas atlet bola keranjang berusia 31 tahun tersebut mempamerkan aksi cemerlang mengangkat bebanan seberat 1,100kg bagi tiga rutin mustahil iaitu Squat Lift, Bench Press dan Deadlift. Cukup menakjubkan!

    JEAN FRANCOIS CARON

    JEAN FRANCOIS CARON

    Jean Francois-Caron

    Juara Canada’s Strongest Man buat tujuh kali berturut-turut itu bukan biasa-biasa orangnya. Meskipun lelaki berusia 37 tahun itu belum pernah menjuarai The World’s Strongest Man, namun pemilik gim berkenaan memiliki rekod cemerlang dalam aksi angkat berat.

    Selain masih mempertahankan rekod dunia WPA Powerlifting Organization, peminat fanatik pasukan Toronto Blue Jays itu juga menyandang rekod dunia The Strongestman Guinness World Record 2015 dalam acara menterbalikkan kenderaan jenis Volkswagen sebanyak 13 kali di China.

    Kekuatan tiada taranya tersebut turut terserlah apabila berjaya menterbalikkan tayar seberat 612kg sebanyak empat kali sekali gus mencipta rekod baharu dalam acara Tire Flip World Record Arnold Strongman Classic 2016.

    BRIAN SHAW

    BRIAN SHAW

    Brian Shaw

    Namanya cukup digeruni dalam Strongman Super Series apabila mencatat rekod terbaik cabaran Gothenburg Grand Prix 2009, Los Angeles Grand Prix 2009 Viking Power Challenge 2010, Swedish Grand Prix 2010 dan Overall Champion 2010.

    Meskipun hanya menjuarai The World’s Strongest Man sebanyak empat kali, anak jati Colorado itu mencipta rekod peribadi tersendiri apabila muncul juara berganda pada kejohanan besar tahun 2011 dan 2015.

    Masih aktif dalam siri kejuaraan dunia demi masih mengejar gelaran The World’s Strongest Man buat kali ke-12 penyertaannya, pemilik YouTube Channel, Shawstrength itu juga rajin berkongsi tip kesihatan, cabaran kekuatan dan footage latihan peribadi bersama rakannya, Eddie Hall.

    EDDIE HALL

    EDDIE HALL

    Eddie Hall

    Sejarah kemunculan bekas pemain ragbi yang pernah dibuang sekolah ini cukup menarik. Hanya bermula pada tahun 2008 dengan kerjaya sebagai mekanik, lelaki cekal itu berlatih untuk menjadi ahli bina badan dan pernah menyertai beberapa siri pertandingan di sebuah gim di Staffordshire.

    Bagai orang mengantuk disorong bantal, peluang untuk menyertai England Championships terbuka luas apabila namanya dipetik sebagai pengganti finalis, Dave Meer yang tidak dapat meneruskan cabaran akibat kecederaan.

    Peluang yang diberikan dipergunakan sebaik mungkin dan siapa sangka, Hall berjaya memenangi kejuaraan itu dengan hanya satu percubaan sahaja. Bukan sahaja mengungguli carta UK’s Strongest Man 2011, beliau turut memecah rekod baharu dalam acara Viking Hold.

    Meskipun sudah bersara selepas menjuarai World’s Strongest Man 2017, namun bapa dua anak itu aktif dalam bidang perfileman apabila membuat kemunculan cameo dalam filem Transformers: The Last Knight dan dinobatkan bintang Youtubers.

    VASYL VIRASTYUK

    VASYL VIRASTYUK

    Vasyl Virastyuk

    Orang paling kuat Ukraine itu dilahirkan pada tahun 1974. Mula dikenali selepas debut Ukraine’s Strongest Man buat enam kali berturut-turut bermula tahun 2000.

    Mula jatuh cinta dengan latihan bergusti ketika masih di bangku sekolah, bapa dua anak itu mempamerkan bakat memberangsangkan dalam sukan angkat berat dan pernah mencatat rekod dunia kerana berjaya menarik trem seberat lebih 10 tan.

    Selepas menamatkan cabaran IFSA World Championship di tempat kedua pada tahun 2005 dan ketiga pada tahun 2006, Virastyuk berjaya mencipta momen tersendiri menewaskan juara IFSA World Champion, Žydrūnas Savickas pada tahun berikutnya.

    Atas kejayaan itu, lelaki yang berusia 45 tahun terbabit menjadi atlet pertama dalam sejarah, menyandang gelaran juara berganda World’s Strongest Man dan IFSA World Championship seterusnya menerima pengiktirafan 10 lelaki paling kuat sepanjang masa.

    ZSOLT SINKA

    ZSOLT SINKA

    Zsolt Sinka

    Pernah digelar sebagai Popeye Hungary kerana memiliki kekuatan badang selepas berjaya menarik sebuah kapal terbang jenis Airbus A320 sejauh 39.2 meter dalam tempoh 52 saat sahaja menggunakan gigi.

    Ya! Hanya menggunakan gigi untuk menarik kenderaan sebesar itu pastinya memerlukan kekuatan luar biasa. Impiannya mahu mencipta rekod baharu dalam The Strongestman Guinness World Record sempena World Expo Dubai 2020 akan datang.

    Bukan sembarangan impian yang ingin dicapai apabila bapa anak satu tersebut menyuarakan hasrat untuk menarik Boeing 777 dan Airbus A380 sebagai satu promosi unik selain mahu menarik enam sehingga lapan kereta untuk persembahan rekod baharu pada masa akan datang.

    ZYDRUNAS SAVICKAS

    ZYDRUNAS SAVICKAS

    Zydrunas Savickas

    Seorang atlet profesional Strongman yang pernah menggegarkan dunia dengan aksi cemerlang di peringkat Republik Lithuania bermula 1995 lagi sehingga mencapai empat kali kejuaraan World’s Strongest Man.

    Asalnya, anak jati Lithuania itu tertarik dengan aksi atlet angkat berat dalam satu siaran langsung pertandingan tersebut pada tahun 1989. Beliau mengambil keputusan untuk mengambil bahagian dan tidak sangka berjaya bergelar juara di kejohanan sama.

    Kejayaan itu memberikan inspirasi kepadanya untuk memulakan latihan dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga dinobatkan Orang Paling Kuat Lithuania dengan 15 kali kejuaraan.

    Lebih dikenali gelaran Big Z, jejaka yang berusia 44 tahun itu aktif mempromosikan program dan seminar Strongman seluruh dunia dengan penampilan baharu selepas berjaya menguruskan badan daripada 170kg kepada 155kg.

    DMYTRO KHALADZHI

    DMYTRO KHALADZHI

    Dmytro Khaladzhi

    Berbeza pula dengan kisah lelaki Ukraine berusia 40 tahun itu yang mencetuskan fenomena dunia apabila cuba membuktikan kekuatan diri dengan aktiviti tidak masuk akal termasuk mendukung kuda dewasa, membiarkan truk melanggar badannya dan membengkokkan cerucuk keluli menggunakan gigi.

    Ada beberapa video tentang aksinya tular dalam media sosial mendapat perhatian netizen. Aksi selamba memaku menggunakan tangan turut menjadi trending dan memegang 63 rekod dunia Guinness World Record.

    Juara Ukrainian Drug-free Powerlifting Federation 2009 itu memulakan zaman kanak-kanak agak tragis apabila 35 peratus badannya melecur teruk akibat terkena air panas ketika usia empat tahun dan terpaksa menjalani tujuh pembedahan serta 12 transfusi darah.

    Pemegang watak utama dalam filem aksi, Strong Ivan itu pernah menerima anugerah The Golden Pen of Rus 2010 atas beberapa artikel berkaitan atlet terkenal selain pernah mencatat rekod terbaik – mengangkat paip seberat 1,022 kg selama 12.5 saat.



    Sumber

  • Jaga kesihatan, kebersihan kucing

    Jaga kesihatan, kebersihan kucing

    DOKTOR veterinar, Dr Nurul Hafizah Abu Jazid menjelaskan, apabila seseorang itu memutuskan untuk membela kucing sama ada yang dibeli di kedai haiwan ataupun dikutip di jalanan maka mereka perlu bersiap siaga daripada pelbagai aspek.

    Tutur beliau, menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan bermakna tanggungjawab dipukul sama seperti kita menjaga dan menyayangi anak sendiri. Ia berikutan si comel berkenaan mempunyai emosi, perasaan dan karakter tersendiri yang wajar diberi perhatian.

    Nurul Hafizah

    Nurul Hafizah

    “Peringkat permulaan, wajar mencari ilmu mengenali habitat, pemakanan, gaya hidup, jenis dan baka haiwan ini supaya dapat menyediakan keperluan bersesuaian.

    “Sebelum dibawa pulang ke kediaman langkah terbaik adalah berjumpa pakar veterinar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin.

    “Langkah ini demi mencegah pelbagai penyakit yang boleh membawa kemudaratan bukan sahaja kepada manusia, bahkan haiwan itu sendiri,” jelasnya ketika dihubungi Femina baru-baru ini.

    Tambah beliau, keperluan vaksin adalah bergantung pada umur, gaya hidup dan hari pertama ia diambil oleh pemilik. Selain itu, jumlah suntikan pula diberi mengikut dos ditetapkan.

    Berbicara mengenai penyakit kucing, Nurul Hafizah memaklumkan agar berwaspada sekiranya haiwan itu mengalami jangkitan Sporotrichosis atau Toksoplasmosis.

    “Sporotrichosis misalnya, merupakan penyakit kulat Sporo yang masuk ke dalam badan kucing melalui luka atau mulut. Penyakit ini lazimnya memberi kesan buruk sekiranya kucing dijangkiti mencakar atau menggigit manusia.

    “Jika anda berdepan situasi ini (digigit, dicakar), dapatkan rawatan doktor dalam kadar segera bagi mengelakkan penyakit itu merebak,” ujarnya yang turut menasihatkan supaya sangkar atau tempat tinggal kucing sentiasa berada dalam keadaan bersih.

    Beliau juga menyatakan, jenis makanan atau suplemen yang diberikan harus mengikut kesesuaian haiwan berkenaan memandangkan setiap kucing mempunyai keperluan berbeza-beza.

    Tip membela kucing

    – Kenal pasti kemampuan diri. Bijak memperuntukkan masa untuk bermain bersama bagi mengelakkan kucing tidak berasa terbiar.

    – Banyakkan membaca untuk mengenali sifat, perasaan, jenis atau baka sebelum memelihara kucing.

    – Bawa kucing berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit berbahaya.

    – Rujuk doktor untuk mengenal pasti makanan tambahan atau suplemen bersesuaian dengan kondisi kesihatan kucing.

    – Elakkan memberi makanan bergoreng kerana ia boleh menyebabkan bulu kucing gugur.

    – Pastikan sangkar tidak terlalu sempit bagi memudahkan haiwan berkenaan bergerak.

    – Sentiasa bersihkan tempat dan menukar pasir sekurang-kurang dua kali sehari.



    Sumber

  • TUKAR sampah menjadi duit

    TUKAR sampah menjadi duit

    PERCA-PERCA kain dan botol mineral yang diberikan sentuhan kreativiti hingga menjadi aksesori menarik mampu menjana pendapatan yang cukup lumayan.

    Itu berjaya dibuktikan seorang usahawan yang juga tenaga pengajar program Pusat Cakna Bangun Ekonomi (PACBE) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Tanty Marlena Abdullah, 38, dari Taman Angkasa, Kuala Lumpur.

    Lebih membanggakan, hasil kraftangan wanita gigih itu mendapat permintaan dari luar negara yang secara tidak langsung membantu lebih ramai wanita khususnya golongan berpendapatan rendah(B40) menjana pendapatan dari rumah.

    Berkongsi cerita, suri rumah yang mesra disapa Marlena itu berkata, beliau kini menghasilkan hampir 10 jenis produk berasaskan jahitan manik dan kraftangan dengan bantuan tiga pekerja tetap yang merupakan peserta PACBE.

    “Bidang utama saya sebenarnya jahitan manik dan antara produk lain ialah pembuatan bunga daripada kain perca, beg, shawl (selendang), kerongsang dan aksesori yang dihasilkan daripada botol mineral serta rantai.

    “Paling mendapat permintaan ialah jahitan manik dan bunga daripada perca kain. Tempahan bagi jahitan manik sebenarnya tidak bermusim dan meningkat menjelang hari raya. Waktu itu saya akan tambah pekerja yang terdiri daripada peserta program PACBE,” katanya kepada Femina.

    MARLENA antara usahawan kreatif dan inovatif 'keluaran' program PACBE.

    MARLENA antara usahawan kreatif dan inovatif ‘keluaran’ program PACBE.

    Menurutnya, bunga daripada kain perca pula bukan sahaja boleh dijadikan kerongsang, tetapi beliau juga menerima banyak tempahan daripada pereka fesyen yang mahu menggunakan aksesori itu pada hasil rekaan mereka.

    “Aksesori dihasilkan daripada botol mineral pula mendapat permintaan daripada luar negara untuk program kitar semula, manakala shawl dipasarkan ke Singapura dan Brunei buat masa ini,” jelas beliau.

    Marlena berkata, ‘produk’ utamanya buat masa ini ialah peserta PACBE memandangkan kini beliau merupakan tenaga pengajar selain usahawan.

    “Sebelum menyertai JPW saya telah menjalankan perniagaan jahitan dan kraftangan sekitar tahun 2000 dan ketika menyertai program di bawah JPW kira-kira hampir 10 tahun lalu, saya cuma usahawan biasa- biasa sahaja.

    “Di bawah JPW, saya sertai program perancang majlis dan selain dapat menimba pelbagai ilmu berkaitan termasuk dunia keusahawanan, saya juga diberi peluang menyertai kelas kaunseling. Saya juga dihantar menghadiri kursus-kursus bagi menghebatkan lagi cara mengajar.

    “Bermula daripada itu, berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang ada, saya buatlah kelas mengajar jahitan manik, kraftangan dan sehingga sekarang menjadi salah seorang tenaga pengajar peserta program PACBE dalam bidang jahitan,” ujarnya.

    Menurutnya, setakat ini beliau mengajar lebih 2,000 pelajar setahun termasuk peserta PACBE dan lain-lain antaranya usahawan desa.

    Marlena berkata, dia sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjadi tenaga pengajar yang mampu membantu melahirkan usahawan wanita dan memperkasakan golongan itu sekali gus membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

    “Setelah sertai JPW saya dapat melangkah satu tapak ke hadapan iaitu daripada usahawan kepada tenaga pengajar. Kepuasan sebenar saya rasa apabila segala diajar itu dapat difahami pelajar.

    “Pelajar ini akan saya pantau untuk lihat perkembangan mereka selepas kursus, sejauh mana mengaplikasi segala yang dipelajari untuk menjana pendapatan masing-masing. Ada pelajar saya telah berjaya miliki premis perniagaan sendiri.

    “Peniaga dan usahawan dua benda berbeza. Di dalam kelas saya selalu pupuk semangat peserta sebagai seorang usahawan, pimpin dan bimbing mereka,” katanya.

    Wanita gigih itu berkata, beliau juga akan melihat kecenderungan minat pelajarnya dan menyalurkan mereka kepada program bersesuaian supaya mendapat latihan serta pentauliahan sewajarnya.



    Sumber