Blog

  • Hukum main ‘game’ di telefon pintar

    Hukum main ‘game’ di telefon pintar

    PADA hari ini, semakin banyak permainan game yang boleh diperoleh dengan begitu mudah menerusi aplikasi di telefon pintar masing-masing.

    Ya, selain dapat menghilangkan kebosanan, bermain game juga boleh mengurangkan tekanan.

    Apakah pandangan Islam dalam hal itu?

    Bagaimana caranya untuk menentukan sama ada permainan itu dibenarkan syariat atau tidak?

    Menjawab tanda tanya itu, ALLAH SWT menciptakan manusia dan jin semata-mata untuk mengabdikan kehidupannya kepada ALLAH SWT sebagai ibadah.

    Pada masa sama, ALLAH SWT tidak menghalang manusia untuk berhibur atau bersuka ria asalkan menjaga batas-batas syarak.

    Banyak riwayat yang sahih menunjukkan Nabi Muhammad SAW pernah bergurau atau berjenaka kepada isteri-isteri dan sahabat baginda Radiyallahu anhum ajmaien.

    Namun, jangan sampai berdusta, merendahkan orang lain, mempersendakan agama atau melalaikan daripada melakukan perintah ALLAH SWT.

    Hukum asal bermain game menerusi aplikasi telefon pintar adalah harus selagi mana tidak terdapat unsur judi, lucah, bertindak luar kawalan atau rangsangan keganasan, membawa kepada keruntuhan akhlak, unsur-unsur khurafat dan ramalan-ramalan tahyul, mencetuskan pemusuhan, meninggalkan ibadah serta selainnya.

    Dalam dunia tanpa sepadan, setiap masyarakat perlu peka dan mengehadkan masa bermain game, lebih-lebih lagi kepada anak-anak agar tidak berlebihan dan mengakibatkan sesuatu yang tidak diingini.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Haram potong kuku, potong rambut ketika hadas besar?

    Haram potong kuku, potong rambut ketika hadas besar?

    “JANGAN potong kuku atau rambut semasa sedang haid. Tak boleh buat begitu sebab kita dalam keadaan tidak suci.”

    Begitulah kata-kata yang sering ‘dimainkan’ oleh segelintir orang di sekeliling kita.

    Kedengarannya seperti tidak logik.

    Namun, jika ia melibatkan perkara yang berkaitan agama, adakalanya terbit rasa waswas dalam diri.

    Bolehkah memotong kuku dan rambut ketika berhadas besar terutamanya kaum Hawa?

    Apakah pandangan agama mengenai perkara tersebut?

    Fahamilah bahawa asal hukum memotong rambut bagi wanita adalah diharuskan selagi mana tidak menyerupai potongan rambut lelaki atau potongan menyerupai wanita kafir dan Musyrik.

    Hal itu sepertimana terdapat larangan dalam hadis-hadis yang sahih seperti riwayat al-Bukhari dan Abu Dawud.

    Bahkan, terdapat riwayat dalam sahih Muslim, isteri-isteri baginda Nabi Muhammad SAW pernah memotong rambut hingga tidak melebihi panjangnya dari bahagian telinga.

    Berdasarkan hadis itu, sebahagian ulama seperti Imam al-Nawawi, Qadi ‘Iyadh mengharuskan memotong rambut bagi wanita lebih-lebih lagi ada hajat dan keperluan.

    Adapun, hukum memotong rambut dalam keadaan haid dan selepas bersalin, ia diperselisihkan oleh para ulama khususnya dalam Mazhab Syafie.

    Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihyaulumiddin menyatakan, hukumnya makruh atau hampir kepada haram.

    Sementara itu, Imam al-Qalyubi menyatakan, hukumnya adalah harus kerana rambut dan kuku jika kembali kepada jasad di akhirat kelak nescaya kelihatan tidak sempurna kerana panjangnya kuku dan rambut itu.

    Pandangan harus diperkuatkan lagi dengan pandangan beberapa ulama moden seperti Sheikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudah, bekas Mufti Jordan dan demikian juga pendapat Sheikh Mustafa al-Adawi, seorang ulama besar di Mesir.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Agrobank sokong agropreneur

    Agrobank sokong agropreneur

    AGROBANK menampilkan Mini Bank Concept sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall sehingga Ahad ini.

    Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, inilah masanya untuk pengunjung bertemu dengan pegawai Agrobank bagi mengetahui mengenai pembiayaan dan perkhidmatan yang ditawarkan untuk membantu mengembangkan bisnes agro.

    “Kami bawa bank kepada anda. Di HPPNK 2019 kami ibarat membuka cawangan mini di sini malah kami turut berada di Laman Mekanisasi dan Automasi dengan membuka satu reruai sebagai kaunter pertanyaan.

    “Kami juga berada di pavilion AgroBelia dengan menawarkan peluang pekerjaan di Agrobank. Ia khas untuk pengunjung HPPNK kerana kami ingin memudahkan anda berinteraksi bersama pegawai kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

    Menurutnya, terdapat pelbagai perkhidmatan yang disediakan seperti membuka akaun dan peluang melanggan produk takaful, selain aktiviti menarik di ruang pameran seperti permainan interaktif dan kuiz harian serta penampilan maskot Agrobank iaitu Lady Bug.

    “Fokus Agrobank adalah untuk menyediakan produk pembiayaan dengan kadar kompetitif yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian.

    “Selain itu, kita akan terus membantu agropreneur dalam membangunkan bisnes agro mereka menerusi pelbagai program latihan sebagai contoh menerusi program pembiayaan mikro Agro Nisaa’ khas untuk golongan wanita,” katanya.

    Katanya, Agrobank ialah sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) atau DFI yang diberikan mandat untuk membantu golongan unserved dan underserved.

    Bantu agropreneur

    Khadijah berkata, Agrobank menerapkan elemen Insan, Kelestarian dan Kemakmuran dalam aktiviti perniagaan bank antaranya tertumpu kepada pembangunan dan pemerkasaan komuniti, pelaburan dan pembangunan usahawan serta peningkatan dalam kelestarian alam sekitar.

    “Sebagai DFI, produk yang dihasilkan Agrobank bukan berteraskan keuntungan semata-mata kerana yang penting kami dapat membantu agropreneur memajukan produk mereka.

    “Sebagai contoh, produk mikro Agrobank iaitu Agrobakti memberi tumpuan kepada usahawan tani yang tidak mendapat perhatian iaitu golongan orang kurang upaya (OKU).

    “Golongan ini sering dipinggirkan kerana kebiasaannya usahawan daripada golongan OKU boleh dikatakan berisiko. Oleh itu, Agrobank telah menyediakan pembiayaan mikro dengan maksimum sebanyak RM50,000 dan kadar keuntungan sebanyak 5.5 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun,” katanya.

    Beliau berkata, galakan Agrobank untuk menggalakkan lebih ramai usahawan OKU menceburi bidang pertanian juga ditonjolkan dengan menghargai mereka menerusi Anugerah Agropreneur Agrobank kategori OKU yang menampilkan agropreneur OKU berjaya dalam bidang masing- masing.

    Menurutnya, ia adalah simbol komitmen berterusan Agrobank untuk membantu pesawah meningkatkan pendapatan melalui kaedah pembiayaan yang inovatif dan menyelesaikan masalah pembiayaan pesawah melalui pengurusan modal yang lebih efisien.

    “Ia akan membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada produktiviti ladang dan peningkatan hasil secara sepenuhnya. Peluang dalam bisnes agro sangat positif.

    “Contohnya, pembiayaan Tabung Untuk Makanan (3F) khusus untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara dan mengurangkan import makanan serta menyediakan pembiayaan bagi projek-projek dalam sektor makanan hanya mengenakan kadar keuntungan sebanyak 3.75 peratus setahun.

    “Usahawan tidak perlu khuatir dan takut untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian serta industri asas tani. Peningkatan permintaan makanan sentiasa ada terutama dengan peningkatan penduduk menjelang 2030,” katanya.

    Remajakan pertanian modenPertanian semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda dan walaupun peratusannya agak rendah daripada sasaran, Agrobank semakin bergerak ke arah itu.

    Khadijah berkata, kelebihan anak muda ialah mereka berani mencuba perkara baharu dan menggunakan teknologi serta kaedah inovatif dalam aktiviti pertanian.“Setakat ini hanya 30 peratus anak muda bergerak secara aktif dalam pertanian terutama melibatkan penternakan dan fertigasi manakala sebanyak 60 peratus lagi masih didominasi orang tua iaitu bagi sektor penanaman padi. Jadi, kita perlu ambil pendekatan meremajakan pertanian moden.

    “Antara perkara utama untuk merancakkan sektor pertanian negara khususnya bagi anak muda ialah mereka sendiri perlu mengubah mentaliti daripada konsep pertanian tradisional kepada pertanian moden,” katanya.

    Khadijah berkata, antara insiatif lain adalah menerusi program pembiayaan khusus yang disediakan bagi membantu agropreneur muda yang dinamakan Program Agropreneur Muda pada kadar keuntungan yang sangat rendah iaitu sebanyak dua peratus.

    Sumber

  • Larangan gantung gambar keluarga dalam rumah

    Larangan gantung gambar keluarga dalam rumah

    KEBANYAKAN kita begitu gemar menggantung gambar perkahwinan, konvokesyen atau keluarga di dalam rumah.

    Ya, itu antara cara kita mengingatinya sebagai tanda kenangan.

    Namun, ketahuilah bahawa lukisan berbentuk manusia atau makhluk bernyawa diharamkan oleh Islam.

    Jadi, bagaimana pula hukumnya apabila kita menggantung gambar-gambar makhluk bernyawa di dalam kediaman sendiri?

    Sebelum menjawab soalan itu, fahamilah bahawa hukum asal lukisan berbentuk manusia atau makhluk bernyawa tidak dibenarkan dalam syarak kerana terdapat larangan daripada Nabi Muhammad SAW kerana pembuatnya akan diazab dan malaikat tidak masuk ke rumah yang terdapat gambar seperti hadis riwayat al-Bukhari.

    Adapun, hukum mengambil gambar dengan kamera atau telefon pintar tidak termasuk dalam larangan hadis itu kerana ia berlaku dengan pantulan cahaya dan selainnya.

    Maka apabila berlaku demikian, setiap gambar yang diambil bolehkah digantung di dalam rumah?

    Para ulama berselisih pendapat tentang perkara itu.

    Majoriti ulama kontemporari seperti Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Dr Muhammad Hassan, Sheikh Dr bin Abdillah al’Ali menyatakan, ia tidak dibenarkan kerana ada unsur larangan umum tegahan Nabi Muhammad SAW berkenaan wujudnya gambar di rumah, manakala sebahagian kecil ulama membenarkan.

    Maka, berpeganglah pendapat majoriti ulama agar lebih berhati-hati supaya tidak termasuk dalam larangan Nabi Muhammad SAW.

    Adapun, jika disimpan di dalam telefon, album maka ia diharuskan sebagai kenang-kenangan.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Hukum gantung gambar manusia pada dinding rumah)

    Sumber

  • Solat tidak diterima 40 hari jika percaya telahan ramalan zodiak

    Solat tidak diterima 40 hari jika percaya telahan ramalan zodiak

    ZODIAK atau bintang 12 adalah salah satu cabang astrologi. Ia merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun. Garisan itu adalah satu garisan melengkung khayalan (imaginary line).

    Dalam proses berkenaan, matahari dipercayai melalui 12 bahagian. Setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang 12 iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

    Namun begitu, zodiak seringkali dikaitkan dengan ramalan-ramalan berkaitan yang lazimnya melibatkan tilikan nasib seseorang. Baik atau malang nasib seseorang itu biasanya diramalkan mengikut zodiak berkenaan dalam tempoh tertentu.

    Bahkan, ada juga laman sesawang yang menyediakan ramalan zodiak tersebut mengikut hari berdasarkan tinjauan penulis di internet.

    Membaca ramalan berkenaan memang seronok. Apatah lagi jika ia membayangkan ‘nasib yang baik’ kepada kita. Fitrah manusia sememangnya sukakan kebaikan. Tinggal lagi keputusannya terletak pada diri sendiri sama ada mahu mempercayainya atau tidak.

    Jika melibatkan nasib yang buruk, begitu sukar untuk kita menerimanya dan menganggap ia hanyalah sekadar ramalan ‘kosong’.

    Pun begitu, jika ia membawa tuah kepada kita, sedikit sebanyak akan membibitkan satu rasa percaya dalam diri untuk menerimanya, bukan?

    Siapa yang tidak mahu nasib dan perkara baik berlaku dalam hidup. Paling tidak pun, kita pasti menyimpan impian agar ramalan positif tersebut akan berlaku dalam hidup kita.

    Jika begitulah penilaiannya, kita berada di ambang bahaya. Dikhuatiri ‘rasa’ itu boleh menjebakkan diri dalam perbuatan syirik kerana menyamakan ALLAH SWT selain daripada-NYA.

    Ketahuilah bahawa hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui apa sahaja yang berlaku di muka bumi ciptaan-NYA. Itu termasuklah hal pada masa hadapan.

    Sesungguhnya pengetahuan manusia sebagai hamba ALLAH itu ada batasnya. Begitu juga ilmu kita.

    Apakah pandangan Islam tentang ramalan zodiak? Benarkah orang yang mempercayai telahan berkenaan tidak diterima solat mereka?Sebahagian ilmu falak

    Sinar Islam melontarkan segala kemusykilan itu kepada pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz.

    PU FAIZ

    PU FAIZ

    Sebelum menjawab persoalan berkenaan, beliau mengajak kita menelusuri historiografi zodiak yang merupakan ilmu bintang yang dicapai oleh orang terdahulu seperti Yunani sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dinamakan sebagai ilmu astrologi.

    “Mereka tiada televisyen atau radio dan sebagainya. Jadi, mereka banyak merenung ke langit. ALLAH menjadikan bintang di langit. Sebagai contoh, bintang itu ‘dikhayalkan’ dalam bentuk kala jengking yang kemudian mereka panggil sebagai Scorpio.

    “Apapun, kita tak boleh kata ilmu bintang itu ditolak oleh Islam atau 100 peratus diterima dalam agama suci itu. Ini kerana, ALLAH menceritakan tentang bulan dan bintang dalam kalam-NYA. Ia sebahagian daripada sunnatullah (sunah alam),” ujar beliau.

    Zodiak juga sebahagian daripada cabang ilmu falak. Ilmu falak terbahagi kepada dua iaitu falak syarie dan satu lagi ialah ilmu untuk mengetahui masa depan, terang agamawan itu.

    Bagaimanapun, sebagai orang awam, ia tidak sesuai kerana boleh menggugat perjalanan akidah seseorang kerana mempercayai ilmu bintang lebih daripada kekuasaan ALLAH.

    “Bagi orang alim, ilmu berkenaan tiada apa-apa (kesan) kepada mereka kerana hanya dijadikan sebagai hukum adat sepertimana yang berlaku kepada Imam Syafie. Diceritakan bahawa beliau pernah mempelajari ilmu firasah bina insan (karakter seseorang manusia).

    “Pada suatu hari, Imam Syafie bermusafir mengikut satu kafilah dagangan. Apabila beliau melihat orang-orang yang terlibat dengan musafir tersebut, kelihatannya mereka itu manusia yang jahat menurut ilmu firasah berkenaan. Namun, apa yang dialami Imam Syafie pula adalah sebaliknya kerana mereka begitu memuliakan tetamu dan belanja makan. Imam Syafie hampir-hampir hendak ‘mengeluarkan’ ilmu firasah berkenaan kerana merasakan ia hanyalah sia-sia.

    “Hinggalah beliau tiba ke destinasi, kafilah tersebut meminta balik apa yang telah mereka belanjakan. Ia bererti, ilmu firasah itu penting untuk berjaga-jaga, bukan untuk kita mengimaninya,” jelas beliau.

    Terang PU Faiz, daripada kisah itu, pokok pangkal suatu perkara bergantung kepada sejauh mana kemantapan iman dan akidah orang yang mempelajarinya.

    “Jika tidak kuat, maka ia akan membawa syirik kepada ALLAH SWT,” jelas beliau.

    Diharamkan agama

    Kupasan Sinar Islam mengenai topik itu diteruskan dengan mewawancara pendakwah Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul.

    IMAM MUDA FAKHRUL

    IMAM MUDA FAKHRUL

    Jelas beliau, zodiak diamalkan oleh orang jahiliah dahulu. Amalan jahiliah itu dipanggil sebagai ilmu tanjim atau membaca bintang.

    “Ia mengaitkan apa sahaja yang ada di langit. Kesan atau tanggapan kepercayaannya berpandukan kepada bintang termasuklah sama ada seseorang itu dilahirkan dalam keadaan mereka bernasib baik atau buruk.

    “Jadi, perkara itu memang diharamkan oleh Islam sebab ia dikaitkan dengan pengetahuan ilmu ghaib, sedangkan bintang-bintang itu sebenarnya tiada apa-apa kesan pun kepada kita. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui dan manusia pula tidak tahu lebih-lebih lagi dikaitkan dengan bintang atau perkara-perkara tertentu khususnya ilmu zodiak termasuk horoskop dan sewaktu dengannya,” katanya kepada Sinar Islam.

    ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (Muhammad), “Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali ALLAH…” (Surah al-Naml, ayat 65)

    Solat tidak diterima

    Perkongsian ilmu Imam Muda Fakhrul diteruskan dengan menyentuh tentang ramalan zodiak yang bertentangan dengan syarak. Ini kerana, ia mengaitkan dengan sial atau nasib buruk seseorang manusia itu.

    BERHATI-HATI ketika membaca sebarang ramalan zodiak dan jangan sesekali 'mengimaninya' hingga mensyirikkan ALLAH SWT.

    BERHATI-HATI ketika membaca sebarang ramalan zodiak dan jangan sesekali ‘mengimaninya’ hingga mensyirikkan ALLAH SWT.

    “Jika kita mempercayai perkara-perkara seperti itu, misalnya ‘jika lahir pada zodiak tertentu dan mengaitkannya dengan nasib buruk atau baik’, maka Nabi Muhammad SAW tidak mengaku umat sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis baginda,” katanya.

    Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (Riwayat Ahmad)

    Bahkan, jelas Musyrif Akademi Al-Quran Amalillah Cawangan Shah Alam, Selangor itu, ALLAH SWT tidak akan menerima solatnya selama 40 hari jika mereka percaya dengan ramalan berkenaan.

    Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” (Riwayat Muslim)

    Kepada satu soalan, Imam Muda Fakhrul berkata: “Jika kita hanya membaca ramalan zodiak berkenaan, tetapi tidak mempercayainya, ia tiada masalah. Lebih-lebih lagi kalau ia dibaca untuk menambahkan ilmu dan untuk melawan balik dakwaan-dakwaan berkenaan.

    “Namun, ia tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan terpengaruh terutama kanak-kanak atau remaja yang tiada asas akidah yang kuat,” jelas beliau.

    Apapun, tegas Imam Muda Fakhrul, dalam Islam, tiada kelebihan-kelebihan khusus jika seseorang itu dilahirkan pada bulan-bulan tertentu. Bahkan, bulan itu sendiri tidak memberi sebarang kesan kepada nasib manusia.

    “Hanya ALLAH SWT sahaja tahu apa yang berlaku kepada manusia. Kalau kita dilahirkan pada bulan Ramadan sekalipun ia bulan barakah, orang yang lahir pada bulan itu ada keberkatannya.

    “Namun, jika hendak dikaitkan dengan nasib baik atau nasib buruk, ia langsung tiada kena-mengena. Bulan tiada kuasa, yang berkuasa hanya ALLAH SWT. Kadangkala orang kita percaya begitu sialnya bulan Safar dan sebagainya. Perkara seperti itu merupakan kepercayaan yang syirik atau menghilangkan keyakinan kita kepada ALLAH,” akhiri bicaranya.

    Kajian sifat-sifat manusia dibenarkan Islam

    Kajian karakter sifat seseorang manusia merupakan perkara yang berbeza dengan ramalan zodiak, kata pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin.

    USTAZAH ASMAK

    USTAZAH ASMAK

    Jelas beliau, ia tidak berkaitan langsung dengan zodiak kerana berdasarkan kajian ahli psikologi tentang sifat manusia yang memperkenalkan karakter seseorang.

    “Ia sebagaimana yang diperkenalkan oleh pakar motivasi atau psikologi untuk memperkenalkan manusia kepada karakter berdasarkan kita lahir sebagai anak ke berapa.

    “Sebagai contoh, anak sulung sikapnya begini, manakala anak kedua pula sikapnya begitu. Begitu juga selainnya,” katanya kepada Sinar Islam.

    Justeru, menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara itu, kajian sifat-sifat manusia tersebut dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak bersangkutan dengan qada dan qadar ALLAH.

    “Sebaliknya, ia adalah kajian dibuat oleh manusia, seterusnya merak sendiri yang merumuskan karakter-karakter manusia berdasarkan kategori (anak ke berapa).

    “Namun, apabila kita membaca karakter itu, kita bukan mempercayai 100 peratus karakter kita begitu. Barangkali ada persamaan. Tujuan kita membacanya untuk mengetahui kelebihan, kelemahan dan memperbaiki peribadi kita.

    “Contohnya, anak sulung dikatakan manja. Walaupun begitu, dia tidak menunjukkan kemanjaannya, tetapi bersifat tegas dan suka mengarah. Sikap suka mengarah jika tidak dikawal, ia akan menjengkelkan adik-adik di bawah. Anak sulung itu biasanya ALLAH akan letak sifat kepimpinan dalam dirinya untuk dia memimpin adik-adiknya. Sifat kepimpinan itu seharusnya dijaga sebaiknya,” jelas beliau.

    Sementelah, kata Ustazah Asmak, zodiak pula menyentuh tentang nasib seseorang yang semuanya di bawah kekuasaan ALLAH SWT.

    “Antara perkara yang kita tidak ketahui adalah masa depan, takdir dan qada serta qadar. Itu semua adalah milik ALLAH SWT. “(Sebab itulah) Hukum kita mempercayai zodiak adalah kafir kerana telah mengkufuri al-Quran yang menyatakan ilmu ghaib di bawah pengetahuan ALLAH SWT,” tegas beliau.

    Ustazah Asmak turut mengingatkan kita agar bertawakal kepada ALLAH SWT dengan berusaha ke arah kebaikan, kebenaran dan kejayaan.

    “Ingatlah bahawa takdir itu milik ALLAH SWT. Sebab itu, apabila kita mempercayai zodiak, maknanya kita telah melanggar takdir dan qada ALLAH.

    “Manusia yang mempercayai qada dan qadar itu, dia tidak akan gentar menghadapi musuh dan kegagalan,” ujar beliau.

    Sumber

  • Usah tangguh rawatan kanser

    Usah tangguh rawatan kanser

    JANGAN takut dan bertangguh untuk mendapatkan rawatan. Itu pesanan penting dikongsikan ahli keluarga dan bekas pesakit kanser payudara tentang penyakit antara yang digeruni itu.

    Pengalaman menjaga isteri yang menghidap barah payudara empat tahun lalu menjadi iktibar buat Che Nafiah Man, 53, dari Kg Serada, Kuala Terengganu tentang hakikat kenyataan itu.

    “Antara sebab saya hendak menggiatkan diri sebagai sukarelawan juga adalah supaya dapat memberi kesedaran berkaitan kepada orang lain. Dulu pun saya ada pengalaman arwah isteri takut ke hospital.

    “Dari situ saya sedar bahawa mendapat maklumat yang paling tepat itu penting,” kata Che Nafiah juga salah seorang peserta Kempen Kesedaran Kanser Payudara: Sehari bersama Yakult, di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini kepada Sihat:Aktif.

    Che Nafiah berkongsi tentang arwah isterinya yang sebelum itu sudah menghidap penyakit kanser payudara tahap tiga dan berulang alik ke hospital dalam tempoh lima bulan, namun tidak sempat membuat pembedahan.

    CHE Nafiah bersama arwah isteri (kanan) dan tiga anak tersayang.

    CHE Nafiah bersama arwah isteri (kanan) dan tiga anak tersayang.

    Dalam pada itu, beliau berharap supaya kempen berkaitan kanser yang banyak dianjurkan di Lembah Klang turut disebar luaskan secara menyeluruh di tiap negeri.

    “Saya mendapat maklumat bahawa risiko wanita terkena kanser payudara sangat tinggi iaitu boleh terjadi kepada seorang daripada 18 orang wanita.

    “Oleh itu, mungkin juga kempen kesihatan terutama berkaitan penyakit kanser boleh diperbanyakkan dan dimulakan di sekolah dan institut pengajian tinggi terutama di bawah kementerian pendidikan,” cadang bapa kepada tiga anak itu.

    Sokongan keluarga

    Membuktikan rawatan awal mampu membantu penyembuhan, seorang lagi peserta kempen yang serupa diadakan oleh pihak Yakult kali ini di Kedah, juga melontarkan pandangan selari dengan Che Nafiah.

    Suri rumah, Hartini Hamid juga bekas pesakit kanser payudara berusia 35 tahun bersyukur sudah disahkan bebas penyakit itu sejak lapan tahun lalu turut menasihati supaya segera mendapatkan rawatan.

    “Kalau ada ketulan mencurigakan terus berjumpa doktor, jangan dibiarkan. Saya faham kerana saya juga pada peringkat awal berasa tidak perlu kerana ketulan ketika itu tidak sakit.

    “Tetapi kerana hendakkan kepastian, saya tetap pergi ke hospital. Mujurlah masa itu kanser saya baru di tahap dua. Selepas menjalani kemoterapi dan radioterapi, alhamdulillah penyakit itu berjaya diubati,” kata ibu kepada tiga cahaya mata tersebut.

    Nasihat Hartini kepada mereka yang masih bertarung nyawa pula supaya tidak terlalu susah hati sehingga stres yang boleh menjadi menyebabkan kanser cepat merebak.

    Menurutnya, kini terdapat banyak pihak menganjurkan kempen kesedaran penyakit kanser payudara termasuklah Yakult. Justeru beliau berharap mereka yang masih ragu-ragu dapat memanfaatkannya untuk mendapat maklumat tepat.

    “Saya juga tertarik dengan perkongsian Yakult iaitu minuman hasil implikasi bakteria Shirota strain yang berkait dengan meningkatkan imun semula jadi tubuh dan pengurangan risiko kanser payudara.

    “Saya memang minum Yakult sekurang-kurangnya sebotol pada setiap hari,” katanya lagi.

    Terdahulu Kempen Kesedaran Kanser: Sehari bersama Yakult diadakan di Kedah Medical Centre (KMC) pada 21 Oktober 2019 dan di Kuala Terengganu Specialist Hospital pada 7 November lalu.

    Tip dikongsikan Che Nafiah dan Hartini dalam membantu pesakit kanser yang masih takut dan lewat mendapatkan rawatan:

    1 Tidak kira berdepan kanser atau penyakit apapun, orang terdekat seperti pasangan, anak-anak dan ahli keluargalah yang perlu memberikan semangat serta sokongan padu kepada pesakit.

    2 Gunakan bantuan orang tengah yang pernah berdepan pengalaman penyakit kanser supaya dapat berkongsi maklumat yang tepat dan betul.

    3 Cuba mengurangkan rasa stres pesakit kerana ia boleh menjadi ‘baja’ kepada kanser.

    4 Jangan mencari bomoh. Boleh mendapatkan maklumat dan pemeriksaan di klinik-klinik kesihatan yang ada di setiap daerah.

    5 Orang sekeliling juga boleh membantu memujuk supaya mendapatkan rawatan.

    KEMPGejala kanser payudara:

    Tanda paling biasa ialah ketulan atau bengkakkan. Ketulan yang tidak sakit, keras dan tidak sekata berkemungkinan besar kanser.

    Ada juga ketulan kanser yang sakit, lembut dan berbentuk bulat. Oleh itu sangat penting berjumpa segera doktor apabila ada pembengkakan atau ketulan di payudara.

    Sumber: http://www.myhealth.gov.my/

    Sumber

  • Ramalan zodiak menyanggah prinsip Islam

    Ramalan zodiak menyanggah prinsip Islam

    RAMALAN zodiak tentang nasib baik atau malang seseorang pada masa-masa tertentu mengikut zodiak adalah haram di sisi agama.

    Ia umpama kita menilik nasib yang jelas menyanggah prinsip Islam.

    Sesungguhnya tiada sesiapa pun yang tahu akan nasib dirinya sendiri kecuali ALLAH SWT yang Maha Mengetahui segala-galanya.

    Ketahuilah, membaca dan ‘mengimani’ ramalan zodiak itu boleh menjerumuskan diri ke kancah syirik.

    Apa pula hukumnya jika kita hanya membacanya, tetapi tidak mempercayai tilikan ramalan berkenaan?

    Bagaimana pula hukum kajian sifat-sifat manusia yang selalu dilontarkan oleh pakar motivasi atau psikologi?

    Segala tanda tanya itu akan dirungkaikan dalam sisipan Sinar Islam esok.

    Sumber

  • Honda komited tambah baik kemudahan buat pelanggan

    Honda komited tambah baik kemudahan buat pelanggan

    KOMITED dalam menyediakan khidmat lepas jualan lebih baik dan mengutamakan keselesaan buat pelanggan, Honda Malaysia baru-baru ini menambah baik khidmat lepas jualannya untuk pelanggan di Malaysia.

    Enam lagi kemudahan pusat badan dan cat kenderaan (BP) baharu dibuka tahun ini.

    Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, sehingga hari ini, syarikat memiliki 28 pusat BP yang beroperasi.

    “Kami percaya dengan penambahan pusat berkenaan dapat membantu syarikat untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi. Khidmat lepas jualan yang berkualiti kepada pelanggan, selain tenaga kerja mahir dengan persekitaran yang kondusif disediakan untuk tujuan itu.

    “Selain itu, produk-produk berkualiti juga akan digunakan di pusat-pusat berkaitan. Sebagai contoh, waterborne paint, sebuah produk mesra alam serta penggunaan alat ganti tulen Honda yang diiktiraf oleh Honda Motor Corporation,” katanya.

    BILIK khas untuk proses mengecat kenderaan yang dibaik pulih.

    BILIK khas untuk proses mengecat kenderaan yang dibaik pulih.

    Menurutnya, pihaknya juga bekerja dengan lebih rapat bersama pengedar untuk memberikan pengalaman terbaik dari sudut khidmat lepas jualan.

    Pusat-pusat BP menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dalam bentuk pemeriksaan kenderaan, baik pulih kenderaan yang kemalangan, mengecat, pemeriksaan kualiti selepas penyelenggaraan dan servis-servis lain termasuk penyediaan dokumen terlibat untuk tuntutan insurans.

    Maklumat lanjut mengenai pusat BP Honda, hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.

    Sumber

  • “Universiti untuk Masyarakat” Agenda Penting Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia Demi Kelangsungan Negara

    “Universiti untuk Masyarakat” Agenda Penting Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia Demi Kelangsungan Negara

    Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memainkan peranan dalam pelbagai inisiatif bagi mensejahterakan masyarakat selari dengan aspirasi Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dr Maszlee Malik yang menekankan tiga nilai dan budaya teras yang ingin dibina bersama, iaitu: cinta atau kasih sayang (love), kegembiraan atau kebahagiaan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect).

    Nilai teras ini telah lama menjadi amalan warga universiti dan UTM terus komited untuk meneruskan agenda tersebut walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

    Dalam memastikan UTM berfungsi sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang mampu memberikan impak kepada masyarakat dan negara, universiti ini telah pun mengamalkan dasar keterlibatan masyarakat dari semua lapisan peringkat.

    Sehubungan itu, aspirasi ini diperkukuhkan lagi dengan pelbagai inisiatif universiti yang telah dilaksanakan seperti berikut:

    1. UTM mensejahterakan kehidupan

    UTM melalui idea Penyelidikan Translasional berusaha memanfaatkan komuniti dengan mengaplikasikan hasil kajian dan penyelidikan yang memanfaatkan komuniti global. Universiti menggariskan agar pensyarah bukan sahaja berkhidmat sebagai pendidik malah hasil penyelidikan tersebut digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat terutamanya mereka yang memerlukan seperti melalui Program Pembangunan Sosial Masyarakat (CSR).

    Setiap insiaitf CSR yang dijalankan adalah berpaksikan lima fokus utama iaitu Peningkatan Pendidikan, Penaiktarafan Kehidupan, Keusahawanan Sosial, Pembangunan Kapasiti dan Kelestarian Alam Sekitar. Setiap fokus digariskan demi memacu dan memastikan setiap CSR adalah benar-benar berimpak dan menepati keperluan masyarakat.

    Terdapat 13 Projek Komuniti yang berimpak tinggi dan antaranya ialah:

    • Pembelajaran Berasaskan Masalah dalam Pendidikan STEM untuk Membangunkan Kemahiran Abad ke-21 dan Kesedaran Terhadap Karbon Rendah
    • Aplikasi Hafazan Al-Quran bagi Pelajar yang Mempunyai Permasalahan Pendengaran
    • Pembangunan Usahawan Wanita dalam Sektor Pelancongan
    • Program Rejuvenasi Komuniti Flat Bandar Bukit Puchong
    • Aplikasi Mikroorganisma Berkesan bagi Pengurusan Sisa Makanan
    • Program Bangsa Johor Sejahtera
    • Projek Bangsa Johor Bahagia
      • Program Komuniti Berjaya
      • Program Fasiliti Komuniti Sejahtera
      • Program Kejiranan Lestari
      • Program Komuniti Digital Beretika

    Menurut Menteri Pendidikan, untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, pendidikan ialah titik mulanya dan untuk melahirkan masyarakat yang demokratik, bermoral, beretika dan penyayang, pendidikan ialah terasnya.

    Oleh itu, dengan berpandukan Pelan Global Universiti Fasa III: 2018-2020, UTM mendukung aspirasi ini dan memikul tanggungjawab dan peranan besar sebagai institusi pendidikan tinggi demi membantu membina masyarakat yang maju untuk kelangsungan negara.

    Ini kerana pensyarah dan pendidik pada ketika ini tidak hanya terbatas dengan tugasan mendidik, malah dengan mengaplikasikan penyelidikan serta kepakaran untuk membantu menyelesaikan permasalahan masyarakat adalah jauh lebih bermakna.

    1. Pembelajaran Sepanjang Hayat

    Menteri Pendidikan pernah juga mengutarakan konsep pembelajaran yang baik perlu bercirikan sepanjang hayat dan menyokong ke arah era Revolusi Industri 4.0. Rakyat dan komuniti berpeluang meningkatkan kemahiran serta pengetahuan melalui pembelajaran yang boleh berlangsung secara dalam talian dan berbentuk fleksible. Ini bukanlah perkara baru di UTM dan UTM sememangnya berhasrat untuk meneruskan agenda pembelajaran sepanjang hayat.

    UTM telah melopori Pendidikan Transnasional dengan model pendidikan tanpa sempadan yang dilaksana di luar negara. Ini bersesuaian dengan konteks globalisasi pendidikan tinggi di mana UTM telah mewujudkan sebuah pusat pembelajaran transnasional dengan kerjasama Qaiwan Universiti di Kurdistan. Ini adalah salah satu usaha UTM untuk terus memberikan pembelajaran yang berkualiti bukan hanya kepada masyarakat tempatan malah kepada masyarakat antarabangsa dan global.

    Di samping itu, mobiliti pelajar juga merupakan salah satu cara UTM memberikan pendedahan kepada pelajar untuk merasai pengalaman berada di universiti luar negara. Ini bersesuaian dengan saranan Kementerian yang menekankan keperluan Mobiliti rentas sempadan kepada pelajar.

    UTM telah berjaya menghantar seramai 13,359 pelajar keluar negara untuk mengikuti program Mobiliti rentas sempadan ini. Selain itu, UTM juga telah berjaya menjadi tuan rumah kepada 10,119 pelajar luar negara yang telah memilih UTM sebagai universiti pilihan untuk pengalaman mobility tersebut.

    UTM juga merupakan antara segelintir universiti yang menawarkan kelainan kepada mereka yang berhasrat melanjutkan pelajaran seperti melalui pelaksanaan Program Khas. Sebagai contoh, seramai 25 orang Pegawai Tadbir Negeri Johor melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dibawah program kerjasama bagi melahirkan penjawat awam yang berkelayakan dan mampu memantapkan perkhidmatan awam Johor. Selain itu, kerjasama UTM dan McDonald’s telah membuka peluang kepada lebih daripada 14,000 pekerja McDonald’s Malaysia untuk mendaftar program MBA di UTM.

    1. Keceriaan dan Saling Hormat Menghormati

    YB Dr. Maszlee sangat menekankan agar institusi pendidikan memainkan peranan untuk membina bersama nilai cinta atau kasih sayang, kegembiraan atau kebahagiaan dan saling menghormati.

    Merujuk kepada hasrat ini, UTM melalui aspirasi UTMDNAnya telah melaksana insiatif seperti berikut bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, perihatin terhadap pelajar, dan merai kepelbagaian dan keterangkuman.

    UTM berusaha menyediakan persekitaran kerja yang kondusif kepada warganya dan memandang serius terhadap kesihatan. Pelaksanaan lebih daripada 50 Program Gaya Hidup Sihat dalam kalangan warga UTM telah dilaksana sejak 2010.

    Keperihatinan terhadap pelajar juga diutamakan dan pelbagai bentuk bantuan dihulurkan seperti pemberian makanan percuma melalui Bank Makanan, Kupon Makanan dan Rak Kasih Sayang ditawarkan kepada pelajar yang memerlukan.

    Di samping itu, dalam meraikan kepelbagaian dan keterangkuman, UTM memberi sepenuh sokongan dalam pelaksanaan program-program seperti Minggu Antarabangsa dan Sudut Budaya (Culture Corner). Program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan pelajar tempatan dan luar negara. Ini bertepatan dengan aspirasi Kementerian yang berhasratkan agar masyarakat menjadi lebih global dan terbuka.

    Dalam membina nilai cinta, dan saling menghormati dikalangan pelajar terhadap masyarakat, UTM secara berterusan menganjurkan program-program kemasyarakatan dan salah satu diantaranya adalah Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM). Melalui Program SULAM, pelajar di didik untuk membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah setempat dengan pengetahuan dalam bidang masing-masing.

    1. Keterangkuman dalam Pendidikan (Inclusivity in Education)

    Dalam memacu pendidikan tinggi untuk kemajuan tamadun bangsa, UTM menawarkan pendidikan tinggi kepada semua golongan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kelompok.

    Menteri Pendidikan pernah menyatakan dalam ucapan diawal tahun beliau bahawa keterangkuman sistem pendidikan negara pada masa ini membabitkan golongan berkeperluan seperti anak keluarga B40, Orang Asli, Orang Kurang Upaya, miskin dan kumpulan minoriti.

    UTM telah sememangnya peka akan keperluan menghulurkan bantuan di mana UTM telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM25 Juta bagi membantu pelajar dari golongan B40 seramai lebih daripada 2,500 orang. Seramai 69 orang pelajar yang menepati kelayakan juga telah menerima bantuan biasiswa endownmen UTM sebanyak RM228,000.

    Menteri Pendidikan juga menyifatkan konsep inklusif adalah sangat penting supaya pelajar kelainan upaya (OKU) dapat merasai pendidikan ‘mainstream’. Di UTM, terdapat seramai 42 orang pelajar OKU yang berdaftar dan seramai 6 orang telah bergarduasi.

    Malah, satu Pusat Bantuan telah diwujudkan bagi menyantuni pelajar-pelajar OKU. Selain itu, seramai 250 buah kelauarga telah berdaftar di Pusat Terapi Kanak-Kanak Autisma UTM (UTM Little Genius Therapy Centre) bagi mendapatkan rawatan serta konsultansi. Ini menunjukkan bahawa UTM benar-benar menjiwai dasar inklusif orang kelainan upaya.

    Melalui slogan #MALAYSIAMEMBACA, YB Dr Maszlee menyarankan masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan pembudayaan membaca. UTM menyokong kuat usaha ini dan amalan membaca telah diluaskan bukan hanya di dalam kampus malah melibatkan usaha keterangkuman di mana seramai 30 anak Orang Asli telah mengikuti program “Seronoknya Membaca” di Kampung Orang Asli Sg.Peroh, Kahang. Di samping itu, sebanyak 500 naskah projek Terjemahan Bahan Braille telah berjaya dilaksanakan oleh penyelidik UTM untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru.

    Ini merupakan inisiatif berterusan UTM dalam menyokong hasrat Kementerian Pendidikan yang telah melancarkan kempen Dekad Membaca oleh Menteri Pendidikan semasa majlis Amanat Tahun Baru 2019 Menteri Pendidikan.

    Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan UTM sebagai sebuah universiti juga telah menjalankan aktiviti berkaitan membaca seperti Program Bicara Karya dan Read and Relax yang melibatkan pelajar dan staf universiti.

    Kesimpulan

    Agenda “Universiti Untuk Masyarakat” hasil dari inspirasi Menteri Pendidikan adalah sangat berimpak dan usaha bersama di peringkat universiti perlu digembleng sepenuhnya bukan sahaja demi memenuhi hasrat Kementerian dan negara malah amat perlu bagi membangunkan masyarakat yang berdaya saing dan holistik.

    Oleh itu UTM menyokong penuh aspirasi ini dan sentiasa komited untuk berkhidmat kepada masyarakat.

    Kesimpulannya, UTM komited membantu negara melalui pelbagai initiatif yang telah dinyatakan.

    Ia juga membuktikan bahawa warga universiti sentiasa mahu berbakti kepada masyarakat dan sentiasa bersama Kementerian dalam usaha memakmurkan negara dan mensejahterakan kehidupan masyarakat secara inklusif.

    Prof Datuk Ir. Dr. Wahid Bin Omar

    Naib Canselor

    Universiti Teknologi Malaysia

    27 November 2019

    ** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

    Sumber

  • Kenderaan ‘kenit’ tawar keseronokan

    Kenderaan ‘kenit’ tawar keseronokan

    GAGAH mendaki bukit dan meredah laluan berbonggol atau berlubang, ada ketikanya dilihat seperti mahu terbalik namun kenderaan itu terus dikawal dengan baik. Ia juga mampu meredah lokasi berair dan lumpur seperti pemanduan sebenar.

    RC Crawler ialah kenderaan pacuan empat roda (4X4) kawalan jauh berskala 1:10 dari kenderaan saiz sebenar. Ia menawarkan keseronokan mengendalikan kenderaan pacuan empat roda meskipun menggunakan alat kawalan jauh!

    Kenderaan tersebut dikawal secara frekuensi radio menggunakan motor elektrik sepenuhnya dengan pilihan rangka “rig” mengikut model pacuan empat roda sebenar seperti Land Rover, Range Rover, Toyota Land Cruiser, Unimog Mercedes, Mitsubishi Pajero dan Jeep Wrangler.

    KABEL penarik berfungsi sekiranya kenderaan tersangkut pada laluan mencabar.

    KABEL penarik berfungsi sekiranya kenderaan tersangkut pada laluan mencabar.

    Meskipun kenderaan ‘kenit’ itu yang menggunakan kawalan jauh persis permainan kanak-kanak, harga memilikinya tidaklah murah.

    Sebaik diteliti harganya, pemiliknya rata-ratanya pasti menganggarkan akan memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk model asas saja.

    Bayangkan jika ia spesifikasi serta jenama khas yang lebih berkualiti bagi tujuan pertandingan, tentu saja jumlahnya menjangkau ribuan ringgit bukan?

    ALAT kawalan jauh memainkan peranan penting ketika bermain.

    ALAT kawalan jauh memainkan peranan penting ketika bermain.

    Namun, demi minat mendalam terhadap hobi mengendalikan kenderaan terbabit, peminat golongan tersebut tidak mengeluh. Ramai sanggup berhabis untuk memenuhi kepuasan melihat model pacuan mini dapat melepasi ranjau trek.

    Permainan kenderaan itu juga dianggap sebagai sukan baharu atas faktor ia mematuhi peraturan pemarkahan berkaitan kereta Scale Off Road RC Association (SORRCA) yang diguna pakai satu dunia RC.

    Baru-baru ini berlangsung Scale Crawler Asian Championship 2019 di Taman Botani Shah Alam, Selangor yang disertai lebih 20 peserta termasuk dari Malaysia, Taiwan, Indonesia dan Hong Kong.

    Menguji kehebatan

    Kejohanan dua hari itu menawarkan peluang kepada para peserta menguji kehebatan mengendalikan kenderaan RC Crawler masing-masing dalam suasana persekitaran hutan Malaysia.

    Kategori yang dipertandingkan ialah Kelas Zero, Kelas Satu, Kelas dua dan kelas 2.5 yang mana sebuah RC yang baharu keluar dari kotak bungkusan bertanding dalam kelas Zero. Model yang telah dimodifikasi sepenuhnya pula bertanding dalam kategori kelas 2.5.

    Kejohanan itu dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan penggiat hobi permainan berkenaan diketuai Presiden Siput Park Trophy, Mohammad Shahrin Mandalam.

    SHAHRIN (kanan) sedang memeriksa crawler kawalannya sebelum beraksi bersama peserta lain di Kejohanan Asia Skala Crawler 2019 di Taman Botani Nasional Shah Alam.

    SHAHRIN (kanan) sedang memeriksa crawler kawalannya sebelum beraksi bersama peserta lain di Kejohanan Asia Skala Crawler 2019 di Taman Botani Nasional Shah Alam.

    Mohammad Shahrin atau lebih mesra dengan panggilan Shahrin berkata, kejohanan yang dianjurkan itu adalah pertama kali diadakan di situ.

    “Kami telah menganjurkan pertandingan ini sejak akhir tahun 2014, tetapi tempat dan lokasi pertandingan sering berubah sejak bertahun-tahun.

    “Sebenarnya ramai terjebak dalam permainan RC Scale Crawler ini kerana minat terhadap sukan 4×4. Bagi mereka sukan ini tidak jauh bezanya dengan memandu kenderaan berkenaan.

    “Pemainnya perlu mempunyai pengetahuan dalam trek serta kaedah melepasi setiap liku. Tidak hairanlah sukan ini dapat perhatian golongan dewasa kerana memerlukan konsentrasi serta skil yang tinggi,” katanya.

    Tambah Shahrin lagi, cabaran terbabit memerlukan kenderaan itu melalui laluan berbatu, air dan pelbagai permukaan yang berbeza. Pemarkahan akan diberi berdasarkan spesifikasi rig, kemahiran pengendalian dan penyelamatan rig tanpa menyentuhnya.

    Ujar beliau, selaras dengan perkembangan teknologi terkini, banyak peralatan dicipta dan memasuki pasaran tempatan sekali gus meningkatkan minat pemilik untuk menghias dan menambah baik RC Crawler masing-masing.

    KERETA mini Remote Control (RC) Scale Crawler 4x4 adalah pacuan empat roda merangkak perlahan melepasi laluan berliku, berbatu serta struktur tanah yang tidak rata.

    KERETA mini Remote Control (RC) Scale Crawler 4x4 adalah pacuan empat roda merangkak perlahan melepasi laluan berliku, berbatu serta struktur tanah yang tidak rata.

    Beberapa pertandingan anjuran Siput Park Tropy telah mendapat tajaan secara terus daripada pengeluar peralatan RC dari luar negara seperti Hong Kong.

    Kejohanan itu kini dilihat semakin diminati termasuk menarik perhatian golongan profesional untuk berekreasi dan bersosial pada hujung minggu.

    Siput Park Trophy juga sangat aktif di laman media sosial dan boleh dihubungi melalui Facebook serta Instagram.


    Sumber