Blog

  • Siti Nordiana, Bunkface meriahkan ulang tahun ke-10 GM Klang

    Siti Nordiana, Bunkface meriahkan ulang tahun ke-10 GM Klang

    Penyanyi Siti Nordiana dan Bunkface antara barisan artis popular yang bakal memeriahkan konsert ulang tahun ke-10 Pusat Pemborong GM Klang dengan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK).

    Konsert Malam Kemuncak GempaKarnival yang bakal berlangsung di pusat pemborong popular itu bermula jam 8 malam, 30 November ini akan turut dihiburkan oleh penyanyi angkatan baharu iaitu Sarah Suhairi, Santesh dan FS (Fuying & Sam).

    Pengacara popular Awal Ashari dan Jasper Supayah akan mengendalikan konsert yang dijangka menarik ribuan pengunjung untuk hadir.

    Menariknya sebelum konsert bermula, GM Klang mengadakan pelbagai aktiviti seawal jam 9 pagi lagi pada hari yang sama.

    Acara Gempakarnival 2019 dirancakkan dengan pelbagai aktiviti pentas dan aktiviti-aktiviti kekeluargaan seperti pertandingan Street Soccer, Zumba, GM10 Rockstar: Battle of the Bands dan pertandingan mewarna.

    Selain daripada itu, para pengunjung juga dapat membeli belah kerana karnival ini bukan sahaja padat dengan booth jualan daripada para pemborong GM Klang, malah daripada para selebriti tempatan yang mempunyai perniagaan sendiri seperti Datin Fouziah Gous, Shahz Jaszle, Shaheizy Sam, Syed Ali, tidak ketinggalan pilihan foodtruck yang pelbagai.

    Pengarah Urusan Pusat Pemborong GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, Gempakarnival ini adalah kemuncak tanda penghargaan GM Klang di atas sokongan yang diberikan selama 10 tahun ini.

    Oleh itu, semua rakyat Malaysia dijemput untuk turut sama memeriahkan GempaKarnival dan menikmati konsert secara percuma.

    Sumber

  • Transaksi tanpa tunai Mula

    Transaksi tanpa tunai Mula

    BUKAN sahaja menerima dua kod promo bernilai RM4, pengguna baharu aplikasi Mula yang menggunakan kaedah pembayaran Touch ‘n Go eWallet akan diberi tambahan RM4 lagi untuk penjimatan perjalanan mereka.

    Aplikasi e-hailing yang dikatakan menyamai perkhidmatan Grab itu menawarkan kadar tambang lebih berbaloi mengikut anggaran jarak masa perjalanan.

    Lebih menarik, kolaboratif Mula bersama Touch ‘n Go eWallet membolehkan pengguna membuat pembayaran tanpa tunai dengan lebih mudah.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong, pendekatan urus niaga tanpa tunai kini kian berkembang.

    “Touch ‘n Go eWallet berusaha mempelbagaikan kaedah bagi memenuhi keperluan pengguna dan industri selain menyokong start up, usahawan dan syarikat tempatan ke arah ekonomi lebih kukuh.

    “Kerjasama dengan Mula dilihat mempercepatkan perjalanan transformasi ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Mula, Goh Kok Peow berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan standard perjalanan dan prestasi pemandu seiring kemajuan ekosistem e-hailing.

    “Melalui jalinan kolaboratif itu, kami percaya pelanggan akan menikmati kemudahan di hujung jari sahaja dan diberi pilihan untuk transaksi lebih selamat dan terjamin,” katanya.

    Kerjasama strategik itu turut menawarkan pilihan alternatif pembayaran lebih mudah dan selamat melalui perkhidmatan Mula yang menyediakan lebih 10,000 pemandu termasuk wanita.

    Maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/touchngoewallet/ atau https://www.facebook.com/Mula2u/.

    SEJAK tahun 2015, Mula mengembangkan lagi tawaran:

    Mula Pink

    • Membolehkan penumpang wanita diberi pilihan untuk memilih pemandu sesama gender. Ciri unik tersebut bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan penumpang selain mewujud peluang pekerjaan kepada golongan wanita.

    Butang kecemasan

    • Demi mengutamakan keselamatan pengguna, ciri terbabit diperkenalkan untuk bantuan kecemasan jika berlaku insiden tidak diingini. Mula juga bekerjasama dengan pembekal perkhidmatan pakar dalam pencegahan jenayah SOS yang beroperasi seluruh negara.

    Fungsi pra tempahan Mula

    • Membolehkan penumpang menempah seawal 30 hari dari tarikh yang dijanjikan. Ciri menarik itu bertujuan untuk memastikan tempahan lebih terjamin terutamanya pada waktu puncak.

    Sumber

  • Garang bawa tuah buat Ahmad

    Garang bawa tuah buat Ahmad

    UJIAN cukup berat berdepan masalah polio (poliomyelitis) akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat sedikit pun tidak menghalang Ahmad Maembong untuk beraksi cemerlang.

    Siapa sangka, dilahirkan pra matang dan berdepan komplikasi angin pasang, Ahmad pada zaman kanak-kanaknya juga pernah diserang demam panas sehingga memberi kesan kepada saraf kaki.

    Pun begitu, jiwa anak ke-10 daripada 11 beradik itu ternyata kental. Sikap happy go lucky terserlah bersama adik-beradiknya yang dikongsikan dalam media sosial tidak menggambarkan adik pelakon terkenal, Emma Membong itu seorang pemuda serba kekurangan.

    Melihat lagaknya beraksi demi menjayakan filem tempatan bakal ditayangkan tidak lama lagi, jejaka berusia 26 tahun itu membuktikan dirinya mampu sebaris pelakon handalan.

    Kegigihan pelakon utama filem Garang tersebut dalam menguruskan diri dan melakukan aksi lagak ngeri sendiri membuktikan kecacatan bukannya penghalang untuknya terus bangkit menjadi insan yang memberi aspirasi.

    Di sebalik kejayaannya kini, pastinya bertaut isi hati yang dipendamkan. Bagaimana Ahmad mampu bertahan dengan kecaman dan kritikan masyarakat yang masih memandang rendah terhadap orang kelainan upaya (OKU)?

    Kepada wartawan e-Trend, Ahmad menjawab beberapa persoalan signifikan berhubung perkembangan karier terkini, apatah lagi penampilan baharunya selepas berjaya menurunkan berat badan lebih 20 kilogram (kg).

    e-Trend: Tahniah kerana Ahmad dipilih sebagai barisan pelakon utama dalam filem Garang yang akan ditayangkan pada 5 Disember nanti. Boleh kongsikan bagaimana Ahmad boleh terpilih untuk menjayakan filem itu?

    Ahmad: Alhamdulillah. Saya berterima kasih kepada Kan Varren, pengarah filem Garang. Beliau memilih saya untuk memegang watak Reza kerana mahukan seseorang pelakon kelainan upaya yang sudah biasa beraksi di depan kamera. Ini bukannya pertama kali saya berlakon memandangkan sebelum ini pernah membintangi dua filem arahan Mamat Khalid. Saya cukup teruja kerana diberi kepercayaan untuk berlakon dalam filem paling mencabar setakat ini bersama rakan OKU yang lain.

    KERJASAMA yang baik antara rakan pelakon dan mendapat sokongan padu keluarga mendorong Ahmad untuk terus berjaya dalam industri lakonan.

    KERJASAMA yang baik antara rakan pelakon dan mendapat sokongan padu keluarga mendorong Ahmad untuk terus berjaya dalam industri lakonan.

    e-Trend: Difahamkan, filem Garang itu adalah kemunculan pertama Ahmad sebagai pelakon utama. Apakah cabaran yang paling besar membuatkan Ahmad barangkali berasa putus asa sepanjang tempoh penggambaran?

    Ahmad: Sebenarnya saya hampir putus asa semasa hendak memulakan penggambaran apabila kerusi khas untuk acara lumba kerusi roda tidak muat kerana seat bersaiz 14. Selalunya saya pakai kerusi roda dengan seat saiz 16 sehingga 18 sahaja. Disebabkan tidak boleh duduk dalam kerusi yang memang ikut potongan badan, ketika itu rasa down sangat sedangkan saya perlu pastikan muat duduk di kerusi itu dalam tempoh tiga minggu sebelum penggambaran bermula. Lagi satu, saya memang tiada pengalaman untuk kawal stereng dan pada masa sama kena tolak kerusi roda yang berat sehingga pernah berlaku insiden jari tersepit. Saya rasa tidak biasa duduk di kerusi roda itu, selalu terbalik ke belakang sehingga kepala terhentak. Memang tidak dinafikan tempoh tiga minggu pertama cukup memberi ‘pengalaman’ buat diri. Tapi alhamdulillah saya boleh harungi semua itu dengan baik.

    e-Trend: Sekarang ini, penampilan Ahmad cukup berbeza, kelihatan lebih kurus berbanding sebelum kemunculan filem Garang. Apakah rahsia Ahmad yang berubah menjadi fit?

    Ahmad: Inspirasi menjadi kurus ini disebabkan keinginan saya mahu menjayakan filem itu sebaik mungkin. Saya nekad untuk menguruskan badan supaya boleh muat duduk di kerusi itu. Bukan senang nak kurus, tapi saya amalkan makan roti oat, air kosong dan kafein tanpa gula selama tempoh tiga minggu. Sebelum pilih menu itu, saya ada buat research dalam internet dan makanan paling mudah didapati adalah roti oat. Minuman kafein juga saya ambil tanpa gula untuk bakar lemak. Pada mulanya pernah rasa hendak pitam dan gastrik, tetapi saya tahan diri demi menjayakan filem ini. Syukur, berat asal lebih 90kg berjaya turun sehingga 65kg. Lepas berjaya kurus, saya teruskan amal pemakanan sihat supaya badan kekal fit untuk persediaan rezeki lain selepas ini. (seloroh)

    e-Trend: Bagaimana dengan sokongan keluarga? Siapa dalam kalangan adik-beradik yang paling banyak memberikan dorongan dan tunjuk ajar?

    Ahmad: Tidak dinafikan ketika down dalam tempoh tiga minggu sebelum penggambaran, keluarga banyak beri kata-kata semangat dan membakar jiwa untuk saya lebih kuat. Kak Emma banyak bantu beri dorongan dan tunjuk ajar untuk saya menghayati dua watak berbeza daripada seorang yang pendiam kepada seorang yang bersosial. Pada mulanya saya sukar menjiwai watak, tetapi apabila serapkan watak Reza dalam diri, akhirnya saya boleh bawa peranan dengan baik dan melakukan aksi lagak ngeri dengan sendiri walaupun serba kekurangan.

    AKSI Ahmad dalam filem Garang.

    AKSI Ahmad dalam filem Garang.

    e-Trend: Saya difahamkan, Ahmad sendiri menyuarakan hasrat untuk membuat aksi lagak ngeri sendiri meskipun ada pelakon stunt disediakan? Mengapa mengambil tindakan sedemikian?

    Ahmad: Saya sebenarnya pertama kali memegang watak utama yang banyak aksi mencabar. Saya cuba untuk menguji limit diri dalam beberapa aksi kerana mahu membuktikan walaupun saya OKU tetapi mampu buat aksi sendiri tanpa khidmat stuntman. Bagi saya, semua orang sama sahaja, cuma kekurangan masing-masing yang berbeza.

    Mungkin pelakon lain boleh berjalan normal tetapi tidak berani buat aksi lagak ngeri tetapi saya cuba sendiri. Setiap orang ada limit masing-masing bahkan saya tidak rendah diri dengan kekurangan yang ada. Kebanyakan dialog yang ada pun saya cari sendiri bagi menyedapkan ayat. Kalau diberi peluang untuk berlakon lagi, saya mahukan watak gengster untuk cabar diri pada masa akan datang.

    e-Trend: Bagaimana keterlibatan Ahmad dalam filem itu mampu memberikan inspirasi kepada golongan kelainan upaya di luar sana?

    Ahmad: Pada mulanya, saya tidak terlepas berdepan kecaman dan kritikan orang ramai yang kononnya kata OKU tidak layak menjadi hero dalam filem. Isu layak atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting bagaimana kita menyampaikan sesuatu watak. Seperti watak Reza ini yang seorang OKU, sepatutnya OKU yang lebih sesuai melakonkannya sebab bagi saya, orang normal tidak tahu bagaimana struggle kami untuk teruskan hidup.

    Tiada timbul isu pandang rendah terhadap golongan OKU apabila pengarah cuba mengangkat inspirasi OKU dalam filem ini. Bahkan bagi saya, filem ini akan membuka mata semua terhadap kewujudan orang seperti kami yang mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu menjadi atlet negara jika diberikan perhatian sewajarnya. Filem ini juga mengajar kita supaya jangan cepat mengalah dan cuba sebaik mungkin untuk selesaikan masalah yang dihadapi. Bukan setakat pengajaran kepada diri, tetapi boleh memberikan satu harapan buat OKU.

    Sumber

  • Transformasi Seabad Koperasi Negara

    Transformasi Seabad Koperasi Negara

    PETALING JAYA – Jika manusia, di usia hampir 100 tahun mungkin sudah terlalu uzur dan dalam istilah lain, hanya menanti waktu tamatnya riwayat hidup.

    Namun bagi gerakan koperasi negara, tempoh seabad ini menjadi paksi untuk terus berdiri gah dan berkembang dalam memberikan manfaat terhadap sosio ekonomi masyarakat, khususnya dalam kalangan anggota.

    Kurang tiga tahun lagi, penubuhan gerakan koperasi negara ini yang sebahagian besarnya bernaung di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) selaku badan puncak gerakan koperasi negara akan mencapai usia 100 tahun.

    Dalam tempoh itu, koperasi mengalami transformasi yang seiring dengan keperluan semasa dalam mencapai objektif ekonomi dan sosial.

    Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi yang wujud sejak 1922, berkembang secara organik dekad demi dekad dan terlibat dalam aktiviti perniagaan yang pelbagai seiring dengan permintaan dan keperluan masyarakat serta perubahan teknologi.

    “Bermula dengan hanya 11 koperasi dan 825 orang ahli, kini terdapat 14, 417 koperasi yang berdaftar dibawah Akta Koperasi dengan lebih dari 6 juta anggota di seluruh Malaysia.

    “Sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) koperasi pada 2018 ialah RM40.3 bilion berbanding perolehan sebanyak RM34.95 bilion pada 2014, manakala aset koperasi pula meningkat daripada RM116.79 bilion kepada RM143.7 bilion.

    “Peningkatan yang ketara ini menunjukkan gerakan koperasi negara semakin berkembang dan kekal relevan merentasi zaman,” katanya kepada Sinar Harian.

    Abdul Fattah berkata, bagaimanapun sumbangan koperasi tidak boleh sekadar dilihat daripada segi sumbangan kepada perolehan negara, sebaliknya penglibatan ahli dan peranan yang dimainkan bagi perolehan manfaat langsung serta tidak langsung.

    “Sepanjang 100 tahun penubuhan koperasi di negara ini, koperasi telah memainkan peranan yang amat besar dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

    “Ini kerana koperasi tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama semata-mata sebaliknya memberikan manfaat kepada anggota menerusi pelbagai faedah kerana koperasi merupakan milikan bersama anggota.

    “Koperasi juga berjaya menyatupadukan bangsa kerana dalam koperasi kita tidak boleh bezakan orang berdasarkan ideologi politik, jantina, agama, bangsa,” katanya.

    Rangka pelan strategik

    Dalam berdepan cabaran mencapai sasaran KDNK 2030 sebanyak RM60 Bilion, ANGKASA mengatur langkah dengan turut merangka Pelan Strategik sehingga 2050.

    Antara lain, Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (KOPSYA) turut ditubuhkan pada tahun 2011 bagi membantu mengurus pembiayaan perniagaan milik koperasi.

    Pada masa sama, Abdul Fattah berkata, koperasi berperanan sebagai penyumbang kepada keperluan sosial daripada segi mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan pengalaman ‘hands on’ dalam bidang keusahawanan.

    “Pada 2013, ANGKASA juga mewujudkan program ‘100 Product Champion’ sebagai inisiatif meningkatkan kualiti produk koperasi melalui kaedah mendapatkan sijil berkaitan seperti GMP dan Halal serta memperbaiki mutu bungkusan dan pelabelan supaya capai piawaian pasaran antarabangsa.

    “62 Produk berjaya dibangunkan dibawah Projek Khas Produk 100 Champion daripada 23 koperasi dan 46 produk lagi sedang dibangunkan,” katanya.

    Strategi jangka panjang

    Berdepan peningkatan kos sara hidup, ANGKASA tidak terkecuali dalam merangka inisiatif bagi memberi manfaat secara langsung kepada 6 juta anggota koperasi menerusi Program Barang Asas 100 (BA100).

    Abdul Fattah berkata, pengenalan program berasaskan sistem pembelian dalam talian itu sejajar dengan salah satu Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) iaitu pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara.

    Ia juga katanya, bagi menyambut saranan dari Majlis Penasihat Kerajaan Malaysia (CEP) dalam membantu kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup.

    “Program ini menggunakan satu sistem pesanan dan pengedaran di mana ANGKASA berperanan menyelaras penawaran dan permintaan barang keperluan asas dengan membantu membuat pembelian secara pukal dan tunai melalui pembekal untuk mendapatkan harga lebih rendah.

    “Berteraskan e-dagang, sistem ini akan mengumpulkan belian barang asas secara pukal mengikut permintaan. Pengguna akan membuat pesanan terlebih dahulu sebelum barang-barang ini dihantar ke koperasi yang terlibat

    “Ini akan mengurangkan kos pengendalian stor dan penyimpanan kerana tidak memerlukan ruang penyimpanan besar,”katanya.

    Tambahnya, sebanyak 300 koperasi terlibat tahun ini dan pihaknya mensasarkan sehingga 3000 koperasi dalam usaha memastikan 6 juta ahli mendapat manfaat dalam tempoh tertentu.

    “Dalam masa sama ANGKASA juga akan membantu kedai-kedai koperasi termasuk kemudahan kredit untuk mereka mengembangkan lagi perniagaan,”katanya.

    MACCOPS 2019 sasar 30,000 pengunjung, nilai perdagangan ke hadapan RM200 juta

    Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi (MACCOPS) 2019 anjuran ANGKASA menyasarkan nilai perdagangan kehadapan sehingga RM200 juta.

    Abdul Fattah berkata, MACCOPS menjadi platform ANGKASA melaksanakan peranan dalam menjenamakan produk dan perkhidmatan koperasi itu sendiri.

    Menurutnya, ia juga menjadi pentas penjenamaan produk dan perkhidmatan untuk membina jaringan perniagaan koperasi dalam dan luar Negara.

    “MACCOPS 2019 edisi ke-4 mengangkat tema ‘Koperasi Gerbang Global Perdagangan Lestari’ (Coop Global Gateway to Sustainable Trade) dengan memberikan fokus untuk menjadikan sektor koperasi sebagai ejen memperkasa pembangunan sosio ekonomi bagi masyarakat di seluruh dunia.

    “Karnival ini turut memberi tumpuan untuk meningkatkan peranan sektor koperasi sebagai aset kelas baharu dan penggerak utama ekonomi dan keusahawanan sosial dalam menjana keuntungan dan meningkatkan perolehan golongan B40 di peringkat nasional dan global,” katanya.

    Menurutnya, seramai 30,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa serta 2,000 pengunjung perdagangan dijangka menghadiri ekspo produk dan perkhidmatan koperasi terulung negara itu.

    Beliau yang juga Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) berkata, koperasi luar negara seperti Brunei, Indonesia, Vietnam, Sri Lanka, China dan Korea Selatan juga bakal menyertai MACCOPS kali ini.

    “Persidangan tahunan ASEAN Co-operative Organization (ACO) turut akan dianjurkan sempena MACCOPS 2019, di mana kita akan bincang strategi bagaimana untuk perkasakan perniagaan koperasi di seluruh ASEAN yang melibatkan hampir 200,000 koperasi dengan keanggotaan lebih 60 juta orang.

    “ANGKASA sebagai badan apeks koperasi Negara akan terus komited menjadikan MACCOPS sebagai platform perdagangan antara koperasi dan koperasi (C2C) di peringkat nasional dan global serta landasan untuk menghubungkan masyarakat dengan gerakan koperasi,” katanya.

    MACCOPS Edisi ke empat akan berlangsung pada 28 hingga 30 November ini di Persada International Convention Centre, Johor Bahru dan terbuka untuk orang ramai.

    Penganjuran MACCOPS 2019 bersama-sama Suruhanjaya Koperasi Malaysia mendapat sokongan dan dokongan padu daripada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

    Sumber

  • Teknologi dron untuk projek tanaman padi

    Teknologi dron untuk projek tanaman padi

    FELCRA Seberang Perak melakarkan sejarah tersendiri apabila menjadi yang pertama menggunakan teknologi dron berskala besar untuk kerja penyemburan input pertanian di kawasan tanaman padi.

    Sejajar dengan aspirasi Felcra Berhad untuk merintis Model Pertanian Pintar, MATA Aerotech dilantik bagi melaksanakan perkhidmatan penyemburan tanaman padi menggunakan teknologi itu bermula hujung bulan ini.

    Merujuk satu kenyataan, penyemburan pertanian menggunakan teknologi dron lebih seragam akan menjurus kepada pengurangan pembaziran bahan semburan selain mengehad tenaga kerja manusia dan alam sekitar.

    “MATA Aerotech bersama Felcra akan menggunakan teknologi dron dan AI untuk melaksanakan analisa data pengawasan pertumbuhan serta kesihatan tanaman padi.

    “Analisa data lebih cepat dan tepat mampu membantu Felcra menambah baik pengurusan serta operasi estet padi ke arah Precision Agriculture selain mengangkat agensi kerajaan itu sebagai peneraju Model Pertanian Pintar yang berteraskan IR 4.0,” katanya.

    PELATIH Aviator Training Programme (ATP) mengendalikan teknologi dron untuk perkhidmatan penyemburan tanaman padi bermula hujung bulan ini.

    PELATIH Aviator Training Programme (ATP) mengendalikan teknologi dron untuk perkhidmatan penyemburan tanaman padi bermula hujung bulan ini.

    MoU tersebut menggariskan tiga aspek kerjasama utama iaitu penggunaan teknologi dron robotik untuk pengurusan dan operasi perladangan Felcra, peneraju aktiviti penyelidikan serta pembangunan (R&D) bagi meningkatkan inovasi sektor pertanian selain pembangunan modal insan.

    Pelantikan MATA Aerotech itu akan menggunakan teknologi dron bagi kerja penyemburan pertanian tanaman padi seluas 1,557 hektar estet padi Felcra Seberang Perak.

    Sumber

  • Nafkah ibu bapa atau isteri, siapa perlu diutamakan?

    Nafkah ibu bapa atau isteri, siapa perlu diutamakan?

    SEMUA orang cakna bahawa tanggungjawab memberikan nafkah terletak pada bahu seorang lelaki yang menjadi suami atau ketua keluarga.

    Menjadi persoalannya, apakah keutamaan dalam pemberian nafkah itu jika lelaki berkenaan masih mempunyai orang tua yang perlu disantuni.

    Antara nafkah terhadap isteri dan ibu bapa, mana yang perlu diutamakan?

    Sebelum menjawab persoalan berkenaan, fahamilah bahawa Islam ada menyediakan panduan turutan nafkah mengikut keutamaan.

    Sabda Rasulullah SAW: “Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar menyebut: “Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibu bapa.”

    Ia jelas menunjukkan bahawa menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk mendahulukan isteri dan anak-anaknya dalam pemberian nafkah berkenaan.

    Bagaimanapun, dalam keadaan darurat iaitu keadaan yang mana ibu bapa memerlukan bantuan seperti penyediaan ubat-ubatan, rawatan dan makan minum yang menjadi asas kepada kehidupan, maka ketika itu, si anak tadi perlulah mendahulukan orang tuanya demi kesinambungan kehidupan mereka.

    Sebenarnya, dalam perkara tersebut, semua anak-anak ibu atau bapa perlu ada kesefahaman dalam mengambil tanggungjawab.

    Menjaga, membantu dan berkhidmat perlu buat dua insan yang melahirkan serta membesarkan mereka.

    Dengan cara itu, ia tidaklah terbeban kepada seorang anak sahaja, sedangkan yang lain pula terlepas tangan.

    Apapun, jangan sesekali kita menganggap bantuan kepada ibu bapa sebagai beban.

    Sebaliknya, ia ihsan yang wajib kita tunaikan kerana itu merupakan hak orang tua kita.

    Firman ALLAH SWT: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

    Selagi hayat dikandung badan, jangan sesekali culas tentang bab nafkah dan taatlah kepada kedua ibu bapa.

    Berdoalah semoga ALLAH SWT mempermudahkan urusan kita dalam memberikan nafkah kepada isteri, anak-anak dan orang tua yang banyak berjasa kepada kita.

    (Sumber: Al-Kafi #1428: Antara Nafkah Isteri dan Ibu Bapa: Mana perlu diutamakan? Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

    Sumber

  • Alzheimer bukan penuaan normal

    Alzheimer bukan penuaan normal

    Darah tinggi, kencing manis, obesiti dan kemurungan meningkatkan gejalanya yang berkait demensia atau nyanyuk

    PENYAKIT alzheimer sangat berkait dengan gangguan progresif yang menyebabkan sel-sel otak merosot dan mati. Penyakit itu juga menjadi penyebab demensia yang paling biasa.

    Ia akan mengakibatkan kemerosotan berterusan dalam kemahiran berfikir, tingkah laku dan sosial yang mengganggu keupayaan seseorang berfungsi secara bebas yang biasanya dikaitkan dengan anggapan masyarakat sebagai ‘sakit nyanyuk’.

    Petanda awal yang mudah tentang penyakit itu lazimnya senang terlupa akan peristiwa mahupun topik perbualan yang baharu saja berlaku.

    Andai kata penyakit berkenaan dibiarkan berlanjutan, seseorang yang mengalami alzheimer akan mengalami gangguan ingatan yang teruk sehingga kehilangan keupayaan menjalankan tugas seharian.

    Lebih serius, penghidap alzheimer mungkin tidak dapat memahami perkataan yang biasa digunakan, mengenali ahli keluarga malah menjaga diri sendiri.

    Kita semua akan tua. Justeru bagaimana untuk mengelakkan penyakit yang dikatakan sering dihidapi golongan berusia itu?

    Perkongsian Mayo Clinic pula menekankan, belum ada rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit alzheimer atau mengubah proses penyakit itu di otak.

    Peringkat lanjut penyakit tersebut dikatakan menyebabkan komplikasi kehilangan fungsi otak yang teruk seperti dehidrasi, kekurangan zat makanan atau jangkitan malah mengakibatkan kematian!

    Justeru apa rawatan berkesan untuk menangani gejalanya daripada bakal menyelubungi seseorang? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif bersama beberapa pakar bagi menjawab persoalan berkaitan.

    Dunia penderita alzheimer

    AMIR Hamdan, 35, risau dengan perubahan ketara bapanya, Hamdan Rais, 67, sejak beberapa bulan lalu.

    Pesara kakitangan kerajaan itu secara fizikalnya kelihatan sihat, tetapi kerap ‘hilang ingatan’.

    “Biarpun baharu bercakap bapanya akan mengulangi pertanyaan yang sama. Kadangkala saya juga kurang faham apa yang hendak dipertuturkannya.

    “Sering juga masalah ingatannya itu menyebabkan bapa saya lupa di mana dia meletakkan barang seperti kunci rumah dan dokumen penting. Jika bertanya pula, emosi mudah berubah, tiba-tiba boleh jadi begitu sensitif,” cerita Amir kepada Sihat:Aktif.

    Risau dengan keadaannya yang dikhuatiri mempunyai masalah emosi semenjak pemergian ibu tersayang, Amir membawa bapanya itu berjumpa doktor. Hasil diagnosis, Hamdan didapati mengalami alzheimer!

    Jika menyingkap dapatan Persekutuan Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI), ADI menjangkakan pesakit alzheimer meningkat daripada 35.6 juta orang pada tahun 2010 kepada 65.7 juta orang (2030) dan 115.4 juta orang (2050).

    Statistik dalam negara pula, bancian tahun 2010 menunjukkan Malaysia mempunyai hampir 2.2 juta atau tujuh peratus warga emas.

    Jumlah kumpulan usia itu dijangka terus meningkat setiap tahun, malah negara ini diunjur akan menjadi ‘negara tua’ menjelang tahun 2030, iaitu apabila peratusan warga emasnya mencecah 15 peratus.

    Ya, kita biasa mendengar alzheimer yang lazimnya menyelubungi warga emas. Namun, berdasarkan data tadi, adakah penyakit itu ‘gejala biasa’ yang tidak perlu diambil pusing oleh ahli keluarga terdekat dengan pesakit itu, apatah lagi masyarakat?

    Menghuraikan tentang alzheimer, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Geriatrik Psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, Dr Suhaila Mohamad Zahir.

    DR Suhaila

    DR Suhaila

    Jejas fungsi otak

    Penyakit alzheimer bukanlah proses penuaan yang normal. Ia suatu penyakit yang menjejaskan fungsi otak secara progresif yang membawa kepada penurunan dalam keupayaan otak untuk berfungsi dengan baik dari segi ingatan (memori), penghakiman, penggunaan bahasa, perancangan dan tingkah laku.

    Itu merupakan salah satu daripada jenis demensia yang paling biasa ditemui, jelas Dr Suhaila.

    Lebih lanjut terhadap tanda-tanda awal penyakit itu pula menurutnya mungkin tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain.

    “Namun, gangguan daya ingatan bersifat ringan sebagai contoh lupa tentang nama benda, tempat, kejadian atau kandungan percakapan yang baru berlaku adalah gejala-gejala yang sering berlaku.

    “Di peringkat awal, ingatan tentang kejadian yang telah lama berlaku kebiasaannya masih belum terjejas,” terangnya kepada Sihat:Aktif.

    Antara tanda-tanda awal alzheimer yang lain jelas Dr Suhaila adalah:

    – Mempunyai masalah mencari perkataan dan berkomunikasi. Kesukaran mencari perkataan yang betul untuk objek setiap hari adalah satu tanda demensia di peringkat awal. Seseorang yang mengalami demensia boleh lupa perkataan yang mudah seperti ‘cawan’ dan menggantikannya dengan perkataan yang lain atau frasa seperti ‘benda yang digunakan untuk mengisi air untuk minum’.

    – Mengalami kesukaran untuk merancang dan penyelesaian masalah serta membuat keputusan yang biasa dilakukan.

    – Keupayaan untuk memahami idea-idea abstrak dan menyelesaikan masalah terjejas. Sebagai contoh seseorang yang mengalami alzheimer dementia mungkin terlupa atau tidak memahami bahawa beliau perlu membayar apabila membeli barang.

    – Perubahan emosi dan tingkah laku. Boleh berubah menjadi murung, cepat gelisah dan bertukar menjadi cepat terganggu sama ada dari segi percakapan atau tingkah laku. Emosi menjadi lebih sensitif dan cepat berubah-ubah tanpa alasan yang jelas.

    – Perubahan dalam personaliti. Boleh menjadi lebih pendiam atau lebih cepat marah.

    – Hilang minat dengan kerja dan aktiviti kemasyarakatan.

    – Tidur lebih kerap pada waktu siang dan berjaga pada waktu malam.

    Sejenis gangguan mental?

    Gejala psikologi dan tingkah laku berkait rapat dengan penyakit alzheimer dementia (AD), jelas Dr Suhaila.

    Kajian menunjukkan 64 peratus daripada pesakit AD mengalami sekurang-kurangnya satu jenis gejala-gejala psikologi dan tingkah laku dalam konteks demensia.

    “Antara gejala psikologi yang boleh berlaku adalah delusi, halusinasi, kemurungan, anxiety dan sukar tidur.

    “Sementara gejala tingkah laku adalah seperti percakapan yang agresif, kegelisahan dan berjalan mundar-mandir tanpa tujuan,” kata beliau.

    Terang Dr Suhaila lagi, gangguan emosi seringkali berlaku di peringkat ringan (mild) pada fasa penyakit AD. Gangguan tingkah laku dan gejala psikosis seperti halusinasi dan delusi sering berlaku dalam kalangan pesakit AD yang berada di peringkat sederhana (moderate).

    Pun begitu, apabila penyakit AD itu mengalami progresif ke fasa advance, gejala psikologi dan tingkah laku akan semakin berkurangan.

    Siapa ‘sasaran’ penyakit demensia itu?

    AD seringkali dihadapi oleh seseorang yang berusia 65 tahun ke atas. Anggaran prevalens adalah sebanyak lima peratus untuk mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan berganda setiap lima tahun, sehingga melebihi 25 peratus bagi umur 85 tahun ke atas.

    Namun ia juga boleh berlaku dalam kalangan yang berumur kurang dari 60 tahun, kata Dr Suhaila.

    Seperkara menurutnya, faktor genetik hanya kurang lima peratus daripada kesemua kes-kes AD.

    Boleh disembuhkan?

    Menjawab tanda tanya itu, terang beliau rawatan yang ada boleh melambatkan proses kemerosotan penyakit, terutamanya pada peringkat ringan atau awal tahap demensia.

    “Penting mengenalpasti masalah ini pada peringkat awal kerana masih banyak peluang untuk intervensi tingkah laku dan rawatan dengan ubat.

    “Dinasihatkan juga untuk mengamalkan cara hidup sihat termasuk menjaga pemakanan, senaman konsisten dan mempelajari sesuatu baru yang boleh merangsang minda,” katanya.

    Mengulas bentuk rawatan yang boleh diberikan jelas Dr Suhaila ia adalah dengan:

    1 Ubat-ubatan – Untuk melambatkan proses kemerosotan fungsi kognitif. Ada juga rawatan untuk masalah kemurungan, kegelisahan dan psikosis.

    2 Kognitif stimulasi – Intervensi stimulasi kognitif seperti terapi reminiscent, kerja-kerja kraftangan, padanan perkataan dan gambar sama ada secara individu atau berkumpulan boleh membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan aspek komunikasi pesakit. Sebaiknya, intervensi stimulasi itu berpadanan dengan tahap keupayaan pesakit.

    3 Intervensi tingkah laku – Kenal pasti apakah perkara atau situasi yang menyebabkan tercetusnya gejala tingkah laku tersebut. Itu kerana kebanyakan masa, situasi yang mencetus gejala boleh diubah atau diperbaiki agar mengurangkan gejala tingkah laku itu.

    4 Terapi psikologi penjaga pesakit – Dalam merawat pesakit AD, kesihatan mental keluarga yang menjaga pesakit juga diambil kira. Terapi sokongan dan intervensi psikologi boleh diberikan kepada ahli keluarga atau penjaga yang memerlukan.

    Mencegah

    Masih berkisar tentang rawatan, Pakar Bedah Saraf, Pusat Perubatan MSU, Prof Dr Badrisyah Idris pula berkongsi, gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan bagi mencegah masalah darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti serta senaman dapat menjauhkan alzheimer.

    DR Badrisyah

    DR Badrisyah

    Aktiviti seperti membaca, bermain alat muzik dan permainan yang memerlukan daya pemikiran boleh mencegah kemerosotan daya kognitif, katanya.

    “Antara yang berpotensi untuk meningkatkan risiko mendapat alzheimer adalah termasuk darah tinggi, kencing manis dan obesiti, kecederaan kepala, penyakit kemurungan dan ketagihan nikotin.

    “Rawatan untuk penyakit ini adalah termasuk ubat-ubatan untuk masalah kognitif dan mengawal tingkah laku yang agresif,” jelas Dr Badrisyah lagi.

    Terangnya, komplikasi biasa disebabkan oleh ubat-ubatan itu pula adalah loya dan mengantuk.

    Selain itu, selari saranan Dr Suhaila ujar beliau, rawatan lain untuk penyakit alzheimer adalah psikososial iaitu mengawal masalah emosi, tingkah laku dan kognitif penghidapnya.

    Terdahulu, menurutnya alzheimer disebabkan oleh kemerosotan saraf otak yang berfungsi untuk daya kognitif.

    Kemerosotan saraf otak itu boleh disebabkan faktor seperti mempunyai genetik yang berisiko alzheimer, kekurangan ‘acetylcholine’ untuk saraf-saraf otak berhubung dan penghasilan protein-protein yang tidak normal di dalam otak.

    “Alzheimer adalah disebabkan oleh kemerosotan daya ingatan atau kognitif. Dengan kata lain, penyakit ini menyebabkan nyanyuk ataupun demensia,” katanya.

    Ditanya jenis gender lebih dominan mendapat penyakit itu, kata beliau faktor jantina bukanlah satu penyebab kepada penyakit alzheimer.

    “Tetapi jangka hayat yang lebih panjang dalam kalangan wanita menjadikan kadar penyakit alzheimer terlihat lebih tinggi buat golongan berkenaan berbanding dengan lelaki,” katanya.

    Sakitketara waktu senja, ramai sangka adagangguan

    MENJAGA mereka yang mengalami demensia bukanlah sesuatu yang mudah. Pun begitu, ramai ahli keluarga tidak menyedari tanggungjawab yang perlu dijalankan.

    Menjaga ahli keluarga yang mengalami penyakit alzheimer bukan sahaja apabila mereka sudah pada tahap yang teruk, sebaliknya setiap tahap penyakit demensia itu ada cabaran tersendiri. Sebenarnya tugas penjagaan tersebut seperti pekerja sepenuh masa.

    Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria berkata, gejala-gejala mereka yang mengalami demensia bukan hanya masalah memori, malahan ia lebih daripada itu dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada penjaga.

    DR Hazli

    DR Hazli

    “Pesakit juga boleh mengalami perubahan emosi, tingkah laku yang di luar kebiasaan dan juga pengalaman luar biasa. Ada juga yang berfikiran tidak rasional.

    “Pesakit boleh bertindak ganas sekiranya permintaan mereka tidak dilayan atau dihalang melakukan sesuatu yang tidak wajar. Selalunya gejala yang dialami semakin ketara pada waktu senja yang menyebabkan ahli keluarga sering mengaitkan dengan gangguan sihir. Sebaliknya perubahan dari siang ke malam itulah yang menyebabkan mereka semakin terkesan!,” ujar beliau.

    Disebabkan tanggungjawab untuk menjaga mereka yang mengalami demensia besar dan mencabar, selalunya ahli keluarga terutama yang mempunyai ramai adik-beradik akan mengambil tugasan secara giliran.

    Ironinya, walaupun tampak seperti satu ‘strategi’ yang baik, sebaliknya kekerapan berubah tempat tinggal dari satu anak kepada anak yang lain boleh menyebabkan kadar penurunan penyakit nyanyuk itu semakin drastik.

    Hal itu kerana setiap kali berpindah rumah pesakit memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu. Ini akan menambah beban kepada otak pesakit demensia, kata beliau.

    “Adalah lebih baik dan praktikal, sekiranya pesakit tidak kerap berubah tempat tinggal, sebaliknya tinggal secara tetap di rumah salah seorang anak atau tinggal berseorangan. Anak-anak yang lain hulurkan bantuan kewangan untuk menggajikan pembantu contohnya.

    “Lebih penting, anak-anak yang lain akan menggantikan anak yang menjadi carer dan ini boleh mengelakkan anak tersebut tidak stres dan burnt out”,” katanya.

    Dr Hazli berkata, untuk mereka yang ada demensia; ‘less is more’. Kurangkan perkara yang memerlukan otak mereka bekerja keras tetapi elakkan otak langsung tidak bekerja.

    “Less is more and less is better than nothing,” kata beliau sebelum mengakhiri temubual.

    ANEKDOT

    Tahap alzheimer:

    Alzheimer dementia boleh dikategorikan kepada tahap ringan, tahap sederhana dan tahap advance.

    1) Alzheimer tahap ringan: Antara dua ke empat tahunKebiasaannya berulang-ulang bercakap perkara yang sama, hilang minat dalam perkara yang biasanya diminati, mengalami masalah mencari perkataan, nama atau objek. Mereka juga seringkali hilang barang, mengalami masalah perubahan emosi dan sukar untuk memahami perkara-perkara yang kompleks.

    Kebiasaannya mereka masih aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan namun, masalah lupa dihadapi boleh menyebabkan mereka mudah rasa kecewa dengan kehidupan seharian.

    2) Alzheimer tahap sederhana: Lebih kurang dua ke 10 tahun. Fasa yang paling lama.Mudah hilang arah walaupun di tempat yang biasa untuk mereka. Mereka boleh menjadi lebih keliru tentang kejadian yang baharu berlaku. Semakin memerlukan bantuan untuk tugasan harian seperti memakai baju atau membasuh. Mereka menjadi lebih mudah bertengkar, mempercayai sesuatu yang tidak nyata, sukar untuk tidur dan sering berjalan mundar-mandir.

    3) Alzheimer tahap advance. Fasa itu boleh berlangsung antara satu ke tiga tahun atau lebih.Memerlukan bantuan penjaga sepenuhnya. Mereka mungkin tidak dapat memahami perkataan yang biasa digunakan, mengenali ahli keluarga dan menjaga diri sendiri.



    Sumber

  • MYNAP pilihan IX ketiga Malaysia

    MYNAP pilihan IX ketiga Malaysia

    PENGENALAN Malaysia Network Access Point (MYNAP) sebagai ibu sawat Internet (IX) ketiga di Malaysia mampu menarik lebih ramai pelabur dan syarikat antarabangsa untuk menjadikan negara hab perniagaan dan ekonomi.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NTT Ltd Malaysia, Henrick Choo, pihaknya percaya pengenalan MYNAP itu tepat sebagai tarikan buat pelabur dan syarikat luar negara.

    “Mereka boleh mempertimbangkan Malaysia sebagai hab perniagaan dan ekonomi kerana usaha pendigitalan yang giat dilaksanakan selain lokasi yang strategik di Asia Tenggara.

    “MYNAP juga akan memberi manfaat terhadap penyediaan trafik setempat yang pelbagai kepada infrastruktur ICT sedia ada di Malaysia seterusnya dapat membina ekosistem internet yang sihat,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

    MYNAP juga membuka peluang untuk pilihan alternatif buat perkhidmatan ketersambungan yang lebih cekap di Pusat Data Kadar 3 TIA942.

    Perkhidmatan yang menjadi satu-satunya IX tempatan itu mempunyai rangkai padan (peering) dengan penyedia IX lain dalam Kumpulan NTT di rantau ini seperti Japan Network Access Point (JPNAP) dan Jakarta Internet Exchange (JKT-IX).



    Sumber

  • Audio canggih AMBEO jadi rebutan

    Audio canggih AMBEO jadi rebutan

    IDAMKAN audio high fidelity (hifi) bertaraf studio canggih ketika menonton rancangan kegemaran atau filem pecah panggung di rumah? Sennheiser, jenama audio terkemuka di dunia ada jawapannya.

    Syarikat gergasi Jerman yang sememangnya pakar dalam bidang audio itu memperkenal fitur baharu, AMBEO Soundbar dengan menampilkan ciri penentukuran bilik termaju menggunakan teknologi maya terkini dan dibangunkan bersama Fraunhofer.

    Audio yang boleh disesuaikan mengikut spesifikasi bilik tertentu itu lebih kehadapan kerana mampu menghasilkan bes 30Hz sangat padu tanpa memerlukan subwoofer tambahan.

    Menurut Pengarah Urusan Sennheiser Asia, Martin Low, AMBEO Soundbar berupaya menjadi produk terbaik tahun ini dan menarik perhatian semua khususnya para pencinta audio berkualiti.

    “Kami sentiasa mengutamakan kehendak pelanggan terhadap apa juga inovasi yang dilakukan selain menterjemahkan kesungguhan Sennheiser dengan penglibatan dalam segmen bar bunyi premium buat pertama kali.

    “Bahkan kami mempelawa pelanggan untuk tampil dan berkongsi wawasan mereka mengenai audio berkualiti pada masa depan,” katanya sempena Majlis Sesi Pendengaran AMBEO Soundbar di Ritz Carlton Kuala Lumpur baru-baru ini.

    TEKNOLOGI dihasilkan pakar audio Jerman sebagai salah satu bar bunyi terbaik di dunia itu mampu memberikan bunyi 3D yang mengaburi sempadan antara bunyi rakaman dan realiti.

    TEKNOLOGI dihasilkan pakar audio Jerman sebagai salah satu bar bunyi terbaik di dunia itu mampu memberikan bunyi 3D yang mengaburi sempadan antara bunyi rakaman dan realiti.

    Mengulas lanjut mengenai inovasi yang serba revolusioner itu, Martin berkata, teknologi AMBEO sentiasa berinovasi daripada segi realiti dan perspektif bunyi sejak dilancarkan pada tahun 2016.

    “Oleh itu, kami sangat teruja kerana dapat memperkasakan para pendengar untuk menentukan definisi bunyi sempurna dan pengalaman audio 3D yang belum pernah mereka alami sebelum ini.

    “Sebagai Bar Bunyi Sennheiser yang pertama, ia memanfaatkan kuasa sistem pawagam berbilang pembesar suara ke dalam sebuah peranti serba canggih, dikuasakan 13 pemacu termaju demi memberikan pengalaman bunyi 5.1.4,” ujarnya.

    Teknologi dihasilkan pakar audio Jerman sebagai salah satu bar bunyi terbaik di dunia itu mampu memberikan bunyi 3D yang mengaburi sempadan antara bunyi rakaman dan realiti menerusi sebuah peranti.

    Dilengkapi dengan teknologi Upmix yang boleh diserasikan dengan Dolby Atmos, DTS:X dan MPEG-H, ia mampu menukar sebarang sistem stereo atau audio 5.1 kepada pengalaman bunyi 3D, disokong oleh piawaian HDMI terkini.



    Sumber

  • Legion Truck buru kaki game

    Legion Truck buru kaki game

    BERITA baik buat ‘kaki game’ apabila Lenovo memperkenalkan Legion Mobile Truck, kenderaan yang dibina dengan kelengkapan penuh set gajet permainan dan menjelajah seluruh negara bermula Oktober lalu sehingga Disember ini.

    Gamers yang bertuah berpeluang menaiki trak tersebut dan menjadi individu pertama merasai sendiri model keluaran terbaharu syarikat teknologi multinasional China, Lenovo Legion Y545 dan Y7000.

    Pengurus Besar Lenovo Malaysia, Varinderjit Singh berkata, inovasi adalah jiwa Lenovo dan Legion Truck menjadi contoh sempurna bagi menterjemahkan kesungguhan pihaknya yang sentiasa membawakan teknologi baharu.

    “Semua pemain game di seluruh Malaysia disarankan mencuba Lenovo Legion Y545 dan Y7000 yang baharu sekali gus membolehkan kami menambah baik produk untuk pengalaman lebih baik.

    “Trak itu adalah satu-satunya di Malaysia dan berharap dapat menarik gamers untuk bersama mengembangkan lagi komuniti Legion dengan ganjaran menarik,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Tidak kira pemain profesional atau pun kasual, mereka boleh mempamerkan kemahiran masing-masing dalam The Surge 2, Gears 5 dan Doom melalui peranti pintar yang disediakan khas untuk mempertingkatkan prestasi permainan.

    Vendor komputer peribadi terbesar di dunia itu turut menawarkan ganjaran gaming mouse atau papan kekunci percuma bagi setiap pembelian Legion T530 Gaming Tower dan Legion C530 Cube.

    Semua pembeli juga berpeluang untuk memenangi hadiah utama berupa sebuah monitor Lenovo Legion Y44W dengan saiz 43.4 inci WLED panel HDR dan barangan edisi terhad lain.

    ANEKDOT

    SPESIFIKASI lain:

    LENOVO Legion Y545 dilengkapi ciri pemproses Intel Core generasi ke-9

    LENOVO Legion Y545 dilengkapi ciri pemproses Intel Core generasi ke-9

    Lenovo Legion Y545

    • Dilengkapi ciri pemproses Intel Core generasi ke-9.
    • Dioptimumkan terma lebih sejuk dan senyap.
    • Mempunyai papan kekunci putih bersaiz penuh.

    LENOVO Legion Y7000 mempunyai papan kekunci merah bersaiz penuh, rekaan grafik, memori dan storan terkini.

    LENOVO Legion Y7000 mempunyai papan kekunci merah bersaiz penuh, rekaan grafik, memori dan storan terkini.

    Lenovo Legion Y545

    • Saiz 15.6 inci komputer riba.
    • Dilengkasi ciri pemproses Intel Core generasi ke-9.
    • Rekaan grafik, memori dan storan terkini.
    • Mempunyai papan kekunci merah bersaiz penuh.



    Sumber