Blog

  • MAEPS tawar kepuasan pengunjung

    MAEPS tawar kepuasan pengunjung

    SEBUT saja Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor pasti sudah sinonim di benak kita akan lokasinya yang sering menjadi pusat untuk mempromosikan hasil pertanian dan makanan Malaysia.

    Ditubuhkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk menjadi pusat kegiatan dan aktiviti berasaskan hasil bumi, ia seringkali dipilih sebagai tempat pameran utama bagi acara dan aktiviti tempatan serta antarabangsa.

    Paling melekat di hati rakyat Malaysia apabila MAEPS sinonim menjadi tuan rumah bagi kejayaan program skala raksasa seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun.

    Taman seluas 130 hektar terletak di atas tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu memperlihatkan usaha keras MOA memposisikan kepentingan kedaulatan dan keselamatan makanan negara, selaras dengan moto ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’.

    Selain tempat pertemuan, persidangan dan pameran, terutamanya berkaitan bidang pertanian dan hortikultur, MAEPS kini kian menjadi tumpuan industri agro pelancongan.

    Nyata mendapat sambutan, buktinya Ketua Pegawai Operasi MAEPS, Norafizah Rahman berkata, secara purata kira-kira 60,000 pengunjung yang menjejakkan kaki di MAEPS setiap bulan.

    Pada satu sisi, dek kedudukannya dalam lingkungan strategik, Norafizah berkongsi pihaknya mengidamkan MAEPS bakal menjadi ala lokasi popular Central Park iaitu taman bandar terletak di Manhattan, New York City, di Amerika Syarikat.

    Melihat potensinya, barangkali bukan mustahil buat MAEPS. Apa agaknya keistimewaan di lokasi taman agro itu? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif minggu ini.

    Lokasi agro pelancongan sesuai bersantai, berekreasi selain penuh informasi

    SAMBIL menikmati makan tengah hari, kelihatan kanak-kanak bergembira memberi makan dan bermain dengan sang unta. Beberapa ekor kambing turut kelihatan ‘memeriahkan’ suasana.

    Usahkan si kecil, mereka yang dewasa juga teruja. Mana tidaknya, haiwan yang biasa didapati di padang pasir kini berada di depan mata. Aksi ‘manja’ kumpulan kambing yang menanti pengunjung untuk menyuakannya dengan makanan juga mencuit hati.

    Ya, betapa lapangnya dada tatkala penulis dapat meluangkan masa menyaksikan situasi berbeza itu. Dapat pula menaiki trem di samping menghirup udara yang dikelilingi kehijauan dan tanaman serta menikmati pemandangan air tasik di lokasi yang tenang tanpa kesibukan kenderaan.

    Ternyata ciptaan Tuhan seperti haiwan, flora dan fauna mampu membelai kedamaian di hati. Bagi jiwa yang mampu menjadi ‘cair’ melihat anugerah ILAHI itu, destinasi agro pelancongan barangkali mampu memenuhi keperluan.

    Itu yang dapat kami rasakan tatkala mengunjungi Taman Ekspo Pertanian Malaysia atau lebih dikenali sebagai MAEPS Serdang, Selangor baru-baru ini.

    Ketua Pegawai Operasi MAEPS, Norafizah Rahman ketika diwawancara baru-baru ini turut menekankan bahawa lokasi di MAEPS mempunyai signaturnya yang tersendiri hingga kian menjadi tumpuan.

    NORAFIZAH

    NORAFIZAH

    “Sebenarnya sejak Disember 2017, kita sudah ada unit baharu iaitu Unit Agrotourism. Mungkin belum lagi mencapai tahap seperti di negara jiran, tetapi jumlah pengunjung di MAEPS sudah agak memberangsangkan.

    “Boleh dikatakan bukan sekadar laman pertanian, ramai datang ke MAEPS kerana lokasi gastronomi atau tempat makan dan aktiviti serta kemudahan terdapat di sini,” katanya kepada Sihat:Aktif.

    Pendek kata, menawarkan kepuasan untuk relaks dan menyihatkan di samping beraktiviti buat pengunjung, MAEPS sememangnya prospek besar bidang pelancongan. Sesuailah ia lokasi terpilih sempena Tahun Melawat Sepang 2020 nanti.

    Apa yang menarik di situ? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif sempena tinjauan di sana baru-baru ini.

    House of Kambing/ MAEPS Ecofarm

    Kami mula ‘meredah’ MAEPS kali ini dengan mengisi perut di House of Kambing. Bagi pencinta masakan berasaskan daging kambing, jangan lepaskan peluang menikmati hidangan di situ.

    Mungkin sukar didapati di tempat lain, apa kata cubalah hidangan antaranya, daging kambing goreng, nasi goreng kambing, kambing goreng kunyit ataupun sup kambing di situ. Penulis pasti mereka yang mencubanya akan menaikkan ibu jari tangan.

    HOUSE of Kambing.

    HOUSE of Kambing.

    MENU yang disajikan di House of Kambing.

    MENU yang disajikan di House of Kambing.

    Anda tidak makan kambing? Jangan bimbang makanan berasaskan lauk lain seperti ayam juga terdapat di situ. Yang pasti menu untuk si kecil juga tersedia.

    Di samping menjamu selera, bolehlah menjamu mata melihat unta dan ‘rakan-rakan’ kambingnya yang hanya terletak di padang bersebelahan House of Kambing.

    Pengunjung berpeluang menyuapkan makanan kepada haiwan berkenaan. Anak-anak pasti insan paling gembira dengan momen itu.

    Laman herba & Ladang Mini Kelulut

    Paling signifikan dengan apa yang ditawarkan MAEPS ialah empat buah laman pertanian khususnya untuk tanaman herba, padi, nanas dan ternakan.

    Usai mengisi perut, salah satu lokasi yang sempat kami kunjungi ialah Laman Herba. Mempunyai gabungan lebih 150 spesies, pelbagai tanaman, ramuan dapur, bunga-bungaan dan ulaman yang mempunyai nilai perubatan boleh didapati.

    Di samping menambah ilmu pengetahuan, tarikan tumbuhan berwarna-warni, aroma semula jadi sememangnya memberi kesan terapeutik kepada pengunjung.

    Antara menarik perhatian, pokok tongkat ali, kacip fatimah, mahkota dewa, belalai gajah, lampoyang, hempedu bumi, senduduk, lelipan, bidara, jarum tujuh bilah dan pelbagai lagi.

    ANTARA herba di Laman Herba.

    ANTARA herba di Laman Herba.

    Barangkali pusat sehenti herba itu juga sesuai untuk golongan penyelidik, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi, malah orang awam yang berminat untuk mengenali dengan lebih dekat tumbuhan berguna di sana.

    Sesuailah beberapa puluh koloni atau ‘rumah’ lebah kelulut di Ladang Mini Kelulut ditempatkan di laman itu. Kami difahamkan, hasil madu yang berbeza adalah daripada hasil bunga dan tumbuhan berbeza yang dihisap oleh lebah.

    Sempat juga kami merasa pelbagai jenis madu di Ladang Mini Kelulut itu.

    Laman Nanas

    Mahu membasahkan tekak dengan minuman sihat? Apa kata singgah di Laman Nanas yang menyediakan buah segar nanas yang dihidangkan bersama air dan tat nanas.

    Istimewanya, nanas jenis MD2 yang pastinya umpama cair di mulut. Tidak perlu khuatir lidah berasa merambat selepas makan buah tropika itu, ia hampir tidak berlaku.

    PENGUNJUNG disajikan dengan air, buah dan tat nanas.

    PENGUNJUNG disajikan dengan air, buah dan tat nanas.

    Isinya yang manis tanpa gula, mampu menambah ceria. Jangan pulang dengan tangan kosong. Jika tidak, sudah tentu akan terkenangkan akan keenakan rasanya selepas menikmati nanas itu tatkala sampai di rumah.

    Laman Padi

    Bukan mudah untuk menikmati pemandangan sawah padi di kawasan dikelilingi pembangunan masa kini. Namun itu bukan sesuatu yang mustahil di Laman Padi MAEPS.

    Bertuahnya kunjungan tim Sihat:Aktif kali ini apabila berpeluang mengunjungi laman istimewa itu ketika dedaun padi sedang menghijau.

    PADI yang sedang menghijau ketika kunjungan Sihat:Aktif.

    PADI yang sedang menghijau ketika kunjungan Sihat:Aktif.

    Biarpun petaknya tidaklah seluas saujana mata memandang, tetapi sudah cukup membuatkan kami berpuas hati menyaksikan sendiri tumbuhan yang menghasilkan makanan ruji itu.

    Buat ibu bapa yang ingin menunjukkan pokok padi untuk tatapan si anak yang dahagakan ilmu, bolehlah berkunjung ke sini. Yang pasti, galeri padi di situ dapat memudahkan lagi penerangan mengenai ‘pokok beras’.

    Dari kaedah tradisional hingga ke moden, semuanya dipaparkan. Tentu anak-anak akan melopong mulut tatkala menghayati rupa dan kegunaan peralatan padi.

    PERALATAN tradisional di Galeri Padi.

    PERALATAN tradisional di Galeri Padi.

    Sebelum itu, sempat trem yang dinaiki kami melalui lokasi Rumah Negeriku yang menonjolkan keunikan 13 reka bentuk rumah tradisional setiap negeri.

    Difahamkan, rumah di bawah kendalian Kerajaan Negeri masing-masing itu juga menawarkan pakej atau aktiviti untuk persembahan kebudayaan, makanan istimewa dan produk keluaran negeri, banquet event dan majlis reunion.

    Pun begitu, program di bawah komponen itu adalah tertakluk kepada kelulusan penggunaan Rumah Negeri oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

    G2G Animal Garden (zoo mini)

    Pastinya sekeluarga dapat menikmati pengalaman yang menyeronokkan tatkala berkunjung ke G2G Animal Garden.

    Mengenali dan mendekati haiwan dengan lebih dekat malah berpeluang menyentuh haiwan jinak, mungkin menjadi pengalaman manis buat si kecil untuk bercerita sehingga sampai ke rumah apa yang terdapat di zoo mini itu.

    Buat pemegang MyKad, bayaran masuk ke G2G hanya RM20 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak serta warga emas. Sementara pakej sekeluarga hanya serendah RM60.

    Terdapat Pygmy Goat, kambing jenis kerdil dan sangat comel bernama Tengku. Lihatlah secara dekat kambing berasal dari lembah Cameroon Afrika Barat itu. Manja dan jinak serta suka mengusik kanak-kanak, Tengku sentiasa menjadi tumpuan dan menghiburkan pengunjung G2G.

    Sempat juga penulis melewati ‘rumah’ burung-burung yang jinak, bermain dengan pelbagai jenis spesies kucing dalam ‘rumah’ dilengkapi pendingin hawa buatnya dan arnab yang setia menanti.

    BURUNG jinak di G2G Animal Garden.

    BURUNG jinak di G2G Animal Garden.

    Haiwan comel seperti rakun, marmoset (monyet kecil) bertelinga putih, reptilia juga ada di situ.

    Bagi si kecil yang mahu mencuba menunggang kuda padi, terdapat khidmat tersebut yang disediakan. Kosnya sekali tunggangan hanya serendah RM5.

    Difahamkan terdapat lebih 60 spesies haiwan jinak di G2G yang beroperasi pada hari biasa dari jam 10 pagi hingga 6 petang, manakala pada hari minggu dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang.

    Sukan berkuda

    Anak remaja dan dewasa dahagakan aktiviti sihat yang lebih mencabar, apa kata ke lokasi Sukan Berkuda, Rubinga Heritage dan Equine Centre – Majlis Ekuin Malaysia di MAEPS.

    Sesungguhnya melihat kelibat kegagahan kuda yang tegap dan tinggi di situ juga sudah mampu meningkatkan adrenalin. Cubalah juga menunggangnya, pastinya akan menyimbah aura keberanian berbeza.

    DI tapak Sukan Berkuda.

    DI tapak Sukan Berkuda.

    Hendak belajar menunggang kuda juga boleh di situ. Pelbagai pakej disediakan.

    Spa @maeps

    Penat dan lenguh badan, singgahlah pula di Spa @maeps.

    Kepakaran ahli fisioterapi di situ adalah untuk membantu menyelesaikan masalah dan menambah baik kesihatan melalui kaedah perawatan alternatif dan komplementari.

    Antara yang istimewa di situ adalah terapi meridian badan dengan gabungan lima teknik urutan. Teraputik refleksologi juga merupakan teknik urutan bagi pemulihan serta penjagaan kesihatan tubuh badan secara menyeluruh dengan cara mudah, selamat dan berkesan juga dihidangkan di Spa @maeps.

    KRU Sihat:Aktif mencuba rawatan di Spa @maeps.

    KRU Sihat:Aktif mencuba rawatan di Spa @maeps.

    Waktu operasi di spa itu adalah setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang dari hari Isnin hingga Ahad.

    Pun begitu, sebelum datang pastikan membuat masa temujanji bagi mengelakkan terpaksa menunggu lama atau langsung tidak berkesempatan mendapatkan servis disediakan. Apa tidaknya, difahamkan senarai menunggu sentiasa ada pada setiap hari.

    G2G Techno Cafe

    Kembali lapar selepas seharian penat berjalan, satu lagi pilihan tempat makan menarik buat pengunjung MAEPS adalah di G2G Techno Cafe yang terletak tidak jauh dari Goat2Go Farm.

    Istimewanya di situ adalah hidangan barbeku kambing, selain turut menyajikan kambing golek, lamb chop dan lamb grill. Harga berpatutannya bergantung kepada pakej.

    HIDANGAN popular juga berasaskan daging kambing di G2G Techno Cafe.

    HIDANGAN popular juga berasaskan daging kambing di G2G Techno Cafe.

    Selain itu, cubalah makan piza pepperoni bersama keju mozarela home made yang ada G2G Techno Cafe. Memang lain daripada yang lain, malah harganya juga berpatutan iaitu pada RM28 untuk piza bersaiz sederhana besar.

    KEJU mozarela home made yang dihasilkan sendiri untuk membuat piza di G2G Techno Cafe.

    KEJU mozarela home made yang dihasilkan sendiri untuk membuat piza di G2G Techno Cafe.

    Sihat:Aktif sempat singgah dan merasa kedua-dua hidangan dijamin menjilat jari itu. Ternyata berbaloi!

    Hidangan makan tengah hari turut disediakan di kafe yang dibuka setiap hari kecuali hari Selasa, dari jam 10 pagi hingga 7 malam itu.

    Nafas Cube

    Andai kata tidak puas meneroka segala aktiviti dan keseronokan ditawarkan MAEPS, apa kata menginap saja di situ.

    Nafas Cube menyediakan bilik executive khas untuk yang inginkan kombinasi percutian selesa dan santai dengan dekorasi bilik di dalam kabin.

    Biarpun begitu ia tetap dilengkapi tilam empuk dan berkualiti serta penyaman udara. Kemudahan disediakan juga lengkap dengan tandas yang bersih, selesa serta dilengkapi air panas.

    Harga lebih ekonomi juga disediakan sebagai pilihan penginapan yang mana unik dengan ‘rumah’ berbentuk kolong, namun masih dilengkapi tilam dan pendingin hawa.

    NAFAS Cube.

    NAFAS Cube.

    Pun begitu, bagi yang mahu lebih adventure, boleh memilih hanya memasang khemah sendiri. Terdapat pakej dengan harga berbaloi bagi kesemua tempat penginapan yang disediakan.

    Istimewanya, pasangan yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan bertemakan taman juga boleh diadakan dengan menyewa tapak di situ.

    Berhampiran Nafas Cube yang terdapat sebuah tasik yang tenang juga lokasi The Nest. Pengunjung boleh mengadakan aktiviti berkhemah, berkayak dan memanah di situ.

    ANEKDOT

    APA ADA DI MAEPS?

    AGROTOURISM PARK

    Terdapat tiga komponen utama iaitu Laman Agro, Agro Recreation dan Rumah Negeriku.

    1) Laman Agro:

    Terdapat pakej untuk pengunjung sama ada Guided Tour (prebook), Tram Ride (walk-in) atau pakej customised bergantung kepada permintaan pelanggan. Laman Agro MAEPS terdiri daripada lapan laman iaitu Laman Herba, Laman Sayur, Laman Padi, Laman Nanas, Laman Ternakan, Laman Florikultur dan Laman Jentera.

    Guided Tour – Melawat Laman Herba, Taman Mini Kelulut, Laman Nanas, Laman Jentera, Laman Padi, MAEPS Ecofarm dan Ladang Ternakan (Goat2Go Farm). Di sini pengunjung boleh merasa food sampling, mix soil, bermain dengan haiwan kesayangan dan lain-lain.

    2) Laman Agro Recreation

    Pelbagai aktiviti rekreasi ditawarkan seperti trek joging, berbasikal, menunggang kuda, memanah, perkhemahan, joy run, agro hunt dan orbing. Joging dan berbasikal adalah percuma.

    3) Rumah Negeriku

    Komponen yang masih dalam perancangan. Menggunakan sepenuhnya 13 Rumah Negeri di bawah Kerajaan Negeri. Antara aktiviti atau pakej ditawarkan adalah homestay, persembahan kebudayaan, makanan istimewa dan produk negeri dan majlis, namun tertakluk kepada kelulusan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

    Harga pakej MAEPS Agrotourism Park Pakej asas Laman Agro: RM45/pax (pemegang MyKad)

    Pakej asas Agro Hunt: RM42/pax (termasuk hidangan ringan) @ RM62/pax (hidangan ringan dan makan tengah hari)

    Pakej Food Hunt: RM65/pax

    Antara tarikan lain diuruskan Rakan Niaga MAEPS:

    1. Sukan Berkuda (Rubinga Heritage & Equine Centre – Majlis Ekuin Malaysia)

    2. F&B Outlet / Restoran di MAEPS – MAEPS Bistro, House Of Kambing, Goat2Go Farm, Nasi Kandar Apollo, MAEPS Ikan Sungai & Seafood Restaurant.

    3. Spa @maeps

    4. Taman Mini Kelulut

    5. G2G Animal Garden (mini zoo)

    6. The Nest (berkhemah, berkayak & memanah)



    Sumber

  • Galakan baca Surah al-Fatihah tiap waktu

    Galakan baca Surah al-Fatihah tiap waktu

    SELAIN dibaca 17 kali sehari ketika menunaikan solat, Surah al-Fatihah banyak ‘khasiat’ dan fadhilatnya.

    Menjadi kebiasaan kita hanya membacanya ketika memulakan bacaan al-Quran atau pembukaan pada sesuatu majlis.

    Sedangkan tiap ketika kita boleh membaca ummul kitab berkenaan.

    Bersama Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail mengupas mengenainya dalam siri akhir Surah al-Fatihah dalam segmen Kapsul Surah pada hari ini.



    Sumber

  • MISI KEMBALI KE SEKOLAH EJEN ALI x MYDIN Kolaborasi pertama MYDIN dan Ejen Ali

    MISI KEMBALI KE SEKOLAH EJEN ALI x MYDIN Kolaborasi pertama MYDIN dan Ejen Ali sempurnakan persiapan persekolahan 2020


    Subang Jaya, 19 November 2019 – Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) bersama Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) dan WAU Animation buat pertama kalinya berganding bahu memeriahkan persiapan kembali ke sekolah dengan melancarkan kempen ‘Ejen Ali Misi Kembali ke Sekolah Di MYDIN’. Kempen yang akan berlangsung selama dua bulan ini akan bermula pada 1 Disember 2019 dan berakhir pada 31 Januari 2020. Majlis pelancaran kempen ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan.


    MYDIN, syarikat pemborong dan peruncit tempatan memilih Primeworks Studios, syarikat gergasi media sebagai rakan kongsi bagi mempergiatkan lagi kempen yang diadakan buat julung kalinya di seluruh Malaysia. Melalui kempen dan kolaborasi ini, pelbagai koleksi eksklusif lengkap persekolahan ditawarkan khas untuk orang ramai. Kerjasama yang turut mendapat sokongan eksklusif Carrie BacBuster ini dijangka dapat menarik perhatian kanak-kanak yang bakal melangkah ke alam persekolahan pada tahun 2020.


    Apa yang membuatkan kempen kali ini lebih istimewa ialah orang ramai berpeluang memiliki koleksi dari karakter filem Ejen Ali yang hanya boleh didapati secara eksklusif di cawangan MYDIN di seluruh negara. Dengan setiap pembelian berjumlah RM50 ke atas, pembeli boleh mendapatkan satu kad figura karakter Ejen Ali secara percuma. Pembeli boleh mengumpul kesem ua enam koleksi kad karakter Ejen Ali dan berpeluang membeli sebuah kotak set permulaan Ejen. Selain itu pelanggan yang membeli barangan dari 20 jenama terlibat, Ambi Pur, Dynamo, PetPet, Carrie BacBuster, Abaro, Antabax, Energizer, Indomie, Julie’s, Keyroad, Kimberly-Clark, Kopiko, LifeBuoy, Orang Kampung, Origina, Pallas, Pran, Promex, Vitagen dan Matarazo akan mendapat satu ekstra kad figura karakter Ejen Ali.


    Menurut Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, “MYDIN sentiasa komited menyediakan kelengkapan persekolahan dengan harga yang kompetitif dan berbaloi. MYDIN yang memiliki 72 cawangan seluruh negara melihat kerjasama ini sebagai salah satu komitmen mengangkat hasil karya tempatan ke taraf antarabangsa. Pelbagai kelengkapan persekolahan koleksi Ejen Ali ditawarkan seperti set uniform lengkap sekolah, stoking, bekas makanan, botol air, alat tulis serta 5  t-shirt eksklusif Ejen Ali dan sebagainya. Selain itu, kami turut membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki koleksi ini melalui dana tabung MYDIN Prihatin.“


    Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios pula berkata, “Kempen ini merupakan platform terbaik untuk Primeworks Studios memperluaskan jenama Ejen Ali kepada kanak-kanak. Penghasilan animasi popular dengan kerjasama WAU Animation ini telah menjadikan karakter Ejen Ali sebagai ‘role model’ yang positif kepada orang ramai. Kami yakin filem EJEN ALI THE MOVIE akan menjadi penanda aras kepada kejayaan filem animasi negara pada tahun ini setanding dengan jenama animasi dari luar negara. Dengan promosi yang meluas bersama pihak MYDIN, kami percaya kesan kolaborasi ini dapat memberi satu pengalaman membeli-belah yang inovatif sejajar dengan aktiviti promosi yang pelbagai di MYDIN.”


    Sempena kempen kembali ke sekolah ini, MYDIN turut menggerakkan tabung MYDIN Prihatin untuk program tanggungjawab sosial korporat yang telah dilancarkan pada perayaan Deepavali lepas. Kutipan jualan produk sebanyak 5 sen hingga 20 sen dari jenama produk Alagappa’s, Ameera, Julie’s, Lady’s Choice, Antabax, Pran, Ceygold, Trichy serta Vinda akan disumbangkan kepada 250 kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari 10 sekolah terpilih. Setiap jumlah belian produk terpilih yang disalurkan ke Tabung MYDIN Prihatin akan dikumpulkan dan jumlah wang tersebut akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan dari koleksi eksklusif Ejen Ali.


    Antara aktiviti yang dirangka sepanjang kempen kembali ke sekolah ini adalah program Jelajah Misi Ejen Ali yang bakal berlangsung di MYDIN Seremban 2, MYDIN Parit Buntar, Perak dan MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Aktiviti jelajah ini bakal dimeriahkan lagi dengan kemunculan maskot karakter utama filem EJEN ALI THE MOVIE iaitu Ejen Ali dan Ejen Alicia di 20 cawangan terpilih MYDIN. Selain dari itu, aktiviti-aktiviti yang dijangka bakal menambah tarikan kepada kempen ini adalah seperti pertandingan mewarna, pertunjukan fesyen, ‘slime making’, kuiz Ejen Ali. Peraduan Snap & Win juga akan turut diadakan dan pelanggan berpeluang memenangi Baucar Tunai MYDIN bernilai RM100.00 secara percuma.


    MYDIN turut memperkenalkan menu istimewa iaitu Nasi Lemak Tempoyak Udang di MYDIN Ready To Eat (RTE) yang merupakan segmen makanan dan minuman sedia dimakan. Resepi istimewa yang hanya terhad pada kempen kembali ke sekolah ini akan dijual di cawangan Pasar Raya Besar MYDIN di seluruh negara pada harga RM3.99. Pelanggan boleh menikmati dan merasai sendiri makanan yang cukup sinonim dengan karakter Ejen Ali.


    Bagi menghangatkan lagi kempen ini, MYDIN turut menjalinkan kerjasama strategik bersama CJWOW, syarikat yang mempunyai posisi yang kukuh dalam pasaran e- dagang di negara ini dengan menawarkan pakej pembelian eksklusif melalui rancangan CJWOW Shop. Penonton berpeluang mendapatkan pakej menarik dengan pelbagai tawaran serta hadiah percuma. Tawaran ini adalah terhad hanya pada siaran 13 Disember 2019 (Jumaat) sahaja. Menerusi tawaran istimewa ini, penonton dapat membeli 2 set baju sekolah dengan harga serendah RM99. Antara hadiah percuma yang bakal diperolehi oleh penonton adalah t-shirt eksklusif Ejen Ali keluaran MYDIN, bekas botol minuman (700 ml), poster filem dan fail ‘EJEN ALI THE MOVIE’.

    Jangan lupa untuk menyokong filem animasi tempatan. Jom Kembali ke sekolah bersama MYDIN dan Ejen Ali!

  • Kuah mi kari

    Kuah mi kari

    BAHAN-BAHAN A (dikisar)

    – Bawang besar

    – Bawang putih

    – Halia

    – Lengkuas

    – Udang kering

    – Udang geragau

    BAHAN-BAHAN B

    – Cili kisar

    – Rempah kari daging Adabi

    – Rempah kari udang Adabi

    – Rempah kari ikan Adabi

    – Pes asam jawa Adabi

    – Air rebusan udang

    – Ayam

    – Bebola ikan

    – Kepingan kek ikan

    – Tauhu kering

    – Santan Adabi

    – Garam secukup rasa

    – Perasa

    Cara penyediaan:

    1) Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar serta cili kisar.

    2) Kemudian, masukkan rempah kari daging, rempah kari udang dan rempah kari ikan jenama Adabi.

    3) Selepas itu, masukkan pes asam jawa Adabi dan dua senduk air rebusan udang.

    4) Sebaik sahaja rempah garing, masukkan pula ayam, bebola ikan dan kepingan kek ikan.

    5) Kacau sebati dan biarkan sehingga ayam masak serta pecah minyak.

    6) Seterusnya, masukkan baki air rebusan udang, santan, garam dan perasa.

    7) Reneh selama 30 minit.

    8) Siap untuk dihidang bersama mi kuning dan bahan-bahan sampingan antaranya sawi, telur rebus, udang rebus, bawang goreng, limau kasturi dan kerang.

    Sumber: Instagram @yatiekitchen



    Sumber

  • 10 ikon hijab popular

    10 ikon hijab popular

    TAMPIL dalam imej bertudung dan beragama Islam, nampaknya faktor tersebut tidak sedikitpun menjejaskan keupayaan mereka untuk terus melebarkan sayap bergelar model Muslimah.

    Baik Halima Aden, Mariah Idrissi mahupun Amina Adan masing-masing memiliki keunikan tersendiri dalam mencipta nama di persada fesyen antarabangsa.

    Menariknya, selain mereka bertiga selebriti popular Malaysia, Yuna dan Neelofa turut mendapat perhatian pelbagai jenama fesyen terkenal dunia.

    Segmen Fesyenista Femina kali ini memaparkan 10 ikon berhijab popular.



    Sumber

  • Komputer baharu? Apa perlu anda buat?

    Komputer baharu? Apa perlu anda buat?

    APAKAH langkah yang paling penting selepas membeli komputer riba atau PC baharu?

    Pasti anda tertanya-tanya perisian yang wajib ada selepas ‘melabur’ sejumlah wang demi memastikan keperluan gajet itu memberikan prestasi cemerlang untuk jangka masa panjang.

    Jangan bimbang kerana Pensyarah Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Unisel Kampus Bestari Jaya, Muhammad Fairuz Abd Rauf ada panduan berkaitan.

    Saksikan perkongsian tip menarik untuk mengetahui lebih mendalam mengenai perisian penting dalam sesebuah komputer. Selamat mencuba!



    Sumber

  • Hukum bernafas di dalam bekas minuman

    Hukum bernafas di dalam bekas minuman

    ADAKALANYA apabila terlalu haus, kita akan meneguk minuman sambil bernafas di dalam bekas berkenaan.

    Ada yang kata perbuatan itu tidak boleh dilakukan kerana mendatangkan natijah yang tertentu.

    Apakah hukumnya apabila kita minum sambil bernafas dalam bekas minuman berkenaan? Apakah pandangan Islam mengenainya?

    Pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki akan merungkai jawapannya dalam segmen Soal Jawab Netizen hari ini.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Bolehkah minum dalam satu nafas?)



    Sumber

  • Sumber dedah QSR cadang jual KFC dan Pizza Hut RM6 bilion

    Sumber dedah QSR cadang jual KFC dan Pizza Hut RM6 bilion

    QSR Brand (M) Holdings (QSR) dipercayai merancang menjual dua rangkaian restoran makanan segera miliknya iaitu Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut di Asia Tenggara pada harga kira-kira S$1.96 bilion (RM6 bilion), lapor The Straits Times.

    Akhbar Singapura itu menjelaskan, maklumat tersebut didedahkan oleh satu sumber yang mengetahui mengenai perkara berkenaan namun enggan mendedahkan identitinya kerana mendakwa maklumat diperoleh bersifat peribadi.

    Katanya, sumber menjelaskan, cadangan menjual dua rangkaian restoran makanan segera berkenaan ada kaitannya dengan masalah ekonomi di Malaysia yang perlahan dan kurang memberangsangkan di Asia Tenggara.

    “Pemegang saham utama syarikat Malaysia, termasuk firma ekuiti swasta CVC Capital Partners, sedang bekerjasama dengan seorang penasihat untuk menilai kepentingan daripada pembeli berpotensi untuk kepentingan mengawal dalam QSR.

    “Mereka sepakat menganggarkan nilai jualan kedua-dua buah rangkaian restoran makanan segera itu kira-kira S$1.96 bilion,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, pelabur-pelabur QSR telah meminta tawaran tidak mengikat untuk diserahkan pada akhir bulan November ini.

    “Pemegang saham memutuskan untuk meneruskan penjualan saham dan bukannya menghidupkan kembali penyenaraian yang berpotensi seperti yang dirancang sebelum ini, selepas pasaran lemah membawa kepada kekurangan tawaran awam permulaan di negara ini,” katanya.

    Untuk rekod, majoriti saham KFC Malaysia sebanyak 51 peratus dipegang oleh Johor Corporation yang juga milik penuh kerajaan Johor.

    Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut memiliki saham rangkaian restoran berkenaan sebanyak 25 peratus.

    Difahamkan, sebanyak 830 cawangan restoran KFC telah dibuka di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja manakala sebanyak 470 cawangan Pizza Hut telah dibuka di Malaysia dan Singapura.



    Sumber

  • Nafas baharu Honda Dash 125

    Nafas baharu Honda Dash 125

    MANTAP dipertingkatkan, penampilan yang ditawarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd untuk rupa paras motosikal cub Honda Dash 125 serba baharu kali ini terlihat lebih dinamik dan sporty.

    Seperti sebelumnya, jentera dua roda yang pernah menerima peningkatan kapasiti enjin dari 110cc ke 125cc itu kini diperbaharui dengan gaya warna dan jalur reka bentuk baharu.

    LAMPU LED

    LAMPU LED

    Dari segi luaran, warna dan jalur baharu itu seakan memberi nafas baharu kepada Honda Dash 125 yang menawarkan penampilan lebih versatil. Setiap pilihan warna telah dipilih secara khusus untuk memberikan impak visual yang lebih tinggi kepada jentera roda dua tersebut.

    Kombinasi warna metalik yang diserlahkan oleh panel berwarna perak menjadikan kenampakan keseluruhan jentera dua roda tersebut lebih ekspresif dan sesuai bagi penunggang yang gemar dengan jentera tampak berbeza.

    Pilihan warna baharu itu juga dikatakan lebih menepati cita rasa kebanyakan penunggang motosikal.

    


Paparan speedometer baharu.

    Paparan speedometer baharu.

    Model yang diperkenalkan ke pasaran tempatan sejak lapan tahun lalu itu juga menawarkan tunggangan lebih berprestasi dan selesa dengan rekaan bergaya.

    Untuk 2019, dikhabarkan Boon Siew Honda akan lebih agresif dalam strateginya untuk meningkatkan jenamanya di Malaysia.

    


PELINDUNG kaki bergaya.

    PELINDUNG kaki bergaya.

    Bagi mencapai sasaran menjadi jenama terkemuka di Malaysia, syarikat berkenaan akan menumpukan kepada peningkatan jenama, memperbaiki rangkaian pengedar, meningkatkan perkhidmatan selepas jualan, mengembangkan keselamatan menunggang selain membangunkan pelumba tempatan dan sukan permotoran.

    Serba menyerlah

    Mengimbas fitur luarannya, Honda Dash 125 serba baharu itu nampaknya dilengkapi lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) untuk lebih terang terutama ketika perjalanan di kala gelap.

    Pelindung kaki tampak grafik garang dan menyerlah, selain jalur rim roda bergaya dengan berwarna terang.

    REKAAN berjalur serba baharu

    REKAAN berjalur serba baharu

    Ia juga hadir dengan cermin sisi rekaan yang seiring dengan motosikal dan meter serba baharu. Paparan asas kelajuan, odometer, tahap bahan api dan kedudukan gear dan lampu isyarat membelok, antara tersedia.

    Suspensi hadapan teleskopik dan belakang berkembar, brek cakera hidraulik hadapan dan belakang atau mekanikal dram (varian S) dengan penghidup elektrik dan tendang serta transmisi kotak gear empat kelajuan klac automatik basah adalah ciri terkini Dash 125.

    Prestasi optimum

    Meneliti pada bahagian ruang enjinnya, Honda Dash 125 dikuasakan oleh enjin 125cc yang telah diperhalusi bagi menjamin prestasi optimum sambil mengekalkan penjimatan minyak yang efisien.

    Sementara kuasa enjinnya pula mampu menjana 9.9 kuasa kuda (hp) pada kelajuan 8,000rpm dan 9.54 meter Newton (Nm ) pada 6,500rpm.

    


ENJIN 125cc

    ENJIN 125cc

    Honda Dash 125 ditawarkan dengan dua warna iaitu Clipper Yellow (kuning) dan Candy Scintillate Red (merah). Warna Pearl Nightfall Blue (biru) akan tetap ditawarkan bagi model baharu itu termasuk edisi Repsol sedia ada bagi varian dengan brek cakera berkembar.

    Ciri keselamatan ditawarkan termasuk lampu LED dengan visor bagi meningkatkan lagi tahap penglihatan dan ketahanan. Kedua-dua varian dengan brek cakera tunggal dan brek cakera berkembar akan ditawarkan bagi model baharu ini.

    Honda Dash 125 kekal menjadi pilihan utama pembeli yang mencari ciri praktikal, namun dengan harga mampu milik.

    Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi Boon Siew Honda di talian tol percuma 1800-88-3993.

    Varian dan harga adalah seperti berikut:

    Dash 125 (Brek cakera tunggal) RM5,999

    Dash 125 (Brek cakera berkembar) RM6,299

    Dash 125 edisi Repsol (Brek cakera berkembar) RM6,499

    Dash 125 baharu hadir bersama jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu).


    Sumber

  • 3S VCM iRoll Ipoh penuhi permintaan pelanggan

    3S VCM iRoll Ipoh penuhi permintaan pelanggan

    VOLVO Car Malaysia (VCM) mengumumkan pembukaan sebuah lagi pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) di Ipoh, Perak. Ia bagi memudahkan sama ada pemilik sedia ada atau bakal pelanggannya di bandar raya berkenaan.

    Pusat 3S Volvo baharu tersebut merupakan milik iRoll Ipoh Sdn Bhd yang terletak di lokasi yang sangat strategik berhampiran dengan lapangan terbang dan juga Ipoh City & Country Club.

    Memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat untuk jenama Volvo di Perak, Pusat 3S baharu itu memaparkan ruang pameran yang sempurna berinspirasikan Scandinavian.

    Sama seperti semua outlet sah VCM sedia ada, premis baharu turut tampil bersama konsep global terkini jenama Scandinavia itu iaitu Volvo Retail Experience (VRE).

    Pengarah Urusan Volvo Cars, Nalin Jain berkata, VRE melangkaui estetika yang diilhamkan oleh Scandinavia dan ia adalah manifestasi nilai jenama VCM.

    VRE diwujudkan untuk memberi tumpuan terhadap asas jenama Volvo untuk menyediakan khidmat pelanggan terbaik dalam empat bidang utama iaitu pengalaman mewah kontemporari, kefahaman, interaksi dan kesejahteraan yang melambangkan inspirasi nilai jenama Scandinavian tersebut.

    “Matlamat utama kami adalah untuk menjaga pelanggan sepanjang tempoh perjalanan mereka bersama Volvo Cars.

    “Kami sangat berbesar hati dengan peluang ini dan berharap dapat meluaskan lagi perkhidmatan serta menyediakan pengalaman yang berkualiti untuk pelanggan-pelanggan kami,” kata Nalin Jain.



    Sumber