Blog

  • Skrin dan memori besar serta bateri tahan lama

    Skrin dan memori besar serta bateri tahan lama

    Dalam zaman sekarang, tanpa telefon di tangan macam tak sah. Mesti rasa serba tak kena. Sebab utama adalah banyak perkara penting berlaku di telefon.

    Ibu bapa zaman sekarang kerja banyak menggunakan telefon. Jadi apabila anak-anak nak guna telefon kita, mula la kita akan rasa gelisah sebab takut jika ada panggilan-panggilan penting yang masuk. Lebih-lebih lagi bagi peniaga online.

    Oleh itu, hujung tahun ini adalah masa terbaik untuk kita belikan satu telefon pintar untuk dihadiahkan kepada anak-anak. Sebab utama adalah harganya yang mampu dimiliki iaitu bawah RM1000 sahaja. Murah kan.

    Tapi sebelum nak beli tu kenalah beli telefon pintar yang betul-betul berbaloi, terbaik dan boleh dibanggakan untuk digunakan iaitu seperti telefon pintar Huawei Y9s.

    Semua orang tahu kualiti teknologi kamera utama Huawei sebagai yang terbaik di kalangan pasaran telefon pintar Android. Jadi tak ada masalah untuk mendapatkan pelbagai gambar dan video yang cantik dan menarik.

    Huawei Y9s ini juga bagus bagi kanak-kanak yang meminati seni fotografi. Ini kerana Huawei Y9s dilengkapi dengan Kamera Triple AI yang terdiri daripada Kamera Utama 48MP ultra-jelas, kamera Ultrawide Angle 8MP dan kamera kedalaman 2MP.

    Para pengguna boleh menikmati foto berkualiti tinggi walaupun dalam persekitaran cahaya rendah kerana telefon ini memiliki bingkai AI dan pengurangan kebisingan yang dapat menyesuaikan kecerahan secara efektif. Hebat kan, boleh asah kreativiti anak-anak kita.

    Selfie. Ya selfie paling digemari di kalangan anak-anak remaja. Seakan sudah menjadi budaya selfie buat masa ini. Jadi sebab itulah Huawei Y9s ini patut dimiliki. Ia mempunyai kamera 16MP Auto Selfie Pop-up yang membantu anda menangkap selfie yang sempurna.

    Di bawah keadaan cahaya yang rendah, pengguna juga boleh menangkap gambar potret dan lebih fokus pada wajah. Kalau gambar cantik, barulah ramai followers di Instagram kan.

    Selain itu, bagi anak-anak yang kaki game pula, Huawei Y9s adalah telefon pintar yang mempunyai prestasi permainan luar biasa.

    Dengan Kirin 710F Chipset yang lebih baik dan Paparan Ultra FullView 6.59 inci, para pengguna akan dapat menikmati pengalaman yang lebih mendalam serta kelajuan yang lebih baik dan penggunaan kuasa yang lebih rendah, terutamanya apabila pengguna memainkan permainan intensif grafik.

    Bukan itu sahaja, telefon ini juga dilengkapi dengan bateri 4000mAh. Besar juga bateri dia. Tak perlu risau lagi dengan bateri kerana ia sudah pasti tahan lama. Jadi, boleh la main games, YouTube, Facebook dan Instagram tanpa henti.

    Dengan kelebihan-kelebihan ini, percayalah bahawa anda tidak perlu memecahkan tabung untuk menghadiahkan telefon pintar untuk anak-anak anda.

    Ini kerana Huawei Y9s hanya berharga RM999. Sebagai alternatif, anda juga boleh melihat Huawei Y9 Prime yang harganya cukup istimewa iaitu RM799 sahaja.

    Pun begitu, kita semua perlu beringat bahawa walaupun telefon ini serba canggih, kita perlu sentiasa pastikan anak-anak kita menggunakan telefon secara terkawal.

    Untuk sebarang pembelian produk HUAWEI, boleh layari https://shop.huawei.com/my/product/huawei-y9s

    Telefon Kelebihan Kamera Harga
    Huawei Y9s -Kirin 710F Chipset

    -Paparan Ultra FullView 6.59 inci

    -Storan sebesar 128GB

    -6GB RAM

    -Bateri 4000mAh

    -Kamera Triple AI

    -Kamera Utama 48MP ultra-jelas

    -Kamera Ultrawide Angle 8MP – -Kamera kedalaman 2MP.

    -Kamera 16MP Auto Selfie Pop-up

    RM999



    Sumber

  • Axiata Digital Capital Dan Great Eastern Memeterai Usaha Sama Strategik Untuk Menawarkan Rangkaian Solusi Teknologi Insurans Yang Inovatif Di Malaysia Dan Indonesia

    KUALA LUMPUR, 12 Disember 2019 – Axiata Digital Capital, pembekal perkhidmatan teknologi kewangan (fintech) yang beroperasi di bawah jenama Aspirasi dan Great Eastern, telah memeterai sebuah usaha sama strategik untuk membawakan produk-produk insurans dan takaful yang tersuai buat para pengguna, usahawan mikro dan PKS. Ia akan ditawarkan secara digital sepenuhnya di Aspirasi serta platform-platform rakan kongsinya.
    Rangkaian produk insurans dan takaful yang komprehensif tersebut dirumus untuk memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup pengguna, termasuk namun tidak terhad kepada insurans hayat dan takaful, insurans kesihatan, insurans rumah, insurans kemalangan diri, dengan premium atau sumbangan bermula daripada RM1.50 dan IDR5,000.
    Ia menandakan usaha sama teknologi insurans (insurtech) yang pertama dimeterai antara platform perkhidmatan kewangan digital serta pembekal insurans dan takaful untuk menawarkan sebuah pengalaman yang lancar dan memudahkan dalam pembelian segera dibuat menerusi kemudahan dalam talian untuk membantu merapatkan jurang akses perlindungan dan insurans di Malaysia dan Indonesia. Menerusi usaha sama ini, warga Malaysia dan Indonesia dapat mengakses pelbagai produk insurans dan takaful yang ringkas dan sesuai untuk keperluan spesifik.
    Produk-produk insurans dan takaful berkenaan ditaja jamin oleh Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad dan Great Eastern Takaful Berhad di Malaysia, serta PT Great Eastern Life Indonesia dan PT Great Eastern General Insurance Indonesia di Indonesia.
    Dengan memanfaatkan data raya (big data), kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan ekonomi tingkah laku, dikuasakan oleh platform digital Aspirasi serta kepakaran Great Eastern dalam perihal melibatkan solusi-solusi insurans dan takaful, Axiata Digital Capital dan Great Eastern komited untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna menerusi satu pengalaman kepenggunaan yang bersepadu.
    “Atas sebahagian daripada ikhtiar kami untuk merapatkan jurang keinklusifan kewangan di Malaysia dan Indonesia, insurans bersaiz kecil dan takaful kekal menjadi perkhidmatan kewangan utama yang kami tawarkan di pasaran hari ini menerusi platform Aspirasi. Oleh itu, kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan Great Eastern untuk memupuk inovasi dan menaik taraf kehidupan para pengguna,” ujar Mohd. Khairil Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital.
    “Kami berasa teruja untuk berganding bahu dengan Great Eastern, syarikat insurans terkemuka yang tidak lekang memahat tanda aras baharu dalam industri ini. Di Aspirasi, kami memfokuskan aspek teknologi dan data yang bukan sahaja dapat mencetus inovasi perniagaan pada aras dan skala yang luar biasa, malah turut membekalkan kami panduan untuk menunaikan pelbagai keperluan pelanggan kami. Menerusi kolaborasi ini, kami akan memadankan produk tertentu dengan keperluan spesifik para pengguna untuk menzahirkan sebuah pengalaman digital yang tiada tandingannya,” ungkap Sheyantha Abeykoon, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Axiata Digital.
    Aspirasi komited untuk membantu perusahaan mikro dan PKS mencapai matlamat perniagaan mereka dengan memanfaatkan pelbagai solusi-solusi pembiayaan mikro dan insurans bersaiz kecil serta takaful. Dengan pemberian pinjaman dana mikro bernilai RM50 juta kepada 9,000 perusahaan yang direkodkan setakat ini, Aspirasi membidik untuk menjadi rakan kongsi kewangan digital pilihan dan dipercayai bagi komuniti-komuniti yang kurang mendapat perhatian.
    Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Group, Khor Hock Seng sementara itu berkata, “Kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan Axiata Digital Capital dan memberikan pelanggan mereka akses yang lancar ke atas solusi-solusi insurans dan takaful mampu milik yang dirumus khas untuk gaya hidup mereka. Kerjasama ini membolehkan kami mencapai pangkalan pelanggan yang lebih luas yang menggunakan kemudahan dalam talian untuk membeli dan mengurus keperluan insurans dan takaful masing-masing. Kepakaran Great Eastern dalam pembangunan produk-produk yang relevan, digandingkan dengan kemudahan platform digital akan menjadi tarikan yang unik bagi pelanggan-pelanggan ini.”
    Usaha sama tersebut juga membolehkan Great Eastern terus meletakkan fokus ke atas inovasi digital untuk memenuhi keperluan aspek perlindungan dalam kalangan para pengguna celik yang berunsurkan digital, melengkapkan lagi gaya hidup tanpa tunai yang diamalkan oleh mereka.

  • Siapa lebih cepat kurus?

    Siapa lebih cepat kurus?

    MISI menurunkan berat badan mungkin berbeza antara lelaki dan perempuan kerana perbezaan metabolisme, paras hormon, kandungan lemak dan muscle fibre.

    Namun hasil kajian mendapati, perbezaan paling ketara antara keberkesanan menurunkan berat badan ialah dari segi jenis muscle fibre dan hormon.

    Secara mata kasar, mungkin boleh dikatakan wanita mempunyai kelebihan untuk menurunkan berat badan lebih cepat kerana mempunyai insulin sensitif yang lebih baik berbanding lelaki.

    Namun, lelaki dikatakan juga boleh menurunkan berat badan dengan pantas kerana mempunyai jisim otot dan saiz badan yang lebih besar sekali gus akan menyebabkan kadar metabolisme jadi lebih tinggi.

    Sama ada lelaki atau perempuan, siapakah yang paling susah menurunkan berat badan?

    Ikuti perkongsian video lebih lanjut jurulatih profesional yang juga pemilik Gim Exclusive Fitnesz, Murad Zaidi untuk pembaca e-Trend.



    Sumber

  • Vivo S1 Pro Memperkasakan Belia Di Malaysia Untuk Menentukan Gaya Unik Mereka

    KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2019 – Vivo, syarikat teknologi terkemuka sekali lagi memikat orang ramai dengan gabungan teknologi fotografi dengan perisian yang canggih untuk menghasilkan S1 Pro. Lebih daripada kecanggihan teknologi, peranti ini merupakan suatu konsep yang telah menetapkan standard reka bentuk yang menakjubkan dalam pemerkasaan belia untuk menentukan gaya unik mereka.

    Reka bentuk berlian untuk S1 Pro diilhami oleh gambar-gambar barang kemas dan istana diraja yang tampil menarik untuk menambahkan rasa unik dan dinamik peranti terbaharu ini. Sebagai contoh, Kuad Kamera AI 48 MP disusun untuk membentuk bentuk berlian yang merupakan reka bentuk unik yang dapat menarik perhatian.

    “S1 Pro menggabungkan ciri-ciri utama industri yang membuktikan dedikasi kami untuk menyampaikan reka bentuk peranti yang berkualiti tinggi dan menakjubkan kepada pengguna, terutamanya untuk belia,” kata Raymond Lee, Pakar Produk vivo Malaysia. “S1 Pro adalah contoh sebenar bagaimana kami merekabentuk pengalaman pintar terkemuka industri untuk memenuhi keperluan pengguna muda kami di Malaysia.”

    Ciri-ciri Fotografi Gred Profesional untuk Menghasilkan Gambar Menarik

    Vivo memahami keperluan pengguna dalam usaha mereka untuk menghasilkan swafoto yang jelas dan cantik. Kamera Depan 32 MP bertujuan untuk mempamerkan kecantikan setiap inidividu dengan sempurna. Kamera Depan juga dilengkapi dengan AI Face Beauty yang membole=hkan pengguna menyesuaikan ciri-ciri wajah mereka, membawa kegembiraan dan keseronokan kepada fotografi.

    Dengan Kuad Kamera AI 48MP, penghasilan gambar secara profesional amat menyeronokkan. Ia adalah kamera utama yang disokong lensa sudut lebar, makro dan bokeh. Dikuasakan dengan algoritma AI, peranti ini menyediakan pengalaman fotografi  yang terbaharu dengan kejelasan foto yang lebih baik.

    Pro S1 memperluaskan sudut tontonan para pengguna hingga 120⁰ dengan Kamera Super Wide-Angle 8MP yang membantu meluaskan ufuk fotografi. Untuk menggilap rupa, S1 Pro juga dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Pose Master yang boleh menyesuaikan sudut pengguna dan membimbing subjek beraksi gaya demi penghasilan gambar yang lebih menarik.

    Ciri-ciri kamera yang menakjubkan ini bertujuan untuk memastikan pengguna sentiasa berinspirasi untuk meneroka dan menghasilkan gambar yang terbaik.

    Keselamatan Peranti Dijamin Dengan Pengimbasan Cap Jari Dalam Paparan, dan Nikmati Pengalaman Visual yang Tidak terganggu

    Hanya dengan sentuhan tunggal pada paparan S1 Pro, skrin boleh dibuka dengan serta-merta dengan kuasa Teknologi Pengimbasan Cap Jari Dalam Paparan. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kesan animasi untuk pembukaan kunci peranti yang mudah dan menyeronokkan.

    S1 Pro dilengkapi dengan Paparan Super AMOLED 6.38-inci dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90%, peranti ini sesuai untuk generasi muda yang menikmati pemandangan luas tanpa sempadan untuk pengalaman pintar yang tidak dapat dilupakan.

    Berkuasa dan Dibina untuk Prestasi Berterusan

    S1 Pro dilengkapi dengan Multi-Turbo yang meningkatkan tahap kelajuan peranti untuk memastikan pengguna dapat menikmati prestasi permainan yang lebih menyeronokkan. Peranti ini juga dilengkapi dengan Game Center yang membolehkan pengguna menyemak prestasi peranti dengan cepat untuk memastikan pengalaman permainan yang terbaik. Peranti ini juga tampil dengan “Voice Changer” yang menyediakan pelbagai suara sambil melindungi privasi pengguna.

    Pemproses S1 Pro iaitu Qualcomm Snapdragon 665 octa-core disokong oleh RAM 8GB dan 128GB ROM untuk memastikan prestasi pantas dan lancar untuk keperluan berbilang tugas dan keperluan permainan pengguna. Ia juga tersedia dengan bateri 4500mAh dengan Teknologi Pengecasan Pantas Dwi-Enjin yang membawa daya tahan yang lebih tinggi dan pengecasan lebih pantas untuk meningkatkan lagi pengalaman pintar para pengguna.

    S1 Pro tampil dengan 2 pilihan warna menarik yang bersesuaian dengan gaya hidup belia hari ini – iaitu Knight Black dan Fancy Sky.

    Ketersediaan

    S1 Pro dalam pilihan warna Knight Black atau Fancy Sky boleh didapati di Malaysia mulai 7 Disember 2019 dengan harga RM1,199.

    S1 Pro Superday

    Jualan acara S1 Pro Superday akan diadakan pada 7 Disember 2019 di Pusat Bandar i-City dengan sesi cabutan bertuah dan promosi rebat terhad yang eksklusif.

    Kolaborasi Jenama

    Vivo akan bekerjasama dengan jenama pakaian jalanan kegemaran tempatan TNTCO dan rekaan muzik tempatan Ban Huat Sdn.Bhd.

  • Glitz platform ketengah bakat, pereka baharu

    Glitz platform ketengah bakat, pereka baharu

    PERTUNJUKAN fesyen Pesona Pengantin The Cat Walk Edition x Glitz yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan anjuran Glitz (hub bakat dan model Nu Ideaktiv Sdn Bhd bersama majalah perkahwinan popular, Pesona Pengantin.

    Berdasarkan rekod, lebih 100 koleksi busana raja sehari karya pereka fesyen terkenal tanah air yang sedang meningkat naik dipamerkan sepanjang acara berlangsung dalam tempoh lapan jam.

    Menurut penyelaras acara, Oda Yunus, Pesona Pengantin The Cat Walk Edition x Glitz dibuka khas kepada kumpulan pereka yang memasang impian untuk melangkah jauh dalam industri fesyen negara.

    “Acara fesyen julung kali dianjurkan ini merupakan platform terbaik khususnya buat pereka muda mengetengahkan rekaan terkini dan eksklusif.

    “Pada masa sama, membuka peluang kepada bakal pengantin melihat lebih dekat koleksi busana dipamerkan dan merasai sendiri material fabrik yang digunakan pereka,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

    Justeru, selain Istana Puteh dan DH Art by Wan Huzairil, himpunan label yang turut terlibat menjayakan pertunjukan fesyen Pesona Pengantin The Cat Walk Edition x Glitz ialah Salikin Sidek, Adi Suhaizad Sulong, Elyza’s Home, Muni, Azzim Aziz, Nabil dan Zuerry Faeiz.

    Selain itu, kehadiran barisan model cilik mengatur langkah penuh yakin memperagakan seleksi busana juga mencuit hati para hadirin.

    Mereka bukan sahaja, anggun menggayakan pakaian tradisional, malah tampak comel dalam persalinan gaun kembang dan sut rekaan moden.

    Situasi tersebut membuktikan bahawa pihak Glitz bukan sahaja melahirkan bakat kategori dewasa, bahkan membentuk model seawal usia kanak-kanak supaya berani berdepan dan beraksi di hadapan khalayak.

    ANEKDOT

    Glitz

    Facebook: @glitz.my

    Instagram: @glitz.my

    Web: www.glitz.my



    Sumber

  • Tip kawal sifat marah

    Tip kawal sifat marah

    ADAKALANYA apabila badan terlalu letih ditambah pula perut kosong membuatkan kita hilang pertimbangan sehingga perasaan amarah menguasai diri.

    Apa yang tidak seronoknya apabila kemarahan itu dilampiaskan kepada orang di sekeliling kita pula.

    Lebih memburukkan keadaan lagi apabila isteri, suami atau anak menjadi tempat untuk melepaskan amarah.

    Sudah tentu ia akan menjejaskan emosi terutama kanak-kanak yang dahagakan belaian dan kasih sayang daripada ibu bapa selepas hampir seharian ditinggalkan dengan pengasuh disebabkan tuntutan kerja.

    Malah, sifat marah itu boleh menjadi punca berlakunya masalah yang lebih besar di kemudian hari.

    Ketahuilah Islam menyediakan panduan untuk kita mengawal sifat marah.

    Jom bersama pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkongsi tip mengenainya dalam segmen Tip Sinar Islam pada hari ini.



    Sumber

  • Songket penyeri raja sehari

    Songket penyeri raja sehari

    MODENISASI dilihat sedikitpun tidak mengalihkan minat masyarakat terhadap fabrik songket. Bahkan, kain istimewa tersebut kekal menjadi pilihan pereka tempatan khususnya untuk menghasilkan koleksi busana perkahwinan.

    Istana Puteh, misalnya salah satu jenama tempatan yang mengambil inisiatif dan tanggungjawab memartabatkan keunikan songket dalam sentuhan moden.

    Buktinya, selain gaun kembang, fabrik yang sama turut dihasilkan baju kurung moden dan klasik, kebaya pendek serta peplum bertatah pelbagai perincian minimalis.

    Konsep rekaan pula bagaikan 2 dalam 1 apabila ideal digayakan baik wanita berhijab mahupun tidak. Sisi kesopanan masih dititikberatkan bagi mengekalkan imej kemelayuan tatkala berada di atas singgahsana pelamin pada hari persandingan.

    Pengasas Istana Puteh, Muhamad Faizal menyifatkan, era modernisasi sedikitpun tidak menjejaskan graf permintaan terhadap tekstil kraf khususnya songket.

    MUHAMAD FAIZAL mengangkat nilai estetika songket di bawah jenama Istana Puteh.

    MUHAMAD FAIZAL mengangkat nilai estetika songket di bawah jenama Istana Puteh.

    Muhamad Faizal atau popular dengan panggilan Gee menjelaskan, biar semoden manapun seseorang wanita itu menjelang hari pernikahan atau persandingan, kain tenunan berbenang emas berkenaan pasti menjadi pilihan.

    “Kecuali berlakunya perubahan pada tenunan, motif atau warna songket yang tidak menepati selera masyarakat Melayu sehingga mendorong mereka melupakan material turun-temurun ini dan memilih fabrik lain.

    “Namun begitu, tidak dinafikan, sesetengah individu terpaksa menolak songket disebabkan faktor harga. Bagaimanapun, mereka yang berkemampuan dan mementingkan nilai estetika akan memilih fabri ini terutamanya songket Terengganu untuk dijadikan busana raja sehari,” jelasnya ketika ditemui Femina pada pertunjukan fesyen Pesona Pengantin The Cat Walk Edition x Glitz di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Fabrik minimalis, mewah

    Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, beliau menyarankan pasangan mempelai agar tidak menjadikan faktor harga sebagai penghalang untuk menggayakan busana songket. Sebaliknya, pilih pada harga mampu milik lalu dihasilkan rekaan eksklusif agar pengantin nampak gah di atas pelamin.

    “Di Istana Puteh, selain buatan Malaysia, kami turut menawarkan songket yang diimport dari Indonesia memandangkan dua negara Nusantara ini kaya dengan kepelbagaian songket menawan dan unik,” tutur beliau.

    Bicara mengenai perbezaan antara songket lokal dan Indonesia, Muhamad Faizal memberitahu, pengusaha tempatan lebih cenderung bermain dengan tenunan motif flora seperti bunga tampuk manggis dan pucuk rebung serta bermain nuansa terang.

    Sementelah, songket Indonesia pula popular dengan motif geometri dan palet warna lembut.

    “Ironinya, motif diterapkan pada songket turut memainkan peranan dan mempengaruhi golongan wanita. Mereka bertubuh gempal misalnya, enggan memilih corak bunga saiz besar kerana bimbang akan menjejaskan penampilan pada hari bahagia.

    “Pun begitu, saya juga mendapati majoriti wanita ini (bertubuh gempal) lebih selesa menyarungkan busana diperbuat daripada kain lembut berbanding songket kerana disifatkan terlalu keras dan tegang.

    “Usah khuatir, anda juga berpeluang tampil cantik persis puteri Melayu klasik dalam persalinan songket, asalkan rekaan tidak terlalu ekstravaganza. Memadai sekadar konsep minimalis,” ujar beliau mengenai koleksi songket pengantin 2020 yang banyak bermain palet rona terang seperti hijau, ungu, biru, putih dan perak.

    Jika Istana Puteh menampilkan songket sebagai signatur utama, label DH Art by Wan Huzairil pula memilih kain renda.

    SELAIN busana tradisional, songket juga ideal dihasilkan dres dan peplum bertatah perincian minimalis.

    SELAIN busana tradisional, songket juga ideal dihasilkan dres dan peplum bertatah perincian minimalis.

    Pereka jenama berkenaan, Wan Huzairil Wan Hussein menyatakan, kain renda menjadi pilihan memandang fabrik berkenaan cukup sinonim dengan busana perkahwinan.

    “Material ini bukan sahaja boleh berdiri sendiri, malah ia juga cantik dan serasi apabila dipadankan bersama kain lain seperti denim atau sifon.

    “Lagipun, coraknya yang minimalis dan mewah serta hadir dalam pelbagai warna membuatkan kain renda ideal dihasilkan pakaian pengantin,” jelas Wan Huzairil yang mengusahakan jenama itu bersama rakan seperjuangan, Prof Dr Hamdan Daniel.

    WAN HUZAIRIL (kiri) dan Hamdan kreatif menghasilkan busana kombinasi fabrik renda Perancis bersama sifon dan songket.

    WAN HUZAIRIL (kiri) dan Hamdan kreatif menghasilkan busana kombinasi fabrik renda Perancis bersama sifon dan songket.

    Tambah beliau, rekaan kali ini mengangkat konsep anggun, stailo dan menawan yang sesuai digayakan oleh semua golongan.

    Dari segi permainan warna, Wan Huzairil memfokuskan pada nuansa pastel bagi menyuntik mood romantis dan manis.



    Sumber

  • Taman tema air pertama di Langkawi dibuka

    Taman tema air pertama di Langkawi dibuka

    LANGKAWI – Taman tema air ‘Splash Out’ bernilai RM60 juta yang mula dibuka hari ini menjadi produk pelancongan terbaharu di Pulau Langkawi.

    Berkonsepkan magis dan fantasi dengan rekaan seni bina pantai klasik, taman tema yang dimiliki syarikat tempatan, Halim Mazmin Group muncul sebagai taman tema pertama di pulau terkenal itu.

    Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad, Tan Sri Halim Mohammad berkata, pembukaan taman tema itu dilihat tepat pada masanya untuk merancakkan lagi ekonomi di pulau bebas cukai yang sudah lama tidak menghasilkan produk baharu itu.

    “Selepas lebih 20 tahun terlibat sektor pelaburan di Langkawi, saya lihat sudah tiba masanya kita membuat sesuatu yang baharu dan pembukaan taman tema air ini bertepatan sekali kerana kalau kita lihat perkhidmatan ini antara yang menjadi tarikan di seluruh dunia.

    “Jadi saya harap sumbangan ini (pembukaan taman tema air) akan membantu meningkatkan lagi taraf Langkawi sebagai kawasan pelancongan di Asia.

    “Malah saya juga bertekad untuk terus bekerjasama lebih rapat dengan pelbagai agensi dan kerajaan negeri untuk membantu mempromosikan pulau ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran Splash Out Langkawi di sini hari ini.

    Halim ketika menyempurnakan pra pelancaran Splash Out Langkawi hari ini.

    Halim ketika menyempurnakan pra pelancaran Splash Out Langkawi hari ini.

    Katanya, antara keseronokan yang ditawarkan kepada pengunjung di taman tema seluas kira-kira 4.8 hektar itu terdiri daripada 12 permainan menarik dan mencabar mengikut kesesuaian umur.

    “Selain itu kemudahan lain yang disediakan adalah gerai makanan, kedai cenderamata dan sebagainya,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Halim turut memberitahu, pembukaan taman tema air itu turut membuka peluang pekerjaan kepada 120 anak tempatan.

    “Taman tema ini dikendalikan oleh 120 kakitangan yang rata-ratanya anak tempatan yang telah terlatih dengan aktiviti di air.

    “Kesemua mereka telah menjalani latihan kemahiran selama enam bulan untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kerana operasi kita menetapkan utamakan keselamatan,” katanya.

    Halim berada di Taman tema air 'Splash Out' sempena pembukaan hari ini.

    Halim berada di Taman tema air ‘Splash Out’ sempena pembukaan hari ini.

    Menurutnya, beliau juga bercadang untuk menjemput Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyempurnakan pembukaan secara rasmi taman tema air itu Mac tahun depan.

    Sementara itu, Halim berkata, taman tema air itu juga memperkenalkan perkhidmatan tanpa tunai sepenuhnya.

    “Pengunjung yang datang perlu tambah tunai secara dalam talian menggunakan bar kod yang disediakan,” katanya.

    Katanya, bayaran kemasukan bagi dewasa RM75, kanak-kanak RM55 manakala warga emas RM40.

    “Kita juga berikan diskaun sebanyak 50 peratus kepada pengunjung yang terdiri daripada anak tempatan Langkawi,” katanya.



    Sumber

  • Inovasi bantu pesakit diabetes

    Inovasi bantu pesakit diabetes

    JIKA kamu mempermudah urusan orang lain, nescaya urusan kamu juga akan dipermudahkan oleh ALLAH.”

    Mutiara kata pendek itu menjadi pembakar semangat pakar Ortopedik, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Cheras, Selangor, Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri dalam usaha beliau membantu pesakit diabetes mellitus atau kencing manis.

    Merupakan satu-satunya pakar pembedahan kaki dan buku lali di HCTM, usahanya mencari inovasi terbaharu kaedah rawatan dan pemulihan terbaik untuk pesakit kencing manis tidak pernah berhenti.

    Mula menjadi doktor pakar pada 2009, awalnya beliau melihat begitu banyak ranjau terpaksa ditanggung pesakit terutama yang membabitkan luka di bahagian kaki akibat penyakit pembunuh senyap itu. Keadaan tersebut mendorong Dr Mohd Yazid melakukan penyelidikan demi penyelidikan.

    “Walaupun tugas doktor adalah merawat, tetapi saya berminat untuk memberi sesuatu yang lebih kepada pesakit dengan melakukan kajian bagi mencipta inovasi untuk membantu masalah dihadapi penderita kencing manis,” katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

    Inovasi baharu

    Terbaharu, beliau sedang melakukan penyelidikan bagi menghasilkan pencuci luka yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka pesakit dengan lebih optimum iaitu pengeringan luka seawal tujuh hari.

    “Inovasi baharu itu boleh membunuh semua jenis bakteria dan kuman yang ada pada luka. Pencuci luka ini dijangka siap pada pertengahan 2020.

    “Selain dapat membantu mempercepatkan penyembuhan luka, ia juga boleh mengurangkan kos rawatan pesakit kerana hanya menggunakan satu pencuci luka untuk semua jenis luka,” katanya.

    Pada masa ini pencuci luka yang terdapat di pasaran hanya mampu membunuh sesetengah spesies bakteria sahaja.

    Pun demikian, apabila terdapat bakteria lain pada luka, ia tidak mampu melawannya dan menyebabkan luka lambat sembuh. Pesakit pula perlu menggunakan beberapa jenis pencuci luka mengikut keadaan dan tahap luka yang dihadapi.

    Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, hampir 30 peratus pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di wad ortopedik mempunyai luka teruk di kaki.

    “Mereka (pesakit diabetes) memerlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan luka. Kebanyakan pada awalnya tidak perasan luka telah berlaku kerana sistem saraf sudah tidak lagi sensitif menyebabkan hilang deria sentuh seperti orang normal.

    “Sesetengahnya pula sedar akan luka di kaki. Tetapi disebabkan rasa takut kaki dipotong, menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan di hospital. Ini boleh menyebabkan komplikasi kuman merebak ke bahagian badan yang lain,” katanya.

    DR MOHD YAZID BAJURI

    DR MOHD YAZID BAJURI

    Dr Mohd Yazid menjelaskan, kesan penyakit diabetes mellitus Jenis II ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan, tetapi menjejaskan sumber ekonomi dan sosial pesakit serta keluarga untuk jangka panjang.

    “Kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan adalah dalam kalangan mereka berpendapatan isi rumah rendah (B40) yang sudah tentu memberi kesan ekonomi kepada keluarga.

    “Apabila luka teruk pada kaki, sudah tentu mereka tidak mampu bekerja, bayangkan jika lelaki yang menjadi ketua keluarga. Ia memberi kesan kepada keluarga terutama pada isteri dan anak-anak,” katanya.

    Wad khas penjagaan kaki

    Bukan setakat memerlukan sokongan keluarga, penghidap diabetes juga harus dipantau secara optimum di hospital bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

    Melihat kepada keperluan untuk memberikan rawatan lebih berkualiti, Dr Yazid yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan wad penjagaan kaki dan buku lali yang beroperasi sejak 2018.

    Wad khas yang terletak bersebelahan wad ortopedik lelaki itu berjaya ditubuhkan hasil sumbangan Dana Wakaf Selangor Muamalat.

    Peruntukan sebanyak RM300,000 digunakan bagi mengubah suai ruang rehat dan menunggu keluarga pesakit kepada sebuah wad yang selesa khusus untuk penjagaan kaki pesakit diabetes.

    Selain itu, Berjaya Group Berhad juga turut menyumbang dana sebanyak RM40,000 bagi bantuan membeli peralatan di wad tersebut.

    “Saya merangkakan program untuk pesakit yang masuk ke sini daripada pemakanan melalui diet mereka, penjagaan luka dan sebagainya. Jika terdapat komplikasi pada luka tersebut, contohnya kuman dan bakteria merebak ke dalam darah, pakar perubatan dalaman akan dirujuk untuk tindakan seterusnya.

    “Ini membezakan rawatan diabetes di HCTM dengan hospital lain di Malaysia, kemudahannya lebih lengkap dengan pelbagai disiplin kepakaran khusus untuk pesakit kencing manis,” katanya dengan menambah, setakat ini wad berkenaan merawat sekitar 100 orang pesakit.

    Terdapat beberapa kaedah rawatan untuk pesakit diabetes di wad itu mengikut keperluan antaranya rawatan terapi ulat, terapi oksigen selain pembedahan kaki dan buku lali.

    Menurut Dr Mohd Yazid, sebagai doktor pakar, beliau tidak akan semudahnya mengambil keputusan untuk memotong kaki pesakit.

    “Di sini, saya lebih menitik beratkan proses mencuci luka daripada memotong kaki. Setiap hari luka akan dicuci dua kali sehari pagi dan petang.

    “Namun sekiranya kuman sudah merebak ke dalam sistem badan lain hingga merosakkan buah pinggang dan hati yang mengakibatkan komplikasi lain, kita terpaksa mengutamakan nyawa pesakit dengan memotong bahagian sepatutnya,” katanya.

    Beliau berkata, wad khas itu juga antaranya memberi tunjuk ajar kepada ahli keluarga pesakit tentang cara-cara penjagaan luka bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman.

    INOVASI baharu boleh membunuh semua jenis bakteria dan kuman yang ada pada luka selain dijangka siap pada pertengahan 2020.

    INOVASI baharu boleh membunuh semua jenis bakteria dan kuman yang ada pada luka selain dijangka siap pada pertengahan 2020.

    Kasut dan kaki palsu

    Tidak cukup dengan wad khas yang menjadi ‘anak emas’ Dr Yazid, beliau turut membuat inovasi dengan menghasilkan kasut khas bagi mengelakkan luka pada kaki pesakit diabetes dan kaki palsu yang boleh dibawa solat terutama untuk pesakit beragama Islam.

    Berkongsi tentang inovasi kasut dan kaki palsu yang dijalankan, Dr Yazid berkata, ia tercetus apabila terdapat keluhan pesakit yang tidak selesa memakai kasut dibeli di pasaran walaupun membelanjakan wang banyak untuk mendapatkannya.

    Sementara itu, inovasi kaki palsu pula dilakukan setelah melihat ramai pesakit terutama mereka beragama Islam terpaksa menanggalkan kaki palsu mereka setiap kali menunaikan solat.

    “Alhamdulillah, syukur kerana saya berjaya menghasilkan satu lagi inovasi kaki palsu yang boleh dibengkokkan seperti kaki normal yang memudahkan pesakit untuk solat tanpa perlu menanggalkannya lagi.

    “Begitu juga dengan kasut khas untuk pesakit kencing manis ini dengan membuatnya mengikut keselesaan kaki individu bagi mengelakkan tekanan untuk mengurangkan risiko luka,” katanya.

    Selain untuk keselesaan pesakit, inovasi kedua-dua produk itu juga bertujuan membantu mengurangkan kos pesakit dengan menghasilkan kasut dan kaki palsu mampu milik.

    Menurut Dr Mohd Yazid, kasut khas dan kaki palsu yang ada di pasaran biasanya dijual pada harga mahal hingga ribuan ringgit.

    “Jika pesakit tidak mampu, sudah tentu mereka tidak dapat membelinya pada harga tersebut. Saya sebagai perawat, pensyarah universiti dan penyelidik merasa bertanggungjawab untuk menghasilkan kasut dan kaki palsu yang lebih murah untuk lebih ramai mendapat kebaikan dan manfaatnya,” katanya.

    Bagi membantu kumpulan B40 mendapatkan kasut dan kaki palsu secara percuma, beliau berjaya mendapat bantuan kerajaan sebanyak RM274,300 daripada Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Dana Program Malaysia Sosial Innovation (MySI).

    “Melalui dana tersebut, kita sasarkan untuk membantu lebih kurang 200 hingga 250 orang pesakit bagi mendapatkan kaki palsu atau kasut khas yang kami cipta sendiri di sini.

    “Kita akan tempah kasut dan kaki palsu itu secara terus daripada pembekal yang dilantik, tidak melalui pengedar atau orang tengah. Ini akan menjadikan harganya jauh lebih murah,” katanya sambil menambah, bantuan kasut dan kaki palsu akan dimulakan sebaik sahaja memperoleh dana tersebut.

    HTCM hospital rujukan diabetes

    Kajian Kesihatan Morbiliti dan Kesihatan Kebangsaan 2015 mendapati, 17.5 peratus penduduk di negara ini yang berusia 18 tahun adalah penghidap diabetes jenis II. Jumlah itu dijangka meningkat kepada 21 peratus pada tahun 2020.

    Kira-kira 15 peratus pesakit kencing manis mengalami luka dan ulser kaki akibat diabetes dan 4.3 peratus pesakit pula terpaksa melalui prosedur pemotongan terutama bahagian kaki.

    Menurut Dr Yazid, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan bahaya kencing manis, hospital juga perlu menyediakan perkhidmatan yang terbaik dalam merawat penyakit tersebut.

    Beliau yang memiliki sub kepakaran dalam bidang kaki dan buku lali dari Kantonspital Liestal, Switzerland berkata, lebih ramai pakar terutama dalam bidang kaki dan buku lali perlu dilahirkan untuk menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.

    “Tidak ramai doktor berminat dalam kepakaran penyakit kencing manis sedangkan pesakit sentiasa meningkat. Di HCTM, hanya saya seorang pakar dalam bidang ini dan di hospital kerajaan juga tidak ramai ada kepakaran ini,” katanya yang kini turut melatih beberapa orang doktor daripada hospital kerajaan dan hospital universiti untuk mendalami kepakaran kaki dan buku lali.

    Katanya, HTCM mahu menjadi pusat sehenti bagi pendidikan dietetik diabetes khusus dalam rawatan diabetes yang boleh menjadi rujukan semua hospital di Malaysia.



    Sumber

  • Daging tetel masam manis Cef Naem

    Daging tetel masam manis Cef Naem

    BAHAN-BAHAN

    500gram daging tetel

    2 sudu sos cili

    2 sudu sos tomato

    3 sudu cili kisar

    2 biji tomato

    1 batang serai (hiris)

    1 biji bawang merah (hiris)

    Sedikit minyak masak dan perasa

    CARA MEMASAK

    1. Panaskan minyak lalu tumis bawang merah, serai dan cili kisar hingga pecah minyak.

    2.Masukkan daging gaul hingga masak.

    3.Tambahkan sos cili, sos tomato dan buah tomato.

    4. Letakkan perasa, biarkan seketika. Siap untuk dihidangkan.

    Sumber: Instagram @chefnaem



    Sumber