Blog

  • ‘Headphone’ bantu kurangkan kadar gula pesakit diabetes

    ‘Headphone’ bantu kurangkan kadar gula pesakit diabetes

    GEORGETOWN – Penghidap penyakit diabetes kini mempunyai alternatif baharu apabila Syarikat Braintech dengan kerjasama Star Labs mencipta peranti untuk mengurangkan bacaan gula dalam darah.

    Ketua Pegawai Eksekutif Braintech, Nick Ng Shu Lin berkata, melalui peranti yang dinamakan ‘Blood Sugar Control Programme’, ia mampu mengurang dan mengawal kadar gula dalam darah sekiranya digunakan dengan betul dan mengikut jadual yang disarankan.

    Menurutnya, peranti tersebut diaplikasikan menerusi ‘headphone’ khas yang dicipta untuk mengawal kadar gula melalui deria pendengaran.

    “Hasil daripada kajian dan inovasi teknologi ‘groundbreaking’ yang dibuat Braintech, diabetes boleh dikawal melalui kesan bunyi.

    “Sehubungan itu, sejenis alat iaitu berbentuk ‘headphone’ yang dinamakan sebagai ‘Neurosoud Technology Blood Sugar Control’ telah dicipta untuk membantu pesakit diabetes mengurangkan kadar gula dalam darah selain mengurangkan beban pankreas.

    “Ia juga membantu pesakit dalam mencapai tempoh remisi. ‘Headphone’ ini direka dengan muzik terapi yang boleh didengar oleh pesakit setiap hari bagi membolehkan kadar gula dalam darah mereka menurun. Ia dicipta khas untuk pesakit diabetes tahap kedua namun tiada masalah jika pesakit kategori pertama ingin mencubanya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika pelancaran ‘Blood Sugar Control Programme’ oleh Tengku Nazri Al Haj Tengku Azman Al Haj bagi mewakili Pengerusi Braintech di sebuah hotel di Bayan Baru di sini semalam.

    Tambahnya, peranti yang dicipta oleh pengkaji tempatan dan luar negara itu adalah yang pertama di Malaysia yang kini dijual dengan harga RM500.

    “Setiap pesakit perlu membeli ‘headphone’ khas tersebut dan akan diberi pautan untuk dibuka melalui telefon bimbit. Setelah pautan dibuka, mereka perlu memasukkan nombor kad prabayar yang dibeli secara berasingan. Dari situ, mereka boleh memasang muzik yang boleh didengar melalui ‘headphone’ yang dihubungkan dengan ‘bluetooth’ di telefon bimbit.

    “Kad prabayar itu dijual dalam dua pilihan iaitu RM190 untuk sebulan penggunaan dan RM390 untuk tiga bulan. Sekiranya telah tamat tempoh, mereka boleh membuat tambah nilai melalui kad prabayar tersebut.

    “Pesakit disarankan mendengar muzik khas itu 15 minit di waktu pagi dan 30 minit di waktu malam sebelum tidur,” katanya.

    Shu Lin berkata, pesakit yang berminat boleh mendapatkan ‘headphone’ tersebut daripada ejen sah di seluruh negara atau boleh terus ke ibu pejabat Star Labs Bioscience Sdn Bhd di Taman Island Glades, Gelugor di sini.

    “Alat ini dijual sejak tiga bulan lalu dan telah terjual sebanyak 300 unit. Banyak testimoni yang kita terima dan semuanya amat memberangsangkan. Ada pesakit yang tidak perlu mengambil ubat sepanjang masa namun kadar gula mereka menurun.

    “Ia amat menggembirakan pihak kami kerana berjaya membantu pesakit yang sekian lama hanya bergantung kepada ubat semata-mata. Dengan adanya alat ini, kita berharap lebih ramai pesakit mencubanya dengan kos yang tidak terlalu tinggi,” katanya.

    Selain ‘Blood Sugar Control Programme’, Braintech turut mencipta beberapa peranti lain antaranya ‘Sleep Smart Device’ (SSD) yang boleh membantu pesakit mendapat tidur yang berkualiti.

    Maklumat oleh Sciencealert, kira-kira 400 juta penduduk dunia menghidap diabetes tahap kedua dan trend penghidap penyakit ini semakin bertambah setiap tahun.

    Institut Diabetes Negara (NADI) pula melaporkan, 2.5 juta orang dewasa berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes di negara ini yang mana Malaysia mencatatkan penghidap diabetes tertinggi di Asia dan salah satu negara penghidap diabetes tertinggi di dunia.



    Sumber

  • KSSB harumkan nama Malaysia

    KSSB harumkan nama Malaysia

    SHAH ALAM – Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengharumkan nama negara apabila meraih tempat pertama bagi anugerah kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan (Pengedaran Mineral Bukan Logam) di 2nd ASEAN Mineral Awards (AMA) di Bangkok, Thailand.

    KSSB yang mewakili Malaysia dalam kategori itu berjaya menewaskan syarikat-syarikat perlombongan lain dari rantau ASEAN.

    Ketua Pegawai Kewangan KSSB, Fariz Ghazali mewakili KSSB menerima anugerah berprestij itu yang diadakan di Pullman King Power Hotel, Bangkok pada Majlis Makan Malam pada 13 Disember lalu.

    KSSB memperoleh sijil tempat pertama bagi anugerah kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan.

    KSSB memperoleh sijil tempat pertama bagi anugerah kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan.

    Fariz berkata, kejayaan diperoleh itu membuktikan KSSB diiktiraf penggiat industri perlombongan di ASEAN sebagai amalan terbaik di rantau ini.

    “Kami sangat bersyukur dan berbesar hati kerana dapat membawa pulang anugerah ini ke Malaysia.

    “Piawaian dan komitmen terhadap kecemerlangan dan integriti adalah kunci kejayaan kami,” katanya.

    Fariz

    Fariz

    Semua finalis yang dipilih pada Ogos lalu perlu membuat pembentangan akhir di hadapan Ahli Lembaga Pengadil (BOJ) bersempena dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bagi Bahan Mineral (ASSOM) pada 11 Disember lalu di Bangkok.

    KSSB telah beroperasi sejak 2008 dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan pengekstrakan, pengeluaran dan pengedaran jualan pasir, bahan batuan dan sumber mineral dengan berobjektif mempromosikan operasi perlombongan pasir yang mampan di Selangor, negeri pengeluar produk pasir dan bahan batuan yang terbesar di Malaysia.

    KSSB membuat pembentangan akhir di hadapan BOJ bersempena dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bagi Bahan Mineral (ASSOM) pada 11 Disember lalu di Bangkok, Thailand.

    KSSB membuat pembentangan akhir di hadapan BOJ bersempena dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Bagi Bahan Mineral (ASSOM) pada 11 Disember lalu di Bangkok, Thailand.

    Dengan perancangan dan strategi KSSB yang kini telah diterima serta diiktiraf dalam industri perlombongan dan pengedaran, ia kini akan mengukir satu landskap baharu di mata komuniti dan kerajaan, selain berdiri teguh bersama visi dan misi syarikat serta nilai teras asasnya.

    Sebuah lagi syarikat dari Malaysia iaitu Terengganu Silica Consortium turut memenangi tempat pertama di dalam kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan (Pemprosesan Mineral Bukan Logam).

    Sebahagian pemenang bergambar kenangan ketika ASEAN Mineral Awards kali ke-2 di Bangkok, Thailand pada minggu lalu.

    Sebahagian pemenang bergambar kenangan ketika ASEAN Mineral Awards kali ke-2 di Bangkok, Thailand pada minggu lalu.



    Sumber

  • Hemofilia boleh menyebabkan nyawa terancam

    Hemofilia boleh menyebabkan nyawa terancam

    ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

    Darah sukar membeku, kerosakan sendi jangka panjang

    SOALAN 1

    DOKTOR, adik saya mempunyai masalah berkaitan darah ‘terlalu cair’. Dia disahkan menghidap penyakit hemofilia A. Bagaimanapun, kami masih kabur tentang penyakit itu. Doktor, apakah risiko bakal dihadapi penghidapnya?

    – ABANG PRIHATIN, NAZRI SAIDIN, 32, KUALA LUMPUR

    JAWAPAN:

    TUAN, hemofilia merupakan penyakit serius diwarisi yang mana darah seseorang tidak dapat membeku dengan baik. Hal itu menyebabkan pendarahan yang tidak terkawal, biasanya berlaku secara spontan.

    Menurut laporan Tinjauan Global Tahunan 2017 Persekutuan Hemofilia Dunia, terdapat 158,225 orang dengan hemofilia A di seluruh dunia.

    Di Malaysia, jumlah pesakit hemofilia A adalah seramai 1,295 orang pada 2017.

    Pesakit yang menghidapi hemofilia A boleh mendapat pendarahan ke otot dan sendi mereka. Masalah itu menyebabkan kesukaran mereka menggunakan otot dan sendi. Mereka juga boleh berdarah secara spontan. Tanpa rawatan, kualiti hidup pesakit hemofilia yang teruk mungkin terjejas. Mereka sukar untuk pergi ke sekolah atau bekerja seperti biasa.

    Ada juga yang menjadi kurang upaya secara fizikal, masalah berjalan atau melakukan aktiviti yang mudah. Terapi penggantian faktor VIII adalah rawatan utama untuk hemofilia A.

    Bagaimanapun, komplikasi yang paling serius bagi pesakit adalah perkembangan antibodi melalui sistem imun mereka sendiri ke arah penggantian faktor VIII.

    Antibodi itu yang dikenali sebagai perencat meneutralkan konsentrasi faktor yang diberikan kepada pesakit. Itu boleh mengakibatkan rawatan tidak berkesan, lantas meningkatkan risiko morbiditi kecacatan serta kos rawatan.

    Hampir satu daripada tiga orang yang menghidapi hemofilia A yang teruk boleh mendapat perencat kepada terapi penggantian faktor VIII.

    Masalah itu boleh mendedahkan mereka pada risiko lebih besar terhadap pendarahan yang mengancam nyawa atau episod pendarahan berulang. Akibatnya boleh menyebabkan kerosakan sendi jangka panjang atau sakit sendi selain komplikasi pendarahan yang lain termasuklah kematian.

    Roche Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini mengumumkan Hemlibra (emicizumab) kini boleh didapati untuk profilaksis rutin bagi mencegah dan mengurangkan episod pendarahan pada orang yang menghidapi hemofilia A dengan perencat faktor VIII.

    Hemlibra merupakan ubat baharu sejak lebih 20 tahun untuk merawat kanak-kanak dan orang dewasa mempunyai hemofilia A dengan perencat.

    Terdapat dua jenis Hemophilia:

    1) Hemophilia A

    Hemofilia A (faktor kekurangan pembekuan VIII) adalah yang paling biasa. Statistik oleh Kongres Hemophilia Antarabangsa Amerika Syarikat, 85 peratus daripada Hemofilia berasal dari kumpulan ini.

    2) Hemophilia B

    Hemophilia B berlaku dengan faktor kekurangan IX.

    SEL darah merah.

    SEL darah merah.

    Hemofilia boleh menyebabkan pendarahan spontan dan sukar berhenti pada mana-mana otot, sendi dan organ dalaman. Komplikasi bukan hanya kesakitan, tetapi boleh menyebabkan kecacatan dan kematian.

    Komplikasi:

    – Had dalam aktiviti harian disebabkan kesakitan.

    – Pendarahan spontan ke atas sendi.

    – Keradangan pada rawan sendi boleh menyebabkan kecacatan jika tidak dirawat.

    – Pendarahan otak boleh menyebabkan lumpuh kekal dan keterbelakangan mental jika tidak dirawat lebih awal.

    – Pendarahan di dalam otot pelvik.Sumber: www.myhealth.gov.my/

    Nyeri sendi, ‘mati rasa’ bukan perkara remeh

    KESAN keradangan otot yang boleh berlaku.

    KESAN keradangan otot yang boleh berlaku.

    SOALAN 2

    Doktor, kesukaran buat pesakit hemofilia seperti rasa nyeri sendi, ‘mati rasa’ dan kerosakan sendi bukanlah perkara remeh. Saya ada mendengar tentang ubat buat pesakit hemofilia. Bagaimana penggunaan ubat boleh membantu?

    – INGIN TAHU, INTAN SUHAINI ROSLI, 34, IPOH, PERAK

    JAWAPAN:

    PUAN, walaupun kelaziman hemofilia A dengan perencat di Malaysia adalah seramai 83 orang pada 2017, pesakit menghadapi cabaran besar untuk menghalang pendarahan.

    Mereka biasanya memerlukan infus produk pintasan, beberapa kali seminggu yang boleh menjadi sangat sukar terutama bagi anak-anak kecil dan keluarga mereka.

    Hemlibra boleh diberikan melalui suntikan subkutaneus seminggu sekali, yang lebih baik dan mudah untuk pesakit dan penjaga serta keluarga mereka.

    Kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk Hemlibra adalah berdasarkan kepada dua kajian klinikal penting pada pesakit hemofilia A dengan perencat.

    Dalam kajian HAVEN 1 terhadap 109 orang dewasa dan remaja (12 tahun ke atas) yang menghidapi hemofilia A dengan perencat, profilaksis Hemlibra menunjukkan pengurangan yang ketara secara statistik bagi rawatan pendarahan sebanyak 87 peratus (kadar risiko [RR] = 0.13, p

    Dalam analisis intra-pesakit, profilaksis Hemlibra menghasilkan pengurangan statistik yang ketara bagi rawatan pendarahan sebanyak 79 peratus berbanding rawatan sebelum ini dengan profilaksis agen pintasan (P

    Data ini juga membawa kepada kelulusan Hemlibra sebelum ini oleh FDA (Food and Drug Administration) Amerika Syarikat pada bulan November 2017 dan Suruhanjaya Eropah pada Februari 2018. Nyeri sendi, ‘mati rasa’ bukan perkara remeh.

    DR Jameela Sathar & Dr Veena Selvaratnam merupakan Pakar Perunding Hematologi Hospital Ampang, Selangor.

    DR Jameela Sathar & Dr Veena Selvaratnam merupakan Pakar Perunding Hematologi Hospital Ampang, Selangor.

    PROFIL

    DR Jameela Sathar & Dr Veena Selvaratnam

    Pakar Perunding Hematologi Hospital Ampang, Selangor.



    Sumber

  • Khidmat terbaik untuk tetamu ALLAH

    Khidmat terbaik untuk tetamu ALLAH

    JIKA kita mendaftar haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sekarang, kita terpaksa menunggu LAMA untuk sampai giliran menunaikan Rukun Islam ke-5 itu.

    Itu fakta benar yang dinyatakan Pengurus Besar Kanan TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika diwawancara Sinar Islam di Menara TH, Kuala Lumpur kelmarin.

    Masakan tidak, sehingga kini, ujar beliau, TH mempunyai seramai 3.3 juta pendaftar haji daripada 9.4 juta keseluruhan jumlah pendepositnya.

    “Namun, kuota haji pula hanya 30,200 pada setiap musim. Sistem pemilihan haji sebenarnya berdasarkan pendaftaran haji terbuka iaitu mengikut masa pendeposit TH itu daftar (haji). Apabila buka akaun di TH, ia bukan dikira sebagai pendaftar haji lagi,” jelasnya.

    Ya, demikian ‘ujian’ yang terpaksa direntas sebelum menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci Makkah. Tentangan sememangnya datang dalam pelbagai bentuk. Ia tidak semestinya berkait dengan soal kewangan semata-mata. Kadangkala ada yang berduit, namun kesihatan menjadi masalah utama.

    Begitupun, ia bukanlah perintang utama buat umat Islam yang memang sangat berharap untuk menjejakkan kaki ke Makkah. Masalah itu sebenarnya begitu kecil jika dibandingkan dengan harapan besar mereka untuk beribadah di Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam.

    Sesungguhnya, haji bukan sekadar dilihat dari aspek ibadah, tetapi juga merangkumi soal kewangan, perjalanan dan keselamatan. Semua itu tidak boleh diuruskan secara bersendirian. Perlunya ada pihak ketiga untuk membantu melancarkan segala urusan itu.

    Justeru, di Malaysia, kita sangat bertuah. Khidmat TH begitu signifikan bagi melicinkan segala urusan berkaitan dengan jemaah haji.

    Bagaimana TH menguruskan hal ehwal jemaah dan segala keperluan tersebut sejak ditubuhkan pada 1963? Apakah cabaran badan tersebut untuk menguruskan jemaah?

    Kemampuan

    Sebelum menjawab segala persoalan itu, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia mengajak kita untuk memahami maksud kemampuan dalam melaksanakan Rukun Islam ke-5 itu.

    Firman ALLAH SWT: “Dan ALLAH mewajibkan ke atas manusia mengerjakan ibadah haji ke Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 97)

    Dalam hal tersebut, ada empat prasyarat kemampuan yang penting dipanggil sebagai ‘4K’ yang merangkumi keselamatan, kesihatan, kewangan dan kuota.

    Beliau menambah, semua perkara berkenaan perlu dipenuhi oleh jemaah. Bahkan, TH sebagai pemudah cara jemaah haji turut mengambil peranan dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah penerbangan carter haji dan keselamatan mereka sepanjang menjalankan ibadah di Tanah Suci.

    “Sebab itulah sebelum jemaah berangkat, TH akan memastikan mereka pergi menjalani pemeriksaan kesihatan. Pakar perubatan juga akan memberikan rawatan dan ubat yang bersesuaian. Bukan itu sahaja, TH juga membawa seramai 260 anggota rombongan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke sana.

    “Jumlah itu termasuklah 60 orang doktor yang mana hampir 20 daripada mereka ialah pakar perubatan untuk jemaah haji. Selain itu, kemudahan klinik turut disediakan di setiap bangunan penginapan para jemaah haji. Jika memerlukan rawatan lanjutan, kita juga ada kemudahan hospital yang lengkap dengan peralatan dengan 277 buah katil,” katanya sambil menjelaskan TH turut berfungsi sebagai ‘institusi kewangan’ kepada umat Islam untuk membuat simpanan wang bagi memenuhi aspek istito’ah atau kemampuan menunaikan haji.

    Bagaimanapun, jelas Syed Saleh peranan dimainkan TH merangkumi keseluruhan urusan haji jemaah dan ia melibatkan kos langsung dan tidak langsung.

    SYED SALEH

    SYED SALEH

    “Kos langsung meliputi tambang kapal terbang, hotel di Makkah dan Madinah, makan dan minum serta pengangkutan di Tanah Suci dan bayaran kepada pihak berwajib Arab Saudi. Pada musim haji 1440 Hijrah yang lalu, kos itu berjumlah RM22,900 bagi setiap jemaah.

    “Bagi kos tidak langsung pula, ia merangkumi peranan TH sebagai badan pemudah cara seperti menganjurkan kursus-kursus haji, menyediakan buku rujukan kepada jemaah, persiapan para jemaah untuk berlepas di lapangan terbang, menyediakan petugas haji, hospital dan lain-lain yang membabitkan RM60 juta hingga RM70 juta pada setiap musim haji,” katanya.

    Berdasarkan rekod, TH telah berpengalaman mengendalikan lebih sejuta jemaah haji sepanjang 56 musim haji.

    Petugas haji

    Sesi wawancara kemudian membuka topik tentang petugas yang menjaga jemaah haji pula. Meskipun jemaah Malaysia yang mengikuti muassasah ada seramai 30,200 orang, namun petugas hanyalah 600 orang pada setiap tahun.

    Ujar beliau, bilangan petugas yang sedikit itu bukanlah disengajakan, tetapi ada sebab tertentu.

    “Cukup atau tidak (bilangan petugas) sebenarnya bergantung kepada tahap perkhidmatan disediakan. Namun, visa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi pada setiap tahun adalah sekitar 600 visa untuk petugas haji Malaysia. Visa dikeluarkan itu tidak sama dengan kuota haji untuk jemaah negara,” kata beliau.

    Namun hal itu tidak sedikit pun menjejaskan TH dalam memberikan khidmat terbaik kepada para jemaah.

    Bagi melicinkan urusan jemaah haji, para petugas TH dibahagikan kepada dua operasi iaitu di tanah air dan di Tanah Suci, terang Syed Saleh.

    TH turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti KKM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan lain-lain.

    “Bagi operasi di Tanah Suci, selain membawa satu rombongan yang terdiri daripada 600 petugas haji, TH turut melantik petugas yang bermukim di sana antaranya orang tempatan, rakyat Malaysia, Pattani, Thailand dan lain-lain.

    “Para jemaah haji dijaga 24 jam oleh petugas yang berkhidmat berdasarkan prosedur operasi di bawah pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015. Kita ada 25 prosedur induk merangkumi operasi di tanah air dan Tanah Suci.

    “Malah, setiap petugas diberi latihan tentang pengurusan risiko berdasarkan prosedur ISO berkenaan jika ada sebarang bencana atau isu kecemasan,” katanya.

    Ujar beliau, petugas haji TH terdiri daripada 60 peratus orang yang berpengalaman dan 40 peratus muka baharu untuk menjaga kesinambungan perkhidmatan mereka pada masa akan datang.

    BAKAL jemaah haji mendapat bimbingan dan simulasi latihan amali daripada TH sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci Makkah.

    BAKAL jemaah haji mendapat bimbingan dan simulasi latihan amali daripada TH sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci Makkah.

    Perkhidmatan terbaik

    Syed Saleh meneruskan bicaranya. Kali ini, beliau menyentuh tentang sistem pemilihan jemaah haji yang kadangkala nama mereka dipanggil pada saat-saat akhir.

    Dalam hal itu, ujar beliau, TH akan mengeluarkan surat tawaran kepada pendaftar haji yang sudah tiba giliran untuk menunaikan ibadah haji.

    “Mereka akan diberi tempoh selama 30 hari untuk menjawabnya dan memenuhi wang haji masing-masing. Selepas tempoh itu, kami akan melihat semula kekosongan disebabkan penolakan tawaran tersebut atas pelbagai sebab-sebab tidak dapat dielakkan.

    “Untuk mengisi kekosongan kuota itu, maka TH akan meneliti rayuan yang dibuat bakal jemaah. Ada empat jenis rayuan yang kerap dikemukakan iaitu rayuan mahram, rayuan lanjut usia, rayuan daftar awal (mereka yang daftar awal dan menolak surat tawaran haji sebelum ini) dan rayuan biasa.

    “Lazimnya, keutamaan akan diberikan kepada rayuan mahram, lanjut usia dan daftar awal bergantung kepada kekosongan tempat dan proses urusan visa. Itu antara sebab kenapa berlaku nama dipanggil last minute ” jelas beliau.

    Kepada Sinar Islam, Syed Saleh berkata, dari kaca mata kerajaan Arab Saudi dan negara lain, TH mendapat pujian dan pengiktirafan kerana kejayaan badan itu menguruskan para jemaah dengan cemerlang.

    Ekoran pengiktirafan berkenaan, ujarnya, TH menjadi rujukan pelbagai pihak dan negara-negara lain yang tidak mempunyai model seperti TH.

    “Di negara lain, pengurusan haji mereka di bawah kementerian berkaitan agama. Namun, kita di Malaysia ada badan seperti TH yang boleh memberi tumpuan khusus selain menggembleng kewangan umat Islam dan membantu operasi haji,” katanya.

    Pun begitu, TH tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka. Sebaliknya, TH telah membentuk bahagian pembangunan dan penyelidikan dalam jabatan haji yang bertanggungjawab dari segi pengurusan kualiti yang antara lain akan membuat kajian untuk memperbaiki dan memberikan perkhidmatan terbaik dari masa ke masa.

    “Untuk perancangan masa depan, pihak pengurusan TH sedang merangka pelan tindakan untuk tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024 untuk menambah baik mutu perkhidmatan.

    “Ia turut mengambil kira Visi 2030 Arab Saudi yang melibatkan pembangunan dan pembaharuan di Tanah Suci,” katanya mengakhiri bicara.



    Sumber

  • Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS berikutan pemecatan Trump

    Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS berikutan pemecatan Trump

    KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas dolar menjadi lebih kukuh berikutan pemecatan Presiden Donald Trump.

    Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1400/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1370/1400 yang direkodkan semalam.

    Presiden Trump adalah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ketiga dalam sejarah yang akan diproses pecat selepas Dewan Perwakilan mengundi 230-197 bagi dakwaan penyalahgunaan kuasa dan 229-198 membabitkan dakwaan menghalang Kongres.

    “Trump masih Presiden tetapi pemecatan ini mencetuskan ketidaktentuan politik AS, oleh itu ianya membendung selera risiko untuk mata wang baharu seperti ringgit,” kata seorang peniaga kepada Bernama.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding dengan sekumpulan mata wang utama.

    Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0542/0581 daripada 3.0520/0547, lemah berbanding pound British kepada 5.4251/4320 daripada 5.4232/4288 dan menurun berbanding Euro kepada 4.6099/6156 daripada 4.6057/6095.

    Mata wang tempatan itu bagaimanapun naik berbanding yen Jepun kepada 3.7788/7827 daripada 3.7802/7832 sebelum ini. – Bernama



    Sumber

  • Pelumba wanita R3 cipta sejarah pasukan

    Pelumba wanita R3 cipta sejarah pasukan

    KEMENANGAN pasukan Proton R3 yang meraih tempat pertama dan kedua pada perlumbaan Sepang 1,000km (S1K) baru-baru ini menjadi buah mulut ramai.

    Pun begitu, pada masa sama apa yang paling memberi kejutan adalah pencapaian pasukan terakhir pelumba R3.

    Pasukan tersebut terdiri daripada tiga pelumba wanita yang memandu Proton Saga iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna yang mendapat tempat ketujuh. Mereka merekodkan pencapaian terbaik daripada barisan pelumba wanita.

    Pencapaian tersebut telah membuktikan keberanian dan kecekalan mereka menempuh satu perlumbaan yang sangat mencabar.

    Berbeza dengan pelumba R3 yang lain, ketiga-tiga pemandu wanita itu tidak mempunyai pengalaman bersaing bersama di dalam Siri Kejuaraan Malaysia (MCS).

    BARISAN pelumba wanita pasukan Proron R3, Faye Kusairi (kiri), Nurul Husna (duduk) dan Leona Chin ketika menyertai perlumbaan Sepang 1,000km (S1K) baru-baru ini.

    BARISAN pelumba wanita pasukan Proron R3, Faye Kusairi (kiri), Nurul Husna (duduk) dan Leona Chin ketika menyertai perlumbaan Sepang 1,000km (S1K) baru-baru ini.

    Faye dan Nurul dipilih melalui inisiatif pencarian pasukan pelumba wanita, manakala Leona pula adalah pemandu profesional yang pernah bersaing di MCS. Acara S1K 2019 memperlihatkan mereka berkongsi memandu kereta yang sama buat kali pertama.

    Meskipun baharu sahaja terlibat dengan R3 dan bekerjasama antara satu sama lain, kepantasan pemanduan ketiga-tiga mereka terbukti menonjol semasa sesi latihan yang meletakkan mereka di kedudukan lapan teratas secara konsisten.

    Masalah teknikal pada sesi kelayakan memerlukan pasukan itu bermula di belakang garisan kelas M-Pengeluaran.

    Memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26 tidak sesekali mematahkan semangat mereka yang mana ketiga-tiga mereka telah memandu penuh berkemahiran dan kesabaran yang tinggi melalui strategi yang diatur ketika di dalam litar.

    Oleh itu, tidak hairanlah semasa Leona melepasi garisan penamat selepas sembilan jam mengharungi cabaran, mereka akhirnya layak meraih kedudukan ketujuh.



    Sumber

  • Formulasi baharu Petron elak kehausan enjin

    Formulasi baharu Petron elak kehausan enjin

    BAGI melindungi enjin daripada kehausan dan hakisan selain untuk jangka hayat enjin yang lebih lama, Petron Malaysia melancarkan rangkaian produk minyak enjin dan pelincir untuk kenderaan iaitu Petron High-Temperature Protection (HTP).

    Petron Blaze Racing HTP untuk enjin petrol, manakala Petron Rev-X Turbo HTP bagi enjin diesel ditampilkan.

    Dalam satu kenyataan, Petron memberitahu, Petron Blaze Racing HTP, minyak enjin sintetik sepenuhnya itu menggunakan polyalphaolefin (PAO) sebagai minyak asas berupaya menghasilkan pengoksidaan yang lebih baik dan kestabilan haba berbanding konvensional.

    “Blaze Racing HTP turut dilengkapi dengan sistem aditif yang tinggi untuk memenuhi kriteria yang lebih sukar bagi kegunaan enjin petrol berprestasi tinggi,” kata kenyataan itu baru-baru ini.

    Menurut Petron, rangkaian produk tersebut juga telah diperakui spesifikasinya dan memenuhi API SN, Kelulusan MB 229.5, Kelulusan MB 229.3 dan Porsche A40.

    Sementara itu, bagi Petron Rev-X Turbo HTP pula adalah minyak enjin sintetik sepenuhnya dan disyorkan untuk enjin diesel turbocharged atau supercharged yang berkuasa tinggi.

    Ia juga dirumuskan dengan PAO, minyak enjin tersebut memberikan perlindungan enjin yang berpanjangan disebabkan oleh pengoksidaan dan kestabilan haba untuk kebersihan serta kecekapan enjin yang mantap.



    Sumber

  • Koleksi Jaeger-LeCoultre

    Koleksi Jaeger-LeCoultre

    KILAUAN koleksi jenama jam mewah, Jaeger-LeCoultre mewarnai karpet merah apabila diperagakan selebriti terkenal sempena Festival Filem Antarabangsa Venice baru-baru ini.

    Bagaikan tidak boleh dipisahkan antara pakar pertukangan jam tangan warisan klasik dengan pembikin filem terbaik, Jaeger-LeCoultre meraikan hubungan baik bersama pihak pengurusan seni perfileman lebih sedekad lamanya.

    Tahun ini, Jaeger-LeCoultre tidak ketinggalan menyambut ulang tahun ke-15 perkongsian bersama festival filem itu dengan kehadiran bakat besar bertaraf antarabangsa di kota magis Venice.

    Bukan sahaja aktor Benedict Cumberbatch dipilih sebagai rakan Maison sejak tahun 2018, pelakon hebat seperti Amanda Seyfried dan Nicholas Hoult juga diraikan sebagai rakan jenama Swiss itu sempena temasya berprestij tersebut.

    Antara karya agung Jaeger-LeCoultre yang menjadi tumpuan lensa kamera paparazi seperti Master Ultra Thin Date Pink Gold, Master Ultra Thin Moon, Polaris Date dan Reverso Large Duoface Pink Gold.

    NICHOLAS Hoult juga diraikan sebagai rakan jenama Swiss itu sempena temasya berprestij tersebut.

    NICHOLAS Hoult juga diraikan sebagai rakan jenama Swiss itu sempena temasya berprestij tersebut.



    Sumber

  • Anugerah Pelancongan Kesihatan milik Malaysia

    Anugerah Pelancongan Kesihatan milik Malaysia

    SATU lagi pencapaian negara yang boleh dibanggakan apabila Malaysia berjaya mengekalkan kemenangan Anugerah Kluster Kesihatan dan Pelancongan Kesihatan Terbaik selama tiga tahun berturut-turut.

    Kejayaan terbaharu itu diumumkan pada majlis anugerah Pelancongan Kesihatan Antarabangsa Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTJ) 2019.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli, pihaknya berbangga dengan kemenangan yang diperoleh.

    “Kami sangat gembira dapat mengekalkan gelaran sebagai Kluster Kesihatan dan Pelancongan Kesihatan Terbaik.

    “Hari ini, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara yang menawarkan penjagaan kesihatan yang menakjubkan dan ini akan diketengahkan melalui kempen Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 (MyHT2020),” katanya dalam kenyataan media selepas majlis anugerah berkenaan baru-baru ini.

    Menurut Sherene, MyHT2020 turut akan dijalankan seiring dengan kempen pelancongan negara, Visit Malaysia 2020 (VM2020).

    Dalam pada itu, Malaysia turut mengekalkan posisi sebagai penyedia penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

    Penerima anugerah tersebut dimenangi oleh dua hospital swasta iaitu Thomson Hospital Kota Damansara dan TMC Fertility Center.

    Masing-masing menerima anugerah Inisiatif Kualiti Terbaik dan Klinik Kesuburan Antarabangsa Terbaik.

    Pada majlis berprestij itu Malaysia turut menerima anugerah Kepujian sebagai Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik.

    MHTC adalah sebuah agensi yang telah ditubuhkan pada tahun 2009 dan berperanan memajukan industri pelancongan kesihatan negara melalui jenama ‘Malaysia Healthcare’ untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi kesihatan global terkemuka di dunia.

    MHTC kini telah bekerjasama dengan para pemain industri dan penyedia perkhidmatan ke arah strategi pembangunan yang lebih tertumpu untuk mempertingkatkan profil Malaysia dalam industri pelancongan kesihatan di persada antarabangsa.

    Para pelancong kesihatan boleh memperoleh maklumat untuk mendapatkan rawatan di Malaysia melibatkan penjagaan kesihatan, penginapan dan pelancongan menerusi laman web www.malaysiahealthcare.org.



    Sumber

  • Acer Swift 5 ultra ringan

    Acer Swift 5 ultra ringan

    ULTRA ringan dan serba lengkap. Itu ciri yang terdapat pada Acer Swift 5 14’ yang mana casis komputer riba tersebut diperbuat daripada aloi magnesium dan hanya seberat 990 gram.

    Acer Swift 5 juga direka untuk begitu elegan untuk prestasi komputer riba yang mudah untuk dibawa ke mana sahaja.

    Bagi variasi asas, Acer Swift 5 ditawarkan bersama pemproses Intel Core i5 daripada generasi ke-10 dengan padanan kad grafik Intel.

    Sementara itu, bagi dua variasi lain, Acer Swift 5 menawarkan pemproses Intel Core i5 dan i7 generasi sama termasuk kad grafik keluaran Nvidia iaitu GeForce MX250.

    Bagi menggalas tugas kelancaran dan produktiviti, komputer riba itu turut dilengkapi keupayaan memori (RAM) 8GB dan 16GB bersama sistem storan berkapasiti 512GB SSD.

    Menurut Pengarah Perniagaan Konsumer Produk dan Pemasaran Acer Malaysia, Johnson Seet, Acer Swift 5 adalah komputer riba yang telah ditambah baik dan dilengkapi dengan ciri-ciri tercanggih seperti teknologi pengecas pantas.

    “Komputer riba ini didatangkan dengan sudut pandangan luas sehingga 170 darjah pada tiga penjuru ultra nipis bersama bezel paparan panel IPS sesentuh bersaiz 3.97mm.

    “Ia juga memiliki nisbah kepada badan paparan yang tinggi iaitu sebanyak 86.4 peratus dan jangka hayat bateri menjangkau 11 jam penggunaan optimum,” katanya ketika pelancaran Acer Swift 5 yang berlangsung di The Garden Mall, Mid Valley City baru-baru ini.

    Acer Swift 5 serba baharu itu boleh didapati segera di semua Acer Concept Store, stor dalam talian rasmi Acer dan wakil penjual Acer yang sah.



    Sumber