Blog

  • Shuib Sepahtu duta jenama KK

    Shuib Sepahtu duta jenama KK

    PELAWAK tanah air, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu dilantik sebagai duta rasmi bagi rangkaian jenama Kumpulan Syarikat KK.

    Difahamkan, pelantikan bintang komedi itu adalah selaras dengan misi dan visi syarikat berkenaan di samping mempromosikan lagi rangkaian jenama itu.

    Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat KK, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, Shuib dapat memainkan peranan dalam membantu mengukuhkan jenama anak syarikat berkenaan antaranya seperti KK Super Mart, KK Concept Store, KK Fresh, Baiwago Plus Cafe dan beberapa lagi.

    “Sebagai permulaan, Shuib akan memulakan peranan sebagai duta KK Super Mart dan seterusnya diikuti dengan anak syarikat lain di bawah Kumpulan Syarikat KK.

    “Shuib akan terlibat dalam beberapa aktiviti pemasaran syarikat selepas ini seperti KK Jom Kongsi Raya, Larian Amal iSUKEWP, Karnival Muzik KK dan banyak lagi,” katanya pada sidang akhbar bagi memperkenalkan duta jenama itu di sini semalam.

    Dalam pada itu, KK Chai berkata, KK Super Mart mula berkembang sejak tahun 2001 dan sehingga kini rangkaian kedai serbaguna itu mempunyai sebanyak 435 outlet di seluruh Malaysia.

    Beliau berkata, bagi memastikan setiap lapisan pelanggan dapat menikmati tawaran harga lebih baik, pihaknya sentiasa membuat perbandingan dengan pemain industri peruncitan lain di negara ini.

    “Kami turut memperluaskan rangkaian perniagaan kami bagi memberi perkhidmatan terbaik buat pelanggan,” kata beliau.

    Sementara itu, Shuib berkata, dia berbesar hati apabila dipilih sebagai duta syarikat berkenaan.

    Katanya, dia juga berharap agar Kumpulan Syarikat KK dapat memperluaskan lagi rangkaian perniagaannya ke peringkat antarabangsa selepas ini.



    Sumber

  • ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

    ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

    SEORANG budak lelaki seringkali menjadi ‘mangsa’ ejekan rakan-rakannya. Tidak kiralah di sekolah atau kawasan kejiranannya, hampir semua kanak-kanak seusia dengannya enggan berkawan dengan budak lelaki berkenaan.

    Dari segi peribadinya, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu begitu tertib tatkala menyusun bicara. Apatah lagi jika berbual dengan orang yang lebih tua daripadanya. Beliau begitu menghormati orang tua. Perilakunya juga baik, cuma ada satu ‘cela’ yang dirasakan menjadi kekurangan pada kanak-kanak polos itu. Hanya kerana beliau berkulit gelap!

    Boleh dikatakan, saban hari, ada sahaja orang yang memanggilnya dengan gelaran ‘legam’. Tidak kurang yang menggelarnya ‘bontot kuali’. Bayangkan budak sekecil itu sudah menjadi mangsa cercaan rakan-rakannya.

    Jika diikutkan logik akal, mana mungkin budak seusianya mampu bertindak mendiskriminasikan sebegitu? Sudah tentu mereka ‘mempelajari’ sikap berkenaan daripada orang lain.

    Apa jua panggilan yang digunakan, jelas sekali ia mempersenda fizikal manusia lain.

    Ya, situasi itu kerap berlaku dalam dunia realiti. Ramai kini yang semakin menjadi-jadi dengan perbuatan mempersenda fizikal orang lain. Medium digunakan lazimnya di media sosial, seterusnya disebarkan dan menjadi tular.

    Dalam kes terbaharu, gambar seorang lelaki menunggang motosikal membawa seorang kanak-kanak dengan kapsyen ‘Nak kesian dekat motor ke atau budak itu’, dimuat naik di media sosial sehingga menjadi tular.

    Itu pun jelas ada unsur-unsur mempersendakan fizikal orang.

    Benarkah mempersendakan fizikal orang lain itu sama seperti menghina ciptaan ALLAH SWT? Bagaimana pula jika kata-kata bernada ‘ejekan’ tadi hanyalah sekadar gurauan?

    Larangan mencela

    Pendakwah Ustaz Haslin Baharim menjelaskan, fizikal atau tubuh badan manusia merupakan ciptaan ALLAH SWT.

    USTAZ HASLIN

    USTAZ HASLIN

    Apa sahaja cacat cela melibatkan tubuh badan manusia tersebut umpamanya masalah suara, sumbing, telinga dan sebagainya yang ditakdirkan oleh Sang Pencipta kepada seseorang, kita dilarang sama sekali untuk menghinanya.

    “Jika badan seseorang itu gemuk, lantas kita menyebutnya; ‘Badan apa besar begini. Kerbau dengan awak sama saja’. Ini merupakan satu bentuk penghinaan.

    Tidak kiralah penghinaan tadi dilakukan sama ada secara zahir ketika bertemu secara empat mata (dengan empunya diri) atau melalui media sosial sekalipun, kita dilarang berbuat demikian.

    “Apatah lagi, jika penghinaan itu dilontarkan dalam laman sosial hingga menjadi tular. Sekurang-kurangnya fikirkan perasaan keluarga seseorang yang ada cacat celanya daripada segi fizikal,” katanya ketika ditemui Sinar Islam pada Majlis Pelancaraan Butik Haqqi 2020 di Bangi, Selangor baru-baru ini.

    Kepada satu soalan, Ustaz Haslin yang terkenal dengan panggilan Ustaz Bollywood itu berkata, seandainya apa yang diungkapkan tadi hanya sebagai gurauan, ada ‘keringanan’ jika seseorang itu akrab dengan individu berkenaan.

    Memberikan contoh, seandainya seseorang itu mempunyai hubungan rapat dengan rakannya yang bergigi jongang dan tidak kisah digelar sedemikian, itu bukanlah masalah kerana membabitkan mereka berdua, jelas beliau.

    “Bagaimanapun, andai kata di hadapan orang ramai, kita berkata demikian sehingga menyebabkan orang ketawa dan menyakitkan hatinya, ia sama sekali tidak dibenarkan.

    “Jika kita tidak mengenali individu tersebut atau mungkin kenal, tetapi ‘jauh’ dengannya, kemudian kita kata pula ‘badannya dengan gajah lebih kurang sahaja’ dan tulis (di media sosial) ‘ini akibatnya jika makan kuat sangat’, ia tidak patut. Tidak perlulah kita memalukan orang tersebut,” jelas beliau.

    Bersyukur kepada ALLAH

    Tiada insan yang mahu dirinya dilahirkan dalam keadaan cela. Justeru, Ustaz Haslin mengingatkan kita agar tidak mempersenda atau mempermainkan fizikal seseorang.

    “Bagi mereka yang dijadikan ALLAH dengan kekurangan fizikal, maka terimalah dengan hati yang penuh pasrah dan reda. Semoga suatu masa nanti, ada kebaikan, manfaat atau ganjaran yang ALLAH berikan kepada kita.

    “Mungkin dengan cara orang buat begitu (mempersendakan fizikal kita), dosa kita diampunkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

    Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa Islam melarang sebarang bentuk penghinaan termasuklah tentang perihal rumah tangga atau keadaan seseorang itu.

    “Kadangkala ada orang mengata ‘isteri cantik, tetapi suami pula sebaliknya’. Begitu juga dengan hinaan kepada seseorang apabila menyatakan ‘sudah tahu hidup di dalam rumah usang, tapi beranak ramai’.

    “Tidak perlulah kita berasa seronok dengan kekurangan dan kelemahan orang. Sama ada seseorang itu gemuk, cacat, sumbing, sengau, pekak, bisu dan sebagainya, itu dah memang ditentukan oleh ALLAH SWT,” ujarnya.

    Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermaikan itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

    Bagi mereka yang terlanjur mempersendakan fizikal orang lain, kata Ustaz Haslin, mohon maaflah secara peribadi kepada individu berkenaan atau keluarga tersebut.

    “Jika penghinaan itu pernah tular di laman sosial Facebook atau Instagram contohnya, buatlah juga permohonan maaf melalui platform berkenaan,” nasihat beliau.

    Sementara itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz turut menggulungkan hujahnya buat ‘si penghina’.

    HASSAN MAHMUD

    HASSAN MAHMUD

    Apabila menyaksikan kecacatan atau kelemahan pada fizikal manusia, ujar beliau, seseorang itu seharusnya memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH kerana tidak dijadikan sebegitu rupa.

    “Sama ada kurang sihat, gemuk, kurus, berkulit gelap atau wajah tidak cantik sekalipun, bersyukurlah. Kita kena ingat bahawa apa yang berlaku itu adalah kehendak ALLAH.

    “Jangan kita mengejek-ngejek atau menghina orang lain walaupun individu itu musuh kita, bukan Islam dan sebagainya kerana mereka tetap makhluk-makhluk ALLAH,” ungkapnya.

    Seperkara beliau mengingatkan, sekiranya menghina orang lain, bermakna seseorang itu menghina makhluk yang sama dengannya juga.

    “Kalaulah yang dihina itu ayah, ibu atau anak kita, adakah kita sanggup berbuat demikian? Sebenarnya, menjadi tugas kita untuk membantunya. Sebab itu kita ada pakar perubatan dan rawatan Islam kerana hendak tolong-menolong dan bukannya caci-mencaci,” kata beliau.

    Berdosa

    Jelas tokoh pendakwah itu, menjadi tanggungjawab manusia untuk mengelakkan diri daripada kebinasaan. Seandainya ditakdirkan dengan kekurangan itu, sebaiknya lakukan ikhtiar seperti mendapatkan rawatan.

    USAH sebarkan 'kecacatan' orang lain menerusi media sosial kerana ia boleh memalukan mereka.

    USAH sebarkan ‘kecacatan’ orang lain menerusi media sosial kerana ia boleh memalukan mereka.

    “Kita kena jaga diri kita sendiri daripada bahaya dan elakkan diri daripada mencemuh orang lain kerana kita sendiri pun ada kekurangan.

    “Walaupun ada orang tidak boleh bercakap atau tempang sekalipun, percayalah setiap yang ALLAH ciptakan itu ada kelebihannya. Terimalah (kekurangan itu) sebab masa depan kita sendiri pun tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita,” katanya.

    Beliau mengajak kita ‘mendekati’ tentang hukum manusia yang menghina dan mengeluarkan perkataan tidak sopan sehingga menyakiti orang lain tentang fizikal mereka.

    Agamawan itu menegaskan, barang siapa yang suka merendah-rendahkan orang lain, al-Quran menyebut, ia ibarat seperti memakan bangkai saudaranya yang sudah mati.

    “Maka, jauhilah sikap-sikap itu. Jika tidak, boleh jadi berdosa. Ini bukan dosa kecil. Kita mengejek ciptaan ALLAH dan bukan dosa biasa yang memerlukan kita tunaikan solat sunat taubat sahaja (untuk bertaubat).

    “Ini kerana ia sebenarnya meninggalkan kesan yang mendalam. Orang yang menghina itu, (sebenarnya) penghinaan tersebut akan berbalik kepada dirinya sendiri. Ia akan mengganggu fikiran, kehidupan dan emosinya. Semua itu akan datang balik kepada kita kerana berbuat sesuatu yang tidak baik. Jadi, jangan sampai ALLAH jatuhkan hukuman istidraj kepada kita,” katanya.

    Tegas nasihat beliau. ALLAH akan memberikan hukuman secara berperingkat sama ada di dunia ataupun akhirat. Individu yang melakukan perbuatan itu akan merasainya sebelum dia meninggal dunia.

    Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah riwayat hadis, jelas beliau.

    Apa yang dapat Sinar Islam simpulkan, hakikatnya, gemuk, kurus, hitam, putih, cantik atau tidak fizikal seseorang itu, semuanya adalah ciptaan ALLAH SWT.

    Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi didikan sempurna kepada anak masing-masing sejak kecil agar tidak merendah-rendahkan orang lain.

    Ketahuilah bahawa Islam melarang keras umatnya mempersendakan fizikal orang. Perbuatan itu mendatangkan natijah yang tidak baik bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan orang yang dipersendakan itu.

    Boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil

    Gelaran fizikal yang diberikan kepada anak seperti putih, lebar atau debab sejak kecil perlu dielakkan. Ia tidak boleh dipandang enteng kerana ia dikhuatiri memberi impak kepada pembentukan karakter anak-anak.

    Menurut perunding motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah K Hamzah, didikan awal bermula dengan pemberian nama. Justeru, nama panggilan begitu penting kerana ia merupakan penanda kepada sahsiah seseorang.

    ROBIAH

    ROBIAH

    Ketahuilah bahawa memberi nama yang baik dan memanggil anak dengan nama yang baik itu satu doa, terangnya.

    “Ibu bapa jangan gelarkan anak dengan panggilan yang buruk. Usah ambil mudah perkara ini. Gelaran seperti itu boleh jadi ia menghina orang tersebut jika maknanya buruk.

    “Sebaiknya, berilah nama anak yang berkah, berkaitan agama, (ada kaitan dengan nama) Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in. Begitu juga dengan gelaran panggilan harian. Ia mestilah difahami maknanya dan digunakan secara baik,” katanya ketika ditemui Sinar Islam di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Ujar Robiah, sesiapa yang mempersendakan ciptaan ALLAH, maka dia sebenarnya sedang mempersendakan ALLAH yang boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil.

    “Gurauan yang disebut di media sosial (tentang mempersendakan fizikal manusia) dianggap sebagai tidak sesuai. Ia lebih banyak terarah kepada penghinaan, mencaci, merendahkan dan memalukan orang lain.

    “Hakikatnya, nilai cantik itu datang daripada sahsiah, iman, ibadah, komitmen, sumbangan yang kebaikan yang dilakukan oleh seseorang,” jelas beliau.

    Siapa pun kita, beliau menitipkan pesan agar segala kekurangan atau kecelakaan ciptaan ALLAH SWT, kita tidak berhak untuk menghina, mencaci atau merendah-rendahkan orang lain.

    “Ya, kadangkala kita punyai anggota (badan) yang sempurna, tetapi iman, perangai, kelakuan, akal dan agama tidak sempurna. Jangan sesekali melihat orang lain yang serba kekurangan jika dia kurang cantik atau putih. Sebenarnya, orang itu tidak terkurang apa-apa kalau imannya baik.

    “Apa pun, kita dinasihatkan supaya tidak payah cari buruk atau cacat orang lain. Ini kerana cacat itu boleh jadi dalam bentuk fizikal, mental, amal ibadah, harta benda dan ilmu,” nasihat beliau.

    Menurutnya, setiap yang ALLAH beri termasuklah kekurangan dari segi fizikal, DIA sebenarnya memberikan kelebihan lain. Justeru, jangan menghina atau mencaci sesiapa pun.



    Sumber

  • Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS bagi hari kedua berturut-turut hari ini susulan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang membantu meningkatkan minat dalam pasaran.

    Unit tempatan ditutup kukuh pada 4.2100/2200 berbanding dolar AS daripada 4.2230/2280 yang direkodkan pada 6 petang semalam.

    Terdahulu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion untuk melindungi ekonomi negara daripada kesan berkaitan dengan penularan koronavirus (Covid-19).

    Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pakej rangsangan itu akan membantu perniagaan yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 untuk memudahkan aliran tunai mereka dan mengurangkan kos perniagaan.

    Antara langkahnya adalah penangguhan pembayaran cukai pendapatan bulanan bagi perniagaan dalam sektor pelancongan dari April hingga September 2020.

    Dr Mahathir juga memberi jaminan Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk membiayai pakej rangsangan itu dalam bentuk simpanan daripada Bank Negara Malaysia, Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Malaysia antara negara terawal yang mengumumkan pakej rangsangan bagi menangani kesan Covid-19 secara berkesan.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0181/0264 daripada 3.0205/0245 pada Rabu, naik berbanding yen Jepun kepada 3.8210/8308 daripada 3.8280/8335 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4317/4459 daripada 5.4679/4761.

    Bagaimanapun, ringgit susut berbanding euro kepada 4.6032/6154 daripada 4.5980/5047 sebelumnya. – Bernama



    Sumber

  • Kelengkapan, Keperluan Haji & Umrah di Butik HAQQI Baru Di Bangi Sentral

    Kelengkapan, Keperluan Haji & Umrah di Butik HAQQI Baru Di Bangi Sentral

    Butik Haqqi Bangi kini beralih di lokasi baru di 3-43, Jalan Medan Pusat Bandar 8, Bangi Sentral. Lokasi ini lebih mudah dikunjungi dan mempunyai tempat parking yang lebih banyak. Lokasi baru ini juga menempatkan jenama butik terkenal di tanah air.

    Butik Haqqi menjual kelengkapan haji & umrah,  kurta & baju melayu, jubah lelaki & wanita,baju kurung dan vendor pakaian artis. Haqqi dan pihak Koperasi Tabung Haji dibawah pengurusan baru Dr. Fitri Haris telah mengorak langkah lebih besar dengan mengembangkan perniagaan mereka. Beliau bersama tim Haqqi merancang untuk membuka cawangan baharu di Makkah dan Madinah dijangka pada hujung tahun 2020.

    Majlis Pelancaran Butik Haqqi 2020 yang turut dihadiri diserikan dengan kehadiran Penolong Pengurus Koperasi Tabung Haji Berhad (KTHB), Puan Noorsamah Awang, dan rakan-rakan artis seperti Lan Kristal, Syamsul Ghau Ghau. Kerjasama antra Butik Haqqi dan Koperasi Tabung Haji Berhad (KTHB) akan memantapkan butik Haqqi sebagai pusat kelengkapan Haji dan Umrah. KTHB menjadi rakan strategik butik Haqqi bagi Pembekalan kelengkapan barangan umrah dan haji dan fesyen patuh syariah. butik HAQQI paling besar terletak di di Shah Alam,. Selain itu butik Haqqi terdapat di TTDI, Kuala Terengganu dan Brunei.

    Kelengkapan mengerjakan ibadah haji atau umrah seperti kain ihram dan telekung, uncang, stokin, kasut, spray wuduk, tali pinggang,buku panduan umrah/haji, buku himpunan doa, tasbih digital dan kit kosmetik.

    Butik Haqqi Cawangan Bangi
    3-43, Jalan Medan Pusat Bandar 8, Bangi Sentral,
    43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan.

    Website : https://haqqi.com.my/
    Facebook : https://www.facebook.com/haqqibangi
    Instagram : https://www.instagram.com/haqqi.com.my/
    Bagi pembelian online melalui Whatsapp : +6011-10626485

  • Tunai haji, umrah penuh yakin dengan set kelengkapan kebersihan peribadi Tanamera

    Tunai haji, umrah penuh yakin dengan set kelengkapan kebersihan peribadi Tanamera

    MENUNAIKAN ibadah haji dan umrah memang menjadi impian setiap umat Islam. Hidup terasa lengkap dan sempurna seandainya dapat menunaikan dua ibadah berkenaan.

    Namun, untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, bukan sahaja kemampuan menjadi ukuran. Persiapan ke sana juga sangat penting. Ia termasuklah kelengkapan penjagaan peribadi.

    Menyedari agak sukar untuk mendapatkan produk penjagaan peribadi yang berasaskan bahan semula jadi dan mesra wuduk di pasaran,

    Tanamera Malaysia mencari penyelesaian dengan mengeluarkan set kelengkapan kebersihan peribadi berasaskan 100 peratus bahan semula jadi yang dikenali sebagai Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera.

    Menurut pengasas bersama jenama itu, Faridah Ahmad Fadzil, set lengkap tersebut merangkumi lima produk penting iaitu semburan air suling untuk wuduk; pembersih semua dalam satu untuk muka, badan dan rambut; krim pelembut kulit; semburan pembasmi kuman serta salap bibir Green Kisses Tanamera.

    Menariknya, semua produk berkenaan didatangkan dalam saiz dan isipadu di bawah 100 mililiter yang boleh dibawa ketika dalam penerbangan, jelas beliau.

    “Apa yang penting, semua set produk berkenaan disahkan halal dan 100 peratus menggunakan bahan semula jadi serta tidak menggunakan pewangi.

    “Ia memang direka khas berdasarkan syarat-syarat haji dan umrah. Jadi, semua rangkaian produk ini boleh digunakan tanpa waswas. Untuk menunaikan ibadah, kita kena pastikan sebarang produk yang digunakan adalah sah untuk tujuan tersebut,” katanya pada majlis pelancaran Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya Selangor sebentar tadi.

    Berdasarkan rekod, jenama Tanamera yang diasaskab sejak tahun 1993 di Malaysia terkenal dengan rangkaian produk yang diperbuat daripada bahan semulajadi dari hutan hujan tropika.

    Sehingga kini, Tanamera mempunyai sebanyak 150 unit menyimpan stok di bawah jenama berkenaan.

    Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera dijual pada harga RM88 yang boleh didapati di tujuh cawangan Tanamera, selain dibeli menerusi platform e-dagang secara online.



    Sumber

  • Kuasa nuansa hitam, putih

    Kuasa nuansa hitam, putih

    BIARPUN trend fesyen sentiasa berubah mengikut peredaran zaman khususnya menyaksikan kemunculan palet warna baharu, tetapi nuansa hitam dan putih tetap menjadi pilihan.

    Bermula dari musim sejuk, luruh, bunga sehingga musim panas, dua rona berkenaan sering diangkat mewarnai item fesyen ditawarkan baik oleh kumpulan pereka tempatan mahupun antarabangsa.

    Sememangnya pilihan padanan pakaian dalam rona hitam dan putih tidak pernah gagal menyerlahkan gaya yang kemas, ringkas dan meyakinkan kepada si pemakai.

    Konsep monokromatik, reka corak bintik polka, petak, struktur jalur, grid, geometrik, blok warna dan cetakan menegak serta serong antaranya memberi ilusi optikal menarik pada potongan badan.

    Dalam konteks fesyen, warna hitam dan putih sememangnya membantu menjadikan bentuk badan tampak menarik, langsing dan menyembunyikan kekurangan dimiliki.

    FAIZAL

    FAIZAL

    Pada masa sama, jika bijak menggayakannya, wanita berpeluang kelihatan kontemporari, muda dan segar.

    Jadi bukan sesuatu yang menghairankan apabila wanita Malaysia antaranya menyifatkan hitam dan putih adalah warna selamat sehingga mendorong mereka menyarungkan busana nuansa terbabit tatkala menghadiri majlis rasmi ataupun kasual.

    Monokromatik rona hitam dan putih sememangnya trend klasik malar segar yang sentiasa mendominasi pilihan dalam berpakaian.

    Ia cukup mudah digayakan kerana keseimbangan kombinasi hitam dan putih memberi impak positif pada si pemakai.

    Rona hitam dan putih juga simbol wanita klasik yang tegas dan rapi dalam berpenampilan.

    Sehubungan itu, sempena segmen Diari Fesyen minggu ini, saya paparkan tip ideal untuk mempraktikkan konsep suai dan padan kombinasi hitam dan putih.

    Inisiatif berkenaan mampu membuatkan pembaca kelihatan hebat pada siang dan malam hari. Selamat mencuba!.

    1 Kontemporari

    Padanan hitam dan putih menyerlahkan gaya kontemporari yang bersahaja, memikat, anggun dan penuh ketrampilan. Perlu diingatkan, tambahan warna lain akan mengurangkan impak keseluruhan. Oleh itu, jika bahagian leher ingin tambahan aksesori, maka pilih rekaan yang unik rona hitam atau putih.

    Sementara itu, sebagai pelengkap gaya, padankan kasut hitam atau putih atau kombinasi dua warna tersebut. Konsep solekan pula tidak perlu berlebihan dan hanya fokus pada kening dan kontur struktur tulang wajah.

    2 Suai dan padan

    Bagi mendapatkan gaya ceria praktikkan kombinasi polos dan bercorak. Sebagai contoh, suai dan padan skirt atau seluar bercorak hitam atau putih bersama blaus rona polos hitam.

    Selain itu, wanita juga boleh mencuba padanan blaus bercorak hitam dan putih dengan skirt atau seluar polos hitam atau putih. Jika inginkan kelainan lengkapkan gaya dengan aksesori warna metalik.

    3 Pelengkap gaya

    Bagi wanita yang gemar memakai busana warna putih secara keseluruhan, mungkin boleh memadankan bersama pelengkap gaya seperti kasut, aksesori, kaca mata, beg, tudung atau skaf rona hitam untuk gaya chic dan urban.

    JANGAN bimbang untuk menggayakan dres yang menggabungkan nuansa hitam dan putih.

    JANGAN bimbang untuk menggayakan dres yang menggabungkan nuansa hitam dan putih.

    Pada masa sama, mengaplikasikan konsep suai padan blaus, skirt, seluar atau gaun warna hitam dengan aksesori putih. Mudah bukan!

    4 Suntikan jean biru

    Kombinasi hitam dan putih bukan hanya hebat digayakan dari hujung rambut ke hujung kaki, tetapi turut menyerlah apabila dipadankan jean biru.

    5 Aksesori bold

    Bagi menggayakan aksesori berani (bold) cuba padankan bersama blaus corak sederhana atau sebagai alternatif pilih blaus bintik polka dan skirt jalur yang kedua-duanya warna hitam dan putih.

    6 Kuasa warna natural

    Jika ingin menerapkan warna lain bersama padanan busana hitam dan putih, maka pilihan yang tepat adalah rona semula jadi seperti coklat, perang atau metalik pada skaf, beg atau kasut.

    7 Hitam itu anggun

    Warna hitam dan putih dengan ciri-ciri potongan, garisan kemas atau siluet yang mantap, kekal diminati kerana keistimewaannya menjadikan sesiapa sahaja kelihatan anggun.

    KOMBINASI kardigan dan dres polos hitam serta putih menyuntik penampilan kasual.

    KOMBINASI kardigan dan dres polos hitam serta putih menyuntik penampilan kasual.



    Sumber

  • PNS lantik Mohd Hilaludin sebagai CEO

    PNS lantik Mohd Hilaludin sebagai CEO

    PERBADANAN Nasional (PNS) melantik Mohd Hilaluddin Abd Shukor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 20 Februari 2020.

    Mohd Hilaluddin, 54, yang memulakan kerjayanya dalam sektor perbankan, mempunyai pengalaman luas dalam kredit, penyusunan pinjaman, pengaturan sekuriti hutang swasta, fasiliti pembiayaan konvensional dan Islam, kata PNS dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga memiliki pengalaman modal teroka dan ekuiti swasta dalam pelbagai kapasiti daripada pelabur kepada pengurus dana termasuk pernah terlibat dalam penubuhan dana ekuiti swasta milik sebuah bank antarabangsa Islam.

    Mohd Hilaluddin juga pernah berkhidmat untuk menguruskan portfolio pelaburan Khazanah Nasional Bhd.

    Beliau bertanggungjawab dalam pengurusan dan pemantauan syarikat pemula niaga, menentukan hala tuju strategik mereka dan memacu pelan penciptaan nilai.

    Individu berkenaan juga bertanggungjawab dalam memantau syarikat modal teroka termasuk menganggotai Lembaga Pengarah dalam beberapa syarikat penerima pelaburan Khazanah.

    CEO baharu ini memiliki kelulusan MBA dalam Kewangan Perniagaan dari University of Hull serta Ijazah dalam Kajian Kewangan dan Perundangan dari Sheffield Hallam University, UK.

    Pengerusi PNS, Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata, pelantikan Mohd Hilaluddin akan membolehkan PNS untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah agensi dengan mandat bagi menerajui pembangunan industri francais Malaysia. – Bernama



    Sumber

  • Petronas catat untung bersih RM40.5 bilion

    Petronas catat untung bersih RM40.5 bilion

    KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Petronas turun 27 peratus kepada RM40.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM55.3 bilion dalam tahun kewangan 2018 berikutan hasil rendah yang susut empat peratus kepada RM240.3 bilion daripada RM251 bilion pada tahun sebelumnya.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, keuntungan bersih rendah itu adalah disebabkan hasil rendah dan rosot nilai bersih bagi aset berjumlah RM7.3 bilion manakala hasil lemah itu adalah disebabkan purata harga direalisasi rendah bagi produk utama.

    “Tidak termasuk kesan rosot nilai itu, keuntungan bersih kami bagi 2019 berjumlah RM47.8 bilion, turun enam peratus dari 2018,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2019 syarikat itu di sini hari ini.

    Bagi suku keempat, keuntungan bersih syarikat itu berjumlah RM4.1 bilion turun 71 peratus daripada RM14.3 bilion semasa suku yang sama pada 2018, berikutan hasil susut sebanyak lapan peratus kepada RM64 bilion daripada RM69.9 bilion.

    Beliau berkata, 2019 merupakan tahun yang sukar kerana industri terus dibayangi situasi tidak menentu yang berterusan dengan ketidakstabilan geopolitik serta peningkatan perlindungan perdagangan dan pada penghujungnya dilanda penularan wabak koronavirus (Covid-19).

    Menurutnya, harga tenaga dan komoditi terus menunjukkan prestasi tidak menentu di tengah-tengah situasi ini dengan harga purata minyak mentah berada pada AS$64 setong pada 2019, lebih rendah berbanding harga purata AS$71 setong pada 2018.

    Wan Zulkiflee berkata, keseluruhan industri tidak bersedia dengan impak daripada penularan Covid-19 dan ia menyebabkan permintaan dari China merosot terutama bagi gas asli cecair (LNG).

    Bagaimanapun, beliau berkata, pelanggan dari China hanya membentuk enam peratus daripada jumlah hasil kumpulan.

    Mengenai dividen, beliau berkata, Petronas membayar RM54 bilion kepada kerajaan pada tahun lepas, terdiri daripada RM24 bilion dividen biasa dan RM30 bilion dividen khas.

    “Bagi tahun ini, kami belum lagi mengadakan mesyuarat agung tahunan, tetapi kami merancang dividen RM24 bilion bagi tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata, prospek bagi industri minyak dan gas masih lemah memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang masih berterusan, ketegangan perdagangan yang berlarutan dan gangguan permintaan dalam tempoh terdekat ini berikutan penularan Covid-19.

    Walaupun berdepan cabaran ini, beliau berkata, Petronas akan kekal melaksanakan strateginya dan mengekalkan kecekapan operasi di samping mengekalkan disiplin fiskal.

    “Kami akan kekal komited untuk mengembangkan pertumbuhan kami di Malaysia. Malahan, perbelanjaan modal kami bagi Malaysia dijangka meningkat lebih daripada 10 peratus dalam lingkungan RM26 hingga 28 bilion pada 2020, dan kami juga menyasar meningkatkan lebih daripada lima peratus pengeluaran minyak dan gas kami.

    “Kami juga akan memanfaatkan kedudukan Kompleks Bersepadu Pengerang sebagai hab petrokimia yang bertujuan menampung dan memenuhi permintaan pasaran serantau,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…

    Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…

    KHIDMAT penghantar makanan begitu signifikan dan sangat diperlukan pada masa kini.

    Apa tidaknya, dalam kita mengharungi gaya hidup yang sibuk ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas, adakalanya perkhidmatan sedemikian amat membantu kita untuk memesan makanan tanpa perlu ke restoran untuk membelinya.

    Malah, banyak syarikat menawarkan perkhidmatan tersebut yang mana ia boleh dipesan secara atas talian dan dihantar menggunakan khidmat penghantar makanan.

    Namun, menjadi kemusykilan apabila seorang penghantar makanan yang beragama Islam terpaksa menghantar makanan tidak halal atau tempahan daripada restoran meragukan dari segi halal kepada pelanggan.

    Apakah hukumnya jika terpaksa berbuat demikian? Apakah pula langkah yang perlu diambil si penghantar makanan tadi?

    Segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini akan merungkaikan persoalan tersebut.

    Ujar pendakwah yang juga pensyarah Universti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris, halal dan haram sebenarnya merupakan perkara yang nyata dalam Islam.

    “Katakan kita orang Islam dan hantar makanan atau minuman tidak halal umpamanya arak. Sudah jelas penghantar arak ini tergolong sebagai 10 golongan berdosa besar.

    “Itu berkaitan arak, tetapi bagaimana pula jika ia melibatkan makanan tidak halal? Ia tetap tidak digalakkan dan tidak boleh sama sekali kita menghantarnya,” jelas beliau.

    Kepada mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan, Fitri menasihatkan agar mereka memilih untuk menghantar makanan yang halal.

    “Apatah lagi, apabila memberi makanan kepada orang Islam sendiri. Contohnya, seorang pak cik yang lapar dan memesan makanan, kemudian dia makan makanan kita lantas menunaikan solat, begitu banyak pahala yang kita dapat.

    “Sebenarnya, kita ada pilihan (untuk memilih menghantar makanan yang halal) dan bukan terpaksa. Hakikatnya, kita sendiri yang akan memilih jalan hidup kita,” katanya.

    Andai kata penghantar makanan tadi pernah menghantar makanan tidak halal sebelum ini, apakah yang perlu dilakukan?

    Menjawab persoalan itu, Fitri berkata, umat Islam boleh menyucikan harta mereka dengan zakat.

    “Berilah sebahagian daripada harta kita dan kiralah zakat dengan baik. Sesungguhnya, zakat dapat menyucikan harta kita. Mudah-mudahan hidup kita akan menjadi barakah dan halalan toyyiban (halal lagi baik),” terang beliau.



    Sumber

  • Ambil tahu fakta demam denggi

    Ambil tahu fakta demam denggi

    MASYARAKAT kita kurang peduli tentang kes denggi. Terkini, penyakit itu telah membunuh 33 orang hanya dalam tempoh kira-kira dua bulan pertama tahun ini.

    Masih tidak bimbang?

    Ketahuilah agak mustahil untuk menghapuskan 100 peratus kes tersebut kerana negara kita amat sesuai untuk pembiakan Aedes kerana beriklim khatulistiwa iaitu hujan dan panas sepanjang tahun.

    Denggi juga berbahaya kerana tiada ubat untuk merawat dan tiada vaksin untuk mencegahnya.

    MAKLUMAT kes denggi terkini.

    MAKLUMAT kes denggi terkini.

    Namun demikian, pelbagai pendekatan boleh diambil bagi meminimakan risiko terdedah kepada denggi ialah memastikan kawasan rumah dan sekitar kita bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

    Tahukah anda mengenai beberapa fakta demam denggi? Ikuti perkongsian beberapa fakta mengenai demam denggi.

    FAKTA mengenai demam denggi.

    FAKTA mengenai demam denggi.



    Sumber