Blog

  • Bursa Malaysia dibuka rendah susulan kemelut politik

    Bursa Malaysia dibuka rendah susulan kemelut politik

    SAHAM-saham di Bursa Malaysia meneruskan penyusutan sewaktu dagangan dibuka hari ini di tengah-tengah pengaturan semula dalam kalangan parti politik susulan kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

    Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.46 mata kepada 1,482.60 susulan aktiviti penjualan panik yang menyaksikan indeks itu ditutup susut 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada 1490.06.

    Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 418 berbanding 70 di pasaran meluas dengan 140 kaunter tidak berubah, 1,375 tidak didagangkan dan 21 lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 179.77 juta saham bernilai RM110.76 juta.

    Di sebalik pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim, ketiadaan keseluruhan Kabinet yang berfungsi, menurut seorang penganalisis, selain ‘nasib’ pakej rangsangan bagi menangani impak ekonomi koronavirus (Covid-19) hanya mencetuskan kebimbangan utama untuk kalangan pelabur.

    “Pasaran telah mencecah paras terendah sejak 2011 dan perkembangan kebimbangan politik tempatan itu mungkin menyebabkan pelabur keluar dari bursa tempatan sehinggalah kemelut itu selesai,” katanya.

    Sementara itu, MIDF dalam nota Ringkasan Ekonominya hari ini berkata dari sudut lain sebaliknya, Malaysia akan mempunyai kepimpinan baharu tidak lama lagi dan bukannya menerusi pilihan raya.

    “Pada masa ini, tumpuan adalah untuk melindungi ekonomi daripada kesan Covid-19 dan perang perdagangan global. Kami menjangkakan kerajaan baharu akan memperkenalkan pakej rangsangan dalam lingkungan RM10 hingga 15 bilion.

    “Setakat 2019 misalnya, hutang kerajaan Persekutuan kepada nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah 52.5 peratus. Oleh itu, jumlah maksimum yang boleh diketengahkan oleh pakej rangsangan tersebut adalah RM37.8 bilion iaitu dalam keadaan 55 peratus hutang kerajaan bagi nisbah kepada KDNK,” katanya.

    Dalam pada itu, pelabur terus melepaskan pegangan saham wajaran tinggi yang menyaksikan kaunter berkaitan Petronas mencatat penyusutan.

    Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM6.25, MISC jatuh 13 sen kepada RM7.29, Petronas Gas berkurangan 24 sen kepada RM16.26 dan Petronas Dagangan susut 30 sen kepada RM21.30.

    Kaunter-kaunter berkaitan produk terus kekal sebagai saham paling terjejas dengan Nestle rugi 70 sen kepada RM141.70, F&N turun 50 sen kepada RM29.80 manakala Heineken merosot RM1.24 kepada RM27.12 dan Carlsberg rugi RM1.20 kepada RM33.76.

    Selain itu, indeks pembinaan turun 1.09 peratus berikutan ketidakpastian membabitkan projek-projek yang disambung semula selain faktor kebimbangan mengenai Covid-19.

    Di papan indeks, petunjuk seperti Indeks FBM Emas susut 68.69 mata kepada 10,577.40, Indeks FBMT 100 turun 65.14 mata kepada 10,373.23 manakala FBM Ace berkurangan 89.76 mata kepada 5,558.38.

    Indeks FBM Emas Shariah susut 80.85 mata kepada 11,244.12 dan FBM 70 merosot 136.47 mata kepada 13,264.74.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.95 mata kepada 141.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 50.60 mata kepada 14,271.02 dan Indeks Perladangan berkurangan 60.17 mata kepada 6,855.37. – Bernama



    Sumber

  • MHTC sasar 350 penyertaan media global untuk MTMA2020

    MHTC sasar 350 penyertaan media global untuk MTMA2020

    MAJLIS Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) mengumumkan sasaran lebih daripada 350 penyertaan wartawan dari seluruh dunia dalam menghasilkan laporan positif berkaitan potensi industri pelancongan kesihatan Malaysia.

    Menerusi laporan media untuk Anugerah Media Pelancongan Kesihatan 2020 (MTMA2020), majlis anugerah kali kedua itu bakal memberi pengiktirafan dan ganjaran dalam bidang kewartawanan bagi media tempatan dan antarabangsa yang telah mencatatkan lebih daripada 250 penyertaan.

    Disertai lebih 10 negara tahun lepas, MTMA merupakan anugerah media bertaraf global pertama yang meraikan sumbangan wartawan khususnya dalam industri pelancongan kesihatan yang telah memberi impak berbentuk pendapatan negara dan bilangan pelancong kesihatan.

    Dalam kenyataan medianya, MHTC berkata, Malaysia juga telah menduduki tangga 10 tertinggi global sebagai destinasi pilihan pelancong kesihatan sejak beberapa tahun yang menyumbang kepada status negara sebagai hab untuk rawatan kardiologi, IVF, kanser, pembedahan plastik dan lain-lain.

    “Pelancongan penjagaan kesihatan merupakan salah satu industri yang paling pantas berkembang di Malaysia. Negara kita berpengalaman luas dalam kecemerlangan pelancongan penjagaan kesihatan yang menyumbang kepada ganjaran lumayan.

    “Hal ini mustahil untuk dicapai tanpa sokongan berterusan daripada pengamal media yang telah memainkan peranan penting dalam membina Malaysia Healthcare ke persada antarabangsa.

    “MTMA2020 meneruskan sokongan kami buat media, lebih-lebih lagi karya terbaik dalam kewartawanan perjalanan penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan MHTC baru-baru ini.

    Difahamkan, inisiatif nasional itu diperkasakan lagi dengan sokongan platform perhubungan awam digital terkemuka di Asia, Supernewsroom yang membuka ruang bagi MHTC untuk mendekati lebih daripada 25,000 wartawan dan penyunting di Asia Tenggara dan negara lain.

    Sasaran pendapatan

    Sepanjang 2018, industri pelancongan kesihatan tempatan meningkat dan mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.5 bilion.

    Dalam tahun 2019 pula, MHTC merekodkan sejumlah 1.3 juta pelancong kesihatan yang membawa masuk pendapatan berjumlah RM1.7 bilion. Tahun ini, Malaysia menjangkakan anjakan dalam bilangan pelancong kesihatan dengan sasaran pendapatan yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion.

    Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata, bagi meraikan kempen Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 (MyHT2020) tahun ini, pihaknya menjemput semua pengamal kesihatan merasai kempen perjalanan penjagaan kesihatan bertaraf dunia pertama di Malaysia.

    “Kempen ini bertujuan menjemput orang ramai mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan di Malaysia sambil meneroka pelbagai tarikan pelancongan negara kita.

    “Industri pelancongan penjagaan kesihatan tempatan telah berkembang dan mencapai RM1.5 bilion, juga impak ekonomi sebanyak RM6.4 bilion dan hampir 1.3 juta pelancong kesihatan pada 2018 sahaja,” katanya.

    Menurutnya, dengan kempen MyHT2020, pihaknya menjangkakan lebih banyak penyertaan tahun ini kerana bagi menjadikan Malaysia sebagai permata yang akan terus menyinar menjadi World’s Healthcare Marvel.

    Memasuki edisi kedua, MTMA2020 bakal diadakan pada 18 Ogos 2020 di Kuala Lumpur. Tahun ini MTMA2020 juga akan memperkenalkan beberapa kategori baharu.

    Bagi menggalakkan penyertaan daripada media antarabangsa, MHTC telah memperkenalkan lima anugerah antarabangsa selain daripada kategori anugerah media Malaysia yang sedia ada.

    Semua penyertaan akan dinilai oleh satu panel yang terdiri daripada juri tempatan dan antarabangsa.

    Kategori Anugerah:

    Dalam setiap 10 anugerah dipertandingkan, setiap satunya merangkumi kategori Malaysia (tempatan) dan luar negara.

    Anugerah Malaysia Luar

    Negara

    Anugerah Media Pelancongan Kesihatan ‘Laporan Bercetak Terbaik’
    Anugerah Media Pelancongan Kesihatan ‘Laporan Dalam Talian Terbaik’
    Anugerah Media Pelancongan Kesihatan ‘Laporan Penyiaran Terbaik’
    Wartawan Pelancongan Kesihatan Terbaik
    Pasukan Editorial Pelancongan Kesihatan Terbaik

    Hadiah utama:

    • Wang tunai lebih RM80,000
    Kriteria Kelayakan:

    1. Penyertaan mesti diterbitkan atau disiarkan antara 16 Julai 2019 dan 30 Jun 2020.
    2. Penyertaan yang layak perlu sampai ke urusetia tidak lewat daripada 5 petang (waktu Malaysia) pada 30 Jun 2020.

    Salah satu kriteria utama untuk menang meliputi kesahihan/ jangkauan artikel di media sosial – menjadi penanda aras bagi menilai sejauh mana topik dibahaskan untuk melihat kualiti kandungan berita, selain gaya penyampaian/penulisan.

    Juri:

    Tahun ini, MHTC turut melibatkan penglibatan juri luar negara. Ia termasuklah Hanizah Hamzah, Ketua Program TV di Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik, dan Monica Tindall, Editor The Yum List. Senarai penuh hakim selebihnya akan diumumkan kelak.

    https://www.total-croatia-news.com/news/41609-mtma-2020



    Sumber

  • Adakah telur pecah selamat dimakan?

    Adakah telur pecah selamat dimakan?

    BARU-BARU ini tular telur yang sudah pecah dibungkus semula dan dijual pada harga yang jauh lebih murah.

    Namun demikian, adakah ia selamat untuk dimakan? Bagaimana pula dari aspek keselamatan dan tahap kebersihannya?

    TULAR baru-baru ini telur yang sudah pecah dibungkus dan dijual semula dengan harga yang lebih murah.

    TULAR baru-baru ini telur yang sudah pecah dibungkus dan dijual semula dengan harga yang lebih murah.

    Telur yang tercemar dengan bakteria salmonella adalah penyebab utama keracunan makanan kepada manusia. Ia boleh mengancam nyawa terutamanya kepada ibu mengandung, warga tua dan kanak-kanak.

    Bakteria salmonella ditemui dalam usus ayam boleh dijangkiti oleh salmonella melalui baja, ladang, najis semasa pengangkutan dan sewaktu penyembelihan serta pemprosesan ayam di kilang.

    Walaupun langkah terbaik diambil bermula dari ladang hingga ke pemprosesan untuk mencegah jangkitan salmonella pada telur, namun kebarangkalian ia terjadi tetap ada terutamanya ketika proses penjualan.

    Adakah telur yang sudah pecah bersih dan selamat dimakan?

    Pencemaran boleh berlaku bermula ketika telur tersebut pecah. Diikuti dengan pemprosesan untuk mengutip telur pecah dan memasukkannya ke dalam plastik, pencemaran boleh berlaku ketika penyimpanan untuk jualan.

    Begitupun, pelbagai persoalan timbul mengenai tahap kebersihannya dan pastinya pelbagai aspek perlu dititik beratkan.

    Di sebalik telur pecah itu, terdapat penilaian risiko keselamatan makanan yang perlu dibuat agar telur pecah berkenaan sememangnya tidak tercemar dan selamat untuk dimakan.

    Jika ia tercemar, tidakkah ia memudaratkan kesihatan pengguna?

    Pastinya semua orang berhak untuk mendapat makanan yang selamat untuk meneruskan kehidupan.

    Pun demikian, pilihan di tangan masing-masing. Pastikan anda tidak memakan makanan yang tidak pasti keselamatan dan kualitinya.

    Sumber: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan



    Sumber

  • Jambangan bunga Calpis

    Jambangan bunga Calpis

    BUAT pembaca yang sedang mencari mencari bingkisan istimewa untuk dihadiahkan kepada teman atau insan tersayang, barangkali produk minuman Calpis antara pilihan ideal.

    Memahami cita rasa pengguna hari ini meminati sesuatu yang unik dan comel, jenama minuman susu kultur Jepun, Calpis memperkenalkan jambangan bunga menarik.

    Inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama 50Gram iaitu kedai bunga atas talian di Malaysia itu menawarkan jambangan bunga edisi terhad Calpis Sakura.

    Menurut Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif Etika, Santharuban T Sundaram, kebanyakan individu khususnya wanita teruja apabila menerima sejambak bunga daripada insan tersayang.

    “Justeru, kami (Calpis x 50Gram) masih mengekalkan jambangan bunga sebagai hadiah utama, namun menyelitkan sebotol minuman Calpis berperisa sakura di dalamnya untuk nilai tambah yang romantik.

    “Apa salahnya, sekali-sekala menghadiahkan tersayang bunga bersama minuman kultur selain kombinasi coklat dan flora. Lagipun Calpis membantu menyihatkan usus,” katanya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

    ANEKDOT

    Jambangan Bunga Calpis x 50gram

    Promosi: Hari ini sehingga 29 Februari 2020

    Web: https://50gram.com.my/product/calpis-sakura



    Sumber

  • Naelofar untuk hijabi moden

    Naelofar untuk hijabi moden

    PERJALANAN seorang wanita bernama Neelofa untuk meraih kejayaan dalam bidang seni, duta produk, model dan bisnes tidak dicapai menerusi tempoh masa yang singkat.

    Sebaik sahaja dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2009/2010, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor tidak menoleh ke belakang. Beliau terus mengatur langkah merealisasikan impian dihajati.

    Tatkala namanya sedang memuncak dalam dunia lakonan dan mengendalikan program Meletop bersama rakan pengacara dan juga pelawak popular, Nabil Ahmad, wanita berusia 31 tahun itu telah mengambil keputusan tampil berhijab.

    Penghijrahan yang dilakukan pada hari kedua Ramadan tahun 2014 mendapat respon positif. Buktinya, sehinggakan apa sahaja stail tudung dan busana digayakan beliau sering menjadi ikutan khususnya dalam kalangan peminat.

    Bertitik tolak daripada episod itu, bagi mengubah stereotaip bahawa wanita bertudung tidak boleh berfesyen mengikut trend semasa, Neelofa melancarkan label Naelofar Hijab. Ia menawarkan koleksi tudung berkualiti premium pada harga mampu milik.

    Menariknya, Naelofar Hijab bukan sahaja mencipta fenomena dalam pasaran domestik, malah turut dijual secara meluas hingga ke peringkat global seperti di Singapura, Indonesia, Dubai, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

    Memperkasakan wanita

    Kini selepas lima tahun penubuhannya, diari tahun 2020 Naelofar Hijab tampil dengan identiti baharu dan penjenamaan semula menggunakan nama Naelofar.

    NEELOFA menzahirkan keterujaan melancarkan penjenamaan semula Naelofar Hijab kepada Naelofar pada tahun 2020.

    NEELOFA menzahirkan keterujaan melancarkan penjenamaan semula Naelofar Hijab kepada Naelofar pada tahun 2020.

    Matlamat utama penjenamaan semula itu adalah untuk memperkasakan golongan wanita dalam membuat keputusan dan bijak memilih pakaian Muslimah sejajar dengan misi Go Far.

    Pada masa sama, inisiatif berkenaan selari dengan semangat Naelofar yang sentiasa berani, kreatif dan bercita-cita tinggi untuk membawa penceritaan menarik dalam kehidupan wanita moden.

    “Misi saya juga ingin mendidik wanita hari ini agar tidak takut atau ragu-ragu untuk maju ke hadapan. Usah membiarkan ‘jarak’ mengehadkan potensi kita berkembang kerana satu-satunya halangan dalam mengecapi kejayaan adalah diri sendiri.

    “Sebab itu, saya mencipta Naelofar bagi menyuntik inspirasi kepada wanita supaya teguh dengan kebolehan diri termasuk tampil yakin dalam busana dan hijab pilihan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen #Gonaelofar Naelofar di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Pada kempen berkenaan Naelofar turut melancarkan koleksi The Go Far yang menampilkan signatur rekaan hijab lebih segar, edgy dan moden.

    Koleksi tersebut mengetengahkan grafik polos dan jalur serta bebas elemen rekaan yang tidak diperlukan bagi menghasilkan helaian hijab unik.

    SELAIN material berkualiti yang ideal dengan cuaca di negara ini, koleksi The Go Far juga hadir dalam warna bold seperti hitam dan jingga yang menyerlahkan aura wanita berani.

    SELAIN material berkualiti yang ideal dengan cuaca di negara ini, koleksi The Go Far juga hadir dalam warna bold seperti hitam dan jingga yang menyerlahkan aura wanita berani.

    Selain menggunakan material berkualiti yang ideal dengan cuaca di negara ini, koleksi The Go Far juga hadir dalam warna bold seperti hitam dan jingga yang menyerlahkan aura wanita berani.

    Dalam perkembangan berkaitan, Naelofar turut memperkenalkan laman web dan logo baharu memaparkan warna jingga (Naelofar Orange) yang mencerminkan kekuatan dan keberanian jenama tersebut.

    NAELOFAR

    Web: my.naelofar.com

    Instagram: @naelofar

    Facebook: @NaelofarOfficial



    Sumber

  • Busana elegan ratu sehari

    Busana elegan ratu sehari

    BAGAIKAN menghadiri majlis perkahwinan klasik pada zaman dahulu kala. Pengantin lelaki tampak segak persis pahlawan apabila lengkap berbaju Melayu, bertanjak dan berkeris, sementelah pasangan pula anggun menyarungkan busana tradisional fabrik songket rona putih dan bersanggul lintang.

    Selepas sempurna adat mandi limau, berdandan dan merias kedua-dua mempelai diangkat menaiki tandu khas lalu diarak masuk ke singgahsana pelamin dengan paluan kompang.

    Kemeriahan semakin bertambah kala para tetamu yang hadir dalam pakaian tradisional dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian Melayu mengasyikkan.

    Itulah keistimewaan dipamerkan sepanjang pertunjukan fesyen Pesta Berinai 2020 Shanell Harun yang berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan lalu.

    Paling mengujakan apabila pentas peragaan diserikan dengan 40 koleksi busana pengantin untuk digayakan pada majlis pernikahan, persandingan dan malam berinai.

    Menurut Pereka Fesyen dan Pengasas Shanell Harun Creations, Shanell Harun, beliau mengambil inisiatif melancarkan koleksi fesyen pengantin konsep Melayu klasik dalam suasana malam berinai selepas mendapati adat tersebut semakin dilupakan.

    SEBANYAK 28 koleksi busana pengantin berasaskan fabrik songket ditawarkan di butik Shanell Harun Creations.

    SEBANYAK 28 koleksi busana pengantin berasaskan fabrik songket ditawarkan di butik Shanell Harun Creations.

    “Tatkala membelek album perkahwinan kedua orang tua dan ahli keluarga lain, saya dapati bukan sahaja malam berinai, bahkan, majlis pernikahan dan persandingan sarat dengan elemen tradisional Melayu dari segi pakaian, dekorasi dan cenderahati buat para tetamu.

    “Justeru, daripada situ saya mendapat idea dan inspirasi untuk menghasilkan himpunan busana pengantin Melayu klasik bagi mengembalikan nostalgia kemasyhuran nilai estetika tradisional,” katanya ketika ditemui Femina pada pertunjukan fesyen Pesta Berinai 2020 Shanell Harun.

    Bicara bekas pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Rekaan Fesyen), Universiti Teknologi Mara berkenaan, terdapat 40 rekaan busana pengantin dihasilkan termasuk 12 helai persalinan untuk digayakan wanita pada majlis pernikahan.

    Tambah Shanell, bagi menampakkan kelainan penampilan ratu sehari pada majlis sanding dan pernikahan, maka permainan warna dan fabrik menjadi keutamaan.

    “Sebut sahaja majlis malam berinai dan persandingan, pantas kita membayangkan kemeriahan suasana yang riuh rendah dengan gelak tawa ahli keluarga, saudara-mara dan teman.

    “Oleh itu, bagi menyemarakkan lagi perjalanan majlis (berinai dan persandingan), maka saya tampilkan busana tradisional berwarna-warni berasaskan fabrik songket,” katanya yang menggunakan kain songket Terengganu dan moden karya pengusaha lokal.

    Mengulas lanjut, Shanell yang menitikberatkan aspek kemasan, perincian dan ketelitian sebagai nadi rekaan beliau menjelaskan, 28 pasang busana tradisional itu hadir dalam rekaan minimalis.

    “Keistimewaan fabrik songket itu sendiri sudah memadai untuk menaikkan seri ratu sehari. Taburan bunga dan corak mewah yang diterapkan pada material (songket) ini tidak memerlukan perincian sarat.

    “Selain itu, saya juga mengekalkan potongan klasik, tiada olahan berlebihan dan tidak mencolok mata supaya tidak menenggelamkan imej kemelayuan,” tutur Shanell yang segak berbaju Melayu nuansa kelabu.

    Dalam koleksi fesyen persandingan dan malam berinai itu, wanita bukan sahaja berpeluang memilih busana rona terang seperti hijau pucuk pisang dan biru firus, bahkan warna-warna lembut turut ditawarkan. Antaranya nuansa merah jambu, pic dan kelabu yang mana kesemua warna itu ideal digayakan kaum Hawa baik yang berhijab ataupun tidak.

    Persalinan akan tampak ekstravaganza apabila disuai padan bersama sanggul lintang, sepatu dan aksesori bersesuaian.

    Putih malar segar

    Menyentuh mengenai koleksi busana pernikahan pula, Shanell memaklumkan beliau lebih cenderung menggunakan nuansa putih kerana bersifat malar segar dan kekal relevan sepanjang zaman.

    “Hadirlah warna moden sekalipun rona ini (putih) tetap menjadi pilihan ramai wanita. Lagipun pada majlis pernikahan mereka (wanita) mengimpikan persalinan yang ringkas, feminin dan anggun.

    “Jadi, dengan menggunakan fabrik sifon dan renda, saya menghasilkan busana potongan asas seperti baju kurung, kebaya Riau dan kebaya pendek,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, Shanell turut memberitahu, variasi pakaian pernikahan rekaan beliau juga boleh ‘dikitar semula’ untuk majlis formal, keramaian, lebaran atau majlis akikah.

    Dalam perkembangan berlainan koleksi Pengantin Mek Kembang Cotton (MKC) 2020 yang diperkenalkan pada baru-baru ini turut memilih warna putih sebagai rona asas.

    HIASAN flora pada bahagian dada menyerlahkan gaun pengantin koleksi Mek Kembang Cotton.

    HIASAN flora pada bahagian dada menyerlahkan gaun pengantin koleksi Mek Kembang Cotton.

    Biarpun tanpa aksesori berlebihan penampilan ratu sehari kelihatan anggun dengan layah yang dihiasi renda.

    Permukaan baju tidak dibiarkan polos, sebaliknya diserikan hiasan flora, reben dan tatahan manik.

    Konsep romantis, minimalis

    Menurut Pengasas MKC, Alia Najihah Alias, koleksi pengantin tahun ini mengangkat konsep romantis dan minimalis kerana menyifatkan pada majlis perkahwinan khususnya pernikahan, wanita harus tampil mengikut personaliti.

    “Atas faktor tersebut kami menghasilkan pakaian pengantin yang tidak ditelan zaman. Selain baju kurung moden kami turut menyediakan seleksi dres labuh, gaun sentuhan ala kebaya dan dres potongan kipas.

    “Walaupun keseluruhan baju warna putih, namun penampilan wanita pada hari bahagia tetap tampak menawan dengan perincian, veil (layah), aksesori dan solekan,” ujarnya ketika ditemui Femina di Bandar Mahkota Cheras, Selangor baru-baru ini.

    Pada majlis berkenaan MKC turut menampilkan empat koleksi fesyen sampingan iaitu Mek Kembang Cotton x Miedy Daniel, Koleksi Hari Raya Aidilfitri 2020, Koleksi Mek Kembang Cotton x Sherry Alhadad dan Mek Kembang Cotton 2020.

    Berbicara tentang material, Alia Najihah memberitahu, kain kapas tetap menjadi pilihan utama selari dengan signatur label tersebut.

    Tutur beliau, fabrik kapas adalah paling ideal dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini.

    Ia bukan sahaja cantik dihasilkan baju kurung, kebaya dan kebarung, malah sesuai dijadikan pakaian moden seperti skirt, blaus dan gaun.

    “Lagipun, koleksi busana MKC juga tidak terhad pada sejenis fabrik kapas, sebaliknya bermacam-macam jenis kain kapas berlainan tekstur, sifat, corak dan rona digunakan,” ujarnya yang meminati kain kapas kerana selesa, mudah dijaga, versatil dan elegan.



    Sumber

  • Lynas komited memberi sumbangan kepada Malaysia

    Lynas komited memberi sumbangan kepada Malaysia

    SHAH ALAM – Lynas Malaysia yakin dapat memberi komitmen sepenuhnya dalam usaha memberi kemakmuran kepada rakyat Malaysia.

    Komitmen Lynas itu sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Pembangunan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

    Dalam satu kenyataan media, Lynas berkata sebanyak RM2.6 bilion telah dilaburkan dalam penggunaan loji dan peralatan dimana pembekal tempatan diberi keutamaan dan lebih RM600 juta telah dibelanjakan untuk ekonomi tempatan setiap tahun.

    Antara komitmen yang ditunjukkan Lynas ialah dengan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dimana 97 peratus adalah pekerja tempatan dan lebih 4,000 pekerja langsung dan tidak langsung diwujudkan untuk Lynas Malaysia.

    “Lynas mempunyai lebih 1,000 pekerja dan kontraktor yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi tempatan.

    “Lynas juga komited dalam pembangunan kemahiran pekerjaan apabila pekerja Lynas telah menerima latihan selama 19,000 jam dan sebanyak 90 peratus pekerja mahir dan berkemahiran tinggi dibayar gaji melebihi kadar purata gaji di Malaysia,”katanya.

    Dari segi penyelidikan dan pendidikan, Lynas telah menjalankan 13 projek penyelidikan dengan rakan kongsi tempatan pada tahun 2019 dan menyokong seramai 240 pelajar melalui pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

    “Lynas telah menyumbang kepada komuniti tempatan melalui pelbagai sokongan dan peluang pekerjaan yang secara langsung turut menyumbang kepada perniagaan tempatan,”katanya.

    Oleh itu, Lynas adalah sebahagian penting dalam usaha menyumbang kepada ekonomi dan kemakmuran negeri Pahang.



    Sumber

  • Solat sunat Istikharah bukan semata-mata untuk memilih jodoh

    Solat sunat Istikharah bukan semata-mata untuk memilih jodoh

    KEBANYAKAN kita sering menganggap bahawa solat Istikharah hanya sesuai dilakukan tatkala memilih jodoh.

    Hakikatnya, solat sunat berkenaan mempunyai ‘fungsi’ yang besar dalam kehidupan kita.

    Akibatnya, ia sering dilupakan gara-gara tidak tahu tujuan sebenar ia dilakukan.

    Ketahuilah bahawa Islam sebenarnya mengajar umatnya agar melakukan solat sunat berkenaan apabila menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

    Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang daripada kalian berasa berat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia solat dua rakaat, kemudian berdoa (doa istikharah).” (Riwayat Muslim)

    Hadis itu jelas menggambarkan fungsi solat Istikharah yang kurang diendahkan oleh kebanyakan orang.

    Masakan tidak, ketika menghadapi masalah, ramai yang tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk menyelesaikan kesulitan berkenaan.

    Lantaran itu, fikiran menjadi buntu dan mulalah kita mengambil keputusan terburu-buru yang akhirnya menerbitkan penyesalan dalam diri kerana tindakan yang diambil tidak seperti yang diharapkan.

    Jika situasi itu yang kita hadapi, sebaiknya lakukanlah solat sunat Istikharah untuk pelbagai tujuan apabila dirasakan kita tidak mampu membuat keputusan yang tepat.

    Tidak kiralah sama ada keliru memilih pekerjaan, membeli sesuatu barang atau menuju destinasi pilihan dan lain-lain.

    Untuk menunaikannya, ia boleh dilakukan sebanyak dua rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan enam salam.

    Kepada mereka yang hendak menunaikannya, ia boleh dilakukan sama ada pada waktu siang atau malam.

    Jangan lupa untuk membaca tasbih “Maha suci DIKAU yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang DIKAU ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya DIKAU MAHA MENGETAHUI lagi MAHA BIJAKSANA!” dalam sujud akhir sebanyak 40 kali.

    Sebelum bangun daripada sujud, mohonlah kepada ALLAH agar ditunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan dan pilihan.

    Ayuh sama-sama kita lazimi menunaikan solat sunat Istikharah jika ada masalah dan kesulitan yang sukar untuk diselesaikan.

    (Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • Lebih 2,000 peserta sertai Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda 2020

    Lebih 2,000 peserta sertai Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda 2020

    LEBIH 2,000 peserta mengambil bahagian pada Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda anjuran Syakirin Souls Transformation (SST) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini semalam.

    Buat julung kalinya juga, seminar tersebut turut menggabungkan dua tokoh terkenal iaitu Transformational Speaker, Profesor Datuk Dr Muhaya Mohamad dan Pengasas Magnet Rezeki, Nasrullah Najmuddin yang lebih dikenali sebagai Pak Nasrullah.

    Pengerusi SST, Datuk Faridah Mohd Ali berkata, seminar itu mendapat sambutan sangat menggalakkan sehingga pihaknya terpaksa menolak beberapa permohonan penyertaan berikutan tempat yang terhad.

    Menurutnya, SST menyediakan khidmat latihan dan bimbingan berkualiti di Malaysia dengan matlamat membawa insan ke tahap proaktif dan berdaya saing.

    FARIDAH

    FARIDAH

    “Saya sangat yakin SST akan menganjurkan lebih banyak program untuk membawa Pak Nasrullah dan Dr Muhaya.

    “SST akan menjadi satu organisasi untuk mensinergikan ilmu Certified Trainer Magnet Rezeki (CTMR) supaya ia lebih berkembang dan akan diurus dengan mantap serta baik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

    Mengulas lanjut, Faridah berkata, penubuhan organisasi latihan pada Ogos 2019 itu tercetus selepas beliau sendiri menghadiri seminar yang dianjurkan Pak Nasrullah di Indonesia.

    Katanya, selepas melalui dan mengikuti sendiri latihan tersebut, beliau mengakui mendapat manfaat yang berguna.

    “Harapan SST tentulah untuk membantu rakyat Malaysia belajar ilmu ini (magnet rezeki) kerana kami sendiri menyedari bahawa hanya insan yang baik dan cemerlang boleh memainkan peranan mereka sebagai khalifah yang cemerlang serta terbaik.

    “Sebanyak 80 peratus minda masyarakat kita yang negatif sebenarnya berpunca daripada hati yang kotor, jadi program-program yang kita buat memberi fokus untuk membersihkan hati dan minda,” katanya.

    Lebih 2,000 peserta mengambil bahagian pada Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda anjuran Syakirin Souls Transformation (SST) di Bangi Aveneu Convention Centre semalam. - FOTO ROSLI TALIB

    Lebih 2,000 peserta mengambil bahagian pada Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda anjuran Syakirin Souls Transformation (SST) di Bangi Aveneu Convention Centre semalam. – FOTO ROSLI TALIB

    Faridah berkata, SST turut menyasarkan seramai dua juta rakyat Malaysia akan mendapat ilmu Magnet Rezeki Reset Minda dalam tempoh lima tahun.

    Sementara itu, Dr Muhaya berkata, gabungan beliau dan Pak Nasrullah mempunyai hala tuju yang sama.

    “Kelebihan saya adalah penyucian minda dan Pak Nasrullah pula mahir mengendalikan kursus menggunakan al-Quran serta hadis.

    “Itulah kelebihan beliau yang membuat kami bersedia menjalinkan kerjasama,” katanya.

    Menurutnya, kekuatan program itu juga turut memberi fokus agar kembali kepada al-Quran.



    Sumber

  • RTS tampilkan selebriti sebagai mentor

    RTS tampilkan selebriti sebagai mentor

    SELEBRITI yang berjaya dalam perniagaan seperti penerbit popular, Datuk A Aida tampil dalam program Road To Success (RTS) AG Academy supaya dapat dijadikan mentor oleh peserta program berkenaan.

    Pengasas AG Academy, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, RTS yang merupakan program keusahawanan dan kepimpinan itu memberi peluang kepada graduan serta golongan usahawan muda di bawah kategori B40 untuk mengikuti program tersebut secara percuma.

    “Ini untuk memastikan belia dan usahawan muda turut sama berada dalam landskap mengubah ‘destiny’ hidup mereka menerusi kursus yang ditawarkan oleh AG Academy ini.

    “Kita juga meletakkan sasaran untuk melahirkan 100 usahawan atau ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam kalangan mereka bagi tahun 2020,” katanya pada Majlis Perasmian RTS yang di Auditorium Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) di sini hari ini.

    Perasmian program itu disempurnakan A Aida yang turut berkongsi pengalamannya dalam dunia perniagaan hingga sekarang dengan kejayaan memiliki beberapa buah syarikat termasuk A Aida Production serta saluran televisyen sendiri, Salam HD.

    Aizuddin dan A Aida bergambar bersama 500 peserta pertama program itu di HPUPM di Serdang hari ini.

    Aizuddin dan A Aida bergambar bersama 500 peserta pertama program itu di HPUPM di Serdang hari ini.

    Menurut Aizuddin, RTS yang dianjurkan dengan kerjasama Prihatin Tanpa Sempadan (Prihatin) berhasrat melahirkan seorang CEO yang lengkap.

    “Sebagai contoh kalau selebriti nak buat bisnes dia kena tahu bermula dari bawah seperti produk apa yang mahu dijual, perlu tahu mengenai undang-undang yang perlu dipatuhi dan pengurusan kewangan yang betul,” katanya yang juga Tokoh Usahawan Bumiputera Berjaya 2018.

    Menurutnya, bagaimana pun pihaknya menyasarkan antara 500 hingga 1,000 peserta sahaja setiap sesi RTS kerana mahu impak program berkenaan benar-benar sampai kepada peserta.

    Sementara itu, A Aida berkata, penganjuran RTS sangat bagus kerana menerusi perkongsian daripada tokoh perniagaan yang telah berjaya, ia dapat menjadi panduan kepada belia yang mahu menceburi bisnes.

    “Paling penting kita kena ada kemahiran kerana dengan kemahiran kita boleh teroka banyak cabang bisnes,” katanya.



    Sumber