Blog

  • Guna duit anak untuk bayar yuran sekolah

    Guna duit anak untuk bayar yuran sekolah

    SETIAP ibu bapa sudah pasti ada menyediakan tabungan sendiri untuk anak-anak mereka.

    Tidak kiralah banyak atau sedikit jumlahnya, tetapi apa yang penting usaha mereka untuk menabung demi masa depan penyambung keturunan masing-masing.

    Segelintir orang suka menyimpan wang tabungan itu di dalam bank atas nama anak tersebut.

    Andai kata, pada suatu masa kita memerlukan, bolehkah wang tabungan tadi digunakan untuk membayar yuran persekolahan anak?

    Persoalan itu akan dirungkai dalam segmen Soal Jawab Netizen bersama pensyarah Universiti Utara Malaysia dan pendakwah, Dr Fitri Haris.

    Jelas beliau, pada asalnya, kita tidak dibenarkan mengambil hak orang lain sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis.

    “Perkara itu adalah jelas. Hak kamu, hak kamu, manakala hak aku adalah hak aku. Tidak kiralah ia hak isteri, anak, ibu atau bapa kita sekalipun,” katanya.

    Namun, dalam perihal menggunakan duit anak sendiri, ujar beliau, Islam agama yang syumul dan cantik. Perkara yang pada asalnya tidak boleh digunakan, namun ada ‘keringanan’ dalam hal-hal tertentu.

    Kata beliau, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan untuk ibu bapa mengambil duit milik anak

    Situasi pertama adalah jika wang yang digunakan tadi tidak memudaratkan anak kita, terang beliau.

    “Jangan sampai kita ambil duit anak sehingga menyebabkan anak tadi bankrap dan sebagainya. Ini jika anak kita tadi sudah besar.

    “Namun, jika anak belum baligh lagi, ia tiada masalah jika ia (wang anak) diperlukan ketika itu,” kata beliau.

    Ujar Fitri, situasi kedua yang dibenarkan adalah ibu bapa mengambil wang berkenaan untuk keperluan semasa anak.

    “Mungkin pada masa itu, kita tiada duit hendak bayar yuran sekolah anak atau hendak makan. Kadangkala semasa Hari Raya, anak lagi kaya daripada kita sendiri.

    “Pada masa itu, dibolehkan kita menggunakan duit mereka sekiranya ia demi memenuhi keperluan mereka pada masa itu contohnya bayar yuran sekolah, beli buku dan sebagainya. Jangan pula kita ambil duit berkenaan untuk membeli beg tangan dan selainnya. Itu tidak dibolehkan,” tegas beliau.

    Apa pun, jika anak tadi sudah berakal, Fitri menasihatkan ibu bapa agar meminta izin anak sebelum menggunakan duit mereka.



    Sumber

  • Pengurusan harta pusaka bukan sekadar buat dokumen semata-mata

    Pengurusan harta pusaka bukan sekadar buat dokumen semata-mata

    LAZIMNYA, apabila ibu bapa meninggal dunia, waris atau anak-anak mereka akan mengambil masa hingga dua atau tiga tahun untuk menguruskan perihal harta pusaka arwah kedua-dua orang tua mereka. Lebih parah lagi apabila ada yang mengambil masa sehingga 25 tahun untuk menguruskannya.

    Kadangkala, adik-beradik yang pada asalnya lima orang, namun selepas 25 tahun, tinggal dua orang sahaja kerana tiga daripada mereka sudah meninggal dunia. Sedar atau tidak, situasi itu akan bertambah rumut kerana waris kepada tiga orang yang meninggal tadi iaitu anak-anak mereka juga akan dimasukkan sekali sebagai waris kepada harta pusaka datuk dan neneknya.

    Itu antara realiti yang berlaku dalam pengurusan harta pusaka. Perkara itu, walaupun kelihatan remeh, tetapi mendatangkan natijah yang kurang baik kepada waris yang ditinggalkan. Apa sahaja boleh berlaku jika ia melibatkan harta. Ya, manusia secara fitrahnya sukakan kebendaan.

    Disebabkan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe), Ariffin Sabirin mengajak orang ramai supaya merancang harta dengan sebaiknya ketika hayat masih dikandung badan. Jelas beliau, perancangan harta itu bukan sahaja membolehkan keluarga bermuafakat, bahkan harta pusaka tadi boleh diwariskan dengan cepat dan menjadi sumber ekonomi atau modal kepada waris-waris akan datang.

    Beliau turut memetik satu kajian dilakukan oleh Harvard University di Massachusetts, Amerika Syarikat suatu ketika dulu yang menyatakan, 60 peratus sumber kekayaan masyarakat Barat datang daripada harta pusaka.

    “Ini bermakna, apabila ibu bapa mereka meninggal dunia, anak-anak dapat harta dan boleh menggunakannya untuk menjana lebih banyak lagi kekayaan.

    “Kita pula RM70 bilion (harta pusaka) tersangkut tidak dapat diselesaikan sepertimana pendedahan yang dilakukan kerajaan baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Islam ketika ditemui selepas Majlis Konvensyen Wasiyyah Shoppe 2020 di Sepang, Selangor Sabtu lalu.

    Ubah persepsi

    Untuk menyelesaikan masalah itu, persepsi masyarakat perlu diubah. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah untuk dilakukan. Akui Ariffin, hampir 16 tahun Wasiyyah Shoppe beroperasi, barulah perubahan signifikan dilihat dalam kalangan masyarakat Islam yang mana mereka mula sedar tentang kepentingan merancang harta dan mengurus pusaka.

    ARIFFIN

    ARIFFIN

    Beliau turut mengingatkan, proses tersebut bukan sekadar membuat dokumen semata-mata berdasarkan anggapan segelintir orang.

    “Sedangkan, realitinya dokumen itu kena melalui proses perundangan. Selepas itu, dokumen yang dibuat tadi perlu dikaitkan dengan bagaimana ia berfungsi untuk memindah milik geran tanah dan harta.

    “Misalnya, kereta yang hendak dipindah milik kepada penerima yang sepatutnya. Barulah proses pengurusan pusaka itu dikira selesai. Di sinilah Wasiyyah Shoppe memainkan peranan kepada waris pelanggan kami untuk membimbing mereka dalam setiap urusan iaitu mendokumenkan, melalui proses mahkamah dan pindah milik harta selesai dilakukan,” jelas beliau.

    Baik golongan muda mahupun sudah berusia, ujar Ariffin, semua orang perlu melakukan perancangan harta dan pengurusan pusaka dengan baik.

    “Katakan anak muda yang ada anak berusia bawah 18 tahun, mereka kena merancang (harta dan pusaka) sebab apabila dirinya sudah tiada lagi di dunia, siapa yang akan menjaga harta anak mereka? Jika tidak dilantik penjaga harta, pasti akan ada masalah pada kemudian hari dengan isu seleweng harta dan sebagainya.

    “Kebanyakan orang muda walaupun dia tidak punyai banyak wang, tetapi mereka ada perlindungan takaful dan insurans. Apabila mereka meninggal dunia, mungkin dapat RM1 juta atau RM2 juta kepada waris. Siapa yang hendak uruskannya kerana anak-anak tadi di bawah umur 18 tahun? Jadi perlunya melantik penjaga harta ketika masih hidup,” ujar beliau.

    Selain itu, Ariffin turut menggalakkan orang ramai untuk melakukan agihan harta terutama suami isteri yang tiada anak, mempunyai anak angkat atau ada anak perempuan sahaja.

    “Ini kerana kebanyakan mereka kena buat hibah. Saya percaya rata mereka yang membeli rumah, ia adalah untuk anak dan pasangannya. Mereka tidak beli rumah itu untuk adik-beradiknya. Namun, jika tiga golongan tadi meninggal, adik-beradik tetap ada bahagian ke atas harta pusakanya sedangkan si mati tadi tiada niat pun untuk berikan kepada individu berkenaan. Jadi, mereka perlu buat hibah ketika masih hidup.

    “Bukan itu sahaja, orang yang berpoligami dan ahli perniagaan juga perlu melakukan proses agihan harta berkenaan untuk memudahkan urusan selepas kematian mereka kelak,” nasihat beliau.

    PERANCANGAN harta dan pengurusan pusaka bukan sekadar dokumen, ia juga perlu melalui proses perundangan untuk menukar hak milik kepada waris selepas kematian seseorang.

    PERANCANGAN harta dan pengurusan pusaka bukan sekadar dokumen, ia juga perlu melalui proses perundangan untuk menukar hak milik kepada waris selepas kematian seseorang.



    Sumber

  • Ubah gaya hidup lebih sihat

    Ubah gaya hidup lebih sihat

    Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak pengambilan makanan harian menunjukkan secara jelas tahap kesihatan seseorang pada masa depan.

    “You are what you eat”, adalah pepatah Inggeris yang menggambarkan tentang bagaimana makanan boleh mempengaruhi kehidupan seharian. Meskipun ramai yang mengamalkan gaya hidup sihat namun ramai juga yang tidak berdisiplin dalam isu membabitkan pengambilan makanan dan penjagaan kesihatan.

    Kementerian Kesihatan Malaysia yang membuat kajian tentang kesedaran orang ramai berkaitan kesihatan mendapati hanya 6.6 peratus rakyat Malaysia yang celik kesihatan berbanding dengan 12 peratus rakyat Amerika Syarikat. Kajian itu mengambil kira pengetahuan tentang gaya pemakanan sihat termasuk pengambilan kalori, jumlah hidangan dan pengambilan lemak.

    Celik kesihatan bermaksud seseorang itu mampu menerima, memproses serta memahami maklumat asas kesihatan, sekali gus dapat menjalani serta mengekalkan cara hidup yang sihat.

    Kita tidak boleh bergantung kepada sistem dan kemudahan kesihatan semata-mata jika konsep gaya hidup yang betul tidak diamalkan. Kesihatan tidak hanya melibatkan soal makanan tetapi berkait rapat dengan proses gaya hidup seperti penjagaan diri dan emosi.

    Selain pengambilan makanan tidak seimbang, merokok dan alkohol, masalah emosi dan tekanan juga merupakan salah satu punca kesihatan merosot dan kemudian timbulnya penyakit.

    World Health Organization (WHO) mengatakan, kesihatan yang baik turut merangkumi kesihatan mental, bukan fizikal semata-mata. Ini menunjukkan komponen kesihatan mental dalam kehidupan seseorang sangat penting. Jika kesihatan mental terjejas, ia juga boleh menyebabkan gejala fizikal kerana ia saling berhubung kait.

    Kesihatan mental merujuk kepada tindak balas seseorang ketika berdepan tekanan dan cara menanganinya. Situasi dan personaliti pada ketika itu adalah faktor yang membentuk kesihatan mental seseorang. Tekanan boleh berpunca daripada individu, jenis pekerjaan, tempoh bekerja yang panjang atau faktor persekitaran. Konflik dalam kalangan teman sekerja atau ketua antara sebab yang paling kerap ditemui.

    Kegagalan menangani kesihatan mental atau sering mengalami gangguan mental mendedahkan individu kepada penyakit mental lebih serius seperti kemurungan, kerisauan melampau, bipolar dan skizofrenia. Keadaan ini menyebabkan timbulnya masalah kesihatan fizikal dan menjejaskan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

    Persediaan kewangan atasi masalah kos

    Gaya hidup masa kini yang serba pantas dan mencabar telah mengakibatkan peningkatan masalah kesihatan dan penyakit yang ketara. Benar, situasi kehidupan hari ini memang penuh dengan risiko, namun penjagaan kesihatan sepatutnya tidak termasuk dalam risiko tersebut.

    Sedar atau tidak, kemerosotan tahap kesihatan boleh menjejaskan kehidupan secara menyeluruh apatah lagi jika anda tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk merawat dan mengubati penyakit yang dihidapi.

    Persediaan perlu dilakukan sejak dari peringkat awal membina keluarga. Hidup bukan hanya untuk cukup makanan dan pakaian. Sekecil mana pun pendapatan yang diperoleh, agihan simpanan untuk saat-saat kecemasan terutamanya ketika sakit perlu disediakan.

    Seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat kini, kos sara hidup termasuk rawatan kesihatan semakin meningkat, menyebabkan ramai yang terpaksa menangguhkan rawatan yang akhirnya menjadi kritikal gara-gara masalah wang. Meskipun kemajuan teknologi dan penemuan perubatan pada abad ini membanggakan, tetapi hakikatnya kos penjagaan kesihatan tetap mahal.

    Pengeluaran kesihatan yang ditawarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan salah satu alternatif untuk membantu anda membiayai kos rawatan kesihatan. KWSP membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos perubatan penyakit kritikal dan peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan untuk diri sendiri, ibu bapa (kandung, angkat, tiri, mentua), pasangan, anak (kandung, angkat, tiri) dan adik-beradik kandung.

    Bagaimanapun, jika seseorang itu hanya bergantung kepada pengeluaran wang KWSP untuk urusan kesihatan, simpanan akan berkurangan sekali gus menjejaskan keperluan masa depan selepas persaraan.

    Justeru, bagi memastikan kos perubatan mampu dibiayai, pelan simpanan khas untuk kesihatan untuk diri sendiri dan ahli keluarga masih belum terlambat untuk dimulakan. Menabunglah melalui perlindungan insurans merupakan satu keperluan utama masa kini. Pelbagai pelan yang ditawarkan oleh agensi-agensi insurans membabitkan nyawa iaitu pelan kewangan yang melindungi ahli daripada risiko seperti kesakitan, ketidakupayaan, memasuki wad, pembedahan dan juga kematian.

    Dapatkan perlindungan insurans melalui syarikat yang sah dan fahami dahulu setiap pelan yang dibeli. Terdapat pelbagai pelan perlindungan kesihatan ditawarkan dan kesemuanya mempunyai satu ciri asas iaitu untuk memberi bantuan kewangan ketika dimasukkan ke hospital, menjalani pembedahan atau rawatan lanjutan.

    Apabila telah memutuskan jenis perlindungan perubatan yang dimahukan, maka akan bermulalah kos pelan membabitkan premium atau bayaran bulanan. Pastikan anda konsisten dalam urusan pembayaran supaya pelan anda tidak ditamatkan.

    Kesimpulannya, kita berhadapan dengan pelbagai pilihan di dalam urusan harian. Membuat pilihan dan keputusan adalah sebahagian daripada proses kematangan. Sebenarnya, tiada istilah terlambat bagi setiap orang untuk memulakan amalan gaya hidup sihat.

    Begitu juga dalam hal berkaitan kewangan, setiap orang harus mempunyai satu pelan yang khusus. Lebih awal anda membuat perancangan, lebih awal anda maju menuju ke arah matlamat hidup dengan lebih berkesan.

    Cara mudah urus kesihatan dengan ‘Konsep 3J’

    Jaga pemakanan, jangan berlebihan

    -Islam melarang umatnya makan secara berlebihan berdasarkan sabda Nabi SAW:“Jangan makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.” (Hadis Riwayat Bukhari) Disiplin pengambilan makanan ini mampu mengawal tubuh daripada diserang penyakit. Pastikan tiga ruang untuk tiga benda dalam tubuh diisi dengan seimbang iaitu sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lagi untuk makanan.

    Jaga emosi, sentiasa optimis

    -Rasulullah SAW turut menasihati, ‘marah’ tidak boleh diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. Perasaan marah boleh menyebabkan kesihatan terjejas. Tidak putus asa, bersabar, tidak iri hati dan menjadi seorang yang pemaaf merupakan penawar paling baik kepada masalah dalaman manusia. Manusia yang sentiasa positif mampu mengekal tahap kesihatan yang baik dan sempurna

    Jaga kesejahteraan diri di pejabat

    -Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye yang juga penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) ada menyuarakan tentang kepentingan menangani isu stres di tempat kerja. Atasi masalah dengan cara mencari rakan sekerja yang boleh berkongsi pandangan dan cerita. Anda juga boleh bertemu dan bersemuka dengan ketua, luahkan apa yang membelenggu diri secara profesional. Paling penting, elak perkara negatif dan ‘buang’ masalah peribadi di tempat kerja. Jika anda mengalami tanda-tanda kemurungan atau stres terlampau di pejabat, pastikan berjumpa dengan kaunselor!



    Sumber

  • Tablet mini futuristik

    Tablet mini futuristik

    SUDAH semestinya spesifikasi skrin canggih adalah ciri penting sebelum membeli sesebuah komputer riba selain prestasi dalaman yang sentiasa keterhadapan.

    Jika itu yang diidamkan, si pemburu gajet bolehlah mengintai inovasi terbaharu Intel yang pastinya akan mengundang keterujaan dengan rekaan yang cukup sofistikated di samping nama unik.

    Prototaip komputer riba yang diberi nama Horseshoe Bend, bukan sekadar gajet minimalis biasa-biasa, tetapi berupaya menawarkan skrin lebih luas.

    Menurut perkongsian cnet.com, Intel berjaya memukau orang ramai dengan rekaan persis tablet unik. Pun begitu, ia tetap mampu memberikan paparan skrin 17.3 inci, lebih lebar berbanding MacBook Pro yang hanya bersaiz 16 inci.

    Jika mahu menaip, boleh sahaja menggunakan papan kekunci maya yang tersedia. Hebat bukan?

    Lebih menyeronokkan apabila peranti tersebut dikuasakan dengan cip mudah alih, Tiger Lake selain skrin sesentuh OLED dalam mod landskap atau potrait.

    KOMPUTER riba boleh dilipat menjadi bentuk L atau dijadikan sebagai tablet mudah alih selain paparan papan kekunci maya.

    KOMPUTER riba boleh dilipat menjadi bentuk L atau dijadikan sebagai tablet mudah alih selain paparan papan kekunci maya.

    Mungkin desain tidak ubah seperti telefon lipat lain seperti Samsung Galaxy Fold dan Huawei Mate X, tetapi lebih kepada tablet mini dengan saiz skrin lebih berbaloi.

    Bagi Niraj Bali, Horseshoe Bend adalah produk kemuncak gabungan telefon, tablet dan juga komputer riba dengan spesifikasi futuristik.

    “Dengan teknologi masa kini, ia mampu menawarkan sebuah komputer riba yang lebih canggih untuk menonton filem atau memudahkan kerja suntingan gambar dan video,” kata Pengarah Kejuruteraan Kanan Kumpulan Platform Pelanggan Intel itu.

    Secanggih mana pun komputer riba itu, namun belum boleh dipasarkan lagi kerana masih dalam peringkat reka bentuk templat rujukan Intel untuk merintis teknologi baharu.



    Sumber

  • Kuatkan rohani berdepan wabak, hindari dengan ubat dan tingkatkan kawalan

    Kuatkan rohani berdepan wabak, hindari dengan ubat dan tingkatkan kawalan

    SEJAK akhir-akhir ini, satu demi satu wabak datang tanpa diundang. Bukan satu tempat sahaja yang diserang, namun ia melibatkan puluhan buah negara.

    Pada penghujung tahun lalu, negara kita menerima kejutan penularan kes influenza A. Ia menimbulkan situasi panik sehinggakan vaksin influenza dilaporkan kehabisan stok di klinik dan hospital.

    Tambah menyesakkan dada apabila pada penghujung tahun lalu juga, seluruh dunia digemparkan dengan serangan sejenis wabak baharu koronavirus (Covid-19). Ancaman virus menakutkan itu masih berlanjutan sehingga kini dengan melibatkan puluhan buah negara.

    Lebih menggusarkan, wabak berkenaan yang agresif menular telah meragut lebih 2,000 nyawa di seluruh dunia.

    Belum reda dengan kes-kes berjangkit yang merisaukan, Nigeria pula dilanda wabak demam lassa hingga membawa maut melibatkan puluhan orang penduduknya.

    Semua wabak tersebut, jika dilihat dengan mata kasar, hanyalah sejenis penyakit. Namun demikian, hakikatnya ia merupakan satu bentuk ujian kepada hamba-hamba-NYA.

    Apa yang pasti, Islam mengajar umatnya supaya berusaha dan melakukan ikhtiar sebaik mungkin dalam menghadapi apa jua dugaan. Selebihnya, serahkan kepada ALLAH.

    Sesungguhnya, setiap ujian yang diberikan itu bagi menguji sejauh mana kesabaran kita berdepan dengan dugaan dan tahap kebergantungan kita kepada-NYA.

    Kita sebenarnya tidak ditinggalkan bersendirian dalam menangani wabak itu. Islam sudah menyediakan garis panduan lengkap dan berstruktur ketika dilanda wabak.

    Apa yang sedang kita lalui kini dan langkah yang diambil pihak berwajib, semua itu secara jelas ada garis panduannya.

    Apakah pengurusan wabak di sisi Islam? Apa yang dianjurkan oleh agama suci itu selain berusaha dan berikhtiar menangani wabak?

    Contohi cara Saidina Umar

    Menjawab persoalan tersebut, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut menjelaskan, Islam sudah menyediakan kaedah-kaedah untuk menguruskan wabak.

    MOHAMAD SHUKRI

    MOHAMAD SHUKRI

    Antara perkara yang menjadi keutamaan terangnya adalah mengawal wabak berkenaan.

    “Semua sedia maklum bahawa mengawal itu lebih baik daripada mengubati. Apabila berlaku sesuatu wabak, ia perlu dikawal. Jika memerlukan sekatan seperti tidak membenarkan pelancong yang membawa wabak berkenaan masuk, langkah itu perlu dilakukan.

    “Bagi orang yang dijangkiti penyakit atau wabak berkenaan, mereka kena dikuarantin. Ini bagi mengelak penyakit itu dibawa ke tempat lain. Begitu juga dengan individu yang sihat, jangan pergi ke tempat wabak berkenaan. Ia sebenarnya salah satu kaedah dalam Islam,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

    Dari aspek kebersihan, tegasnya, jika memakai topeng muka boleh mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit, maka sebaiknya perlindungan itu dipakai untuk kebaikan bersama.

    Dalam menangani wabak itu, Mohamad Shukri mengajak untuk menelusuri kisah wabak taun yang berlaku ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab.

    Imbasnya, Umar ketika itu dalam perjalanan ke Syam (kini dikenali sebagai Syria). Apabila dikhabarkan bahawa tempat berkenaan dilanda wabak taun, rombongannya tidak jadi masuk ke kawasan berkenaan.

    Salah seorang sahabat, Abu Ubaidah Al-Jarrah berkata: “Apakah kamu ingin lari daripada ketentuan ALLAH? Kita memang dalam perjalanan ke Syam.”

    Lantas, Umar RA menjawab: “Saya lari daripada qada takdir Tuhan menuju ke qada takdir Tuhan yang lain.”

    Apa pun, tokoh agama itu menitipkan pesan agar kita tidak sesekali melupakan ALLAH SWT.

    “Saya menyeru kepada semua umat Islam supaya mengadakan solat hajat dan berdoa di masjid-masjid bagi mengelakkan wabak ini lebih ketara.

    “Setiap orang juga perlu menjaga kebersihan diri. Ikutilah cara yang dianjurkan Islam seperti mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya,” ujar beliau.

    Hati-hati ketika bermuamalah

    Bagi membutirkan lebih lanjut, Sinar Islam menemubual pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

    USTAZ FAUZI

    USTAZ FAUZI

    Jelas beliau, Islam menyuruh umatnya agar mengelakkan diri daripada bergaul dengan mereka yang dijangkiti virus.

    Sabda Rasulullah SAW: “Larilah kamu daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.” (Sahih Bukhari)

    Dalam perihal muamalah, ujar beliau, kita perlu berhati-hati. Sebaiknya, elakkan diri daripada ke rumahnya ketika individu berkenaan sedang terkena jangkitan berkenaan.

    “Ini kerana virus itu cepat berjangkit dan kita tidak perasan (kehadirannya) dalam udara, pernafasan, sentuhan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, Islam juga menyuruh umatnya mengasingkan pesakit dengan orang yang sihat.

    “Sedangkan, Nabi Muhammad SAW apabila salah seorang isteri baginda terkena sakit mata, baginda tidak akan menyentuh isterinya sehingga sembuh. Perkara itu ada dinyatakan dalam kitab Thibbun Nabawi (kitab perubatan nabi),” jelas beliau.

    Rasulullah SAW bersabada: “Taun adalah tanda kemurkaan ALLAH yang mana ALLAH menguji hamba-hamba-NYA. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” (Riwayat Muslim)

    Lazimi qunut nazilah, bismillah

    Menyentuh tentang usaha memusnahkan ‘sarang’ virus yang dianjurkan oleh Islam, Ustaz Fauzi menambah, ia perlu dihapuskan sebagaimana melakukan semburan nyamuk demi menghapuskan demam denggi di sesebuah kawasan.

    DIRIKANLAH solat hajat agar ALLAH menjauhkan kita daripada terkena wabak yang memudaratkan.

    DIRIKANLAH solat hajat agar ALLAH menjauhkan kita daripada terkena wabak yang memudaratkan.

    Namun begitu katanya, sekiranya virus tadi datangnya daripada badan kita sebagai puncanya, Rasulullah SAW menyuruh untuk melakukan pembedahan.

    “Ketika zaman baginda, ada seorang individu menderita terkena bisul hingga bernanah, lalu nabi menyuruhnya untuk menoreh (lakukan pembedahan) bisul berkenaan,” kata beliau.

    Apa jua penyakit atau wabak yang menimpa, Ustaz Fauzi menasihatkan orang ramai agar makan ubat sebagaimana yang dipesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

    Baginda SAW bersabda: “Hendaklah kamu mendapatkan dua penawar iaitu madu lebah dan al-Quran.” (Riwayat Ibnu Majah)

    “Apakah maksud nabi? Kata tuan guru saya, Allahyarham Datuk Dr Haron Din ketika masih hidup, madu lebah adalah perumpamaan ubat fizikal. Ertinya, ia merangkumi segala penawar fizikal sama ada ia habbatus sauda, pil, kapsul atau (ubat) cecair yang doktor berikan.

    “Makanlah ubat itu, kemudian biarlah ada penawar al-Quran sebab kadangkala orang yang ditimpa virus penyakit ini, dia rasa tidak selamat dan umurnya pendek kerana tahap kekuatan rohaninya jatuh. Sebab itu dia perlu mengaji al-Quran untuk meningkatkan semula rohaninya,” katanya.

    Seperkara, Ustaz Fauzi turut menitipkan pesan agar melazimi qunut nazilah dalam solat fardu. Perkara itu sunat dilakukan sepertimana yang disebut oleh Mazhab Syafie apabila berlaku penularan wabak di suatu kawasan.

    “Bagi mereka yang sihat, lakukanlah doa qunut nazilah ketika menunaikan solat fardu. Pada rakaat akhir, bacalah qunut nazilah. Ia macam (baca) doa qunut subuh iaitu selepas bangun dari rukuk untuk iktidal, tetapi doanya lain iaitu doa untuk menghindari wabak dan penyakit. Mohonlah kepada ALLAH SWT supaya dihindarkan segala penyakit.

    “Paling tidak pun, bacalah Bismillahir rahmanir rahim dalam setiap perkara yang kita hendak lakukan termasuklah ketika menekan butang lif. Dengan bismillah itu, syaitan yang besar boleh jadi kecil. Inikan pula kuman. Ia sebenarnya meletakkan pergantungan kita kepada ALLAH SWT,” ujar beliau.

    Berpunca daripada ‘tangan-tangan manusia’

    DALAM kepahitan menelan ujian wabak yang diturunkan ALLAH SWT, terselit hikmah di sebaliknya. Ia sebenarnya mendekatkan manusia dengan penciptanya.

    Perkara itu diakui pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran. Ujar beliau, sehebat atau secanggih mana teknologi ciptaan manusia, lebih hebat dan ampuh lagi kekuasaan ALLAH SWT.

    IMAM MUDA ARAN

    IMAM MUDA ARAN

    “Ujian itu menjadikan kita mengenali Tuhan dengan lebih dekat. Apabila ditimpa dugaan sebegini, ia akan menjadikan kebergantungan hidup kepada ALLAH itu lebih tinggi.

    “Ya, pelbagai usaha sudah kita lakukan, namun pada masa sama, kita perlu juga meminta pertolongan ALLAH agar dihindarkan atau dijauhkan daripada wabak yang tidak kita kehendaki,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

    Tambah beliau, ujian berkenaan turut menyatukan semula manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara, selain menyedarkan kita bahawa sampai kiamat, manusia tetap bergelar hamba kepada ALLAH SWT.

    “Mahu atau tidak, kita perlu patuh kepada segala suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA. Ingatlah bahawa segala musibah bukan ditimpa ke atas orang yang buat (salah) sahaja, tetapi semua orang boleh ‘berjangkit’ sama,” katanya.

    Firman ALLAH SWT: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan ALLAH memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah al-Syura, ayat 30)

    Ketahuilah bahawa setiap yang berlaku sebenarnya berpunca daripada tangan-tangan manusia itu sendiri, terang beliau.

    “Maknanya apa yang kita buat, jika baik (perlakuan dan tindakan), (maka) baiklah natijahnya. Kalau tak baik, akibatnya kita sendirilah yang akan menanggungnya.

    “Islam mempunyai garis panduan dalam kehidupan daripada A sampai Z. Ada perkara yang boleh dilakukan dan ada juga yang kita ditegah untuk melakukannya. Jika kita ikut undang-undang Islam itu, maka selamatlah di dunia dan di akhirat.

    “Contohnya dalam amal ibadah, boleh dikatakan 24 jam kita boleh melakukan ibadah. Ini kerana, ibadah dalam Islam bukan sekadar solat, mengaji atau zikir sahaja, tetapi setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah ibadah. Itulah kelebihan Islam berbanding dengan agama lain. Maknanya, kita tidak boleh beralasan lagi untuk tidak melakukan ibadah,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, Imam Muda Aran menasihatkan kita agar tidak mengambil kesempatan atas musibah orang lain.

    “Sebaliknya, banyakkanlah berdoa dan meminta bersungguh-sungguh kepada ALLAH atas musibah yang melanda. Kebergantungan kepada ALLAH itu perlu ada kerana DIA yang turunkan (ujian) ini. Kembalilah semula kepada ALLAH SWT,” ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.



    Sumber

  • Tip atasi singki busuk

    Tip atasi singki busuk

    ADAKAH anda pernah mengalami situasi sinki mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan? Usah bimbang kerana hanya dengan menggunakan tiga bahan di dapur masalah tersebut dapat diatasi.

    Menerusi laman sosial Facebook misalnya, pemilik akaun bernama Rosie Zam telah berkongsi langkah mudah untuk mengurangkan bau busuk dari lubang sinki.

    “Selepas pulang membeli seekor ayam, saya letakkan ia di dalam sinki untuk dibersihkan. Tiba- tiba terbau sesuatu kurang enak dari lubang sinki.

    “Alamak, sudah lama tak membersihkan lubang sinki, sebab itu naik bau busuk. Justeru, saya terus jerang air di dalam periuk. Kemudian, ambil soda bikarbonat dan cuka putih yang memang ada di dalam kabinet dapur,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman sosial peribadinya.

    Justeru, hari ini Femina kongsikan tip yang dipraktikkan oleh Rosie Zam. Selamat mencuba!

    Bahan-bahan:

    – 1/2 cawan soda bikarbonat

    – 1/2 cawan cuka

    – Air mendidih

    Langkah-langkah:

    1) Jerang air di dalam periuk.

    2) Tuangkan soda bikarbonat ke dalam lubang sinki.

    3) Kemudian, tuang pula cuka putih dan biarkan kira-kira 15 minit.

    4) Selepas itu curahkan air yang mendidih ke dalam lubang sinki tersebut.

    5) Masalah dapat diatasi.

    Sumber: Facebook @rosiezam



    Sumber

  • Insulin boleh merosakkan buah pinggang?

    Insulin boleh merosakkan buah pinggang?

    RATA-RATA orang ramai agak keliru dengan penggunaan insulin kerana dikatakan boleh merosakkan buah pinggang.

    Adakah benar keadaan sedemikian?

    Sebenarnya, insulin sama sekali tidak merosakkan buah pinggang. Hal demikian kerana, insulin yang dicucuk kepada pesakit kencing manis itu adalah sama strukturnya dengan insulin yang dihasilkan oleh badan manusia sendiri.

    Bagaimana ubat insulin itu boleh sama strukturnya dengan insulin yang dihasilkan dalam badan manusia?

    Ubat insulin boleh sama strukturnya dengan insulin semula jadi yang dihasilkan dalam badan manusia melalui teknologi kejuruteraan genetik. Segala protein dalam badan kita dibina melalui gen dalam sel badan termasuklah insulin.

    Gen yang menghasilkan insulin tersebut dikenal pasti dan dimasukkan ke dalam gen bakteria. Setelah itu, bakteria berkenaan pula mempunyai kemampuan untuk menghasilkan insulin yang sama seperti dalam badan manusia. Insulin itulah yang digunakan kepada pesakit kencing manis.

    Oleh itu, tidak perlu gusar lagi apabila ramai mengatakan ia boleh merosakkan buah pinggang kerana perkara itu tidak benar sama sekali.

    INSULIN sama sekali tidak merosakkan buah pinggang.

    INSULIN sama sekali tidak merosakkan buah pinggang.

    ANEKDOT

    Jenis insulin yang sesuai kepada pesakit kencing manis:

    Ia bergantung kepada bila dan sejauh mana kesannya terhadap paras glukos darah termasuklah:

    1. Permulaan tindakan – Bila ia mula bertindak menurunkan paras glukosa?

    2. Puncak tindakan – Bilakah kesannya di paras maksimum terhadap paras glukosa darah?

    3. Jangka masa tindakan – Berapa lamakah tindakan keseluruhannya bertahan?

    Kesan masa dan tempoh tindakan insulin adalah berbeza untuk setiap individu dan ia boleh juga bergantung kepada:

    – Di manakah suntikan diberi

    – Suhu

    – Aktiviti fizikal

    – Peredaran darah

    – Jenis diabetes dan paras glukos dalam darah

    – Gaya hidup

    – Pemakanan

    – Sama ada pesakit mempunyai masalah kesihatan yang lain atau tidak

    – Kaedah insulin berinteraksi dengan ubat dan suplemen yang diambil

    Sumber:@thediagnosa dan myhealth.gov.my



    Sumber

  • Sambil beli-belah, tambah pahala dengan beramal

    Sambil beli-belah, tambah pahala dengan beramal

    BAGI mereka yang tercari-cari kelengkapan haji dan umrah, butik pakaian Haqqi antara tempat yang ideal untuk membuat pilihan.

    Sambil membeli-belah, pelanggan juga boleh beramal kerana kira-kira lima peratus bagi setiap pembelian berkenaan akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan.

    Ujar Pengarah Butik Haqqi, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris, pada tahun lalu, Haqqi menyumbang sebanyak 2,000 baju sejuk (winter coat) diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan, Syria Care.

    “Ada juga sebahagian peratus lagi kita sumbangkan untuk sukarelawan yang membawa jemaah haji,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Butik Haqqi 2020 yang turut dihadiri Penolong Pengurus Koperasi Tabung Haji Berhad (KTHB), Noorsamah Awang di Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor sebentar tadi.

    Pada majlis itu, Butik Haqqi dan KTHB menandatangani memorandum persefahaman menyambung kontrak kolaboratif selama tiga tahun.

    MOHAMAD Fitri (kiri) dan Noorsamah bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman pada majlis pelancaran Butik Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi pada hari ini.

    MOHAMAD Fitri (kiri) dan Noorsamah bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman pada majlis pelancaran Butik Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi pada hari ini.

    Cawangan Butik Haqqi di Bandar Baru Bangi itu baru sahaja tiga minggu beroperasi di lokasi baharu yang lebih strategik iaitu di Jalan Medan Pusat Bandar 8, Bangi Sentral.

    Dalam pada itu, Mohamad Fitri yang juga Duta Butik Haqqi berkata, pihaknya merancang untuk membuka cawangan baharu di Makkah dan Madinah dijangka pada hujung tahun ini.

    “Dua lokasi Tanah Suci ini memang sinonim dengan ibadah haji dan umrah. Tidak lengkap jika tiada cawangan di sana.

    “Kami sudah mengenal pasti lokasi yang berkaitan dan melihat tempat tersebut. Perbincangan lanjut mengenainya akan dibuat dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

    Pada masa sama, kata Fitri, beberapa buah bandar raya akan di negara ini akan menjadi lokasi tumpuan pembukaan baharu cawangan Butik Haqqi antaranya di Johor Bahru, Johor; Alor Setar, Kedah dan Kuantan, Pahang.

    Butik Haqqi yang mula beroperasi pada tahun 2016 menjual pelbagai kelengkapan haji dan umrah antaranya ihram, jubah, kurta, sarung tangan, kit kosmetik haji dan telekung.

    MOHAMAD Fitri (kanan) dan Noorsamah ketika pelancaran Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi sebentar tadi.

    MOHAMAD Fitri (kanan) dan Noorsamah ketika pelancaran Haqqi 2020 di Bandar Baru Bangi sebentar tadi.



    Sumber

  • Epson tawar pencetak tekstil digital

    Epson tawar pencetak tekstil digital

    EPSON melangkah lebih keterhadapan apabila menghasilkan teknologi inovatif, pencetak tekstil digital SureColor SC-F9430 dan SC-F9430H baharu peminat jenama tersebut.

    Apa yang menarik, inovasi mesin pencetak pewarna sublimasi baharu itu hanya berukuran 64 inci. Akan tetapi, keupayaannya mampu menghasilkan cetakan berkualiti persis jentera komersial.

    Masakan tidak, koleksi warna Epson Fluorescent terkini dalam perisian Edge Print membolehkan pemprosesan warna untuk dakwat pendarfluor seterusnya memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan.

    Menurut Pengarah Urusan Epson Malaysia, Daisuke Hori, pengenalan variasi warna baharu Epson memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang disediakan.

    “Mereka boleh mendapatkan lebih banyak opsyen untuk mencipta pakaian sukan, rekaan fesyen terkini, hiasan rumah dan papan tanda dengan koleksi warna terbaharu.

    “Usaha itu juga bertujuan membuka ruang kepada kreativiti dan ekspresi yang lebih besar dalam reka bentuk sesuatu produk,” katanya dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini.

    Selain itu, pihaknya optimis siri SC-F9430 akan memberi kesan positif kepada perniagaan, selain kempen Go Big menandakan satu kejayaan dalam transformasi perniagaannya.



    Sumber

  • Koleksi pop rona garang musim luruh 2020

    Koleksi pop rona garang musim luruh 2020

    KOLEKSI terbaharu Todd Snyder ada mesej tersendiri untuk peminat jenama itu dan bukan sekadar pertunjukan fesyen musim luruh 2020 semata-mata.

    Persoalan demi persoalan terpampang pada skrin gergasi mengiringi langkah gagah si model memperagakan 40 koleksi kapsul rekaan unik dengan rona garang memukau.

    “There will come a time in your life where you will ask yourself the serious questions,” mengiringi runut bunyi pertunjukan fesyen Snyder.

    Sebelum itu muncul satu lagi persoalan “Am I happy with who I am?” dan “Do I have a life or am I just living?” sambil si model memperagakan sut hijau alga dan rompi memancing.

    Jika diperhalusi, kombinasi koleksi yang dipamerkan menterjemahkan hubung kait revolusi transisi Underground Revolution’s 2002 dengan koleksi pereka fesyen terkemuka New York itu atas nama jenama LL Bean.

    TIDAK ubah seperti si koboi maco dengan rompi dua lapis digayakan dengan seluar panjang dan but signatur, Bean’s Duck manakala baju rajut intarsia berwarna hitam putih cukup serasi digabungkan dengan seluar panjang pleated rona hitam bersama beg tote signatur pereka fesyen terkemuka New York itu.

    TIDAK ubah seperti si koboi maco dengan rompi dua lapis digayakan dengan seluar panjang dan but signatur, Bean’s Duck manakala baju rajut intarsia berwarna hitam putih cukup serasi digabungkan dengan seluar panjang pleated rona hitam bersama beg tote signatur pereka fesyen terkemuka New York itu.

    Dalam perkongsian vogue.com, bukan hanya persembahan fesyen musim luruh, tetapi mesej mencari diri sendiri dengan fahaman eksistensialisme menjadi kelainan dalam koleksi kali ini.

    Berani tampil dengan pop rona garang sempena musim luruh, Synder tidak mengetepikan rekaan but signatur, Bean’s Duck, beg tote sehinggalah sut potongan langsing red flannel, seluar korduroi, baju rajut intarsia dan seluar panjang pleated.

    Sebagai pemimpin pragmatis, beliau dilihat bijak memperagakan koleksi peribadi dengan kualiti premium bersama kepekaan naluri yang cukup praktikal demi misi koleksi musim akan datang.

    Bukan itu sahaja, jenama LL Bean juga tidak ketinggalan mempromosikan pakaian poliester kitar semula selain menonjolkan kelestarian alam semula jadi dalam pertunjukan berprestij itu.

    GABUNGAN rompi kuning memikat dan sut korduroi serba hijau alga menarik perhatian peminat fesyen unik Synder manakala gabungan warna tanah dan bumi menyerlahkan lagi rekaan musim luruh 2020.

    GABUNGAN rompi kuning memikat dan sut korduroi serba hijau alga menarik perhatian peminat fesyen unik Synder manakala gabungan warna tanah dan bumi menyerlahkan lagi rekaan musim luruh 2020.



    Sumber