Blog

  • Surah al-Falaq jadi pendinding diri

    Surah al-Falaq jadi pendinding diri

    PERKEMBANGAN arus teknologi pada zaman milenial kini tidak ‘membejatkan’ usaha individu tidak bertanggungjawab untuk mengamalkan sihir.

    Lantaran itu, al-Quran yang menjadi panduan hidup kita dilengkapi dengan amalan yang boleh dilazimi bagi mematahkan gangguan-gangguan akibat perbuatan manusia dan makhluk-makhluk lain.

    Al-Falaq menjadi surah pilihan yang boleh menjadi pendinding diri bagi kita.

    Ini kerana antara sebab penurunan ayat itu mempunyai perkaitan rapat dengan peristiwa Rasulullah SAW disihir oleh seorang lelaki Yahudi.

    Apakah peristiwa berkenaan? Apakah ibrah yang cuba disampaikan dalam ayat 4 dan 5 Surah al-Falaq?

    Ayuh bersama Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah yang akan mengupas lanjut mengenainya dalam segmen Kapsul Surah pada hari ini.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Al-Falaq antara surah yang tiada tandingan)

    (ARTIKEL BERKAITAN: Surah al-Falaq mengajar kita mohon perlindungan ALLAH)



    Sumber

  • Atur masa makan mengikut masa dan jam badan

    Atur masa makan mengikut masa dan jam badan

    SESEORANG individu lazimnya boleh mengawal tahap kesihatan tubuh sendiri. Salah satu daripada kaedahnya adalah dengan makan mengikut waktu yang sesuai. Bagaimanapun, kerana kesibukan harian atau mengabaikan masa penting tersebut, kadangkala seseorang itu sering makan di luar waktu makan yang sepatutnya.

    Ada yang menggabungkan waktu makan pagi dan makan tengah hari yang diistilahkan ‘brunch’, menikmati snek tidak sihat di tengah malam dan sebagainya. Tidak kurang pula yang gemar makan sepanjang waktu. Apakah kaedah terbaik memilih masa yang sesuai untuk makan?

    Perunding Dietetik Kuvings Malaysia, Raihan Irwan berkongsi dengan Sihat:Aktif mengenai apakah itu ritma sirkadian atau biasa disebut circadian rhythm. Menurutnya, ritma dimaksudkan itu adalah ‘jam badan’ yang berasaskan putaran bumi. Tubuh manusia akan menyesuaikan diri terhadap siang dan malam yang mampu mengawal fungsi biologi tertentu secara sewajarnya.

    RAIHAN Irwan.

    RAIHAN Irwan.

    “Satu irama sirkadian adalah proses yang semula jadi yang mengawal sebagai contohnya waktu tidur, metabolisme badan, perembesan hormon dan sebagainya dalam masa sehari iaitu setiap 24 jam. “Satu kajian telah merungkai bahawa corak pemakanan semula jadi sememangnya secara lahiriah telah wujud dalam diri individu,” katanya. Memberikan contoh mudah, menurut Raihan, waktu siang seperti yang diketahui adalah waktu untuk kita bekerja atau membuat aktiviti, manakala malam adalah khusus untuk tidur.

    “Begitu juga dengan waktu pemakanan. Terdapat waktu yang kondusif untuk memproses makanan daripada kumpulan makronutrien iaitu karbohidrat, protein dan lemak,” katanya. Perlu rehat Kata Raihan, makan sebelum jam 6 petang adalah aturan yang sangat baik dan disyorkan kepada orang ramai.

    Hal ini kerana, dari segi proses pencernaan, makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti bijirin, buah, sayur berkanji dan produk tenusu adalah lebih optimum jika dimakan sebelum jam itu. Pada waktu tersebut perembesan hormon insulin berada pada tahap optimum yang mampu menukarkan karbohidrat kepada tenaga lebih efisien.

    KETAHUI masa yang sesuai untuk makan mengikut masa dan jam badan.

    KETAHUI masa yang sesuai untuk makan mengikut masa dan jam badan.

    Kongsi Raihan lagi, badan juga diperlukan untuk melakukan pelbagai aktiviti dalam satu masa. Badan manusia akan mula bertukar daripada pembakaran glukosa dan glikogen kepada pembakaran lemak selepas enam hingga lapan jam selepas makan. “Berikutan keadaan tersebut, perut manusia memerlukan rehat daripada melakukan proses pencernaan kerana usus akan menghasilkan lapisan baru setiap 10 ke 15 hari,” katanya. Pada waktu malam pula badan manusia akan menggantikan tujuh ke 10 peratus sel-sel mati dan menggantikan dengan yang baru.

    Oleh itu, tegas Raihan, tidak digalakkan sama sekali untuk makan pada lewat malam dan terus tidur selepas makan. Secara ringkasnya, dalam amalan makan mengikut jam badan adalah tidak begitu sukar kerana hanya memerlukan perancangan dan beberapa penyesuaian pada jadual individu tersebut agar dapat meraih pelbagai manfaat.

    MEMBANTU fungsi biologi secara semula jadi dengan mengamalkannya.

    MEMBANTU fungsi biologi secara semula jadi dengan mengamalkannya.

    Berikut adalah beberapa garis panduan asas waktu makan yang boleh diikuti menurut Raihan:

    1. Sarapan: Sekurang-kurangnya dua jam setelah bangun daripada tidur. Hal ini demikian kerana, bacaan gula dalam darah dan nutrien berada pada tahap yang rendah.

    2. Makan tengah hari: Waktu yang ideal adalah tiga hingga empat jam selepas sarapan pagi untuk mengekalkan tahap bacaan gula dalam darah normal.

    3. Makan malam: Sebaiknya makan tiga hingga empat jam selepas makan tengah hari dan dua jam sebelum tidur bagi menggalakkan tidur yang lena dan penggunaan kalori yang efisien untuk seharian.

    ANEKDOT

    Mengenai Kuvings Malaysia:

    – Kuvings berperanan mengerakkan komuniti bagi menghargai kesihatan dan kesejahteraan serta memberi fokus kepada asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengandungi semua maklumat yang diperlukan untuk membina badan manusia.

    – Mempunyai pasukan dan pakar pemakanan khas untuk memberikan pengetahuan yang mudah difahami dan ringkas mengenai jenis makanan yang betul dan berkongsi pelan khusus dan tindakan yang boleh diambil agar dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat.

    Sumber: Kuvings Malaysia



    Sumber

  • Kadar jangka pendek kekal stabil berikutan operasi BNM

    Kadar jangka pendek kekal stabil berikutan operasi BNM

    KADAR jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

    Mudah tunai hari ini dijangka sebanyak RM22.17 bilion dalam sistem konvensional dan RM13.70 bilion dalam dana Islam.

    Bank pusat akan menjalankan dua tender pasaran wang konvensional RM500 juta, masing-masing untuk tujuh hari dan 14 hari.

    Ia akan turut menjalankan dua tender Qard bernilai RM1.5 bilion untuk tujuh hari dan RM500 juta untuk 14 hari.

    Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM21.2 bilion dan RM11.7 bilion untuk tender semalaman Murabahah. – Bernama



    Sumber

  • Virus SARS-CoV-2 punca Covid-19

    Virus SARS-CoV-2 punca Covid-19

    Ambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah diri agar tidak dijangkiti virus berkenaan

    WABAK koronavirus (Covid-19), sebelum ini disebut 2019-nCoV yang semakin agresif menjangkiti manusia di banyak negara sememangnya kian menggusarkan.

    Terkini, dikenali sebagai SARS-CoV-2 yang dinamakan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Mengenai Taksonomi Virus, ia dikatakan masih terdapat sedikit persamaan dengan virus SARS-CoV.

    Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran menjelaskan, nama penyakit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 pula ialah Covid-19.

    DR Safiya Amaran.

    DR Safiya Amaran.

    Menurutnya Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyeus, ‘CO’ merujuk kepada koronavirus, ‘VI’ pula virus, ‘D’ merujuk kepada ‘disease’ atau penyakit, sementara ’19’ merupakan tahun wabak tersebut berlaku.

    Berkisarkannya, pastinya orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah diri agar tidak dijangkiti virus berkenaan.

    Berikut perkongsian Dr Safiya mengenai tip bagi mengelak jangkitan virus itu:

    1. Amalkan kebersihan diri dan tangan. Pastikan tangan sentiasa dibasuh menggunakan air mengalir dan sabun bagi memastikan ia bersih dengan sempurna apabila:

    – sebelum makan

    – selepas makan

    – sebelum memegang bayi

    – selepas bersin, batuk atau bersihkan hingus

    – selepas keluar dari bilik air

    – selepas memegang barang yang tercemar

    – semasa kendalikan makanan

    – sebelum dan selepas merawat luka

    – selepas membuang sampah

    – selepas memegang haiwan peliharaan

    2. Lindungi diri jika berada di kawasan yang berisiko tinggi dengan memakai topeng penutup hidung dan mulut. Lebih penting lagi, jika bergejala, sentiasalah memakainya supaya tidak menjangkiti orang lain.

    3. Kukuhkan imuniti badan dengan memastikan badan sentiasa mendapat bekalan vitamin C yang mencukupi setiap hari. Pilihlah vitamin C dari sumber semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana mengandungi vitamin, air dan serat.

    4. Tingkatkan imuniti badan dengan cara yang mudah, murah dan ringkas iaitu tidur. Kajian menunjukkan tidur yang mencukupi iaitu tujuh hingga lapan jam bagi orang dewasa dan berkualiti terbukti boleh meningkatkan imuniti badan melawan kuman.

    Barangkali tidak perlu menjadi paranoid. Kongsi Dr Safiya lagi, secara asasnya badan manusia mempunyai tiga jenis imuniti iaitu:

    1. Imuniti ‘innate’ (semula jadi)

    Pertahanan paling asas ada pada kebanyakan manusia sejak lahir lagi. Sebagai contohnya, kulit dicipta khas untuk melindungi semua bahagian di bawah kulit daripada ancaman kuman dan lain-lain. Jadi, kuman tidak mudah masuk ke dalam tubuh badan.

    2. Imuniti adaptif

    Sistem imuniti yang serba lengkap dan sangat bijaksana, antaranya ialah sel darah putih. Terdapat banyak jenis sel darah putih dan setiap satu daripadanya mempunyai tugas masing-masing. Ia boleh diibaratkan seperti tentera kerana bekerja keras sepanjang masa bagi memastikan tubuh badan sihat setiap hari.

    3. Imuniti pasif

    Imuniti pasif bererti badan menerima antibodi yang dihasilkan oleh badan orang lain. Sebagai contoh, susu ibu. Susu ibu mengandungi antibodi dan bermanfaat bagi bayi kerana badan masih belum dapat hasilkan antibodi sendiri. Justeru buat ibu-ibu, manfaatkanlah antibodi itu buat si kecil!

    Dr Safiya turut berkongsi laman web mengenai kemas kini kes terkini Covid-19 dengan melayari worldmeters.info atau coronatracker.com.



    Sumber

  • Bahayakah asid borik yang dihadam?

    Bahayakah asid borik yang dihadam?

    ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

    Soalan 1:

    DOKTOR, saya ada mendengar mengenai asid borik. Suatu ketika dahulu, banyak produk makanan seperti mi kuning dan bebola ikan akan ‘dipromosikan’ tidak mengandungi bahan itu. Sebenarnya apakah fungsi asid borik itu dalam makanan?

    – INGIN TAHU, JAZLINA JAMIL, 28, KLANG

    Jawapan:

    PUAN, asid borik adalah sebatian yang terbentuk secara semula jadi yang mengandungi elemen boron, oksigen dan hidrogen.

    Asid borik berwarna putih, tidak mempunyai bau dan hampir tidak mempunyai sebarang rasa. Ia kelihatan seperti garam biasa jika diproses dalam bentuk butiran atau kelihatan seperti bedak bayi jika diproses dalam bentuk serbuk. Untuk makluman puan, asid borik digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis industri seperti kosmetik, farmaseutikal, pembuatan kaca, gentian kaca dan juga pengawet kayu bagi mengelakkan serangan serangga dan kulat.

    Ia juga merupakan antara bahan yang terdapat dalam racun serangga dan cecair pencuci pakaian. Boron pula terhasil secara semula jadi dalam sumber makanan yang dikenali sebagai asid borik yang wujud dalam buah-buahan, sayuran berdaun, legum dan kekacang. Produk tenusu, ikan, daging dan bijirin juga mengandungi boron, namun jumlahnya amatlah sedikit. Tidak perlu bimbang kerana kandungan boron atau asid borik dalam jenis makanan berkenaan terbentuk secara semula jadi dan kuantitinya amat sedikit.

    Pengambilan selamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan bahawa purata pengambilan harian bagi populasi awam adalah sekitar 1.2 miligram boron daripada sumber pemakanan. Ia masih berada pada kadar atau julat purata pengambilan yang selamat bagi individu dewasa iaitu antara 1.0 ke 13 miligram boron setiap hari seperti yang dicadangkan oleh WHO.

    Dalam pada itu, ia pernah digunakan dalam industri makanan terutamanya dalam pembuatan mi kuning dan bebola ikan atau bebola makanan laut. Asid borik digunakan kerana fungsinya yang mampu memberikan kekenyalan pada tekstur produk makanan.

    Selain itu, ia juga digunakan sebagai pengawet makanan. Asid borik sangat popular digunakan oleh peniaga ikan untuk mengekalkan kesegaran ikan atau makanan laut yang lain. Menurut kajian yang pernah dilakukan pada tahun 2008 oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, asid borik telah ditemui dalam kesemua sampel makanan yang diuji iaitu mi kuning, bebola ikan, mi wantan dan kuetiau.

    Kepekatan kandungannya pula berbeza mengikut jenis makanan. Mi kuning mencatatkan kandungan asid borik yang tertinggi berbanding sampel makanan lain.

    Soalan 2:

    Kadar berlebihan pengawet boleh menjejaskan tubuh

    Adakah asid borik selamat untuk dimakan dan diberi kebenaran untuk digunakan dalam produk makanan di Malaysia? Apa akan berlaku jika saya memakan makanan yang mempunyai kandungan asid borik berkenaan?

    – INSAN MUSYKIL, ZAIDI KHAIRULDIN, 31, KUALA LUMPUR

    Jawapan: Tuan, Peraturan Makanan 1985 hanya membenarkan penggunaan bahan pengawet tertentu dalam produk makanan. Bahan pengawet yang dibenarkan adalah sulfur dioksida, asid benzoik dan asid propionik. Itu termasuklah natrium, kalium, garam kalsiumnya, natrium nitrat, natrium nitrit, kalium nitrat dan potassium nitrit.

    Begitu juga dengan jenis-jenis antimikrobial iaitu klorin dioksida dan hidrogen peroksida yang digunakan dalam produk makanan tertentu. Asid borik tidak termasuk dalam senarai di atas. Oleh itu ia tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai pengawet makanan. Jika termakan makanan yang tinggi dengan kandungan asid borik, antara gejala yang mungkin dialami adalah loya, muntah, cirit-birit, dermatitis, fungsi buah pinggang yang tidak normal dan disfungsi peredaran darah akut.

    KADAR kandungan asid borik yang tinggi dalam makanan boleh menjejaskan kesihatan.

    KADAR kandungan asid borik yang tinggi dalam makanan boleh menjejaskan kesihatan.

    Lebih parah, ia juga boleh menyebabkan kematian namun, bergantung kepada tahap asid borik yang telah diserap oleh tubuh badan. Pendedahan tubuh terhadap kadar asid borik yang tinggi boleh menjejaskan bahagian perut, usus, hati, buah pinggang dan otak. Pada masa kini, penggunaan asid borik mungkin tidak lagi berlaku dalam skala yang besar.

    Bagaimanapun, sentiasa berhati-hati memandangkan ada individu yang tidak beretika masih mengintai peluang kecil untuk mengaut keuntungan berganda. Semak senarai bahan kandungan pada label produk terlebih dahulu sebagai langkah awal pencegahannya.

    ***Jawapan artikel disemak oleh panel perubatan Hello Doktor.

    ANEKDOT

    Kegunaan asid borik:

    Asid borik (H3BO3) adalah antiseptik, racun perosak dan racun kulat yang lemah. Ia lazim digunakan untuk kawalan serangga, pengawet kayu dalam industri perabot, industri kaca dan bidang perubatan. Penggunaan asid borik sebagai pengawet adalah dilarang seperti dalam Akta Makanan Malaysia 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

    Sub-Seksyen 13 (1) Akta Makanan 1983 menyatakan bahawa “mana-mana orang yang mempersiapkan atau menjual apa-apa makanan yang mempunyai atau atasnya apa-apa bahan yang beracun, berbahaya atau yang memudaratkan kesihatan melakukan suatu kesalahan boleh disabitkan suatu gentian yang tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya”.

    Makanan yang mengandungi asid borik adalah jenis makanan pasta, sebagai contoh:

    – Mi kuning

    – Kuetiau

    – Laksa

    – Loh se fun

    – Mi wantan

    – Mi hokkien

    – Bihun

    – Pembalut popia

    – Bak chang

    Sumber: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.



    Sumber

  • ShopBack Malaysia catat pertumbuhan 200 peratus pada 2019

    ShopBack Malaysia catat pertumbuhan 200 peratus pada 2019

    PLATFORM pulangan tunai dalam talian, ShopBack Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan lebih tinggi iaitu 200 peratus pada tahun lalu berbanding 2018.

    Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata, pertumbuhan itu didorong oleh populariti membeli-belah dalam talian dalam kalangan rakyat Malaysia selain pengenalan tinjauan dalam talian dan e-dompet serta kerjasama dengan rakan niaga mereka.

    “ShopBack melancarkan model ganjaran dalam talian dalam bentuk pulangan tunai lima tahun lalu dan kini berkhidmat kepada lebih daripada 2.5 juta pengguna.

    “Sehingga kini, ShopBack mempunyai lebih 500 peniaga rakan kongsi di Malaysia seperti Shopee, Lazada, Taobao, ZALORA, Hermo, FashionValet, Agoda, Booking.com dan KLOOK,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur kelmarin.

    Eddy berkata, pengguna ShopBack telah memperoleh lebih RM60 juta pulangan tunai sehingga kini dan nilai terkumpul yang tertinggi pernah dicatatkan oleh seorang pengguna berjumlah RM69,145.64.

    “Kami mendapati pengguna gemar membeli-belah antara jam 2 hingga 3 petang pada hari biasa.

    “Bagaimanapun, ketika jualan mega berlangsung, pengguna akan memeriksa platform dalam talian sekitar jam 12 tengah malam hingga 1 pagi untuk mendapatkan diskaun terbaik dan membeli barangan promosi terhad,” katanya.

    Beliau berkata, jualan 11.11 menyaksikan kenaikan jualan sebanyak 80 peratus pada 2018, diikuti oleh jualan pada 12.12 dan 9.9.

    Bersempena dengan ulang tahun kelima Shopback, Eddy berkata, pengguna berpeluang memenangi tawaran menarik bermula 21 hingga 24 Februari 2020, antaranya membeli belah percuma bernilai RM50,000, 100 peratus baucar pulangan tunai serta perjanjian bonus eksklusif untuk Button ShopBack.

    “Sebagai tanda terima kasih atas sokongan pengguna, kami memberikan mereka sehingga 100 peratus pulangan tunai.

    “Lima peserta bertuah juga berpeluang menikmati pengalaman membeli-belah bernilai RM10,000 setiap seorang,” katanya.

    Sementara itu, ShopBack turut mengumumkan rakan niaga baharu mereka iaitu Dahmakan, OGAWA dan Maxx Sports.



    Sumber

  • Bipolar, penyakit antara dua ‘kutub’ emosi

    Bipolar, penyakit antara dua ‘kutub’ emosi

    BIPOLAR ialah gangguan tersembunyi yang biasanya menjadi ancaman dalaman pada diri seseorang walaupun kadangkala fizikalnya kelihatan sihat. Minda bercelaru, fikiran tidak tenang dan gusar untuk menguruskan diri antara simptom yang lazim dihadapi oleh penghidapnya.

    Akibatnya boleh berlaku perubahan emosi yang drastik sama ada terlalu sedih mahupun sebaliknya. Lebih membimbangkan, ia boleh menjadi lebih parah apabila individu tersebut gagal mengawal perubahan dirinya sendiri.

    Hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati, 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental. Data menunjukkan, tiga daripada 10 individu berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah itu. Daripada jumlah tersebut, wanita menunjukkan kadar yang sedikit tinggi berbanding lelaki.

    Sedar atau tidak, bipolar sebenarnya adalah satu penyakit, namun ramai yang beranggapan ia bukanlah ‘bebanan’ yang perlu dikhuatiri. Melihat dari segi fizikal, banyak stigma menganggap, penghidap bipolar hanyalah individu yang kelihatan sangat pelik hingga pelbagai tohmahan dilemparkan.

    Sungguhpun begitu, ketahuilah mereka langsung tidak meminta untuk diberi ujian sedemikian rupa. Apakah sebenarnya yang membelenggu seseorang penderita gangguan bipolar? Adakah terdapat formula bagi mengubatinya? Ikuti kupasan Sihat:Aktif mengenai gangguan tersembunyi itu pada minggu ini.

    ​​​​Bipolar boleh sebabkan pesakit murung atau gembira melampau

    PADA Julai 2017, beliau didiagnos menghadapi kemurungan yang teruk atau dikenali sebagai major depressive disorder (MDD).

    Selama empat bulan, hari-hari dilaluinya penuh meresahkan. Nor Syamimi Musa, 29, dirundung kesedihan yang berpanjangan tanpa sebab.

    Dalam masa sama, berat badannya turun mendadak. Rasa ingin marah pula terlalu membuak-buak. Lebih teruk, kadangkala wanita muda itu berasa tiada lagi harapan untuk hidup. “Saya rasa, diri ini manusia paling tidak berguna.

    Saya sering terbayang kematian itu datang dengan tiba-tiba. “Pernah saya berhadapan situasi sukar seakan-akan ingin menetak tangan sendiri ketika memotong ayam dengan menggunakan pisau,” kata wanita berasal dari Taiping, Perak itu.

    Pada satu tahap, graduan Ijazah Sarjana Muda Farmasi Universiti Malaya itu mulai sedar, situasi yang dialaminya adalah sesuatu yang tidak normal. Beliau mula berjumpa pakar sejak Julai 2018. Disember tahun lalu, rutinnya barunya ialah mematuhi jadual bagi merawat bipolar II dideritanya.

    NOR Syamimi Musa.

    NOR Syamimi Musa.

    Ya, jarang sekali masyarakat kita menyebut tentang penyakit bipolar. Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), penyakit itu biasanya berlaku pada usia muda iaitu pada purata 18 tahun bagi bipolar I dan 20 tahun bagi bipolar II.

    Menyingkap kajian yang dijalankan oleh Inisiatif Penyelidikan Kesihatan Mental Dunia yang melibatkan 11 negara, kadar prevalens sepanjang hayat untuk penyakit bipolar I adalah 0.6 peratus berbanding 0.4 peratus untuk bipolar II.

    Seperti gejala yang dialami Nor Syamimi, timbul persoalan bagaimana penyakit berkenaan boleh dihadapi seseorang?Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria bagi menjawab persoalan.

    DR Rozanizam.

    DR Rozanizam.

    Bersifat kronik

    Gangguan mental yang lazim berlaku adalah jenis kecelaruan perasaan hati (mood) atau emosi. Kesannya mempengaruhi kestabilan emosi, fikiran dan tingkah laku seseorang. Kongsi Dr Rozanizam, gangguan mood yang paling lazim didengari adalah jenis kemurungan.

    Agak pelik, menurutnya, bagaimanapun, gangguan mood itu juga boleh berlaku dalam bentuk berlawanan kepada kemurungan yang dipanggil sebagai mania atau hypomania. “Itu yang dipanggil sebagai gangguan bipolar.

    “Ia merujuk kepada dua ‘kutub’ emosi yang berbeza yang boleh berlaku kepada individu tersebut,” jelas Dr Rozanizam kepada Sihat:Aktif. Gangguan jenis bipolar biasanya mula berlaku pada fasa penghujung remaja atau awal dewasa kerana penyakit berkenaan bersifat kronik.

    Dr Rozanizam yang juga Naib Presiden II, Ikatan Pengamal Perubatan Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia berkata, justeru lazimnya penderita gangguan bipolar memerlukan rawatan berterusan pada fasa yang panjang.

    Jenis-jenis bipolar

    Terdapat beberapa jenis gangguan bipolar yang biasa berlaku seperti bipolar I dan bipolar II. Bipolar I hanya ditunjukkan oleh gangguan mania, sementara bipolar II pula, pesakit mengalami kedua-dua jenis gangguan iaitu kemurungan dan hypomania atau mania.

    Kongsi Dr Rozanizam, mania bermaksud gangguan emosi yang menyebabkan pesakit mengalami perasaan gembira yang melampau, mudah marah atau berasa bertenaga dan memiliki banyak idea.

    “Dalam masa yang sama, mereka juga mengalami tanda-tanda seperti kurang tidur, fikiran yang laju, banyak bercakap, keyakinan diri yang meningkat dan fokus fikiran yang mudah terganggu. “Seseorang hanya dikira mengalami keadaan mania apabila berada dalam keadaan tersebut secara berterusan selama lebih dari seminggu,” katanya.

    Terang Dr Rozanizam, hypomania pula adalah keadaan yang sedikit kurang teruk berbanding mania. Gejalanya berlaku dalam tempoh yang lebih singkat iaitu antara empat ke tujuh hari.

    Kepada persoalan, adakah penyakit itu seakan-akan kemurungan? Jawabnya, sebahagian pesakit yang mengalami bipolar turut mengalami gejala kemurungan pada masa yang sama atau berlainan daripada mania.

    Gejala kemurungan dalam bipolar itu pula bersifat sama seperti kemurungan yang dihadapi oleh pesakit MDD. Kongsi Dr Rozanizam lagi, gejala tersebut adalah seperti perasaan sedih yang berpanjangan, hilang minat, gangguan selera dan gangguan fikiran dalam bentuk idea mencederakan diri atau rasa putus asa.

    Namun, perbezaan yang ‘wajib’ ada dalam pesakit bipolar ialah mereka turut mengalami episod mania atau hypomania. “Ini bermakna jika seseorang pesakit mengalami kemurungan, kemudian pada fasa yang lain mengalami gangguan mania pula, diagnosa penyakitnya akan disebut sebagai gangguan bipolar dan bukan lagi sekadar kemurungan major (MDD),” terangnya.

    Gambaran tidak tepat

    Biasa melihat lakonan pesakit yang digambarkan mempunyai pelbagai personaliti atau boleh berubah personaliti dalam sekelip mata seperti dalam filem dan drama?

    Kata Dr Rozanizam, ia adalah gambaran yang tidak tepat mengenai penyakit itu. Tegasnya, falam gangguan bipolar, perubahan hanya berlaku terhadap emosi dan tingkahlaku berdasarkan gejalanya. “Perubahan pula berlaku dalam bentuk yang tidak ketara, namun berterusan.

    SERING kali timbul perasaan mudah berputus asa.

    SERING kali timbul perasaan mudah berputus asa.

    “Jadi, gambaran pesakit boleh berubah dalam sekelip mata dan kembali normal keesokkan harinya adalah gambaran yang terseleweng daripada keadaan sebenar gejala berkenaan,” terangnya lagi.

    Dr Rozanizam berkongsi, seperti kebanyakan penyakit mental yang lain, bipolar ialah penyakit multifaktoral yang tidak mempunyai sebab khusus. “Ia berlaku hasil interaksi antara faktor biologi dan persekitaran.

    “Hal itu termasuk risiko keturunan, sejarah penggunaan dadah, pendedahan kepada stres yang melampau dalam tempoh waktu yang berpanjangan atau trauma psikologi yang memberi kesan kepada emosi,” katanya.

    Rawatan

    Berkisar mengenai rawatannya, Pakar Psikiatri Hospital Pulau Pinang, Dr T Dandaithapani berkongsi kaedahnya. Kongsi Dr Dandaithapani, lazimnya lebih kurang 0.6 peratus hingga 1.1 peratus daripada populasi dijangka mengalami penyakit gangguan bipolar.

    DR Dandaithapani.

    DR Dandaithapani.

    Menariknya, wanita lebih sedikit mengalami gejala tersebut berbanding lelaki! Menjelaskan berhubung rawatan gangguan bipolar, beliau menerangkan ia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu rawatan ubat-ubatan, terapi psikologi dan sokongan sosial.

    “Ketiga-tiga rawatan tersebut biasanya akan dijalankan secara serentak, namun mengikut keperluan,” ujarnya. Selain itu, rawatan yang diberikan juga boleh dibahagikan kepada rawatan akut dan rawatan susulan.

    Apa yang pasti katanya, fungsi utama ubat-ubatan yang akan diberikan adalah untuk menstabilkan dan mengembalikan mood kepada keadaan biasa. “Ubat yang biasa digunakan adalah penstabil mood, ubat antikemurungan dan antipsikotik. Jenis ubat akan ditentukan oleh doktor.

    “Selain ubat-ubatan, terapi psikologi yang biasa dilakukan adalah seperti terapi perilaku kognitif, terapi irama sosial interpersonal dan pendedahan pendidikan tentang penyakit kepada pesakit dan keluarganya,” kata Dr Dandaithapani.

    Justeru, sokongan sosial terutamanya oleh keluarga adalah sangat penting, selain mendapatkan rawatan awal selepas mengenalpasti penyakit supaya ia tidak berulang, katanya. Di akhir perkongsian, beliau berharap pesakit sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor dan menepati temujanji rawatan.

    Berbalik kepada kes Nor Syamimi di awal tadi, beliau turut mengakui, keadaan kini jauh lebih baik selepas berjumpa pakar dan masih meneruskan rawatan.

    ‘Mereka juga boleh berjaya’

    MENGHIDAP penyakit gangguan bipolar bukanlah penghalang untuk mengecap sesuatu kejayaan dalam hidup. Hal itu dibuktikan kerana ramai pesakit itu yang boleh berjaya seperti menjadi ahli perniagaan yang terkenal atau dikenali sebagai individu-individu yang berpangkat tinggi di Malaysia.

    Pakar Psikatri merangkap Pengarah Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya, Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, bagaimanapun, tiada jalan pintas untuk berjaya sembuh melainkan dengan menerima rawatan.

    DR Amer Siddiq.

    DR Amer Siddiq.

    Menurutnya, apa yang penting, jangan pernah gagal mengambil ubat dan berusaha memperbaiki diri sendiri. “Ramai individu terkenal sering dikaitkan dengan penyakit tersebut antaranya, Britney Spears dan Winston Churchill.

    “Pesakit bipolar penting diberi rawatan awal kerana simptom mania boleh menjerat diri sendiri,” kongsi Dr Amer dalam penulisannya di mentalhealth.my.

    Jelasnya, mengikut pengkaji terkenal bipolar dari Turki, Akiskal, terdapat pelbagai varian terhadap penyakit bipolar berkenaan.

    Penyakit berkenaan hanya dihadapi oleh lebih kurang satu peratus rakyat sahaja, kata Dr Amer. Pun demikian, mereka perlu mengambil ubat yang dipanggil mood stabiliser yang mana jika rawatan awal diberikan, keadaan pesakit akan lebih terkawal.

    PESAKIT bipolar juga boleh berjaya seperti individu lain.

    PESAKIT bipolar juga boleh berjaya seperti individu lain.

    ANEKDOT

    Simptom-simptom penyakit bipolar

    1. Simptom bipolar ketika fasa mania adalah:

    – Mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

    – Terlebih aktif.

    – Kurang tidur dengan ketara.

    – Kurang selera makan dan kurang berat badan.

    – Bercakap dengan laju.

    – Idea yang terlampau banyak.

    – Tidak dapat fokus.

    – Suka melakukan aktiviti yang banyak dan berlebihan sehingga boleh mencederakan diri sendiri.

    – Suka berbelanja tanpa melihat berapa banyak yang dibelanjakan.

    – Menjadi agresif.

    2. Simptom bipolar ketika fasa murung adalah:

    – Merasa sedih dan tiada harapan.

    – Tidak mempunyai minat dalam perkara yang disukai dibuat sebelum ini.

    – Susah tidur.

    – Nampak tidak bertenaga.

    – Merasa bersalah dan kurang keyakinan diri.

    – Sentiasa berfikiran negatif.

    – Merasa hidup tidak bermakna.

    – Jika teruk, akan muncul idea untuk membuat perancangan membunuh diri pada individu tersebut.

    Seperti mana-mana penyakit mental yang lain, bipolar turut menyebabkan pekerjaan, gaya hidup dan perkara-perkara penting lain terjejas.

    Sumber: https://thediagnosa.com



    Sumber

  • Bursa Malaysia menyusut akibat pasaran lemah

    Bursa Malaysia menyusut akibat pasaran lemah

    KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini tetapi susut kemudiannya apabila sentimen pasaran yang lemah telah menyebabkan saham berkaitan indeks jatuh.

    Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.23 mata kepada 1,542.26 daripada paras 1,554.49 pada Jumaat, selepas dibuka tinggi naik 2.58 mata kepada 1,557.07.

    Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 295 berbanding 114, dengan 167 kaunter tidak berubah, 1,407 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah 246.51 juta saham bernilai RM137.50 juta.

    Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, dengan penularan novel koronavirus masih belum mereda, laporan terkini data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) memburukkan lagi keyakinan yang telah lemah apabila Wall Street jatuh berikutan aktiviti pengambilan untung di seluruh papan.

    “Oleh itu, kami percaya pasaran serantau akan berdepan keadaan turun naik hari ini. Kami menjangkakan FBM KLCI turun di bawah paras sokongan segera 1,550.

    “Sementara itu, kami merasakan sekiranya wabak ini berpanjangan, terdapat kemungkinan besar Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan kadar faedahnya sekali lagi untuk meningkatkan ekonomi AS,” kata firma penyelidikan itu.

    Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 1.11 peratus kepada 3,146.31 manakala KOSPI Composite Index Korea Selatan jatuh 1.25 peratus kepada 2,184.20.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank susut empat sen kepada RM8.47, Tenaga turun 40 sen kepada RM12.34, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals jatuh 16 sen setiap satu masing-masing kepada RM18.18 dan RM6.29.

    Dalam kalangan kaunter cergas, DGB Asia turun setengah sen kepada sembilan sen, Securemetric naik dua sen kepada 23 sen dan AirAsia berkurangan enam sen kepada RM1.25.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 76.41 mata kepada 10,983.76, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 86.85 mata kepada 11,679.36 manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 81.02 mata kepada 10,779.69.

    FBM 70 turun 85.08 mata kepada 13,739.60 dan FBM Ace susut 31.98 mata kepada 5,489.80.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.26 mata kepada 144.12, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 102.15 mata kepada 14,879.01 dan Indeks Perladangan naik 14.97 mata kepada 7,322.88.-Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia makin rendah susulan kematian koronavirus meningkat

    Bursa Malaysia makin rendah susulan kematian koronavirus meningkat

    KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi hari ini memandangkan peningkatan jumlah kes maut akibat jangkitan novel koronavirus 2019 terus melemahkan sentimen pasaran.

    Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.48 mata kepada 1,545.01 daripada 1,554.49 ketika ditutup pada Jumaat.

    Selepas dibuka 2.58 mata lebih tinggi kepada 1,557.07, indeks tempatan bergerak di antara 1,541.98 dengan 1,557.07 sepanjang dagangan pagi.

    Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 540 berbanding 224 manakala 296 kaunter tidak berubah, 923 kaunter tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 1.42 bilion saham bernilai RM863.12 juta.

    Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata, ia menjangkakan penularan koronavirus itu kekal menjadi faktor utama dalam menentukan sentimen pasaran.

    “Penurunan semula dijangka menjadikan indeks utama disokong di atas paras 1,535. Bagi peningkatan, kenaikan seterusnya terletak pada paras 1,570,” menurutnya.

    Di peringkat rantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.77 peratus kepada 27,193.17, Indeks Straits Times Singapura susut 0.56 peratus kepada 3,163.76 dan Indeks Komposit Jakarta kurang 0.66 peratus kepada 5,959.72.

    Antara saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank turun satu sen kepada RM8.50, Tenaga kurang 22 sen kepada RM12.52, Public Bank susut 10 sen pada RM18.24 dan Petronas Chemicals menguncup enam sen kepada RM6.39.

    Bagi saham aktif, ARB turun setengah sen kepada sembilan sen, Securemetric naik setengah sen kepada 21.5 sen dan MTouche menokok dua sen kepada 18.5 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 68.33 mata kepada 10,991.84, Indeks FBM Emas Syariah kurang 76.91 mata kepada 11,689.30 dan Indeks FBMT 100 susut 67.25 mata kepada 10,793.47.

    FBM 70 merosot 89.89 mata kepada 13,734.78 manakala FBM Ace naik 9.50 mata kepada 5,531.28.

    Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.68 mata kepada 144.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 94.63 mata kepada 14,886.53 dan Indeks Perladangan turun 20.17 mata kepada 7,287.74.- Bernama



    Sumber

  • PROPERTYGURU: PASARAN SEKARANG MEMIHAK KEPADA PEMBELI
    DENGAN KEJATUHAN HARGA RUMAH DI SELURUH MALAYSIA


    • Kejatuhan harga, pinjaman bank yang murah dan skim RTO menggambarkan halangan yang lebih
    mudah diatasi untuk golongan yang giat mencari rumah
    • Pangsapuri servis bertambah popular, peningkatan permintaan didorong oleh golongan profesional
    muda dan pasangan dengan pendapatan boleh guna
    • Impak coronavirus ke atas hartanah domestik tidak berapa ketara; kemungkinan peningkatan dalam
    minat pembeli antarabangsa
    18 Februari 2020, Kuala Lumpur – Menurut PropertyGuru Malaysia Property Market Index (MPMI) Q1
    2020, para pemaju dan pemilik di seluruh negara sedang menurunkan jangkaan mereka, dengan industri
    hartanah menyesuaikan diri dengan penutupan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan kekurangan
    pemangkin yang kuat pada tahun ini.
    MPMI pada keseluruhannya untuk negara menurun sebanyak 1.04 mata indeks daripada 89.94 pada Q3
    2019 kepada 88.90 pada Q4 2019, yang juga merupakan tanda penurunan jangka panjang. Pelarasan
    ini, setara dengan pengubahsuaian Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM)
    baru-baru ini dan penekanan Bajet 2020 terhadap skim ‘rent-to-own’/ skim sewa untuk milik (RTO),
    membolehkan pasaran hartanah di Malaysia untuk memihak kepada pihak pembeli dalam tempoh
    terdekat.
    Halangan untuk memiliki rumah lebih mudah diatasi
    “Harga rumah telah menurun sejak Q4 2016, dan berjaya mengurangkan kos pemilikan rumah juga. Di
    samping itu, pemotongan OPR seperti yang dilakukan oleh BNM pada bulan Januari selalunya akan
    membawa kepada penurunan kadar faedah untuk pinjaman bank dan kenaikan kelulusan pinjaman bank

    pada jangka pendek, menjadikan sekarang masa yang sesuai untuk golongan yang ingin memiliki rumah
    untuk bertindak,” kata Sheldon Fernandez, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia.
    “Skim RTO meringankan kos pendahuluan dan risiko pemilikan rumah dengan mengecualikan
    pembayaran pendahuluan dan juga memberikan pilihan kepada peserta skim untuk tidak membeli
    hartanah tersebut. Selaras dengan matlamat kami untuk membantu rakyat Malaysia membuat keputusan
    hartanah yang bermaklumat dan tepat, perlu diingati bahawa pembiayaan RTO mungkin lebih mahal
    daripada pinjaman konvensional, jika dilihat dalam jangka panjang.”
    Secara keseluruhannya, faktor-faktor ini berkemampuan menguatkan sentimen golongan yang ingin
    memiliki rumah, walaupun tidak sampai tahap HOC 2019. Walau bagaimanapun, impak yang disebutkan
    di sini mungkinlah hanya ketara pada tahun 2021 dan selanjutnya, lantaran keputusan pembelian rumah
    tertunda yang dicetuskan oleh skim RTO.
    Trend lain yang nyata termasuk peningkatan dalam bilangan unit pangsapuri servis yang semakin
    kelihatan di pasaran. Angka yang diberikan pada H1 2019 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara
    (Napic) menunjukkan peningkatan sebanyak 56% tahun ke tahun (YoY) dalam unit pangsapuri servis
    yang baru siap dibina, serta 13% peningkatan tahun ke tahun (YoY) dalam bekalan unit yang masih
    dalam pembinaan. Secara keseluruhannya, ini akan menambahkan 38,441 lagi unit pangsapuri servis
    kepada stok sedia ada sebanyak 228,242 unit di pasaran.
    “Keyakinan dalam subsektor ini mungkin disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat di
    kalangan profesional muda dan DINKs (double-income couples with no-kids/pasangan dengan dua gaji
    tanpa anak) untuk hidup lebih dekat dengan pusat bandar dan tempat kerja masing-masing untuk
    mengatasi kesulitan masa dan kos pengangkutan,” kata Fernandez.
    “Dalam senario ini, apartmen bersaiz sederhana di lokasi ideal, sama ada ia sambungan terus atau
    berdekatan dengan kemudahan komersial akan bermanfaat daripada peningkatan permintaan. Walau
    bagaimanapun, ini sangat bergantung pada kawasan pembinaan, dan harus didekati dengan berhati-hati
    memandangkan lebihan bekalan bangunan-bangunan tinggi yang kelihatan di sesetengah kawasan.”
    Akhir sekali, wabak global Coronavirus (2019-nCoV) kebelakangan ini walaupun tidak ada impak
    langsung kepada segmen hartanah Malaysia sehingga kini, mungkin akan melihat peningkatan minat
    oleh pembeli antarabangsa dalam hartanah domestik, terutamanya di Pulau Pinang.

    Walaupun usaha bersepadu untuk menangani isu kelebihan bekalan termasuk revisi Bajet 2020 terhadap
    harga ambang pemilikan rumah warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000, pasaran Kuala
    Lumpur masih menguncup sebanyak 1.35 mata indeks daripada 96.25 pada Q3 2019 kepada 94.90 pada
    Q4 2019.
    Harga dijangka akan meneruskan trajektori menurun, dengan bekalan hartanah mencatatkan kenaikan
    28.8 mata suku tahun-ke-suku tahun (QoQ) dan pertumbuhan 87.56 mata tahun ke tahun (YoY) pada
    Q4 2019. Oleh itu, para pemaju dan golongan pemilik hartanah akan menyelaraskan harga hartanah
    untuk kekal berdaya saing, memanjangkan kemelesetan.
    Fernandez berkata “Pembekalan hartanah kediaman yang berterusan sebenarnya mencerminkan
    keyakinan jangka panjang berterusan terhadap Kuala Lumpur sebagai kawasan ‘hotspot,’ namun
    kemasukan hartanah kediaman ke sesuatu kawasan yang sudah mempunyai bekalan stok yang agak
    banyak tidak bermaksud bahawa harga purata akan naik dalam tempoh terdekat.”
    “Sementara itu, program seperti Residensi Wilayah dan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang dianjurkan
    oleh Cagamas Bhd akan terus merapatkan jurang antara permintaan pengguna dan portfolio pemaju.”
    Selangor mempamerkan harga rumah yang paling stabil di kalangan pasaran utama di Malaysia, dengan
    MPMI yang cuma turun 0.08 mata indeks dari 91.51 pada Q3 2019 kepada 91.43 pada Q4 2019.
    Walaupun aliran menurun ini mencerminkan corak di pasaran negeri-negeri lain, namun pergerakan
    minimal harga rumah pada suku lepas barangkali menunjukkan keseimbangan selaras di Selangor untuk
    masa depan.
    Sama dengan Kuala Lumpur, bekalan hartanah kediaman di Selangor meningkat dengan ketara
    sebanyak 84.57 mata indeks YoY, menekankan kehangatannya sebagai kuasa ekonomi bagi negara. Ini
    juga membawa makna bahawa para pemaju mempunyai minat berterusan di negeri ini, memandangkan
    ahli-ahli penting industri memang mementingkan potensi jangka panjangnya.
    “Memandangkan Selangor mempunyai stok sedia ada sebanyak 1.5 juta unit kediaman, bersama dengan
    4,620 unit siap dibina dan 6,872 unit yang masih dirancang pembinaannya berdasarkan Napic, para
    pemaju sedang menggunakan pelbagai strategi untuk merangsang permintaan,” kata Fernandez.

    “Strategi-strategi ini termasuk kos masuk rumah rendah dan program bantuan kewangan seperti HOPE
    oleh Eco World Development Group Bhd dan Setia FlexKey oleh SP Setia Bhd. Mah Sing Group Bhd
    berhasrat meneruskan penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) untuk membekalkan lebih
    banyak rumah mampu milik. “
    Johor dan Penang: lebihan bekalan dan mampu milik
    Harga rumah di Johor turun 1.53 mata indeks dari 101.12 pada Q3 2019 kepada 99.59 pada Q4 2019,
    berikutan prestasi yang agak stabil untuk negeri ini sejak beberapa suku dahulu. Walaupun terdapat
    minat pelabur yang kuat di kawasan ini, sehingga berjaya menarik masuk angka pelaburan sebanyak
    RM172.2 bilion pada H1 2019, dengan sasaran untuk mencapai RM383 bilion menjelang 2025.
    Kemorosotan harga ini boleh dikaitkan dengan kebimbangan lebihan bekalan yang berterusan di negeri
    ini, dengan hartanah kediaman yang sedia ada meningkat 25.32 mata indeks QoQ dan 185.44 mata
    YoY pada Q4 2019 – jauh lebih tinggi daripada angka berkenaan di Kuala Lumpur dan Selangor.
    “Apabila membincangkan masalah bekalan, rumah ‘overhang’ tidak sepatutnya dikelirukan dengan
    rumah tidak terjual. Kerajaan telah menetapkan rumah ‘overhang’ sebagai unit hartanah yang telah
    diperiksa dan diberikan Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) atau Sijil Kelayakan Menduduki Sementara
    (TCFO), tetapi tetap tidak terjual walaupun sudah diletakkan di pasaran sekurang-kurangnya sembilan
    bulan,” beginilah yang dikatakan Fernandez.
    “Selain itu, lebihan bekalan/‘oversupply’ ditakrifkan sebagai pembekalan sesuatu banda yang melebihi
    bilangan yang diperlukan. Pembekalan keseluruhan terdiri daripada semua unit yang dirancang, yang
    bakal dibina, tidak terjual dan stok sedia ada (termasuk unit ‘overhang’). Unit yang tidak terjual dikenali
    sebagai ‘lebihan bekalan’ dan sebahagian besarnya disumbangkan oleh unit-unit hartanah yang
    mengalami masalah daripada segi harga, lokasi, produk dan aspek mampu milik. “
    Negeri Johor sedang mengalami kedua-dua isu berkenaan, iaitu isu “overhang” dan lebihan bekalan stok
    unit kediaman. Sama ada keputusan kerajaan negeri untuk menurunkan harga ambang pemilikan rumah
    warga asing kepada RM600,000 bagi sembilan bulan pertama pada tahun 2020 akan menjejaskan angka

    yang disebutkan di atas atau tidak kekal tidak pasti, memandangkan kesan dasar kerajaan ini yang tidak
    menonjol di tempat lain.
    Akhirnya, Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang melaporkan penurunan dalam bekalan unit
    kediaman, dengan penurunan sebanyak 13.51 mata indeks YoY, walaupun stok meningkat sedikit
    sebanyak 0.94 mata indeks QoQ pada Q4 2019. Sebab kejadian ini mungkin berpunca daripada masalah
    kekurangan tanah di Pulau Pinang.
    Oleh itu, walaupun harga rumah jatuh 0.35 mata indeks daripada 95.74 pada Q3 2019 kepada 95.39
    pada Q4 2019, permintaan berterusan untuk hartanah kediaman di Pulau Pinang berkemungkinan naik
    apabila keadaan makroekonomi bertambah maju.
    “Ini diseimbangkan dengan sikap berwaspada yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang
    terhadap pembangunan berlebihan pada tahun-tahun kebelakangan ini, dan juga pemberian insentif
    kepada pemaju yang fokus pada pembangunan rumah-rumah mampu milik,” kata Fernandez.
    “Sementara itu, disebabkan harga dan lokasi yang agak menarik, pergolakan serantau telah
    meningkatkan minat warga asing di Pulau Pinang. Para pemaju hartanah mengambil kesempatan
    keadaan ini untuk menghabiskan unit-unit yang tidak terjual dengan menawarkan pelbagai insentif untuk
    menarik minat pembeli antarabangsa ke negeri ini.”
    Metodologi Indeks PropertyGuru Malaysia Property Market
    Indeks PropertyGuru Malaysia Property Market menunjukkan sentimen penjual dan menpamerkan tahap
    harga yang pemaju hartanah dan pemilik rumah merasakan setimpal dengan unit-unit hartanah masing-
    masing.
    Dengan menggunakan pelbagai teknik statistik, data-data daripada melebihi 450,000 penyenaraian unit
    hartanah di PropertyGuru.com.my akan diagregatkan dan ditukar menjadi indeks, menunjukkan pergerakan harga pihak pembekal unit hartanah.

    Indeks mencerminkan trend harga terkini (Q4 2019), berdasarkan Q4 2016 sebagai tempoh rujukan. Ini
    bermakna tahap harga agregat didenominasikan sebagai 100 pada Q4 2016, dan semua harga suku-
    suku bersambungan yang dipamerkan adalah dibandingkan berdasarkan harga yang ditetapkan di atas.