Blog

  • Restoran ada tanda ‘no pork’, ‘pork free’ bukan 100 peratus halal

    Restoran ada tanda ‘no pork’, ‘pork free’ bukan 100 peratus halal

    APABILA melalui deretan restoran di premis perniagaan atau pusat beli-belah, perasan atau tidak, kadangkala terpampang tanda tulisan no pork dan pork free.

    Sekali pandang, restoran itu nampak begitu meyakinkan kerana tidak menyajikan makanan yang haram di sisi agama Islam iaitu daging khinzir.

    Persoalannya, bolehkah kita makan di kedai berkenaan? Adakah restoran berkenaan berstatus halal? Apa pula hukumnya jika kita makan di kedai tersebut?

    Mengulas lanjut jawapannya, pendakwah yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris mengajak kita untuk menelusuri dahulu tentang status halal.

    Ujar beliau, seantero dunia termasuk Malaysia menggunakan status halal termasuk di premis makanan.

    “Ia sebagai satu penanda aras bahawa restoran tersebut menggunakan 100 peratus barang-barang yang halal,” katanya merungkaikan persoalan berkenaan dalam segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini.

    Hasil pembacaan Fitri tentang restoran yang menggunakan tanda no pork atau pork free daripada seorang cef terkemuka dan beberapa artikel lain, beliau menyimpulkan kebarangkalian besar bahawa pengusaha premis perniagaan berkenaan tidak mendapat sijil halal yang jelas.

    “Ini kerana, ada percampuran (dalam produk dijual). Umpamanya, kedai itu menjual minuman arak di satu bahagian kedai. Satu bahagian lagi mereka betul-betul jaga, maknanya menggunakan ayam yang disembelih, kuali yang bersih dan diasingkan antara benda yang halal dan tidak halal.

    “Walaupun ia sudah elok diasingkan, namun ada benda-benda lain yang mana ia tidak 100 peratus halal. Sebab itu mereka letak (tanda) pork free kerana tidak menggunakan 100 peratus halal di dalam kedai tersebut,” terangnya.

    Dalam hal itu, beliau menasihatkan kita agar memilih kedai yang jelas dari segi status halalnya.

    “Ia termasuklah bahan yang digunakan dan sebagainya. Namun, jika kedai itu dekat dengan kampung kita contohnya (kedai) mak cik yang tiada tanda halal, itu cerita lain.

    “Kalau kita yakin, tahu latar belakang mereka dan sebagainya serta menggunakan sumber yang halal, maka tidak perlulah sampai status halal,” jelasnya.

    Tegas beliau, amat penting kita sebagai umat Islam prihatin tentang perkara yang melibatkan soal halal atau haram suatu makanan.

    “Sebolehnya, pergilah ke kedai yang ada sijil halal. Ia penting bagi mengelakkan kita daripada memakan benda-benda yang meragukan.

    “Bukan apa, ia dikhuatiri akan ‘menghitamkan’ hati kita. Apa yang kita makan itu akan jadi darah daging kita. Jadi, elakkan berbuat demikian,” tegasnya.



    Sumber

  • Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT ditutup tinggi hari ini disokong oleh penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa dengan saham kewangan tempatan meraih manfaat daripadanya.

    Unit tempatan naik 0.63 peratus atau 265 mata asas kepada 4.1780/1830 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2045/2085 pada Selasa.

    Ambank Research dalam nota penyelidikannya berkata penurunan OPR mungkin menyediakan sedikit rangsangan positif dalam tempoh jangka pendek bagi ringgit untuk meningkat berbanding dolar AS sebanyak kira-kira 0.1 peratus atau 0.2 peratus.

    Pada Selasa, BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

    Selain itu, kekukuhan ringgit juga mendapat rangsangan daripada sentimen pasaran yang positif dan mesej jelas dan meyakinkan daripada perdana menteri yang baharu dilantik Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Selepas seminggu negara dilanda kemelut politik, pasaran nampaknya berasa yakin dengan janji perdana menteri untuk membawa kembali negara ke landasannya dengan kerajaan yang bersih, jujur dan bebas rasuah.

    Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0179/0220 daripada 3.0194/0233 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8887/8944 daripada 3.8934/8982.

    Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3403/3484 daripada 5.3725/3793 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6606/6678 daripada 4.6775/6836 sebelumnya. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit meningkat semula daripada penurunan

    Ringgit meningkat semula daripada penurunan

    RINGGIT meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini.

    Pada 9.02 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1800/1850 berbanding dolar AS daripada 4.2045/2085 ketika ditutup semalam.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, pengurangan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa dijangka menyokong ringgit memandangkan semakan semula itu akan mendorong permintaan secara mendadak terhadap pelbagai sektor bernilai tinggi.

    “Ringgit dijangka diniagakan positif hari ini, yang sewajarnya menyaksikan aliran bon, pasca kadar BNM itu, ke dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia,” katanya.

    Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan menurunkan julat kadar asas sebanyak 0.5 mata peratusan kepada 1 hingga 1.25 peratus.

    Di samping itu, bank pusat utama lain di seluruh dunia turut dijangka mengurangkan kadar faedah tidak lama lagi atau mengambil langkah lain untuk melindungi ekonomi global daripada kesan koronavirus (Covid-19).

    Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0161/0208 daripada 3.0194/0233 pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8898/8956 daripada 3.8934/8982.

    Ringgit stabil berbanding pound Britain kepada 5.3625/3694 daripada 5.3725/3793 yang dicatatkan semalam dan tinggi berbanding euro kepada 4.6686/6759 daripada 4.6775/6836. – Bernama



    Sumber

  • TDM meterai perjanjian pembelian saham THP-YT Plantations

    TDM meterai perjanjian pembelian saham THP-YT Plantations

    KUALA TERENGGANU- Anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) dengan TH Plantations Berhad (THP) bagi memperoleh 70 peratus saham THP-YT Plantation Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM7 juta.

    Perjanjian antara kedua-dua pihak itu dilaksanakan melalui Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Berhad, Muzmi Mohamed.

    Selain itu, sebagai sebahagian daripada transaksi di bawah SPA, TDM dan THP-YT turut menandatangani Perjanjian Penyelesaian (SA) untuk menyelesaikan pendahuluan antara syarikat sebanyak RM78.6 juta yang terhutang oleh THP-YT kepada THP Suria Mekar Sdn Bhd, iaitu anak syarikat THP.

    Pengerusi TDM Berhad, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, sebahagian daripada pendahuluan RM62 juta akan diselesaikan melalui kemudahan bank dan pendahuluan pemegang saham dan baki akan diberikan oleh THSM kepada TDM dengan kadar RM1.

    “Pengambilalihan yang dicadangkan ini akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar.

    “Atas faktor lokasi yang berhampiran antara ladang THP-YT dengan perladangan sedia ada TDM, pengambilalihan itu dijangka dapat mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan FFB, dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan kilang di kilang minyak sawit TDM di Sungai Tong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelas Raja Idris, di bawah Pelan Pembangunan Perniagaan (BDP), TDM akan sentiasa mencari prospektif lapangan sedia ada dengan matlamat untuk mencapai peningkatan perolehan dalam kedua-dua sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.

    Oleh itu, pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan dan meletakkan TDM untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar.

    “Kita bersifat optimistik terhadap asas-asas mampan jangka panjang industri dan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, anak syarikat milik penuh TDM iaitu TDM Plantation Sdn Bhd telah dikekalkan secara sah oleh Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

    Syarikat itu juga adalah syarikat perladangan pertama di Terengganu untuk melangkaui amalan standard pada masa itu dan telah dianugerahkan dengan 100 peratus Persijilan RSPO.



    Sumber

  • Bursa Malaysia meningkat semula selepas dibuka rendah

    Bursa Malaysia meningkat semula selepas dibuka rendah

    KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini namun mencatatkan peningkatan semula selepas itu untuk meneruskan pemulihan semalam, disokong reaksi positif terhadap pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dalam keadaan kebimbangan mengenai penularan koronavirus (Covid-19).

    Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.18 mata kepada 1,479.82 daripada 1,478.64 ketika ditutup pada Selasa.

    Pada pembukaan pasaran, indeks itu dibuka 0.31 mata lebih rendah pada 1,478.33.

    Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 230 berbanding 86, manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,515 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 186.89 juta saham bernilai RM122.85 juta.

    Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata FBM KLCI turut mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang agak stabil dalam tempoh semalaman namun sentimen kekal berhati-hati terhadap perkembangan Covid-19.

    Dalam pada itu, pengumuman BNM bagi pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas untuk menyokong ekonomi daripada sebarang kaitan yang timbul berikutan Covid-19 juga telah menyumbang kepada prestasi positif bursa tempatan, menurutnya.

    Ia merupakan pengurangan yang kedua oleh BNM tahun ini, seiring dengan langkah yang sama oleh beberapa bank pusat di seluruh dunia.

    “Berdasarkan ketidaktentuan yang nampaknya tiada sebarang keredaan, susulan prestasi Wall Street bagi tempoh semalaman, ia sekali gus mungkin mempengaruhi bursa tempatan dengan indeks utama dijangka bergerak kepada paras sokongan 1,455.

    “Pada masa sama, kami tetap berhati-hati bahawa sebarang peningkatan semula mungkin sederhana dengan paras rintangan utama bursa tempatan ditetapkan masing-masing pada 1,495 dan 1,510,” menurut Malacca Securities.

    Firma itu juga berkata kesimpulan daripada tempoh pelaporan kewangan suku tahunan juga menyaksikan pertumbuhan keuntungan juga tidak begitu memberangsangkan, menunjukkan sentimen pasaran mungkin kekal suram bagi jangka pendek.

    Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.42, Tenaga menambah empat sen kepada RM12.54 dan CIMB meningkat enam sen kepada RM4.56.

    Public Bank susut dua sen kepada RM17.74 manakala IHH tidak berubah pada RM5.60.

    Antara saham aktif, XOX, DGB Asia dan waran Reach Energy masing-masing turun setengah sen kepada 3.5 sen, 4.5 sen dan dua sen.

    Careplus menambah satu sen kepada 28.5 sen dan Vortex naik setengah sen kepada 8.5 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.54 mata kepada 10,428.70, Indeks FBM Emas Syariah susut 11.59 mata kepada 11,059.40, FBM 70 kurang 29.64 mata kepada 12,701.67 dan FBM Ace menguncup 34.49 mata kepada 5,214.51.

    Indeks FBMT 100 naik 0.75 mata kepada 10,253.76.

    Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.29 mata kepada 132.05, Indeks Perladangan merosot 50.45 mata kepada 6,699.60 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 24.31 mata kepada 14,337.63.-Bernama



    Sumber

  • PERTUBUHAN INTEGRITI NICKY LIOW MALAYSIA &
    YAYASAN WINNER EMPEROR SEDUNIA TELAH
    MENDERMAKAN SEBANYAK 76,920 TOPENG
    PERLINDUNGAN PERNAFASAN DAN BEKALAN
    PERUBATAN KEPADA MANGSA COVID-19 DI
    CHINATURUT DISERTAI OLEH SELEBRITI TEMPATAN

    Dato’ Sri Liow Soon Hee melalui Pertubuhan Integriti
    Nicky Liow Malaysia dan Yayasan Winner Emperor Sedunia bersama sama dengan sokongan salah seorang selebriti, penulis lagu dan penyanyi, Excella Chong, telah berjaya mendermakan sejumlah 76,920 topeng perlindungan pernafasan dan bekalan perubatan kepada kawasan penempatan yang dijangkiti wabak COVID- 19 di China. Tujuan sumbangan ini diadakan
    adalah untuk membantu mengawal penularan wabak berkenaan di China.


    Topeng perlindungan pernafasan dan sejumlah bekalan perubatan telah dihantar melalui
    helikopter dari Jepun dan Malaysia ke kawasan yang dijangkiti virus COVID-19 di China, dan telah diserahkan kepada Hospital Universiti Wuhan Renmin, Hospital Besar Henan Oil Field Nanyang, Hospital Besar Nanyang, Hospital Rakyat Bose City, dan beberapa hospital lain yang telah tersenarai. Sejajar dengan penularan wabak itu, Dato’ Sri Liow Soon Hee dan
    pasukannya telah bekerja keras dan cekap dalam proses penyediaan serta menghantar topeng perubatan, termometer, air pembasmian kuman, ubat-ubatan dan lain-lain bekalan perubatan untuk dihantar kepada kawasan yang berkaitan.


    Menurut Dato’ Sri Liow Soon Hee, “Kami sangat menitik berat soal isu wabak yang melanda kini dan pihak kami sering mengikuti perkembangan terkini terhadap wabak COVID-19 di China. Sejurus itu, pihak kami akan terus menerus membuat sumbangan dan pembelian
    bekalan perubatan seperti yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk mengatasi dan mencegah wabak berkenaan. Kami begitu berharap agar sedikit derma serta sokongan perubatan dan emosi yang kami sumbangkan ini, mampu memberikan inspirasi serta
    menaikkan semangat mereka yang terkesan di kawasan yang terjejas dengan wabak untuk terus bersemangat dalam menempuh kehidupan terutama di masa-masa sukar ini. Kami akan terus menerus menjalankan pemerhatian kami terhadap kawasan yang terjejas untuk beberapa minggu lagi. Sementara itu, saya ingin mengajak setiap badan organisasi lain untuk turut sama dalam menghulurkan bantuan bagi menentang wabak dan pada masa yang sama,
    dapat menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan”.
    Dato’ Sri Liow Soon Hee mengakui bahawa beliau yang sering mengadakan hubungan rapat niaga bersama China (terutamanya bandar Xingyi dan Wuhan) dalam tempoh sedekad yang lalu, turut menegaskan bahawa perubahan ekonomi negara China akan memberikan impak terhadap ekonomi di seluruh dunia, terutama Malaysia. Beliau yang telah menjadi usahawan
    pada usia 27 tahun di dalam pelbagai industri, platform e-Commerce, platform Internet mudah alih, reka bentuk rangkaian, pelancongan pembangunan perisian, multimedia

    dan banyak lagi di seluruh Asia Tenggara telah menyelaraskan perniagaan dan prinsip beliau
    untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutama kepada pelbagai komuniti di seluruh dunia.
    Sejak penubuhan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia dan Yayasan Winner Emperor Sedunia, Dato’ Sri Liow Soon Hee telah berjaya melaksanakan program Tanggungjawab Sosial korporat (CSR) seperti sumbangan sebuah kenderaan Ambulans baru kepada Pertubuhan Kepolisan Komuniti Malaysia, sumbangan bulanan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Kanak-
    Kanak Orang Kurang Upaya & Mental, Melaka (setakat ini telah terkumpul sejumlah RM460,000), sumbangan RM500,000 untuk pembinaan dan baik pulih Kuil Sri Maha Muniswarar di Ampang Jaya, sumbangan RM900,000 untuk menyokong pembangunan Sekolah Antarabangsa berprestij di Malaysia, sumbangan RM300,000 kepada Ti-Ratana Charity Home dan banyak lagi.

  • RMHC Malaysia dan Kelab Lions Antarabangsa jalin kerjasama strategik untuk Kesedaran Kanser Kanak-kanak

    Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kelab Lions Antarabangsa menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) bagi inisiatif Kesedaran Kanser Kanak-kanak, hari ini. Jalinan kerjasama strategik ini membolehkan kedua-dua pihak berganding bahu memenuhi keperluan pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia. Inisiatif antara dua badan bukan kerajaan gergasi ini akan turut memberi manfaat kepada keluarga pesakit pediatrik yang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Kuala Lumpur.

    https://youtu.be/_oR1O1JrxqE

    Menerusi kerjasama strategik ini, Kelab Lions Antarabangsa menyumbang dana lebih RM150,000 bagi menaiktaraf Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM. Dana ini merupakan dana terkumpul hasil sumbangan pelbagai pihak sejak Oktober tahun lalu khusus bagi inisiatif ini. Ia secara langsung membolehkan keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM, termasuk pesakit kanser kanak-kanak menikmati kemudahan yang lebih selesa. Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM merupakan salah satu program teras RMHC Malaysia yang menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada keluarga pesakit pediatrik di hospital tersebut.

    Kerjasama strategik ini akan berlangsung untuk tiga tahun seterusnya, dimana mulai hari ini, Kelab Lions Antarabangsa akan terus memastikan taman permainan kanak-kanak di rumah ini dapat dikekalkan dengan baik. Taman permainan kanak-kanak di rumah ini secara rasminya menjadi ‘taman angkat’ Kelab Lions International yang dikenali sebagai Lions Wonderland.

    Menurut Dato’ Javern Lim Chong Hee, Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308B1 Malaysia, “Kelab Lions Antarabangsa sentiasa mencari peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak kearah meningkatkan kehidupan pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka. Kami amat memahami saat-saat sukar yang perlu dihadapi mereka dan besarlah harapan kami agar jalinan kerjasama dengan RMHC Malaysia secara langsung membuka mata ramai pihak di luar sana tentang kanser di kalangan kanak-kanak.”

    Sebagai sebuah hospital pengajar yang mempunyai kepakaran perubatan pediatrik, HCTM-UKM menerima lebih 20,000 kes pediatrik setiap tahun, sama ada pesakit dalam atau pesakit luar. Bagi tahun 2019 sahaja, HCTM-UKM menerima lebih 900 kes melibatkan kanak-kanak yang menghidap kanser. Sejak ditubuhkan pada tahun 1999, Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 keluarga khususnya golongan berpendapatan rendah yang perlu menjalani rawatan berpanjangan untuk anak mereka.

    Menurut Azmir Jaafar, Presiden, RMHC Malaysia, “RMHC Malaysia komited mewujudkan impak positif kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia melalui pelbagai program utama yang dilaksanakan. Kerjasama strategik dengan Kelab Lions Antarabangsa mampu memberi manfaat yang lebih baik kepada mereka yang menggunakan kemudahan Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM. Semoga kerjasama ini secara langsung memupuk semangat prihatin rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha badan-badan bukan kerajaan seperti kami.”

    Antara kerja-kerja naik taraf yang dilakukan di Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM sejak dua bulan lalu termasuklah membaiki bumbung dan longkang air hujan serta menambah baik kawasan aktiviti luar. Ini termasuklah memperindah landskap taman permainan kanak-kanak di sini, memperbaharui dan menambah jumlah alat permainannya.

    YB Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia dan Kelab Lions Antarabangsa. Beliau turut menggalakkan agar lebih ramai pihak di luar sana dapat tampil kehadapan melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

    Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM kini berusia 20 tahun sejak dibuka pada tahun 1999 dan merupakan yang pertama di di rantau ASEAN.

    Sehingga kini terdapat dua Rumah Ronald McDonald di Malaysia. Satu lagi Rumah Ronald McDonald terletak di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan. Rumah Ronald McDonald ketiga dijangka dibuka pertengahan tahun ini di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur.

  • Celcom tawar pulangan tunai melalui e-dompet

    Celcom tawar pulangan tunai melalui e-dompet

    CELCOM Axiata Berhad (Celcom) memperkenalkan tawaran inovatif yang membolehkan pengguna pascabayar dan prabayar menikmati pulangan tunai serta penjimatan, sejajar dengan pengumuman terkini Pakej Rangsangan Ekonomi disasarkan untuk menangani kesan ke atas ekonomi akibat wabak Covid-19 di Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, bermula 28 Februari 2020 sehingga 30 Jun 2020, pelanggan prabayar Celcom Xpax akan menikmati pulangan tunai sebanyak 10 peratus apabila mereka membeli tambah nilai Celcom Xpax dan tambah nilai internet RM10 dan ke atas melalui aplikasi Celcom Life.

    Menurutnya, pelan pascabayar Celcom Mega yang baru dilancarkan juga membolehkan pengguna menukar data tidak digunakan pada penghujung kitaran bil kepada pulangan tunai melalui e-dompet Boost dengan kadar 10GB bersamaan pulangan tunai RM5.

    “Pulangan tunai Celcom ini membolehkan pengguna menggunakan wang digital untuk membeli keperluan harian mereka di kesemua kedai digital atau rangkaian runcit yang menawarkan pembayaran melalui e-dompet Boost.

    “Pengguna boleh membeli barangan runcit, membayar bil dalam talian, makanan, minyak dan banyak lagi melalui pulangan tunai Celcom ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Idham berkata, tawaran berkenaan secara tidak langsung menjadikan Celcom sebagai syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan pulangan tunai kepada pengguna.

    Katanya, ia sebagai usaha untuk membantu pengguna mengurangkan kos sara hidup melalui penggunaan wang digital untuk membeli barangan harian menggunakan e-dompet.



    Sumber

  • Saga model Proton paling laris

    Saga model Proton paling laris

    PENGELUAR kereta nasional Proton mencatatkan keputusan kukuh bagi dua bulan berturut-turut pada 2020 dengan jualan meningkat lebih 80 peratus pada Februari berbanding bulan yang sama tahun lalu.

    Syarikat itu meraih 23.8 peratus daripada bahagian pasaran bulan itu, paras tertingginya sejak Ogos 2013.

    Proton dalam kenyataan berkata, sejumlah 9,974 unit kenderaan didaftarkan disumbang oleh Saga (3,934 unit), Persona (2,653 unit) dan X70 (1,973 unit).

    Menurut Proton, Persona mencatatkan jualan hampir dua kali ganda manakala Proton X70 muncul sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular Malaysia bagi bulan kedua berturut-turut apabila pelanggan yang menempah kenderaan itu lebih awal mula menerima 2020 Proton X70.

    “Setakat ini, lebih 7,000 tempahan diterima, membuktikan permintaan terhadap SUV pintar di Malaysia kekal kukuh,” katanya hari ini.

    Saga kekal sebagai model paling laris syarikat itu dengan permintaan mengatasi bekalan manakala Exora terus kukuh dalam pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C.

    “Iriz meningkat ke tempat kedua dalam kategori hatchback segmen B apabila mencatatkan jualan memberangsangkan susulan pelancaran model yang diperbaharui pada 2019,” kata syarikat itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata Februari mencatatkan jualan kukuh bagi syarikat automotif itu meskipun penurunan Jualan Keseluruhan Industri (TIV).

    “Dengan dapat mengekalkan pertumbuhan jualan kami, bahagian pasaran kini berada di kedudukan tertinggi dalam tempoh 77 bulan.

    “Tempahan 2020 bagi Proton X70 juga menggalakkan jadi kami yakin dengan rancangan kami bagi bagi tahun ini,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Tahun ini sangat mencabar bagi Khazanah Nasional

    Tahun ini sangat mencabar bagi Khazanah Nasional

    KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd, dalam tahun penuh pertama di bawah mandat baharu mencatatkan pemulihan bagi prestasi keseluruhan 2019 dengan keuntungan operasi disumbangkan hasil pelupusan lebih tinggi dan susut nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

    Ia merekodkan keuntungan operasi RM7.36 bilion berbanding dengan kerugian operasi RM6.27 bilion pada 2018.

    Hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala susut nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya, menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

    Dana strategik negara itu berkata, ia turut mengumumkan dividen sebanyak RM1.0 bilion bagi 2019 di samping mengukuhkan kedudukan kewangannya hasil daripada perbelanjaan yang dikurangkan sebanyak 28.2 peratus kepada RM484 juta berbanding dengan RM674 juta pada 2018.

    Menurutnya, ini adalah bersamaan dengan 35 mata asas (bps) sebagai peratusan aset berbanding dengan 50bps pada tahun sebelumnya.

    “Prestasi kami pada 2019 dicapai dalam keadaan persekitaran global yang tidak pasti, yang menyaksikan proses Brexit berpanjangan serta perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang kian sengit.

    “Hal ini menjadi lebih mencabar akibat persekitaran pulangan rendah yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan.

    “Walaupun berhadapan cabaran ini, kami berjaya mencatatkan kemajuan yang ketara dalam memenuhi mandat kami untuk membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” kata Pengarah Urusan, Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan yang sama.

    Khazanah berkata, selepas setahun melaksanakan langkah pengimbangan semula portfolionya, ia mula mencatatkan kejayaan awal dalam mempelbagaikan Dana Komersial di bawah mandat baharu dan berada di kedudukan baik untuk terus meningkatkan aktiviti pelaburan pada 2020.

    Dana Strategiknya pula turut mencapai hasil kewangan dan strategik untuk aset-aset tertentu meskipun pasaran lembab pada 2019.

    Khazanah berkata, ia melaksanakan libat urus secara berterusan dengan kerajaan untuk memperkukuh landskap pengawalseliaan, memperbaharui dan memperkuatkan barisan kepimpinan di syarikat-syarikat pelaburannya.

    Selain itu ia turut memulakan inisiatif penstrukturan bagi meningkatkan prestasi kewangan dan merealisasikan nilai, menurutnya.

    Shahril Ridza berkata, dalam melangkah maju, tahun ini adalah tahun yang sangat mencabar memandangkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan ditambah lagi dengan penularan koronavirus (Covid -19).

    “Sungguhpun pakej rangsangan ekonomi yang baru diumumkan kerajaan amat dialu-alukan, kami tetap bersiap sedia untuk menghadapi suatu tempoh kelembapan dalam ekonomi global. Persekitaran yang tidak menentu akan memberi kesan kepada negara dan syarikat

    “Bagaimanapun, kami yakin portfolio dan strategi kami yang pelbagai berada dalam keadaan kukuh, sungguhpun kami sedar kejayaan yang dicapai pada 2019 sukar untuk diulangi,” katanya.

    Khazanah akan terus memberi tumpuan untuk mempelbagaikan lagi Dana Komersil, dan pada masa sama bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan lagi rangka kerja pengawalseliaan yang relevan, merangkumkan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam semua aktiviti pelaburan serta mempromosi inisiatif ciptaan nilai dalam kalangan syarikat pelaburannya. – Bernama



    Sumber