Blog

  • Pengguna bazir 18.92 liter air setiap kali berus gigi

    Pengguna bazir 18.92 liter air setiap kali berus gigi

    RAKYAT Malaysia membazir kira-kira 18.92 liter air apabila membiarkan paip air terbuka setiap kali memberus gigi.

    Hasil kajian yang dijalankan sebelum ini juga menunjukkan secara purata setiap individu di Malaysia menggunakan 210 liter air sehari, jauh melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 165 liter sehari.

    Ketua Pengarah Eksekutif Cuckoo, Hoe Kian Choon berkata, sempena Sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac ini, Cuckoo International melancarkan kembali kempen penjimatan air Just 1 Cup bagi memupuk sikap berjimat-cermat melalui penggunaan secawan air ketika memberus gigi selain mempraktikkan tabiat pengurusan air yang lebih baik.

    “Kami bangga dapat membawa kembali kempen penjimatan air untuk edisi ketiga pada tahun ini. Kami percaya kepentingan mendidik rakyat menghargai air dan mengamalkan tabiat pengurusan lebih baik di rumah.

    “Ini penting apabila akses kepada air berkualiti merupakan satu cabaran bagi sesetengah pihak,” katanya.

    Dimulakan sejak tahun 2018, Kian Choon berkata, dengan sokongan Duta Cuckoo dan artis popular Korea, Rain serta artis terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pihaknya berharap kempen itu dapat mencapai matlamatnya.

    Menurutnya, bagi menunjukkan sokongan dan komitmen kepada kempen, orang ramai dijemput berikrar dalam talian melalui laman mikro kempen di www.cuckoo.com.my/worldwaterday2020.



    Sumber

  • Pandemik Covid-19 beri kesan pasaran getah minggu depan

    Pandemik Covid-19 beri kesan pasaran getah minggu depan

    KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia berkemungkinan meneruskan momentum aliran menurun minggu depan kerana perisytiharan pandemik koronavirus (Covid-19) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis lepas menyebabkan tinjauan negatif untuk pasaran global.

    Menggambarkan situasi semasa sebagai ‘sangat tidak menentu’, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata, dalam keadaan yang sentiasa berubah, sememangnya sudah dijangka bahawa permintaan komoditi dan harga komoditi akan terjejas teruk.

    “Pasaran getah tempatan dijangka kekal lemah dalam minggu yang akan datang dan ia mungkin menjadi lebih rendah,” katanya.

    Sepanjang minggu lalu, pasaran getah Malaysia didagangkan bercampur-campur ke tahap rendah ditambah dengan tekanan harga minyak mentah yang menjunam jatuh dan kebimbangan Covid-19 yang semakin meningkat berikutan perisytiharan pandemik WHO.

    Isnin lepas, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (MRB) bagi gred tayar SMR 20 turun kepada 515.50 sen sekilogram, paras terendah sejak Disember 2018 selepas harga minyak mentah dunia jatuh sebanyak serendah 30 peratus berikutan perang harga dicetuskan oleh Arab Saudi terhadap Rusia.

    Denis berkata, pengeluar getah harus bersiap sedia untuk menghadapi keadaan yang paling teruk.

    “Bagaimanapun, penyelamat dalam keadaan ini ialah lateks pukal yang akan melihat beberapa permintaan disebabkan peningkatan permintaan untuk sarung tangan getah perubatan dalam persekitaran Covid-19 yang melanda di seluruh dunia,” katanya.

    Dari asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 susut 10.0 sen kepada 527.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot 11.5 sen kepada 437.0 sen sekilogram.

    Pada jam 5 petang, harga rujukan fizikal LGM bagi SMR 20 menokok 2.5 sen kepada 539.0 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot 12.5 sen kepada 435.5 sen sekilogram pada minggu sebelumnya. – Bernama



    Sumber

  • Anak Pekebun Kecil RISDA catat keputusan cemerlang SPM

    Anak Pekebun Kecil RISDA catat keputusan cemerlang SPM

    KUALA LUMPUR – “Kejayaan ini adalah hasil usaha dan doa saya selama ini.” itu luahan anak salah seorang usahawan pekebun kecil bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Muhammad Helmi Rozain, 18, yang berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 baru-baru ini.

    Muhammad Helmi yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu berjaya mendapat keputusan 9A dalam SPM dan turut menjadi antara calon cemerlang sekolah itu.

    Katanya, dia berasa amat bersyukur apabila dapat menghadiahkan kejayaan diperolehinya itu kepada ibu bapanya yang telah banyak berkorban selama ini.

    “Saya gembira apabila lihat ibu dan ayah gembira sewaktu saya naik ke pentas bagi menerima keputusan cemerlang ini. Ini merupakan hasil titik peluh usaha serta doa saya yang tidak putus-putus sebelum ini,” katanya.

    Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Muhammad Helmi berkata, dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains komputer berikutan permintaan dalam bidang itu semakin kini meningkat.

    Katanya, perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) juga dijangka akan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang besar dalam bidang berkenaan.

    “Saya berharap agar dapat meneruskan kecemerlangan yang diperoleh ini walau di mana saya berada selepas ini,” katanya.

    Sementara itu, ibunya, Zariah Ibrahim, 41, berkata, dia amat bersyukur di atas kejayaan yang diperolehi anaknya itu.

    Katanya, dia berharap kejayaan Helmi itu dapat menjadi pembakar semangat buat tiga anaknya yang lain.

    “Kami dulu orang susah, berniaga guna modal sendiri dan lepas RISDA bantu, barulah kami dapat tingkatkan taraf kehidupan kami.

    “Sebab itu saya amat bersyukur dengan keputusan yang diperolehi Helmi kerana ia dapat menjadi pembakar semangat buat adiknya yang lain untuk berjaya lepas ini,” katanya.

    Norlina (kanan) bersyukur anaknya, Nur Adlynn Adryana (kiri) menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM bari ini.

    Norlina (kanan) bersyukur anaknya, Nur Adlynn Adryana (kiri) menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM bari ini.

    Sementara itu, seorang lagi pekebun kecil bimbingan RISDA di Melaka, Norlina Zuber, 61, turut memanjatkan kesyukuran apabila anaknya bongsunya, Nur Adlynn Adryana Abu Husin, 18, meraih keputusan 8A dalam SPM baru-baru ini.

    Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, kehidupan mereka sekeluarga suatu ketika dahulu amat susah dan disebabkan itu dia sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk mengutamakan pelajaran.

    “Alhamdulillah, berkat usaha mereka, semua anak-anak saya boleh dikatakan berjaya meraih keputusan cemerlang dalam SPM sebelum ini,” katanya.

    Mengimbau kembali saat kesukaran hidup pernah dihadapinya, Norlina berkata, sebelum menjadi usahawan bimbingan RISDA, dia bekerja dalam sektor perbankan.

    “Gaji ketika itu tidaklah begitu besar dan saya terpaksa berhenti kerja untuk cuba meraih pendapatan lebih dalam bidang perniagaan pula,” katanya.

    Sejak itu, Norlina berkata, dia banyak mendapat bimbingan daripada RISDA untuk menjadi usahawan.

    “Selepas itu kehidupan kami sekeluarga semakin meningkat dan saya sentiasa ingatkan anak-anak untuk ambil iktibar serta mengutamakan pelajaran dalam kehidupan mereka,” katanya.



    Sumber

  • Malakat Mall mula operasi hari ini

    Malakat Mall mula operasi hari ini

    CYBERJAYA – Kompleks membeli-belah berkonsepkan Muslim pertama di Malaysia, Malakat Mall menempa sejarah tersendiri apabila mula beroperasi hari ini selepas hampir enam bulan membuat persiapan.

    Pusat membeli-belah yang mengumpulkan usahawan Muslim itu merupakan satu usaha strategik bagi membantu meningkatkan ekonomi usahawan Muslim.

    Terletak di bandar teknologi Cyberjaya, Malakat Mall seluas lebih 13006.43 meter persegi dan terdiri daripada tiga blok bangunan empat tingkat menyasarkan lebih 15,000 pelanggan dalam tempoh sebulan pertama.

    Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, pusat membeli-belah itu antara usaha mengubah sistem ekonomi kapitalis kepada sistem Islam yang lebih adil dan bebas riba.

    Konsep yang menjadikan Malakat Mall ini lebih daripada mall-mall biasa ialah konsep '7 minit Solat Break' di mana peniaga dan pengunjung juga bebas untuk bersolat di mana-mana sahaja di dalam kawasan Mall.

    Konsep yang menjadikan Malakat Mall ini lebih daripada mall-mall biasa ialah konsep ‘7 minit Solat Break’ di mana peniaga dan pengunjung juga bebas untuk bersolat di mana-mana sahaja di dalam kawasan Mall.

    “Malakat Mall adalah milik kita semua, milik pengguna Islam kerana setiap perbelanjaan akan di pulangkan kembali kepada pengguna melalui pemberian dividen,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Majlis Pembukaan Malakat Mall di Cyberjaya hari ini.

    Beliau berkata, selain dividen sebanyak 10 peratus dana juga akan diagihkan ke Save The Ummah Fund untuk projek transformasi golongan kurang berkemampuan.

    Menurutnya langkah berkenaan juga menjadi platform untuk membantu usahawan bumiputera mengetengahkan produk mereka.

    “Pelanggan boleh mendapatkan produk yang sangat berkualiti di Malakat Mall ini. Kami berharap pengguna akan menyokong dan berkunjung untuk membeli-belah bagi membantu lebih ramai lagi usahawan bumiputera,” katanya.

    Pelanggan boleh mendapatkan produk-produk yang sangat berkualiti di dalam Malakat Mall ini.

    Pelanggan boleh mendapatkan produk-produk yang sangat berkualiti di dalam Malakat Mall ini.

    Katanya, antara tumpuan utama di Malakat Mall ialah Raudhah Grocer, sebuah hypermart yang menghimpunkan ribuan produk keluaran Muslim yang sangat berkualiti dan setanding jenama antarabangsa.

    Jenama lain ialah Tahan Sports, Jojo Shoes, Petak, Conteng, Eebu, C&E, 2358 Fashion, Himawari, Togomen Homme, DIY Malaya dan Iqra Read Bookstore.

    Malakat Mall merupakan satu-satunya pusat beli-belah di negara ini yang mempraktikkan amalan patuh syariah dan menghidupkan syariat Islam seperti laungan azan, solat berjemaah dan solat Jumaat.

    Antara keistimewaan Malakat Mall ialah konsep ‘7 minit Solat Break’ iaitu peniaga dan pengunjung bebas bersolat di semua kawasan di pusat membeli-belah itu.



    Sumber

  • KSSB kukuh hubungan antara rakan niaga

    KSSB kukuh hubungan antara rakan niaga

    BAGI memastikan segala informasi dapat disampaikan secara terus dan berkesan, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menganjurkan Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal di sini baru-baru ini.

    Program itu disertai sebanyak 67 syarikat yang menjalankan kerja cari gali di sungai dan pasir di beberapa kawasan di negeri ini.

    Ketua Jabatan Kontrak dan Pemerolehan KSSB, Mohd Hisham Mohd Ghaus berkata, program itu diadakan untuk menyalurkan informasi terkini mengenai syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi rakan-rakan niaga KSSB.

    “Ini merupakan townhall keempat diadakan. Menerusi program sebegini, kita dapat menguatkan hubungan dengan rakan niaga KSSB.

    “Matlamat yang paling utama adalah mendapatkan hasil yang terbaik kepada negeri Selangor secara amnya,” katanya selepas Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini pada 3 Mac lalu.

    Penting bagi syarikat untuk memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan di tapak terlibat selari dengan kehendak dan syarat Jabatan Teknikal.

    Mohd Hisham

    Mohd Hisham

    Ketua Bahagian Operasi KSSB, Jafrikhairi Mhd Idris berkata, penerangan secara terperinci diberikan kepada syarikat terlibat mengenai kepentingan mematuhi syarat yang ditetapkan semasa kerja dijalankan.

    “Kita memberikan penerangan mengenai aspek yang perlu dipatuhi sebagaimana ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

    “Misalnya, dalam soal perlombongan, selalunya perlombongan sering dikaitkan dengan kesan yang besar kepada alam sekitar, namun kita berikan penerangan bagi memastikan proses perlombongan ini memberikan kesan minimum,” katanya.

    Syarikat perlu mematuhi permit yang dikeluarkan terutamanya dalam soal mengawal kelestarian sungai bagi mengelakkan sungai rosak.

    Ketua Bahagian Kualiti Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran KSSB, Mohamad Fadzil Yahya berkata, penerangan terhadap aspek penjagaan sungai turut diberikan kepada syarikat-syarikat terlibat.

    “Kepentingan pematuhan permit diberikan perhatian dalam memastikan sungai terutamanya, sentiasa dalam keadaan baik di samping penjagaan kualiti airnya.

    “KSSB juga sentiasa bekerjasama dengan syarikat terlibat, misalnya ketika penggalian dijalankan dengan lancar bagi memastikan sumber air tidak tercemar,” katanya.

    Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal berlangsung di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam.

    Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal berlangsung di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam.

    KSSB ditubuhkan pada tahun 2008 oleh kerajaan Selangor yang berperanan untuk mengurus serta memantau pengeksplorasian, pengekstrakan, pengeluaran dan penjualan pasir secara profesional di negeri ini.

    Sejak penubuhannya, KSSB memainkan peranan yang baik untuk menjadi sebagai pusat sehenti kepada pengusaha pengurusan pasir di negeri ini bagi membantu mereka dalam kelulusan permit dan urusan melibatkan Jabatan Teknikal.

    Dalam memastikan KSSB menjadi peneraju utama perlombongan dan pembangunan sumber bahan batuan dan mineral, pelbagai perancangan dan penambahbaikan diatur oleh pihak pengurusan untuk memastikan setiap kakitangan kekal proaktif bagi membawa misi serta visi syarikat.



    Sumber

  • Pakej, hadiah menarik menanti pengunjung Malaysia Travel Fair

    Pakej, hadiah menarik menanti pengunjung Malaysia Travel Fair

    PELBAGAI pakej percutian menarik ditawarkan kepada pengunjung Malaysia Travel Fair vang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) di sini bermula hari ini sehingga 15 Mac depan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Travel Fair, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, seramai 100,000 orang dijangka mengunjungi ekspo pelancongan terbesar yang berlangsung selama tiga hari itu.

    “Kami telah menerima banyak sumbangan hadiah untuk diberikan kepada pengunjung bertuah,” katanya pada sidang media di sini semalam.

    Beliau berkata, antara penaja yang menjayakan Malaysia Travel Fair ialah Palace of The Golden Horses, Air Arabia, Malindo Air, Telekom Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Hop On Hop Off, McDonalds, Royal Chulan Seremban dan Kopi Hang Tuah.

    Katanya, Housecoff Travel & Tours, Barakah Umhaj Travel & Tours, Kurma Travel & Tours, Gemala Travel & Tours dan D’Wharf Hotel juga merupakan penaja hadiah untuk ekspo kali ini.

    Dalam pada itu katanya, #MalaysiaIsSafe yang diuar-uarkan oleh Malaysia Travel Fair sebagai negara yang selamat untuk dikunjungi akan menyediakan thermal scanner bagi menyaring pengunjung.

    “Di samping itu, World Trade Centre, Kuala Lumpur akan memastikan keadaan sepanjang Malaysia Travel Fair ini terjaga dengan menyediakan sanitizer sekitar tapak pameran.

    “Jadi para pengunjung tidak perlu gusar atau berasa was-was untuk mengunjungi Malaysia Travel Fair,” katanya.

    Sementara itu Mohd Khalid berkata, DITOFA sebuah platform pintar yang direka khusus untuk membantu pemain industri pelancongan mempromosi dan menjual semua produk pelancongan di atas satu platform juga akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Travel Fair.



    Sumber

  • Nikmat hidup lebih ceria

    Nikmat hidup lebih ceria

    MALAYSIA pernah menduduki tangga ke-35 dalam senarai negara paling bahagia di dunia berdasarkan kajian World Happiness Report 2018 yang dijalankan oleh United Nations Sustainable Development Network (SDSN).

    Indeks Kebahagiaan Dunia ini dibuat berdasarkan penilaian tahunan ke atas lebih 150 negara bagi menentukan negara mana ‘paling bahagia’. Hari Kebahagiaan Sedunia dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2013 dan disambut setiap 20 Mac bagi mewujudkan kesejahteraan dan keamanan dalam kalangan masyarakat.

    Namun, kedudukan Malaysia pada 2019 dilaporkan menjunam 45 anak tangga kepada kedudukan ke-80, jauh ketinggalan di belakang negara seperti Tenggara Singapura dan Thailand. Apakah ini menggambarkan rakyat negara ini tidak bahagia?

    Sejak akhir-akhir ini isu berkaitan kaum dan agama sering diperkatakan. Pelbagai pihak berpendapat, isu perkauman dan sensitiviti agama boleh menggugat perpaduan rakyat, mencetuskan huru-hara, menimbulkan konflik.

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah mengingatkan rakyat supaya terus mengekalkan perpaduan dan semangat muhibah. Seluruh rakyat Malaysia di semua peringkat tanpa mengira kaum, bangsa, warna kulit mahupun usia, bertanggungjawab untuk berusaha mengembalikan keharmonian dan keceriaan agar sentiasa terjalin.

    Jenayah sosial jejas keharmonian

    Jenayah boleh berlaku dari pelbagai sudut dan punca termasuk provokasi. Hari ini, kemudahan media sosial telah disalahgunakan dan dijadikan tempat untuk pelbagai pihak melahirkan rasa tidak puas hati, marah, dendam dan mengugut hingga mendorong kepada perbuatan jenayah.

    Apakah faktor-faktor yang mendorong kepada perlakuan jenayah? Kajian oleh Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia berkaitan kaji jenayah (Criminology) menyebut, faktor yang boleh membawa kepada jenayah berkait rapat dengan:

    Faktor Ekonomi:

    Kemiskinan dan kepapaan, pengangguran, kekurangan wang dan pendapatan, kenaikan harga barang-barang, tekanan inflasi, persekitaran ekonomi sekeliling, iklan, propaganda dan lain-lain lagi.

    Faktor Sosial:

    Masalah asuhan, pendidikan yang tidak berkesan, latar belakang keluarga, pengaruh persekitaran/masyarakat, kepadatan penduduk, kawasan perumahan (setinggan) dan lain-lain lagi. Faktor psikologi: Berkait dengan nafsu yang tidak dapat dikawal, cuba meniru apa orang lain buat, penemuan jalan buntu, terdesak, tertekan, tiada jalan lain kecuali, ingin memiliki sesuatu, sengaja ingin mencuba dan lain-lain lagi.

    Ekonomi stabil hidup harmoni

    Masalah kewangan mampu menjadi virus yang boleh mencetuskan pelbagai masalah lebih besar iaitu masalah sosial dan psikologi. Pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan, ramai yang bukan hanya dibelenggu masalah kewangan dengan pihak bank tetapi turut terjerumus dalam perangkap ah long.

    Kajian itu turut mendapati tiga punca utama masalah kewangan adalah disebabkan cara hidup mewah melebihi kemampuan, kegagalan dalam pelaburan serta perniagaan dan perkara di luar kawalan seperti kecederaan fizikal sehingga kehilangan sumber pendapatan.

    Ubah gaya hidup dan bangun untuk tampil menjadi seorang yang baharu. Individu yang berada dalam krisis kewangan akan membina stres. Stres membuka jalan kepada masalah hubungan dengan pasangan, anak-anak, ahli keluarga, jiran tetangga dan komuniti setempat.

    Fokus: Jadi diri sendiri

    Ukur baju di badan sendiri. Pepatah ini boleh dijadikan inspirasi untuk melihat prestasi ekonomi anda dari semasa ke semasa sebelum terpengaruh dengan gaya hidup dan kemewahan orang lain.

    Sasaran: Matlamat kehidupan

    Bayangkan apa akan jadi 5 tahun atau 10 tahun akan datang, bagaimana diri anda ketika itu? Senaraikan matlamat kehidupan yang realistik dan seimbang dari segi ekonomi, pendidikan, keperluan semasa dan masa depan.

    Wang: Berbelanja jika perlu

    Manusia sering mengharapkan kesempurnaan. Inginkan pakaian baharu setiap hari, rumah yang besar bak mahligai, kereta yang menjalar mewah. Lihat semula, senaraikan satu persatu, adakah ia benarbenar perlu dan mampu dimiliki?

    Hutang: Jangan melebihi had

    Tidak ada manusia yang tidak berhutang, tetapi berhutanglah untuk perkara yang utama sahaja. Hutang sepatutnya tidak melebihi daripada 50% wang pendapatan. Separuh daripada baki gaji diperlukan untuk simpanan dan keperluan semasa.

    Pekerjaan

    Untuk memastikan Malaysia kekal makmur, ia memerlukan pendekatan baharu ke arah memanfaatkan segala sumber modal insan yang kita miliki termasuk bakat tersembunyi demi masa depan yang terjamin.

    Pada masa kini, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ melalui usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi.

    Inisiatif “Kolar Baru” diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai TVET.

    Pekerjaan kritikal (COL) merupakan rujukan berasaskan bukti bagi pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja dalam pasaran buruh Malaysia. Ketahui lebih lanjut mengenai COL dan pekerjaan yang dikehendaki Malaysia di www.talentcorp.com.my/col atau www. ilmia.gov.my/index.php/en/component/zoo/item/critical-occupationslistreport-2018-2019

    Kesihatan:

    Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka. Pada tahun 2020, skim ini juga telah diperluas kepada individu berkategori M40 iaitu mereka yang mempunyai pendapatan kasar tahunan di bawah RM100,000.00.

    Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pula adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Jaminan kerajaan demi masa depan hidup rakyat

    Tempat perlindungan:

    – PR1MA untuk rakyat berpendapatan RM2,500 – RM15,000.

    – Skim Rumah Pertamaku untuk golongan pekerja swasta yang bergaji RM5,000 ke bawah.

    – Perumahan Penjawat Awam Malaysia untuk penjawat awam termasuk anak pesara kerajaan.

    – Skim Rumah Selangorku masih ditawarkan untuk rakyat Selangor.

    – Rumah Mesra Rakyat tawar bayaran bulanan serendah RM270 sebulan.

    – Rumah Wilayah Persekutuan skim rumah mampu milik khas untuk warga Wilayah Persekutuan.

    – PR1MA Rent to Own program Sewa Milik kediaman selama 10 tahun bagi yang gagal kelulusan pinjaman bank panel PR1MA.

    – BSN MyHome untuk golongan bekerja sendiri atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

    – Program Perumahan Rakyat untuk penempatan semula setinggan dan golongan berpendapatan rendah.

    – Perumahan Transit Belia menyediakan kadar sewa 30% lebih rendah daripada harga pasaran.

    – Perumahan Awam DBKL layak untuk yang berpendapatan RM4,000 sebulan ke bawah.

    – Skim Bantuan Sewa Rumah oleh DBKL bantu golongan miskin yang tidak mampu membayar sewa rumah dan tunggakan.

    Pendidikan:

    – Komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia sangat tinggi. Hasilnya, sistem pendidikan mengalami perkembangan pesat sejak 50 tahun lalu. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai kejayaan berjaya diukir.

    Antara Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 menawarkan:

    – Kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

    – Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.

    – Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.

    – Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

    – Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

    – Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.



    Sumber

  • Jualan Gudang Buku@The Starling

    Jualan Gudang Buku@The Starling

    PETALING JAYA – Popular Malaysia akan mengadakan Jualan Gudang [email protected] Starling selama 10 hari bermula esok hingga 22 Mac depan.

    Popular Malaysia dalam kenyataannya berkata, jualan penghabisan stok itu menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi jualan buku genre Bahasa Inggeris, Melayu dan Cina selain alat tulis, cakera padat, cakera video digital, gajet dan produk IT.

    “Orang ramai turut berpeluang mendapatkan buku Bahasa Inggeris serendah RM10 untuk lima buku dan RM3 setiap satu bagi sepuluh buku terpilih.

    “Buku Bahasa Cina dijual serendah RM3 selain rebat sehingga 70 peratus bagi pembelian tiga buku terpilih,” katanya.

    Menurutnya, pemegang kad Popular turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 90 peratus bagi pembelian alat tulis dan produk IT.

    “Bagi pembelian RM50 dan ke atas, orang ramai bakal mendapat baucar bernilai lebih RM100 termasuk RM5 yang boleh digunakan di cawangan Popular bagi pembelian RM40 bagi setiap resit.

    “Bagi pembelian RM150 dan ke atas pula pelanggan akan membawa pulang cawan edisi terhad Popular.

    “Pembelian purchase with purchase (PWP) bernilai RM60 melayakkan pelanggan menerima pendrive 32GB.

    “Pelanggan yang membuat pendaftaran atau memperbaharui kad eksklusif atau e-kad Popular ditawarkan cenderamata berupa beg lunch box dan buku nota,” katanya.

    Tambahnya, pertandingan mewarna bagi dua kategori iaitu 5 hingga 8 tahun dan 9 hingga 12 tahun turut diadakan.

    “Pihak kami juga mengadakan kempen amal ‘New Book, New Joy’ yang hasil pembeliannya akan disumbangkan ke sekolah luar bandar,” katanya.

    Untuk maklumat lanjut, layari www.popular.com.my atau Facebook rasmi Popular Malaysia.



    Sumber

  • Bursa Malaysia rendah akibat kebimbangan pada wabak

    Bursa Malaysia rendah akibat kebimbangan pada wabak

    BURSA Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini, seiring dengan prestasi bursa serantau dalam keadaan kebimbangan tidak menentu terhadap penularan koronavirus (Covid-19), yang kini telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Indeks Nikkei Jepun turun 4.65 peratus kepada 18,513.02; Indeks Hang Seng Hong Kong susut 3.81 peratus kepada 24,269.06; Indeks Kospi Korea Selatan kurang 4.75 peratus kepada 1,817.60 dan Indeks Straits Times Singapura merosot 3.89 peratus kepada 2,675.39.

    Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 20.06 mata atau 1.38 peratus kepada 1,423.77 daripada 1,443.83 ketika ditutup pada Rabu.

    FBM KLCI dibuka 12.42 mata lebih rendah pada 1,431.41 dan bergerak di antara 1,423.02 dengan 1,432.70 sepanjang dagangan pagi.

    Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 887 berbanding 134, manakala 173 kaunter tidak berubah, 822 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 2.21 bilion saham bernilai RM1.42 bilion.

    Sentimen pasaran turut suram, dengan FBM Small Cap, Kewangan, FBM ACE, Tenaga dan Perladangan masing-masing mencatatkan penurunan, namun Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 11.60 mata kepada 1,359.59.

    Malacca Securities Sdn Bhd berkata dalam keadaan ketidaktentuan pasaran yang wujud semula, pembuat sarung tangan getah dijangka meneruskan trajektori meningkat masing-masing.

    Hartalega dan Top Glove masing-masing meningkat 16 sen dan 39 sen kepada RM6.64 dan RM6.67.

    Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, industri sarung tangan getah telah menambah kapasiti pengeluaran mereka sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

    “Ini akan termasuk automasi dalam proses pengeluaran yang akan mempercepatkan tahap pengeluaran mereka. Saya yakin wujud lonjakan permintaan terhadap produk mereka sekarang ini. Justeru, mereka akan mampu memenuhi permintaan dan mendorong pertumbuhan perolehan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata, instrumen selamat seperti bon atau sukuk akan menjadi pelaburan yang amat menarik walaupun hasilnya rendah.

    “Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah pengekalan modal atau prinsip pelaburan. Jadi, kita akan terus menyaksikan perubahan permintaan daripada aset berisiko seperti ekuiti kepada bon atau sukuk,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada indeks tempatan akan turun kepada paras 1,300, yang pernah dicatatkan pada 2010, sekiranya Covid-19 terus menular, beliau berkata, ia satu kemungkinan.

    “Bagaimanapun, kita melihat jumlah kes yang pulih di peringkat global sebanyak 66,251, iaitu kadar pemulihan kira-kira 55 peratus daripada kes positif 120,772 orang, jadi diharapkan wujud juga peluang belian, khususnya bagi mereka yang mempunyai batasan pelaburan jangka panjang,” katanya.

    Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun 10 sen kepada RM8.29, TNB susut 22 sen kepada RM12.40, Public Bank kurang 32 sen kepada RM16.48 manakala IHH Healthcare menguncup tiga sen pada RM5.56.

    Bagi saham aktif, Bumi Armada turun satu sen kepada 17 sen, Jaks Resources susut 13 sen kepada 92 sen dan Hibiscus Petroleum kurang 2.5 sen kepada 41 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 182.12 mata kepada 9,898.26, Indeks FBM Emas Syariah turun 158.31 mata kepada 10,560.20 dan FBM 70 merosot 311.79 mata kepada 11,761.19.

    Indeks FBMT 100 menguncup 164.94 mata kepada 9,780.02 dan FBM Ace turun 234.09 mata kepada 4,490.43.

    Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.08 mata kepada 120.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 303.27 mata kepada 13,610.19 dan Indeks Perladangan susut 109.46 mata kepada 6,284.12.-Bernama



    Sumber

  • Branded Handbags & Kitchenware by Rafidah

    Branded Handbags & Kitchenware by Rafidah

    Ramai orang bercita-cita bergaya untuk memakai barangan original dan berjenama. Namun terpulang pada individu itu untuk memilih gred original atau palsu,  Semua bergantung kepada cita rasa dan bajet. SellectionByRafidah memberi peluang kepada pelanggan untuk memiliki barangan berjenama dengan harga mampu milik. Barangan yang dijual SellectionByRafidah  seperti beg tangan, jam, dompet, set pinggan mangkuk, dan juga alat kosmetik

    SellectionByRafidah menjual produk berjenama yang tulen dari negara Amerika Syarikat dan Kanada seperti Coach, Kate Spade, Fossil, MK, Pyrex, Corningware, Corelle, dan banyak lagi. SellectionByRafidah juga menerima tempahan barangan berjenama Eropah seperti Prada, Furla, Louis Vuitton, Givenchy, Longchamp, Gucci, dan Ysl. SellectionByRafidah  menyediaka pelbagai jenis koleksi barangan, kualiti terjamin, harga pun berbaloi dan memberi servis terbaik kepada para pelanggan mereka.

    SHAH ALAM, 7 Mac 2020 – KEJAYAAN tidak akan datang bergolek. Pastinya juga kesusahan, cabaran dan pergelutan masa lampau yang dilalui menjadi pengalaman terbaik untuk keindahan serta nikmat bahagia yang dikecapi kala ini. Wanita bernama Nor Rafidah Khairuddin yang baru menyambut ulang tahun ke-31 tahun pada 26 Februari lalu juga berdepan liku hidup penuh kegetiran sebelum mencipta jaya. Cerita anak bongsu tujuh beradik dari Ipoh, Perak yang kini menjadi pengasas Sellection sebenarnya cukup menginsiprasikan. Keputusan berhijrah mengikut suami tercinta, Abdul Hadi Wisman, 34, yang kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Sellection pada tahun 2014 ke Montreal, Kanada sebenarnya menyorot satu perjalanan pahit yang berakhir dengan kemanisan.

    Merupakan Graduan Sains Politik pada tahun 2012 di Universiti Sains Malaysia dan mempunyai status Penduduk Tetap di Kanada itu sebenarnya mencuba nasib mencari rezeki dengan pelbagai kerja. Bagaimanapun kisah menjual mufin pisang cukup menarik perhatian kerana ia sebenarnya menjadi asbab dan pembuka jalan untuknya menjadi personal shopper sejak tahun 2015. “Berbanding suami yang senang mendapat kerja kerana sudah lama menetap di Kanada, saya sebenarnya bergelut pada awal penghijrahan. Pernah dalam satu ketika saya membuat empat kerja dalam satu masa. Termasuklah menjadi pembantu hotel, mengemas hotel (housekeeping)  dan pembantu dapur.  Dalam sehari saya pernah dapat hanya 10 dolar saja sebelum saya mendapat pekerjaan tetap sebagai Software Tester di sebuah syarikat di Montreal.

    “Akibat terasa susah dan rasa kesempitan hidup, saya bertekad untuk melakukan kerja lain yang boleh mendatangkan tambahan pendapatan. Jadi tercetuslah idea menjual mufin pisang di kafe sekitar Montreal pada tahun 2015. Cerita menjual mufin pisang ini tak pernah saya kongsi dengan pengikut dan peminat. Mungkin ada yang fikir tinggal di luar negara itu menyeronokkan dan sangat senang. Dalam seronok sebenarnya ada terpalit cerita sebaliknya,” katanya membuka bicara pada majlis Sellection Dinner and Appreciation Night pada 7 Mac di Black Pearl Event Space, Shah Alam.

    Mengimbas kembali momen memulakan perniagaan menjual mufin pisang itu, Rafidah mengakui ia bukan satu perkara mudah.“Saya reka resipi mufin pisang dengan menggunakan tepung bebas gluten. Gigih juga saya berjalan dari satu kafe ke kafe di Montreal untuk mempromosikan mufin pisang itu dengan mengedarkan brosur. Ada yang geli nak mencuba mufin saya. Tak kurang juga yang tak pandang langsung saya. Ada juga yang memandang pelik dan skeptikal kerana saya bertudung.“Saya sudah terbiasa menerima penolakan. Saya tetap kuat dan sabar. Dalam hati saya cukup optimis kerana rasa mufin ini sangat sedap & kandungannya menyihatkan.

    “Ingat lagi ketika tak ada kereta, saya terpaksa membawa pisang sebanyak 20 kilogram yang dibeli dengan menaiki bas untuk dibawa ke rumah.Ada ketika saya harus dalam keadaan cuaca sangat sejuk, saya redah sahaja. Saya sorong pisang itu dengan menggunakan shopping cart. Rumahlah jadi tempat saya beroperasi membuat mufin pisang. Apabila hidup ini ada pengharapan dan semangat positif, automatik diri ini jadi sangat kuat. Tanpa diduga mufin saya mulai diterima ramai.“Dari satu kafe, akhirnya saya berjaya menyediakan mufin pisang ini untuk sembilan buah kafe di sekitar Montreal,” Rafidah berkatahal ini ketika mengenang kembali momen berkenaan.

    Hasil jualan mufin pisang yang dijual cukup membanggakan menjadi ruang terbaik untuk saya memanjakan diri dengan membeli apa yang diingini. Saya mula pergi ke Shopping Outlet hingga terlintas pula ruang untuk meneroka perniagaan sebagai Personal Shopper.

    “Jualan mufin ini boleh saya katakan sebagai asbab hingga saya mencuba nasib pula sebagai personal shopper dengan lebih serius.  Peluang ke pelbagai outlet meneroka macam jenis barangan berjenama mencetuskan idea baru untuk saya berjinak jinak dalam dunia “online shopping”.Apabila percubaan saya menjadi personal shopper semakin berjaya dan berkembang, perniagaan mufin pisang pula terpaksa dikorbankan.

    “Apabila saya kerap pulang ke Malaysia atas urusan perniagaan, kekangan masa dan komitmen untuk fokus dalam bisnes mufin pisang terganggu.

    Selama dua tahun bisnes mufin pisang beroperasi dan pada tahun 2017 saya dan suami juga membuat keputusan untuk kembali ke tanah air bagi memberikan tumpuan penuh kepada business online shopping dan legasi Sellection,” menurut beliau.

    Pada asalnya Rafidah menjadikan medium Facebook Page sebagai ruang melebarkan perniagaan sebagai personal shopper yang diberi nama Branded Handbags & Kitchenware by Rafidah dengan pengikut seramai 89 ribu. Hingga hari ini, Sellection kian menempa nama di media sosial seperti di Instagram (@sellectioncom), youtube channel (youtube.sellection.com) selain laman sesawang, www.sellection.com

    Seterusnya pada tahun 2018, butik pertama Sellection dibuka beralamat di Ground Floor, 10, Jalan Wangsa Setia 4, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    “Ikutkan sejak tahun 2015 lagi saya sempat menyelit minat sebagai Personal Shopper. Saya suka sangat handbag dan saya ingin orang Malaysia pakai barangan berjenama ini.

    Saya banyak kongsikan video demo tentang handbag, artikel fesyen yang bermanfaat kepada semua pengikut. Lama-kelamaan pengikut saya juga mula bertambah. Tahun demi tahun saya mendapat banyak tempahan melalui sistem pre order yang saya tawarkan. Pengikut dan pelanggan juga terus bertambah dari masa ke semasa. Mereka juga boleh melihat katalog barangan yang dijual di halaman Facebook dan lama sesawang rasmi. Saya bina kepercayaan sedikit demi sedikit dengan memberikan servis perkhidmatan pelanggan terbaik dan nilai manfaat kepada para pembeli. Sebenarnya bukan mudah untuk orang luar percaya bisnes sebegini apatah lagi atas talian.Namun saya berjaya menawan hati mereka hinggalah wujud butik pertama Sellection di Wangsa Melawati,”

    Matlamat utama Sellection ialah memberi peluang kepada rakyat Malaysia memiliki barang berjenama dan berkualiti dengan harga mampu milik. “Yang pasti semua produk jenama mewah saya original dan baru. Ia dibeli terus di outlet di Amerika Syarikat, Kanada dan Benua Eropah. Saya sendiri menggemari barangan mewah. Saya pasti ramai juga merasai keinginan sama. Tidak hanya golongan wanita, lelaki pun mempunyai minat sama. “Ada yang nak bergaya dengan barangan mewah namun mahu berjimat. Daripada situlah saya lihat ruang menjadi personal shopper itu terbuka luas. Harga yang dibeli di outlet lebih murah daripada yang dijual di butik. Pada masa sama ia juga up to date dan harga mampu milik,”menurut kata Rafidah. Bermula dengan perniagaan personal shopper, Sellection sudah berkembang menjadi sebuah jenama tempatan yang menyediakan barangan fesyen yang hanya berkualiti, berjenama dan mewah pada harga mampu milik. Kini, Sellection secara rasminya menaik taraf sebagai “Online Premium Outlet” yang pertama di Malaysia.

    Ketika ini juga Rafidah berkata pihak Sellection turut mahu membuka peluang niaga kepada masyarakat di luar sana untuk menjana pendapatan “Kami mahu sama-sama mengajak orang di luar sana menjana pendapatan dan meluaskan peluang niaga bersama Sellection. Kami juga mengalu-alukan mereka yang ingin menjadi rakan perniagaan atau Reseller yang mahu bekerjasama dan mengambil bahagian besar dalam perjalanan Sellection yang akan terus maju,”

    Di akhir bicara, Rafidah berkata pihak Sellection turut memperkenalkan tanda pagar Sisters di Malaysia sebagai rangkaian terbaik mendekatkan mereka dengan pengikut dan pelanggan. “Mereka umpama rakan alam maya yang jauh di mata, namun dekat di hati. Yang tak kenal rapat sekalipun kami amat terbuka menjalinkan hubungan baik. Misi Sellection ialah memberikan pelanggan pengalaman istimewa apabila membeli belah dengan Sellection seolah-olah mereka membeli barangan mewah itu terus di butik atau outlet jenama terkenal itu sendiri,”beliau menambah. Sesungguhnya di sebalik kepahitan dan kemanisan yang dilalui, Rafidah dan suami juga akur perkahwinan mereka sejak 12 Oktober 2013 juga belum menyebelahi mereka dalam soal menimang cahaya mata.

    “Kami percaya dan akur belum rezeki lagi kehidupan dan kenikmatan yang diraih ketika ini masih belum dikurniakan anak. Cuma saya dan suami anggap belum masa untuk kami beroleh kemanisan bergelar ibu bapa.  Malah kami anggap rezeki itu diberikan Tuhan dalam bentuk lain termasuklah rezeki dalam perniagaan dan berkongsi kenikmatan itu dengan orang lain. “Bukan tidak berusaha dalam soal mendapatkan anak, cuma kami anggap tempoh berdua ini juga ruang terbaik untuk terus berjuang memastikan jenama Sellection berkembang pesat dan dikenali seantero dunia. Insya-Allah. “Sedih itu hal biasa yang sesekali akan menerjah dalam perasaan kita yang bernama manusia kala rezeki dapat anak itu belum datang.Tapi saya dan suami kena terus kuat menempuhi ujian yang diberikan,”tambah beliau.

    – BUTIK SELLECTION No. 10, Jalan Wangsa Setia 4, Wangsa Melawati, 53300, Kuala Lumpur

    – Facebook Page di bawah nama Branded Handbags & Kitchenware by Rafidah dengan pengikut seramai 89 ribu.

    -Instagram (@ sellection.com)

     –youtube channel ( youtube.sellection.com)

    -Laman Sesawang, ( www.sellection.com )