Blog

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini apabila para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah penularan pantas koronavirus (Covid-19) dan penurunan harga minyak dunia, kata para peniaga.

    Pada jam 9.02 pagi, unit tempatan turun kepada 4.4180/4250 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3947/4012 pada Jumaat minggu lepas.

    Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, para pelabur merasa bimbang pada pagi ini berikutan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia.

    “Penularan pantas wabak itu telah menyaksikan langkah pembendungan yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan aktiviti dunia seolah-oleh terhenti.

    “Peniaga kini menjangkakan kemelesetan global yang teruk apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengambil pendekatan drastik untuk membendung pandemik itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

    Innes berkata, meskipun situasi di China, Korea Selatan dan Singapura nampaknya telah terkawal, data terbaharu menunjukkan virus itu telah merebak ke negara-negara ASEAN lain dan India.

    Seorang peniaga lain berkata, penurunan harga minyak dunia di bawah AS$20 setong juga menjejaskan ringgit.

    Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent turun 1.66 peratus kepada AS$28.52 setong.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0293/0350 daripada 3.0303/0369 pada paras penutup Jumaat minggu lepas, naik berbanding euro kepada 4.7131/7224 daripada 4.7204/7303 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1253/1352 daripada 5.1926/2042.

    Bagaimanapun ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.9895/9973 daripada paras penutup 3.9811/9898 pada Jumaat minggu lepas.

    – Bernama



    Sumber

  • Hantar bekalan perubatan jadi keutamaan Teleport

    Hantar bekalan perubatan jadi keutamaan Teleport

    KUALA LUMPUR – Penghantaran bantuan perubatan serta peralatan perlindungan kepada hospital atau responden kecemasan barisan depan menjadi keutamaan Teleport yang juga platform logistik dan kargo AirAsia.

    Ini memandangkan Malaysia dan negara lain sedang mengenakan sekatan perjalanan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.

    Walaupun Teleport masih beroperasi seperti biasa, syarikat logistik itu turut mempunyai keutamaan terutama dalam tempoh yang sukar ini.

    “Bekalan perubatan semakin berkurangan di seluruh dunia dan kami mahu memastikan ia dihantar kepada kakitangan barisan depan di rantau ini kerana mereka amat memerlukannya.

    “Fokus kami adalah untuk melaksanakan bahagian kolektif kami bagi meminimumkan kesan penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) terutama yang membabitkan petugas barisan depan yang berhadapan dengan kekurangan kritikal peralatan perubatan sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pete berkata, dalam keadaan ketidakpastian ini, Teleport kekal kritikal kepada rantaian penyampaian bekalan serantau, peningkatan permintaan e-dagang dan perkhidmatan penting lain.

    “Matlamat kami adalah untuk kekal dalam teras rangkaian domestik dan antarabangsa kami dengan mengangkut kargo hanya melalui pesawat penumpang supaya kami dapat menampung keperluan kargo dan e-dagang. Kami mahu memainkan peranan kami,” katanya.

    Teleport yang dimiliki sepenuhnya oleh AirAsia Group Bhd bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan Kumpulan AirAsia bagi memenuhi keperluan logistik di rantau ini.

    “Di samping rangkaian domestik merentasi rantau, kami berharap dapat mengekalkan hubungan teras antarabangsa utama dalam Asean termasuk ke bandar-bandar tertentu di China, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

    “Di samping itu peningkatan penghantaran bungkusan kami akan terus menjangkau pelanggan di 10 bandar raya dan tiga negara,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit dijangka diniagakan turun naik

    Ringgit dijangka diniagakan turun naik

    KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan turun naik minggu depan seiring dengan mata wang negara pesat membangun lain memandangkan ekonomi global terus mengalami tekanan susulan kebimbangan terhadap Covid-19 terus mempengaruhi pasaran global.

    Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, pelabur global akan memantau petanda kelembapan ekonomi seterusnya yang disebabkan Covid-19 dan pada masa sama menunggu data Indeks Pengurus Pembelian, perbelanjaan runcit dan angka perdagangan luaran yang dijangka diumumkan minggu depan.

    “Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar setahun penuh yang disemak semula oleh Bank Negara Malaysia dipantau rapi, memandangkan para pelabur semakin bimbang mengenai kesan Covid-19 ke atas ekonomi domestik dan dunia, dengan Perintah Kawalan Pergerakan telah mengganggu aktiviti ekonomi di seluruh negara.

    “Data indeks harga pengguna Malaysia bagi Februari dijangka pada 1.5 peratus, yang menunjukkan tekanan inflasi masih di tahap boleh urus.

    “Langkah-langkah sokongan fiskal dan monetari yang telah dilaksanakan oleh penggubal dasar akhirnya harus membantu menampan asas-asas ekonomi Malaysia, apabila wabak Covid-19 memuncak dan tingkah laku tidak menentu pasaran berkurangan,” katanya.

    Beliau berkata, bagi minggu depan, keredaan tekanan pendanaan AS$ yang berterusan boleh mendorong AS$/MYR menghampiri semula paras psikologi 4.30.

    “Bagaimanapun, sekiranya kenaikan kecil dolar AS dan penghindaran risiko terus tidak berkurangan, ringgit boleh susut melepasi paras 4.40 berbanding dolar AS sekali lagi, kembali semula kepada paras yang tidak dilihat sejak suku pertama 2017,” katanya.

    Setakat ini, Malaysia mencatatkan 1,030 kes Covid-19 dengan tiga kematian, dan menjadi yang ketiga tertinggi di Asia.

    Dari segi minyak mentah, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global, berada pada AS$34.52 setong sebelum merosot kepada AS$28 setong pada Khamis lalu.

    Ia meningkat semula pada Jumaat kepada AS$31.17 setong susulan gangguan pengeluaran di Iran berikutan penularan Covid-19.

    Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.3947/4012 daripada 4.2750/2800 pada Jumaat minggu lepas.

    Pada Khamis, ia mencecah paras 4.40 sebelum naik sedikit pada Jumaat dengan disokong harga minyak mentah yang lebih tinggi.

    Berasaskan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama.

    Ringgit naik berbanding dolar Singapura pada 3.0303/0369 daripada 3.0360/0406 minggu lepas, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9811/9898 daripada 4.0228/0279.

    Unit tempatan stabil berbanding euro kepada 4.7204/7303 daripada 4.7730/7790 minggu lepas dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1926/2042 daripada 5.3822/3902. – Bernama



    Sumber

  • Tukar ‘kuarantin’ kepada QuranTime

    Tukar ‘kuarantin’ kepada QuranTime

    SHAH ALAM – Orang ramai diajak untuk mengikut Siri Sinopsis dan Tadabbur 30 juzuk al-Quran selama 30 minit secara dalam talian di Facebook QuranHour setiap jam 8 pagi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusof berkata, bagi memanfaatkan masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, pihaknya mengambil inisiatif untuk menggerakkan kempen ‘Turn Quarantine to QuranTime’ atau tukar masa kuarantin kepada masa bersama al-Quran di Facebook QuranHour secara langsung.

    “Sebelum ini kita menganjurkan kempen My #QuranHour Satu Jam bersama al-Quran bermula sejak tahun 2016 sebagai matlamat utama dalam menggerakkan kempen World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour.

    “Bagaimanapun, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita gerakkan kempen ‘Turn Quarantine to QuranTime’ untuk sama-sama mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-quran melalui baca, faham dan mengamalkan nilai-nilai murni daripada isi kandungan melalui kupasan sinopsis 30 juzuk al-Quran.

    “Kempen ini juga memberi peluang kepada mereka yang kurang mahir membaca al-Quran untuk berjinak-jinak dengan membaca terjemahan serta memahami isi kandungan ayat tersebut. Langkah seterusnya, mereka boleh berguru atau ke Rumah Ngaji yang memberi pengajian percuma (selepas waktu kuarantin), selain melihat video dan penulisan secara dalam talian,” katanya.

    Beliau menambah, QuranTime amat diperlukan sebagai pengisian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada masa kini.

    “Ramai orang menjadi panik, takut dan emosi terganggu disebabkan wabak yang mengancam nyawa kita dan keluarga dan ekonomi yang tidak stabil.

    “Al-Quran adalah mukjizat teragung yang dibekalkan kepada kita dan ia merupakan penyembuh, pelindung, peringatan dan panduan kepada manusia dengan syarat kita perlu melepasi halangan dalam diri,” katanya di sini semalam.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, program pengisian rohani dengan sinopsis dan tadabbur dua juzuk al-Quran setiap hari kepada rakyat di negara ini sepanjang tempoh berkenaan.

    “Peluang ‘berkurung di rumah’ boleh dimanfaatkan untuk kita berinteraksi dengan al-Quran. Jika kita diberi kemampuan untuk membaca al-Quran, ia merupakan nikmat besar dan ini merupakan tanda ALLAH SWT sayangkan kita walaupun ujian Covid-19 sedang melanda di seluruh dunia,” katanya.



    Sumber

  • Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS

    Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS

    RINGGIT meningkat semula berbanding dolar AS berikutan kenaikan harga minyak yang melebihi AS$30 setong.

    Sehingga 6 petang ini, unit tempatan diniagakan pada 4.3947/4012 berbanding 4.4080/4120 semalam, manakala minyak mentah Brent yang juga penanda aras mencecah harga AS$32.65 setong, menokok 7.76 peratus berbanding kira-kira AS$28 setong ketika ditutup semalam.

    Penganalisis berkata, peningkatan harga minyak merangsang permintaan ke atas ringgit, namun, beliau berkata, ia hanya pendorong sementara akibat gangguan pengeluaran minyak di Iran susulan pandemik Covid-19.

    Setakat ini, Iran merekodkan 17,261 kes disahkan Covid-19, melibatkan 1,135 kematian.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

    Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0303/0369 daripada 3.0425/0470 ketika ditutup semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7204/7303 daripada 4.7759/7822.

    Ringgit juga naik berbanding yen Jepun kepada 3.9811/9898 daripada 4.0457/0574, namun, merosot berbanding pound Britain kepada 5.1926/2042 daripada 5.0848/0923. – Bernama



    Sumber

  • Axiata lantik Thaya Sangara Pillai sebagai Pengarah

    Axiata lantik Thaya Sangara Pillai sebagai Pengarah

    KUALA LUMPUR – Axiata Group Bhd melantik Thaya Sangara Pillai sebagai pengarah bebas bukan eksekutifnya dan ahli jawatankuasa audit lembaga (BAC).

    Thaya menggantikan Datuk Izzaddin Idris yang dilantik semula sebagai pengarah eksekutif selepas pelantikannya sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai eksekutif kumpulan pada 24 Januari lalu.

    Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, sebagai ahli lembaga edotco Group Sdn Bhd dan Robi Axiata Ltd, Thaya telah bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah Axiata dan pengurusan kanan sejak lima tahun lalu.

    “Kami menghargai tindakannya yang mantap dalam melaksanakan piawaian tadbir urus tertinggi dan pengalamannya dalam memastikan integriti serta ketepatan dalam laporan kewangan luaran syarikat yang menuntut pemahaman kuat tentang pelaksanaan kawalan dalaman dan penggunaan dasar perakaunan sesuai,” katanya dalam satu kenyataan Rabu lalu.

    Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, latar belakang yang mantap dalam pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) berprofil tinggi, penggabungan dan pengambilalihan membolehkan Axiata mendapat keuntungan dari kemampuannya dalam proses usaha wajar yang perlu, meningkatkan tadbir urus korporat dan amalan pengurusan risiko dan menilai implikasi kewangan serta perniagaan.



    Sumber

  • Celcom sedia khidmat digital terbaik

    Celcom sedia khidmat digital terbaik

    CELCOM Axiata Berhad (Celcom) fokus kepada keuntungan dan kecemerlangan operasi serta pelaburan bijak dalam menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan digital terbaik.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, ini termasuk meneruskan usaha menambah baik infrastruktur digital dengan kos lebih rendah selain terus meneroka bidang pertumbuhan baharu dengan pakej menarik produk dan perkhidmatan yang inovatif dalam separuh pertama tahun ini.

    “Celcom akan terus fokus kepada kecemerlangan operasi dan mengoptimumkan kos. Kami akan melabur dengan bijak untuk menambahbaik infrastruktur rangkaian dan mempertingkat kecekapan.

    “Kami berharap untuk mengekalkan kepimpinan industri sebagai penyedia rangkaian terluas di Malaysia dan menyediakan pengalaman dan nilai terbaik kepada pelanggan kami,” katanya baru-baru ini.

    Idham Nawawi

    Idham Nawawi

    Menurutnya, Celcom juga memacu pertumbuhan daripada segmen kediaman dan perusahaan dengan pelbagai produk inovatif termasuk permainan dan hiburan realiti maya (VR).

    “Bagi perusahaan pula, kami akan terus berkolaborasi dengan rakan teknologi dan penyedia platform yang tepat bagi menyediakan penyelesaian dan aplikasi internet benda (IoT) hujung ke hujung dan berkualiti tinggi kepada pelanggan di Malaysia meliputi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat dan kerajaan.

    “Perjalanan transformasi digital Celcom yang berterusan untuk muncul sebagai organisasi digital paling memberi inspirasi di negara ini akan memanfaatkan pelaksanaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan automosi pemprosesan robotik di peringkat dalaman dan pelanggan berkaitan,” katanya.

    Idham berkata, pihaknya juga merancang untuk mewujudkan situasi menang-menang yang akan memberi faedah kepada rakyat, kerajaan dan ekosistem digital.

    Katanya, iniasitif itu dilakukan menerusi usaha pendigitalan di segenap industri, disokong oleh pelaksanaan teknologi 5G menerusi perkhidmatan inovasi.



    Sumber

  • Unifi tawar insentif galak rakyat Malaysia berada di rumah

    Unifi tawar insentif galak rakyat Malaysia berada di rumah

    KUALA LUMPUR – Unifi mewujudkan beberapa insentif untuk pelanggannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menggalakkan mereka berada di dalam rumah.

    Ketua Pegawai Komersial TM, Anand Vijayan berkata, tawaran-tawaran istimewa akan diberikan supaya pelanggan dapat memanfaatkan sepenuhnya masa mereka.

    “Unifi menawarkan akses secara percuma untuk kesemua saluran di unifi TV, termasuk saluran-saluran premiumnya bagi memenuhi kehendak tontonan yang pelbagai daripada semua ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Beliau berkata, akses percuma itu turut boleh dinikmati menerusi akaun unifi playTV pengguna di mana ia boleh diakses oleh sehingga lima pengguna bagi menonton saluran dan kandungan digital berbeza pada masa yang sama.

    “Langkah membuka kesemua saluran dan kandungan premium kami merupakan antara insentif kami untuk menggalakkan orang ramai kekal berada di rumah.

    “Kami juga akan membantu mengurangkan kerisauan yang pelanggan-pelanggan kami hadapi sepanjang tempoh ini. Ini termasuklah keperluan untuk mempunyai data yang lebih tinggi dan sokongan daripada pihak teknikal,” katanya.

    Anand Vijayan

    Anand Vijayan

    Anand berkata, galakan supaya orang ramai terus berada di rumah akan dapat membantu mengurangkan lengkungan penularan wabak Covid-19.

    Katanya, walaupun pengguna internet kediaman akan menikmati data tanpa had, perkara yang sama mungkin tidak akan dirasai pengguna mudah alih lain.

    Menurutnya, untuk membantu memastikan pelanggan kekal berhubung tanpa perlu berasa bimbang, unifi kini memberikan lebih fleksibiliti kepada pelan-pelan data mereka.

    “Bagi pelanggan pasca bayar mudah alih tanpa had sedia ada, unifi akan memberikan pas hotspot LTE 999GB secara percuma, peningkatan mendadak daripada pas hotspot LTE 10GB sedia ada mereka.

    “Peningkatan had ini akan membolehkan mereka untuk berkongsi internet mudah alih dengan beberapa peranti lain di rumah, termasuklah pada TV Pintar dan komputer riba,” katanya.

    Pada masa sama katanya, pelanggan prabayar #BEBAS akan diberikan pas data tujuh hari tanpa had supaya mereka tidak perlu bimbang untuk sentiasa menambah nilai kredit apabila memerlukan lebih data.

    Beliau berharap peningkatan data yang diberikan akan membantu pengguna mudah alih dalam situasi masa kini sebaik mungkin.

    Katanya, pelanggan akan menerima pas hotspot LTE 999GB PERCUMA itu dalam masa dua hari berikutnya dan mereka boleh membuat semakan di akaun masing-masing secara layan diri di portal unifi atau di aplikasi myunifi sementara pelanggan SIM prabayar #BEBAS pula boleh menuntut pas tujuh hari tanpa had melalui aplikasi #BEBAS.

    “Unifi ingin menyarankan kepada pelanggan yang memerlukan bantuan sokongan teknikal atau bantuan mengenai akaun mereka untuk menggunakan sepenuhnya saluran khidmat pelanggan digital untuk mengurangkan interaksi secara fizikal dan mengurangkan sebarang risiko.

    “Saluran-saluran bantuan ini termasuklah portal khidmat pelanggan di laman web unifi, aplikasi myunifi dan platform media sosial kami di Facebook @weareunifi dan Twitter @helpmeunifi, di mana pelanggan boleh menguruskan akaun, membuat troubleshoot mudah malah mereka boleh berinteraksi bersama perunding perkhidmatan unifi yang sentiasa bersedia untuk membantu,” katanya.

    Anand berkata, unifi akan terus memantau sebarang perkembangan situasi semasa dan akan mengadaptasi perkhidmatannya bagi membantu pelanggan pada masa-masa yang diperlukan.

    Untuk maklumat lanjut, pertanyaan, khidmat pelanggan, pembelian dan sebarang bantuan sokongan, sila layari www.unifi.com.my.



    Sumber

  • Pemotongan SPR menepati masa, kata pakar ekonomi

    Pemotongan SPR menepati masa, kata pakar ekonomi

    KUALA LUMPUR – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) kepada 2.0 peratus berkuat kuasa hari ini daripada 3.0 peratus telah dijangka pakar-pakar ekonomi yang berpandangan bahawa langkah itu sebagai tepat pada masa berdasarkan situasi ekonomi sekarang.

    Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias berkata, pemotongan diumumkan semalam dijangka cuma pakar-pakar ekonomi mempunyai pelbagai pandangan mengenai kuantum pengurangan yang diperlukan.

    Kejutan bekalan yang ketara biasanya menjejaskan kecairan dalam sistem, oleh itu pengurangan dalam SRR adalah wajar.

    “Walaupun jika kecairan kekal mencukupi buat masa sekarang, kemungkinan berlakunya kejutan yang ketara dalam ekonomi sebenar (akibat wabak Covid-19) menjadikan perlu bagi pembuat dasar untuk bertindak balas lebih awal.

    “Kemerosotan kecairan yang mendadak juga akan menyebabkan turun naik dalam pasaran kewangan dan ini akan memberi kesan yang mendalam terhadap perniagaan serta pengguna. Akhirnya, ekonomi sebenar akan terjejas. Itulah sebabnya, langkah ini baik pada masa sekarang,” katanya.

    Sejak 2019, SRR urangkan sebanyak 150 mata asas. Semasa kegawatan ekonomi 2009, ia dipotong sebanyak 1.0 peratus.

    Melangkah ke hadapan, lebih banyak langkah fiskal kewangan bakal diumumkan jika krisis yang berpunca daripada koronavirus (Covid-19) ini berpanjangan.

    “Ini disebabkan, kali ini ekonomi global turut terjejas secara serentak dan oleh itu, ia mungkin akan memberi kesan material terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

    Ketua Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata BNM telah membuat satu langkah yang mantap dengan mengambil kira kedudukan kecairan pada masa akan datang, memberikan bank dengan mudah tunai yang mencukupi supaya tidak ada tekanan kecairan di pasaran.

    “BNM sentiasa memantau sistem kewangan perbankan untuk menyokong keperluan industri. Kita bukan berada dalam situasi normal. Dalam keadaan yang mencabar ini, bank pusat perlu menjadi proaktif bagi kekal di hadapan keluk.

    “Lebih-lebih lagi, secara global, kita sedang menuju ke arah rejim kadar faedah yang lebih rendah. Tahun lepas, sejumlah 47 bank pusat menurunkan kadar faedah mereka. Tahun ini, 12 bank pusat di seluruh dunia telah mengurangkan kadar faedah seperti UK, Filipina, Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada,” katanya.

    Berdasarkan trend dalam pasaran kewangan global, beberapa bank pusat telah menyediakan kecairan kepada sistem perbankan sejak dari September 2019 hingga 17 Mac 2020, termasuk Rizab Persekutuan AS (AS$7.7 trilion), Bank of Japan (AS$3.2 trilion) dan Bank Pusat Eropah (AS$4.7 trilion).

    “Dasar kewangan yang berhemat dan kecairan yang berkesan akan menunjang sektor perbankan ke hadapan. Kita tidak akan terkejut jika BNM merendahkan OPR kepada 2.0 peratus bagi menyokong prospek KDNK bagi tahun ini. Ringgit akan mengikuti pergerakan Yuan dan minyak untuk menentukan nilai pasaran saksamanya,” kata.

    Selain mengurangkan SRR kepada 2.0 peratus, BNM menjelaskan, setiap pengedar utama akan dapat mengiktiraf Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sehingga RM1 bilion sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR.

    “Fleksibiliti untuk pengedar utama adalah tersedia sehingga 31 Mac 2021. Langkah gabungan ini akan mengeluarkan lebih kurang RM30 bilion nilai kecairan dalam sistem perbankan,” kata BNM dalam satu kenyataan semalam.

    Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyambut baik pengurangan SRR selepas pasaran kewangan agak terganggu disebabkan pandemik Covid-19 serta kesannya terhadap ekonomi global.

    Oleh itu, buat masa sekarang, usaha bagi memastikan kecairan yang mencukupi adalah amat penting supaya proses pengantaraan kewangan, seperti aktiviti pinjaman dan peminjaman, tidak akan terganggu berikutan penghindaran risiko, katanya.

    Bank tersebut menganggarkan Liabiliti yang Layak pada Januari menunjukkan jumlah kecairan yang akan disuntik akan berada pada sekitar RM15 bilion.

    Beliau ketika bercakap mengenai pengiktirafan MGS dan MGII sehingga RM1 bilion sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR memberitahu, ini menunjukkan BNM amat komited untuk memastikan bahawa sistem kewangan mempunyai kecairan yang mencukupi dalam menghadapi ketidakpastian global.

    Kali terakhir, BNM mengurangkan nisbah SRR ialah pada 16 November 2019, iaitu kepada 3.00 peratus daripada 3.50 peratus, satu langkah yang diambil untuk memastikan kecairan yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.- Bernama



    Sumber

  • Harga minyak, saham AS pacu Bursa Malaysia dibuka tinggi

    Harga minyak, saham AS pacu Bursa Malaysia dibuka tinggi

    KUALA LUMPUR- Pemulihan harga minyak serta peningkatan semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS) membantu memacu sentimen di pasaran domestik pagi ini yang menyaksikan indeks petunjuk utama naik 0.88 peratus dalam dagangan awal hari ini.

    Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 10.76 mata kepada 1,230.48 berbanding 1,219.72 sewaktu ditutup semalam selepas dibuka 0.82 mata lebih tinggi kepada 1,220.54 pagi ini.

    Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 214 berbanding 80 manakala 132 lain tidak berubah, 1,592 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 206.39 juta saham bernilai RM68.38 juta.

    Seorang peniaga berkata, harga minyak yang naik melebihi 10 peratus semalam dengan minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, menokok 5.1 peratus kepada AS$26.16 (RM115.27) setong manakala US Crude naik 12.9 peratus pada AS$23 (RM101.35) setong selepas Presiden Donald Trump berkata, beliau akan terlibat dalam perang harga global antara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu-sekutunya ‘pada masa sesuai.’

    Sementara itu, Wall Street turut meningkat semalam apabila sentimen pasaran lebih positif susulan tindakan bank pusat dan kerajaan berikrar memberi sokongan terhadap langkah-langkah untuk melindungi ekonomi mereka daripada impak wabak koronavirus (Covid-19) yang meragut lebih 8,000 nyawa di seluruh dunia.

    Berikutan itu, Purata Industri Dow Jones naik satu peratus kepada 20,081.19, S & P 500 menambah 0.5 peratus untuk ditutup kepada 2,409.39 manakala Indeks Komposit Nasdaq meningkat 2.3 peratus dengan mengakhiri sesi dagangan pada paras 7,150.58.

    “Di peringkat tempatan, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam lingkungan 1,200 hingga 1,280 hari ini manakala paras rintangan pada 1,211 hingga 1,130,” katanya.

    Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung tujuh sen kepada RM7.15, Tenaga susut dua sen kepada RM11.30, Public Bank naik 36 sen kepada RM13.02 dan IHH menokok empat sen kepada RM5.19.

    Bagi saham aktif, Vortex tidak berubah pada 2.5 sen, Bumi Armada naik 1.5 sen kepada 13 sen dan Alam Maritim untung setengah sen kepada 3.5 sen.

    Indeks FBM Emas pula menambah 60.72 mata kepada 8,318.50, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 31.88 mata kepada 9,152.37 dan FBM 70 meningkat 67.19 mata kepada 9,261.45.

    Selain itu, Indeks FBMT 100 naik 69.84 mata kepada 8,284.47 dan FBM Ace meningkat 44.74 mata kepada 3,244.47.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.77 mata kepada 93.29, Indeks Perladangan menokok 16.29 mata kepada 5,548.32 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 168.88 mata kepada 11,054.33.- Bernama



    Sumber