Blog

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi menjelang pengumuman PM

    Bursa Malaysia dibuka tinggi menjelang pengumuman PM

    BURSA Malaysia meneruskan aliran menaik bagi hari keempat berturut-turut hari ini didorong oleh keyakinan pasaran terhadap pengumuman pakej rangsangan ekonomi pada petang ini.

    Pada jam 9.05 pagi, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.06 mata kepada 1,342.15 daripada 1,328.09 ketika ditutup semalam.

    Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 488 berbanding manakala 137 kaunter tidak berubah, 1,296 kaunter tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 601.90 juta bernilai RM258.05 juta.

    Penganalisis berkata, pasaran meneruskan momentum menaik apabila para pelabur menanti pengumuman hari ini mengenai langkah-langkah kerajaan seterusnya untuk menyokong ekonomi domestik dalam mengharungi cabaran kesan koronavirus (Covid-19).

    “Pakej rangsangan ekonomi pertama bernilai RM20 bilion gagal dan terlepas peluang untuk meningkatkan keyakinan pasaran disebabkan ketidakstabilan politik tempatan.

    “Bagaimanapun, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan, ia penting bagi pelabur untuk melihat langkah kerajaan seterusnya dalam membendung wabak Covid-19,” katanya.

    Dua hari lepas, Bank Negara Malaysia mengumumkan moratorium selama enam bulan bagi pembayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula baki kad kredit yang belum dijelaskan untuk mengurangkan impak kewangan yang timbul akibat pandemik itu.

    Sehingga semalam, krisis kesihatan akibat Covid-19 mencatatkan 23 kematian di Malaysia dengan lebih 2,000 kes positif jangkitan direkodkan.

    Sementara itu, S&P 500 naik lebih enam peratus ketika dagangan ditutup pada Khamis selepas Senat Amerika Syarikat meluluskan pakej fiskal bernilai AS$2 trilion untuk memerangi wabak itu.

    Ini mendorong kenaikan di penanda aras ekuiti Jepun dan Korea Selatan masing-masing melebihi dua peratus manakala pasaran Australia mengalami penyusutan sederhana selepas mencatatkan kenaikan awal.

    Bagi prestasi wajaran tinggi, 22 daripada 30 kaunter mencatatkan kenaikan dengan kaunter kewangan mendahuluinya apabila Maybank naik 10 sen kepada RM7.37, Public Bank menambah 28 sen kepada RM15.82 dan CIMB Group menokok tujuh sen kepada RM3.57.

    Bagi saham paling untung, kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna terus menguasainya dengan Nestle melonjak RM1.90 kepada RM138.90, Panasonic Manufacturing meningkat RM1.28 kepada RM26.28 manakala kaunter Heineken dan Carlsberg masing-masing naik 70 sen dan 60 sen kepada RM22.60 dan RM25.80.

    Kaunter minyak pula terus menjadi saham paling aktif dengan Sapura Tenaga, Bumi Armada dan Hibiscus masing-masing naik setengah sen kepada lapan sen, 14 sen dan 34 sen.

    Prestasi indeks keseluruhan juga positif kebanyakannya, dengan Indeks Emas FBM naik 126.06 mata kepada 9,190.51 manakala FBM 70 menokok 222.91 mata kepada 10,551.49 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 115.70 mata kepada 10.020.07.

    Indeks FBMT 100 meningkat 116.51 mata kepada 9,120.17 dan FBM Ace naik 69.40 mata kepada 3,748.82.

    Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.87 mata kepada 104.43, Indeks Perladangan turun 0.96 mata kepada 6,055.11 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 185.03 mata kepada 12,288.4. – Bernama



    Sumber

  • Unifi lanjutkan tawaran, bantu PKS terjejas

    Unifi lanjutkan tawaran, bantu PKS terjejas

    KUALA LUMPUR – Susulan pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unifi melanjutkan semua tawaran yang diumumkan untuk membantu pelanggan kekal berada di rumah sehingga 14 April depan.

    Ketua Pegawai Komersil TM, Anand Vijayan berkata, unifi kini menawarkan pelan-pelan data mudah alih lebih fleksibel, terutamanya dalam keadaan semasa di mana lebih ramai rakyat Malaysia bekerja dari rumah dan memerlukan lebih banyak pilihan hiburan.

    Menurutnya, minggu lalu, unifi mengumumkan tawaran Pas hotspot LTE 999GB percuma untuk pelan unifi mudah alih tanpa had, pas data LTE tanpa had selama tujuh hari untuk pelan mudah alih prabayar #BEBAS dan akses percuma untuk semua saluran unifi TV termasuk saluran premium.

    “Unifi turut memberikan potongan 20 peratus untuk pembelian Video-on-demand, dalam usaha untuk membantu pelanggan kekal berhubung semasa mereka menjalankan tugasan, belajar dan meluangkan masa bersama orang tersayang di rumah masing-masing semasa tempoh PKP.

    “Kami sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara dan rakyat, justeru kami melanjutkan kesemua langkah sokongan yang diumumkan sebelum ini sehingga 14 April 2020,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Dalam pada itu Anand berkata, unifi turut membantu menghubungkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan kepada pelbagai pilihan penyelesaian yang membolehkannya kekal produktif sepanjang tempoh pergerakan terhad ini.

    “Kami telah mengenal pasti tiga cabaran utama perniagaan sepanjang PKP iaitu mengekalkan kesalinghubungan, peluang pemasaran terhad dan pembiayaan yang fleksibel.

    “Kami di unifi mahu menghubungkan pelanggan kepada penyelesaian yang membolehkan perniagaan mereka kekal tangkas, mengatasi halangan dan meneruskan peranan sebagai pembekal produk dan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat,” katanya.

    Beliau berkata, PKS diminta memanfaatkan pas hotspot LTE 999GB percuma supaya perniagaan dan pekerja boleh bekerja dari rumah tanpa sebarang kerisauan tentang kehabisan data hotspot.

    Katanya, insentif itu akan menggalakkan mereka menggunakan alatan produktiviti dalam talian pilihan seperti G Suite untuk mencipta dokumen atau Zoom untuk persidangan video untuk menyelesaikan tugasan secara lebih efektif di rumah.

    Menurutnya, semua pelanggan PKS unifi akan diberikan akses percuma ke platform Penyelesaian Pemasaran Digital (Digital Marketing Solutions) bersepadu unifi.

    “Platform ini memberikan pengguna akses mudah kepada alatan pemasaran digital seperti Instaweb, Google Ads, dan Facebook Ads.

    “Pelanggan berpeluang menikmati diskaun sehingga 20 peratus apabila mereka melanggan peralatan ini. Mereka yang berminat boleh melayari www.yellowpages.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

    Sebagai tambahan, Anand berkata, perniagaan yang ingin mendapatkan sokongan kewangan boleh berbincang dengan rakan usahasama unifi, SME Bank dan RHB Bank.

    Katanya, di bawah arahan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kedua-dua bank boleh mengeluarkan dana sehingga RM1 juta kepada setiap syarikat dan menyediakan moratorium bagi pembayaran semula sehingga enam bulan.

    Beliau berkata, pelanggan boleh melayari www.smebank.com.my (SME Bank) atau menghubungi talian 03-9206 8118 (RHB Bank) untuk memohon pilihan pembiayaan itu.

    Pelanggan unifi yang memerlukan sokongan teknikal atau bantuan berkenaan akaun dinasihatkan supaya menggunakan sepenuhnya saluran khidmat pelanggan digital bagi mengehadkan keperluan interaksi secara fizikal dan seterusnya mengurangkan sebarang risiko.

    Saluran-saluran itu merangkumi portal khidmat pelanggan di laman web unifi, aplikasi myunifi, dan platform media sosial di Facebook @weareunifi dan Twitter @helpmeunifi.

    Pelanggan boleh menguruskan akaun, melakukan penyelesaian masalah yang mudah dan berinteraksi secara langsung dengan perunding perkhidmatan unifi yang sentiasa bersedia untuk memberikan panduan atau bantuan.



    Sumber

  • Bursa Malaysia umum tujuh lagi langkah bantuan

    Bursa Malaysia umum tujuh lagi langkah bantuan

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd mengumumkan tujuh lagi langkah bantuan yang disasarkan kepada kumpulan peserta yang lebih luas dalam pasaran modal.

    Langkah-langkah ini diwujudkan untuk membantu mengurangkan beban kewangan dan memberikan kelonggaran yang lebih banyak dalam menempuh waktu mencabar ketika Covid-19, katanya dalam satu kenyataan.

    Antara langkah utama termasuk lanjutan satu bulan automatik untuk menyerahkan penyata kewangan untuk Pasaran Utama dan ACE serta rebat sebanyak 50 peratus daripada yuran penyenaraian tahunan untuk terbitan yang disenaraikan bagi tahun 2020.

    Bursa Malaysia berkata, ia membenarkan pelanjutan tempoh masa untuk mengemukakan pelan penyusunan semula daripada 12 bulan yang sedia ada hingga 24 bulan dari tarikh mereka umumkan buat pertama kali.

    Bursa Malaysia akan memberi lebih banyak kelonggaran kepada broker dengan menghapuskan keperluan itu untuk secara automatik mencairkan akaun margin pelanggan mereka jika ekuiti dalam akaun margin jatuh di bawah 130 peratus daripada baki belum jelas.

    Bursa Malaysia juga memperluaskan senarai cagaran untuk tujuan pembiayaan margin, waktu perkhidmatan kaunter yang dipendekkan oleh peserta pasaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membenarkan lanjutan masa untuk penyerahan borang urusniaga perkhidmatan depositori pusat (CDS) kepada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, penularan Covid-19 telah berkembang pantas daripada menjadi isu kesihatan awam sehingga mengakibatkan cabaran ekonomi yang serius.

    “Kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meringankan beban dan membantu syarikat-syarikat dan peserta pasaran yang menerima kesan secara langsung oleh krisis tersebut.

    “Kami akan terus libat sama peserta pasaran modal untuk memastikan usaha kami berkesan. Kami mensasarkan untuk membantu para peserta pasaran menghadapi perubahan mendadak dalam keadaan operasi atau aliran tunai mereka, sambil menyokong usaha negara untuk mengurangkan impak ekonomi dan sosial pandemik Covid-19, ” kata Umar.

    Langkah-langkah yang diumumkan hari ini melengkapkan usaha bantuan yang lebih luas di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) yang diumumkan oleh kerajaan pada 27 Februari 2020.

    Di bawah PRE 2020, kedua-dua Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia bersetuju untuk mengecualikan semua yuran yang berkaitan dengan penyenaraian selama 12 bulan, kepada syarikat-syarikat yang mahu disenaraikan di ACE dan Pasaran LEAP, serta bagi syarikat-syarikat di Pasaran Utama, dengan permodalan pasaran kurang daripada RM500 juta.

    Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah bantuan ini boleh diperolehi di https://www.bursamalaysia.com/. – Bernama



    Sumber

  • Kumpulan AirAsia gantung beberapa penerbangan antarabangsa

    Kumpulan AirAsia gantung beberapa penerbangan antarabangsa

    AIRASIA Group Bhd menggantung kesemua penerbangan antarabangsa bagi sementara waktu untuk operasi di Malaysia, Thailand dan Filipina kerana penularan wabak koronavirus (Covid-19).

    Bagi AirAsia Indonesia, kumpulan syarikat penerbangan itu mengurangkan kekerapan penerbangan antarabangsanya, sementara operasi domestik diteruskan pada jumlah kekerapan yang dikurangkan.

    “Ahli Lembaga percaya bahawa penggantungan penerbangan sementara ini tindakan yang betul untuk memastikan kesejahteraan penumpang, tetamu dan kakitangan kami, ia akan kekal sebagai keutamaan dalam perniagaan kami dalam masa yang mencabar sekarang.

    “Syarikat itu akan terus menilai keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia untuk meneruskan kembali perkhidmatan sebaik sahaja keadaan bertambah baik, tertakluk kepada kelulusan pengawal seliaan,” kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

    Kumpulan itu berkata, semua penerbangan antarabangsa dan domestik AirAsia Malaysia digantung sementara dari 28 Mac hingga 21 April 2020.

    Dalam pada itu, penggantungan sementara untuk AirAsia Filipina melibatkan penerbangan antarabangsa dan domestik dari 20 Mac hingga 14 April 2020, ketika tempoh kuarantin komuniti di Luzon serta di bahagian lain di negara tersebut.

    Bagi AirAsia Thailand, penggantungan sementara semua penerbangan antarabangsa adalah dari 22 Mac hingga 25 April 2020 manakala operasi domestiknya diteruskan pada kekerapan yang berkurangan.

    Sementara itu, AirAsia India, yang hanya menjalankan operasi laluan domestik telah menggantung penerbangannya selama 21 hari bermula 25 Mac bagi mematuhi penggantungan dilaksanakan kerajaan bagi semua penerbangan domestik. – Bernama



    Sumber

  • Axiata umum dana RM150 juta bantu PKS Mikro

    Axiata umum dana RM150 juta bantu PKS Mikro

    KUMPULAN Axiata mengumumkan dana tunai berjumlah RM150 juta kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro yang terkesan akibat koronavirus (Covid-19).

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, Program Bantuan Covid-19 Axiata itu meliputi sumbangan awal daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM20 juta.

    “Program Bantuan Covid-19 ini adalah intervensi secara langsung dan segera oleh Axiata untuk memberi bantuan segera kepada PKS Mikro yang mengalami kesulitan kewangan akibat pandemik ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Axiata akan menawarkan pinjaman mikro patuh shariah melalui subsidiarinya, Axiata Digital dengan memacu platform digital Aspirasi oleh kumpulan tersebut dalam jumlah RM1,000 sehingga RM10,000 dan dengan syarat yang mudah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Menurutnya, bantuan itu dijangka memberi faedah kepada kira-kira 150,000 PKS Mikro yang berada dalam ekosistem Boost, Aspirasi, dan Celcom, serta ekosistem lain meliputi rakan e-dagang dan barangan pengguna bergerak cepat (FMCG) dan syarikat telekomunikasi serta e-dompet lain.

    “Pembiayaan yang ditawarkan melalui program tersebut termasuk penangguhan pembayaran balik dalam kadar keuntungan yang lebih rendah.

    Selain itu, katanya, Program Bantuan Covid-19 Axiata juga disertakan dengan perlindungan insurans mikro di bawah Aspirasi untuk melindungi pemilik dan peniaga dengan pendapatan kecemasan, kematian akibat kemalangan dan bantuan Covid-19.



    Sumber

  • Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari, IK naik 10.23 mata

    Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari, IK naik 10.23 mata

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi hari ini selepas mencatat peningkatan semula walaupun dibuka rendah.

    Pada jam 12.30 tengah hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.23 mata kepada 1,334.73 daripada 1,324.50 sewaktu ditutup semalam.

    Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 402 berbanding 222 manakala 288 kaunter tidak berubah, 1,207 tidak diniagakan dan 26 lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 1.97 bilion saham bernilai RM1.07 juta.

    Kaunter saham berkaitan kesihatan mencatat prestasi lebih baik susulan penularan koronavirus (Covid-19) yang menjejaskan pasaran global pada pertengahan Januari lepas manakala saham lain seperti komoditi dan kewangan sebaliknya terus diasak tekanan.

    Saham wajaran tinggi berkaitan penjagaan kesihatan seperti Hartalega naik 21 sen kepada RM6.90 manakala IHH naik empat sen kepada RM5.14.

    Selain itu, saham mewah lain turut mencatat kenaikan selepas mengalami dagangan tidak menentu dengan Digi naik 16 sen kepada RM4.31 dan Petronas Chemicals menambah 13 sen kepada RM4.64.

    Kaunter paling untung menyaksikan saham berkaitan produk dan perkhidmatan pengguna terus menguasai indeks dengan F&N meraih RM1.02 kepada RM30.72 manakala Nestle melonjak RM3.60 kepada RM139.10, Panasonic Manufacturing menambah RM1.00 kepada RM25.80 dan Dutchlady meningkat 74 sen kepada RM40.78.

    Prestasi indeks secara keseluruhannya adalah positif dengan Indeks Emas FBM naik 116.54 mata kepada 9,104.61 manakala FBM 70 melonjak 301.28 mata kepada 10,333.65 dan Indeks FBM Emas Syariah meraih 156.17 mata kepada 9,927.03.

    Indeks FBMT 100 pula menambah 110.72 mata kepada 9,039.96 manakala FBM Ace menokok 89.16 mata kepada 3,747.43.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.40 mata kepada 102.38, Indeks Perladangan menambah 20.57 mata kepada 6,034.38 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 54.53 mata kepada 12,202.95. – Bernama



    Sumber

  • Huawei tawar produk serendah RM88 sempena Jualan Hari Lahir Lazada ke-8!

    Huawei tawar produk serendah RM88 sempena Jualan Hari Lahir Lazada ke-8!

    Banyak rutin yang tergendala sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi, duduk di rumah tidak bermakna anda tidak boleh lakukan apa-apa. Dengan Huawei segalanya boleh!

    Sempena Jualan Hari Lahir Lazada ke-8, Huawei ada tawaran istimewa buat anda. Tak perlu bersesak di luar untuk dapatkan produk hebat Huawei ini, Duduk di rumah dan patuhi arahan PKP, semuanya semudah di hujung jari, online kan ada!

    Tawaran terhad hanya dua jam. Jualan hebat produk terpilih Huawei ini akan diadakan pada 27 Mac ini bermula jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.

    Promosi ini boleh didapati di Lazada Mall iaitu platform jualan beli-belah pilihan utama rakyat Malaysia.

    Produk Hero seperti Huawei Mate20, Huawei Nova 4e, Huawei MediaPad T5, Huawei Watch GT dan Huawei Band 4 akan ditawarkan jauh lagi murah dari harga asal!

    Ingat, hanya dua jam! Jangan tertidur, rugi kalau anda terlepas peluang keemasan ini.

    Selain itu, Jualan Flash Crazy RM88 turut ditawarkan kepada tiga produk terpilih seperti Huawei Gentle Monster, Huawei MateBook 13 dan Huawei Mate20.

    Promosi terhad ini akan diadakan pada 27 Mac pada jam 2 petang.

    Ada lagi! Huawei turut menawarkan baucar sebanyak RM168 dan RM88 untuk semua produk Huawei pada 27 Mac ini.

    Baucar RM168 boleh digunakan untuk produk Huawei Mate 30 Pro, Mate 30, P30, P30 Pro, M5 Lite dan Freebuds 3. Manakala baucar RM88 boleh digunakan untuk produk Huawei Nova 5T, Y7P, Y9s dan Y9 Prime.

    Menarik bukan? Duduk rumah pun masih boleh dapat baucar. Sudah semestinya Huawei prihatin dengan pelanggan setianya.

    Dengan menawarkan baucar, pasti dapat meringankan beban pengguna yang mungkin terpaksa cuti tanpa gaji sepanjang PKP ini.

    Jadi, apa tunggu lagi. Rebutlah tawaran istimewa ini dengan melayari bit.ly/2J9Tp38

    Cepat-cepat buat pembelian dengan menambah barang dalam troli anda. Promosi ini hanya terhad buat pelanggan setia Huawei.

    Jom shopping dari rumah!

    Masa Produk Harga asal Harga promosi
    27 Mac

    12 pagi – 2 pagi

    HUAWEI Band 4 RM139 RM89
    HUAWEI Watch GT RM 799 RM 399
    HUAWEI MediaPad T5 RM 899 RM 599
    HUAWEI nova 4e RM 999 RM 598
    HUAWEI Mate20 RM 2,099 RM 1,188
    HUAWEI MateBook D 15

    (8GB RAM + 256 GB SSD) with Free Gift

    RM 2,299 RM 1,999
    HUAWEI MateBook 13 i5 with Free Gift RM 3,999 RM 3,299
    HUAWEI MateBook 13 i7 with Free Gift RM 4,399 RM 3,699
    Flash Sale

    27 Mac, 2 petang

    HUAWEI Mate20 (3 unit) RM 2,099 RM 88
    Flash Sale

    27 Mac, 3 petang

    HUAWEI x Gentle Monster Eyewear (3 unit) RM 1,559 RM 88
    HUAWEI MateBook 13 (1 unit) RM 3,999 RM 88



    Sumber

  • Celcom lantik Imri sebagai COO baharu

    CELCOM Axiata Berhad (Celcom) melantik Imri Mokhtar sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu bermula 1 Mei depan bagi mengukuhkan kecemerlangan operasi syarikat itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Mohamad Idham Nawawi berkata, Imri akan memimpin teknologi, transformasi digital dan beberapa fungsi korporat dalam kumpulan sokongan.

    “Pelantikan ini sangat tepat pada masanya memandangkan kami sedang meletakkan fokus yang jelas ke arah kecemerlangan operasi dan memacu pertumbuhan melalui inovasi, pendigitalan, dan segmen perniagaan baharu,” katanya.

    Imri memiliki pengalaman selama 24 tahun merupakan bekas COO di syarikat Telekom Malaysia (TM).

    Beliau juga pernah berkhidmat dengan sebuah operator TV berbayar di Malaysia pada tahun 2005.

    Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian Kelas Pertama) dari University College London itu juga berpengalaman sebagai perunding di sebuah firma konsultansi pengurusan global.



    Sumber

  • Public Bank beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP

    PUBLIC Bank akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Pengarah Urusannya, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, Public Bank akan memastikan akses tanpa henti ke semua perkhidmatannya di seluruh negara oleh pelanggan semasa tempoh PKP.

    “Rangkaian cawangan awam Public Bank akan dibuka seperti biasa pada waktu perniagaan sepanjang PKP.

    “Semua akses perkhidmatan bank seperti terminal layan diri, permohonan pinjaman dan perniagaan deposit, kiriman wang dan perkhidmatan kad dan perbankan dalam talian juga kekal tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Beliau berkata, untuk urus niaga perbankan, pelanggan dinasihatkan untuk menggunakan perbankan elektronik, perbankan mudah alih dan perkhidmatan dalam talian yang lain, sebagai sebahagian daripada langkah menjaga jarak sosial.

    Dalam pada itu, Ah Lek berkata, Public Bank bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk menawarkan Kemudahan Bantuan Khas kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    “PKS yang berhasrat memohon Kemudahan Bantuan Khas dinasihatkan untuk mengunjungi mana-mana cawangan Public Bank atau emel kepada [email protected] untuk nasihat dan bantuan kewangan,” katanya.



    Sumber

  • Maybank Singapura tawar khidmat kiriman wang percuma

    SINGAPURA – Maybank hari ini menawarkan perkhidmatan kiriman wang percuma kepada rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Singapura yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia.

    Semua pelanggan Maybank dan bukan Maybank rakyat Malaysia boleh hadir ke mana-mana cawangan Maybank untuk membuat kiriman wang tanpa bayaran pindahan ke mana-mana akaun bank Malaysia pada kadar pertukaran SGD/MYR yang menarik bermula hari ini sehingga 14 April, 2020.

    Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti dan Pengurusan Harta Kumpulan Maybank Singapore, Alvin Lee berkata, pengecualian hanya melibatkan akaun individu ke akaun individu.

    “Sebagai institusi kewangan terkemuka di Malaysia, adalah penting bagi kita untuk memberi bantuan sebagai menyokong rakyat Malaysia di Singapura yang tidak dapat pulang ke tanah air dalam tempoh PKP ini.

    “Kami komited untuk menyokong komuniti dan berharap inisiatif pengiriman wang percuma ini memberi kelegaan kepada mereka dan ahli keluarga mereka dapat menerima dana yang diperlukan tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Bank tersebut sebelum ini memperkenalkan langkah-langkah bantuan seperti Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman Perumahan kepada pelanggan sedia ada yang terjejas pendapatan disebabkan wabak Covid-19 dan perlindungan insurans Covid-19 dan demam denggi percuma untuk semua individu pelanggan Maybank. – Bernama



    Sumber