Blog

  • Belajar dari rumah guna FrogPlay Mobile

    Belajar dari rumah guna FrogPlay Mobile

    KUALA LUMPUR – Bagi mengisi masa lapang dan melakukan aktiviti berfaedah di rumah ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan akibat koronavirus (Covid-19), Yayasan YTL menawarkan Inisiatif Belajar Dari Rumah atau Learn From Home Initiative.

    Bagi melaksanakan hasrat itu, Yayasan YTL telah bekerjasama dengan YTL Communications dan FrogAsia bagi memastikan anak-anak Malaysia tidak ketinggalan akibat penutupan sekolah dan boleh meneruskan pembelajaran di rumah tanpa bebanan kos tambahan ke atas keluarga mereka.

    Mulai hari ini, mereka boleh mengakses FrogPlay Mobile iaitu sebuah aplikasi mudah alih berbentuk permainan yang mengandungi pelbagai kuiz ulang kaji untuk semua mata pelajaran teras yang diajar di sekolah daripada Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima yang disusun khas oleh Pelangi, sebuah syarikat penerbitan buku pendidikan yang diyakini.

    Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL dan Pengerusi Yayasan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh berkata, bagi menyediakan akses dalam talian, ibu bapa boleh mendapatkan sehingga lima kad SIM prabayar 4G percuma daripada YES, satu untuk setiap anak yang masih belajar dalam keluarga berke-naan.

    Menurutnya, setiap SIM didatangkan dengan pelan data 40GB yang sah untuk tempoh 60 hari selepas diaktifkan dan ia akan dihantar ke rumah secara percuma.

    “Sebagai sebuah syarikat yang telah menerajui penggunaan teknologi dalam pendidikan sejak 2011, Kumpulan YTL yakin pembelajaran dalam talian boleh memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih memberangsangkan dan menarik untuk pelajar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Francis berkata, Yayasan YTL sentiasa berusaha membantu pelajar dan sekolah bagi menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada semua dan mahu memastikan kanak-kanak dapat meneruskan pembelajaran mereka di rumah.

    “Oleh itu, kami memberikan akses percuma untuk sumber pembelajaran dalam talian FrogAsia dan menyediakan data percuma melalui rangkaian mudah alih YES 4G.

    “Harapan kami semoga semua kanak-kanak di Malaysia akan kekal selamat dan pada masa yang sama dapat meneruskan pembelajaran,” katanya.

    Sila kunjungi www.ytlfoundation.org/learn untuk mendaftar FrogPlay Mobile dan memohon kad SIM prabayar YES 4G. Terdapat juga sumber-sumber pelajaran tambahan lain boleh didapati di halaman Learn From Home dalam laman sesawang Yayasan YTL.



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi, sejajar dengan pasaran global

    Bursa Malaysia dibuka tinggi, sejajar dengan pasaran global

    BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini, dengan semua indeks mencatatkan dagangan positif seiring dengan prestasi kenaikan dalam tempoh semalaman di pasaran global utama.

    Pada 9.05 pagi, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.79 peratus atau 36.12 mata kepada 1,327.28 daripada 1,291.148 ketika ditutup semalam.

    Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 480 berbanding 37, manakala 107 kaunter tidak berubah, 1,399 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 285.69 juta saham bernilai RM136.70 juta.

    Penganalisis berkata momentum menaik bursa tempatan adalah sejajar dengan sentimen global susulan pelbagai inisiatif kerajaan untuk menangani kesan ekonomi akibat penularan koronavirus (Covid-19).

    “Malaysia, Jepun sehinggalah ke Amerika Syarikat, setiap kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan pandemik itu ke atas ekonomi, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran,” katanya.

    Menurut Bloomberg dalam laporan rumusan pasarannya, ekuiti Jepun dibuka kira-kira tiga peratus lebih tinggi, manakala saham Australia dan Korea Selatan melonjak kira-kira lima peratus, sementara saham Asia-Pasifik mencatatkan pergerakan meningkat memasuki hari kedua.

    Tempoh semalaman itu pula menjadi hari terbaik bagi indeks AS seperti Purata Perindustrian Dow Jones apabila timbul semula minat dalam kalangan pelabur apabila Kongres berakhir dengan peruntukan perbelanjaan yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini, menerusi pakej rangsangan, untuk melonjakkan ekonominya yang lembap.

    Bagi minyak mentah pula, minyak Brent yang menjadi penanda aras, meningkat kepada AS$30.53 setong.

    Bagaimanapun, para penganalisis tetap berhati-hati apabila pengeluar utama dunia cenderung kepada untuk menurunkan lagi komoditi tersebut, sehingga serendah AS$10 setong.

    Bagi prestasi saham berwajaran tinggi, Public Bank mendahului dengan kenaikan 84 sen kepada RM16.08, diikuti Axiata naik 26 sen kepada RM3.53, Tenaga Nasional menokok 30 sen kepada RM12.12, Maybank menambah 14 sen kepada RM7.44, dan Petronas Chemicals meningkat 19 sen kepada RM4.49.

    Secara terkumpul, lima saham itu menyumbang 18.84 mata kepada kenaikan indeks komposit.

    Bagi saham aktif, kaunter minyak dan gas terus meningkat dengan Hibiscus naik tiga sen kepada 34 sen dan Velesto menokok 1.5 sen kepada 12 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 260.27 mata kepada 9,003.01; FBM 70 naik 358.0 mata kepada 10,056.73 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 250.64 mata kepada 9,721.76.

    Indeks FBMT 100 menambah 259.33 mata kepada 8,948.57 dan FBM Ace naik 122.63 mata kepada 3,674.78.

    Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.89 mata kepada 100.21, Indeks Perladangan menokok 25.23 mata kepada 5,859.31 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 355.13 mata kepada 12,350.61.-Bernama



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT meningkat berbanding dolar AS ketika sesi awal dagangan hari ini didorong minat belian sederhana terhadap mata wang tempatan.

    Pada 9.04 pagi, unit tempatan berada pada 4.4300/4400 berbanding dolar AS daripada 4.4335/4400 ketika ditutup pada Selasa.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, walaupun dolar AS rendah sedikit di peringkat global, namun ringgit masih bergelut dengan keadaan politik yang tidak mudah, turun naik harga minyak mentah serta Perintah Kawalan Pergerakan, yang terus menyukarkan usaha pemulihan ekonomi.

    “Selain itu, pelabur bon Malaysia mulai semakin bimbang memandangkan Sekuriti Kerajaan Malaysia berada dalam senarai pemerhatian Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE dan semakan semula interim akan dikeluarkan bulan ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

    Unit domestik tinggi berbanding yen kepada 3.9949/0051 daripada 4.0174/0185 ketika ditutup semalam dan naik berbanding euro kepada 4.7809/7934 daripada 4.7967/8007.

    Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0566/0646 daripada 3.0557/0611 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2181/2312 daripada 5.1689/1703. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT kembali meningkat daripada penurunan semalam untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, memandangkan perkembangan terkini pasaran global mendorong sebahagian pelabur beralih kepada aset lebih berisiko, kata peniaga.

    Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.4335/4400 berbanding dolar AS daripada 4.4400/4480 ketika ditutup semalam.

    Rizab Persekutuan AS telah mengumumkan program pembelian terbuka aset semalam dan mengatakan ia akan berjalan berasaskan jumlah yang diperlukan untuk menyokong kelancaran fungsi pasaran selain penyampaian berkesan dasar monetari untuk situasi kewangan meluas dan ekonomi negara itu.

    Peniaga berkata, Jerman kini bersedia untuk memperkenalkan langkah rangsangan utama memandangkan kes kematian akibat jangkitan COVID-19 meningkat seluruh Eropah.

    Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama.

    Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0557/0611 daripada 3.0474/0543 ketika ditutup semalam dan susut berbanding euro kepada 4.7967/8007 daripada 4.7539/7634.

    Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 4.0174/0185 daripada 4.0290/0374 semalam, namun lemah berbanding pound Britain kepada 5.1689/1703 daripada 5.1619/1730. – Bernama



    Sumber

  • Bank Rakyat lancar kempen bantu individu, perniagaan terjejas Covid-19

    Bank Rakyat lancar kempen bantu individu, perniagaan terjejas Covid-19

    BANK Rakyat mengambil langkah proaktif dalam membantu individu dan perniagaan yang terjejas daripada kesan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19) yang berterusan dengan menawarkan pelbagai bantuan kewangan.

    Bank tersebut telah mewujudkan kempen ‘Bank Rakyat Cares’ yang tertumpu kepada tiga produk Bank Rakyat iaitu Pembiayaan Berjangka-i untuk usahawan mikro, Pembiayaan Berjangka-i untuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan koperasi serta Kad Kredit-i.

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Bank Rakyat memperuntukkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM200 juta.

    “Ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank bagi membantu usahawan dan koperasi untuk menangani masalah kewangan mereka dan membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek akibat kesan wabak Covid-19.

    “Kempen yang bermula dari 23 Mac sehingga 30 September 2020 diharap dapat membantu usahawan dan koperasi mengekalkan kesinambungan perniagaan masing-masing dan dapat melonjakkan semula ekonomi negara sepanjang tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, kempen itu akan memberi manfaat kepada hampir lapan juta pelanggannya.

    Ini termasuklah juga pelanggan Kad Kredit-i yang diberikan diskaun kadar keuntungan sebanyak 50 peratus apabila membuat pengeluaran tunai.

    “Dengan cara ini, pelanggan bukan sahaja mempunyai lebihan tunai tetapi dikenakan kadar keuntungan yang lebih rendah daripada kadar keuntungan sedia ada.

    “Inisiatif ini membolehkan Bank Rakyat membantu pelanggan kad kreditnya yang 30 peratus daripadanya terdiri daripada golongan B40 untuk menguruskan keperluan harian mereka,” tambah beliau.

    Rosman berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian program bantuan kewangan sedia ada termasuk moratorium pembayaran balik pembiayaan selama enam bulan yang ditawarkan kepada semua individu dan perniagaan yang terjejas seperti yang diumumkan pada 8 Februari 2020.

    Kempen ‘Bank Rakyat Cares’ bagi Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (Usahawan Mikro) terbuka kepada semua sektor yang layak termasuk borong atau runcit, pertanian dan berasaskan pertanian, pelancongan dan kesihatan, pengangkutan serta perkhidmatan.

    Perniagaan yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga lima tahun.

    Bank menawarkan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan bagi pemilik perniagaan yang terjejas.

    Selain itu, 50 peratus yuran guaman ditanggung oleh bank.

    Bagi Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (PKS dan Koperasi) ia terbuka kepada semua sektor yang layak termasuk borong atau runcit, pertanian dan berasaskan pertanian, pelancongan dan kesihatan, pengangkutan serta perkhidmatan.

    Perniagaan yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM200,000.00 bagi tempoh sehingga lima tahun.

    Bank tersebut menawarkan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan bagi pemilik perniagaan yang terjejas.

    Termasuk 50 peratus yuran guaman ditanggung oleh bank.

    Bagi pengeluaran Tunai Kad Kredit-i, ia terbuka kepada pemegang kad utama dan tambahan Kad Kredit-i kecuali pemegang Kad Kredit-i Korporat.

    Tiada jumlah minimum atau had yang dikenakan atas jumlah urus niaga pengeluaran tunai.

    Kadar keuntungan yang dikenakan bagi urus niaga pengeluaran tunai dikurangkan sebanyak 50 peratus sepanjang tempoh kempen.

    Pengeluaran tunai adalah tertakluk pada had kredit sedia ada

    Pada masa yang sama, usahawan juga boleh memohon Kemudahan Bantuan Khas di bawah tabung Bank Negara Malaysia yang terbuka kepada PKS bagi membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas oleh wabak Covid-19.

    Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Bank Rakyat dan emel ke [email protected] dengan butiran anda untuk tindakan selanjutnya atau hubungi tele-Rakyat di 1-300-80-5454 untuk bantuan.



    Sumber

  • Kaunter minyak dan gas, teknologi paling aktif di bursa

    Kaunter minyak dan gas, teknologi paling aktif di bursa

    KAUNTER saham berkaitan minyak dan gas (O&G) dan teknologi mendominasi 20 kaunter paling aktif di Bursa Malaysia hari ini, susulan peningkatan harga minyak dan permintaan terhadap usaha pendigitalan.

    Minyak mentah penanda aras global Brent meningkat sebanyak 2.19 peratus kepada AS$29.93 yang terbukti menguntungkan kaunter O&G berkenaan.

    Pada jam 11.50 pagi ini, Sapura Energy untung setengah sen kepada 7.5 sen, Hibiscus Petroleum naik 2.5 sen kepada 31 sen, Perdana Petroleum dan Velesto masing-masing meningkat satu sen kepada 13 sen dan 11 sen manakala Dayang menambah 9.5 sen kepada 89 sen.

    Kesemua kaunter itu secara keseluruhannya menyaksikan sejumlah 150.82 juta saham saling berpindah tangan.

    Sementara itu, indeks teknologi turut menokok 5.14 peratus kepada 25.78 mata selepas mengalami penyusutan hampir lapan peratus, semalam.

    Seorang penganalisis berkata walaupun saham berkaitan teknologi yang juga saham bermodal kecil atau sederhana, dilihat paling goyah, ia sebaliknya dijangkakan meningkat pada bila-bila masa berikutan peningkatan permintaan pendigitalan.

    Selain itu, Vortex Consolidation dan Sanichi misalnya tidak berubah pada 2.5 sen dan 4.5 sen dengan sejumlah 132.21 juta saham diniagakan. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada awal dagangan

    Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada awal dagangan

    RINGGIT dibuka mengukuh berbanding dolar AS hari ini berikutan pemulihan minat belian terhadapnya.

    Pada jam 9.01 pagi ini, ringgit berada pada 4.4270/4370 berbanding dolar AS daripada 4.4400/4480 sewaktu ditutup semalam.

    Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata pelabur kecewa dengan tindakan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang tidak memberi sebarang pemulihan pasaran yang ketara apabila pasaran ekuiti terus bergelut untuk meningkat semula manakala prestasi dolar AS terus negatif.

    “Kita mungkin melihat kenaikan jangka pendek susulan rangsangan Fed yang membantu sentimen global. Selain itu, harga minyak turut meningkat sedikit berikutan kemungkinan sokongan OPEC dan AS terhadap harga minyak.

    “Saya berpendapat bahawa dagangan minyak itu dijalankan secara bertahan dan masih diasak tekanan hebat kerana keadaan ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

    Semalam, Fed berkata, ia berkemungkinan membeli sejumlah besar kertas Perbendaharaan dan sekuriti yang disokong oleh gadai janji.

    Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama lain.

    Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0397/0482 daripada 3.0474/0543 pada Isnin, naik berbanding yen kepada 4.0078/0179 daripada 4.0290/0374 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1340/1474 daripada 5.1619/1730.

    Ringgit bagaimana pun susut berbanding euro kepada 4.7816/7942 daripada 4.7539/7634. – Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu sentimen optimis global

    Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu sentimen optimis global

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dengan kesemua indeks mencatat dagangan lebih positif, didorong oleh sentimen optimis di peringkat global berikutan langkah-langkah bagi menangani impak ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

    Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.11 peratus atau 26.57 mata kepada 1,286.49 berbanding 1,259.88 sewaktu ditutup semalam.

    Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 276 berbanding 57 manakala 107 kaunter lain tidak berubah, 1,578 tidak didagangkan dan 18 lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 186.49 juta saham bernilai RM93.88 juta.

    Seorang penganalisis berkata pelabur terus berusaha mencari pakej fiskal dan sokongan bank pusat susulan unjuran ekonomi yang diturunkan di peringkat global selain kebimbangan berterusan akibat impak Covid-19 berkenaan.

    “Di Malaysia, pengumuman kerajaan mengenai rancangan mengurangkan kesan ekonomi akibat krisis kesihatan itu yang dibuat semalam telah menyebabkan pelabur berasa lebih lega pada masa ini.

    “Mereka turut menunggu pakej rangsangan ekonomi kedua bagi menangani masalah ini,” katanya.

    Di peringkat rantau Asia Pasifik, indeks penanda aras itu sekurang-kurangnya meningkat satu peratus di Tokyo, Seoul dan Sydney selepas gelombang inisiatif lebih besar daripada rizab persekutuan masing-masing ternyata membantu mengurangkan beberapa risiko kredit korporat.

    Bloomberg melaporkan bahawa pelabur juga menunggu perkembangan rundingan kongres Amerika Syarikat membabitkan pakej fiskal.

    Dalam pada itu, mata wang global juga menunjukkan tanda-tanda optimis apabila yen naik 0.3 peratus berbanding dolar AS, euro menokok 0.4 peratus berbanding dolar AS kepada AS$1.0764, pound Britain meningkat pada AS$1.1585 dan yuan di luar pesisir China pada 7.1093 berbanding dolar AS iaitu kenaikan sebanyak 0.2 peratus.

    Dari segi prestasi minyak, paras harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global telah meningkat kepada AS$29.93 setong, namun, penganalisis berkata syarikat gergasi minyak di seluruh dunia bersedia untuk berdepan senario paling buruk iaitu harga minyak menjunam ke paras AS$10 setong.

    Sementara itu di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank naik 14 sen kepada RM7.26, Tenaga untung 12 sen kepada RM12.02, Public Bank menokok RM1.04 kepada RM14.94, Petronas Chemicals menambah 14 sen kepada RM4.41 dan MISC meraih 10 sen kepada RM7.50.

    Bagi saham aktif, kaunter berkaitan minyak dan gas terus mendominasi dengan Sapura Energy naik satu sen kepada lapan sen manakala Hibiscus meningkat 2.5 sen kepada 31 sen dan Perdana menambah setengah sen kepada 12.5 sen.

    Indeks FBM Emas naik 179.71 mata kepada 8,681.36 manakala FBM 70 melonjak 194.94 mata kepada 9,547.85 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 120.18 mata kepada 9,448.42.

    Indeks FBMT 100 pula menokok 177.96 mata kepada 8,636.07 dan FBM Ace naik 93.60 mata kepada 3,445.54.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 1.70 mata kepada 96.83, Indeks Perladangan naik 12.88 mata kepada 5,743.58 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 386.14 mata kepada 11747.73. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini

    Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini

    RINGGIT susut daripada aliran pengukuhannya pada minggu lepas apabila ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini, ketika pelabur beralih kepada aset selamat akibat ketidaktentuan yang terus menyelubungi prospek ekonomi global, kata peniaga.

    Setakat 6 petang ini, ringgit berada pada paras 4.4400/4480 berbanding 4.3947/4012 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

    Bagaimana pun seorang peniaga berkata peningkatan yang dicatatkan oleh dolar AS adalah terhad selepas barisan penggubal undang-undang negara itu gagal meluluskan pakej rangsangan bagi menampan negara maju itu daripada impak pandemik koronavirus (Covid-19).

    Akibatnya, beberapa pelabur yang sebelum ini mengharapkan pakej rangsangan itu secara besar-besaran melepaskan rasa kecewa dengan menjual unit mata wang negara maju tersebut.

    “Kalangan penggubal undang-undang di Washington gagal mencapai kata sepakat berhubung langkah pakej rangsangan itu manakala undian pada Isnin tidak dapat dilakukan berikutan perbalahan pihak Republican dan Demokrat berhubung butiran cadangan perbelanjaan AS$1 bilion dalam pakej itu,” kata peniaga.

    Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

    Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0474/0543 daripada 3.0303/0369 sewaktu dagangan ditutup pada Jumaat dan rendah berbanding euro kepada 4.7539/7634 daripada 4.7204/7303, sebelum ini.

    Ringgit juga rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0290/0374 daripada 3.9811/9898, tetapi mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1619/1730 daripada 5.1926/2042. -Bernama



    Sumber

  • Harga minyak dunia jatuh: Bursa Malaysia dibuka rendah

    Harga minyak dunia jatuh: Bursa Malaysia dibuka rendah

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi ini sejajar dengan penurunan berterusan harga minyak global yang ketika ini diniagakan di bawah paras AS$30 setong.

    Pada jam 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.64 peratus atau 60.58 mata kepada 1,242.70 manakala indeks lain juga dibuka rendah.

    Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 515 berbanding 36 manakala 66 kaunter tidak berubah, 1,402 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah 210.83 juta saham bernilai RM91.45 juta.

    Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada AS$28.15 setong, paras terendahnya sejak 2003 selepas turun hampir tiga peratus semalam.

    Minyak mentah Brent susut 66.16 peratus daripada nilainya setakat ini pada tahun ini.

    Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini berkata dalam keadaan kemeruapan yang berterusan, FBM KLCI dijangka turun daripada kenaikan yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas dengan para pelabur terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran global, seiring dengan prestasi indeks global terutamanya Dow Jones Industrial Average.

    “FBM KLCI dijangka bergerak semula menuju ke arah paras ketahanan 1,250 dengan paras sokongan pada 1,210. Di keseluruhan pasaran, saham dan kaunter berharga rendah dijangka terus mengalami turun naik apabila para peniaga melepaskan pegangan mereka untuk mengelakkan lagi prestasi tidak menentu.

    “Dengan sentimen negatif dijangka menguasai pasaran di tengah-tengah peningkatan penularan Covid-19, kami merasakan aktiviti dagangan akan tertumpu kepada sektor penjagaan kesihatan,” kata firma pembrokeran itu.

    FBM KLCI mencecah paras terendahnya dalam tempoh 10 tahun minggu lepas susulan aliran keluar dana disebabkan penurunan harga minyak mentah dan situasi koronavirus (Covid-19) yang semakin memburuk di seluruh dunia.

    Penganalisis minyak berkata, penurunan harga minyak itu dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini.

    Bagi keseluruhan indeks, saham permodalan kecil dan sederhana mencatatkan penurunan besar diikuti kaunter teknologi serta pembinaan.

    Bagi saham wajaran tinggi, semua kaunter susut diterajui kaunter kewangan.

    Maybank turun 28 sen kepada RM7.23, CIMB Group susut 38 sen kepada RM3.26 dan Public Bank jatuh 62 sen kepada RM13.42.

    Semua kaunter berkaitan Petronas juga mencatatkan penurunan apabila Petronas Chemicals turun 25 sen kepada RM4.18, MISC susut 20 sen kepada RM7.24, Petronas Gas jatuh 74 sen kepada RM14.94 dan Petronas Dagangan berkurangan 90 sen kepada RM9.10.

    Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy dan Borneo Oil kedua-duanya turun setengah sen kepada tujuh sen dan 10 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 436.54 mata kepada 8,406.24, Indeks FBM Emas Shariah susut 440.80 mata kepada 9,223.34 dan FBM 70 turun 586.10 mata kepada 9,302.16.

    Indeks FBMT 100 jatuh 423.14 mata kepada 8,357.15 dan FBM Ace susut 215.74 mata kepada 3,303.38.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.34 mata kepada 94.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 635.83 mata kepada 11,185.68 dan Indeks Perladangan susut 279.24 mata kepada 5,658.39. – Bernama



    Sumber