Blog

  • Affin Bank, Affin Islamic tawar bantuan kewangan Covid-19

    Affin Bank, Affin Islamic tawar bantuan kewangan Covid-19

    KUALA LUMPUR – Affin Bank Bhd dan Affin Islamic Bank Bhd akan menawarkan bantuan pelepasan kewangan yang komprehensif untuk pelanggan yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

    Ia bertujuan mengurangkan beban kewangan pelanggan yang terpaksa menanggung ketidakpastian pasaran dan kesusahan kewangan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    “Kami komited untuk meneruskan sokongan kepada para pelanggan yang telah memilih kami sebagai rakan perbankan pilihan mereka dengan meringankan mereka daripada kesusahan dalam saat-saat yang mencabar ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Kamarul Ariffin Mohd Jamil.

    Untuk pelanggan runcit, bank akan menyediakan moratorium sehingga enam bulan, penstrukturan dan penjadualan semula kemudahan pembiayaan ke atas pelanggan yang terlibat dalam gadai janji, sewa beli, kad kredit, pembiayaan pendidikan, pembiayaan Amanah Saham Nasional Bhd dan peribadi.

    Bagi pelanggan perbankan korporat, bank akan memberikan kelegaan sementara kepada pelanggan terjejas yang layak seperti yang termaktub dalam Garis Panduan Risiko Kredit Bank Negara Malaysia dan permintaan tersebut akan tertakluk kepada kelulusan dalaman dan usaha wajar kredit.

    Bantuan tersebut mungkin merangkumi penjadualan dan penyusunan semula seperti pemberian moratorium ke atas pinjaman/pembiayaan termasuk pembayaran balik sehingga enam bulan tertakluk kepada terma dan syarat.

    Maklumat lanjut boleh didapati dari www.affinbank.com.my atau www.affinislamic.com.my.

    Bank juga menggalakkan pelanggan untuk melakukan transaksi perbankan melalui platform dalam talian di www.affinonline.com bagi memudahkan transaksi.

    Semua cawangan akan kekal dibuka seperti biasa.

    Untuk keselamatan dan kesihatan pelanggan termasuk pekerja, bank akan mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan suhu untuk semua pelanggan. – Bernama



    Sumber

  • Celcom tawar pemberian tambahan khas

    Celcom tawar pemberian tambahan khas

    CELCOM Axiata Berhad (Celcom) terus memberikan sokongannya kepada pelanggan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menerusi tawaran inisiatif bantuan tambahan khas.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, syarikat itu akan terus komited dalam menyokong rakyat Malaysia dengan memastikan mereka terus terhubung dalam keadaan yang mencabar ini.

    ” Memandangkan pelanggan kami sedang bekerja dari rumah atau membataskan pergerakan mereka, kami telah bersedia menghadapi permintaan yang meningkat dan penggunaan yang berbeza.

    ” Pada masa ini, kami juga memberikan sokongan kepada pelanggan dengan inisiatif bantuan tambahan khas,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, Idham berkata, bermula hari ini sehingga 31 Mac, Celcom menyediakan sokongannya untuk perkhidmatan bantuan akses penggunaan WhatsApp percuma tanpa had (sembang, panggilan suara & video) bagi semua pelanggan pascabayar dan prabayar Celcom Xpax (Jam 8 pagi sehingga 6 petang setiap hari).

    Beliau berkata, selain itu, pelanggan pasca bayar Celcom juga dapat menikmati tempoh bayaran bil yang dipanjangkan selama tujuh hari dari tarikh sebenar yang dijadualkan.

    “Antara bantuan lain adalah pelanggan prabayar Celcom Xpax juga dapat menikmati pulangan tunai 10 peratus apabila membeli tambah nilai Xpax Reloads bernilai RM10 ke atas melalui aplikasi Celcom Life (sehingga 30 Jun 2020).

    “Terdapat beberapa lagi inisiatif disediakan Celcom bagi membantu pelanggan kami sepanjang tempoh mencabar ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Idham berkata, Celcom bersama pemain industri telekomunikasi lain akan turut menyediakan sambungan percuma ke talian Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

    “Kami juga menjangkakan penggunaan rangkaian akan meningkat dengan ketara dalam tempoh ini.

    “Oleh itu, kami memohon pengguna untuk menggunakan rangkaian kami dengan bertanggungjawab bagi aktiviti yang produktif,” katanya.



    Sumber

  • Orang ramai jangan panik.. Pasar Raya Mydin ada!

    Orang ramai jangan panik.. Pasar Raya Mydin ada!

    Orang ramai jangan panik..

    Pasar Raya Mydin sentiasa ada untuk anda.

    Bermula 18 Mac 2020, Mydin beroperasi 30 minit lebih awal dari waktu biasa.

    Kaunter khas turut dibuka untuk memudahkan orang ramai membuat pembelian.

    Jom beli-belah di Mydin.. Hari-hari Mydin Murah!



    Sumber

  • Petronas perkenal jurutera bendalir trek baharu

    Petronas perkenal jurutera bendalir trek baharu

    ANAK syarikat milik penuh Petronas iaitu Petronas Lubricant International (PLI) mengumumkan En De Liow dari Malaysia sebagai pemenang pencarian global 2020 mereka untuk jurutera bendalir trek Petronas (PTFE).

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Petronas menjelaskan, De Liow, 26, akan menyediakan perkhidmatan sokongan yang berkaitan dengan kejuruteraan bendalir kepada pemenang enam kali Formula 1 Persekutuan Automobil (FIA), Mercedes-AMG Petronas sepanjang 22 perlumbaan musim kejohanan pada tahun ini.

    “Setelah berjaya menyelesaikan proses pemilihan yang ketat, jurutera automotif memuji hakim semasa pusingan pemilihan akhir edisi kedua pencarian PTFE yang memerlukan pemohon untuk melalui pusingan kompetitif melalui ujian kemahiran teknikal, komunikasi dan kerja berpasukan mereka,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan PLI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Giuseppe D’Arrigo berkata, pihaknya sentiasa melabur untuk mencari bakat muda bagi menghasilkan idea inovatif untuk pembangunan teknologi cecair tinggi untuk rakan kongsi dan pengguna kami.

    “Tahniah kepada De Liow kerana menjadi jurutera bendalir trek Petronas terkini.

    “Ia adalah peluang seumur hidup yang akan meningkatkan prestasinya secara profesional dan peribadi,” katanya.

    De Liow berkata, beliau berterima kasih kerana diberi peluang bekerja di dalam pasukan Formula 1 yang menjadi impian sepanjang hayatnya.

    “Saya berharap dapat belajar dengan pasukan dan memberikan yang terbaik melalui pengalaman baharu dan luar biasa ini,” katanya.

    De Liow akan bekerjasama dengan pemenang PTFE tahun lalu, Stephanie Travers di dalam makmal trek bagi meningkatkan prestasi kumpulan.



    Sumber

  • Ringgit terus merosot pada pembukaan

    Ringgit terus merosot pada pembukaan

    KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan aliran penurunan semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19 yang mengekang minat pedagang untuk mengambil risiko, kata peniaga.

    Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3090/3130 berbanding dolar AS daripada 4.3030/3080 semasa ditutup pada Isnin.

    Beliau berkata, pakej rangsangan ekonomi 2020 Malaysia yang diumumkan bulan lepas untuk mengurangkan impak daripada Covid-19 gagal menyokong ringgit, berikutan seramai 125 orang lagi telah disahkan dijangkiti virus tersebut semalam, meningkatkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan mendorong pihak berkuasa untuk mengambil tindakan drastik.

    Semalam, kerajaan mengumumkan ia akan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara hingga akhir Mac 2020 untuk mengawal penyakit itu.

    “Selain itu, prospek ekonomi negara turut dijejaskan oleh kejatuhan harga minyak mentah dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu,” katanya.

    Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

    Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0356/0405 daripada 3.0260/0312 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0403/0452 daripada 4.0613/0672 semasa ditutup semalam.

    Unit tempatan jatuh berbanding pound kepada 5.2772/2834 daripada 5.2711/2876 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8127/8189 daripada 4.8155/8228. – Bernama



    Sumber

  • Mofaz Dagang sasar jualan kurma RM50 juta

    Mofaz Dagang sasar jualan kurma RM50 juta

    ANAK syarikat Kumpulan Mofaz, Mofaz Dagang Sdn Bhd optimis kurma Algeria yang diedarkan mampu cecah jualan sehingga RM50 juta.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Mofaz Dagang menjelaskan, keyakinan tersebut diletakkan bersandarkan kepada potensi eksport buah tersebut susulan permintaannya yang tinggi pada Ramadan selain kesedaran tinggi pengguna terhadap khasiatnya.

    Katanya, kurma tersebut akan dieksport dari Algeria ke Malaysia menerusi salah satu anak syarikatnya iaitu Mofaz Sarl Badjamana (Mofaz Algeria).

    “Mofaz Sarl Bardjamana mempunyai 750 ekar penanaman kurma di Algeria yang diberi nama Noor Mofaz.

    “Syarikat ini berhasrat mengeksport kurma ke pasaran luar negara seperti Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), Turki dan ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Menurutnya, pengedaran ke seluruh negara akan dikendalikan oleh tiga rakan niaga mereka iaitu GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), Abo Haeba Integrated Sdn Bhd (Abo Heaba) dan Indahraya International Ventures Sdn Bhd (Indahraya).

    “Abo Heaba menguruskan salah satu pasar raya ZamZam Mart yang menjual pelbagai variasi produk dari Timur Tengah manakala GISB Holdings pula merancang membekalkan kurma ini ke cawangan pasar raya dan restoran mereka di luar negara melalui rangkaian perniagaan halal di 16 buah negara.

    “Sementara Indahraya yang mempunyai lima tahun pengalaman dalam perniagaan halal pula akan mengedarkan kurma ini menerusi pasaran sedia ada di dalam dan luar negara,” katanya.

    Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan, Mofaz Dagang turut mengalu-alukan lebih ramai rakan kongsi perniagaan tempatan dan luar negara yang berpotensi untuk memanfaatkan peluang berkenaan sebelum musim puncak akan datang.

    Penanaman kurma di negara Mediterranean itu merupakan perniagaan tunjang dengan 18 juta pokok palma yang dapat menghasilkan 500,000 tan setahun.

    Algeria adalah salah satu negara yang menjadi pengeksport utama dan pengeluar kurma ketujuh terbesar di dunia.



    Sumber

  • Bursa Malaysia beroperasi seperti biasa

    Bursa Malaysia beroperasi seperti biasa

    KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan terus beroperasi seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari dari 18-31 Mac.

    Dalam kenyataan, bursa itu berkata ia telah menyediakan infrastruktur, peraturan dan proses yang diperlukan untuk melindungi dan mengekalkan pasaran yang adil dan teratur.

    Katanya operasi pasaran yang berterusan penting untuk menyokong prinsip mekanisme pasaran yang cekap dengan campur tangan yang minimum atau tiada campur tangan.

    Bagi memastikan keseragaman amalan pasaran, peraturan semakan kini diperluaskan kepada jualan singkat harian (IDSS) dan aktiviti jualan singkat yang dibenarkan bagi Akaun Pelaburan (IVT) dan ‘Market Maker’.

    Peraturan semakan itu turut terpakai untuk aktiviti jualan singkat Proprietary Day Trader (PDT).

    “Kami akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau perkembangan mengenai koronavirus (Covid-19) di peringkat nasional dan global untuk menilai impaknya dan menilai situasi dalam pasaran,” katanya.-Bernama



    Sumber

  • BHPetrol lancar kempen BHPetrol Infiniti Care cegah Covid-19

    BHPetrol lancar kempen BHPetrol Infiniti Care cegah Covid-19

    SHAH ALAM – BHPetrol mengambil inisiatif untuk menjalankan kempen BHPetrol Infiniti Care bagi mencegah penularan Koronavirus (Covid-19).

    Langkah tersebut dikongsikan di media sosial BHPetrol sebagai tanda prihatin dengan keselamatan pelanggan dan masyarakat di negara ini.

    BHPetrol dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, setiap kawasan stesen disanitasi dengan lebih kerap termasuk nozel pam, kaunter, mesin ATM dan tandas.

    “Antara stesen yang telah mengambil langkah ini adalah BHPetrol Rosmerah, BHPetrol Lorong Pandan, BHPetrol Masai, BHPetrol Desa Skudai dan BHPetrol MRR2 Taman Melati.

    “Lindungi diri anda dengan sentiasa berwaspada dan amalkan langkah-langkah keselamatan dari ancaman Covid-19,” menurut kenyataan itu.

    BHPetrol menjalankan kempen BHPetrol Infiniti Care bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

    BHPetrol menjalankan kempen BHPetrol Infiniti Care bagi mencegah penularan wabak Covid-19.



    Sumber

  • Tonton siaran eksklusif perlawanan bola sepak di unifi TV

    Tonton siaran eksklusif perlawanan bola sepak di unifi TV

    LEBIH ramai rakyat Malaysia boleh menikmati kandungan bola sepak tempatan menerusi peranti di platform unifi TV.

    Unifi, jenama utama di bawah Telekom Malaysia Berhad (TM) meraikan penstriman digital pertamanya dengan mengundang 10 pemegang pas VVIP Team Malaysia menyaksikan perlawanan CIMB Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru baru-baru ini.

    Penstriman digital unifi untuk semua perlawanan Liga Malaysia dijayakan menerusi perjanjian kerjasama selama tiga tahun antara TM Multi-Media (TMM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini.

    Rakyat Malaysia kini boleh mengakses kesemua perlawanan Liga Malaysia menerusi Pek Ultimate unifi TV dan aplikasi unifi playTV dalam pelbagai peranti termasuk telefon pintar, tablet dan kotak TV Android.

    Naib Presiden dan Ketua Pemasaran Komersial TM, Lai Shu Wei berkata, pelanggan Pek Ultimate boleh menonton perlawanan secara percuma.

    Katanya, unifi TV secara eksklusif membawa kesemua perlawanan secara langsung dengan Ultimate Pack menerusi lima saluran sukan unifi.

    Untuk mengetahui mengenai pas tontonan unifi TV Liga Malaysia, sila layari unifi.com.my/ligamalaysia, unifi.com.my atau lawati unifi.com.my/tv.



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini

    RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini meneruskan penurunan pada Jumaat minggu lepas di tengah-tengah kebimbangan penularan koronavirus (Covid-19) serta penurunan harga minyak mentah dunia, kata seorang peniaga.

    Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.2900/2970 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2750/2800 pada Jumaat.

    Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, negara melaporkan peningkatan terbesar kes Covid-19 dalam satu hari sejak wabak itu bermula pada 25 Januari iaitu sebanyak 190 kes pada Ahad.

    Jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 adalah seramai 428 di negara ini, menjadikan Malaysia negara paling teruk terjejas oleh pandemik itu di Asia Tenggara.

    Peniaga itu berkata pasaran ekuiti dan minyak global terjejas disebabkan oleh ketidakpastian apabila para pelabur menilai kesan ekonomi daripada Covid-19 dan perang harga minyak mentah Rusia-Arab Saudi yang menyebabkan harga komoditi itu jatuh menjunam.

    Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0254/0314 daripada 3.0360/0406 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0127/0204 daripada paras penutup 4.0228/0279 pada Jumaat.

    Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.2904/3008 daripada 5.3822/3902 dan menokok berbanding euro kepada 4.7688/7783 daripada 4.7730/7790.- Bernama



    Sumber