Blog

  • Perbadanan Nasional ambil langkah proaktif tangani Covid-19

    Perbadanan Nasional ambil langkah proaktif tangani Covid-19

    SHAH ALAM – Perbadanan Nasional (PNS) telah mengambil langkah proaktif bagi mencegah warga kerja daripada terdedah dengan wabak koronavirus (Covid-19) di Menara PNS, Bangsar South, Kuala Lumpur.

    Dalam kenyataan hari ini, PNS menyatakan proses pembersihan dan pembasmian virus telah dijalankan bermula pada 5 Mac hingga 8 Mac lalu bertujuan untuk memastikan persekitaran yang bersih untuk pekerja, penyewa dan pelawat sepanjang masa.

    “PNS juga telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan Covid-19 dengan memeriksa suhu badan setiap warga kerja, penyewa dan pelawat sebelum memasuki Menara PNS dan menyediakan pembersih tangan di dua kaunter utama bangunan.

    “PNS juga telah mengaktifkan Crisis Management Team (CMT) untuk bersedia mengatasi krisis Covid-19 jika virus tersebut menular ke PNS. CMT bertanggungjawab memantau keadaan dan akan berhubung secara langsung kepada semua warga kerja dan penyewa seperti memberi peringatan dan arahan tindakan bagi menangani krisis penularan Covid-19 secara menyeluruh,”katanya.

    Menurutnya, PNS sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan warga kerja dengan mengedarkan topeng muka dan suplemen Vitamin C seperti yang disarankan pakar perubatan untuk meningkatkan sistem imunisasi menangani virus.

    “PNS menyarankan kepada warga kerja untuk meluangkan masa berjalan kaki pada setiap pagi bagi mendapatkan sumber Vitamin D daripada sinaran matahari selain menggalakkan gaya hidup sihat,”katanya.

    Sementara itu, outlet Gloria Jean’s Coffees dan 1901 di Menara PNS beroperasi seperti biasa dan langkah-langkah yang disyorkan tetap dilaksanakan sepanjang masa.



    Sumber

  • EduCity hab pendidikan antarabangsa pertama di Asia

    EduCity hab pendidikan antarabangsa pertama di Asia

    EDUCITY Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) berhasrat menarik lebih banyak pelaburan institusi pendidikan menerusi konsep ‘Plug & Play’ yang ditawarkan.

    Ini menjadikan EduCity sebagai lokasi ideal untuk institusi pendidikan antarabangsa dan tempatan mengembangkan kehadiran mereka di Malaysia.

    Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata, EduCity sebagai salah satu peneraju hub pendidikan tinggi di negara ini mempunyai objektif untuk memperkenalkan Malaysia sebagai pusat pendidikan cemerlang di dunia.

    “Menerusi konsep ‘Plug & Play’, EduCity menawarkan bantuan kepakaran dan pengalaman untuk institusi pendidikan ini berkembang di Malaysia.

    “EduCity berupaya menjadi ‘One Stop Center’ dan itulah nilai tambah yang kita tawarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

    Beliau berkata, institusi pendidikan juga tidak perlu melabur untuk mewujudkan infrastruktur lain, malah di EduCity kesemua fasiliti itu telah disediakan.

    “Di EduCity, kami menyediakan ekosistem yang lengkap antaranya kemudahan tempat tinggal yang dinamakan ‘EduCity Village’, kompleks sukan bertaraf antarabangsa dengan kolam renang bersaiz Olimpik, pusat rekreasi iaitu ‘EduCity Student Hub’ dan pelbagai kemudahan lain yang terkini,” katanya.

    Tambah beliau lagi, tiada hab pendidikan di peringkat global yang menyamai EduCity dengan kemudahan kampus pelbagai universiti serta menempatkan sejumlah universiti terkemuka antarabangsa.

    EduCity kini mempunyai sembilan rakan pendidikan termasuk dua sekolah antarabangsa iaitu Newcastle University Medicine Malaysia (NuMed), University of Southampton Malaysia, University of Reading Malaysia, Netherlands Maritime Institute of Technology, Multimedia University (MMU), Raffles University, Marlborough College Malaysia, Raffles American School and Management Development Institute of Singapore.

    Sehingga kini, terdapat lebih 4,000 pelajar yang sedang mengikuti pelbagai peringkat pengajian di EduCity dan hab pendidikan itu telah menghasilkan 4,000 lepasan siswazah.

    Menerusi tagline EduCity, ‘Learn. Live. Lead.’ Wan Ahmad Saifuddin berkata, di EduCity, pengalaman adalah kunci utama yang mewujudkan pemimpin masa hadapan.

    “Dalam keadaan normal, universiti memberikan perkhidmatan pendidikan tinggi kepada pelajar untuk mendapatkan ijazah semata-mata.

    “Namun di EduCity, dengan belajar mereka mendapat ilmu pengetahuan serta pengalaman di kelas. EduCity juga meningkatkan pengalaman pelajar dan membentuk mereka menjadi pemimpin.

    “Di mana pelajar menggunakan pengetahuan secara holistik dan kami menyediakan pengalaman sebenar untuk kehidupan di luar universiti. Pengalaman inilah yang membezakan EduCity,” katanya yang menyasarkan kemasukan pelajar dari Indonesia dan Timur Tengah.

    Dalam pada itu, EduCity dalam perancangan untuk melancarkan semula jenama EduCity beserta tagline ‘Learn. Live. Lead’ pada Mac serta merancang untuk membuka institusi pendidikan sendiri yang membolehkannya menawarkan program ‘twinning’.

    “EduCity juga melihat peluang menjalinkan ‘partnership’ dengan mengendalikan kursus di tempat lain antaranya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu,” ujarnya.



    Sumber

  • Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT kembali meningkat daripada penurunan sebelum ini untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat peniaga untuk mengambil risiko bertambah baik walaupun bimbang mengenai Covid-19.

    Mata wang tempatan meningkat kepada 4.2300/2350 berbanding dolar AS daripada 4.2350/2400 semasa ditutup semalam.

    Peniaga berkata permintaan pelabur bercampur-campur terhadap mata wang sedang pesat membangun termasuk ringgit dalam keadaan kebimbangan mengenai Covid-19.

    Sementara itu, harga minyak naik untuk hari kedua pada Rabu, sebelum ditutup rendah dengan pelabur berharap pengeluar Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan pengeluaran, selepas merosot pada Isnin yang menyaksikan Arab Saudi dan Rusia mencetuskan perang harga.

    Minyak mentah Brent penanda aras antarabangsa merosot 1.93 peratus kepada AS$36.50 setong semasa ditutup.

    Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan tinggi.

    Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0425/0468 daripada 3.0481/0526 semasa ditutup pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0263/0322 daripada 4.0472/0531.

    Unit tempatan meningkat berbanding pound kepada 5.4812/4894 daripada 5.5305/5374 dan naik berbanding euro kepada 4.7812/7877 daripada 4.8063/8137 semalam. – Bernama



    Sumber

  • RFID di tol sistem tertutup PLUS bermula April

    RFID di tol sistem tertutup PLUS bermula April

    KUALA LUMPUR – Bermula 1 April, pengguna lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bakal menikmati kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua 83 tol sistem tertutup dari utara ke selatan.

    Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, perkhidmatan RFID itu turut melibatkan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), sekali gus menandakan penyempurnaan ekosistem lebuh raya PLUS yang menggunakan sistem RFID sepenuhnya.

    Azman berkata, pelaksanaan itu adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengalaman perjalanan lebuh raya melalui pengurusan kesesakan di plaza tol serta menggalakkan kelancaran laluan dalam menerajui Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

    “Kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan RFID terutama dalam kalangan 1.7 juta pelanggan lebuh raya harian kami berikutan sejak 36 bulan lepas, PLUS menyelaraskan sistem RFID bersama Touch ‘n Go di 10 plaza tol sistem terbuka.

    “Menerusi RFID, pelanggan lebuh raya tidak perlu lagi berhadapan kesukaran untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka kerana ia boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian menerusi telefon bimbit dan aplikasi Touch ‘n Go eWallet yang dihubungkan terus kepada tag RFID yang dipasang pada kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Bagi tujuan itu, 173 lorong RFID termasuk 131 lorong khas RFID akan dibuka di 83 plaza tol di Lebuh Raya PLUS bermula 1 April.

    Azman berkata, walaupun transaksi tol menggunakan RFID diperkenalkan, transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag masih diterima di plaza tol bagi memudahkan pelanggan lebuh raya mengambil masa untuk bertukar kepada RFID dalam tempoh jangka masa tahun ini.

    Bagi membolehkan pelanggan menggunakan sistem RFID untuk transaksi tol, PLUS menasihatkan mereka segera memasang pelekat tag RFID di pusat pemasangan yang disediakan di seluruh negara dengan merujuk di pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitmen-centres.

    Pelanggan lebuh raya PLUS pula boleh mengunjungi pusat pemasangan pelekat RFID yang disediakan Touch ‘n Go Sdn Bhd bagi mendapatkan pelekat berkenaan.

    “Sebanyak 17 pusat pemasangan tag RFID dibuka di lebuh raya PLUS mulai 13 Mac ini antaranya di Restoran Jejantas Sungai Buloh (kedua-dua arah), R&R Seremban (kedua-dua arah), R&R Tapah (kedua-dua arah), RTC Gopeng di Hentian Sebelah Simpang Pulai dan R&R Temerloh (kedua-dua arah),” katanya. – Bernama



    Sumber

  • DRAMA BOSS..MAMA KIRIM SALAM TARUHAN TERBARU TV ALHIJRAH

    DRAMA BOSS..MAMA KIRIM SALAM TARUHAN TERBARU TV ALHIJRAH

    Barisan pelakon BOSS MAMA KIRIM SALAM

    Buat julung kalinya TV AlHijrah memecah tradisi penyiaran dunia Islam apabila stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini berjaya menerbitkan sendiri sebuah drama yang memberi penekanan kepada susun atur plot, tatacara serta adab pembikinan drama yang bersesuaian dengan imej TV Islam.

    Drama berjudul BOSS MAMA KIRIM SALAM telah memulakan siarannya 6 Februari 2020 yang lalu. Drama istimewa ini akan meneruskan tayangan pada setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang selama 36 episod siaran. Marahon episod lepas drama ini boleh disaksikan pada setiap Ahad jam 5 petang.

    Drama BOSS… MAMA KIRIM SALAM adalah hasil arahan sutradara berpengalaman yang juga merupakan kakitangan TV AlHijrah iaitu Wan Hussin Wan Ismail (FDAM) serta mendapat suntikan Raja Azidah Raja Jaafar selaku penulis skrip.

    Berlatarbelakangkan penceritaan serta karektar di balik tabir stesen TV Islam, TV AlHijrah bereksperimentasi dengan drama terbitan dalaman yang mendidik, memberi tauladan serta patuh syariah tanpa mengetepikan faktor budaya popular drama masa kini.

    Drama ini mengandingkan pelakon-pelakon hebat tanah air iaitu Qazem Nor dan Siti Fazurina Mohd Famir sambil dibantu oleh pelakon baru yang sedang menempa nama di dalam industri iaitu Carolina Binur dan Zee Khan Hussein. Tambah istimewa, hampir 90 peratus kakitangan TV AlHijrah turut diberi peluang untuk sama-sama menjayakan naskah ini selaku pelakon pembantu.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris drama BOSS…MAMA KIRIM SALAM ini sangat unik kerana selain merupakan drama pertama di Malaysia yang berkisar tentang dunia penyiaran Islam, drama ini juga menggunakan seratus peratus tenaga kepakaran warga kerja TV AlHijrah iaitu bermula dari pengarah sehinggalah kepada pengurus produksi, jurukamera, tenaga pasca penerbitan jurusolek, penata cahaya, penata bunyi dan lain-lain, kata beliau.

    Qazem Nor dan Carolina Binur

    SINOPSIS

    Drama BOSS.. MAMA KIRIM SALAM mengisahkan tentang Azra, seorang gadis lepasan ijazah Sarjana Muda Komunikasi yang menyumbang bakti dalam bidang penyiaran di TV AlHijrah. Banyak halangan dan rintangan yang dihadapi oleh Azra di dalam dunia pekerjaan namun begitu, sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk mencapai cita cita yang diimpikan iaitu bergelar penerbit rancangan yang terkenal.

    Encik Baihaqi yang bertindak selaku penyelia Azra merupakan antara insan penting yang sering membantu Azra mencapai cita-citanya. Dalam diam, perwatakkan Encik Baihaqi telah menarik perhatian Azra. Walaupun bergelar duda anak satu namun, paras rupa yang dikurniakan tidak menampakkan usia sebenar.

    Pada masa yang sama, ibu Azra iaitu Puan Kayla, seorang ibu tunggal merupakan seorang klien tetap di TV AlHijrah yang sering menggunakan platform promosi stesen itu bagi memasarkan dan mempromosikan produk kecantikannya.

    Kerana acapkali bertemu dengan Encik Baihaqi di TV AlHijrah, bibit- bibit kasih sayang timbul namun Puan Kayla tidak mempunyai kekuatan untuk menyatakan rasa cintanya kepada Encik Baihaqi kerana bagi dirinya, apa yang penting adalah melihat kebahagiaan Azra.

    Konflik timbul apabila Laila, rakan sekerja Azra juga memendam perasaan terhadap Encik Baihaqi namun cintanya tidak berbalas. Sakit hati dengan penolakan Encik Baihaqi, Laila bertindak nekad dengan menyebarkan cerita yang tidak sahih kepada kakitangan syarikat.

    Siapakah wanita yang akhirnya menjadi suri hati Encik Baihaqi? Mampukah Puan Kayla berkorban hati dan perasaannya demi kebahagian anak kesayangannya Azra? Jadi jangan lupa sakskikan kesudahan drama BOSS..MAMA KIRIM SALAM, setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang hanya di TV AlHijrah.

    Salah Satu Babak Bersama Nina Fazurina dan Carolina Binur dalam Drama Boss… Mama Kirim Salam

    SENARAI KREW PENERBITAN
    DRAMA BOSSMAMA KIRIM SALAM

    PENGARAH
    WAN HUSSIN WAN ISMAIL, FDAM

    PENOLONG PENGARAH
    SUHAILA AHMAD MARUWI

    PEREKA GRAFIK
    NORAIDA ABU BAKAR

    PEREKA MONTAJ
    MOHD IZZUDIN YAKOB

    ADUNAN
    WAN HARRIS BUDIMAN ABDUL KHALID

    PENATA SET & PROPS
    AZIZI RAMLI

    JURUSOLEK
    ASYRAF SULAIMAN
    NIEZA YAHYA
    ASLEYNITA SAIFUL
    REDZUAN MOHD NAAFI

    BUSANA
    AINIWATI SAMSUDIN
    NIK IZZATUL AISYAH
    ZULHAIMI ZAINE

    PENGARAH FOTOGRAFI
    FADZLI MOHAMED

    JURUKAMAERA 1
    MOHD FIRDAUS MOHD SERAH

    PENATA AUDIO
    KHAIRUL AZLI YAHYA

    PEMBANTU TEKNIKAL
    AHMAD FITRI NADZAM
    NIK MUHAMMAD AMIR AZFAR

    SUNTINGAN AKHIR
    MASALYNAZIRAH SULDIN

    SUNTINGAN AWAL
    HASIF NASIR

    PENGURUS PRODUKSI
    MUHAMMAD SAZRI ABD SANI

    PENOLONG PENGURUS PRODUKSI
    ZAIRUL ZAIMUDI HAMAT
    NURLI NASUHA MOHD ADZMAN

    PEMBANTU PRODUKSI
    AZIANI ABDULLAH
    SITI HIDAYU MAT YUSOFF

    KESINAMBUNGAN
    SARAH DEANNA SAIFUL YEW
    NURUL HUSNA ABU HASSAN

  • Rundingan OPEC gagal, harga minyak dunia merudum

    Rundingan OPEC gagal, harga minyak dunia merudum

    NEW YORK – Harga minyak mentah dunia merudum ke paras terendah pada Jumaat selepas perjanjian antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara sekutu diketuai Rusia, menemui jalan buntu, lapor agensi berita Xinhua.

    West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran April menurun AS$4.62 atau 10.07 peratus, pada harga AS$41.28 setong di New York Mercantile Exchange.

    Minyak mentah Brent untuk penghantaran Mei merosot AS$4.72 atau 9.44 peratus, kepada AS$45.27 setong di London ICE Futures Exchange.

    Mesyuarat yang diadakan di Vienna itu berakhir tanpa sebarang kata putus mengenai tawaran tambahan pengeluaran.

    Pada Khamis, OPEC mencadangkan pengeluaran tambahan sebanyak 1.5 juta tong sehari mulai awal bulan depan hingga akhir tahun ini. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

    RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas mencatat peningkatan baru-baru ini berikutan minat untuk mengambil risiko telah reda kerana kebimbangan terhadap penularan koronavirus (Covid-19) dan penyusutan harga minyak, kata peniaga.

    Unit tempatan turun kepada 4.1700/1750 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1575/1625 semalam.

    Harga minyak global merosot menjelang kemungkinan berlakunya pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ekoran Covid-19.

    Bagaimanapun, pengurangan itu banyak bergantung kepada persetujuan daripada negara pengeluar minyak, Rusia, sebuah negara bukan anggota OPEC.

    Dilaporkan bahawa perjanjian itu akan diguna pakai berdasarkan asas pro-rata dengan anggota teras OPEC yang dijangka akan mengurangkan pengeluaran sebanyak satu juta tong sehari manakala pengeluar bukan OPEC mungkin akan mengurangkan sebanyak 500,000 tong sehari.

    Harga minyak merosot 25 peratus sejak awal tahun ini.

    Sementara itu, seorang peniaga lain berkata, pedagang memilih untuk berada di luar pasaran walaupun sentimen lemah dolar AS kerana jangkaan lebih banyak penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

    “Ringgit diniagakan lebih rendah hari ini selepas FTSE Bursa Malaysia KLCI dan pasaran bon tempatan dibuka rendah berikutan pengelakan risiko global,” katanya dalam nota.

    Ringgit ditutup rendah berbanding kelompok mata wang utama.

    Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0222/0267 daripada 3.0018/0056 pada Khamis dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.9643/9701 daripada 3.8870/8927 sebelum ini.

    Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4156/4237 daripada 5.3707/3788 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7088/7161 daripada 4.6452/6512 sebelumnya. – Bernama



    Sumber

  • Public Bank kurangkan kadar asas sebanyak 0.25 peratus

    Public Bank kurangkan kadar asas sebanyak 0.25 peratus

    PUBLIC Bank akan mengurangkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR)/Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 0.25 peratus bermula 6 Mac 2020.

    Bank itu dalam satu kenyataan menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selaras dengan pengurangan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia sebanyak 25 mata asas dari 2.75 peratus kepada 2.50 peratus pada 3 Mac 2020.

    Pada masa yang sama, jelasnya, kadar deposit tetap Public Bank juga akan diselaraskan sebanyak 0.25 peratus bermula pada tarikh yang sama.

    “Pengurangan Kadar Dasar Public Bank adalah tepat pada masanya untuk mengurangkan beban para peminjam dan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara di tengah-tengah cabaran ekonomi berterusan yang dibawa oleh Covid-19,” katanya.

    Justeru, katanya, Public Bank akan terus menguruskan aset dan liabilitinya secara proaktif bagi memastikan kadar faedah ditetapkan dengan sewajarnya pada setiap masa bagi manfaat pelanggan.



    Sumber

  • GM Klang kongsi perjalanan bina empayar perniagaan

    GM Klang kongsi perjalanan bina empayar perniagaan

    PUSAT pemborong terkemuka, GM Klang melancarkan Buku Mewah GM Klang bagi berkongsi mengenai perjalanan syarikat itu sejak tahun 2009.

    Pengarah Urusannya, Datuk Lim Seng Kok berkata, pelancaran buku itu merupakan simbolik kejayaan GM Klang dalam membina sebuah empayar perniagaan buat golongan usahawan khususnya anak tempatan.

    Menurutnya, ketika awal penubuhan, GM Klang hanya menempatkan 330 lot kedai, namun jumlah itu meningkat kepada lebih daripada 2,500 lot pada tahun ini sekali gus dinobatkan sebagai Pusat Pemborong Terbesar oleh Malaysia Book of Records.

    “Kami berasa amat berbangga dengan perkembangan GM Klang bukan sahaja dalam mengembangkan usahawan malah bagi membantu seluruh komuniti di negara ini,” katanya ketika Majlis Pelancaran Buku Mewah dan Lawatan Rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari di GM Klang di sini semalam.

    Seng Kok berkata, pihaknya berharap GM Klang akan terus mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dan pihak berkaitan dalam membantu menghubungkan syarikat itu dengan pasaran lebih meluas.

    “Kami berharap segala usaha kami akan terus dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi bandar Klang dan Selangor melalui penyediaan peluang pekerjaan, transaksi perniagaan dan sektor pelancongan,” katanya.

    Sementara itu, Amirudin berkata, GM Klang menawarkan pelbagai idea unik dan berada di barisan hadapan dalam menyediakan tawaran terbaik kepada pengguna dari seluruh negara.

    Beliau berkata, pihaknya juga turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga GM Klang yang berjaya menempa beberapa kejayaan sebelum ini.

    “Syabas kepada GM Klang dan saya optimistik pusat pemborong ini dapat menjadi dorongan dalam mempercepatkan ekonomi bandar ini dan negeri Selangor,” katanya.



    Sumber

  • Pra Pelancaran Anugerah Asia Islamic Finance And Investment Industry Awards AiFIA 2020

    Pra Pelancaran Anugerah Asia Islamic Finance And Investment Industry Awards AiFIA 2020

    Pra Pelancaran Anugerah Asia Islamic Finance And Investment Industry Awards AiFIA 2020 #MARKAMARIEMALAYSIA #MARKAMARIE

    Dewan Perniagaan dan Pelaburan Islam Malaysia (DPPIM) X Markamarie Malaysia SDN. BHD

    KUALA LUMPUR, 21 Februari 2010 – Pra-Pelancaran Anugerah Asia Islamic Finance and Investment Industry Awards (AiFIA 2020) bersama #MARKAMARIE Malaysia yang mana sesi ini di Lokasi Conference Room, Menara Citybank, Jalan Ampang Kuala Lumpur pada jam 10 pagi.

    Diantara ucapan dan menandatangani Dewan Perniagaan dan Pelaburan Islam Malaysia (DPPIM) Kolaborasi bersama Markamarie Malaysia SDN. BHD. MoA ialah:

    1. Datin Raskidah Ali – Honorary Chairman of Malaysia Islamic Investments Chamber of Commerce (MIICC).

    2. Ismail H. Semin (#MARKAMARIE Global).

    3. Franka Ssoeria (#MARKAMARIE Global).

    4. Datin Sharon M. Zillah (#MARKAMARIE Malaysia).

    5. Assoc. Prof. Dr. Salina Kassim – Dean of IIUM Institute of Islamic Banking and Finance (IIiBF).


    ASIA ISLAMIC FINANCE AND INVESTMENT INDUSTRY AWARDS (AiFIA 2020) 

    1. AFIA merupakan inisiatif kolaborasi antara Malaysia Islamic Investment Chamber of Commerce (MIICC) dan IIUM Institute of Islamic Banking & Finance (IIiBF) serta Markamarie Malaysia Sdn Bhd. 

    2. Program ini diperkasakan oleh wanita untuk semua dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi para usahawan yang ada serta untuk mencari dan memberi peluang untuk dana kepada pengasas produk atau usahawan supaya lebih berdaya saing. 


    3. AFIA berharap untuk menjadi platform dan pemben‘ anugerah yang paling berwibawa di dalam industi pelaburan dan kewangan islamik global. Penganjur menyasarkan untuk memilih produk Pelaburan islamik terbaik di serata Asia. Sistem permarkahan yang menilai kedua-dua faktor kualitatif dan kuantitatif diambil kira untuk menentukan pemenang di Anugerah AFIA. 

    4. Anugerah AFIA bakaI dipersembahkan sewaktu malam gala penuh berprestij pada bulan September 2020 dan penganjuran bakal berlangsung di Kuala Lumpur selaku tuan rumah pada tahun ini. 

    PENGISIAN ACARA AFIA 2020 

    Malam Anugerah Asia Islamic Finance and Investment Industry Awards (AiFIA 2020)

    Meet Your Invester (MYI): Bertemu dengan pelabur/penaja yang berpotensi untuk produk islamik yang baru bermula, pendaftaran untuk jenama/pereka fesyen untuk mendapatkan bantuan di dalam AFIA 2020

    Meet The Buyers: Pereka/jenama fesyen boleh bertemu dengan pembeli (buyers) dan sesi tertutup bersama mereka di AFIA 2020 

    #MARKAMARIE

    1. #Markamarie memulakan kembara serantaunya di Indonesia pada tahun 2017 dan diasaskan oleh tiga (3) individu yang pakar di dalam bidang mereka. Tiga (3) individu ini terdiri daripada Franka SOERIA (Global Modest Fashion Expert), Ismail Semin (Business Development and Marketing Specialist) dan Gokhan Semin (Digital and Communication Specialist). 

    2. #Markamarie menyasarkan untuk menjadi pintu gerbang buat fesyen sopan di Asia (The Gate of Modest Fashion in Asia), dan juga sebagai hab fesyen dan industri kreatif. Berbekalkan pusat operasi serta pejabat di Indonesia dan Turki, #Markamarie telah memulakan momentum yang jitu dalam menyediakan perkhidmatan lengkap A-Z buat jenama fesyen dari segi penjenamaan digital di dalam dan luar talian (online and offline), jemputan serta pembikinan acara-acara fesyen yang berprestij serta membantu sesuatu jenama fesyen itu untuk menakluk pasaran global. 


    3
    . Tahun 2020 bakal menyaksikan #Markamarie membuka pejabat di Malaysia dan India, serta diikuti Amerika Syarikat pada tahun 2021. 

    4. #Markamarie pernah berkolaborasi bersama institusi terkenal dan berwibawa dunia seperti UNHCR dan Official Modest Fashion Weeks (Istanbul-London-Dubai-Jakarta-Amsterdam) 

    . Antara bakal projek besar #Markamarie termasuklah penerbitan buku dan fIIem dengan kerjasama dari Amerika Syarikat serta Italy untuk pasaran global.

    6. Projek bersama #MarkamarieMalaysia termasuk: 

    – Menganjurkan AiFlA & Funding The Founders bersama MICC and IIiBF 

    – Asian Blogger Academy bersama MIICC dan Universiti Umum terkemuka Malaysia 

    – Memasarkan pereka dan jenama fesyen Malaysia melalui platform #Markamarie – Melibatkan pereka dan jenama fesyen di Malaysia untuk projek secara global 

    PERSPEKTIF KOLABORASI ANTARA MIICC, lliBF dan #MARKAMARIE 

    Penghubung titik pemisah di antara Modest Fashion dan Sektor Kewangan dan Pelaburan. Modest Fashion atau fesyen sopan merupakan satu sektor ekonomi islamik yang penting dan kerana ini adalah mengapa #MARKAMARIE  memerlukan pelabur yang berwibawa untuk fesyen sopan/islamik di Malaysia. 

    #MARKAMARIE  boleh membantu para pengasas fesyen sopan untuk meningkatkan lagi jenama mereka. #MARKAMARIE  disini biasa menghubungkan ekonomi dari bidang kreatif ke sektor kewangan untuk melahirkan Iebih ramai usahawan yang berhasil di dalam lapangan seni kreatif.


    Visi #MARKAMARIE  termasuk: 

    1. Melabur untuk para pengasas perniagaan (Funding The Funders): MARKAMARIE akan memupuk para pereka dan jenama fesyen melalui beberapa siri kursus yang bakal #MARKAMARIE  terajui. 

    2. AFIA 2020 pada September 2020 sebagai malam Anugerah khas buat para pelabur, syarikat serta individu yang mempunyai sumbangan terhadap islam serta pelaburan yang mempunyai nilai-nilai sosial yang murmi. Selain acara utama ini, anjuran pameran serta sesi bertemu pelabur dan pembeli bersama para usahawan terpilih akan dilaksanakan.