Blog

  • ASNB umum dividen 4.75 sen untuk ASB2

    ASNB umum dividen 4.75 sen untuk ASB2

    AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), mengisytiharkan pengagihan pendapatan ASB 2 sebanyak 4.75 sen seunit kepada 439,543 pemegang unit dan 4.25 sen seunit kepada 553,188 pemegang unit Amanah Saham Malaysia (ASM).

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, ASNB yang merupakan syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), jumlah pembayaran pendapatan mencecah hampir RM1.4 bilion bagi kedua-dua dana tersebut.

    “Setakat 29 Februari 2020, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM413.30 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM646.70 juta,” katanya di sini hari ini.

    Dalam pada itu, ASNB turut mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit kepada 89,327 pemegang unit ASN Equity 3, 3.50 sen seunit kepada 86,426 pemegang unit ASN Imbang 2 dan 4.55 sen seunit kepada 69,872 pemegang unit ASN Sara 1.

    Jumlah pembayaran pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana tersebut berjumlah RM228.7 juta.

    Jelas PNB, pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana-dana tersebut diperoleh daripada keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain.

    “Selari dengan penanda aras yang telah ditetapkan, PNB sentiasa mengekalkan strategi peruntukan aset berhemah dan pegangan saham yang besar di pasaran awam memastikan PNB mempunyai tahap kecairan pelaburan yang diperlukan untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit,” katanya.

    Tambahnya, di sebalik cabaran yang dihadapi sepanjang tahun 2019, portfolio dana PNB telah kekal kukuh secara relatif, berbanding penanda aras masing-masing, yang mana sebahagian besarnya disumbang oleh pegangan saham berkualiti tinggi dengan asas yang kukuh, serta langkah yang telah diambil bagi mempelbagaikan lagi portfolio.

    Sehubungan itu, urus niaga bagi lima dana tersebut telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 sehingga 31 Mac 2020 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

    Pejabat cawangan ASNB tidak beroperasi buat masa ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pemegang unit masih boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB.

    Pemegang unit juga boleh berkunjung ke cawangan ejen ASNB apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2020 dan pemegang unit dinasihatkan untuk menyemak waktu operasi bank-bank ejen sepanjang tempoh PKP.



    Sumber

  • Bursa Malaysia turun 1.29 peratus pada tengah hari

    Bursa Malaysia turun 1.29 peratus pada tengah hari

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini menjejaki prestasi bursa serantau berikutan kesan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dialami seluruh dunia.

    Pada jam 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut 17.33 mata atau 1.29 peratus kepada 1,325.76 daripada 1,343.09 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

    Indeks utama itu dibuka 6.86 mata lebih rendah pada 1,336.23 hari ini dan bergerak di antara 1,317.39 dengan 1,336.23 sepanjang dagangan sesi pagi.

    Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter rugi sebanyak 523 berbanding 230 manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,020 kaunter tidak diniagakan dan 108 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 1.67 bilion saham bernilai RM918.95 juta.

    Bagi peringkat rantau, Nikkei Jepun turun 3.13 peratus kepada 18,782.41; Indeks Hang Seng Hong Kong kurang 1.29 peratus kepada 23,181.07 dan Indeks Straits Times Singapura susut 3.90 peratus kepada 2,430.05.

    Peniaga berkata kebimbangan mengenai Covid-19 telah menyebabkan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) merekodkan penurunan pada Jumaat setelah mencatatkan aliran meningkat selama tiga hari berturut-turut.

    Ketika penutupan, Dow Jones merosot 915.4 mata atau 4.06 peratus kepada 21,636.8; Indeks S&P 500 turun 3.37 peratus manakala Nasdaq kurang 3.79 peratus kepada 7,502.4.

    Dalam nota penyelidikan hari ini, Rakuten Trade Sdn Bid berkata, Presiden AS, Donald Trump akhirnya mengakui wabak Covid-19 adalah lebih serius daripada sangkaan awalnya selain melanjutkan tempoh garis panduan penjarakan sosial dari 12 April hingga 30 April dengan mengatakan kematian boleh mencecah 100,000 orang.

    “Ini boleh memberi kesan buruk ke atas pasaran kewangan dan dapat dilihat penjual mendominasi aktiviti sekali lagi.

    “Kami menjangkakan turun baik semakin ketara dan FBM KLCI mengalami sedikit tekanan serta menguji semula paras sokongan 1,320,” menurut firma itu.

    Antara saham berwajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM7.32, Public Bank kurang 10 sen kepada RM15.80, IHH turun tujuh sen kepada RM5.19, Maxis susut lapan sen kepada RM5.29 namun Tenaga meningkat 12 sen kepada RM11.82.

    Saham paling aktif diniagakan Vortex, meningkat dua sen kepada lima sen, manakala Careplus menokok 4.5 sen kepada 27 sen, Ekovest dan Reach Energy masing-masing turun setengah sen kepada 37.5 sen dan 3.5 sen manakala MLAB tidak berubah 1.5 sen.

    Saham paling rugi diketuai oleh F&N yang merosot 94 sen kepada RM29.14, Dutch Lady susut 92 sen kepada RM41.96, Ajinomoto turun 68 sen pada RM12.30, Hong Leong Bank kurang 62 sen kepada RM13.58 dan Yinson menguncup 54 sen kepada RM4.76.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 128.79 mata kepada 9,057.51, Indeks FBM Emas Syariah susut 137.18 mata kepada 9,871.20 manakala Indeks FBMT 100 kurang 129.14 mata kepada 8,993.09.

    FBM 70 merosot 197.18 mata kepada 10,338.66 namun FBM Ace meningkat 26.65 mata kepada 3,793.60.

    Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.99 mata kepada 103.2.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 183.82 mata kepada 12,121.12 dan Indeks Perladangan menguncup 103.12 mata kepada 6,030.51. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini selepas mencatatkan kenaikan selama empat hari berturut-turut minggu lepas, berikutan kekurangan permintaan.

    Pada jam 9.01 pagi, unit tempatan berada pada 4.3300/3450 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.3280/3350 ketika ditutup pada Jumaat.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata, para peniaga seolah-olah memilih untuk tidak terlalu aktif dalam awal dagangan minggu ini.

    “Pasaran dibuka bercampur-campur. Dari sudut positif, langkah pengawalan yang lebih ketat akan dapat mengekang penularan Covid-19 dan dengan China kembali bekerja, ini akan menjadi petanda positif terutama menerusi langkah dasar proaktif minggu lepas, yang amat diharap mendorong kenaikan ketara bulan depan,” katanya.

    Beliau berkata, bagaimanapun, prospek harga minyak mentah yang lemah mungkin tidak baik untuk negara ini.

    “Keseluruhannya, dengan dagangan yang dijangka sedikit suram hari ini, saya mengunjurkan tekanan cenderung kepada paras rendah bagi ringgit,” katanya.

    Ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama semasa pembukaan dagangan hari ini.

    Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0312/0427 daripada 3.0175/0234 ketika ditutup pada Jumaat dan rendah berbanding euro kepada 4.8106/8290 daripada 4.7608/7702.

    Ringgit turut turun berbanding yen kepada 4.0279/0426 daripada 3.9754/9829 pada Jumaat dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3878/4082 daripada 5.2841/2943. – Bernama



    Sumber

  • TM laksanakan pelbagai inisiatif sokong pakej Prihatin

    TM laksanakan pelbagai inisiatif sokong pakej Prihatin

    KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan negara untuk kalangan pelanggan, pekerja dan golongan memerlukan sepanjang lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Inisiatif itu meliputi akses percuma untuk semua saluran di TV unifi termasuk saluran premium dan unifi PlayTV serta diskaun 20 peratus bagi filem-filem Video-on-Demand (VOD) di kategori HyppFlicks untuk semua pelanggannya.

    Ia turut menawarkan pakej hotspot 999G LTE untuk pengguna pasca bayar unifi Mobile, iaitu satu rangsangan daripada pas hotspot LTE 10GB sedia ada mereka dan pas data percuma tanpa had tujuh hari untuk pelanggan prabayar unifi Mobile #BEBAS.

    Bagi perniagaan, TM menawarkan pas hotspot percuma unifi Mobile Biz LTE bagi pelanggan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) unifi, akses percuma platform Penyelesaian Pemasaran Digital dan diskaun 20 peratus untuk semua perkara berkaitan.

    Syarikat telekomunikasi itu turut menawarkan bantuan kewangan khas membabitkan rakan perbankan unifi membabitkan agihan dana sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat dan pemberian moratorium sehingga enam bulan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, TM menyambut baik langkah kerajaan membentangkan pakej rangsangan yang disifatkannya sebagai holistik, prihatin dan dapat memacu kesejahteraan ekonomi rakyat dan perniagaan kecil yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

    “Di TM, kami amat memahami bahawa aspek kebersambungan ini amat kritikal pada masa ini dan sebagai pengupaya aspirasi Malaysia menjadi Negara Digital, kami ada untuk membantu semua orang duduk di rumah sepanjang tempoh PKP itu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

    Selain itu, TM menyokong pusat penyelarasan negara untuk kementerian-kementerian dan perkhidmatan penting dengan menubuhkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) baharu untuk Kementerian Kesihatan (KKM), dikendalikan oleh ejen pusat panggilan TM ONE untuk membantu pertanyaan berkaitan Covid-19 dan KKM.

    Syarikat itu juga menyediakan Pusat Arahan 24/7 bagi menyokong sektor awam dan perusahaan melakukan operasi kritikal masing-masing dari rumah serta di lapangan.

    TM turut mengecualikan caj semua panggilan penting ke atas talian hotline dan kecemasan, termasuk CPRC KKM, cawangan negeri, hospital saringan dan yang menerima kes Covid-19 dan talian PKP. – Bernama



    Sumber

  • Bank Rakyat catat keuntungan bersih RM1.15 bilion

    Bank Rakyat catat keuntungan bersih RM1.15 bilion

    KUMPULAN Bank Rakyat merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.15 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir Disember 2019 dan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.79 bilion, di tengah-tengah tahun yang mencabar.

    Meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, prestasi yang baik ini dapat dicapai melalui pendapatan bersih yang lebih tinggi sebanyak 3.26 peratus berikutan pertumbuhan pendapatan operasi teras dan kos dana yang lebih rendah sebanyak 1.62 peratus hasil daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada separuh kedua 2019.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed berkata, prestasi mampan ini juga dapat dicapai menerusi asas yang kukuh dan fokus dalam aktiviti teras kumpulan serta inisiatif berterusan untuk meningkatkan baki Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA).

    Beliau berkata, jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada RM109.62 bilion dengan peningkatan pengeluaran pembiayaan dan pendahuluan sebanyak 2.8 peratus kepada RM70.97 bilion.

    Pulangan Atas Aset (ROA) pada tahun ini kekal kukuh pada 1.7 peratus dan melebihi ROA industri perbankan domestik iaitu pada 1.6 peratus.

    Pada 2019, baki pembiayaan kasar berkembang kepada RM72.42 bilion, meskipun persaingan sengit yang memberi manfaat kepada pembelbagaian portfolio terutamanya daripada pembiayaan rumah, kereta dan perniagaan.

    Pembiayaan Bank Rakyat meningkat 12.3 peratus kepada RM6.65 bilion berbanding RM5.92 bilion sebelumnya manakala pembiayaan kereta naik 11.2 peratus kepada RM3.08 bilion.

    Selain itu, pembiayaan perniagaan terutamanya segmen koperasi meningkat sembilan peratus kepada RM2.42 bilion daripada RM2.22 bilion sebelumnya.

    “Sebagai sebahagian daripada pempelbagaian dalam portfolio lain, baki pembiayaan peribadi berjumlah RM55.53 bilion, meningkat sederhana sebanyak 1.2 peratus atau RM0.65 bilion, sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mengurangkan keseluruhan pergantungan kepada pembiayaan peribadi,” katanya.

    Rosman berkata, deposit kumpulan berjumlah RM83.83 bilion pada 2019 daripada RM82.74 bilion sebelumnya manakala baki CASA meningkat sedikit sebanyak 15.1 peratus kepada RM6.60 bilion bagi tahun itu.

    “Bank Rakyat akan terus memberi tumpuan kepada penstrukturan dalaman, terutamanya bagi memanfaatkan potensi yang boleh diterokai dalam perniagaan dan operasi untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

    “Seterusnya, Bank Rakyat akan melaksanakan enam rangka tindakan iaitu Digitalisasi, Pengalaman Terbaik Pelanggan, Modal Insan, Pusat Penciptaan Nilai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Kelestarian dan Kepemimpinan Syariah yang akan menjadi kunci utama dalam merealisasikan aspirasi BR25 (Bank Rakyat 2025),” katanya. – Bernama

    ARTIKEL BERKAITAN: Bank Rakyat umum dividen 14 peratus



    Sumber

  • Bank Rakyat umum dividen 14 peratus

    Bank Rakyat umum dividen 14 peratus

    BANK Rakyat hari ini mengumumkan dividen 14 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding 13 peratus pada tahun sebelumnya.

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini akan melibatkan jumlah bayaran sebanyak RM406 juta kepada semua anggotanya berjumlah 842,847 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

    Pembayaran dividen ini akan dibuat pada 29 Mac 2020.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, RM382 juta melibatkan pembayaran kepada 840,590 anggota individu, manakala RM24 juta akan dibayar kepada 2,257 anggota koperasi berjumlah RM24 juta.

    “Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20 peratus penerima anggota koperasi turut terdiri daripada golongan B40,” katanya yang mengumumkan dividen Bank Rakyat di sini hari ini.

    Wan Junaidi berharap pembayaran dividen ini akan dapat membantu meringankan beban kewangan kepada anggaran 5.1 juta rakyat Malaysia (berdasarkan 4 orang seisi keluarga) pada saat negara dilanda penularan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan pendapatan serta ekonomi negara.

    “Saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat kerana telah berjaya merekodkan kejayaan yang memberangsangkan sekali lagi,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Niaga hadapan minyak sawit mentah ditutup tinggi

    Niaga hadapan minyak sawit mentah ditutup tinggi

    KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri minggu ini dengan ditutup kukuh berikutan bimbang mengenai bekalan selepas beberapa ladang telah menggantung operasi mereka akibat wabak koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan.

    Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, dengan bulan Mac akan berakhir minggu depan, tumpuan adalah pada kedudukan stok akhir bulan susulan pengeluaran dan eksport yang rendah manakala penggunaan domestik dijangka sekali lagi mencatatkan prestasi yang baik.

    “Ekuiti Asia yang kukuh, prospek pengeluaran yang rendah dan pemberian tunai di bawah pakej rangsangan Malaysia yang kedua meningkatkan sentimen perbelanjaan pengguna,” katanya kepada Bernama.

    Pada penutup, kontrak bulan semerta April 2020 meningkat RM67 kepada RM2,487 setan metrik, Mei 2020 meningkat RM31 kepada RM2,426 setan metrik, Jun 2020 menambah RM21 kepada RM2,378 setan metrik dan Julai 2020 meningkat RM14 kepada RM2,348 setan metrik.

    Jumlah dagangan berkurangan kepada 46,304 lot daripada 70,780 lot semalam, manakala kepentingan terbuka turun kepada 262,730 kontrak daripada 287,862 kontrak sebelumnya.- Bernama



    Sumber

  • Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT kekal pada aliran meningkat berbanding dolar AS untuk hari keempat berturut-turut hari ini berikutan ramai pelabur beralih kepada mata wang sedang pesat membangun, kata peniaga.

    Sehingga 6 petang, unit tempatan berada pada 4.3280/3350 berbanding dolar AS daripada 4.3300/3400 semasa ditutup semalam.

    Peniaga berkata unit tempatan berada pada aliran meningkat berikutan pelbagai langkah rangsangan di seluruh dunia termasuk pakej AS bernilai US$2.2 trilion untuk memberi keyakinan dalam pasaran kewangan global.

    Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0175/0234 daripada 3.0069/0149 semasa ditutup pada Khamis dan susut berbanding euro kepada 4.7608/7702 daripada 4.7396/7510 semalam.

    Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 3.9754/9829 daripada 3.9342/9444 dan turun berbanding pound kepada 5.2841/2943 daripada 5.1601/1737 semalam. – Bernama



    Sumber

  • Public Bank tidak kenakan faedah terkompaun ke atas pinjaman

    Public Bank tidak kenakan faedah terkompaun ke atas pinjaman

    PUBLIC Bank memberikan moratorium selama enam bulan untuk bayaran ansuran bulanan pinjaman kepada pelanggan individu dan perniagaan yang layak, tanpa faedah terkompaun semasa tempoh penangguhan bermula 1 April hingga 30 September 2020.

    Pengarah Urusannya, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, bagi pembiayaan menurut kaedah Islam, keuntungan akan terus terakru ke atas amaun pokok belum jelas.

    Menurutnya, keuntungan itu juga tidak akan dikompaun, selaras dengan prinsip Syariah.

    “Berikutan pengumuman Bank Negara Malaysia pada 25 Mac lalu, Public Bank melanjutkan lagi bantuan kepada pelanggan-pelanggan dengan tidak mengenakan faedah terkompaun ke atas faedah yang terakru semasa tempoh moratorium tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, dengan semakin menularnya wabak Covid-19, Public Bank amat prihatin terhadap kesannya terhadap negara dan berharap bantuan kewangan yang dihulurkan itu akan memberikan relif tambahan kepada pelanggan.



    Sumber

  • Industri Halal kekal berdaya tahan

    Industri Halal kekal berdaya tahan

    INDUSTRI Halal kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran susulan krisis Covid-19.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, berdasarkan unjuran awal tahun ini, eksport Halal tahunan Malaysia akan mencapai anggaran RM50 bilion dan industri Halal dijangka menyumbang kira-kira 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020.

    Menurutnya, makanan dan minuman Halal kekal pada kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Halal tempatan sebanyak RM22.05 bilion pada 2019, diikuti bahan Halal dengan sumbangan RM12.64 bilion, kosmetik dan penjagaan diri (RM2.95 bilion), derivatif minyak sawit (RM1.26 bilion), bahan kimia industri (RM917.2 juta) dan farmaseutikal (RM400.9 juta).

    Katanya, analisis sentimen HDC menunjukkan potensi ekonomi industri Halal sebahagian besarnya bertanggungjawab kepada menggalakkan pelaburan asing dan domestik, terutamanya dalam pengeluaran minyak sawit.

    “Peningkatan harga minyak sawit mentah Malaysia yang ketara untuk satu tan antara faktor utama kepada prestasi industri Halal pada 2019, berikutan industri mengalami pembetulan pasaran melalui kenaikan lebih 20 peratus berbanding 2018,” katanya dalam satu kenyataan Rabu lalu.

    Hairol Ariffein berkata, kepelbagaian minyak sawit sebagai bahan Halal untuk produk makanan dan bukan makanan serta komitmen kerajaan terhadap standard Minyak Sawit Mampan Malaysia, menjana minat global yang ketara terhadap eksport derivatif minyak sawit, menjadikannya komponen sesuai kepada pengeluar Halal.

    Dalam pada itu katanya, HDC menyasarkan untuk terus menambah bahagian pasaran Malaysia melalui program strategiknya dan pihaknya melihat terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan, terutamanya dalam landskap pengeksport Malaysia tempatan.

    “Terdapat sebanyak 1,876 pengeksport Halal pada tahun 2019 berbanding 1,827 dicatatkan pada 2018, mewakili 2.7 peratus peningkatan pertumbuhan.

    “Sebahagian besar eksport tempatan diwakili industri kecil dan sederhana sebanyak 1,430 syarikat, lebih 75 peratus daripada jumlah saiz, dengan syarikat multinasional membentuk baki jumlah pengeksport,” katanya.

    Beliau berkata, sebagai sekretariat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, HDC memegang peranan penting dalam pembangunan ekonomi Halal dan bersedia untuk mewujudkan hubungan antara Malaysia dan ekosistem Halal negara lain.

    “Kami akan menghubungkan ekosistem Halal Malaysia ke seluruh dunia dan menjangka usaha ini akan mewujudkan peluang kepada penggiat industri dan pihak-pihak dalam ekosistem tersebut dengan tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, pekerjaan yang berkualiti dan pertukaran teknologi,” katanya.



    Sumber