Blog

  • Teach For Malaysia tawar kandungan pembelajaran dari rumah

    Teach For Malaysia tawar kandungan pembelajaran dari rumah

    TEACH For Malaysia berkolaboratif dengan Yayasan YTL untuk membangunkan kandungan pembelajaran dalam talian bagi memastikan semua pelajar di Malaysia dapat terus mengikuti pembelajaran dari rumah di sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat Covid-19.

    Pengerusi Teach For Malaysia, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkata, inisiatif tersebut bertujuan membawa pembelajaran dalam talian kepada masyarakat yang kurang berkemampuan selari dengan misi dan nilai teras Teach For Malaysia.

    Di samping itu, katanya, ia juga bertujuan memastikan sesi pengajaran di sekolah yang mana Felow mereka ditempatkan dapat diteruskan.

    “Yayasan YTL dan FrogAsia memberi peluang kepada Teach For Malaysia untuk membangunkan kandungan yang boleh diakses oleh semua, menerusi platform mereka.

    “Kepada ibu bapa dan pelajar, saya ingin menggalakkan anda mengakses sumber pembelajaran dalam talian seperti aplikasi FrogPlay Mobile bagi memastikan semua orang dapat terus belajar sepanjang tempoh yang sangat mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Teach For Malaysia, Dzameer Dzulkifli berkata, Felow Teach For Malaysia dipilih dalam kalangan lepasan universiti dan profesional muda paling berbakat di negara ini.

    “Sejak program Felow ini dimulakan pada 2012, 450 Felow Teach For Malaysia telah mencurahkan bakti mereka kepada 130,000 pelajar di sekolah berkeperluan tinggi yang majoritinya daripada kalangan keluarga kumpulan B40,” katanya.

    Mata pelajaran Teach For Malaysia-FrogAsia boleh didapati di https://ytlfoundation.org/learn.



    Sumber

  • Naza Communications lantik Darryll sebagai CEO

    Naza Communications lantik Darryll sebagai CEO

    NAZA Communications Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Darryll Danendra Sinnappa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa semalam.

    Pengerusi Eksekutif dan Ketua Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SM Nasarudin SM Nasimuddin dalam satu kenyataan berkata, kedatangan Darryll adalah pada masa yang menarik untuk perniagaan infrastruktur telekomunikasi syarikat.

    “Kami mempunyai tekad berani untuk mempercepatkan strategi pertumbuhan dan dalam proses meningkatkan potensi Naza Communications.

    “Justeru, pengalaman beliau dalam industri akan menjadi aset bagi memanfaatkan keadaan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya.

    Darryll bertanggungjawab membangunkan hala tuju strategik keseluruhan untuk perniagaan teras Kumpulan Naza.

    Beliau yang pernah pernah memegang jawatan kepimpinan di Malaysia, Bangladesh dan Pakistan mempunyai kepakaran lebih 20 tahun dalam bidang komunikasi.



    Sumber

  • Manulife perkenal pelbagai langkah khas bantu pelanggan

    Manulife perkenal pelbagai langkah khas bantu pelanggan

    MANULIFE Insurance Berhad (MIB) memperkenalkan inisiatif khusus membantu pelanggannya menghadapi penularan koronavirus (Covid-19).

    Dalam satu kenyataan syarikat itu menjelaskan, pihaknya mengutamakan keselamatan pelanggan, pekerja, rakan kongsi dan masyarakat dalam menghadapi situasi mencabar.

    Selain itu, ia merupakan matlamat syarikat itu untuk memudahkan urusan pelanggan dan pihaknya akan sentiasa memantau situasi terkini serta mencari jalan untuk menyokong pelanggannya.

    “MIB mengambil inisiatif memperkenalkan pelbagai langkah khas dan perlindungan bermanfaat kepada pelanggannya.

    “Kami akan memastikan pelanggan yang terjejas akan dibantu dengan pelan perubatan yang disediakan,” katanya.

    Jelasnya, ia termasuk mengetepikan tempoh menunggu 30 hari untuk polisi perubatan jika pemegang polisi dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 dan memanjangkan tempoh tangguhan hingga 90 hari bagi yang terjejas.

    “Bermula 26 Februari hingga 30 Jun depan, pelanggan dijangkiti wabak itu yang dikuarantinkan di mana-mana hospital seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan akan disediakan faedah RM200 sehari sehingga ke 30 hari.

    “Dalam situasi kehilangan nyawa akibat wabak Covid-19, amaun RM10,000 akan diberikan sekali gus,” katanya.



    Sumber

  • Daikin taja 36 penapis udara kepada tujuh hospital

    Daikin taja 36 penapis udara kepada tujuh hospital

    DAIKIN Malaysia menaja 36 unit penapis udara Daikin Streamer yang bernilai RM54,000 kepada tujuh hospital di Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

    Hospital terbabit ialah Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang; Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail Johor Bahru; Hospital Sultan Hj Ahmad Shah di Pahang dan Hospital Tawau serta Hospital Duchess of Kent di Sabah.

    Inisiatif yang juga tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dijayakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MedTweetMY.

    Pengurus Besar Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, Lawrence Song berkata, sumbangan diberikan atas dasar pihaknya memahami kepentingan hospital tempatan untuk mendapatkan udara bersih dalam keadaan sekarang.

    “Daikin sangat menghargai dan memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja keras untuk memberikan yang terbaik kepada komuniti.

    “Justeru, kami memastikan bahawa mereka berada dalam persekitaran yang lebih baik dengan udara lebih bersih walaupun jadual kerja mereka sangat sibuk,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, kedua-dua pihak berharap setiap hospital akan mendapat bantuan yang diperlukan dalam memastikan udara bersih untuk semua orang, terutamanya kakitangan dan pesakit di dalam hospital.



    Sumber

  • Ejen hartanah seluruh dunia jangka pendapatan menurun akibat Covid-19

    KUALA LUMPUR – Kumpulan hartanah terkemuka Juwai IQI berkata 82 peratus daripada ejen hartanah kediaman di seluruh dunia menyatakan pandemik koronavirus (Covid-19) telah menurunkan jangkaan pendapatan mereka bagi 2020.

    Dalam kajian pertamanya di lebih 60 negara, ia berkata, penurunan pendapatan adalah masalah yang dialami di semua negara yang dikaji.

    Menurut kajian itu, ejen Malaysia paling kurang pesimis dengan 74 peratus ejen menjangka mendapat kurang pendapatan pada 2020, 38 peratus menjangka memperoleh ‘pendapatan kurang ketara’ dan 33 peratus menjangka memperoleh ‘kurang sedikit’.

    Ia mendapati 22 peratus ejen hartanah di negara ini merancang meningkatkan pelaburan mereka dalam pemasaran kepada pembeli asing, manakala 53 peratus merasakan impak Covid-19 akan menjejaskan pasaran bagi lebih tiga bulan.

    “Dari segi belian dan jualan, 35 peratus ejen percaya ini adalah masa yang ‘baik’ atau ‘sangat baik’ untuk menjual tetapi 47 peratus percaya ia adalah masa yang ‘tidak sesuai’ atau ‘sangat tidak sesuai’ untuk menjual.

    “Bagaimanapun 82 peratus percaya ini adalah masa yang baik atau sangat baik untuk membeli hartanah,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersempena dengan pelancaran dapatan ‘Global Coronavirus Agent Survey’.

    Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Juwai IQI Georg Chmiel berkata, meskipun Covid-19 memberi impak kepada pasaran, ia melihat semakin ramai ejen hartanah dan pemaju hartanah beralih kepada saluran dalam talian untuk memasar dan melancarkan pembangunan mereka.

    Malahan, katanya, pada hujung minggu lepas syarikat tersebut telah mengadakan ekspo hartanah menerusi Facebook Live yang menarik lebih daripada 90,000 tontonan. – Bernama



    Sumber

  • MEDAC sedia inisiatif bernilai RM1.099 bilion bantu usahawan, koperasi

    MEDAC sedia inisiatif bernilai RM1.099 bilion bantu usahawan, koperasi

    KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyediakan inisiatif bernilai RM1.099 bilion yang dapat memberi manfaat kepada 14,628 koperasi berdaftar di seluruh negara.

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan prihatin dalam membantu usahawan dan koperasi dalam menangani kelembapan operasi perniagaan berikutan perlanjutan tempoh kawalan pergerakan (PKP).

    Ujarnya, inisiatif yang dilakukan itu termasuk penangguhan bayaran balik Tabung Modal Pusingan yang diuruskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk tempoh enam bulan yang bernilai sebanyak RM99 juta.

    “Koperasi akan diberi penangguhan daripada mendeposit keuntungan bagi tahun kewangan 2019 ke Akaun Deposit Koperasi (ADK). Penangguhan ini bakal memberi manfaat kepada 14,000 koperasi dengan jumlah tunai terlibat dianggarkan sebanyak RM600 juta.

    “Koperasi diberikan pengurangan caruman ke Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) kepada lapan peratus berbanding 15 peratus kadar sedia ada daripada untung bersih koperasi untuk tempoh kewangan mulai 31 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020.

    “Dianggarkan sebanyak RM333 juta lebihan likuiditi dalam gerakan koperasi dapat dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan yang terjejas,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

    Wan Junaidi berkata, koperasi boleh mendapat pembiayaan dalam bentuk soft-loan yang disediakan di bawah Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) sehingga RM50,000 tanpa cagaran dengan grace period selama enam bulan untuk tempoh sepanjang wabak.

    “Proses dan tempoh kelulusan akan dipermudah dan dipercepatkan. Bagi tujuan ini, sebanyak RM15 juta disediakan,” ujar beliau.

    Selain itu, beliau berkata, koperasi juga disediakan kemudahan pembiayaan melalui Dana Likuiditi Pusat (CLF) untuk tempoh jangka pendek selama satu tahun dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000.

    “Jumlah peruntukan terlibat adalah RM50 juta dengan sasaran 100 buah koperasi yang benar-benar memerlukan suntikan kecairan jangka pendek bagi meneruskan operasi perniagaan koperasi di sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

    Tambah beliau, geran bantuan kecemasan turut disediakan khusus untuk koperasi yang terjejas teruk dengan pandemik koronavirus (Covid-19) dengan jumlah maksimum pembiayaan sehingga RM30,000 bagi setiap koperasi.

    Jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta telah disediakan.

    Dalam pada itu, Program Jualan Harga Patut Koperasi dengan peruntukan RM1 juta akan dilaksanakan dengan serampang dua mata bagi membantu anggota dan masyarakat lain mendapatkan beberapa barangan keperluan harian pada harga berpatutan di samping membantu memulihkan perniagaan koperasi.

    “Program ini melibatkan 200 koperasi seluruh negara. Program ini juga dijangka dapat meningkatkan perniagaan sebanyak RM30,000 bagi setiap koperasi,” jelas beliau.

    Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata, sebagai kerajaan yang prihatin, pelaksanaan inisiatif baharu itu diharap dapat meningkatkan kapasiti 14,628 koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan koperasi dan menyumbang dengan efektif kepada pembangunan ekonomi negara.

    “Insentif untuk meningkatkan aliran tunai membolehkan koperasi terus aktif dan menjaga kebajikan seramai 6.05 juta anggota koperasi.

    “Diharapkan melalui inisiatif-inisiatif baharu ini, ia akan dapat membantu dan mengurangkan bebanan koperasi sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.



    Sumber

  • BSN terima peruntukan RM700 juta bantu usahawan mikro

    BSN terima peruntukan RM700 juta bantu usahawan mikro

    KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima peruntukan sebanyak RM700 juta daripada kerajaan untuk mengendalikan pinjaman atau kewangan kepada usahawan mikro yang terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19) melalui BSN Micro/i Kredit Prihatin.

    Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, pembiayaan itu menawarkan kadar sebanyak dua peratus tanpa cagaran kepada semua usahawan mikro dalam pelbagai segmen dengan syarat kelayakan pinjaman minimum enam bulan operasi berbanding syarat kelayakan sebelumnya iaitu setahun.

    Beliau berkata, bagi memudahkan usahawan mikro meneruskan perniagaan mereka, amaun pembiayaan turut ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan dengan tempoh pinjaman/pembiayaan antara 1 hingga 5.5 tahun.

    “Bagi usahawan yang memohon BSN Micro/i Kredit Prihatin turut diberi moratorium enam bulan ke atas pembayaran ansuran bulanan.

    “Dalam pada itu, kadar serendah 3.5 peratus sehingga 4.00 peratus juga ditawarkan kepada pelanggan bagi produk dan pembiayaan sedia ada seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Agro Makanan (AF) serta Kemudahan Automasi dan Pendigitilan (ADF),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Yunos berkata, peranan BSN itu adalah sebagai menyokong inisiatif dan keprihatinan kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas oleh wabak Covid-19 melalui beberapa pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini.

    Menurutnya, pakej rangsangan itu yang amat signifikan dalam membantu merangsang ekonomi seperti yang diharapkan kerajaan juga dinanti-nantikan oleh semua terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk membantu memudahkan aliran tunai dan meneruskan perniagaan mereka.

    “Meskipun pelbagai inisiatif telah kami tawarkan seperti di atas, BSN juga mengumumkan bantuan moratorium secara automatik untuk semua pinjaman dan pelanggan yang memenuhi syarat tanpa kompaun faedah untuk pinjaman konvensional sedia ada.

    “Kami berharap agar bantuan yang BSN tawarkan ini dapat meringankan beban dan membantu rakyat Malaysia dalam waktu yang sukar ini,” katanya.

    Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900. – Bernama



    Sumber

  • Saham KL kekal positif pada tengah hari

    Saham KL kekal positif pada tengah hari

    KUALA LUMPUR – Saham di Bursa Malaysia terus berada pada momentum meningkat pada tengah hari ini, menjejaki prestasi bursa serantau yang positif.

    Peniaga berkata, sentimen pasaran disokong oleh peningkatan semalaman di Wall Street terutamanya Indeks Perindustrian Dow Jones yang melonjak hampir 700 mata untuk ditutup kepada 22,327.5.

    Pada jam 12.30 tengah hari, FBM KLCI meningkat 8.55 mata atau 0.64 peratus kepada 1,337.43 daripada 1,328.88 semasa ditutup pada Isnin.

    Indeks utama dibuka tinggi 7.72 mata kepada 1,336.60, dan berada antara 1,335.91 dan 1,352.20 sepanjang sesi pagi.

    Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 576 berbanding 177 manakala 264 kaunter tidak berubah, 981 tidak diniagakan dan 96 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 1.84 bilion saham bernilai RM1.04 bilion.

    Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 2.03 peratus kepada 2,465.27, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.09 peratus kepada 23,428.15 dan Indeks Kospi Korea Selatan menambah 0.81 peratus kepada 1,730.95.

    Rakuten Trade Sdn Bhd berkata, persaingan antara pembeli dan penjual berterusan berikutan Wall Street mengakhiri sesi dengan lebih kukuh semalam.

    “Walaupun kami menjangka pasaran serantau juga sedemikian disokong oleh beberapa belian, turun naik masih tinggi,” katanya dalam nota hari ini.

    Di peringkat tempatan, broker ekuiti dalam talian menjangka pasaran akan lebih kukuh dan mengunjurkan FBM KLCI akan diniagakan dalam julat yang terhad antara 1,320 dan 1,340.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH meningkat 12 sen kepada RM5.27, Maybank dan Sime Darby Plantation, masing-masing naik lapan sen kepada RM7.39 dan RM4.73, Genting menambah 23 sen kepada RM3.73 dan CIMB menokok lapan sen kepada RM3.59.

    Daripada saham aktif, Armada naik setengah sen kepada 13.5 sen, Hibiscus menambah satu sen kepada 18 sen, manakala Pegasus Heights, Sanichi dan Hubline, masing-masing tidak berubah pada setengah sen, lima sen dan empat sen.

    Nestle mendahului senarai kaunter paling untung, melonjak RM1.00 kepada RM137.00, Ajinomoto naik 52 sen kepada RM13.22, Dutch Lady meningkat 46 sen kepada RM42.50, F&N menambah 44 sen kepada RM30.96 dan Kuala Lumpur Kepong menokok 40 sen kepada RM20.94.

    Indeks FBM Emas naik 72.72 mata kepada 9,157.12, Indeks FBM Emas Shariah menokok 75.81 mata kepada 9,984.77 manakala Indeks FBMT 100 meningkat 67.59 mata kepada 9,085.32.

    FBM 70 naik 118.02 mata kepada 10,499.65 dan FBM Ace menambah 133.72 mata kepada 3,917.19.

    Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.05 mata kepada 104.88, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 88.89 mata kepada 12,225.64 dan Indeks Perladangan meningkat 76.19 mata kepada 6,119.36. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit diniagakan tinggi pada pembukaan

    Ringgit diniagakan tinggi pada pembukaan

    RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini dalam persekitaran sentimen pasaran yang bercampur-campur.

    Pada jam 9.01 pagi, unit tempatan berada pada 4.3200/3350 berbanding dolar AS daripada 4.3250/3400 semasa ditutup semalam.

    Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, sentimen risiko tempatan dijangka lebih baik hari ini, berikutan pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) semalaman dan harga minyak yang meningkat.

    Ringgit turut mendapat dorongan daripada data terkini dari China yang menyaksikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan rasmi bagi Mac meningkat semula dengan kukuh kepada 52.0 daripada 35.7 pada Februari.

    Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0331/0453 daripada 3.0342/0450 semasa ditutup semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9786/9936 daripada 4.0098/0249.

    Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.7593/7776 daripada 4.7869/8052 semalam dan naik berbanding pound kepada 5.3261/3464 daripada 5.3569/3764 sebelum ini. – Bernama



    Sumber

  • Grab Malaysia rangka tiga langkah bantu perniagaan tempatan

    Grab Malaysia rangka tiga langkah bantu perniagaan tempatan

    KUALA LUMPUR- Grab Malaysia merangka tiga pendekatan bagi membantu perniagaan tempatan terutama syarikat kecil bebas serta penjaja yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

    Justeru, syarikat multinasional e-panggilan itu akan memulakan program Grab Small-Biz Relief (Bantuan Peniaga Kecil Grab) atau GSR yang bertujuan memberi sokongan kewangan sehingga RM3,000 kepada setiap perniagaan kecil GrabFood.

    Ketua Negara Grab Malaysia Sean Goh berkata, komisen sifar turut ditawarkan bagi semua pembayaran digital menerusi WhatsApp, Facebook atau pesanan telefon dan pengambilan secara sendiri.

    “Kami juga akan melancarkan kempen Wira Tempatan bagi meningkatkan kesedaran mengenai peniaga terbabit di serata saluran digital.

    “Kempen bermula 1 April itu diharapkan dapat menyemarakkan lagi kesedaran terhadap restoran kecil dan bebas di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Aplikasi Grab Food.

    Aplikasi Grab Food.

    Menurutnya, susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat terbabit turut menawarkan dua saluran alternatif baharu bagi membantu peniaga memenuhi permintaan pada kadar komisen sifar peratus.

    “Pertama, kami akan menghantar pautan GrabPay untuk setiap peniaga atau pedagang yang layak supaya mereka dapat menerima bayaran langsung melalui (laman) sembang, secara percuma dan bagi pesanan menerusi Whatsapp, Facebook atau telefon selain turut meraih mata ganjaran GrabRewards.

    “Kedua, bagi pesanan GrabFood, kami akan mengecualikan semua komisen jika pelanggan mengambil sendiri barangan terbabit. Adalah diharapkan dengan langkah-langkah ini kami dapat memberi sedikit sokongan kepada perniagaan tempatan,” katanya. – Bernama



    Sumber