Blog

  • BHPetrol umum CEO baharu

    BHPetrol umum CEO baharu

    KUALA LUMPUR – Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) mengumumkan pelantikan Leslie Ng Chie Shean sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa 1 April 2020.

    BHPetrol dalam satu kenyataan hari ini berkata Leslie menggantikan Tan Kim Thiam, yang bersara pada 31 Disember tahun lalu.

    Beliau mempunyai kerjaya yang luas dalam industri minyak dan gas khususnya dalam sektor petroleum runcit.

    Ini termasuk selama 26 tahun dengan Shell yang memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam pasaran tempatan dan di rantau Asia Pasifik, menerajui dua perniagaan hiliran terbesar Shell iaitu runcit dan minyak pelincir.

    Beliau berpengalaman dalam bidang utama seperti kemasukan pasaran baharu, pembangunan perniagaan, pengembangan rangkaian, pemasaran, strategi, jualan perniagaan kepada perniagaan/perniagaan kepada pelanggan, jualan runcit dan operasi, pengedaran dan perniagaan Teknologi Maklumat (IT)/automasi.

    Sebelum ini, beliau ialah CEO Blue Ocean Group di Kemboja untuk bahagian minyak dan gas, hartanah dan peruncitan.

    Sementara itu, Ir Azizul Azily, yang juga pemangku CEO sebelum pelantikan Leslie akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Pengurus Besar Bahagian Bekalan, Peruncitan, Kerajaan dan Perhubungan Awam syarikat itu. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit ditutup rendah berikutan permintaan ke atas dolar US

    Ringgit ditutup rendah berikutan permintaan ke atas dolar US

    RINGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan yang lebih teguh ke atas mata wang tersebut, dolar AS menjadi sandaran kepada pelabur berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang lebih buruk akibat pandemik Covid-19.

    Pada 6 petang, ringgit didagangkan lebih rendah pada 4.3520/3620 berbanding dolar AS daripada 4.3480 /3550 yang dicatatkan semalam.

    Menurut seorang penganalisis, data pengangguran awal Amerika Syarikat (AS) minggu lepas yang mencecah 6.65 juta akibat impak coronavirus terhadap pekerjaan, telah mendorong para pelabur mencari perlindungan di bawah dolar AS.

    Sementara itu, penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, perkembangan positif dalam perdagangan luar Malaysia untuk Februari 2020, dengan eksport dan import, masing-masing naik dari tahun ke tahun kepada 11.8 peratus dan 11.3 peratus, sewajarnya akan menghadkan kejatuhan ringgit.

    “Risiko pengucupan ekonomi Malaysia sebanyak dua peratus pada 2020, menurut jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disemak semula oleh Bank Negara Malaysia, boleh memberi kesan terhadap hubungan dolar AS-ringgit untuk sepanjang tahun ini.

    “Bagaimanapun, dengan penumpuan dasar monetari yang mencukupi, langkah-langkah sokongan yang lebih banyak mampu mengurangkan kesan negatif Covid-19 terhadap ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

    Walaupun lemah berbanding dolar AS, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 4.0118 / 0221 daripada 4.0518/0591 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0319/0399 daripada 3.0395/0457.

    Ia meningkat berbanding euro kepada 4.7049/7175 daripada 4.7537 / 7631 serta mengukuh berbanding pound British kepada 5.3495/4631 daripada 5.4180/4285.- Bernama



    Sumber

  • UOB Malaysia sumbang RM500,000 untuk keperluan perubatan kritikal

    UOB Malaysia sumbang RM500,000 untuk keperluan perubatan kritikal

    UNITED Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menyumbang sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) kepada Dana Pandemik Covid-19 Mercy Malaysia.

    Dana itu ditubuhkan bagi menyediakan pekerja penjagaan kesihatan negara ini dengan peralatan perubatan kritikal mencukupi yang diperlukan untuk menjaga pesakit selain melindungi pekerja barisan hadapan yang menjalankan tugas tanpa mengenal penat lelah semasa penularan koronavirus (Covid-19).

    Sumbangan UOB Malaysia itu adalah sebahagian daripada usaha bantuan daripada seluruh indusri di bawah ABM untuk menyokong Mercy Malaysia, sebuah pertubuhan bantuan sukarelawan yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan kemanusiaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong, berkata, sumbangan itu bertujuan memenuhi keperluan memperoleh lebih banyak lagi peralatan perubatan kritikal yang diperlukan untuk merawat bilangan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

    “Sumbangan juga akan membantu menyediakan bekalan penting bagi keselamatan profesional perubatan dan barisan hadapan negara kerana merekalah yang melindungi dan menyelamatkan nyawa dalam perjuangan kolektif menentang virus ini,” katanya dalam satu kanyataan.

    Tambahnya, sumbangan bank ke arah usaha kolektif ABM itu akan membantu menyokong kesiapsiagaan kritikal, kesediaan dan tindak balas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan.

    “Dana ini akan digunakan untuk menyediakan peralatan perubatan kritikal seperti ventilator, respirator penulen udara yang berkuasa dan kit ujian, selain menyediakan ruang pengasingan untuk rawatan pesakit.

    “Malah, dana juga membolehkan pihak hospital mendapatkan bantuan sukarelawan tambahan untuk menjaga pesakit dan membantu dalam saringan kesihatan serta menyediakan makanan dan bekalan penting kepada doktor, sukarelawan dan pesakit,” katanya.



    Sumber

  • BNM sedia rangka kerja pengurusan risiko

    BNM sedia rangka kerja pengurusan risiko

    BANK Negara Malaysia (BNM) telah menyediakan rangka kerja pengurusan risiko yang membantu memastikan operasi dan aktiviti bank dijalankan secara berhemat dan bertanggungjawab.

    Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata, ia mengambil pendekatan bersepadu dan kohesif terhadap pengurusan risiko bagi memastikan risiko utama yang dihadapi oleh organisasi dikenal pasti, dinilai, dipantau dan diurus secara berkesan.

    “Selain struktur dan proses formal, BNM menekankan budaya risiko yang mantap untuk menggalakkan kesedaran risiko dan komunikasi secara terbuka mengenai risiko. Matlamat bank adalah semua kakitangan, pada semua peringkat dan seluruh organisasi, mampu dan bersedia untuk mengenal pasti, memahami, memaklumkan dan menangani risiko yang dihadapi bank.

    “Struktur tadbir urus risiko BNM menekankan tanggungjawab bersama terhadap risiko yang bermula daripada setiap operasi bank dan diperkukuh melalui fungsi pengurusan dan kawalan risiko yang mantap,” katanya.

    Bagi menyokong lembaga pengarah dan pihak pengurusan melaksanakan fungsi pengawasan terhadap risiko, tanggungjawab untuk menangani dan mengurus risiko dari dalam organisasi diberikan dengan jelas melalui model ‘pertahanan tiga barisan’.

    Jabatan-jabatan, sebagai barisan pertahanan pertama, bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan menilai risiko bagi aktiviti dalam bidang urusan masing-masing, serta melaksanakan kawalan dan memastikan kawalan tersebut berkesan.

    “Sebagai barisan pertahanan kedua, Jabatan Pengurusan Risiko berfungsi sebagai pengurusan risiko pusat yang bebas. Jabatan ini mengukur, memantau dan melaporkan risiko pada peringkat organisasi, selain membangunkan dan mengawasi pelaksanaan rangka kerja dan dasar berkaitan risiko.

    “Sebagai barisan pertahanan ketiga, Jabatan Audit Dalam memberikan jaminan bebas kepada lembaga pengarah, jawatankuasa audit lembaga dan pihak pengurusan mengenai keberkesanan amalan pengurusan risiko dan kawalan dalaman organisasi,” katanya.

    Bagi mengurus risiko kewangan, BNM memantau dedahan risiko pasaran, mudah tunai dan kreditnya dengan teliti, serta melaksanakan had dan kawalan risiko.

    “Dalam portfolio rizab antarabangsa BNM, pelaburan diperuntukkan berpandukan tanda aras pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah, yang menggariskan kesanggupan jangka panjang bank untuk mengambil risiko dan mendapatkan pulangan.

    Penyimpangan daripada tanda aras ini dikawal menggunakan had risiko, pengaturan tadbir urus dan garis panduan pelaburan.

    “Bank juga menyediakan rangka kerja risiko kredit yang menggariskan pelaburan dan aktiviti yang dibenarkan. Bagi operasi am bank seperti penyediaan belanjawan, pemerolehan dan pembayaran, tadbir urus dan kawalan dilaksanakan untuk memastikan bank memperuntukkan perbelanjaannya dan mengurus kewangan secara berhemat,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • BNM tambah baik proses tuntutan insurans, takaful kenderaan bermotor

    BNM tambah baik proses tuntutan insurans, takaful kenderaan bermotor

    BANK Negara Malaysia (BNM) sedang mengkaji semula piawaian sedia ada mengenai panduan garis masa yang perlu dipatuhi oleh penanggung insurans dan pengendali takaful apabila memproses tuntutan.

    Berdasarkan artikel bertajuk ‘Penambahbaikan Proses Tuntutan Kenderaan Bermotor’ dalam Laporan Tahunan BNM 2019 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan tempoh masa yang diambil bagi memproses tuntutan melalui pemberian maklumat dan penzahiran yang menyeluruh.

    “BNM juga terus menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang menggalakkan industri menggunakan penyelesaian teknologi untuk memendekkan lagi tempoh membuattuntutan,” kata BNM.

    Justeru, BNM mahu industri insurans dan takaful perlu terus berusaha untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pengurusan tuntutan.

    Selain itu, pemandu perlu mempunyai pemahaman yang betul mengenai proses membuat tuntutan, sekali gus menjadi antara strategi yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan proses tuntutan insurans dan takaful, menurut BNM.

    BNM telah mewajibkan penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menyediakan panduan yang standard mengenai langkah yang perlu diambil apabila pemandu terlibat dalam kemalangan.

    “Panduan ini perlu disertakan bersama polisi insurans motor dan juga boleh didapati di laman sesawang penanggung insurans dan pengendali takaful,” kata BNM.

    Pada 2013, industri insurans dan takaful telah mewujudkan talian Bantuan Kemalangan 1300-22-11-88, sebagai talian bantuan yang berfungsi 24 jam sehari untuk memberi nasihat serta bantuan kepada pemanggil yang terlibat dalam kemalangan.

    Pemanggil juga boleh bertanya mengenai perlindungan insurans dan prosedur tuntutan, kata bank pusat.

    BNM juga berkata, agensi sektor awam yang terlibat dalam menyelia sektor pengangkutan dan kenderaan bermotor di Malaysia juga memainkan peranan yang penting.

    “Pengawalan dan penguatkuasaan yang berkesan bagi menggalakkan tingkah laku profesional serta mencegah penipuan dan salah guna juga penting untuk memelihara integriti pembaikan kenderaan motor, rawatan kecederaan dan proses tuntutan,” kata bank pusat.

    Sebagai contoh, BNM menetapkan dan menguatkuasakan piawaian minimum yang jelas untuk kerja pembaikan akan meningkatkan tahap profesionalisme bengkel secara keseluruhannya, menambah keyakinan pengguna dan mengurangkan skop pertikaian semasa penyelesaian tuntutan.

    Proses tuntutan kemalangan dan motor juga boleh diperbaiki secara keseluruhannya, kata BNM.

    “Mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan yang melibatkan penimbang tara bebas bagi menyelesaikan sebarang rasa tidak puas hati adalah juga penting,” kata BNM.

    Bagi pihak yang menuntut, bank pusat itu berkata, langkah ini membolehkan proses tuntutan diselesaikan dengan lebih cepat, kerja pembaikan kenderaan dibuat oleh pihak yang dipercayai dan pampasan kewangan diperoleh dengan segera sekiranya berlaku kecederaan. – Bernama



    Sumber

  • BNM pergiat interaksi tambah baik pendekatan urus risiko

    BNM pergiat interaksi tambah baik pendekatan urus risiko

    BANK Negara Malaysia (BNM) mempergiatkan interaksinya dengan institusi kewangan dalam usaha menambah baik pendekatan yang digunakan untuk mengukur risiko operasi serta membuat analisis berdasarkan senario serta ujian tekanan.

    Menurut bank pusat itu, institusi kewangan juga dikehendaki supaya sentiasa mengemas kini dan menguji pelan tindak balas operasi mereka supaya pelan tersebut dapat mengenal pasti dan menangani jurang yang wujud dalam keupayaan pencegahan, tindak balas dan pemulihan.

    “Selain itu, platform risikan ancaman siber sektor kewangan (FinTIP) dijangka beroperasi pada akhir suku ketiga tahun ini,” katanya dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 yang dikeluarkan di sini hari ini.

    Platform itu telah diwujudkan oleh BNM dengan kerjasama pihak industri yang bertujuan mengumpul, menggabungkan, menganalisis dan berkongsi maklumat ancaman siber yang diterima daripada pelbagai sumber boleh dipercayai.

    Dalam industri insurans pula, bank pusat itu berkata, Sistem Perisikan Penipuan telah memudahkan usaha mengenal pasti dan menjalankan siasatan lebih cekap terhadap kemungkinan tuntutan motor palsu melalui analisis terhadap data dan pemarkahan.

    “Usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan ketepatan tanda amaran penipuan dan mengukur penjimatan kos yang terhasil daripada penggunaanya.

    “Perkembangan ini melengkapi Rangkaian Dalam Talian Bersepadu Risiko Operasi BNM yang memudahkan pemantauan terhadap seluruh sistem kewangan dan pengesanan awal trend risiko operasi,” katanya.

    Menurut BNM, satu latihan simulasi krisis industri yang dirancang untuk 2021 akan membuka peluang besar bagi menguji pengaturan semasa tindak balas kepada sesuatu krisis pada peringkat institusi dan seluruh sistem.

    Langkah itu juga dijangkakan dapat memberi kefahaman mendalam mengenai usaha pembaikan berterusan terhadap kesediaan dan keupayaan sistem kewangan terhadap krisis.

    Menurut BNM, kejadian risiko operasi dalam sistem kewangan juga telah meningkat berikutan bertambahnya penggunaan digital dan pergantungan yang lebih tinggi terhadap penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

    Bagaimanapun, bilangan dan jumlah kerugian akibat kejadian-kejadian tersebut kekal kecil bagi bank, penanggung insurans dan pengendali takaful berbanding dengan jumlah aktiviti pengantaraan.

    BNM berkata, jumlah kerugian bank dan institusi kewangan pembangunan pada 2019 akibat risiko operasi mencakupi 0.7 peratus daripada jumlah keuntungan sebelum cukai, malah jauh lebih rendah berbanding kerugian risiko kredit sebanyak 3.1 peratus.

    Hampir kesemua kerugian risiko operasi berpunca daripada daripada penipuan yang berkaitan dengan pembiayaan perdagangan melibatkan penggunaan semula bil muatan terpakai dan nombor rujukan invois bagi perdagangan palsu.

    Dalam pada itu, BNM berkata, sistem pembayaran dan penyelesaian kekal stabil tanpa gangguan besar.

    Pada 2019, sebanyak 5.1 juta urus niaga yang bernilai RM56.8 trilion telah diselesaikan menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).

    Jumlah itu bersamaan dengan 37.8 kali Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia serta mencerminkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.2 peratus dari segi jumlah dan 2.9 peratus dari segi nilai, kata BNM. – Bernama



    Sumber

  • Kewangan Islam berkembang pesat berbanding konvensional

    Kewangan Islam berkembang pesat berbanding konvensional

    Sistem kewangan Islam telah berkembang pada kadar yang lebih pantas berbanding sistem kewangan konvensional, hasil daripada respons beberapa institusi kewangan mengamalkan strategi mengutamakan kewangan Islam pada peringkat kumpulan.

    Menurut Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pada akhir 2019, pembiayaan oleh institusi kewangan Islam mencakupi 39.2 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan sektor perbankan (2018: 37.7 peratus).

    “Jumlah dana yang disimpan dan diuruskan di bank Islam kini mewakili 38.0 peratus daripada jumlah keseluruhan deposit sektor perbankan (2018: 36.6 peratus), sementara sumbangan bersih takaful kepada jumlah keseluruhan perniagaan insurans dan takaful terus meningkat kepada 18.3 peratus (2018: 16.6 peratus),” menurut laporan itu.

    Sejajar dengan industri kewangan Islam yang matang di Malaysia, BNM terus menumpukan usaha mengukuhkan nilai asas kewangan Islam, bertujuan untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat prinsip syariah yang mendasari perkhidmatan kewangan patuh syariah.

    Majlis Penasihat Syariah mengenai kewangan Islam, selaku penasihat kepada BNM mengenai perkara syariah, memainkan peranan penting dalam menjelaskan prinsip asas syariah yang utama yang perlu diterapkan dalam perkhidmatan kewangan Islam.

    Selain itu, untuk meningkatkan fokus terhadap pengantaraan berasaskan nilai (VBI), industri perbankan Islam dan takaful juga meneroka penggunaan instrumen kewangan sosial seperti wakaf, derma dan pemberian zakat bagi menyedia perkhidmatan kewangan kepada golongan yang lebih memerlukan.

    Penerapan sumbangan kewangan sosial itu membuka peluang kepada usaha menggembleng sumber secara lebih berkesan ke arah penyediaan pembiayaan dan perlindungan kewangan kepada segmen pendapatan rendah dalam bentuk modal benih, modal kerja dan manfaat takaful, kata laporan itu.

    “Program kewangan ini boleh memberi impak penting dalam meningkatkan daya tahan kewangan dan kesejahteraan sosial dalam masyarakat,” kata BNM dan menurutnya beberapa program perintis sedang dipelopori dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama.

    Program perintis ini akan menjadi model dan pemangkin bagi pembangunan kewangan sosial yang lebih mantap di Malaysia.

    Sementara itu, industri kewangan Islam di negara ini berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pembangunan industri halal dan secara kolektifnya, bank Islam telah memperuntukkan dana sebanyak RM20 bilion untuk membiayai perusahaan kecil dan sederhana termasuk perniagaan dalam industri halal.

    “Pelbagai penyelesaian kewangan disediakan untuk menangani pelbagai keperluan perniagaan seperti pengurusan tunai dan mudah tunai, modal kerja dan pelaburan, pengurusan risiko dan penyelesaian perlindungan, sewaan peralatan dan jentera serta pembiayaan rantaian bekalan,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

    Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

    BURSA Malaysia dibuka tinggi sedikit hari ini disokong oleh kekukuhan harga minyak mentah dunia yang meningkatkan keyakinan pelabur di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Para pelabur memberikan reaksi positif kepada pengumuman FTSE Russell semalam untuk mengekalkan Malaysia dalam senarai World Government Bond Index (WGBI) pada semakan interim, walaupun keputusan itu telah dijangkakan.

    Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.68 mata atau 0.12 peratus kepada 1,332.52 daripada 1,330.90 semalam.

    Indeks utama itu dibuka 0.66 mata lebih kukuh kepada 1,331.56.

    Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 295 berbanding 51, manakala 157 kaunter tidak berubah, 1,418 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah 633.57 juta bernilai RM169.20 juta.

    Maybank Investment Bank Research (Maybank IB Research) dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata, FTSE Russell mengiktiraf langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menambah baik kecairan bon dan juga pertukaran asing.

    “Keputusan utama dijangka dibuat pada semakan tahunan pada September tahun ini dan kami menjangka Malaysia akan terus dikekalkan dalam WGBI,” kata firma penyelidikan itu.

    Dalam nota penyelidikan berasingan, ia berkata, meskipun pemulihan daripada penurunan baru-baru ini, prospek jangka pendek dijangka suram apabila Moody telah menurunkan penilaian sistem perbankan Malaysia kepada negatif daripada stabil.

    “Dari segi teknikalnya, kami menjangka FBM KLCI berada dalam jajaran antara 1,300 dan 1,350 hari ini. Sokongan menurun dijangkakan pada paras 1,240 dan 1,211,” kata firma itu.

    Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Hartalega naik 20 sen kepada RM7.00, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM4.83, Petronas Gas menokok 24 sen kepada RM15.54, Hong Leong Bank menambah 18 sen kepada RM13.32 dan IHH naik 18 sen kepada RM5.10.

    Petronas Gas, Hartalega dan Hong Leong Bank juga merupakan antara kalangan kaunter paling untung di Bursa Malaysia hari ini.

    Kaunter paling cergas terus didominasi oleh saham berkaitan minyak dan gas.

    Armada dan Velesto naik dua sen setiap satu masing-masing kepada 18.5 sen dan 19 sen, Sapura Energy meningkat 1.5 sen kepada 10.5 sen, Hibiscus mengukuh 6.5 sen kepada 49.5 sen dan Borneo Oil menambah setengah sen kepada 2.5 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 36.99 mata kepada 9,222.74, Indeks FBM Emas Shariah menambah 58.44 mata kepada 10,116.37 manakala Indeks FBMT 100 naik 24.43 mata kepada 9,124.97.

    FBM 70 meningkat 106.07 mata kepada 10,850.83 dan FBM Ace menambah 38.65 mata kepada 4,005.13.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.97 mata kepada 105.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.83 mata kepada 12,083.82 tetapi Indeks Perladangan susut 18.27 mata kepada 6,108.01. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila permintaan terhadap dolar AS meningkat berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global yang makin memburuk.

    Pada jam 9.05 pagi, ringgit berada pada 4.3600/3690 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3480/3550 pada Khamis.

    Seorang penganalisis berkata, angka tuntutan pengangguran awal Amerika Syarikat pada minggu lepas yang berganda kepada 6.65 juta susulan impak koronavirus (Covid-19) terhadap pekerjaan telah menyebabkan para pelabur mencari dolar AS.

    Selain itu, para pelabur turut menunggu data eksport dan import tempatan bagi Februari yang dijadual dikeluarkan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia dijangka menyaksikan ringgit diniagakan lebih tinggi tetapi bukan hari ini.

    “Meskipun peningkatan harga minyak tidak begitu menyokong ringgit, kita berada di kedudukan yang lebih baik hari ini berbanding pada pertengahan minggu, yang merupakan suatu yang baik bagi sentimen tempatan,” katanya.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

    Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7271/7386 daripada 4.7537/7631 pada paras penutup Khamis dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3981/4114 daripada 5.4180/4285.

    Ringgit juga naik berbanding yen Jepun kepada 4.0363/0450 daripada 4.0518/0591 tetapi turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0441/0508 daripada 3.0395/0457. – Bernama



    Sumber

  • Harga minyak meningkat, ringgit ditutup tinggi

    Harga minyak meningkat, ringgit ditutup tinggi

    RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini didorong oleh peningkatan harga minyak dan laporan yang mengatakan China bercadang membeli minyak untuk rizab negara itu, menurut penganalisis.

    Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.3480/3550 berbanding dolar AS daripada 4.3480/3550 ketika ditutup Rabu.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran global, AxiCorp, Stephen Innes berkata, niaga hadapan minyak mentah menokok selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi keyakinan bahawa perang harga Arab Saudi dan Rusia mampu diselesaikan.

    “China juga bercadang mengumumkan kelompok keempat kawasan strategik rizabnya,” kata Innes dalam satu nota hari ini.

    Di peringkat tempatan, kebimbangan yang tercetus daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mendorong pelabur mencari perlindungan untuk dolar AS.

    Innes berkata, pasaran pesat membangun turut menghadapi aliran keluar yang ketara di tengah-tengah isyarat pelanjutan tempoh PKP.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

    Ia menokok berbanding euro kepada 4.7537/7631 daripada 4.7554/7731 ketika ditutup Rabu, namun,susut daripada dolar AS kepada 3.0395/0457 daripada 3.0341/0454 semalam.

    Unit tempatan juga lemah berbanding pound Britain kepada 5.4180/4285 daripada 5.3762/3964 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 4.0518/0591 daripada 4.0416/0567 semalam. – Bernama



    Sumber