Blog

  • Bursa Malaysia ditutup rendah

    Bursa Malaysia ditutup rendah

    BURSA Malaysia ditutup rendah hari ini selepas mencatatkan kenaikan dua hari berturut-turut dengan sentimen menjadi negatif berikutan peningkatan jumlah kematian serta kes yang dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) di negara-negara sedang pesat membangun.

    Pada jam 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.53 mata atau 0.62 peratus kepada 1,361.39 daripada 1,369.92 pada paras penutup Selasa.

    Indeks itu dibuka rendah turun 3.46 mata kepada 1,366.46 dan bergerak antara paras 1,358.20 dan 1,367.16 sepanjang hari dagangan.

    Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 617 berbanding 316 manakala 318 kaunter tidak berubah, 669 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan turun kepada 5.36 bilion saham bernilai RM2.66 bilion daripada 6.60 bilion saham bernilai RM3.36 bilion sebelumnya.

    Jumlah kematian harian daripada pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat melebihi 1,800 orang pada Selasa yang merupakan paras tertinggi baharu global bagi bilangan kematian berkaitan dengan pandemik itu dalam satu hari.

    Kebimbangan terhadap Covid-19 telah menyebabkan Dow Jones Industrial Index jatuh 0.12 peratus kepada 22,653.86, S&P 500 turun 0.16 peratus kepada 2,659.41 manakala Nasdaq Composite susut 0.33 peratus kepada 7,887.26.

    Di dalam negara, penutupan enam kawasan ladang sawit di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Kalabakan telah menyebabkan kerugian bagi syarikat perladangan.

    Kaunter Sime Darby Plantation turun 29 sen kepada RM4.76, KLK susut 56 sen kepada RM20.70 dan PPB jatuh 42 sen kepada RM16.26. Kesemua kaunter-kaunter itu menyumbang 5.817 mata kepada penurunan indeks komposit.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.87, IHH meningkat dua sen kepada RM5.14, Tenaga turun 26 sen kepada RM11.94 dan Public Bank turun lapan sen kepada RM15.82.

    Dalam kalangan kaunter untung utama, Shangri-La meningkat 29 sen kepada RM4.59, Rapid naik 28 sen kepada RM6.08 dan Allianz-Pa menokok 20 sen kepada RM12.80.

    Sementara itu, kaunter paling cergas didominasi oleh saham pembinaan dan tenaga.

    Ekovest naik 1.5 sen kepada 46 sen, Gamuda-We meningkat 2.5 sen kepada 14.5 sen dan Hibiscus Petroleum susut tiga sen kepada 50.5 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 66.44 mata kepada 9,411.27, Indeks FBMT 100 susut 61.06 mata kepada 9,306.71 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 80.10 mata kepada 10,322.45.

    FBM 70 turun 83.71 mata kepada 11,000.49 dan FBM ACE berkurangan 147.23 mata kepada 4,085.67.

    Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.83 mata kepada 12,398.47, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.11 mata kepada 109.22 dan Indeks Perladangan jatuh 176.05 mata kepada 6,175.76.

    Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 3.99 bilion saham bernilai RM2.43 bilion daripada 4.63 bilion saham bernilai RM3.02 bilion pada Selasa.

    Jumlah dagangan waran turun kepada 329.02 juta unit bernilai RM65.62 juta berbanding 479.01 juta unit bernilai RM103.88 juta.

    Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.04 bilion saham bernilai RM161.31 juta daripada 1.49 bilion saham bernilai RM236.29 juta.

    Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 501.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (514.43 juta), pembinaan (900.95 juta), teknologi (315.66 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.36 juta), hartanah (456.40 juta), perladangan (97.34 juta), REITs (11.99 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (884.57 juta), penjagaan kesihatan (30.66 juta), telekomunikasi dan media (88.36 juta), pengangkutan dan logistik (99.19 juta) dan utiliti (33.72 juta). – Bernama



    Sumber

  • Jualan Proton naik 20.4 peratus pada suku pertama

    Jualan Proton naik 20.4 peratus pada suku pertama

    KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd mencatatkan kenaikan 20.4 peratus dalam jualan suku pertama 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

    Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan berkata, 21,757 unit telah dijual dalam tiga bulan pertama tahun ini, meningkatkan bahagian pasarannya daripada 17.4 peratus kepada 20.1 peratus berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV).

    Sebagai perbandingan kepada suku pertama 2019, jualan paling laku Proton iaitu Saga, menunjukkan kenaikan 36 peratus dengan jumlah jualan sebanyak 8,824 unit manakala jualan untuk Iriz bertambah 602 peratus atau 2,009 unit.

    “Pada masa yang sama, Persona mencatatkan keuntungan 243 peratus dengan 5,677 unit dan Exora menokok 17 peratus kepada 1,091 unit.

    “Bagi Proton X70, walaupun mencatatkan penurunan 48 peratus dengan jumlah keseluruhan 4,145 unit dijual, ia masih menjadi SUV dengan jualan yang terbaik dalam suku pertama di Malaysia

    Untuk Mac, Proton telah menjual sejumlah 3,277 unit, penurunan sebanyak 41 peratus dari bulan yang sama pada 2019 dan penyusutan 67 peratus dari Februari 2020.

    Syarikat itu berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan semua cawangan jualan ditutup sejak 18 Mac dan ianya dijangka akan menjejaskan jualan kereta secara drastik pada tahun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Li Chunrong berkata, walaupun prestasi pada Januari dan Februari sangat kukuh dan melangkaui pencapaian 2019, momentum Proton adalah sangat perlahan disebabkan oleh PKP.

    “Bagaimanapun, keselamatan Malaysia dan rakyatnya adalah jauh lebih penting daripada kepentingan komersial, jadi kami menyokong kerajaan mengenai langkah-langkah yang diambil,” katanya lagi.

    Bercakap mengenai masa depan, ia melihat 2020 sebagai tahun yang sangat mencabar memandangkan impak Covid-19 khususnya selepas berakhir PKP akan memacu perniagaan di dalam persekitaran yang samar-samar.

    Buat masa ini, Proton terus beroperasi dengan jumlah kakitangan yang minima, ada juga kakitangan yang terpaksa bekerja dari rumah, sebagai pematuhan kepada kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    “Kami menggunakan masa ini untuk merangka strategi dan merancang haluan kami seterusnya. Cabaran adalah sesuatu yang kami terima,” kata Li.

    “Melihat kepada peningkatan kami dalam tempoh dua tahun lepas, saya yakin Proton mampu mengatasi krisis ini kerana kami tetap fokus pada matlamat jangka panjang kami,” tambah Li lagi. – Bernama



    Sumber

  • Hamba ALLAH wakaf, infaq al-Quran RM135,000

    Hamba ALLAH wakaf, infaq al-Quran RM135,000

    SHAH ALAM – Program Wakaf Quran Mu’jam digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sejak Jumaat lalu terus mendapat sambutan menggalakkan rakyat Malaysia setelah mengumpulkan 13,838 naskhah setakat hari ini.

    Lebih membanggakan, terdapat dua hamba ALLAH prihatin menyumbang secara wakaf serta menginfaqkan al-Quran dengan keseluruhan RM135,000 bersamaan dengan 3,275 naskhah.

    Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusof berkata, penyerahan wakaf al-Quran di setiap hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin penyakit koronavirus (Covid-19) seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seluruh negara dilaksanakan setiap hari dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,440 naskhah berjaya diagihkan.

    Menurutnya, sejumlah 1,000 naskhah al-Quran wakaf diagihkan kepada empat premis penting iaitu Hospital Serdang, Selangor; Jakim; Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan.

    “Dalam program pengagihan bermula jam 9 pagi tadi, kita mengagihkan 600 naskhah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Hospital Tuanku Jaafar (200 naskhah), Hospital Serdang (160 naskhah) dan Jakim untuk disalurkan kepada Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) sebanyak 40 naskhah.

    “WUIF bertanggungjawab menguruskan semua hasil sumbangan wakaf rakyat selepas hebahan program ini melalui pelbagai platform rakan senegeri termasuk Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Marhaini Yusof

    Marhaini Yusof

    Terdahulu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nasir Hamzah mewakili WUIF menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran sebanyak 160 naskhah kepada Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan di pekarangan lobi utama hospital itu pagi tadi.

    Turut hadir, Ketua Unit Penyelia Hospital Serdang, Jamaludin Ismail dan Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hashim Anang.

    Marhaini berkata, kesudian dua hamba ALLAH menyumbang serta menginfaqkan al-Quran dengan masing-masing berjumlah 778 naskhah (RM35,000) dan 2,500 naskhah (RM100,000) turut memberi petanda positif Projek Wakaf Quran Mu’jam semakin mencapai sasaran pengagihan 15,000 naskhah.

    Katanya, sumbangan itu sangat bermakna untuk memberikan sokongan emosi dan spiritual kepada semua petugas barisan hadapan dengan menjadikan #QuranCorner sebagai ruang Rehat & Rawat.

    Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff mewakili pihak Pusat Kuarantin Covid-19 di IKMAS, Sarawak dan ILIM, Besut menerima 40 naskhah wakaf al-Quran daripada pihak WUIF hari ini.

    Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff mewakili pihak Pusat Kuarantin Covid-19 di IKMAS, Sarawak dan ILIM, Besut menerima 40 naskhah wakaf al-Quran daripada pihak WUIF hari ini.

    “Sumbangan al-Quran Wakaf adalah untuk kegunaan di #QuranCorner lokasi terbabit dan sumbangan al-Quran Infak pula adalah sebagai kegunaan individu semua petugas barisan hadapan.

    “Kami juga menerima banyak permintaan daripada polis, tentera dan petugas selain hospital untuk menjadikan al-Quran sebagai peneman ketika mereka bertugas,” katanya.

    Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.iy/wakafquranhospital.

    Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun unit negara maju itu susut semalaman dengan tumpuan kembali terarah kepada harga minyak mentah serta mesyuarat kumpulan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan bukan anggota OPEC (OPEC+) pada Khamis ini.

    Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.3550/3650 berbanding dolar AS daripada 4.3350/3450 sewaktu ditutup pada Selasa.

    Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perasaan bercampur-baur membabitkan kemungkinan pengeluaran minyak dihadkan, penurunan angka kematian koronavirus (Covid-19) di beberapa negara kuasa besar ekonomi dunia serta kejatuhan ketara indeks utama di Wall Street menyebabkan pasaran pertukaran asing tidak banyak mengalami perubahan.

    “Andaian bahawa ekonomi memakan masa untuk kembali pulih walaupun langkah seperti kawalan pergerakan akibat Covid-19 ditamatkan juga menyebabkan sentimen mengelak risiko akan terus berlaku.

    “Atas alasan itu, ringgit dijangka kekal lemah berbanding dolar AS dalam lingkungan RM4.35 hingga RM4.37 berikutan tindak-tanduk pelabur yang lebih bertahan dan lebih meminati mata wang selamat,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, ringgit terus menjadi sasaran dan menerima impak turun naik harga minyak berikutan semua pihak memberi tumpuan terhadap mesyuarat OPEC+ tersebut.

    Menerusi satu nota penyelidikan hari ini, beliau berkata, unjurannya kekal positif berikutan usaha kerajaan melaksanakan pakej rangsangan dengan tanda-tanda penurunan Covid-19 di beberapa negara yang dijangkiti teruk virus itu sebelum ini.

    “Apa lebih penting dalam pandangan itu adalah fakta bahawa China kini bangkit kembali. Oleh itu akan ada pasaran eksport yang baik bagi industri Malaysia apabila rakyat meneruskan semula aktiviti seperti biasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya.

    Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

    Ia susut berbanding euro pada 4.7343/7469 daripada 4.7173/7291 sewaktu ditutup pada Selasa dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0527/0608 daripada 3.0415/0496.

    Ringgit juga rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0053/0156 daripada 3.9723/9826 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3654/3794 daripada 5.3376/3526, semalam. – Bernama



    Sumber

  • Agihan AHB 2.60 sen seunit

    Agihan AHB 2.60 sen seunit

    PELABURAN Hartanah Berhad (PHB) selaku penaja dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dan pengurus dana Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan interim dana AHB sebanyak 2.60 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2020 bagi 500,000 unit pertama kepada setiap pemegang unit.

    Jumlah itu terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.30 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit yang mana pengagihan bonus itu disumbangkan oleh PHB selaku penaja dana AHB.

    Pengarah Urusan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, pemegang unit institusi yang melebihi 500,000 unit hanya layak bagi pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.30 sen seunit.

    “Oleh itu, pengagihan pendapatan interim untuk pemegang unit institusi adalah berjumlah di antara 2.30 sen seunit sehingga 2.60 sen seunit bergantung kepada bilangan unit yang dipegang.

    “Pengagihan pendapatan interim ini akan memberi manfaat kepada 75,000 pemegang unit bumiputera serta 14 institusi bumiputera,” katanya.

    Jelasnya, pengagihan pendapatan interim AHB itu adalah dikecualikan daripada cukai dan telah dizakatkan serta dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 14 April 2020.

    Bagi ahli Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula katanya, agihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 KWSP.

    “AHB dengan harga tetap RM1 seunit adalah sebuah dana amanah berlandaskan hartanah patuh Syariah dan membolehkan pelabur bumiputera menyertai pemilikan benefisial aset hartanah yang mampu memberi pulangan kompetitif serta dalam aliran pendapatan konsisten.

    “Dana ini boleh dilanggan di semua cawangan Maybank, AmBank dan AmBank Islamic di seluruh Negara,” katanya.

    Mengulas penularan koronavirus (Covid-19) dan perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau berkata, syarikat berkenaan sedang dalam peringkat akhir bagi melaksanakan Rental Relief Programme untuk membantu meringankan beban penyewa yang terjejas di pusat beli-belah serta bangunan lain milik PHB.



    Sumber

  • Doktor antara penyumbang wakaf al-Quran untuk hospital

    Doktor antara penyumbang wakaf al-Quran untuk hospital

    SHAH ALAM – Program Wakaf Quran Mu’Jam yang dilancarkan sejak Jumaat lepas terus mendapat sambutan orang ramai dengan wakaf terkumpul setakat jam 9 pagi hari ini berjumlah 10,309 naskhah al-Quran.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIP), Marhaini Yusoff berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,440 naskhah al-Quran telah diagihkan kepada lapan hospital dan pusat kuarantin berkaitan wabak koronavirus (Covid-19).

    Menurutnya, hospital berkenaan adalah Hospital Shah Alam (200 naskhah), Hospital Sungai Buloh (300 naskhah) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi (100 naskhah).

    “Hari ini kita mengagihkan 200 naskhah kepada Hospital Banting dan masing-masing 160 naskhah kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Hospital Putrajaya, Hospital Kajang dan Hospital Ampang.

    “Ia hasil sumbangan wakaf rakyat Malaysia selepas hebahan program ini melalui pelbagai platform rakan senergi termasuk Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF dan Rumah Ngaji di seluruh negara.

    Wakil daripada Hospital Kajang, Mohamad Wadiy Zamree menerima agihan 160 naskhah al-Quran.

    Wakil daripada Hospital Kajang, Mohamad Wadiy Zamree menerima agihan 160 naskhah al-Quran.

    “Agak mengejutkan apabila melihat senarai pewakaf, ramai dari kalangan doktor sendiri yang mewakafkan al-Quran untuk hospital,” katanya.

    Marhaini berkata, projek wakaf al-Quran wakaf ke hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin itu bertujuan mengaktifkan #QuranTime Corner menjelang Ramadan.

    Menurutnya, sebanyak 6,000 naskhah al-Quran diperuntukkan untuk hospital yang mengendalikan Covid-19 dan bakinya akan disalurkan di 200 lokasi hospital, klinik kesihatan serta pusat kuarantin.

    “Langkah misi wakaf al-Quran ini adalah dengan mengagihkan ke lokasi berkaitan untuk mengaktifkan #QuranCorner atau Troli Ibadah di wad sebagai sudut Rehat & Rawat.

    “Kemudian ikuti waktu berinteraksi dengan Al-Quran di Malaysia #QuranTime setiap hari jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang di TV Hijrah, saluran 114 atau ikuti di FB TV AlHijrah dan Sinar. Video boleh juga ikuti di FB Quran Hour dan ulangan jam 10 atau 11 malam.

    “Adakan #QuranTime dari wad atau katil masing-masing walaupun sekejap. Sebelum memulakan kerja, semasa waktu rehat atau waktu yang sesuai,” katanya.

    Beliau berkata, diharapkan semoga #QuranCorner menjadi tempat kita semua berinteraksi dengan al-Quran dan memahami mesej daripada Pencipta buat hamba-Nya.

    Penyerahan 200 naskhah al-Quran kepada Hospital Banting.

    Penyerahan 200 naskhah al-Quran kepada Hospital Banting.

    Dalam pada itu menurutnya, projek Wakaf Quran Mu’Jam itu mensasarkan 15,000 naskhah al-Quran untuk diagihkan.

    Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.

    Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.



    Sumber

  • Sasar wakaf 15,000 al-Quran

    Sasar wakaf 15,000 al-Quran

    SHAH ALAM – Sebanyak 15,000 naskhah al-Quran disasarkan untuk pelaksanaan Projek Wakaf al-Quran Ke Hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seluruh negara.

    Lebih menarik, projek wakaf khas itu bertujuan mengaktifkan #QuranTime Corner menjelang Ramadan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, inisiatif berinteraksi dengan al-Quran melalui pembacaan, pemahaman dan amalan itu merupakan projek bersama TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF, Majlis Dakwah Negara, Solidariti Ummah untuk Ummah.

    “Sumbangan wakaf al-Quran Mu’jam, terjemahan perkata dan Tajwid berwarna bagi membantu petugas, pesakit dan orang awam memahami isi al-Quran untuk panduan, peringatan, petunjuk dan penyembuh.

    “Wakaf dibuka sekarang dengan nilai sumbangan RM45 senaskhah. Berwakaflah atas nama sendiri, keluarga dan ibu ayah yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

    “Pihak syarikat dan mana-mana organisasi yang ingin menyumbang kepada komuniti hospital sangat dialu-alukan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

    Marhaini berkata, sejak dibuka kelmarin sehingga jam 9 pagi semalam, sebanyak 2,850 naskhah al-Quran telah dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai.

    Menurutnya, atas amanah dan tanggungjawab komuniti, Hospital Shah Alam Selangor semalam menerima sejumlah naskhah al-Quran bagi penyampaian pertama hasil sumbangan wakaf orang ramai untuk inisiatif ini.

    “Untuk menyumbang sebagai pewakaf al-Quran, orang ramai boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital. Bayaran wakaf boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akuan Maybank Islamik 564276516031 atas nama dengan rujukan Wakaf Quran.

    “Sewaktu pembayaran dilakukan, turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.

    “Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran,” katanya.

    Majlis penyerahan sumbangan Wakaf al-Quran kepada Hospital Shah Alam telah disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili WUIF kepada wakil Unit Spiritualiti dan Kesihatan, Program Hospital Mesra Ibadah, Hospital Shah Alam, Wahidi Mamat semalam.

    Wahidi ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada WUIF dan Karangkraf di atas sumbangan bermakna itu.

    Beliau turut menyifatkan penerimaan sejumlah naskhah al-Quran yang diwakafkan itu penting untuk mengimarahkan program spiritual Hospital Shah Alam di bawah inisiatif Hospital Mesra Ibadah.

    “Kesemua sumbangan al-Quran wakaf itu akan diagih-agihkan kepada semua petugas barisan hadapan serta lebih 40 surau kecil terdapat di sekitar kawasan kompaun Hospital Shah Alam,” katanya.

    Sementara itu, WUIF dengan sokongan Jakim dan kerjasama TV AlHijrah turut menggerakkan Musaadah Covid-19, Malaysia #QuranTime dalam misi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah.

    Program tersebut bersiaran di saluran 114 bermula 20 Mac lalu bagi mengajak orang ramai untuk berinteraksi dengan al-Quran terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

    Slot selama sejam itu memberi peluang kepada penonton untuk bertadabbur dan bertazakkur surah pilihan bersama Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

    Bacaan al-Quran turut dibimbing oleh qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali secara bergilir.

    Selain itu, WUIF turut menganjurkan slot Quran Time dan slot My Family #QuranHour ‘Masuk Syurga Sekeluarga’ secara langsung di QuranHour Channel melalui Facebook QuranHour setiap hari.

    QuranTime yang membincangkan Juzuk Amma bermula jam 8 pagi hingga 8.30 pagi akan disampaikan oleh Fazrul dan Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.

    Selain itu, Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein memberitahu beliau akan berkongsi ilmu mengenai kekeluargaan dengan tema Masuk Syurga Sekeluarga dan dikaitkan berserta rujukan al-Quran diadakan pada jam 9 malam hingga 9.30 malam setiap hari.

    “Diharapkan pengisian rohani ini dapat mengukuhkan diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan al-Quran sebagai panduan kehidupan,” katanya.



    Sumber

  • Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari

    Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari

    KUALA LUMPUR – Saham-saham di Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari ini didorong kes positif dan maut akibat koronavirus (Covid-19) di beberapa negara di dunia yang dilaporkan berkurangan sekali gus memberi harapan untuk ekonomi global mencatatkan pemulihan lebih cepat.

    Prestasi bursa tempatan juga disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi dengan kini didagangkan pada AS$33.98 setong, naik 2.81 peratus.

    Sementara itu, pakej rangsangan ekonomi tambahan kerajaan bernilai RM10 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mengurangkan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) terhadap sektor itu akibat Covid-19.

    Pada jam 12.30 tengah hari, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 15.04 mata atau 1.12 peratus kepada 1,356.73 daripada 1,341.69 ketika ditutup semalam.

    Indeks itu dibuka 13.82 mata lebih tinggi pada 1,355.51 dan bergerak di antara 1,352.63 dan 1,360.09 sepanjang sesi pagi.

    Di papan skor, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 673 berbanding 13 manakala 312 kaunter tidak berubah, 753 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 3.92 bilion saham bernilai RM1.62 bilion.

    Malacca Securities Sdn Bhd berkata, sentimen positif hari ini turut meliputi saham berharga murah dan saham pasaran meluas memandangkan pelabur meneruskan semula pembelian semasa harga rendah ke atas saham yang mengalami penurunan.

    “Pergerakan ini sebahagian besarnya dibuktikan menerusi kenaikan jumlah dagangan baru-baru ini yang mencecah lebih lima bilion, menunjukkan kehadiran semula minat terhadap aset berisiko,” menurutnya.

    Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun bursa tempatan mencatatkan dagangan lebih tinggi hari ini, prestasi keseluruhan kekal tidak menentu buat masa ini.

    “Kita mungkin mahu menyaksikan bacaan yang lebih konsisten, terutama bagi bilangan kes baharu Covid-19, tetapi setakat ini saya lihat keadaan ini sebagai peluang dagangan. Secara teknikal, ekuiti telah mengalami terlebih jual. Oleh itu agak wajar untuk melihat peningkatan semula dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama.

    Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat 25 sen kepada RM7.90, Tenaga naik enam sen kepada RM12.16, IHH menokok tiga sen kepada RM5.06 manakala Public Bank turun dua sen kepada RM15.88.

    Saham paling untung termasuk Dutch Lady, yang melonjak 70 sen kepada RM44.20, PetDag menambah 54 sen kepada RM20.64 dan Panasonic menokok 42 sen kepada RM27.40.

    Kaunter minyak dan gas, Sapura Energy, Hibiscus Petroleum dan Bumi Armada masing-masing meningkat setengah sen, dua sen dan setengah sen kepada 11 sen, 53 sen dan 18 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 114.30 mata kepada 9,389.49, Indeks FBM Emas Syariah menokok 125.08 mata kepada 10,267.13 manakala Indeks FBMT 100 menambah 107.98 mata kepada 9,285.16.

    FBM 70 melonjak 149.16 mata kepada 11,017.92 dan FBM Ace meningkat 142.92 mata kepada 4,113.05.

    Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.61 mata kepada 107.55, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 185.81 mata kepada 12,430.11 dan Indeks Perladangan menambah 2.43 mata kepada 6,135.08. – Bernama



    Sumber

  • Wakaf Quran Mu’jam kumpul 5,097 al-Quran

    Wakaf Quran Mu’jam kumpul 5,097 al-Quran

    SHAH ALAM – Program Wakaf Quran Mu’jam yang dilancarkan pada Jumaat lalu berjaya mengumpul sebanyak 5,097 naskhah al-Quran setakat jam 8 malam hari ini untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di seluruh Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan yang diterima itu kebanyakannya daripada rakyat Malaysia menerusi hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti itu secara bersama termasuklah Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF dan Rumah Ngaji di seluruh negara.

    Menurutnya, melihat respons positif rakyat Malaysia, sasaran untuk mengumpul sebanyak 15,000 naskhah al-Quran mampu direalisasikan untuk kegunaan sepanjang Ramadan nanti.

    “Semalam Hospital Shah Alam, Selangor telah menerima sebanyak 200 naskhah al-Quran bagi penyampaian pertama hasil sumbangan wakaf orang ramai melalui inisiatif ini.

    “Insya-ALLAH, esok kita akan melakukan penyerahan kepada Hospital Sungai Buloh dan pusat kuarantin di bawah Jakim di Bangi pula,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

    Marhaini

    Marhaini

    Mengulas lanjut, Marhaini berkata, pada fasa pertama pihaknya menyasarkan untuk mengagihkan al-Quran kepada 28 hospital yang menangani kes wabak koronavirus (Covid-19) sebelum diperluaskan ke hospital-hospital lain, klinik kesihatan dan pusat kuarantin pada fasa seterusnya.

    Menurutnya, sebanyak 6,000 naskhah al-Quran akan diperuntukkan kepada hospital yang mengendalikan Covid-19 dan selebihnya akan disalurkan di 200 lokasi hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin yang lain.

    “Justeru, kami menggalakkan orang ramai atau badan-badan korporat untuk tampil mewakafkan al-Quran kepada petugas, pesakit dan pelawat di hospital sebagai salah satu bentuk sokongan emosi serta spiritual.

    “Semoga dengan kembali kepada al-Quran dan berdoa, kita dapat bersabar serta tidak putus asa menempuhi cabaran yang dihadapi ini,” katanya.

    Mereka yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.

    Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.

    ARTIKEL BERKAITAN: Sasar wakaf 15,000 al-Quran



    Sumber

  • Wakaf Quran Mu’jam suntik semangat pesakit, petugas barisan hadapan

    Wakaf Quran Mu’jam suntik semangat pesakit, petugas barisan hadapan

    BANGI – “Pada saat getir ketika ini, hanya al-Quran terapi penyembuhan rohani bagi seluruh umat Islam bagi menangani pandemik koronavirus (Covid-19) di Malaysia.”

    Itu keyakinan yang diluahkan Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Dr Nordin Ahmad ketika diminta mengulas mengenai mekanisme panduan terbaik umat Islam di Malaysia ketika mendepani ancaman Covid-19.

    Beliau berkata, berikutan ILIM kini dijadikan pusat kuarantin pesakit Covid-19 di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 23 Mac lalu, pihaknya mengakui sumbangan al-Quran diperlukan bagi memberi semangat kepada pesakit dan petugas barisan hadapan untuk terus berdoa agar musibah wabak berkenaan dapat ditangani.

    Menurutnya, ILIM bersyukur kerana Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinergi lain menggerakkan platform Program Wakaf Quran Mu’jam untuk disumbangkan kepada institusi itu semalam.

    “Sebenarnya al-Quran amat diperlukan pada saat genting ketika manusia sedang memohon pertolongan daripada ALLAH SWT. Hanya Tuhan Yang Maha Esa berkuasa dan berkehendak untuk menyembuhkan wabak penyakit yang dihadapi umat manusia ketika ini.

    “Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada WUIF dan Kumpulan Karangkraf kerana sudi mengagihkan sebanyak 100 naskhah al-Quran hasil sumbangan wakaf orang ramai untuk kegunaan ILIM,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis penyerahan sumbangan di bangunan pentadbiran ILIM di sini.

    Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili WUIF kepada Dr Nordin.

    Hadir sama, Ketua Unit Domestik ILIM Kampus Bangi, Siti Aishah Mhd Nor dan Pendaftar Cawangan Khidmat Pengurusan, Mohammad Fairuz Mohd Nasir.

    Di lokasi berasingan, Hashim turut menyerahkan sumbangan sebanyak 300 naskhah al-Quran kepada Timbalan Pengarah Hospital Sungai Buloh (Klinikal), Dr Shahabuddin Ibrahim yang mewakili hospital berkenaan.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Program Wakaf Quran Mu’jam dilancarkan pada Jumaat lalu berjaya mengumpul sebanyak 7,133 naskhah sehingga jam 5 petang semalam.

    Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 600 naskhah al-Quran yang diwakafkan orang ramai telah diagihkan kepada Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan ILIM sejak Sabtu lalu.

    “Hari ini (semalam) sahaja, sebanyak 300 naskhah al-Quran disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh dan sebanyak 100 naskhah kepada ILIM.

    “Ia adalah hasil sumbangan berterusan wakaf rakyat Malaysia setelah diuar-uarkan melalui hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti ini secara bersama termasuklah Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF dan Rumah Ngaji di seluruh negara,” katanya.

    Marhaini berkata, sumbangan wakaf yang semakin menggalakkan itu memberi tanda positif bahawa sasaran sebanyak 15,000 naskhah Al-Quran untuk diagihkan kepada hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di seluruh Malaysia mampu direalisasikan dalam tempoh yang terdekat.

    “Paling penting, projek wakaf khas ini bertujuan mengaktifkan #QuranTime Corner menjelang Ramadan,” katanya.

    Beliau menegaskan, fasa pertama pengagihan sumbangan al-Quran diwakafkan kepada 28 hospital yang menangani kes wabak Covid-19 sebelum diperluaskan ke hospital-hospital lain, klinik kesihatan dan pusat kuarantin pada fasa seterusnya.

    Menurutnya, sebanyak 6,000 naskhah al-Quran akan diperuntukkan kepada hospital yang mengendalikan Covid-19 dan selebihnya akan disalurkan di 200 lokasi hospital, klinik kesihatan serta pusat kuarantin.

    “Justeru, kami menggalakkan orang ramai atau badan-badan korporat untuk mewakafkan al-Quran kepada petugas, pesakit serta pelawat di hospital sebagai salah satu bentuk sokongan emosi dan spiritual,” katanya.

    Mereka yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.

    Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.



    Sumber