Blog

  • Mydin perkenal Mydin Express

    Mydin perkenal Mydin Express

    PENGENDALI rangkaian peruncitan produk halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad mengambil inisiatif memperkenalkan platform beli-belah dalam talian baharu, Mydin Express untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian.

    Pengarah Urusannya, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, insiatif itu mula beroperasi semalam di pasar raya Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor dan sembilan cawangan pasar raya lain.

    Menurutnya, kemudahan itu akan diperluas di rangkaian pasar raya kendaliannya secara berperingkat.

    “Platform Mydin Express memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk membeli-belah barangan keperluan sekurang-kurangnya sebanyak RM50 melalui laman web https://mydinexpress.my tanpa mengunjungi pasar raya Mydin yang terdekat.

    “Selepas pesanan dibuat, mereka akan menerima maklumat pembelian melalui WhatsApp dan e-mel. Mereka hanya perlu buat bayaran dan mengambilnya secara pandu lalu di Mydin berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

    Ameer berkata, beliau optimis platform Mydin Express akan menjadi pilihan pelanggannya kerana ia mudah dan memberikan keselesaan kepada mereka terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan koronavirus (Covid-19).

    Ameer Ali Mydin

    Ameer Ali Mydin

    “Menariknya, Mydin Express juga memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan nanti,” katanya.

    Beliau berkata, Mydin juga turut memperkenalkan pelbagai inisiatif lain terutama kepada pelanggan yang mengunjungi pasar raya itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

    Menurutnya, antara inisiatif yang disediakan ialah menyediakan cecair basmi kuman untuk membolehkan mereka mencuci tangan terlebih dahulu.

    “Malah, mereka juga perlu memeriksa suhu badan dan melalui Mydin Virus Nano Spray Buster sebelum memasuki ruang membeli-belah Mydin.

    “Kami juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan jumlah pelanggan yang masuk ke pasar raya dan meletakkan penanda jarak sosial di kaunter pembayaran, menimbang dan pembelian barang basah,” katanya.

    Pelanggan diminta berada pada kedudukan satu meter ketika membeli-belah di semua Pasaraya Mydin.

    Pelanggan diminta berada pada kedudukan satu meter ketika membeli-belah di semua Pasaraya Mydin.

    Sementara itu, mengulas mengenai keperluan Ramadan dan hari raya yang terdapat di Mydin, Ameer berkata, pihaknya telah menyediakan stok barangan yang mencukupi berikutan pasar raya itu menjadi pilihan utama setiap kali menjelang puasa dan hari raya.



    Sumber

  • RedONE umum bantuan kewangan kepada rakan niaga

    RedONE umum bantuan kewangan kepada rakan niaga

    SYARIKAT pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) pasca bayar terbesar di Malaysia, redONE mengumumkan Pelan Bantuan Kewangan Komprehensif bagi mengurangkan beban lebih 800 rakan niaganya yang terjejas akibat penularan Covid-19.

    Ketua Pegawai Jualannya, Ben Teh berkata, hampir RM3 juta diperuntukkan untuk subsidi sewa dan penangguhan bayaran serta RM10 juta untuk pinjaman.

    “Antara bantuan tersebut ialah kesemua kedai premier eksklusif dan rakan niaga Gold redONE akan menerima subsidi penuh untuk kos sewa kedai dan kios sepanjang PKP.

    “Wakil jualan bukan eksklusif menerima subsidi wang tunai RM1,000 yang dibayar melalui ansuran dua kali pada April dan Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Menurutnya, ejen individu tanpa premis tetap pula akan menerima subsidi wang tunai satu kali sebanyak RM300 pada April.

    “Semua bayaran kepada redONE yang perlu dijelaskan oleh ejen seperti yuran, pembelian telefon dan lain-lain akan ditangguhkan selama 2 bulan sehingga Jun 2020.

    “Lebih 500 rakan niaga Top redONE dari tahun 2019 diberi perlindungan insurans Kemalangan Peribadi dan Covid-19 bermula 1 April 2020,” katanya.

    Selain itu, Ben Teh berkata, redONE juga membenarkan semua rakan niaganya untuk memohon komisen pendahuluan.

    “Bergantung kepada pendapatan redONE yang mereka peroleh sekarang, rakan niaga boleh meminjam minimum RM6,000 sehingga RM60,000.

    “Bayaran semula bermula pada bulan Ogos dan boleh dibuat selama 24 bulan,” katanya.



    Sumber

  • Bursa Malaysia hadapi tekanan jualan pada tengah hari

    Bursa Malaysia hadapi tekanan jualan pada tengah hari

    BURSA tempatan menghadapi tekanan jualan pada rehat tengah hari ini menjelang hujung minggu, berikutan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersedia untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 10 juta tong sehari yang mengecewakan semua peniaga, menyatakan ia tidak memenuhi jangkaan mereka.

    Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.35 mata, atau 0.829 peratus, kepada 1,358.41 daripada 1,369.76 semasa ditutup pada Khamis.

    Indeks utama dibuka rendah 8.14 mata kepada 1,361.62 dan berada antara 1,354.28 dan 1,362.16 sepanjang sesi pagi.

    Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 598 berbanding 139, manakala 297 kaunter tidak berubah, 885 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 2.17 bilion saham bernilai RM826.28 juta.

    Peniaga berkata, walaupun OPEC dan sekutunya mungkin telah mencapai komitmen untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 10 juta tong sehari pada Mei dan Jun, ia masih tidak mencukupi. Oleh itu, penanda aras minyak mentah Brent merosot kepada US$31.48 setong, susut 4.14 peratus.

    Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, pengurangan tersebut tidak akan mencukupi untuk mengimbangi pasaran.

    “Bagaimanapun, langkah itu bukan mengenai mendorong WTI (West Texas Intermediate) kepada AS$30 setong, walaupun ia akan menjadi sokongan yang dialu-alukan. Sebaliknya, ia mengenai menghalang harga minyak daripada jatuh kepada satu angka.

    “Sehubungan itu, langkah tersebut akan memadai untuk menangani lebihan bekalan dengan kapasiti penyimpanan yang ada di seluruh dunia,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata FBM KLCI telah menunjukkan sedikit peningkatan bermula minggu ini.

    Pada Jumaat lepas, FBM KLCI berada pada 1,325.39.

    “Sehubungan itu, pelabur dalam sentimen untuk mengambil keuntungan terutamanya pada masa ini, menjelang hujung minggu,” katanya kepada Bernama, sambil menambah kemungkinan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini turut mewujudkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur.

    Yee berkata komitmen pengurangan bekalan oleh OPEC dan sekutunya tidak membuat sebarang perubahan mendadak kepada harga berikutan permintaan terhadap minyak mentah telah merosot sejak negara menyekat penumpang melakukan perjalanan.

    Mengenai masa depan, beliau menjangka minyak mentah akan diniagakan antara AS$25 dan AS$30 setong.

    Sementara itu, Rizab Persekutuan mengumumkan satu lagi pakej bantuan berjumlah AS$2.3 trilion untuk memulihkan ekonomi AS dan mengurangkan impak daripada koronavirus (Covid-19), yang pelabur berharap akan mempengaruhi pasaran serantau.

    Daripada saham wajaran tinggi, Maybank merosot satu sen kepada RM7.50, Public Bank susut lapan sen kepada 15.80, IHH berkurangan tiga sen kepada RM5.08, manakala Tenaga naik enam sen kepada RM12.10.

    Kaunter paling untung didahului oleh Allianz, yang meningkat 18 sen kepada 13.00, Panasonic naik 12 sen kepada 27.10 dan KLK menambah 10 sen kepada RM21.10.

    Daripada saham aktif, kaunter berkaitan minyak dan gas, Hibiscus Petroleum, Bumi Armada dan Velesto, masing-masing susut tiga sen, satu sen dan 1.5 sen kepada 49.5 sen, 17.5 sen dan 15.5 sen.

    Indeks FBM Emas susut 80.24 mata kepada 9,389.67, Indeks FBM Emas Shariah merosot 39.95 mata kepada 10,364.13 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 75.75 mata kepada 9,285.05.

    FBM 70 jatuh 81.72 mata kepada 10,969.71 dan FBM Ace merosot 124.52 mata kepada 4,055.18.

    Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.78 mata kepada 109.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 228.22 mata kepada 12,246.90 dan Indeks Perladangan turun 39.19 mata kepada 6,244.66.-Bernama



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR- Ringgit meneruskan momentum meningkat semalam untuk diniagakan tinggi berbanding dolar US dalam sesi awal hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu yang lemah susulan pengumuman mengenai kemudahan baharu oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

    Pada 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.3180/3270 berbanding dolar US daripada 4.3320/3380 semasa ditutup pada Khamis.

    Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah Fed mengumumkan lebih banyak rangsangan kewangan berjumlah AS$2.3 trilion menunjukkan bank pusat itu akan melakukan apa sahaja untuk memulihkan ekonomi terutamanya mengenai fungsi pasaran kredit.

    Katanya AS mencatatkan jumlah tuntutan pengangguran sebanyak 6.6 juta yang merupakan petunjuk kepada situasi sukar untuk pasaran buruh dan ekonomi berikutan koronavirus (Covid-19).

    “Ini merupakan tuntutan pengangguran minggu ketiga berturut-turut yang meningkat pada paras tertinggi sepanjang masa dan kadar pengangguran pada masa depan boleh mencecah kadar dua angka dengan mudah,” katanya.

    Beliau berkata ringgit meningkat pagi ini berbanding dolar US dan trend itu dijangka berterusan berikutan kerajaan di seluruh dunia bersedia untuk meningkatkan ekonomi mereka sama ada fiskal atau monetari.

    “Ini dapat memberi harapan bahawa ekonomi akan meningkat semula jika Covid-19 dapat dibendung,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan pengeluar minyak bersekutunya (OPEC+) semalam memutuskan untuk mengurangkan sebanyak 10 juta tong sehari (mbpd).

    “Walaupun harga minyak rendah hari ini, saya berpendapat pengurangan pengeluaran akan membuktikan harga minyak akan meningkat berdasarkan data COVID-19, yang menunjukkan sekatan pergerakan keluar dan masuk akan berakhir dengan lebih cepat daripada jangkaan,” katanya.

    Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ia merosot berbanding euro kepada 4.7157/7264 daripada 4.7123/7202 pada Khamis dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0460/0543 daripada 3.0432/0841.

    Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9779/9873 daripada 3.9802/9868 dan naik berbanding pound kepada 5.3742/3893 daripada 5.3834/3926 semalam.-Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka rendah

    Bursa Malaysia dibuka rendah

    KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari dagangan terakhir minggu ini, berikutan tekanan jualan susulan prestasinya yang baik dalam beberapa hari lepas.

    Pada 9.02 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.56 mata, atau 0.698 peratus kepada 1,360.20 daripada 1,369.76 semasa ditutup pada Khamis.

    Indeks utama dibuka rendah 8.14 mata kepada 1,361.62.

    Suasana pasaran, bagaimanapun, menyakinkan dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 153 berbanding 82, manakala 193 kaunter tidak berubah, 1,491 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 157.82 juta bernilai RM42.58 juta.

    Rakuten Trade dalam nota hari ini berkata, Wall Street Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan aliran turun naik tetapi ditutup tinggi susulan Rizab Persekutuan AS mengumumkan pakej pembiayaan berjumlah AS$2.3 trilion untuk memulihkan ekonomi AS berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Purata Perindustrian Dow Jones melepasi paras 24,000 pada satu ketika sebelum aktiviti pengambilan untung mendorong indeks untuk ditutup lebih rendah kepada 23,700, menunjukkan sentimen yang lemah dalam kalangan pelabur.

    Oleh itu, firma penyelidikan tersebut menjangka trend itu akan mempengaruhi peringkat serantau, terutamanya menjelang hujung minggu.

    Di samping itu, harga minyak mentah terus merosot walaupun Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari mulai Mei.

    Penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada US$31.48 setong, susut 4.14 peratus.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM7.46, Dialog susut dua sen kepada RM3.10 manakala Genting Malaysia naik satu sen kepada RM2.11 dan Genting meningkat dua sen kepada RM3.81.

    Keputusan untuk mengurangkan pengeluaran oleh ahli kartel minyak yang diketuai Arab Saudi dan Rusia tidak membantu memberi petunjuk yang positif kepada kaunter tenaga.

    Daripada saham aktif, Sapura Energy dan Bumi Armada, masing-masing tidak berubah pada 11 sen dan 18.5 sen, manakala Hibiscus Petroleum susut dua sen kepada 51 sen.

    Kaunter paling untung didahului oleh United Plantation, yang naik 14 sen kepada RM25.08, BAT menambah 10 sen kepada RM10.80 dan PetGas meningkat lapan sen kepada RM15.46.

    Indeks FBM Emas susut 44.46 mata kepada 9,425.45, Indeks FBM Emas Shariah merosot 0.25 mata kepada 10,403.83 manakala Indeks FBMT 100 turun 48.17 mata kepada 9,312.63.

    FBM 70 menambah 14.52 mata kepada 11,065.95 dan FBM Ace melonjak 13.87 mata kepada 4,193.57.

    Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.34 mata kepada 110.78, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 208.60 mata kepada 12,266.52 dan Indeks Perladangan merosot 20.19 mata kepada 6,263.66.-Bernama



    Sumber

  • OPEC bincang perjanjian baharu kurangkan pengeluaran minyak

    OPEC bincang perjanjian baharu kurangkan pengeluaran minyak

    MOSCOW – Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) bersama negara bukan anggota akan membincangkan perjanjian baharu bagi mengurangkan pengeluaran minyak dalam menstabilkan situasi pasaran yang menghadapi tekanan akibat koronavirus (Covid-19).

    Mesyuarat itu akan diadakan menerusi sidang video pada Jumaat diikuti sidang video membabitkan menteri tenaga G20.

    Sumber memberitahu agensi berita Sputnik, keputusan muktamad mesyuarat OPEC bergantung kepada perbincangan menteri G20 itu.

    Pada mesyuarat Mac lalu, diadakan sebagai langkah menyokong tekanan pasaran, negara anggota OPEC gagal mencari kata putus mengenai perjanjian baharu.

    Penyelesaian juga gagal dicapai berhubung cadangan Rusia untuk melanjutkan perjanjian sedia ada bagi mencari jalan tengah, manakala cadangan Arab Saudi bagi pengurangan pengeluaran minyak sehingga 1.5 juta tong sehari, turut tidak diterima negara anggota. – Bernama



    Sumber

  • BSN mansuh kadar faedah dua peratus

    BSN mansuh kadar faedah dua peratus

    KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada kosong peratus bagi BSN Micro/i Kredit Prihatin untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).

    Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, langkah itu untuk menyokong inisiatif dan keprihatinan kerajaan yang menyediakan pakej prihatin PKS tambahan sebanyak RM10 bilion dan diharapkan dapat terus membantu meringankan beban kewangan PKS.

    “Sebagai antara industri yang menyumbang dengan signifikan kepada ekonomi negara, BSN berharap PKS dapat menggunakan peluang ini untuk kekal mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang melanda ketika ini.

    “Di bawah BSN Micro/i Kredit Prihatin, sebanyak RM75,000 amaun pembiayaan maksimum disediakan bagi setiap usahawan dengan tempoh pinjaman atau pembiayaan antara satu hingga 5.5 tahun kepada semua usahawan mikro dalam pelbagai segmen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, BSN menetapkan beberapa syarat kelayakan untuk memohon BSN Micro/i Kredit Prihatin iaitu usahawan mikro yang perniagaan mereka terjejas akibat wabak Covid-19 dan perusahaan Mikro (milikan tunggal, Perkongsian atau Syarikat Sdn. Bhd).

    “Selain itu perusahaan mestilah dimiliki warganegara Malaysia, perniagaan dijalankan secara sepenuh atau separuh masa dan perniagaan beroperasi tidak kurang daripada enam bulan.

    “PKS yang ingin memohon perlu melayari laman Facebook BSN untuk menyemak senarai maklumat Pegawai BSN yang berhampiran untuk dihubungi,” katanya.

    Yunos berkata, semak dokumen yang diperlukan untuk permohonan seperti sijil pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan kad pengenalan semua pengarah, pemilik tunggal atau rakan kongsi, penyata akaun bank untuk tiga bulan terkini dan lain-lain dokumen sekiranya diperlukan.

    “Bagaimanapun, orang ramai dan pelanggan diingatkan untuk membuat permohonan melalui BSN sahaja, serta sentiasa berwaspada dengan scammer yang menyamar sebagai Pegawai BSN,” katanya. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, didorong oleh sentimen global yang lebih baik dalam pasaran ekuiti dan komoditi menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) + hari ini.

    Pada jam 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3545 semasa ditutup pada Rabu.

    Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, berdasarkan kesetaraan ringgit dengan harga minyak dan sentimen risiko global baru-baru ini, mata wang tempatan akan mencatat prestasi yang baik hari ini.

    “Dengan pelabur menantikan keputusan mesyuarat OPEC +, jika apa-apa ringgit dijangka diniagakan dalam persekitaran yang optimis hari ini,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbincangan mengenai kemungkinan membuka semula beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS) telah menyumbang kepada sentimen positif kepada pasaran ekuiti.

    Awal minggu ini, jumlah kematian akibat koronavirus (Covid-19) yang rendah di New York dan New Jersey telah membawa kepada peningkatan indeks ekuiti utama di AS sebanyak lebih tujuh peratus.

    “Bagaimanapun, jumlah kes baharu yang disahkan masih meningkat dan setakat ini, tiada tanda-tanda vaksin atau antibodi telah ditemui.

    “Sehubungan itu, kami masih berpendapat pasaran forex masih goyah. Mungkin, ringgit akan masih berada sekitar RM4.35 berbanding dolar US dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

    Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound Britain.

    Ia naik berbanding euro kepada 4.7076/7202 daripada 4.7200/7320 pada Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0386/0465 daripada 3.0406/0487.

    Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9721/9824 daripada 3.9906/0005, bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.3744/3885 daripada 5.3552/3682 semalam. – Bernama



    Sumber

  • 800 al-Quran wakaf diserah kepada Jabatan Kesihatan NS

    800 al-Quran wakaf diserah kepada Jabatan Kesihatan NS

    SEREMBAN – Sebanyak 800 naskhah al-Quran disumbangkan kepada Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) hari ini melalui program sumbangan wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

    Majlis penyerahan sumbangan wakaf al-Quran kepada JKNNS disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang kepada Timbalan Pengarah JKNNS, Dr Muhammad Faid Abd Rashid di pejabatnya sementara di HTJS pula diserahkan kepada wakil Ketua Penolong Pengarah II HTJS, Norizah Mansor.

    Sebanyak 200 al-Quran diwakafkan di HTJS manakala 600 al-Quran lagi diserahkan kepada JKNNS untuk diagihkan kepada Hospital Tampin, Jempol, Tuanku Ampuan Najihah dan klinik kesihatan sekitar negeri ini.

    Dr Muhammad Faid ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada WUIF dan Karangkraf di atas sumbangan yang bermakna itu.

    Katanya, pemberian al-Quran itu diharap dapat meningkatkan lagi ketahanan dan kekuatan rohani petugas barisan hadapan untuk terus berjuang dalam menghadapi wabak koronavirus (Covid-19).

    Program Wakaf Quran Mu’jam yang dilancarkan pada Jumaat lalu berjaya mengumpul sebanyak 13,838 naskhah al-Quran setakat hari ini untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di seluruh Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan yang diterima itu kebanyakannya daripada rakyat Malaysia menerusi hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti itu secara bersama termasuk Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF dan Rumah Ngaji di seluruh negara.

    Menurutnya, melihat respon positif rakyat Malaysia, sasaran untuk mengumpul sebanyak 15,000 naskhah al-Quran mampu direalisasikan untuk kegunaan sepanjang Ramadan nanti.

    Selain itu, WUIF turut menganjurkan slot Quran Time dan slot My Family #QuranHour ‘Masuk Syurga Sekeluarga’ secara langsung di QuranHour Channel melalui Facebook QuranHour setiap hari.

    QuranTime yang membincangkan Juzuk Amma bermula jam 8 pagi hingga 8.30 pagi akan disampaikan oleh Fazrul dan Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.

    Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.iy/wakafquranhospital.

    Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.

    Sewaktu pembayaran dilakukan, turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.

    Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran.



    Sumber

  • Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

    RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah sentimen berhati-hati dalam pasaran minyak menjelang mesyuarat OPEC+ pada Khamis.

    Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.3450/3454 berbanding paras penutup 4.3350/3450 pada Selasa.

    Harga minyak jatuh semalaman selepas US Energy Information Administration (EIA) menurunkan unjuran permintaan global terhadap minyak dan pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat (AS) bagi 2020 yang menyebabkan berlakunya jualan panik dalam kalangan peniaga minyak. Bagaimanapun, harga kembali diniagakan kukuh hari ini dengan penanda aras minyak mentah Brent naik 0.69 peratus kepada AS$32.09 setong.

    EIA menjangkakan pengeluaran minyak mentah AS turun sebanyak 470,000 tong sehari dan permintaan berkurangan sebanyak kira-kira 1.3 juta tong sehari pada 2020 apabila pandemik Covid-19 terus menghantui pasaran global.

    Menurut pertubuhan itu, permintaan minyak global juga dijangka susut tahun ini sebanyak 5.6 juta tong sehari kepada 5.23 juta tong sehari.

    Penganalisis Kanan Pasaran OANDA bagi Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, ringgit masih kekal stabil daripada kenaikannya pada Isnin, tetapi langkah seterusnya akan dipengaruhi oleh faktor-faktor di luar Malaysia.

    “(Antara faktor-faktornya adalah) hasil daripada mesyuarat OPEC+ esok dengan harapan pengurangan pengeluaran dan sama ada kita akan melihat lebih banyak petanda ‘kemuncak virus’ di AS dan Eropah, mengekalkan kenaikan ekuiti,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0406/0487 daripada 3.0415/0496 pada Selasa, tetapi turun berbanding yen Jepun kepada 3.9906/0005 daripada 3.9723/9826.

    Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3376/3526 daripada 5.3552/3682 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7173/7291 daripada 4.7200/7320. – Bernama



    Sumber