Blog

  • JKN Melaka terima 1,500 naskhah al-Quran

    JKN Melaka terima 1,500 naskhah al-Quran

    MELAKA TENGAH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menerima 1,500 naskhah al-Quran melalui Projek Wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah untuk Ummah.

    Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ismail Ali berkata, al-Quran itu akan diletakkan di beberapa lokasi utama termasuk pejabat kesihatan, pusat kuarantin dan surau hospital untuk dimanfaatkan barisan hadapan serta pesakit koronavirus (Covid-19).

    Menurutnya, pemberian itu bertepatan dengan kedatangan Ramadan tidak lama lagi yang sememangnya menggalakkan orang ramai untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran.

    “Terima kasih kepada Kumpulan Karangkraf dan kami mengalu-alukan sumbangan seumpama ini untuk kita bersama menghidupkan bacaan al-Quran sepanjang Ramadan nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan itu yang disampaikan oleh wakil WUIF Melaka yang merupakan Imam Masjid Cina Krubong, Murad Ahmat di bangunan Wisma Persekutuan di sini hari ini.

    Ismail

    Ismail

    Hadir sama, Timbalan Kesihatan negeri (pengurusan), Muhabir Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Unit Pentadbiran Jabatan Kesihatan negeri, Nurhafiza Ahmad dan Penyelaras Rumah Ngaji Kota Fesyen yang juga wakil Yayasan Ummah, Hayati Mohammad.

    Sementara itu, Murad berkata, projek wakaf ini mampu memulihkan hati dan penawar segala penyakit yang mana melalui ayat al-Quran mampu merawat penyakit termasuk wabak Covid-19 dengan izin ALLAH SWT.

    “Sesuai untuk kita memperbanyakkan bacaan Quran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mudah-mudahan ALLAH hapuskan virus ini.

    “Kalau sebelum ini kita kurang masa untuk membacanya, maka jadilah tempoh lanjutan PKP sebagai permulaan untuk mendampingi al-Quran,” katanya.

    Murad (kiri) menyerahkan senaskhah al-Quran kepada Ismail (dua dari kanan) sebagai simbolik penyerahan 1,500 naskhah al-Quran kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

    Murad (kiri) menyerahkan senaskhah al-Quran kepada Ismail (dua dari kanan) sebagai simbolik penyerahan 1,500 naskhah al-Quran kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.



    Sumber

  • JKN Pulau Pinang terima 1,200 naskhah al-Quran

    JKN Pulau Pinang terima 1,200 naskhah al-Quran

    GEORGETOWN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang menerima 1,500 naskhah al-Quran dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di Ibu Pejabat JKN Pulau Pinang, Bangunan Mara, Pengkalan Weld di sini hari ini.

    Kesemua naskhah al-Quran itu merupakan hasil sumbangan pelbagai pihak sempena Program Wakaf al-Quran Mu’jam oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi lain iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Al Hijrah, Majlis Dakwah Negara, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji.

    Sumbangan itu disampaikan Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman kepada Pengarah JKN Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib.

    Asmayani berkata, pihaknya amat terharu dan berterima kasih dengan pemberian al-Quran itu yang akan diagihkan kepada semua hospital dan pejabat kesihatan daerah selain pejabat pergigian daerah.

    Asmayani (tiga dari kanan) mewakili JKN Pulau Pinang menerima 1,200 naskah al-Quran dari WUIF tadi.

    Asmayani (tiga dari kanan) mewakili JKN Pulau Pinang menerima 1,200 naskah al-Quran dari WUIF tadi.

    Menurutnya, sumbangan itu akan digunakan sebaik mungkin oleh semua kakitangan JKN Pulau Pinang.

    “Sebenarnya di Pulau Pinang sudah mula inisiatif dengan hospital mesra ibadah beberapa tahun lalu. Pada saya, selain memberi perkhidmatan kepada orang ramai, tanggungjawab rohaniah dan unsur keagamaan tidak boleh diabaikan.

    “Di Pulau Pinang kita ada enam hospital, klinik-klinik kesihatan di bawah pejabat kesihatan daerah dan pejabat pergigian daerah. Dari segi pembahagian, saya akan tubuhkan satu pasukan untuk menguruskan pembahagian ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini tadi.

    Sementara itu, Mohd Taufek berkata, semua al-Quran terjemahan mu’jam itu akan diedarkan oleh JKN Pulau Pinang di semua hospital dan pejabat kesihatan daerah mengikut jumlah kakitangan selain pesakit.

    “Kita serah 1,500 naskhah dan ia terpulang kepada Asmayani untuk mengedarkannya. Mungkin 500 naskhah boleh diberi kepada individu seperti doktor pakar, doktor atau jururawat.

    “Selebihnya, mungkin boleh wujudkan Quran Corner supaya semua boleh memanfaatkannya. Diharapkan dengan penyerahan ini, ia memberi manfaat kepada semua kakitangan di bawah JKN Pulau Pinang,” katanya.

    Asmayani sedang melihat al-Quran terjemahan mu'jam yang diterimanya.

    Asmayani sedang melihat al-Quran terjemahan mu’jam yang diterimanya.



    Sumber

  • Ringgit diniagakan rendah dua hari berturut-turut

    Ringgit diniagakan rendah dua hari berturut-turut

    RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini di susulan reaksi kurang menggalakkan terhadap perjanjian pengeluaran minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum + (OPEC+) dan data imbangan perdagangan China yang lemah bagi Mac.

    Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3200/3280 yang dicatatkan pada Isnin.

    Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorpglobal Stephen Innes berkata meskipun perjanjian pengurangan minyak OPEC+, pasaran masih bimbang terhadap permintaan di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19.

    “Ini menjejaskan aliran masuk tempatan. Ringgit perlukan harga minyak yang tinggi kerana ia adalah penstabil auto unit tempatan,” katanya kepada Bernama.

    Selain itu, Innes berkata, prestasi pasaran mata wang Asia bercampur-campur selepas China mencatatkan imbangan perdagangan rendah, walaupun kedua-dua eksport dan importnya lebih baik daripada yang dijangkakan dari segi peratusan.

    Imbangan perdagangan China susut kepada AS$19.9 bilion pada Mac, manakala eksport turun 6.6 peratus dari segi dolar daripada tahun sebelumnya dan import jatuh 0.9 peratus.

    Negara itu mencatatkan gabungan 17.2 peratus penguncupan bagi eksport Januari dan Februari manakala import turun 4.0 peratus.

    Innes berkata peniaga dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara menunggu China mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar bagi suku pertamanya pada Jumaat ini serta data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian bulan Mac Amerika Syarikat.

    Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

    Unit tempatan turun berbanding dolar AS kepada 3.0558/0639 daripada 3.0513/0582 pada Isnin dan susut berbanding euro kepada 4.7388/7514 daripada 4.7252/7344.

    Ringgit juga lemah berbanding yen Jepun kepada 4.0290/039 daripada 4.0011/0096 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4342/4489 daripada 5.4026/4139 sebelumnya. – Bernama



    Sumber

  • RedONE lancar pelan mampu milik, tawar data percuma

    RedONE lancar pelan mampu milik, tawar data percuma

    SYARIKAT Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) pascabayar terbesar di Malaysia, ONE Network Sdn Bhd (redONE) telah melancarkan dua pelan pascabayar baharu mampu milik dengan tawaran data lebih banyak kepada pelanggan.

    Dalam satu kenyataan, redONE menjelaskan, pelan yang dikenali sebagai Amazing58 dan Amazing38 itu masing-masing menawarkan 60GB serta 33GB data dengan panggilan tanpa had ke semua rangkaian.

    “Pelan ini khusus untuk pengguna perkhidmatan telekomunikasi yang ingin menaiktaraf pasca bayar dengan liputan rangkaian 4G LTE terluas di Malaysia.

    “Perkhidmatan khidmat pelanggan redONE dan beberapa cawangan terpilih akan beroperasi untuk membantu sepanjang tempoh ini,” katanya.

    Justeru, redONE menggalakkan pelanggannya memuat turun aplikasi redONE 1App jika ingin membuat bayaran bil melalui pemindahan dalam talian atau menggunakan kad kredit/ debit menerusi aplikasi tersebut.

    Dalam pada itu, redONE menjelaskan, pihaknya turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan memberikan 1GB data percuma setiap hari kepada para pelanggannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Pada Mac lalu, redONE telah memberikan 10GB data 4G LTE percuma kepada pelanggan supaya mereka dapat terus berhubung di media sosial.

    “Kali ini redONE memberikan 1GB data percuma kepada semua pelanggan sehingga PKP berakhir,” katanya.

    Beliau berkata, inisiatif berkenaan diambil untuk membantu membantu pelanggan kekal berhubung ketika berada di rumah.

    “Pelbagai informasi kesedaran turut disampaikan melalui semua saluran komunikasi untuk memastikan 1.2 juta pelanggan mereka sentiasa peka dengan perkembangan terkini PK,” katanya.



    Sumber

  • CIDB tangguh ICW ke tahun depan

    CIDB tangguh ICW ke tahun depan

    LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menangguhkan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) yang dijadualkan pada 23 hingga 25 Jun 2020 kepada 2021 berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

    Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, keputusan tersebut diambil selepas mereka membuat pertimbangan bersama penganjur dan pihak berkepentingan.

    “Kami percaya bahawa ini adalah langkah yang perlu untuk mengekang penularan virus, meratakan lekukan dan untuk melindungi masyarakat secara keseluruhannya.

    “Oleh itu, komponen acara ICW yang dianjurkan oleh CIDB seperti Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa dan semua seminar dan latihan lain juga akan dibatalkan untuk 2020 dan semua peserta yang telah membayar akan menerima bayaran balik sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Beliau, CIDB akan menganjurkan edisi ICW 2021 yang dijadualkan pada 15 hingga 17 Jun 2021 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur sekiranya keadaan kembali pulih.

    “Saya percaya bahawa tema ICW 2020 ‘Merangkul Revolusi Pembinaan’ menjadi lebih relevan berikutan kesan Covid1-19 ke atas ekonomi dunia.

    “Ia kini lebih mendesak berbanding sebelum ini bagi industri pembinaan untuk meneroka teknologi baharu dan paradigma untuk memastikan ia memaksimumkan kecekapan dan daya tahan,” katanya.

    Beliau berkata, cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini menuntut perubahan termasuk dalam industri pembinaan.

    “Industri pembinaan perlu cepat berputar untuk menjadi lebih cekap, produktif dan berdaya tahan.

    “Kami yakin bahawa apabila ICW beroperasi semula pada tahun 2021, ia akan berlaku terus menyediakan pemain industri dengan banyak peluang untuk mengakses teknologi dan idea yang akan membantu meningkatkan kualiti dan produktiviti industri pembinaan,” katanya.



    Sumber

  • Gerakan wakaf al-Quran fasa dua

    Gerakan wakaf al-Quran fasa dua

    SHAH ALAM – Sebanyak 40,000 naskhah al-Quran disasarkan untuk pelaksanaan program wakaf al-Quran fasa dua yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf bermula hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, wakaf al-Quran fasa dua akan diagihkan bagi mengaktifkan #QuranCorner yang diperluas ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera dan lokasi terpilih seluruh negara.

    Menurutnya, bagi fasa sebelumnya, sebanyak 35,251 naskhah al-Quran Mu’Jam berjaya diagihkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    “Sehingga jam 2.30 petang hari ini, sebanyak 35,251 naskhah al-Quran Mu’Jam berharga RM45 senaskhah diwakafkan dalam misi mengQurankan bangsa dan mengIkhlaskan ummah. Dengan ini Wakaf Al-Quran Mu’Jam ditutup secara rasmi mulai jam 2.30 petang.

    “Mulai jam 2.31 petang hari ini kita dengan rasminya memulakan fasa dua program wakaf ummah kita dengan al-Quran Al-Haramain atau al-Quran Multazam Bil Hadis pada harga RM40 senaskhah.

    “Ini bermakna, semua wang yang diterima selepas masa tersebut akan dikira sebagai wakaf al-Quran fasa dua,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

    Terdahulu, IPK Selangor menerima sebanyak 500 naskhah infak al-Quran menerusi inisiatif #QuranCorner fasa dua.

    Pengurus Besar Book2U, Raja Shahfaizal Khairudin (kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Sub Inspektor Halim Malik (tiga dari kanan) yang mewakili IPD Klang Selatan. - FOTO ROSLI TALIB

    Pengurus Besar Book2U, Raja Shahfaizal Khairudin (kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Sub Inspektor Halim Malik (tiga dari kanan) yang mewakili IPD Klang Selatan. – FOTO ROSLI TALIB

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mewakili IPK Selangor dan 16 IPD di negeri berkenaan menerima 500 naskhah infak al-Quran yang disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin mewakili WUIF.

    Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Selangor, Datuk Sulaiman Salleh dan Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Pengurus Besar Book2U Sdn Bhd, RJ Shahfaizal Khairudin.

    Arjunaidi ketika ditemui berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyumbang yang mewakaf serta menginfakkan al-Quran yang akan digunakan sebaik mungkin bagi memberi semangat dan memotivasikan anggota dan pegawai di barisan hadapan.

    Menurutnya, ancaman wabak koronavirus (Covid-19) bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di seluruh dunia dan menerusi pembacaan dan penghayatan al-Quran, ia dapat dijadikan sebagai ikhtiar dan penyerahan diri kepada ALLAH.

    “Kepada semua anggota dan pegawai PDRM dan juga Angkatan Tentera Malaysia yang sedang bertugas di barisan hadapan, diharap dapat menjalankan tugas dengan penuh semangat, penuh integriti sekali gus dapat menyelamatkan negara,” katanya.

    Dalam masa sama, Arjunaidi menasihati masyarakat di setiap peringkat untuk memberikan kerjasama bukan hanya kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan tetapi kepada setiap arahan dikeluarkan pihak kerajaan dari masa ke masa.



    Sumber

  • JKN Pahang terima 1,200 naskhah al-Quran

    JKN Pahang terima 1,200 naskhah al-Quran

    KUANTAN- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang semalam menerima sumbangan 1,200 naskhah al-Quran melalui Projek Wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah untuk Ummah.

    Penyerahan disempurnakan Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak dan diterima Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah di Pejabat JKN Pahang, Indera Mahkota di sini.

    Dr Bahari berkata, beliau menyambut baik sumbangan al-Quran itu kerana selari dengan Program Hospital Mesra Ibadah yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menurutnya, sumbangan akan diagihkan kepada hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di negeri ini.

    “Melalui sumbangan ini, InsyaALLAH dapat membantu masyarakat menyemarakkan dan membudayakan bacaan al-Quran terutama ketika berdepan musibah penularan koronavirus (Covid-19) ketika ini.

    “Bagaimanapun al-Quran ini bukan sekadar perlu dibaca sebaliknya difahami, dihayati dan diamalkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan al-Quran itu di sini semalam.

    Md Abdu (kanan) menyerahkan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran kepada Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang semalam.

    Md Abdu (kanan) menyerahkan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran kepada Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang semalam.

    Dr Bahari berkata, dalam mendepani musibah Covid-19 ini, umat Islam perlu kembali kepada ALLAH dan menjadikan al-Quran sebagai panduan.

    Beliau turut memberi contoh al-Quran menekankan kepentingan menjaga kebersihan diri serta persekitaran dan perkara itu perlu dilakukan ketika mendepani wabak Covid-19.

    Sementara itu, Md Abdu berkata, usaha WUIF dan rakan kerjasama lain dalam menjayakan Projek Wakaf al-Quran ini wajar diberi pujian.

    Menurutnya, al-Quran adalah sumber rujukan umat Islam kerana banyak rahsia kehidupan tersingkap di sebaliknya tetapi ada yang belum menemui jawapan kerana tidak memahaminya kandungan ayatnya.

    “Apabila berlaku musibah, kita kena kembali kepada fitrah, Islam dan al-Quran,” katanya.

    Md Abdu menandatangani surat penyerahan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran disaksikan Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang, Indera Mahkota semalam.

    Md Abdu menandatangani surat penyerahan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran disaksikan Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang, Indera Mahkota semalam.



    Sumber

  • WUIF sumbang 1,200 al-Quran kepada JKN Terengganu

    WUIF sumbang 1,200 al-Quran kepada JKN Terengganu

    KUALA TERENGGANU – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengagihkan 1,200 naskhah al-Quran kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini hasil sumbangan pelbagai pihak sempena Program Wakaf al-Quran Mu’jam.

    Sumbangan itu disampaikan Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Terengganu, Najib Ibrahim kepada wakil JKNT, Dr Hasnan [email protected] yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan (Perkembangan Kesihatan Awam) Terengganu.

    Program Wakaf al-Quran Mu’jam itu merupakan hasil kerjasama WUIF dengan rakan sinergi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Al Hijrah, Majlis Dakwah Negara, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji, seterusnya akan dihantar ke hospital, klinik atau pusat kesihatan dan pusat kuarantin, hasil sumbangan orang ramai.

    Kakitangan JKNT memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran.

    Kakitangan JKNT memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran.

    Menurut Najib, dalam situasi negara kini, pemulihan dan pengurusan individu dalam menghadapi penyakit, sama ada yang dirawat atau yang merawat harus turut mengambil kira aspek spiritual rakyat Malaysia dan emosi.

    “Sebab itu kita mengambil inisiatif ini untuk mereka memanfaatkan dan mengisi masa dengan al-Quran.

    “Sejumlah 1,200 naskhah al-Quran terjemahan mu’jam ini kita akan agihkan kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebanyak 300 buah, Hospital Kemaman (160), Hospital Hulu Terengganu (160) dan 580 buah lagi diagihkan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, hospital, klinik kesihatan daerah dan pusat kuarantin.

    “Hospital dan klinik kesihatan juga dicadangkan untuk menyediakan #QuranTime Corner iaitu sudut al-Quran agar mudah diakses dan dirujuk oleh warga hospital dan klinik kesihatan,” katanya.

    Najib (kiri) berkongsi pandangan dengan Dr Hasnan tentang program itu.

    Najib (kiri) berkongsi pandangan dengan Dr Hasnan tentang program itu.

    Sementara itu, Dr Hasnan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini dan berkata, ia akan diagihkan kepada semua hospital dan klinik kesihatan untuk manfaat bersama.

    WUIF turut menggerakkan usaha Malaysia #QuranTime yang kini bersiaran setiap hari di TV Hijrah mulai jam 12 hingga 1 tengah hari bagi mengisi spiritual rakyat Malaysia yang kini menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Ribuan naskhah al-Quran yang akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan.

    Ribuan naskhah al-Quran yang akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan.



    Sumber

  • Lebih 30,000 al-Quran berjaya dikumpul

    Lebih 30,000 al-Quran berjaya dikumpul

    SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Program Wakaf Quran Mu’jam untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya mengumpul sebanyak 30,315 naskhah al-Quran selepas dilancarkan pada 3 April lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan dibuka sehingga 14 April ini berikutan WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner.

    “Sehingga jam 2 petang tadi (semalam) dalam tempoh 10 hari dilancarkan, wakaf al-Quran ke hospital dan pusat kesihatan adalah sebanyak 30,315 naskhah. Sumbangan ini akan terus dibuka sehingga 14 April 2020.

    “Sasaran awal agihan hanya untuk sekitar 200 lokasi dari 2,774 lokasi termasuk 120 pusat kuarantin namun pihak WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner & Troli Ibadah di lokasi masing-masing,” katanya di sini hari ini.

    Marhaini berkata, pihaknya mendapat banyak bantuan untuk agihan lebih menyeluruh melalui kerjasama mantap dengan Jakim, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak hospital serta wakil Rumah Ngaji negeri.

    Menurutnya, #QuranCorner & Troli Ibadah telah mula diaktifkan di hospital dan berada di wad-wad, sementara sesi #QuranTime mengikut pendekatan Malaysia #QuranTime menerusi siaran TV AlHijrah juga telah mula diadakan di hospital.

    “Semoga mukjizat al-Quran menyentuh dan menyapa hati kita semua untuk menambah keimanan kita.

    “Semoga dengan pendekatan berinteraksi dengan al-Quran (baca, faham dan amal) akan membawa kita memahami apa mesej ALLAH kepada kita, menjadi terapi, merawat dan menyembuhkan kita.

    “Semoga dengan ujian Covid-19 ini menjadi momentum besar untuk melahirkan negara, pemimpin dan rakyatnya yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

    “Bersama kita berpegang kepada tali ALLAH untuk membina ketahanan fizikal, mental dan jiwa kita. ALLAH Bersama, Biidznillah,” katanya.



    Sumber

  • Wakaf Quran Mu’jam kumpul lebih 20,000 al-Quran seminggu

    Wakaf Quran Mu’jam kumpul lebih 20,000 al-Quran seminggu

    SHAH ALAM – Program Wakaf Quran Mu’jam untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya mengumpul sebanyak 22,318 naskhah al-Quran selepas seminggu dilancarkan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan dibuka sehingga 14 April ini berikutan WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner.

    “Sehingga jam 4:30 petang (Jumaat) dalam tempoh tujuh hari dilancarkan, wakaf al-Quran ke hospital dan pusat kesihatan adalah sebanyak 22,318 naskhah. Sumbangan ini akan terus dibuka sehingga 14 April 2020.

    “Sasaran awal agihan hanya untuk sekitar 200 lokasi dari 2,774 lokasi termasuk 120 pusat kuarantin namun pihak WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner di lokasi masing-masing,” katanya pada program Alhamdulillah disiarkan TV AlHijrah di sini.

    Marhaini berkata, pihaknya mendapat banyak bantuan untuk agihan lebih menyeluruh melalui kerjasama mantap dengan Jakim, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak hospital serta wakil Rumah Ngaji negeri.

    Menurutnya, #QuranCorner & Troli Ibadah telah mula diaktifkan di hospital dan berada di wad-wad, sementara sesi #QuranTime mengikut pendekatan Malaysia #QuranTime menerusi siaran TV AlHijrah juga telah mula diadakan di hospital.

    “Semoga mukjizat al-Quran menyentuh dan menyapa hati kita semua untuk menambah keimanan kita.

    “Semoga dengan pendekatan berinteraksi dengan al-Quran (baca, faham dan amal) akan membawa kita memahami apa mesej ALLAH kepada kita, menjadi terapi, merawat dan menyembuhkan kita.

    “Semoga dengan ujian Covid-19 ini menjadi momentum besar untuk melahirkan negara, pemimpin dan rakyatnya yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

    “Bersama kita berpegang kepada tali ALLAH untuk membina ketahanan fizikal, mental dan jiwa kita. ALLAH Bersama, Biidznillah,” katanya.



    Sumber