Blog

  • AirAsia sambung semula operasi domestik mulai 29 April

    AirAsia sambung semula operasi domestik mulai 29 April

    KUALA LUMPUR – AirAsia Group Bhd akan menyambung semula penerbangan domestiknya yang dijadualkan mulai 29 April ini sebelum diperluaskan ke destinasi antarabangsa bergantung kepada kelulusan kerajaan.

    Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini berkata, penerbangan antarabangsa ke Thailand dan Filipina dijadual bermula 1 Mei manakala Indonesia pada 7 Mei.

    “Penyambungan semula perkhidmatan ini adalah untuk beberapa laluan domestik terpilih manakala penerbangan ke destinasi antarabangsa akan disambung semula secara berperingkat apabila keadaan bertambah baik dan sehingga kerajaan menarik semula sekatan perjalanan.

    “Penerbangan telah sedia untuk ditempah di laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih dan tetamu juga boleh menggunakan akaun kredit mereka untuk menebus penerbangan ini,” katanya.

    AirAsia berkata, maklumat lanjut mengenai laluan lain dan jadual penerbangan akan diumumkan beberapa minggu akan datang tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

    Presiden AirAsia Group (Syarikat Penerbangan), Bo Lingam berkata, pihaknya mengemas kini prosedur pengendalian tetamu secara menyeluruh mulai pelepasan sehingga penerbangan berikutan pandemik Covid-19.

    “Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memastikan semua saranan langkah pencegahan dilakukan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk semua,” katanya.

    Beliau berkata, AirAsia bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan serta mematuhi panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan.

    Penumpang dinasihatkan mengamalkan langkah-langkah perlindungan yang disyorkan secara universal termasuk memakai topeng muka, penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan diri.

    “Semua pesawat yang dilengkapi Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) standard hospital juga akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan,” katanya.

    Mereka dinasihatkan menyemak nasihat perjalanan di airasia.com dan platform media sosial di samping memeriksa status penerbangan di airasia.com/flightstatus untuk maklumat terkini berikutan keadaan yang sentiasa berubah pada masa ini. – Bernama



    Sumber

  • Abdul Wahid dilantik Pengerusi Bursa Malaysia

    Abdul Wahid dilantik Pengerusi Bursa Malaysia

    KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia Bhd telah melantik Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi bukan eksekutifnya berkuat kuasa 1 Mei 2020, menggantikan Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata, Abdul Wahid mempunyai pengalaman korporat yang luas, memimpin organisasi utama dalam bidang pembangunan infrastruktur, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan pengurusan pelaburan.

    “Abdul Wahid berkhidmat sebagai pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) – syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia – dari Ogos 2016 hingga Jun 2018, setelah menamatkan tugasnya sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Perancangan Ekonomi dari bulan Jun 2013 hingga Jun 2016.

    “Sebelum pelantikannya sebagai anggota kabinet, Tan Sri Abdul Wahid adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank dari Mei 2008. Dia juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia dari Mei 2009 hingga Jun 2013,” katanya.

    Sebelum menyertai Maybank, Bursa Malaysia berkata Abdul Wahid adalah Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Telekom Malaysia Bhd (TM) dari Julai 2004 hingga tamat penggabungannya dengan Axiata Group Bhd pada April 2008.

    “Beliau juga sebelumnya adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Bhd dari Oktober 2001 hingga Jun 2004,” katanya.

    Kaunter Bursa Malaysia naik tiga sen kepada RM5.88 pada penutupan hari ini, dengan 1.39 juta saham bertukar tangan.-Bernama



    Sumber

  • Kolaboratif bantu petani, nelayan jual hasil dalam talian

    Kolaboratif bantu petani, nelayan jual hasil dalam talian

    GOLONGAN petani dan nelayan bakal mendapat galakan daripada penjualan dalam talian melalui kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Shopee.

    Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, FAMA, LKIM, NEKMAT dan Shopee bekerjasama secara eksklusif untuk melancarkan kedai rasmi Agrobazaar_FAMA dan NEKMAT di platform e-dagang itu untuk membolehkan hasil segar serta makanan laut dihantar terus kepada rakyat.

    “Di kedai FAMA, pengguna dapat membeli pelbagai hasil pertanian seperti ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan manakala kedai NEKMAT pula menawarkan makanan laut segar beku dan produk yang diproses termasuk makanan ringan.

    “Langkah ini menyusul setelah kejayaan pelancaran segmen hasil segar baharu di Shopee pada Februari 2020 untuk penjualan dan pengedaran hasil segar secara atas talian,” menurut kenyataan itu semalam.

    Antara produk kedai Nekmat yang ditawarkan menerusi platform Shopee.

    Antara produk kedai Nekmat yang ditawarkan menerusi platform Shopee.

    Penghantaran kini dibuka kepada semua penduduk Lembah Klang yang mana pembeli yang membuat pesanan sebelum jam 12 tengah hari akan menerima produk mereka pada hari berikutnya, kecuali hujung minggu dan cuti umum.

    Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan satu kempen Hasil Segar Shopee akan diadakan pada 20 hingga 21 April 2020 dari kedai rasmi FAMA di https://shopee.com.my/agrobazaar_fama dan NEKMAT di https://shopee.com.my/nekmat.os.

    “Pengguna boleh membeli pelbagai jenis hasil segar dan beku dengan baucar diskaun 50 peratus dalam tempoh kempen ini.

    “Inisiatif ini dijangka dapat menyokong 1,500 petani tempatan, 100 usahawan industri agribusiness di bawah FAMA dan 56,000 nelayan,” katanya.



    Sumber

  • Program wakaf kumpul 1,500 al-Quran

    Program wakaf kumpul 1,500 al-Quran

    IPOH – Program Wakaf Quran Mu’Jam berjaya mengumpul 1,500 naskhah al-Quran untuk diagihkan kepada lima hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin koronavirus (Covid-19) di seluruh Perak.

    Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, sebanyak 300 naskhah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan 160 untuk Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan, Hospital Seri Manjung dan Hospital Slim River.

    Menurutnya, 560 naskhah membabitkan Jabatan Kesihatan negeri, klinik kesihatan dan pusat kuarantin terpilih dengan mewujudkan #QuranCorner di institusi masing-masing.

    “#QuranCorner boleh menjadi rujukan kepada kakitangan, pelawat dan pesakit. Sumbangan ini juga membuka peluang kepada institusi perubatan untuk turut berinteraksi dgn al-Quran melalui baca, faham dan amal.

    “Mudah-mudahan Ramadan kali ini membawa sinar dan makna kepada perjuangan kakitangan barisan hadapan melalui sumbangan dan doa daripada pewakaf dan rakyat negara ini,” katanya.

    Ahmad Faizal menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Norisah (kanan) pada majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf al-Quran.

    Ahmad Faizal menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Norisah (kanan) pada majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf al-Quran.

    Beliau ditemui pada majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf al-Quran yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Jabatan Kesihatan Perak, Dr Norisah Mahat Nor.

    Sementara itu, Ahmad Faizal menyarankan orang ramai memanfaatkan waktu ketika negara dilanda Covid-19 dengan bacaan al-Quran sebagai kekuatan rohaniah kepada umat Islam.

    “Penawarnya ada pada al-Quran. Kita perlu mengamalkan dan manfaatkan waktu ini malah semua pegawai-di sini dinasihatkan menggunakan waktu terluang sebaiknya dengan belajar dan menghafal (al-Quran),” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Penaung Rumah Ngaji Perak menggalakkan orang ramai mengambil keberkatan Ramadan untuk mempertingkatkan bacaan al-Quran.

    “Ganjaran membuat kebaikan akan mendapat balasan berlipat ganda. Allah SWT memberi bencana dan menarik nikmat seperti solat tarawih tetapi mengurniakan nikmat lain seperti solat di rumah, mengaji dan belajar dengan keluarga.

    “Jadi manfaatkan ‘nikmat yang ditarik’ ini supaya dapat memberikan kesedaran untuk memperbaiki diri supaya lebih banyak ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.



    Sumber

  • MBSB Bank sumbang RM1.45 juta

    MBSB Bank sumbang RM1.45 juta

    MBSB Bank Berhad menyumbang lebih RM1.45 juta kepada pelbagai saluran dermawan sebagai salah satu usaha untuk membantu golongan terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, sumbangan digunakan bagi tujuan mengedarkan bekalan makanan, membeli peralatan pernafasan dan alat pelindung peribadi (PPE).

    Ahmad Zaini

    Ahmad Zaini

    “Penerima sumbangan terdiri daripada petugas barisan hadapan, komuniti kurang mampu, rumah anak yatim dan penuntut institusi pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Beliau berkata, MBSB Bank telah menyalurkan sumbangan RM100,000 melalui Persatuan Bank Islam dan Kewangan Institusi Malaysia (AIBIM) ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai persediaan kritikal.

    Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menerima sumbangan RM100,000 sebagai keperluan dana untuk membantu pekerja kesihatan demi memastikan bekalan perubatan mencukupi untuk memerangi Covid-19.

    “MBSB Bank juga menyumbang RM100,000 kepada MERCY Malaysia untuk membeli ventilator pernafasan.

    “Malah, sumbangan turut disalurkan kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di bawah Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Projek Pelangi di bawah Rumah Pengasih Warga Penyayang (RPWP) bagi tujuan menyediakan topeng muka dan PPE,” katanya.

    Tambahnya, MBSB Bank turut menyalurkan sejumlah dana melalui organisasi seperti Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Islamic Relief Malaysia (IRM), Tabung Musa’adah Tunai Covid-19 di bawah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muslim Profesional Forum Berhad dan Kelab Usahawan Muslim Professional.

    “MBSB Bank juga akan mengedarkan barang runcit dan barang elektrik kepada enam rumah anak yatim sebagai persediaan menyambut Ramadan serta 10 lagi rumah kebajikan lain di seluruh negara,” katanya.



    Sumber

  • Masalah internet selesai

    Masalah internet selesai

    JAMINAN unifi untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menyelesaikan masalah internet yang perlahan pada waktu puncak telah menunjukkan hasil positif.

    Ketua Pegawai Komersil, Telekom Malaysia Berhad (TM), Anand Vijayan berkata, pihaknya telah melaksanakan aktiviti pengoptimuman rangkaian dan penambahan kapasiti untuk meredakan kesesakan rangkaian domestik yang memberi kesan kepada pelanggannya di wilayah Tengah dan Selatan Malaysia Barat serta di Malaysia Timur.

    “Hasil pelaksanaannya telah menunjukkan trend penurunan kesesakan rangkaian, bermakna kelajuan internet yang lebih baik kepada pelanggan.

    “Kami akan terus memantau prestasi rangkaian bagi memastikan pelanggan sentiasa menikmati pengalaman perkhidmatan yang dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, pihaknya juga telah berkomunikasi dengan penyedia platform penstriman, permainan, dan produktiviti antarabangsa yang popular untuk menyelaraskan perkhidmatan mereka dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

    Terdahulu, TM berjaya memulihkan kapasiti rangkaian antarabangsanya yang terjejas akibat kerosakan kabel Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2) dengan mengalihkan haluan dan mengoptimumkan trafik sepenuhnya menerusi laluan sambungan antarabangsa alternatif.

    TM sedang bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa untuk menyelaras dan mengalihkan haluan trafik secara proaktif bagi meminimumkan impak terhadap pelanggan.

    Hasilnya, sambungan data kepada lokasi-lokasi dan pelayan-pelayan yang dihoskan di Hong Kong dan Amerika Syarikat kini telah dioptimumkan sepenuhnya untuk dinikmati semua.

    Anand berkata, pelanggan unifi kini boleh menikmati kelajuan, akses tanpa gangguan kepada laman sosial dan platform produktiviti pilihan mereka selepas sambungan rangkaian antarabangsa dipulihkan sepenuhnya.

    “Kami komited untuk membantu anda kekal berhubung dengan orang tersayang dan memastikan anda terus terhibur, sekali gus membolehkan anda kekal produktif semasa tempoh PKP ini,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, pelanggan pascabayar unifi Mobile akan terus menikmati pas hotspot LTE 999GB percuma sebagai tambahan kepada pas hotspot LTE 10GB sedia ada manakala pelanggan pra-bayar unifi Mobile #BEBAS akan terus menerima pas data tujuh hari tanpa had percuma.

    “Pelanggan unifi TV boleh kekal terhibur dengan akses percuma kepada kesemua saluran termasuklah saluran premium dan unifi PlayTV dan diskaun 20 peratus untuk kesemua filem Video-On-Demand (VOD) di dalam kategori HyppFlicks Plus.

    “Untuk pelanggan perniagaan pula, mereka akan terus menikmati pas hotspot LTE unifi Mobile Biz, akses percuma kepada platform Penyelesaian Pemasaran Digital (DMS) dan diskaun 20 peratus untuk perkakasan produktiviti selain bantuan kewangan dari rakan perbankan unifi,” katanya.



    Sumber

  • ‘Penawar’ letih buat kakitangan kesihatan

    ‘Penawar’ letih buat kakitangan kesihatan

    ALOR SETAR – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyampaikan 1,500 naskhah al-Quran hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah,hari ini.

    Kesemua al-Quran terbabit adalah sumbangan wakaf daripada orang ramai melalui Program Wakaf al-Quran Mu’jam yang merupakan hasil kerjasama WUIF dengan rakan sinergi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Al Hijrah, Majlis Dakwah Negara, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji.

    Wakil Rumah Ngaji negeri Kedah, Saloni Mustaffa berkata, JKN Kedah menyambut baik hasrat mereka untuk mewujudkan Quran Time dan Quran Corner di semua pusat kesihatan daerah dan juga lokasi saringan koronavirus (Covid-19).

    Katanya, al-Quran merupakan pendamping terbaik di saat kakitangan kesihatan memerlukan sokongan mental dan rohani untuk menyempurnakan tugasan mereka.

    “Dalam keadaan tertekan dan keletihan apabila berada di Quran Corner, mereka dapat meluangkan sedikit masa bagi pengisian rohani.

    “Ia sekaligus menyuntik kembali semangat dan motivasi untuk mereka berkhidmat kepada masyarakat apatah lagi tugasan mereka ini merupakan suatu jihad,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

    Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Shahrul Bariyah Ahmad berkata, beliau mewakili JKN merakamkan penghargaan kepada WUIF atas sumbangan terbabit.

    Ustaz Ismudi membaca al-Quran yang diterima di Blok A, JKN Kedah di sini hari ini.

    Ustaz Ismudi membaca al-Quran yang diterima di Blok A, JKN Kedah di sini hari ini.

    Katanya, semua al-Quran berkenaan akan diagihkan kepada hospital -hospital dan klinik kesihatan di negeri ini untuk dimanfaatkan sebaiknya oleh kakitangan mereka.

    “al-Quran ini akan ditempatkan di surau atau ruang bacaan untuk kita beri peluang kepada semua orang termasuk pesakit meluangkan masa dengan membaca kitab suci ini.

    “Saya rasa program ini juga merupakan langkah yang baik untuk kita semua menjayakan #QuranTime,”katanya.

    Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (kanan) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Ismudi Mohamad Sanusi berkata, HSB akan memanfaatkan sumbangan 300 naskhah al – Quran yang diterima dengan sebaik mungkin.

    Menurutnya, sumbangan itu akan digunakan untuk mengimarahkan program spiritual HSB bersesuaian dengan konsep Hospital Mesra Ibadah yang dilaksanakan.

    “Selain itu, semua al-Quran berkenaan juga akan diedarkan ke wad -wad untuk kita wujudkan sudut al-Quran. Dengan adanya sudut ini, ia bukan sahaja memudahkan petugas kesihatan, malah pesakit juga dapat meluangkan masa dengan membaca al-Quran di situ,”katanya.



    Sumber

  • JKN Johor terima 2,000 naskhah al-Quran

    JKN Johor terima 2,000 naskhah al-Quran

    JOHOR BAHRU – Pengisian rohani dengan membaca al-Quran ketika berdepan ujian terutamanya mereka mendapat sakit dapat membantu memenangkan jiwa selain sebagai ikhtiar penyembuh pelbagai penyakit.

    Seiring dengan itu, Projek Wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah untuk Ummah adalah bertepatan apabila mewakafkan 2,000 naskhah al-Quran untuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor.

    Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata, Projek Wakaf al-Quran ini dapat mengukuhkan lagi sifat kecintaan terhadap al-Quran terutama kepada pesakit yang sedang ditempatkan di wad-wad hospital.

    “Kita berharap dengan program seperti ini pesakit-pesakit yang ditempatkan di hospital dapat mengisi masa dengan menghayati dan membaca al-Quran sekaligus menjadi terapi atau penawar sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit.

    “Al-Quran yang diwakafkan ini juga mempunyai terjemahan dalam bahasa Melayu dan ini memudahkan kita untuk menghayati lebih mendalam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan 2,000 naskhah al-Quran kepada JKN Johor di Hospital Permai di sini hari ini.

    Hadir sama ialah penyelaras yang juga merangkap Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor, Roziah Kamal.

    Dr Aman berkata, di setiap hospital mempunyai Hospital Pesakit Badan yang mana ada pegawai agama masing-masing menguruskan soal-soal mendalami ilmu agama.

    Katanya, dengan adanya Projek Wakaf al-Quran ini dapat sama-sama mencintai al-Quran bukan untuk pesakit sahaja malah semua petugas kesihatan yang mempunyai masa terluang.

    Sementara itu, Roziah berkata, penyerahan naskhah al-Quran ini di negeri ini merupakan sebahagian Projek Wakaf al-Quran yang berlangsung di seluruh negara membabitkan 40,000 naskhah al-Quran.

    “Di Johor, tiga daerah sudah diserahkan iaitu Tangkap, Batu Pahat serta Kluang dan hari ini kita serahkan kepada JKN untuk diagihkan kepada daerah-daerah yang belum diterima,” katanya.



    Sumber

  • IPK, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan terima al-Quran

    IPK, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan terima al-Quran

    SEREMBAN – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengagihkan 1,400 naskhah al-Quran kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini hasil sumbangan pelbagai pihak sempena sempena Program Wakaf al-Quran Mu’jam.

    Majlis penyerahan 700 naskhah al-Quran kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang kepada Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Muhammad Faid Abd Rashid di pejabatnya hari ini.

    Selebihnya pula diserahkan kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Mohammad Mat Yusop di IPK Negeri Sembilan.

    Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah menerima 600 naskhah al-Quran dan pada hari ini adalah pemberian bagi kali kedua.

    Hashim Anang menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran kepada Muhammad Faid di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini.

    Hashim Anang menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran kepada Muhammad Faid di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini.

    Dr Muhammad Faid ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada WUIF dan Kumpulan Karangkraf di atas sumbangan yang bermakna ini.

    “Pemberian al-Quran ini diharap dapat meningkatkan lagi ketahanan dan kekuatan rohani barisan hadapan negara untuk terus berjuang menghadapi wabak koronavirus (Covid-19),” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan yang diterima itu kebanyakannya daripada rakyat Malaysia menerusi hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti itu termasuklah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji di seluruh negara.

    Selain itu, WUIF turut menganjurkan slot Quran Time dan slot My Family #QuranHour ‘Masuk Syurga Sekeluarga’ secara langsung di QuranHour Channel melalui Facebook QuranHour setiap hari.

    QuranTime yang membincangkan Juzuk Amma bermula jam 8 pagi hingga 8.30 pagi akan disampaikan oleh Fazrul dan Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.

    Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran, boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital dan membuat bayaran wakaf kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akuan Maybank Islamik 564276516031 atas nama dengan rujukan Wakaf Quran sebanyak RM45 senaskhah.

    Sewaktu pembayaran dilakukan, turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.

    Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran.



    Sumber

  • JKN Perlis terima 1,000 naskhah al-Quran

    JKN Perlis terima 1,000 naskhah al-Quran

    KANGAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menerima 1,000 naskhah al- Quran daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) hasil sumbangan pelbagai pihak sempena Program Wakaf al-Quran Mu’jam di sini hari ini.

    Sumbangan berkenaan disampaikan oleh wakil Rumah Ngaji negeri Kedah, Saloni Mustaffa kepada Pengarah JKN Perlis Dr. Sirajuddin Hashim, Pengarah Hospital Tuanku Fauziah Dr Othman Warijo serta Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis yang mewakili fasiliti kesihatan negeri Perlis.

    Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), Azmi Abdul Latip berkata, beliau mewakili JKN merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan berkenaan.

    Katanya, semua al-Quran yang diterima itu akan diagihkan kepada Kompleks JKN Perlis (100 naskhah), Hospital Tuanku Fauziah (300 naskhah), Pejabat Kesihatan Daerah Kangar (480 naskhah), Bahagian Kesihatan Pergigian (100 naskhah) dan Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan (20 naskhah).

    Saloni (kiri) menyampaikan senaskhah al-Quran kepada Dr Sirajuddin sebagai gimik penyerahan al-Quran di JKN Perlis di sini hari ini.

    Saloni (kiri) menyampaikan senaskhah al-Quran kepada Dr Sirajuddin sebagai gimik penyerahan al-Quran di JKN Perlis di sini hari ini.

    “Insya-ALLAH al-Quran ini akan memberi manfaat kepada lebih 3,500 kakitangan kita dalam memberikan peningkatan motivasi kepada mereka terutama dari aspek kerohanian, spiritual dan emosi.

    “Apatah lagi mereka kini sedang berjuang dalam menangani wabak Koronavirus (Covid-19) jadi mereka memerlukan sokongan yang kuat untuk menghadapinya,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

    Menurutnya, sumbangan itu juga akan dimanfaatkan oleh seluruh pesakit yang menerima rawatan di fasiliti kesihatan negeri ini.

    Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Norazlina Omar (kanan) bersama Penolong Pegawai Tadbir bahagian Pengurusan, Naimah Yunus meluangkan masa membaca al-Quran di bangunan JKN Perlis di sini hari ini.

    Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Norazlina Omar (kanan) bersama Penolong Pegawai Tadbir bahagian Pengurusan, Naimah Yunus meluangkan masa membaca al-Quran di bangunan JKN Perlis di sini hari ini.

    “Ia selari dengan hasrat untuk merealisasikan konsep hospital mesra ibadah yang mana fokus kita bukan sahaja pesakit yang mendapatkan rawatan akan kembali sihat, sebaliknya mental dan spiritual mereka juga akan bertambah baik,” katanya.

    Tambahnya, beliau berharap semoga usaha murni dari pihak WUIF ini akan mendapat ganjaran sewajarnya dari ALLAH SWT dan mampu menjadi pendorong kepada lebih banyak usaha sebegini di masa akan datang.

    “Untuk makluman pihak jabatan juga sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan bagi tujuan meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini,” katanya.



    Sumber