Blog

  • Kontrak niaga hadapan emas ditutup tanpa diniagakan

    Kontrak niaga hadapan emas ditutup tanpa diniagakan

    KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tidak diniagakan hari ini berikutan kekurangan minat, menjejaki aliran penurunan di pasaran emas Bursa Komoditi New York (COMEX).

    Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Tan Kien Kiong berkata, harga emas di COMEX susut melebihi satu peratus kepada mencecah paras terendah dalam tempoh dua minggu berikutan kejatuhan harga minyak mentah yang mendorong penjualan panik bagi aset selamat.

    “Keadaan ini telah mendorong pelabur untuk menjual logam berharga itu bagi menampung kerugian harga minyak mentah.

    “Emas dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati berikutan penurunan mendadak di pasaran minyak mentah yang dijangka berlanjutan sehingga penawaran dan permintaan minyak mentah adalah seimbang antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, pengukuhan dolar AS telah memberi kesan kepada emas apabila pelabur beralih kepada bon AS sekali lagi.

    “Sekiranya minyak terus merosot, impak deflasi akan menjadikan emas kurang menarik kerana emas dan minyak mempunyai hubungan erat kerana kedua-duanya adalah aset dalam denominasi dolar AS,” kata Innes.

    Satu lagi kaitan penting antara emas dan minyak adalah inflasi.

    Sekiranya harga minyak mentah meningkat, inflasi akan turut meningkat dan emas pula dikenali sebagai lindung nilai baik terhadap inflasi.

    Pada penutup, bulan semerta April 2020, Mei 2020, Jun 2020 dan Julai 2020 masing-masing kekal pada RM230, RM230, RM230.20 dan RM230.25 segram.

    Jumlah dagangan kekal sifar, manakala kepentingan terbuka sebanyak 126 kontrak.

    Pada 5 petang, harga emas fizikal bagaimanapun naik RM2.91 kepada RM231.01 segram berbanding RM228.10 segram pada Isnin. – Bernama



    Sumber

  • Berita negatif pasaran minyak menjejaskan ringgit: penganalisis

    Berita negatif pasaran minyak menjejaskan ringgit: penganalisis

    RINGGIT meneruskan aliran menurun untuk ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kebanjiran berita negatif mengenai pasaran minyak, kata penganalisis.

    Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.3880/3950 berbanding dolar AS daripada 4.3700/3770 yang dicatatkan semalam.

    Ketua Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, ringgit, yang didagangkan pada hujung jajaran, berita-berita kurang merangsangkan mengenai pasaran minyak semasa akan terus menekan ringgit.

    “Terdapat cabaran yang besar bagi penghantaran kontrak terdekat memandangkan saya fikir kos menyimpan minyak pada Mei akan melebihi nilai ekonomi minyak pada Jun kecuali terdapat campur tangan daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan G20,” katanya kepada Bernama.

    Pasaran minyak mentah menjadi tidak menentu selepas niaga hadapan minyak mentah AS menjunam ke bawah AS$0 untuk kali pertama dalam sejarah.

    Sekarang ini, penanda aras Brent susut sebanyak 18.15 peratus kepada AS$20.93 setong daripada sesi sebelumnya.

    Malaysia, sebagai pengeksport bersih minyak mentah dan produk petroleum, amat bergantung kepada pergerakan harga komoditi tersebut.

    Selain itu, menurut Innes, dolar AS turut mula mengukuh di Asia, ini biasanya menjadi tanda buruk kepada aliran masuk pasaran ekuiti tempatan, mencadangkan kemungkinan ringgit terus dihimpit sepanjang minggu ini.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding dengan mata wang utama lain.

    Ia menyusut berbanding yen kepada 4.0841/0918 daripada 4.0587/0663 tetapi meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0676/0734 daripada 3.0751/0811.

    Berbanding pound, ringgit menokok kepada 5.4122/4226 daripada 5.4524/4616 yang direkodkan semalam dan berbanding euro, ia bertambah kepada 4.7526/7620 daripada 4.7550/7644.- Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia ditutup rendah susulan tekanan jualan

    Bursa Malaysia ditutup rendah susulan tekanan jualan

    TEKANAN jualan membabitkan kaunter produk pengguna terpilih serta kebanyakan saham wajaran tinggi mendorong Bursa Malaysia ditutup pada paras rendah hari ini seiring dengan prestasi bursa serantau berikutan kebimbangan mengenai kejatuhan mendadak harga minyak mentah, kata peniaga.

    Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 31.39 mata kepada 1,381.73 daripada 1,413.12 sewaktu ditutup semalam.

    Indeks petunjuk utama itu yang yang dibuka 5.89 mata lebih rendah pada 1,407.23 mata, turut meningkat sehingga 1.411.69 pada dagangan awal.

    Sentimen pasaran secara keseluruhannya kekal kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 827 berbanding 198 manakala 253 kaunter tidak berubah, 634 tidak diniagakan dan 20 lain digantung.

    Jumlah dagangan meningkat kepada 6.53 bilion saham bernilai RM2.94 bilion daripada 5.99 bilion saham bernilai RM3.21 bilion semalam.

    Seorang peniaga berkata, pasaran saham Asia lebih rendah pada hari ini kerana bimbangkan penyusutan ketara harga minyak mentah dengan tumpuan terhadap West Texas Intermediate selepas niaga hadapannya untuk Mei yang berakhir Selasa, menjunam ke paras paling rendah dan menyaksikan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) buat pertama kalinya mencecah paras negatif dalam sejarah berikutan stok simpanan yang tinggi.

    “Niaga hadapan di New York mengalami turun naik selepas menjunam serendah -US$40.32 pada sesi sebelumnya. Kontrak bulan Jun berharga lebih AS$20 yang mencerminkan kebimbangan bahawa mereka yang menerima serahan fizikal minyak mentah dalam masa terdekat berkemungkinan tidak dapat menyimpan stok tersebut,” katanya.

    Selain itu, krisis kepimpinan yang berlaku di Korea Utara apabila Kim Jong Un dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan kardiovascular minggu lepas, juga berpotensi memberi impak serius terhadap kestabilan serantau selain menjejaskan rundingan dengan AS membabitkan pertahanan nuklear di negara itu.

    Dalam pada itu, di peringkat tempatan saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 13 sen kepada RM7.56, TNB dan IHH Healthcare masing-masing rugi 10 sen kepada RM12.50 dan RM5.13 dan Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut 42 sen kepada RM15.74 dan RM5.30.

    Bagi saham aktif, Lambo berkurangan setengah sen kepada 1.5 sen dan Velesto turun satu sen kepada 15 sen manakala NETX Holdings dan AirAsia X masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 12.5 sen.

    Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 225.38 mata pada 9,598.53, Indeks FBMT 100 turun 219.85 mata kepada 9,482.95, Indeks FBM Emas Shariah turun 238.02 mata pada 10,603.30, FBM ACE merosot 198.93 mata kepada 4,314.70 manakala FBM 70 kehilangan 281.60 mata kepada 11,363.48.

    Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 270.79 mata kepada 12,454.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 4.77 mata kepada 116.05 dan Indeks Perladangan berkurangan 173.56 mata kepada 6,182.39.

    Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.60 bilion saham bernilai RM2.69 bilion daripada 4.55 bilion saham bernilai RM2.93 bilion pada Isnin.

    Waran meningkat kepada 454.49 juta unit bernilai RM97.31 juta berbanding 450.38 juta unit bernilai RM68.06 juta, semalam.

    Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 1.47 bilion saham bernilai RM149.46 juta daripada 988.39 juta saham bernilai RM204.70 juta, sebelumnya.

    Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.13 bilion saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (981.02 juta), pembinaan (300.40 juta), teknologi (290.96 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.42 juta), hartanah ( 301.55 juta), perladangan (80.48 juta), REIT (10.72 juta), dana tertutup (216.000), tenaga (1.11 bilion), penjagaan kesihatan (55.47 juta), telekomunikasi dan media (87.43 juta), pengangkutan dan logistik (151.08 juta) manakala utiliti (32.70 juta). – Bernama



    Sumber

  • AirAsia lancar tabung derma digital, ‘Derma Dengan Ikhlas’

    AirAsia lancar tabung derma digital, ‘Derma Dengan Ikhlas’

    AIRASIA.com melancarkan inisiatif tabung derma digital awam, ‘Derma Dengan Ikhlas’ bagi memudahkan individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal mereka pada bulan Ramadan.

    Tabung ‘Derma Dengan Ikhlas’ yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah itu dilancarkan menerusi sebuah platform yang tulus, selamat dan terjamin di mana dana tersebut akan digunakan untuk membantu komuniti memerlukan serta pasukan barisan hadapan, selain membantu peniaga tempatan pada Ramadan kali ini.

    Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, walaupun sambutan Ramadan pada tahun ini berbeza berbanding sebelum ini, ia tidak menghalang pihaknya untuk meneruskan amalan bersedekah.

    Beliau berkata, disebabkan itu pihaknya berbesar hati untuk melancarkan sebuah inisiatif yang memberi peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan bersama membantu mereka yang memerlukan pada bulan mulia ini.

    Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menyediakan sebuah platform bagi membantu para penderma menyalurkan sumbangan ikhlas mereka yang akan digunakan untuk tujuan sedekah pada Ramadan nanti.

    “Kami berharap dapat mengedarkan barang keperluan asas kepada 5,000 keluarga dan juadah berbuka puasa kepada lebih 20,000 individu sepanjang bulan Ramadan ini.

    “Kami juga akan membeli bekalan daripada lebih 100 peniaga kecil dan sederhana dengan tujuan membantu perniagaan mereka pada masa yang sukar ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Antara komuniti yang akan menerima sumbangan itu termasuk keluarga yang kurang bernasib baik, pelarian dan badan bukan berasaskan keuntungan seperti Soup Kitchen dan rumah anak-anak yatim.

    Sebahagian daripada dana tersebut juga akan digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa bagi pasukan barisan hadapan yang bertugas seperti pegawai perubatan, polis, tentera dan lain-lain.

    Ikhlas berkata, pihaknya sedar mereka tidak akan dapat menjayakan inisiatif itu tanpa bantuan daripada semua pihak.

    “Kami mengajak semua yang berkongsi visi dan semangat kami untuk bekerjasama dengan kami,” katanya memberitahu kempen tabung ‘Derma Dengan Ikhlas’ itu akan bermula hari ini sehingga 22 Mei 2020.

    Katanya, orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari laman sesawang Givewith.Ikhlas.com atau terus ke Facebook dan Instagram, ikhlasdotcom.

    ‘Derma Dengan Ikhlas’ adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia.

    Ikhlas.com merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk perniagaan pelancong Islam.

    Portal itu akan dilancarkan pada bulan Jun 2020 dan bertujuan untuk membantu umat Islam di seluruh dunia dalam menunaikan kewajipan agama termasuk umrah, korban dan gaya hidup berasaskan hukum syariah.

    End



    Sumber

  • Sumbangan al-Quran mantapkan jiwa pesakit, frontliner

    Sumbangan al-Quran mantapkan jiwa pesakit, frontliner

    SHAH ALAM – Pemberian al-Quran wakaf kepada hospital dan pusat kesihatan menerusi Program Wakaf Quran Mu’jam mampu memantapkan lagi jiwa pesakit dan frontliner dalam mengharungi situasi krisis wabak Covid-19 lebih-lebih lagi dalam keadaan menjelang Ramadan ketika ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim berkata, dalam keadaan krisis ketika ini, aspek kekuatan spritual juga sangat penting selain kekuatan fizikal.

    “Sebab itu kami sangat berbesar hati menerima sumbangan sebanyak 200 naskhah al-Quran dari orang ramai yang mewakafkannya melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di bawah Program Wakaf Quran Mu’jam.

    “Usaha sebegini dapat kuatkan lagi semangat pesakit dan kakitangan kami yang turut melakukan ujian saringan Covid-19,” katanya selepas menerima sumbangan itu di lobi hospital berkenaan di sini hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim (lima dari kiri) menerima sumbangan al-Quran dari Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hashim Anang (empat dari kanan ). - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim (lima dari kiri) menerima sumbangan al-Quran dari Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hashim Anang (empat dari kanan ). – Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Avisena terbahagi kepada dua iaitu hospital induk dan sebuah lagi hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak dengan keseluruhan kakitangan yang dimiliki berjumlah 1,000 orang.

    Menurut Dr Razman, al-Quran itu akan ditempatkan di wad-wad pesakit dan di kawasan menunggu pesakit agar ia dapat digunakan sepenuhnya oleh pesakit dan juga kakitangan hospital berkenaan.

    Sebanyak 440 naskhah al-Quran wakaf diagihkan kepada empat buah hospital hari ini membabitkan Hospital Pakar KPJ Damansara, Hospital Columbia Asia dan Pusat Perubatan Pakar Sri Kota selain Hospital Pakar Avisena.

    Sebanyak 43 naskhah al-Quran infak turut diagihkan kepada pasukan Selangor Task Force Covid-19 yang melakukan ujian saringan wabak itu kepada orang awam di Dewan Raja Muda Musa sejak Jumaat lalu yang sehingga kini telah melakukan hampir 600 saringan.

    Wakilnya, Dr Mukhriz Abdullah berkata, pemberian al-Quran infak itu umpama hadiah menyambut Ramadan kepadanya dan kesemua petugas barisan hadapan di kawasan itu yang boleh mereka baca pada bila-bila masa terutama ketika bulan puasa.

    “Macam saya sendiri, al-Quran saya dah lama tak bertukar jadi saya tak perlu beli al-Quran baharu apatah lagi pada waktu sekarang tugas kami agak sibuk.

    “Pada satu-satu masa seramai lima doktor yang dibantu jururawat akan bertugas di sini dan majoriti mereka adalah petugas bebas (freelance),” katanya.

    Tambahnya, kebanyakan orang awam yang melakukan saringan di tempat itu adalah penghantar makanan dari Food Panda dan Grab Food kerana mereka terdedah Covid-19 ketika melakukan kerja.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, jumlah al-Quran wakaf yang telah diagihkan dan yang sedang diagihkan ketika ini berjumlah 31,230 naskhah di bawah Program Wakaf Quran fasa satu.

    “Bagi al-Quran infak pula sehingga kini sebanyak 1,800 daripada 2,5000 naskhah sudah diedarkan dan 700 bakinya sedang dalam agihan lagi,” katanya.

    Katanya, bagi Program Wakaf Quran fasa kedua pula, pihaknya berjaya mengumpul sebanyak 21,622 al-Quran sehingga jam 9 malam tadi.



    Sumber

  • ASNB benarkan pengeluaran dalam talian menerusi myASNB

    ASNB benarkan pengeluaran dalam talian menerusi myASNB

    ANAK syarikat pengurusan unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan kemudahan pengeluaran pelaburan secara dalam talian untuk unit amanah terpilih di bawah pengurusannya menerusi portal myASNB bermula 20 April 2020.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan, ASNB menjelaskan, inisiatif itu selaras dengan komitmen pihaknya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelabur, terutamanya dalam memastikan keperluan kewangan mereka dipenuhi pada setiap masa.

    “Menerusi kemudahan pengeluaran ini, pemegang unit boleh mengeluarkan wang pelaburan dari mana-mana akaun unit amanah ASNB kecuali ASN Sara 2 dan ASN Equity 5.

    “Jumlah tersebut seterusnya akan dipindahkan ke akaun bank pelabur yang didaftarkan di myASNB pada hari bekerja berikutnya,” kata kenyataan itu.

    Tambahnya, waktu pengeluaran dibenarkan adalah mengikut waktu operasi sedia ada di portal myASNB.

    “Unit Amanah Harga Tetap bermula jam 7 pagi hingga 6 petang pada setiap hari kecuali cuti umum manakala Unit Amanah Harga Berubah pula pada jam 7 pagi hingga 4 petang pada setiap hari kecuali cuti umum,” katanya.

    Katanya, jumlah pengeluaran minimum adalah RM100 manakala pengeluaran dihadkan kepada tiga kali transaksi setiap bulan dengan jumlah maksimum terkumpul sebanyak RM500 dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pelabur.

    Maklumat lanjut, pemegang unit boleh merujuk kepada soalan-soalan lazim di www.asnb.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899.



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah sedikit

    Ringgit dibuka rendah sedikit

    RINGGIT memulakan minggu ini dengan dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan penurunan harga minyak mentah dan pengumuman data ekonomi suku pertama China yang lebih lemah daripada dijangkakan.

    Pada jam 9.01 pagi, ringgit dibuka rendah sedikit kepada 4.3680/3780 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3650/3750 Jumaat minggu lepas.

    Harga minyak mentah terus tidak menentu meskipun Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu-sekutunya telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari pada minggu lalu apabila para pelabur masih bimbang dengan impak daripada pandemik Covid-19.

    Pada jam 9.31 pagi, penanda aras harga minyak mentah berada pada AS$27.65 setong, turun 1.53 peratus daripada sesi penutup sebelumnya.

    China menyaksikan keluaran dalam negara kasarnya susut 6.8 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2020, lebih lemah daripada jangkaan 6.5 peratus analisis oleh Reuters.

    Sehubungan itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran GlobalAxiCorp, Stephen Innes berkata, ringgit dijangka kekal sederhana sehingga harga minyak meningkat semula.

    “Dan penggunaan China serta eksport kembali rancak semula,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

    Pada pembukaan hari ini, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan susut berbanding yen kepada 4.0482/0586 daripada 4.0465/0562 pada Jumaat minggu lalu dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4521/4659 daripada 5.4200/4342.

    Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.7441/7563 daripada 4.7216/7338 dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0668/0755 daripada 3.0621/0702. – Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi teruskan kenaikan minggu lalu

    Bursa Malaysia dibuka tinggi teruskan kenaikan minggu lalu

    BURSA Malaysia dibuka tinggi pagi ini meneruskan kenaikannya pada minggu lalu dengan indeks komposit meningkat 1.19 peratus berikutan sokongan sentimen pasaran yang positif susulan prestasi kukuh di Wall Street.

    Pada jam 9.15 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 16.80 mata kepada 1,424.14 daripada paras penutup 1,407.34 pada Jumaat minggu lalu.

    Indeks utama dibuka 4.35 mata lebih kukuh kepada 1,411.69.

    Suasana pasaran bulis dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 466 berbanding hanya 85 manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,146 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah 604.98 juta saham bernilai RM238.43 juta.

    Rakuten Trade berkata, Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat berikutan harapan pembukaan semula ekonomi Amerika Syarikat (AS) lebih awal seperti yang dibayangkan oleh Presiden Donald Trump.

    “Bagaimanapun, melihat daripada angka kes Covid-19 di AS yang kini hampir mencecah 800,000 dengan kes kematian melepasi 40,000 orang, kami percaya harapan Trump itu cuma angan-angan kosong sahaja dan amat berisiko.

    “Bagaimanapun, kami merasakan selepas prestasi agak kukuh minggu lalu, pasaran serantau akan kembali mereda hari ini,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

    Sementara itu, Malacca Securities berkata, selepas meningkat lebih daripada 5.0 peratus sepanjang dua minggu lalu, prestasi indeks utama itu telahpun mengatasi semua jangkaan di tengah-tengah sokongan institusi terpilih yang dianggapnya berlebihan memandangkan prospek ekonomi yang masih rapuh.

    “Oleh itu, kami merasakan akan berlaku fasa penstabilan dalam tempoh terdekat ini dengan indeks utama berpotensi merosot kembali ke paras 1,400. Buat masa ini paras ketahanan adalah pada 1,420-1,455. sekiranya paras 1,400 gagal bertahan, paras 1,370 akan menjadi paras sokongan seterusnya,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota berasingan hari ini.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.74, Tenaga meningkat 10 sen kepada RM12.80, Public Bank melonjak 12 sen kepada RM16.16, Petronas Chemicals menokok 24 sen kepada RM5.89 dan IHH Healthcare menambah lima sen kepada RM5.27.

    Dalam kalangan kaunter cergas, Vortex Consolidated tidak berubah pada 8.5 sen, AirAsia X meningkat 1.5 sen kepada 9.5 sen, MCT naik 2.5 sen kepada 20 manakala AirAsia Group menokok tujuh sen kepada 85.5 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 126.29 mata kepada 9,901.23, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 118.99 mata kepada 10,956.51 manakala Indeks FBMT 100 menokok 122.47 mata kepada 9,779.22.

    FBM 70 naik 176.38 mata kepada 11,739.96 dan FBM Ace meningkat 35.64 mata kepada 4,538.53.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.88 mata kepada 121.90, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 167.50 mata kepada 12,814.46 manakala Indeks Perladangan menambah 65.37 mata kepada 6,401.48. – Bernama



    Sumber

  • Aktif #QuranCorner ke lokasi terpilih seluruh negara

    Aktif #QuranCorner ke lokasi terpilih seluruh negara

    SHAH ALAM – Program Wakaf Quran yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf terus mendapat sambutan orang ramai dengan wakaf terkumpul setakat jam 9 malam tadi berjumlah 19,018 naskhah al-Quran.

    Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, agihan pusingan kedua bagi wakaf al-Quran fasa pertama untuk negeri-negeri di seluruh negara sudahpun bermula hari ini.

    Menurutnya, pengagihan pusingan kedua bagi mengaktifkan #QuranCorner diperluaskan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera dan lokasi terpilih seluruh negara.

    “Agihan pusingan pertama yang berlangsung pada minggu lepas untuk negeri-negeri di Semenanjung dan kebanyakannya melalui Jabatan Kesihatan Negeri dengan agihan ke wad-wad di hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin.

    “Namun jika ada hospital atau klinik kesihatan yang berminat untuk mengaktifkan #QuranCorner atau Troli Ibadah di semua wad boleh hubungi kami menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-3803635 (seperti tertera di poster) untuk memohon stok tambahan. Atau boleh ke pejabat kami di Pusat Operasi dan Pengumpulan Wakaf di WUIF, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam,” katanya di sini hari ini.

    Dalam masa sama, Marhaini berkata, pihaknya masih mengharapkan sumbangan wakaf al-Quran daripada orang ramai.

    Menurutnya, jika sebelum ini WUIF banyak memfokuskan kepada petugas dan pesakit tetapi akhir-akhir ini pihaknya mula menyedari kes-kes yang melibatkan tekanan mental dan spiritual dalam masyarakat juga memerlukan perhatian.

    “Kami berharap agihan al-Quran melalui #QuranCorner dapat membantu meluruskan emosi dan spiritual lebih ramai pesakit,” katanya.

    Orang ramai yang ingin mewakafkan al-Quran boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan itu menerusi akaun Maybank Islamic Warisan Ummah Ikhlas Foundation bernombor 564276516031 dengan meletakkan rujukan Wakaf Quran.



    Sumber

  • Ringgit akan berdepan satu lagi minggu mencabar

    Ringgit akan berdepan satu lagi minggu mencabar

    KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka menghadapi satu lagi minggu yang mencabar berikutan penurunan harga minyak dan sentimen global yang tidak menentu.

    Ketua Strategi Pemasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, kesemua faktor ini akan memberi kesan jangka pendek ke atas ringgit untuk berlegar pada 4.36 hingga 4.39 berbanding dolar AS.

    “Pasaran minggu ini juga sedang menunggu pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk Mac yang akan dikeluarkan pada hari Rabu akan datang.

    “IHP ini tidak sepatutnya mempunyai implikasi polisi serta-merta kerana ia lebih rendah dan pasaran akan terus berkurangan (mungkin) dengan pemotongan 100 kadar mata asas, yang turut akan menjejaskan ringgit untuk jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

    Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan meramalkan IHP akan mencerminkan penyusutan 0.2 peratus pada tahun, berikutan kejatuhan harga petrol yang seiring dengan penanda aras minyak global.

    “Harga minyak dijangka sukar untuk stabil disebabkan risiko permintaan akan kekal condong kepada kelemahan, dengan permintaan global diramalkan mencecah tahap terendah dalam 30 tahun.

    “Bagaimanapun, jika lebih banyak ekonomi utama merancang untuk membuka semula, ini akan membantu mengukuhkan harga dalam Mei, disokong pula oleh pemotongan bekalan OPEC+, yang akan memberikan sandaran kepada ringgit,” katanya.

    Rabu lepas, Canselor Jerman Angela Merkel berkata, negara tersebut secara bertahap akan melonggarkan peraturan jarak sosial dengan kedai-kedai seluas 8,600 kaki persegi, kedai buku, kedai basikal serta pengedar kereta akan dibuka pada Isnin depan.

    Keesokan harinya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan rancangan awal untuk memulihkan ekonomi negara melalui tiga fasa pembukaan semula, meningkatkan ringgit ke wilayah positif sebanyak 4.3650 berbanding dollar AS pada Jumaat selepas empat hari menanggung kerugian.

    Berita-berita positif ini telah mengimbangi laporan dari China, yang mana keluaran dalam negara kasar menguncup sebanyak 6.8 peratus pada suku pertama 2020, prestasi terburuk sejak 1992.

    “Untuk minggu depan, dolar US dijangka terus menerima sokongan di atas purata pergerakan 50 hari yang sekarang ini berada pada paras 4.2747 manakala pasangan mata wang itu mungkin menerima rintangan yang lebih kuat jika ia memasuki paras 4.38-4.40.

    Dolar AS naik 1.4 peratus dalam minggu ini berbanding ringgit, selepas kejatuhan harga minyak dan unjuran kegawatan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa memberi kesan negatif ke atas ringgit.

    IMF meramalkan dunia akan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi paling buruk sejak era ‘Great Depression’ berikutan Covid-19 dengan ekonomi global menguncup sebanyak 3.0 peratus tahun ini.

    Keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak hampir 10 juta tong sehari (bdp) dalam minggu ini juga gagal merangsang pasaran di tengah-tengah kebimbangan permintaan global.

    Dari asas Jumaat ke Jumaat, prestasi mata wang tempatan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang

    Ia jauh lebih rendah berbanding dolar AS pada paras 4.3650/3750 daripada 4.3050/3150 yang dicatatkan dalam minggu sebelumnya.

    Ringgit juga melemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0621/0702 daripada 3.0417/0498 dan kekuatannya merosot berbanding yen Jepun kepada 4.0465/0562 daripada 3.9696/9799.

    Ia menurun berbanding pound British kepada 5.4200/4342 daripada 5.3709/3851 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7216/7338 daripada 4.7114/7236.- Bernama



    Sumber