Blog

  • Ini sebab gout ‘serang’ bahagian kaki

    Ini sebab gout ‘serang’ bahagian kaki

    PENYAKIT gout merupakan salah satu masalah yang sering diperbincangkan dalam masyarakat kita. Sesiapa yang mempunyai masalah ini sudah tentu akan mempunyai masalah untuk bergerak disebabkan sendinya sering keradangan dan bengkak.

    Pesakit selalunya akan mengalami kesakitan yang teruk di bahagian sendi yang terlibat. Hanya pesakit gout sahaja yang tahu betapa sakitnya ketika diserang masalah gout

    Istilah perubatan:

    Polyarticular: Articular bermaksud sendi. Poly bermaksud banyak. Polyarticular bermaksud melibatkan banyak sendi.

    Arthiritis: Keradangan pada sendi.

    Tophi: adalah benjolan berdekatan dengan sendi ataupun tisu rawan yang terbentuk disebabkan pengumpulan asid urik.

    Masalah gout

    Gout adalah keradangan yang berlaku pada bahagian sendi disebabkan pengumpulan asid urik di kawasan tersebut. Pesakit selalunya akan mengadu kesakitan yang melampau pada sendi yang terlibat terutamanya pada bahagian ibu jari kaki.

    Selalunya ia akan menyebabkan sendi tersebut bengkak, merah, sakit dan rasa panas apabila dipegang.

    Ia merupakan salah satu penyakit yang tertua di dalam sejarah perubatan. Dikatakan ia telah wujud pada zaman Yunani lagi.

    Disebabkan kepekatan asid urik yang tinggi di dalam darah, ia boleh meresap masuk ke kawasan sendi dan terkumpul menjadi kristal. Kristal inilah yang akan menyebabkan keradangan pada sendi tersebut..

    Bagaimana gout terjadi?

    Gout boleh dianggap sebagai masalah metabolisme di mana ia menyebabkan kehadiran asid urik yang tinggi di dalam darah. Asid urik ini akan berkumpul di dalam darah mahupun di dalam sendi. Jika kepekatannya terlampau tinggi, ia akan terkumpul menjadi kristal.

    Kristal ini selalunya susah terlarut pada suhu yang rendah. Disebabkan perkara itu serangan gout selalu berlaku pada sendi yang terletak pada kaki. Kerana lokasinya yang jauh daripada badan menyebabkan suhu pada bahagian tersebut lebih rendah sedikit berbanding dengan sendi yang lain.

    Kristal asid urik inilah yang akan memulakan keradangan pada bahagian sendi. Ini kerana sel darah putih akan menganggapnya sebagai bahan asing. Setiap bahan yang dianggap asing oleh sel darah putih seperti bakteria dan virus, akan mencetuskan permulaan sistem imun untuk melawan bahan tersebut. Begitulah yang berlaku pada kristal asid urik. Ia dianggap seperti bahan asing.

    Maka, sel darah putih akan mengeluarkan protein imun dan juga bahan kimia untuk mengeruhkan sistem imun dalam badan.

    Bahan-bahan tersebut akan menyebabkan beberapa kesan:

    – Saluran darah di sendi yang terlibat akan menjadi lebih besar- ini berfungsi untuk memanggil lebih banyak sel darah mereka ke tempat tersebut.

    – Sel darah putih juga akan menghasilkan kompaun yang bernama prostaglandin. Inilah yang menyebabkan perasaan sakit di bahagian sendi yang terlibat.

    – Bahan-bahan tersebut juga akan memanggil sel darah putih yang lain untuk bergerak ke bahagian sendi yang terlibat.

    – Banyak keadaan yang dikatakan menyebabkan penyakit gout ini terutamanya penyakit metabolik. Keturunan merupakan salah satu faktor risiko berlakunya penyakit ini. Tetapi serangan gout pada pesakit yang mempunyai kandungan asid urik yang tinggi selalunya disebabkan faktor persekitaran dan diet.

    Punca dan penyebab penyakit gout:

    Serangan gout terjadi apabila kandungan asid urik menjadi tinggi dan selalunya ia menjadi kristal dalam bentuk monosodium urate iaitu bergabung dengan unsur sodium.

    Perlu diketahui asid urik merupakan bahan akhir bagi penguraian kompaun purine. Purine pula merupakan bahan asas untuk membina rantaian DNA yang membentuk genetik manusia, haiwan mahupun tumbuhan. Jika seseorang yang pernah diserang gout mengambil makanan yang tinggi kandungan purine, ia berkemungkinan akan diserang gout semula.

    Faktor yang menyebabkan kandungan asid urik dalam badan semakin meningkat:

    1) Kurangnya perkumuhan asid urik dari buah pinggang. Ia merangkumi 90 peratus penyebab kepada meningkatnya asid urik dalam badan (undersecretion).

    2) Pengambilan makanan yang akan menghasilkan asid urik yang banyak (overproduction).

    3) Penyakit genetik seperti di bawah boleh menyebabkan serangan gout. Tetapi perlu diketahui bahawa penyakit tersebut jarang dijumpai. Penyakit itu adalah:

    Kekurangan enzim Hypoxanthine-guanine phosphoribosyltransferase

    Kekurangan enzim Glucose-6-phosphatase

    Kekurangan enzim Fruktose-1-phosphatase

    Penghasilan asid urik yang tinggi juga boleh disebabkan keadaan badan yang mempunyai kadar kematian dan penghasilan sel yang tinggi(high cell turnover) seperti dalam penyakit:

    Leukemia

    Hemolytic anemia

    Kematian sel kanser disebabkan penggunaan kemoterapi

    Penyakit kronik seperti di bawah mempunyai kaitan dengan gout:

    Tekanan darah tinggi

    Kencing manis

    Masalah buah pinggang

    Bacaan kolesterol yang tinggi

    Obesiti

    Kekurangan sel darah merah

    Pengambilan makan yang tinggi purine juga merupakan punca kepada serangan gout. Makanan yang mengandungi kompaun purine yang tinggi adalah ikan sardin, ikan bilis, organ dalaman seperti pankreas, hati dan buah pinggang.

    Makanan yang tinggi gula jenis fruktosa juga akan menyebabkan serangan gout. Ini disebabkan fruktosa akan menyebabkan penggunaan kompaun yang digunakan untuk membawa tenaga dalam badan iaitu ATP (adenosine triphosphate). ATP akan bertukar kepada AMP (adenosine monophosphate) ketika hendak menguraikan gula fruktosa. Kompaun AMP inilah yang akan diuraikan menjadi asid urik.

    Bukan setakat itu, gula fruktosa juga akan mengaruhkan penghasilan kompaun purine yang lebih banyak daripada badan. Akhirnya, kompaun purine itu juga akan diuraikan menjadi asid urik dan menyumbang kepada masalah penyakit ini.

    Gula fruktosa selalu berada di dalam air berkarbonat dan juga jus buah di pasaran.

    Sumber: https://thediagnosa.com



    Sumber

  • Benarkah tidur pada siang hari Ramadan dikira sebagai ibadah?

    Benarkah tidur pada siang hari Ramadan dikira sebagai ibadah?

    BAGI segelintir masyarakat, ada yang menganggap tidur pada waktu siang bulan Ramadan dikira sebagai ibadah bersandarkan sebuah hadis.

    Namun, benarkah tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan itu dikira sebagai ibadah?

    Sebelum menjawab soalan itu, perlu difahami bahawa kategori ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum.

    Ibadah khusus ialah ibadah yang dikhususkan dengan dalil dan kaifiatnya yang tertentu seperti solat, puasa, haji dan selainnya.

    Sementara ibadah umum pula, ia tidak dikhususkan pensyariatannya dan tiada kaifiat khusus seperti bekerja, tidur dan selainnya.

    Tidur mengikut keperluan adalah sunah dan berpahala seperti dinyatakan di dalam sahih Muslim, Nabi Muhammad SAW melarang sahabat melakukan qiamullail sehingga tidak tidur kerana badan ada hak perlu ditunaikan.

    Adapun, tidur yang berlebihan, maka ia tidak digalakkan.

    Hadis yang berkaitan tidur dalam bulan puasa sebagai ibadah adalah berstatus lemah seperti dinyatakan oleh Imam al-Iraqi.

    Dalam sanadnya, terdapat seorang perawi bernama Sulaiman bin Amar yang terlalu lemah periwayatannya.

    Maka, tidur dalam bulan puasa dianggap seperti hari-hari lain yang mana ia mengikut keperluan.

    Jika niat ibadah kerana ALLAH SWT, maka mendapat pahala.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • CB250R & CRF250 Rally

    CB250R & CRF250 Rally

    Boon Siew Honda perkenal versi naik taraf motosikal dengan warna baharu lebih menawan

    BOON SIEW HONDA baru-baru ini memperkenalkan versi naik taraf kemas kini penawaran dua buah model di dalam kelas suku liter iaitu Honda CB250R dan CRF250 RALLY.

    Kedua-dua motosikal itu pastinya merancakkan lagi pasaran jentera bersesaran 250 liter tempatan.

    Berikut Sinar Turbo perincikan butiran mengenai dua model berkenaan.

    Honda CB250R

    Sebagai sebuah model terkecil dalam kategori Neo Sports Cafe, Honda CB250R yang telah dilancarkan pada tahun lalu kini menerima sambutan yang hangat di pasaran. CB250R baharu hadir dengan penampilan lebih sporty.

    Lampu hadapan CB250R.

    Lampu hadapan CB250R.

    Lampu utama berbentuk bulat dipadankan bersama fork berwarna tembaga. Varian berwarna merah didatangkan dengan kemasan rim berwarna tembaga yang membuatkannya semakin menyerlah. Motosikal itu dikuasakan oleh enjin empat lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair. Mampu menjana kuasa sehingga 20.3kW dan tork 23.3Nm, ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

    Candy Chromsphere Red

    Candy Chromsphere Red

    Kelengkapan standard yang ada pada model itu ialah sistem brek ABS, lampu LED depan dan belakang, panel instrumen LCD digital sepenuhnya, suspensi belakang boleh laras dan tangki bahan api berkapasiti 10.1 liter. Honda CB250R ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan perak. Harganya ialah RM23,499 (motosikal berwarna merah) dan RM22,999 (hitam/perak metalik).

    Mat Cypton Silver Metallic.

    Mat Cypton Silver Metallic.

    WARNA Graphite Black.

    WARNA Graphite Black.

    Honda CRF250 RALLY

    CRF250 RALLY ialah sebuah jentera yang dibina untuk mereka yang gemar meneroka laluan off-road pada hujung minggu. Namun, masih selesa dan praktikal juga untuk kegunaan harian. Ia sangat sesuai buat anda yang gemarkan sebuah motosikal yang ringan dan mudah dikendalikan.

    Lampu hadapan CRF250 Rally.

    Lampu hadapan CRF250 Rally.

    Sama seperti CB250R, CRF250 Rally dikuasakan oleh enjin DOHC silinder tunggal berkapasiti 249cc yang menghasilkan 24.4 hp pada 8,500 rpm dan 22.6 Nm tork pada 6,750 rpm. Cuma output kuasanya yang sedikit rendah iaitu 18.2kW dan tork 22.6Nm disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan.

    Motosikal dual-sport itu kini menampilkan rekaan jalur baharu yang diinspirasikan oleh jentera CRF450 Rally Dakar. Terdapat dua warna untuk dipilih iaitu Extreme Red dan hitam.

    CRF250 RALLY dipasang dengan beberapa ciri menarik seperti lampu LED Asymmetric, meter LCD digital sepenuhnya, cermin utama, ford USD SHOWA 43mm dan tangki minyak berkapasiti 10.1 liter. Anda boleh memiliki sebuah CRF250 Rally pada hara RM26,999 seunit.


    Sumber

  • Kegemukan terlampau Ayra

    Kegemukan terlampau Ayra

    KISAH kanak-kanak paling berat yang tercatat dalam sejarah Indonesia, Ayra Permana memang menjadi perbualan hangat. Obesitinya sangat menakutkan apabila sudah tidak mampu duduk di atas kerusi.

    Bukan sahaja media tempatan malah antarabangsa hadir membuat liputan kerana kegemukan terlampaunya.

    Berdasarkan penulisan Tribun News, ketika Ayra berusia 10 tahun, beliau telah dinobatkan sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia apabila mempunyai berat badan 192 kilogram (kg).

    AYRA lebih banyak berbaring ketika memiliki berat badan 192kg.

    AYRA lebih banyak berbaring ketika memiliki berat badan 192kg.

    Katakan apa sahaja, ejekan, kata-kata memerli dan dipulaukan rakan sebaya sudah tidak mampu dielakkan kanak-kanak dari Jawa Barat itu.

    Namun, itu cerita dahulu, beliau yang kini berusia 13 tahun berjaya menurunkan berat badannya kepada 92kg.

    Satu keajaiban, bukan? Apakah cerita di sebalik masalah obesiti yang dihadapi oleh kanak-kanak itu? Apa motivasi yang menyuntik dirinya untuk kurus?.

    Dalam satu temu bual, ibu Ayra, Rokayah Soemantri berkata, anaknya semasa kecil tidak mempunyai masalah berat badan langsung.

    Kanak-kanak itu juga dilahirkan secara normal dengan berat sekitar 3.8kg sahaja.

    Pun demikian, pada usia lima tahun, Ayra mula menunjukkan perubahan apabila selera makannya semakin bertambah.

    Suami Rokayah, Ade Soemantri Kusumah berkata, ketika berusia lapan hingga 10 tahun, berat anak mereka telah meningkat kepada 72kg.

    “Ayra akan makan sebanyak empat kali sehari. Dia mampu menghabiskan makanan yang disediakan untuk dua orang lelaki dewasa. Saya terpaksa gantikan nasi dengan mee segera dan beras perang untuk memenuhi selera Ayra,” luah Ade Soemantri kepada Tribun News.

    Lantaran memiliki fizikal tubuh yang cukup besar, Ayra sukar untuk tidur.

    Selama tempoh berjaga iaitu dalam masa 24 jam, Ayra mampu menghabiskan 20 gelas air oren!

    Berhenti sekolah

    Disebabkan masalah obesiti, Ayra terpaksa berhenti sekolah.

    Mana mungkin untuknya pergi ke sekolah ekoran pergerakan fizikalnya yang amat terhad. Ayra juga cepat letih, sering berasa lapar dan sukar untuk bernafas.

    Dunia kanak-kanak Ayra bagaikan dirampas. Berat badannya itu membuatkan beliau hanya boleh berjalan sejauh 30 meter sahaja. Beliau juga mengalami kesukaran berdiri, berjalan dan berpakaian.

    Melihat kesulitan anaknya itu, Ade Soemantri mengambil keputusan untuk membawa Ayra mendapatkan rawatan di Hospital Omni pada bulan Jun 2017.

    Kes Ayra kemudiannya dirujuk di Hospital Hasan Sadikin (RSHS), Kota Bandung.

    Pihak hospital telah menggerakkan satu pasukan perubatan yang terdiri daripada 13 doktor dalam bidang berlainan bagi merawat Ayra.

    Setelah dikenal pasti puncanya, Ketua Pasukan Doktor RSHS, Dr Julistyo menyatakan punca Ayra gemuk disebabkan oleh sistem lapar dan kenyangnya yang tidak seimbang.

    MAKIN KURUS. Ayra kini aktif bermain bola.

    MAKIN KURUS. Ayra kini aktif bermain bola.

    Ia berlaku sama ada gangguan genetik, tingkah laku atau disebabkan oleh sindrom Prader-Willi iaitu sindrom tidak boleh berhenti makan.

    Pihak hospital telah memberikan rawatan pembedahan pintasan usus perut bagi memendekkan usus Ayra.

    Dengan bantuan Pakar Nutrisi, Ade Rai, berat badan Ayra jatuh mendadak daripada 192kg kepada 97kg tiga bulan selepas pembedahan dijalankan.

    Penurunan berat itu juga dibantu oleh diet yang ketat yang diamalkan oleh Ayra.

    Kanak-kanak itu juga tidak dibenarkan mengambil makanan berminyak dan manis. Ayra juga perlu aktif bersukan.

    Beliau tidak lagi meminta minuman manis dan hanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Akhirnya, seperti yang diimpikan, Ayra kembali bersekolah dan dikatakan aktif dengan sukan bola sepak.

    Siapa sangka amalan gaya hidup sihat yang dijalani membuatkan anak muda itu bercita-cita ingin menjadi pemain bola sepak seperti penyerang dunia dari Brazil, Roberto Firmino.

    Kisah Lelaki yang berjaya kurangkan berat badan

    KES 1

    Ambil mas 90 hari untuk turun berat badan

    BAGI pemilik nama Zaini Amar, 35, beliau pernah memiliki berat badan sebanyak 119 kilogram pada tahun 2012.

    ZAINI diet pemakanan mengikut jenis darah.

    ZAINI diet pemakanan mengikut jenis darah.

    **

    Zaini berkata, ketika itu beliau tertekan dengan kehilangan adik kandung meninggal dunia kerana kemalangan.

    “Bagi melupakan peristiwa itu saya makan dengan banyak tanpa saya menyedari berhadapan dengan obesiti dan masalah kesihatan yang teruk.

    Saya juga tertekan dengan masalah bau badan dan mulut yang teruk. Bukan itu sahaja, untuk membeli pakaian baharu juga menjadi bebanan.”kata Zaini yang kini mampu mengekalkan berat badan sebanyak 88 kilogram.

    Ujar lelaki itu, diet pemakanannya mengikut jenis darah. “Dengan mengetahui jenis darah seseorang itu akan tahu makanan yang patut diambil secara banyak, sederhana dan sedikit.”katanya.

    KES 2

    ‘Saya mula amalkan diet dengan berpuasa’

    BERAT badan Zaidi Mohamad, 38, mula meningkat ketika berumur 13 tahun dan pernah mencapai 109 kilogram (kg).

    ZAIDI diet dengan berpuasa

    ZAIDI diet dengan berpuasa

    Dahulu, beliau tidak kisah akan perubahan fizikalnya itu. Namun, setelah bekerja, Zaidi mula mencari jalan untuk menurunkan berat badan.

    “Saya suka bergaya dan ingin memakai baju cantik. Sejak itu, saya mula amalkan diet dengan berpuasa.

    “Contohnya, dari pukul 1 tengah hari hingga pukul 8 pagi keesokannya, saya akan berpuasa. Saya akan buka puasa pada pukul 8 pagi hingga pukul 1 tengah hari,” kata Zaidi.

    Amalan itu sangat kena dengan dirinya kerana akhirnya lelaki itu berjaya kurus. Kini, berat badannya hanya 78kg.

    KES 3

    Turunkan berat badan kerana ‘penyakit berpakej’

    BERLAINAN pula dengan kisah Mohd Redzuan Azmi, 36. Beliau terpaksa menurunkan berat badan kerana faktor kesihatan.

    Beratnya naik secara mendadak setelah mendirikan rumah tangga sebanyak 110 kilogram.

    MOHD REDZUAN aktif bersenam di gimnasium

    MOHD REDZUAN aktif bersenam di gimnasium

    Pada mulanya, Mohd Redzuan tidak kisah, namun, setelah diuji dengan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout dan masalah jantung, beliau mula mencari alternatif.

    “Saya tidak mahu bergantung kepada ubat untuk mengubati penyakit. Rakan-rakan menasihati saya supaya bersenam dan turunkan berat badan,” jelasnya yang memilih untuk pergi bersenam di gimnasium.

    Setelah beberapa tahun, berat badan lelaki itu turun sebanyak 85 kilogram.



    Sumber

  • Mengapa cap jari berbeza pada semua orang?

    Mengapa cap jari berbeza pada semua orang?

    CAP jari adalah bukti yang paling menarik dalam makmal forensik di seluruh dunia. Kenapa ia unik? Sebelum memberitahu anda jawapannya, ketahui bagaimana ia terbentuk.

    Bagaimanakah cap jari terbentuk?

    Keistimewaan bentuk cap jari semasa pembangunan janin. Persekitaran rahim adalah menentukan cap jari anda. Ketika janin anda masih kecil di dalam rahim, jari-jari tangan dan jari kaki anda telah dibangunkan dalam tempoh enam bulan pertama.

    Pada ketika ini, garisan samar pada jari dan jari kaki sudah ada. Selama tiga bulan terakhir sebelum dilahirkan, garis-garis ini semakin mendalam dan dengan itu, cap jari anda telah selesai.

    Menghairankan, walaupun ahli sains boleh menentukan masa cap jari dicipta, mereka tidak mempunyai pemahaman yang jelas tentang proses itu.

    Kebanyakan ahli sains bersetuju dengan teori bahawa lapisan tengah kulit (lapisan basal) digulung di antara lapisan dalaman (dermis) dan lapisan luar (epidermis). Adalah didedahkan bahawa lapisan basal tumbuh jauh lebih cepat daripada lapisan kulit yang lain.

    Ketidakseimbangan dalam pertumbuhan ini menjadikan kulit mengikat, membentuk lipatan dalam epidermis dan dermis. Lipatan dari luar kelihatan sebagai corak rerabung/ berombak pada jari.

    Oleh sebab corak ini terbentuk semasa janin, ia tidak boleh berubah dan tidak boleh dimusnahkan dari luar. Tidak kira apa kecederaan kulit, struktur dalaman cap jari tidak akan berubah.

    Jadi, bagaimana pula dengan corak atau pola yang dilihat pada kulit jari kita? Rerabung ini boleh berubah jika anda kerap melakukan aktiviti yang sama, seperti menggigit kuku, bahagian kulit yang kerap mengelupas dan menjadi tidak dapat dikenali.

    Oleh sebab kelemahan kulit luar ini, banyak penjenayah membakar cap jari mereka untuk tidak meninggalkan apa-apa tanda semasa kerja mereka.

    Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, oleh kerana akar cap jari berada di lapisan kulit yang lebih dalam, jika anda membiarkan jari anda untuk sembuh dari masa ke masa, rerabung akan tumbuh kembali dengan baik.

    Mengapa cap jari unik? Corak cap jari diputuskan oleh dua komponen: faktor genetik dan persekitaran. Faktor persekitaran yang menentukan cap jari adalah:

    Tekanan darah

    Tahap oksigen darah

    Nutrisi yang diperoleh kanak-kanak daripada ibu

    Tahap cecair hormon

    Kedudukan janin

    Kedudukan tangan

    Tekanan cecair amniotik

    Dengan begitu banyak pembolehubah yang menentukan corak cap jari anda, bagi dua orang mempunyai set cap jari sepadan sangat jarang berlaku. Itulah sebabnya cap jari akan sentiasa menjadi salah satu ciri yang paling unik mengenai seseorang.

    Sumber: https://hellodoktor.com



    Sumber

  • 310 orang sertai Majlis Khatam al-Quran Perdana UPM 2019

    310 orang sertai Majlis Khatam al-Quran Perdana UPM 2019

    SERAMAI 310 orang termasuk warga Universiti Putra Malaysia (UPM) menyemarakkan Majlis Khatam al-Quran Perdana UPM 2019 sempena World #QuranHour semalam.

    Pada program yang diadakan di Masjid UPM, Serdang, Selangor itu, acara dimulakan dengan bacaan al-Quran dan tazkirah yang disampaikan Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaaan dan Antarabangsa 2011, Ustaz Amirahman Abas.

    Ia kemudian diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta khatam al-Quran.

    Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa UPM, Prof Dr M Iqbal Saripan dan Pengarah Pusat Islam UPM, Mat Razi Abdullah yang turut melancarkan Kelab Huffaz UPM (HEROES).



    Sumber

  • 6 perkara anda wajib tahu ketika beraya di rumah orang

    6 perkara anda wajib tahu ketika beraya di rumah orang

    AIDILFITRI bakal menjelma tidak lama lagi. Masing-masing sudah berhasrat untuk menziarahi keluarga dan saudara mara di kampung. Dalam kemeriahan menyambut raya, jangan lupa ya menjaga adab di rumah

    yang diziarahi lebih-lebih lagi anak-anak. Pastikan mereka ‘behave’, jangan sampai gara-gara anak, anda bermasam muka dengan tuan rumah. Di sini femina kongsikan tip beraya di rumah tetamu.

    1) Beri salam

    Sebaik sampai di halaman rumah saudara mara/tuan rumah, pastikan anda memberi salam. Bila tuan rumah jemput, baru anda masuk ke rumah ya!

    2) Jangan terburu-buru jamah hidangan

    Ambil masa sebentar bertanya khabar dan bersembang dengan tuan rumah. Bila dijemput makan dan minum, barulah anda ajak suami/isteri dan anak-anak ke meja makan.

    3) Elak main telefon bimbit

    Sejak zaman teknologi ini, ramai yang tidak renggang dengan telefon bimbit masing-masing dan sibuk melayari laman sosial. Apa kata kali ini anda ketepikan telefon bimbit dan ambil peluang bersembang. Jangan sampai orang anggap anda ‘anti sosial’.

    4) Kawal pergerakan anak-anak

    Jangan biarkan anak-anak berlari dan memasuki bilik tidur tuan rumah seolah-olah seperti rumah sendiri. Kawal mereka, jangan sampai pasu bunga rumah orang pecah. Nanti lain jadinya.

    5) Makan dengan tertib

    Pastikan makanan yang dimakan habis dan jangan sampai tumpah. Jika tidak disengajakan, ambil tisu atau kain bersihkan tempat yang kotor itu. Jangan balik selagi tumpahan itu tidak dibersihkan.

    6) Jangan buka angpau raya depan tetamu

    Jangan benarkan anak-anak buka angpau yang diberi di hadapan tuan rumah, ia akan membuatkan tuan rumah kecil hati jika anak anda protes pemberian yang diberi dalam jumlah yang kecil. Sebaik-baiknya, anda ambil dari tangan anak dan simpan.

    7) Elak bersembang pasal politik

    Jangan sesekali buka cerita pasal politik tanah air. Ia akan menyebabkan masing-masing tidak berpuas hati dan bermasam muka. Seperti yang kita tahu, masing-masing mempunyai agenda politik yang berbeza.

    #Selamat Hari raya!

    Jangan biarkan anak-anak membuka angpau di hadapan tetamu.

    Jangan biarkan anak-anak membuka angpau di hadapan tetamu.



    Sumber

  • Tuah ‘mengidam’ kereta hot wheels

    ISTERI yang mengandung, si lelaki pula yang mengidam! Itu yang kerap terjadi dalam kalangan masyarakat kita. Bukan satu perkara pelik pun.

    Namun, kes yang berlaku ke atas lelaki bernama Masrizal Mohamed

    Sumber

  • Bursa Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi 11.21 bilion

    Bursa Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi 11.21 bilion

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini meningkat 0.48 peratus dengan jumlah dagangan di seluruh papan mencecah paras tertinggi sebanyak 11.21 bilion unit.

    Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Victor Wan berkata, peningkatan jumlah dagangan itu disokong terutamanya oleh minat belian terhadap saham bernilai bawah seringgit, apabila sentimen mendapat rangsangan daripada haga minyak mentah tinggi ditambah dengan pembukaan semula perniagaan di seluruh dunia.

    Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.72 mata atau 0.48 peratus lebih tinggi kepada 1,410.16 daripada paras penutup 1,403.44 pada Jumaat minggu lepas.

    Indeks itu dibuka 5.95 mata lebih kukuh kepada 1,409.39 dan berlegar antara paras 1,405.65 dan 1,416.94 sepanjang hari dagangan.

    Suasana pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 663 berbanding 331, manakala 348 kaunter tidak berubah, 533 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah 11.21 bilion unit bernilai RM4.40 bilion daripada 9.23 bilion unit bernilai RM3.87 bilion pada Jumaat minggu lepas.

    Menurut Victor, indeks utama disokong oleh belian meluas terutamanya dalam saham berkaitan dengan minyak dan gas dan pengeluar sarung tangan.

    “Sementara itu, sentimen pelabur juga mendapat rangsangan daripada hakikat bahawa tiada sebarang berita buruk seperti peningkatan drastik kes baharu Covid-19.

    “Bagaimanapun, keadaan pasaran masih kekal lemah buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kaunter berkaitan minyak dan gas Dialog meningkat sembilan sen kepada RM3.53 dan Petronas Dagangan naik 38 sen kepada RM20.06, manakala pengeluar sarung tangan Top Glove melonjak 12 sen kepada RM10.50.

    Kaunter saham mewah berkaitan minyak sawit Sime Darby Plantation juga meningkat sembilan sen kepada RM4.70 dan KLK naik 34 sen kepada RM20.50.

    Pada penutup, senarai kaunter paling cergas terus dikuasai oleh saham berkaitan minyak dan gas diterajui oleh Icon Offshore yang meningkat lima sen kepada 12.5 sen, Velesto naik tiga sen kepada 17 sen, Bumi Armada menambah 6.5 sen kepada 26 sen, KNM menokok enam sen kepada 24 sen dan Hibiscus naik 3.5 sen kepada 61.5 sen.

    Kaunter untung utama ialah Bursa yang naik 87 sen kepada RM7.50 manakala kaunter rugi utama adalah Petronas Gas yang turun 18 sen kepada RM15.10.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 111.27 mata kepada 9,979.33, Indeks FBMT 100 naik 99.33 mata kepada 9,815.44, manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 165.86 mata kepada 11,299.91.

    FBM ACE menokok 13.21 mata kepada 5,403.31 dan FBM 70 meningkat 339.03 mata kepada 12,330.44.

    Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 85.85 mata kepada 842.21 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 63.88 mata kepada 12,331.09.

    Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.71 mata kepada 121.59 dan Indeks Perladangan naik 136.52 mata kepada 6,333.68.

    Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 8.70 bilion saham bernilai RM3.96 bilion daripada 6.92 bilion saham bernilai RM3.44 bilion pada Jumaat minggu lepas.

    Jumlah dagangan waran meningkat kepada 539.83 juta unit bernilai RM102.03 juta daripada 417.20 juta unit bernilai RM90.33 juta.

    Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 1.96 juta saham bernilai RM337.78 juta berbanding 1.89 bilion saham bernilai RM339.20 juta sebelumnya.

    Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 584.84 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (781.94 juta), pembinaan (920.61 juta), teknologi (399.26 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.04 juta), hartanah (451.02 juta), perladangan (187.14 juta), REITs (91.87 juta), dana tertutup (68,500), tenaga (4.57 bilion), penjagaan kesihatan (80.33 juta), telekomunikasi dan media (447.36 juta), pengangkutan dan logistik (137.52 juta) dan utiliti (73.97 juta). – Bernama



    Sumber

  • Punca tidak upaya tahan batuk…

    Punca tidak upaya tahan batuk…

    BUNYI batuk kuat dan melengking membuatkan anda berasa malu. Anda tidak berupaya menahan daripada terus batuk apabila rasa gatal dan sakit di bahagian kerongkong.

    Batuk berpanjangan ini mengganggu aktiviti harian, namun tahukah anda ada sebab tersendiri mengapa anda batuk?

    Sebenarnya batuk adalah tindak balas semula jadi untuk menyingkirkan bendasing dan kuman.

    Batuk juga berfungsi untuk menghalang salur pernafasan daripada terkena sebarang jangkitan yang akan memasuki paru-paru yang boleh menyebabkan penyakit yang serius seperti radang paru-paru.

    Tindak balas ini akan menghasilkan lendir atau kahak.

    Punca batuk

    1. Jangkitan salur pernafasan

    Seperti bronkitis, sinusitis atau paru-paru (pneumonia, tuberkulosis). Jangkitan ini memberi masalah kepada saluran pernafasan bahagian atas.

    2. Asap rokok, asap kenderaan dan pencemaran

    Elak tempat sebegini dan pakai topeng muka untuk melindungi saluran pernafasan.

    3. Demam yang berlebihan

    Salah satu penyebab mengidap batuk. Bagi mengurangi batuk, perlu menjaga suhu badan agar tidak naik lebih tinggi.

    4. Pengambilan ubat

    Ubat yang dipanggil ACE inhibitors (Penghalang Enzim Penukar Angiotensin) yang digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi.

    Petua hilangkan batuk

    Perah limau nipis atau lemon dan ambil jus dan campur dengan madu. Minum sekali sehari.

    – Rebus daun sirih dan ambil rebusan minum selama sekali sehari.

    – Kunyit hidup ditumbuk dan campur dengan madu atau susu. Minum sekali sehari.

    – Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

    – Jauhi tempat berdebu dan tempat yang sejuk.



    Sumber