Blog

  • Makanan yang perlu dielak jika tidak mahu terkena buasir

    Makanan yang perlu dielak jika tidak mahu terkena buasir

    BAGAIMANA buasir berlaku?

    Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia akan mengganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah. Buasir terjadi disebabkan oleh terlalu tinggi tekanan dalam darah di bahagian rektum.

    Ia menyebabkan dinding vena darah teregang atau ‘memberi’ dan membonjol. Kemungkinan ia boleh pecah, terutamanya ketika meneran. Buasir ini boleh berlaku secara berulang-ulang.

    Jadi sebaik-baiknya elakkan makanan berikut:

    1) Roti putih

    2) Nasi putih

    3) Mentega dan minyak

    4) Daging lembu, ikan dan telur

    5) Waffle

    6) Keju dan susu

    7) Gula-gula

    8) Kek

    Makanan berproses ini boleh membawa risiko kepada buasir.

    Makanan berproses ini boleh membawa risiko kepada buasir.

    Amalkan pemakanan sihat dengan menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan.

    Amalkan pemakanan sihat dengan menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan.

    Bagaimana mengelak daripada terkena buasir?

    1) Elakkan juga makanan yang berlemak kerana ia mengambil masa lebih lama untuk dihadamkan berbanding makanan-makanan yang lain. Makanan yang berlemak sangat berisiko tinggi sehingga menyebabkan perut menjadi sakit, pedih ulu hati dan juga buasir.

    2) Kurangkan makanan yang berminyak atau bergoreng seperti kentang dan ayam goreng, nuget dan makanan ringan.

    3) Kurangkan penggunaan minyak dan mentega dalam masakan anda. Jika kerap menggunakan produk tenusu, sebaiknya anda memilih produk susu yang rendah lemak.

    4) Makanan yang pedas

    5) Perbanyakkan makanan tinggi serap, contohnya, sayur-sayuran, kekacang dan juga buah-buahan.

    6) Minum air putih yang secukupnya iaitu 8 gelas sehari.

    Jika mengamalkan langkah ini setiap hari, anda mungkin tidak akan didatangi penyakit buasir dan hidup dengan lebih selesa, tanpa kesakitan!



    Sumber

  • Aidilfitri Juwairiya berbeza selepas bergelar YB

    Aidilfitri Juwairiya berbeza selepas bergelar YB

    PADA Pilihan Raya Umum lalu, nama Juwairiya Zulkifli yang berusia 33 tahun ketika itu tiba-tiba meledak. Masakan tidak, beliau merupakan calon bidan terjun menggantikan pilihan asal Parti Keadilan Rakyat (PKR). Itu semua gara-gara calon pilihan terdahulu tidak menepati peraturan.

    Pun demikian, wanita itu tetap dianggap layak dan mempunyai aura tersendiri. Ternyata, isu cukai barang dan perkhidmatan, masalah masyarakat setempat membabitkan nelayan dan beberapa isu relevan yang diketengahkan berjaya menawan hati rakyat.

    Atas kepercayaan yang diberikan, Juwairiya akhirnya sebulat suara dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati. Kini, beliau bergelar Yang Berhormat (YB).

    Dalam satu sesi wawancara dan fotografi khas bersama Femina baru-baru ini, Juwairiya mengaku kehidupannya telah berubah 360 darjah.

    “Dulu, saya milik ahli keluarga, namun saya kini milik semua rakyat. Saya bertugas demi anak bangsa,” katanya dengan nada bersungguh.

    Bercerita tentang perubahan, memang banyak sekali yang perlu dihadapinya termasuk ketika meraikan Aidilfitri. Bagaimana Aidilfitri beliau kali ini? Adakah beliau sempat membantu ahli keluarga memasak? Bagaimana beliau membahagikan masa beraya bersama dengan keluarga dan rakyat?

    Kepada Femina, Juwairiya meleraikan semuanya. Ikuti temu bual wartawan, Nor Azihan Md Ghazali bersama ADUN Bukit Melawati baru-baru ini.

    1) Rasanya ini merupakan Ramadan ke-2 buat YB Juwairiya sebagai ADUN Melawati. Apa definisi Ramadan buat YB?

    Bagi saya, Ramadan ialah bulan paling mulia. Ia masa yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Waktu ini sangat sesuai untuk kita bermuhasabah diri termasuk melakukan lebih ibadah berbanding hari biasa. Maksud saya, ia bukan waktu rehat tetapi masa yang lebih untuk refleksi dan memperbaiki diri sendiri untuk menjadi seseorang yang lebih baik.

    Tidak salah andainya kita memperlahankan kerja di pejabat dan sebagainya. Sebaliknya, kita tumpukan amalan yang boleh menambahkan pahala. Pada bulan ini, kita kena ambil peluang memperbaiki iman dan ibadat kita. Saya juga seperti orang lain akan mengambil peluang untuk menambahkan pahala termasuk menunaikan solat tarawih.

    Jadi, saya fikir inilah masa yang sesuai untuk saya merapatkan silaturahim dengan penduduk di DUN Melawati. Justeru itu, saya akan solat di masjid yang berbeza-beza. Secara tidak langsung, saya dapat berjumpa dua mata dengan orang ramai.

    2) Saya mengandaikan rutin YB berubah sama sekali selepas dipilih menggalas jawatan sebagai ADUN Melawati. Jadi, bagaimana sambutan raya YB kali ini, masih seperti dahulu?

    Seperti tahun-tahun lepas, tahun ini saya merancang untuk beraya di kampung halaman ibu di Bukit Badong, Kuala Selangor. Tidak jauh dari DUN saya. Pun begitu, pada pagi raya pertama, saya akan berada dalam DUN untuk menyambut kehadiran pengundi termasuk mengadakan rumah terbuka untuk mereka.

    Seperti kebiasaan, malam raya merupakan waktu paling sibuk buat saya apatah lagi saya merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarga. Jadi, sudah menjadi kewajipan saya membantu ibu di dapur menyiapkan menu untuk dinikmati keesokannya.

    Meskipun sibuk dengan tugas, Juwairiya tetap akan meluangkan masa menyambut raya bersama keluarga.

    Meskipun sibuk dengan tugas, Juwairiya tetap akan meluangkan masa menyambut raya bersama keluarga.

    3) Apa masakan wajib YB di pagi raya? Pada pagi raya juga, apa aktiviti yang biasa dilakukan?

    Ibu saya berketurunan Jawa. Sudah pasti masakannya lebih terarah kepada tradisional Jawa. Tumisan menjadi menu wajib kami sekeluarga setiap kali raya. Kalau tak ada tumisan, rasanya tidak lengkap raya kami. Pada pagi raya pula, kami juga seperti umat Islam lain akan menunaikan solat Aidilfitri.

    Kami memilih untuk bersolat di Masjid Ar-Rahman yang terletak tidak jauh dari lokasi rumah nenek. Mungkin raya ketiga atau keempat, kami akan ke Alor Setar, Kedah untuk menziarahi keluarga di sebelah ayah pula.

    4) Kebiasaannya baju raya merupakan perkara wajib buat kaum wanita. Bagi YB pula bagaimana? Berapa pasang baju diperuntukkan pada Aidilfitri kali ini?

    Ya, tepat sekali. Baju raya memang keperluan wajib buat para wanita. Tidak terkecuali juga dengan saya. Pada kali ini, saya memperuntukkan empat pasang baju. Fesyen baju kurung moden merupakan fesyen yang menjadi kegemaran saya sejak dahulu lagi.

    Saya jarang beli baju yang siap dijahit kerana akan berlaku masalah pada saiz. Jadi, saya akan hantar baju kepada tukang jahit. Baju yang dijahit ini membuatkan saya rasa lebih selesa dan padanan juga sesuai pada badan saya.

    5) YB mempunyai tukang jahit kegemaran?

    Ya, saya memang ada tukang jahit yang menjahit baju saya sejak di bangku sekolah lagi. Beliau seorang wanita Cina yang membuka kedai jahit di Seri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Lokasinya tidak jauh dari rumah keluarga saya sebenarnya.

    Beliau memang pakar menjahit segala jenis baju dan jahitannya juga kemas. Pelanggannya pula terdiri daripada pelbagai seperti orang kenamaan, kakitangan kerajaan dan sebagainya.

    Kehidupan Juwairiya nyata berbeza selepas beliau bergelar wakil rakyat.

    Kehidupan Juwairiya nyata berbeza selepas beliau bergelar wakil rakyat.

    6) Jika ditanya berkenaan sambutan pasti ada perbezaan ketika YB bergelar orang biasa dan setelah menjadi wakil rakyat. Apa perbezaan sambutan terdahulu dan sekarang?

    Banyak sangat bezanya, kalau dahulu saya bebas menguruskan masa sendiri untuk beraya. Pada raya pertama dan kedua, saya pasti akan ke rumah saudara mara untuk berziarah. Namun, kini semua berubah, tidak seperti dahulu lagi. Sekarang bukan masa untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain, untuk rakyat yang mengundi saya.

    Bab duit raya, memang saya kena sediakan sebagai penghargaan untuk anak-anak pengundi yang datang menziarahi saya. Saya tidak perlu cari mereka.

    Sebaliknya, mereka yang akan cari saya. Berkenaan persediaan raya pula, dahulu memang rutin wajib saya akan membeli-belah di tempat-tempat tumpuan ramai termasuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman Namun sekarang berbeza, saya akan curi masa membeli apa yang patut. Mana-mana kedai yang saya lalu ketika menghadiri program saya akan singgah.

    7) Saya ingin mengalih topik Aidilfitri kepada topik lain sedikit. Jika dilihat latar belakang pendidikan, bidang yang YB ceburi sekarang jauh berbeza. Sejak bila YB berkecimpung dalam dunia politik?

    Boleh dikatakan saya seorang yang akan berusaha untuk mencapai sesuatu. Saya jenis yang aktif. Sejak di bangku sekolah saya sudah membabitkan diri dalam pelbagai program. Saya akui cukup berminat dengan program dan persatuan yang dianjurkan pihak sekolah.

    Rentetan itu, saya dilantik sebagai penolong ketua pengawas dan dari situ sifat kepimpinan kian bercambah dalam diri saya. Tidak terhenti di situ, ketika saya melangkah ke alam universiti, saya aktif dengan pertubuhan badan bukan kerajaan, saya juga memegang jawatan di fakulti melalui Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia.

    Saya juga aktif sejak tahun pertama hingga tahun akhir pembelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagi saya, kita kena sertai program-program sebegini tidak kira di sekolah mahupun di peringkat universiti jika kita mahu pergi jauh. Jangan tumpukan pada bidang akademik semata-mata. Sebaliknya, fokuskan keseimbangan dalam kedua-duanya.

    8) Kebolehan pemimpin wanita kerap dipandang sebelah mata oleh kaum lelaki khususnya. Jadi, bagaimana YB menangkis persepsi itu?

    Sebelum saya menyertai dunia politik, saya sedari awal sudah mengkaji berkenaan risiko dan juga kesan positif dan negatif yang bakal saya hadapi. Ya, bermula dari situ, saya sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Saya nekad tidak akan berpatah balik meskipun dugaan dan cabaran yang bakal dilalui amat getir.

    Saya akui sebagai pemimpin wanita, kita perlu bersaing dengan pemimpin lelaki yang lebih agresif. Kadang-kadang ada yang suka saya dan tidak kurang juga yang tidak menyukai saya. Tipu jika saya katakan semua orang bersetuju dengan sebarang pandangan dan pendapat saya.

    Dalam dunia politik, kebersamaan dan perbezaan pendapat itu sentiasa wujud dalam mana-mana parti sekalipun. Namun, saya bertuah berada dalam Keadilan kerana parti itu sentiasa memberi peluang kepada kaum wanita untuk bergerak seiring dengan pemimpin lelaki.

    Bersalam-salaman memohon kemaafan.

    Bersalam-salaman memohon kemaafan.

    9) Apakah status YB yang masih bujang pernah dijadikan isu oleh segelintir pihak?

    Benar, ketika pemilihan parti, terdapat pihak yang tidak berpuas hati mempersoalkan kelayakan saya sebagai Ketua Cabang lantaran saya belum berkahwin. Sebenarnya, banyak kelebihan wanita yang belum berkahwin dalam dunia politik ini. Saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang tugas saya.

    Berbeza dengan wanita yang sudah berkahwin, mereka kena bijak membahagikan masa antara tugas dan juga keluarga. Bukan mudah ya, ia sesuatu yang cukup berat apatah lagi jika mendapat pasangan yang sukar untuk memahami. Saya juga seperti wanita bujang lain kerap dilontarkan soalan seperti bila mahu kahwin?

    kenapa tak kahwin-kahwin? Pun begitu, saya sentiasa tenang dan berfikiran positif kerana saya yakin pada ALLAH. Memilih? Saya yakin semua orang akan memilih pasangan yang terbaik untuk masa depan mereka, tidak terkecuali juga dengan saya. Kenapa? sebab saya mahukan teman yang memahami saya.

    Dia bukan sahaja berkahwin dengan saya tetapi juga dengan tugas dan jawatan saya. Alhamdulillah, tahun ini saya sudah bersedia untuk berumahtangga dengan seseorang yang memahami tanggungjawab saya. Doakan untuk saya ya!



    Sumber

  • Tip tepat mengambil makan malam

    Tip tepat mengambil makan malam

    RAMAI yang sanggup berlapar apabila tiba waktu makan malam. Kenapa ya?

    Ini kerana mereka beranggapan makan malam boleh menambah berat badan.

    Namun, tanggapan itu sebenarnya tidak tepat. Sebenarnya, terdapat faktor-faktor lain seperti makan makanan berminyak, tinggi kalori dan faktor gaya hidup boleh menyumbang kepada kegemukan.

    Makan malam masa yang tepat untuk aktiviti keluarga

    Makan malam masa yang tepat untuk aktiviti keluarga

    Tahukah anda makan malam sangat penting bagi melengkapkan pengambilan makanan yang mungkin tidak mencukupi pada siang hari seperti pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan susu.

    Selain itu, ia juga penting untuk merapatkan kemesraan bersama ahli keluarga yang berkumpul pada waktu malam.

    Makan malam juga mungkin salah satu cara untuk merehatkan fikiran selepas seharian penat bekerja.

    Namun, untuk mengambil makan malam ini, anda harus tahu cara yang betul tanpa risau boleh menambah berat badan antaranya:

    1. Makan mengikut keperluan

    Salah satu faktor yang menyumbang kepada berlebihan berat badan adalah pengambilan makanan yang melebihi keperluan dalam sehari. Anda harus bijak mengambil makanan agar tidak melebihi keperluan kalori harian.

    2. Jangan langkau waktu makan pada siang hari.

    Melangkau waktu makan boleh menyebabkan kelaparan yang tidak terkawal dan membuatkan seseorang itu makan berlebihan semasa makan malam.

    3. Jangan jadikan makan malam tempat melepaskan tekanan

    Seharian berhadapan dengan pelbagai masalah membuatkan anda melepaskan tekanan ketika menjamu selera. Ia boleh mengakibatkan anda makan secara berlebihan.

    4. Jangan makan ketika menonton televisyen

    Amalan ini akan mengakibatkan anda cenderung mengambil makanan yang tinggi lemak dan kalori seperti aiskrim, coklat, kerepek, keropok dan sebagainya.

    Snek ringan sebelum masuk tidur

    Snek ringan sebelum masuk tidur

    Panduan makan malam yang sihat perlu diamalkan:

    1. Hadkan pengambilan makanan yang bergoreng, berminyak dan berlemak.

    2. Waktu makan malam yang sesuai di antara 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya anda tidur lewat malam dan berasa lapar. Anda disarankan mengambil snek ringan sebelum masuk tidur seperti buah-buahan, roti, biskut dan segelas susu.

    3. Ambil makanan yang seimbang. Pastikan hidangan anda mengandungi bijirin seperti nasi atau roti, ikan, ayam atau kekacang serta sayur-sayuran.

    4. Ketahui saiz hidangan yang diambil. Makan malam sepatutnya membekalkan 400 hingga 500 kalori.

    5. Elak mengambil teh atau kopi selepas makan malam boleh menyebabkan gangguan untuk melelapkan mata.

    6. Sekiranya anda menghadiri jamuan makan malam, makan secara sederhana dengan mengambil saiz hidangan yang kecil. Pilih makanan yang lebih sihat dan utamakan buah-buahan dan air kosong.



    Sumber

  • Jangkitan kuman di paru-paru

    Jangkitan kuman di paru-paru

    SISTEM pernafasan manusia terbahagi kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian bawah terletak di dalam dada dan terdiri daripada saluran pernafasan dan pundi-pundi udara (air sacs).

    Jangkitan kuman di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia).

    Secara amnya, jangkitan kuman di tisu paru-paru dikenali sebagai pneumonia. Ia adalah jangkitan kuman yang biasa dalam kalangan kanak-kanak kecil dan orang-orang tua.

    Ia disebabkan oleh virus atau bakteria. Kadang-kala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selesema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan.

    Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa.

    Tanda dan gejala

    Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit yang berkaitan dengan seseorang kanak-kanak itu.

    Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami:

    Demam panas.

    Batuk dengan atau tanpa kahak.

    Sakit dada.

    Tiada selera makan, tidak mahu makan.

    Rasa tidak sihat, sering merengek.

    Pernafasan laju atau susah bernafas.

    Muntah atau cirit-birit.

    Adakah jangkitan kuman paru-paru ini serius?

    Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil.

    Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:

    Pernafasan laju. Sukar untuk bernafas. Bibir menjadi biru. Batuk berdarah. Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing.

    Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?

    Jenis rawatan bergantung kepada tahap jangkitan.

    Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini. Apabila jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor.

    Untuk jangkitan yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.

    Anda boleh mencuba rawatan ini di rumah:

    Paracetamol/Panadol.

    Rehat yang secukupnya.

    Minum air yang banyak.

    Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan.

    Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

    Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman ini?

    Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. Teruskan penyusuan susu ibu. Mengambil imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru. Contohnya:

    Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) – wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara (National Childhood Immunization Programme).

    Vaksin influenza – untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan.

    Vaksin pneumococcal – untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan.

    Jika anda merasa anak anda termasuk dalam golongan kanak-kanak berisiko tinggi, sila dapatkan nasihat doktor.

    Sumber: http://www.myhealth.gov.my/



    Sumber

  • Berlari cara mudah bakar lemak

    Berlari cara mudah bakar lemak

    ANDA tiada masa untuk melakukan senaman? Jangan mudah mengalah dan mencari alasan untuk tidak bersenam.

    Dengan hanya berlari atau berjoging, anda mampu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental.

    Tidak percaya? Ketahui kebaikan berlari dan lakukannya hari ini.

    Aktiviti berlari bersama keluarga boleh membantu mengeratkan lagi kasih sayang.

    Aktiviti berlari bersama keluarga boleh membantu mengeratkan lagi kasih sayang.

    Kelebihan berlari:

    Larian merupakan salah satu daripada senaman asas untuk tujuan membakar lemak, menurunkan berat badan dan mengekalkan keseimbangan badan. Ia mudah untuk dilakukan dan terbukti berkesan.

    Sesiapa sahaja boleh melakukan senaman ini tanpa mengira umur, antara kelebihannya:

    1. Larian senaman unggul sebagai aktiviti pembakaran lemak. Sebaik anda berlari lemak yang terbakar akan bertukar menjadi otot yang kuat.

    2. Dapat melambatkan penuaan.

    3. Mengurangkan tekanan darah tinggi dengan mengekalkan keanjalan abdomen arteri.

    4. Mampu mengurangkan risiko strok dan kanser payu dara.

    5. Larian melatih minda dan ketahanan tubuh badan.

    Tip sebelum berlari:

    – Rutin panaskan badan dengan senaman ringan.

    – Renggangkan kaki, betis dan paha.

    – Lari setempat untuk mendapatkan kestabilan postur badan dan abdomen lain.

    – Mulakan berlari perlahan dan jangan terlalu memaksa diri.

    Tip selepas berlari:

    – Minum air dengan kadar perlahan jangan minum secara berlebihan kerana ia akan memudaratkan terutama sekali pada bahagian perut.

    – Jangan terus membaringkan diri selepas membuat larian. Bimbang ia akan memberikan kesan terhadap postur dan pinggang serta tulang belakang.

    – Selepas menamatkan larian seeloknya rehatkan badan dengan duduk menegak dan menarik nafas sedalam-dalamnya.



    Sumber

  • Ziarah kubur keluarga pada pagi raya

    Ziarah kubur keluarga pada pagi raya

    SETIAP kali Hari Raya Aidilfitri, kita akan lihat ramai yang mengambil peluang untuk menziarahi kubur kaum keluarga usai menunaikan solat sunat Hari Raya.

    Sebenarnya, apakah hukumnya apabila kita melakukan perbuatan itu pada pagi Hari Raya?

    Hukum asal ziarah kubur untuk lelaki disunatkan berdasarkan hadis Rasululullah SAW.

    Sabda baginda SAW: “Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, sekarang maka ziarahlah kerana ia boleh mengingatkan kamu kepada akhirat.” (Riwayat Muslim)

    Imam al-Nawawi menyatakan, hadis di atas tidak menyatakan waktu atau bilangan tertentu ketika menziarahi kubur.

    Adapun, hukum ziarah kubur untuk wanita, terdapat perbezaan dalam kalangan ulama. Ada pandangan yang membenarkan dan sebaliknya.

    Jika dibenarkan, maka perlu menjaga adab dan tatasusila ketika menziarahi kubur.

    Maka, hukum ziarah kubur pada pagi raya tanpa ada apa-apa iktikad kelebihan, menjaga sunah dan adab, maka ia diharuskan. Di samping itu, ia kembali kepada tujuan asal iaitu semata-mata mengingati kematian dan akhirat.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • Hyundai umum pembangunan ‘Kunci Digital’

    HYUNDAI Motor Group menerusi syarikat peranti mudah alih dan keselamatan aplikasi Trustonic baru-baru mengumumkan pembangunan ‘Kunci Digital’ yang membolehkan pengguna membuka dan menghidupkan enjin kereta menerusi telefon pintar mereka.

    Bakal menggantikan kunci fizikal, Kunci Digital boleh dimuat turun melalui satu aplikasi dan teknologi Near Field Communication (NFC) akan mengesan kehadiran kunci berkenaan berhampiran kereta.

    Antena NFC diletakkan pada pemegang pintu pemandu dan penumpang hadapan. Sementara NFC pula untuk menghidupkan enjin berada pada pad pengecasan tanpa wayar di konsol tengah.

    Pengguna hanya perlu meletakkan telefon pintar di atas pad berkenaan, kemudian tekan butang penghidup enjin. Ia boleh digunakan oleh empat orang tetapi perlu disahkan dahulu identitinya.

    Sistem kunci itu juga menyimpan talaan kenderaan yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Jadi, tetapan seperti kedudukan cermin, tempat duduk, sistem audio, navigasi, head-up display dan stereng akan dilaraskan secara automatik. Kunci digital itu juga boleh digunakan untuk mengawal beberapa sistem tertentu dari jauh.

    Menggunakan komunikasi Bluetooth Low Energy, pengguna boleh membuka dan mengunci kereta, mengaktifkan sistem penggera dan menghidupkan enjin.

    Paling menarik, tahap akses fungsi kenderaan boleh diprogramkan berdasarkan kepada setiap pengguna. Pemilik juga boleh mengehadkan tempoh penggunaan kereta atau ciri-ciri tertentu apabila kenderaan diberi sewa.

    Sebaik sahaja sistem perkongsian kereta semakin meluas, Kunci Digital akan diprogramkan untuk memudahkan pemilik dan penyewa. Jadi, mereka tidak perlu berjumpa dan cukup sekadar menghantar Digital Key menerusi aplikasi telefon pintar. Hyundai Motor Group merancang untuk mengimplementasikan teknologi ini ke atas model-model baharu mulai akhir tahun ini secara peransur-ansur.



    Sumber

  • Resepi rendang maman yang enak

    Resepi rendang maman yang enak

    RENDANG maman cukup terkenal di Negeri Sembilan lantaran keenakannya yang tidak terkata. Jika dibandingkan rendang ini dengan negeri lain, ia masih menduduki tempat paling teratas.

    Cara masakannya pun tidak begitu susah, yang penting anda rajin ya. Jom, femina kongsikan resepi rendang ini.

    Bahan-bahan:

    1 ekor ayam kampung

    2 kilogram (kg) sayur maman

    2 kg santan (bersamaan 6 biji kelapa)

    7/8 keping asam keping

    2 buku kunyit hidup

    Cili api (ikut suka)

    garam secukup rasa

    Cara-cara memasak:

    1) Siang daun maman, basuh dan toskan supaya tidak terlalu basah.

    2) Bersihkan daging dan masukkan ke dalam kuali.

    3) Kisar kunyit dan cili api, campurkan ke dalam daging tadi.

    4) Masukkan santan dan garam. Kemudian, kacau bahan daging dan air cili itu supaya rata.

    5) Setelah kuah pekat masukkan asam keping.

    6) Bila santan pekat, baru masukkan daun maman.

    7) Ingat, jangan kacau selalu kerana dikhuatiri keluar air pahitnya. Lakukan perlahan-lahan supaya daunnya layu dan tenggelam. Setelah semuanya layu, barulah dikacau rata garamnya. Angkat dan hidang!

    Rendang maman makanan tradisi masyarakat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

    Rendang maman makanan tradisi masyarakat di Gemencheh, Negeri Sembilan.



    Sumber

  • Ilham luar biasa Alfian

    Ilham luar biasa Alfian

    JEJAKA berusia 25 tahun ini amat meminati kumpulan muzik The Special, Madness dan Ska Band.

    Sebenarnya, minat Hafeez Alfian Rahmat atau Alfian bukan hanya terarah kepada muzik tetapi kepada fesyen yang dipakai oleh ahli kumpulan British tersebut setiap kali mereka muncul membuat persembahan.

    ALFIAN ingin jenamanya dikenali seluruh negara

    ALFIAN ingin jenamanya dikenali seluruh negara

    **

    Ya, sut dan kot yang dikenakan pemuzik antarabangsa tersebut sesungguhnya telah memberi inspirasi kepada anak muda kelahiran Johor Bahru, Johor itu untuk terjun ke dunia fesyen.

    “Ketika saya berumur 13 tahun, kumpulan band dari British itu telah membuatkan saya mengagumi mereka. Bukan sahaja muzik, fesyen sut dan jaket yang digayakan telah membuatkan saya jatuh cinta pada dunia fesyen,” katanya ketika ditemui Oh! Lelaki pada seminar Volkswagen Automotive Academy di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Tidak menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan, Alfian terus menyambung pengajian di Segi College dalam bidang Rekaan Fesyen. Untuk mengkhususkan skilnya dalam busana lelaki, beliau kemudian menuntut ilmu di SML Fashion Academy, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    ALFIAN amat mementingkan kualiti pakaian yang dihasilkannya

    ALFIAN amat mementingkan kualiti pakaian yang dihasilkannya

    Nyahkan pandangan masyarakat kononnya arena fesyen milik wanita. Alfian berkata, beliau bersyukur keluarganya terutama ibu tersayang memberi lampu hijau terhadap kecintaannya.

    “Mungkin pengalaman ibu yang pernah menyertai pertandingan model Mustika Ratu membuatkan ibu lebih memahami kerjaya sebagai pereka fesyen.

    “Saya juga berpendapat jantina bukan penentu kerjaya seseorang, ia bergantung kepada minat. Dengan adanya minat, ia akan terus menjadi senjata kepada saya untuk kekal relevan dalam dunia fesyen ini,” katanya.

    Alfian De Suits

    Apa trademark Alfian? Anak muda berhati waja itu berkata, sudah pasti dirinya memilih sut dan jaket di bawah jenama Alfian De Suits.

    “Saya pernah mereka pakaian wanita. Namun, seperti ada sesuatu yang tidak kena pada rekaan itu, akhirnya saya pasrah dan fokus kepada pakaian sut untuk lelaki dan wanita juga,” ujarnya.

    Bagi menghasilkan sesuatu yang berbeza, Alfian berkata, beliau akan sedaya upaya mencipta sesuatu yang berbeza.

    Kata pereka muda itu lagi, mengikut aliran fesyen terkini bukan pendekatannya.

    ALFIAN ketika menyertai Malaysia Fashion Week

    ALFIAN ketika menyertai Malaysia Fashion Week

    “Sebenarnya, saya lebih terarah kepada fesyen negara Eropah,” katanya.

    Seperkara yang boleh dibanggakan, pada usia masih muda, Alfian sudah memiliki butik sendiri yang terletak di Setia Alam, Selangor.

    Butik yang baru beroperasi pada bulan Mac lalu merupakan kejayaan besar buatnya yang sebelum ini menjalankan perniagaan atas talian bagi memasarkan jenamanya.

    Ujar Alfian lagi, rezeki yang dicurahkan Ilahi tidak putus-putus selepas beliau menyertai pertandingan Malaysia Fashion Week, Singapore Fashion Week dan Kedah Fashion Week. “Pertandingan itu mematangkan saya dan menambah keyakinan terhadap rekaan yang dihasilkan. Ia satu kenangan manis yang saya tidak boleh dilupakan terutama ketika menyertai Malaysia Fashion Week.

    “Ketika itu, seorang profesor telah membeli sut daripada seorang pereka yang masih muda seperti saya. Saya sungguh terharu kerana produk yang saya hasilkan ada orang suka,” katanya dengan nada teruja.

    Peluang

    Benarkah seorang pereka muda sukar untuk menempatkan diri dalam industri fesyen tempatan?

    Mendengar persoalan itu, Alfian kelihatan tenang sambil berkata: “Saya percaya rezeki itu milik Allah SWT.”

    Pun demikian, beliau tidak menafikan tidak mudah untuk mempromosikan jenamanya.

    “Namun, berputus asa bukan sifat yang ada dalam kamus hidup saya. Saya sentiasa memikirkan jalan, antaranya, mengambil pendekatan menjalinkan hubungan rapat dengan syarikat korporat,” kata pemuda itu.

    Selain itu, Alfian turut bekerjasama menaja pakaian untuk selebriti.

    Antara yang pernah memakai jenama Alfian De Suits ialah Ajak Shiro, Haqiem Rusli, Tajul, Ara Johari dan Ismail Izzani.

    Ujarnya, usahasama dengan artis merupakan salah satu strategi pemasaran yang baik.

    BERSAMA rakan artis Ajak Shiro dan Azrel yang pernah mengayakan suit rekaan Alfian

    BERSAMA rakan artis Ajak Shiro dan Azrel yang pernah mengayakan suit rekaan Alfian

    “Apabila seorang artis percaya dan memuat naik hasil kerja kita melalui laman sosial, ia akan membuka peluang yang lebih besar,” katanya.

    Kepada Oh! Lelaki, beliau berkata, dirinya akan mempertimbangkan dahulu sebelum mereka pakaian untuk mana-mana selebriti.

    Semoga jenama Alfian & De Suits dikenali seluruh dunia sejajar dengan jenama antarabangsa yang lain!

    ANEKDOT

    NAMA: Hafeez Alfian Rahmat/Alfian

    JENAMA DIMILIKI: Alfian & De Suits

    UMUR: 25

    ANAK KELAHIRAN: Johor Bharu

    PENDIDIKAN:

    1. Segi College, Seri Kembangan, Selangor (Rekaan Fesyen)

    2. Manipal International University, Nilai, Negeri Sembilan (Pengajian Perniagaan)

    3. SML Fashion Academy, Bukit Bintang, Kuala Lumpur (Fesyen Lelaki)

    HOBI: Bergaya/berfesyen

    MISI HIDUP: Ingin jenama Alfian & De Suits dikenali seluruh dunia

    IDOLA: Pereka fesyen Amerika Syarikat, Thom Browne.

    PERTANDINGAN DISERTAI:

    1. Malaysia Footwear Design Competition (MFDC) – 2015

    2. Malaysia Fashion Week – 2016

    3. Singapore Fashion Week dan Kedah Fashion Week – 2018



    Sumber

  • Petronas Dagangan catat rugi bersih RM29.42 juta suku pertama

    Petronas Dagangan catat rugi bersih RM29.42 juta suku pertama

    KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Bhd (PetDag) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM29.42 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020 berbanding keuntungan bersih RM291.20 juta pada suku yang sama 2019.

    Perolehan turut susut kepada RM6.55 bilion daripada RM7.81 bilion bagi tempoh yang sama.

    Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PetDag berkata, penurunan perolehan sebanyak RM1.25 bilion itu berikutan jumlah dagangan keseluruhan bagi segmen runcit dan komersial susut empat peratus serta kejatuhan harga jualan purata sebanyak tiga peratus.

    PetDag berkata, kerugian pula disebabkan terutama keuntungan kasar lebih rendah susulan penurunan mendadak aliran harga ‘Means of Platts Singapore’ (MOPS), jumlah jualan lebih rendah sehingga akhir suku pertama dan perbelanjaan operasi lebih tinggi bagi kos perkhidmatan profesional dan kos susut nilai.

    “Kami mengalami keadaan pasaran yang mencabar sehingga akhir suku pertama yang timbul daripada kesan pandemik Covid-19 di seluruh dunia serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” menurutnya.

    Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham berjumlah RM49.67 juta bagi suku pertama 2020, yang boleh dibayar pada 17 Jun.

    Ia berkurangan daripada dividen interim 15 sen sesaham pada suku yang sama 2019 dengan nilai boleh bayar RM149.02 juta.

    Mengenai prospek, PetDag berkata, prestasi kewangannya dipengaruhi oleh penurunan harga petroleum berikutan turun naik harga minyak mentah.

    “Walaupun purata harga minyak Brent pada suku pertama 2020 adalah AS$50.26 setong berbanding suku sebelumnya AS$63.32 setong, penurunan mendadak pada Mac 2020 yang disebabkan pandemik Covid-19 dan perang harga OPEC+ itu telah menyebabkan harga purata bulanan mencecah paras terendah, iaitu AS$31.83 setong, dalam tempoh sejak lima tahun lepas,” menurut PetDag.

    Ia berkata, syarikat akan terus menumpukan pengurusan inventori, kecekapan penawaran dan pengedaran serta pengoptimuman perbelanjaan operasi untuk memastikan PetDag tetap berdaya tahan dan mampan untuk menjalankan operasinya.

    Dalam kenyataan berasingan, PetDag memaklumkan, mesyuarat agung tahunan ke-38 yang dijadualkan pada 10 Jun ini akan dijalankan secara maya sepenuhnya dan keseluruhannya menerusi penyertaan dan pengundian jarak jauh di https://tiih.online dalam usaha mengekang Covid-19.

    Lokasi siaran adalah di Bilik Mesyuarat 4003, Tingkat 40, Menara 1, Menara Berkembar Petronas, pertukaran tempat dari Dewan Pameran 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang diumumkan pada Mac. – Bernama



    Sumber