Blog

  • 50 OKU pendengaran sertai aktiviti psikososial, diraikan

    50 OKU pendengaran sertai aktiviti psikososial, diraikan

    SERAMAI 50 orang penerima manfaat dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) pendengaran diraikan dalam suasana penuh muhibah menerusi program Leave No One Behind.

    Program dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) itu turut mendapat kerjasama Malaysia Federation of The Deaf (MFD), sukarelawan dan kakitangan bahasa isyarat IRM serta Sahabat Faqeh Universiti Sains Islam Malaysia.

    Antara aktiviti yang telah dijalankan selama program dua hari tersebut adalah aktiviti psikososial bersama maskot karakter kartun Islamik Omar & Hana dan Sahabat Faqeh.

    Aktiviti turut dijalankan ialah membeli belah pakaian raya untuk anak-anak OKU, solat Duha, rakaman takbir dan lagu raya.

    Kesemua penerima manfaat turut menerima sumbangan pek makanan Box of Kindness yang disampaikan oleh Penerbit Omar & Hana, Fadilah A Rahman.

    Menurut Fadilah, projek Box of Kindness merupakan kolaborasi pertama antara syarikat produksi itu bersama IRM dalam usaha untuk menggerakkan kempen kemanusiaan dalam kalangan kanak-kanak.

    “Ini merupakan sumbangan pertama Omar & Hana kepada IRM. Syukur projek ini berjalan lancar serta mencapai sasaran 50 pek makanan untuk agihan di Malaysia.

    “Harapan Omar & Hana agar kerjasama ini tidak terhenti di sini dan akan berterusan untuk misi-misi akan datang dan semoga Omar & Hana dapat menyebarkan kebaikan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia,” tambah Fadilah.

    Sementara itu, IRM yang diwakili oleh Pengarah Bahagian Komunikasi dan Kempen, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, bantuan ini diharap dapat menceriakan setiap keluarga yang terpilih sehingga tiba Syawal nanti.

    “Semoga kerjasama ini berpanjangan,” katanya.

    Awal Ramadan lalu, IRM dan Omar & Hana melancarkan kempen Ramadan: A Box of Kindness by Omar & Hana bertujuan untuk mengumpul dana bagi projek agihan pek makanan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

    Sehingga kini, jumlah kutipan yang diterima amat memberangsangkan.



    Sumber

  • Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dicintai ALLAH SWT

    Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dicintai ALLAH SWT

    ALLAH SWT memerintahkan hamba-Nya agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati mereka selagi mana perkara yang diperintahkan tidak bercanggah dengan syarak.

    Ini kerana ibu bapa telah mencurahkan jasa bakti yang amat besar kepada anak-anak sehingga mereka berkorban nyawa, tenaga dan harta.

    Kedudukan ibu bapa di sisi ALLAH amatlah tinggi sehinggakan ALLAH meletakkan perintah berbuat baik kepada ibu bapa selepas atau bersebelahan dengan perintah tidak menyembah selain daripada ALLAH dan mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun.

    Perintah yang dimaksudkan sebagaimana firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

    Malah, berbuat baik kepada ibu bapa merupakan antara amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA yang mana beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW apakah amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT? Lalu baginda menjawab: “Mengerjakan solat pada waktunya”. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada ibu bapa.” Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Jihad di jalan ALLAH.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)Bagi sesiapa yang sudah kehilangan kedua ibu bapanya, ia sama sekali tidak menghalang seseorang itu berbakti dan berbuat baik kepada orang tuanya. Antaranya sentiasa mendoakan pengampunan dan kesejahteraan mereka di alam barzakh. Amalan itu disebut jelas di dalam hadis baginda SAW: “Tiga amalan seseorang yang tidak akan terputus meskipun sudah meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)

    Selain itu, anak-anak disarankan menyedekahkan pahala amalan-amalan soleh kepada arwah orang tua seperti bacaan al-Quran, sedekah, umrah dan sebagainya.

    Ia berdasarkan pendapat majoriti dalam kalangan ulama termasuk sebahagian ulama Mazhab Syafie yang berpendapat bahawa sampai pahala bacaan al-Quran dan seumpamanya kepada si mati.

    Ada beberapa perkara yang kurang diambil cakna oleh masyarakat tentang cara berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah tiada iaitu menunaikan wasiat dan hajat mereka yang belum tercapai, menyambung silaturahim saudara-mara ibu bapa dan berbuat baik dengan orang ada hubungan baik dan rapat kepada kedua ibu bapa.

    Mengapa perlu anak-anak menjalinkan hubungan silaturahim dan ukhuwah seperti itu? Antaranya kerana amalan mulia tersebut menjaga nama ibu bapa agar sentiasa baik dan diingati oleh sanak-saudara dan sahabat-handai arwah ibu bapa atas kebaikan yang ditunjukkan oleh anak-anak mereka.

    Secara tidak langsung, ia juga akan menyebabkan mereka mengingati kedua-duanya yang telah pergi dan mendoakan pengampunan dan kesejahteraan untuk mereka di alam barzakh. Justeru, berbaktilah kepada ibu bapa kerana ganjarannya tidak ternilai.

    ***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • Proton catat jualan kedua paling laris

    Proton catat jualan kedua paling laris

    PERUSAHAAN Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) sekali lagi kembali menjadi antara dua jenama automotif yang mencatatkan jualan paling laris pada April 2019 apabila angkanya melonjak 75 peratus tahun ke tahun atau 14.1 peratus bulan ke bulan kepada 7,011 unit.

    Syarikat pembuat kereta nasional itu berada di kedudukan kedua bagi jualan bulanan buat kali pertama sejak Februari 2016.

    Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Proton berkata, prestasi jualan yang kukuh dicatatkan model Saga dan X70 adalah pemacu utama bagi pencapaian tersebut, selain memperoleh dorongan jualan susulan pelancaran rasmi model Iriz dan Persona 2019 pada 23 April.

    “Prestasi itu dapat dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) mengalami penurunan apabila susut 6.2 peratus bulan ke bulan sekali gus menjadikan Proton sebagai satu-satunya jenama automotif yang berada pada kedudukan lima teratas merekodkan pertumbuhan positif,” menurut syarikat itu.

    Malah Saga, menurutnya, telah menggantikan kedudukan X70 sebagai model Proton paling laris selepas 3,047 unit terjual pada April 2019 dan buat kali pertama melepasi jumlah 3,000 unit sejak Ogos 2018 semasa tempoh sifar cukai barang dan perkhidmatan selama tiga bulan.

    “Peningkatan jualan itu menunjukkan penambahbaikan kualiti yang akan terus dilakukan ke atas kereta itu, di samping kualiti perkhidmatan pelanggan dan jualan lebih baik di 79 pusat 3S/4S, paling banyak menggunakan produk mana-mana pengeluar peralatan tulen di Malaysia dalam rangkaian jualan Proton,” katanya.

    Mengenai X70, Proton berkata, ia kekal sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di Malaysia tahun ini menguasai 24 peratus daripada keseluruhan segmen.

    “Berdasarkan 11,133 unit telah diserahkan setakat ini pada 2019, Proton X70 merupakan juara dalam kategori SUV premium (segmen C) dan pendahulu bagi kategori SUV eksekutif (harga di bawah RM100,000),” menurut kenyataan itu lagi.



    Sumber

  • Cerahkan wajah anda dengan daun jambu batu

    Cerahkan wajah anda dengan daun jambu batu

    MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui khasiat daun jambu batu yang berfungsi untuk mencerahkan wajah.

    Kandungan antioksidan pada daun jambu batu dapat membantu mengeluarkan sel kulit mati sehingga kulit akan tampak lebih sihat dan cerah.

    Jika wajah anda kusam atau tidak bermaya, apa kata guna petua ini.

    Caranya, tumbuk halus daun jambu batu, campurkan dengan sedikit kunyit, setelah itu titiskan air mawar secukupnya.

    Ia boleh dijadikan sebagai masker selama 15 minit pada bahagian wajah dan leher.

    Jika digunakan secara rutin maka, kulit anda akan kelihatan cerah, halus, dan tentunya sihat.

    Jom try!



    Sumber

  • Lelaki pendek umur?

    Lelaki pendek umur?

    BARU-BARU ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan satu kajian perihal jangka hayat lelaki. Sebenarnya, ia hanya sekadar penemuan. Terpulang kepada kita untuk menilainya.

    Antara Intisari kajian bertajuk Kesihatan Dunia 2019 itu ialah:

    Kaum lelaki mati lebih awal daripada wanita

    Jika lelaki dan wanita mendapat penyakit sama, lelaki kurang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan.

    75 peratus kadar kematian bunuh diri global adalah dalam kalangan lelaki.

    Kepada lelaki yang tinggal di negara berpendapatan rendah, mereka juga kurang peduli mendapatkan khidmat kesihatan.

    WHO dalam kajiannya juga mengatakan, wanita boleh hidup lebih lama di mana-mana negara di dunia

    Hasil penyelidikan itu memang perit untuk ditelan. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, penulis mendapatkan pandangan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Dr Zarina Mat Saad mengenai dapatan kajian berkenaan.

    Dr Zarina Mat Saad

    Dr Zarina Mat Saad

    Kepada Oh! Lelaki, Dr Zarina berkata, beliau bersetuju kerana senario itu berlaku di Malaysia sendiri. Ia diukur berdasarkan kepada jangka hayat penduduk.

    Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan kematian dicatatkan lebih tinggi bagi kaum lelaki iaitu 16 peratus berbanding wanita (10.5 peratus) bagi tahun 2017.

    Kaum lelaki mendominasi carta sebagai pesakit jantung tertinggi.

    Kaum lelaki mendominasi carta sebagai pesakit jantung tertinggi.

    Antara puncanya ialah akibat penyakit jantung, pneumonia dan kemalangan jalan raya.

    Kaum India mempunyai peratusan tertinggi yang menghidap penyakit jantung (19.5 peratus) berbanding Bumiputera (13.3 peratus) dan Cina (13.2 peratus).

    Dr Zarina berkata, jangka hayat bayi perempuan yang lahir pada 2018 dijangka hidup sehingga 77.6 tahun, manakala bagi bayi lelaki adalah sehingga 72.7 tahun. Dengan kata lain, wanita akan hidup lebih lama berbanding lelaki.

    “Dari segi etnik pula, kaum Cina dijangka hidup sehingga umur 77.3 tahun, Bumiputera (73.8 tahun) sementara India (72.5 tahun).

    “Disebabkan jangka hayat semakin meningkat, Malaysia bakal mempunyai penduduk berumur 65 tahun dan ke atas. Ia meningkat dengan ketara iaitu dari lima peratus pada tahun 2010 kepada 14.5 peratus pada tahun 2040,” katanya.

    Dr Zarina terus memperkuatkan hujahnya. Beliau berkata, wanita mempunyai kelebihan dari segi biologi, tingkah laku dan persekitaran yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih lama.

    Wanita yang dimaksudkan bukan sahaja merujuk kepada yang tinggal di Malaysia tetapi negara-negara lain seperti Indonesia, Pakistan dan China.

    Sejauhmana benarnya lelaki kurang mengambil berat soal kesihatan diri sendiri seperti yang dilaporkan dalam kajian WHO?

    Jawab Dr Zarina, pada dasarnya, peratusan penyakit fizikal yang tinggi lebih terarah kepada wanita. Pun demikian, wanita lebih kerap merujuk kepada doktor dan lebih lama tinggal di hospital.

    “Wanita juga akan lebih tabah dan berusaha mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Dengan adanya rawatan pencegahan dan teknologi perubatan yang amat baik di Malaysia menyebabkan kaum Hawa mengambil peluang itu dengan mendapatkan rawatan dan akhirnya mampu hidup lebih lama,” katanya.

    Dr Zarina juga menyentuh mengenai gaya hidup dan rutin seorang lelaki.

    Ujarnya, data kajian secara jelas menunjukkan bahawa lelaki lebih ramai merokok.

    “Kemungkinan ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kaum lelaki menghidap pelbagai penyakit.

    Begitu juga dengan faktor pemakanan, taraf pendidikan dan keturunan si lelaki termasuk status ekonomi yang mempengaruhi jangka hayatnya,” katanya.

    Lelaki kurang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan punca mati awal

    Lelaki kurang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan punca mati awal

    Tidak setuju

    Bagaimanapun, pandangan Dr Zarina tidak selari dengan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid.

    Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid

    Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid

    Tengku Aizan dengan nada tegas berkata, beliau tidak bersetuju dengan fakta lelaki lebih cepat meninggal dunia berbanding wanita.

    “Soal mati itu ditentukan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, pelbagai faktor yang menyumbang kepada jangka hayat. Antaranya faktor genetik, gaya hidup, termasuk pemakanan, merokok, tidur dan pekerjaan.

    “Jika pesakit itu dapat mengatasinya, mereka akan menikmati umur yang panjang. Namun, jika mengamalkan gaya hidup tidak sihat, maka umur kita mungkin pendek,” kata Tengku Aizan yang merujuk kepada kedua-dua jantina.

    Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyakit tidak berjangkit (NCD) dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun sahaja.

    Beliau berkata, hal ini kerana kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap NCD serta komplikasinya dilihat masih rendah berbanding rakyat negara lain yang sentiasa berusaha memanjangkan jangka hayat mereka.

    Mengambil contoh darah tinggi serta diabetes daripada kelompok penyakit NCD, Dr Dzulkefly memberitahu, 50 peratus daripada pesakit yang dirawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyedari yang mereka menghidapi penyakit berkenaan dan perkara itu dilihat amat membimbangkan.

    “Hari ini, (jangka hayat) rakyat kita sudah ‘tersekat’ untuk satu dekad berbanding negara lain iaitu pada purata umur 75 tahun yang mana individu lelaki biasanya mencapai usia sehingga 73 tahun manakala wanita 78 tahun.

    “Sebab utama ini berlaku akibat NCD terutama penyakit darah tinggi yang membawa komplikasi serangan jantung, diabetes akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang, penyakit berkaitan kolestrol dan pelbagai lagi. Punca kedua (yang memendekkan jangka hayat) baru kanser,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Memberi contoh Singapura, Dr Dzulkefly berkata, negara berkenaan amat serius dalam menangani penyakit NCD sehingga melancarkan ‘perang’ ke atas diabetes yang mana setiap rakyatnya diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan.

    Walaupun Malaysia belum sampai ke tahap itu, beliau berkata, KKM sentiasa memberi khidmat terbaik.

    “KKM boleh anjurkan pelbagai program tetapi jika rakyat tetap tak mahu terlibat malah tak mahu juga mengikuti rawatan susulan di fasiliti kita.

    “Saya mahu mengingatkan (kepada semua rakyat), kita mungkin lihat penyakit diabetes sebagai biasa tapi komplikasinya seperti perlu melalui proses dialisis, strok mahupun amputasi anggota badan, ia pasti akan mengganggu kualiti hidup,” katanya.

    Kajian Universiti Harvard & Institut Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mengenai jangka hayat rakyat Malaysia

    -Hayat kaum lelaki Malaysia adalah 73 tahun manakala kaum wanita 79 tahun berbanding rakyat di beberapa negara jiran.

    -Penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, kolesterol tinggi dalam darah, darah tinggi, diabetes menjadi salah satu pembunuh kepada rakyat di negara ini.

    -Purata umur rakyat Malaysia berpotensi menghidap penyakit jantung adalah pada usia 58 tahun berbanding 68 tahun bagi rakyat Thailand, Singapura (61 tahun), China (63 tahun), Amerika Asyarikat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).

    Mengikut kajian Institut Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015, sebanyak 47.7 peratus bersamaan 9.6 juta rakyat Malaysia mempunyai penyakit tidak berjangkit NCDs.

    -Lebih membimbangkan, 38.6 peratus bersamaan 7.8 juta penduduk yang menghidap penyakit NCD hanya mengetahui tahap kesihatan mereka selepas menjalankan diagnosis kesihatan.

    -Ia sekali gus membuktikan, kesedaran rakyat dalam menjaga pemakanan serta cara hidup yang lebih sihat bagi mengelak menghidap penyakit NCDs amat kurang.

    Sumber: Teks ucapan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 27 Mac 2019

    Sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan

    Sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan

    Tip lelaki boleh menikmati hidup lebih lama

    1. Mengamalkan gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan dan menjauhi gaya hidup berisiko seperti merokok dan mengambil minuman alkohol.

    2. Bersenam.

    3. Mempunyai pemikiran yang positif.

    4. Membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Apabila menghidap sebarang penyakit, perlu mendapat rawatan yang sepatutnya daripada doktor perubatan.

    5. Bijak mengurus tekanan, dapatkan sokongan daripada profesional, ahli keluarga atau rakan yang boleh dipercayai.

    6. Berekreasi. Melakukan sesuatu perkara yang disukai atau mempunyai hobi. Contoh, melancong, berkebun, membela binatang ternakan dan sebagainya.

    7. Berdoa.



    Sumber

  • Ibu bapa Malaysia tak galak pengambilan susu

    Ibu bapa Malaysia tak galak pengambilan susu

    KETIKA bayi dan kanak kanak, susu adalah makanan penting yang ditekankan ibu bapa kepada anak mereka namun, pengambilan susu semakin berkurangan apabila kanak-kanak beranjak ke alam persekolahan.

    Malah kebanyakan ibu bapa tidak lagi menggalakkan pengambilan susu ketika anak berusia empat tahun atau di peringkat prasekolah. Senario ini sering berlaku di Malaysia dan amat berbeza berbanding dengan masyarakat Eropah dan Arab di mana pengambilan susu adalah menu utama dalam keluarga daripada bayi, remaja dan dewasa.

    Adakah serius fenomena ini di Malaysia?

    Senario ini boleh dikatakan serius terutama apabila terdapat kajian yang menunjukkan 50 peratus kanak-kanak di bawah 12 tahun di Malaysia tidak mengambil kalsium yang mencukupi dan tidak mendapat vitamin D yang mencukupi untuk tubuh.

    Kajian ini dijalankan oleh Royal Friesland Campina N.V melibatkan lebih 16,500 kanak-kanak berumur antara enam bulan dan 12 tahun dari Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia dari Mei 2010 sehingga Oktober 2011. Menurut hasil kajian itu juga, satu daripada setiap 10 kanak-kanak di kawasan bandar di Malaysia menunjukkan tanda-tanda kekurangan nutrisi berdasarkan nisbah berat badan dan umur.

    Mengapakah susu tidak dipentingkan selepas bayi

    – Ibu bapa menganggap susu adalah makanan untuk bayi sahaja. – Kanak-kanak mula mengambil minuman lain, seperti kordial, jus buah buahan dan minuman ringan. – Kanak kanak makan pelbagai makanan lain dan susu tidak menjadi keutamaan. – Ibu bapa tiada pengetahuan tentang kepentingan susu untuk pertumbuhan selepas bayi, malah ibu bapa sendiri mengabaikan pengambilan ksusu untuk diri mereka sendiri

    Ada apa dengan susu (apa keajaiban susu)

    Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa susu adalah makanan lengkap yang mempunyai semua nutrisi yang diperlukan untuk pertumbuhan optimum tubuh seperti kalsium, fosforus, magnesium dan protein yang semuanya penting untuk pertumbuhan tulang yang sihat, selain kaya dengan vitamin A, vitamin B seperti Riboflavin, Niacin, B6 dan B12, vitamin C, Zink, Fosforus, dan Magnesium.

    Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia turut menggariskan keutamaan pengambilan susu dan produk tenusu antara salah satu daripada 14 kunci utama Panduan Pemakanan Malaysia 2012.

    Susu mengandungi pelbagai zat bermanfaat, antaranya ialah

    Kalsium

    Protein

    Karbohidrat

    Lemak

    Vitamin D

    Berikut adalah beberapa cara untuk menggalakkan anak anda minum susu setiap hari.

    – Ingat bahawa susu dan produk tenusu lain adalah sumber utama kalsium dan pelbagai nutrien penting yang sangat diperlukan untuk pertumbuhan.

    – Galakkan keluarga minum susu. Susu bukan untuk bayi tetapi penting untuk semua peringkat umur, anak anda pasti meniru perbuatan anda.

    – Jangan memberikan terlalu banyak minuman manis seperti jus buah atau minuman berperisa sehingga menggantikan pengambilan susu.

    – Untuk kanak kanak yang tidak menggemari susu, hidangkan bersama cereal ketika sarapan pagi atau sebagai snek.

    – Tambah buahan atau ditambah perisa menjadi susu kocak.

    – Pilih pencuci mulut berasaskan atau dicampur susu seperti agar agar susu, puding susu, yogurt, dan kastad. Gunakan susu segar adan elakkan susu sejat atau susu pekat manis.

    – Sekiranya tidak menyukai susu, pilih makanan lain yang berasaskan susu seperti keju untuk dicampur di dalam makanan harian seperti dimakan bersama roti atau ditabur di atas pizza.

    – Berkongsi dengan anak khasiat susu ketika mereka minum

    – Sekiranya anak tidak menggemari susu suam, berikan susu sejuk.

    – Benarkan anak anda memilih perisa susu yang digemari. Anak anda mungkin lebih gemar minum susu yang berperisa.

    – Belikan susu dalam paket kecil dan comel untuk menggalakkan anak minum setiap hari.

    – Gunakan daya kreatif untuk menghidangkan susu sebagai contoh, kisar dengan ais krim untuk menyediakan susu kocak. Kisar bersama buah-buahan atau jus buah-buahan atau bersama ais bagi menambah keenakan susu.

    Kesimpulan, susu penting untuk semua peringkat umur daripada bayi sehingga remaja. Oleh itu, jangan berhenti menggalakkan anak anda terutamanya ketika memasuki alam persekolahan.Pastikan anda memeriksa tarikh luput yang tercetak pada paket susu. Jangan membeli susu yang tinnya kemek atau paket yang ‘tembam’. Susu sepatutnya diminum sebaik saja ia disediakan, dan tidak dibiarkan terdedah kepada habuk dan kerosakan. Simpan susu tepung di tempat yang kering dan sejuk.

    Sumber: http://www.tateh.com.my



    Sumber

  • Jangan berlebihan berhias pada Hari Raya

    Jangan berlebihan berhias pada Hari Raya

    TATKALA tibanya Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti ramai yang akan menggayakan baju baharu dan cantik.

    Di sisi agama, apakah hukumnya jika kita berhias diri pada Hari Raya? Adakah ia dituntut Islam untuk berpakaian cantik dan sempurna?

    Dalam hal itu, terdapat hadis sahih riwayat Saidina Ibnu Umar bahawa ayahnya Saidina Umar al-Khattab, pernah menghadiahkan pakaian jubah sutera kepada Nabi Muhammad SAW pada hari raya. Namun, Nabi Muhammad SAW menolaknya kerana lelaki tidak dibenarkan memakai sutera.

    Apapun, menghadiahkan pakaian cantik itu pernah berlaku pada zaman baginda.

    Telah disabitkan bahawa Saidina Ibn Umar memakai pakai yang paling baik pada hari raya. Maka, berhias dengan mandi, memakai pakaian yang cantik, menghias diri merupakan sunah yang dituntut pada Aidilfitri.

    Namun, janganlah sehingga membazir, berhutang dan berhabisan duit untuk mendapatkannya. Kita dituntut memakai pakaian yang baik, bukan pakaian yang baharu setiap kali menjelang raya.

    Di samping itu, para wanita juga diingatkan memakai pakaian yang menutup aurat dan tidak berlebihan dalam berhias.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • HR-V RS tampil versi ruang kabin serba hitam

    HR-V RS tampil versi ruang kabin serba hitam

    HONDA Malaysia memperkenalkan versi ruang dalaman kabin hitam untuk varian SUV popularnya, HR-V RS yang kini tampil lebih sporty. Model kabin serba hitam itu diperkenalkan selepas mendapat maklum balas pelanggan yang mahukan sentuhan lebih elehan bagi menggantikan warna kabin Ivory (putih kekuningan) sebelumnya.

    Perubahan kemasan hitam dapat dilihat pada konsol tengah dan panel depan termasuk kerusi depan dan belakang serta pelapik panel pintu.

    Lebih 12,200 tempahan diterima dengan 7,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan sejak dilancarkan secara rasmi pada Januari lalu.

    Angka itu mewakili hampir 60 peratus sasaran jualan tahunan Honda Malaysia dalam tempoh empat bulan sahaja.

    HR-V RS dikuasakan enjin 1.8L SOHC i-VTEC dengan transmisi variabel berterusan (CVT) Earth Dreams Technology untuk keseimbangan prestasi dan lebih penjimatan bahan api selain dilengkapkan ciri baharu iaitu sistem stereng Nisbah Gear Variabel untuk pemanduan lebih bergaya.

    Penampilan versi RS diserlahkan lagi menerusi rim aloi dual tona 18-inci dengan gril depan manakala bampar depan dan belakang diberikan semburan cat hitam. Aspek keselamatan yang komprehensif pula masih kekal dengan enam beg udara, Emergency Stop Signal (ESS), Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) ISOFIX dan banyak lagi.



    Sumber

  • Petua hilangkan rekahan pada tumit kaki

    Petua hilangkan rekahan pada tumit kaki

    SAKITNYA bila tumit kaki merekah. Rasa ngilu dan perit lebih-lebih lagi bila terpijak material yang keras. Selain itu, ia buatkan kita rasa tidak selesa untuk berjalan. Jadi, bagaimana nak hilangkan rekahan itu?

    Apa kata anda cuba petua tradisional yang tidak lapuk dek zaman ini.

    Rendam kaki dalam air suam selama 10 hingga 15 minit. Gosok bahagian tumit yang merekah tu dengan batu asah pisau hingga nampak perubahan. Kemudian, sapukan getah betik muda pada tumit kaki dan biarkan sampai getah tu kering. Akhirnya, bilas kaki anda.

    atau

    Geselkan tumit kaki pada rumput yang berembun pada awal pagi. Amalkan selalu, anda akan nampak perubahannya.

    #Selamat mencuba!



    Sumber

  • Tip berguna kepada perokok yang sudah insaf

    Tip berguna kepada perokok yang sudah insaf

    JIKA anda berhasrat untuk berhenti merokok ia satu permulaan yang baik. Bulatkan tekad dan cari kekuatan semangat untuk berhenti merokok.

    Anda harus sedar hakikat bergelar perokok ini boleh meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok.

    Merokok boleh memberi kesan kepada hampir setiap organ dan tisu badan.

    Moga informasi INI memberi kesedaran dan kekuatan.

    Melengah-lengahkan waktu merokok bagi menghilangkan keinginan untuk merokok

    Melengah-lengahkan waktu merokok bagi menghilangkan keinginan untuk merokok

    Bagi membantu anda berhenti merokok, ikuti langkah mudah dan tidak membebankan ini:

    MELALUI PEMAKANAN

    1. Kunyah biji petai

    Tahukah anda bahawa kandungan buah petai mengandungi vitamin B6, vitamin B12, kalium dan magnesium. Ia boleh menghentikan tabiat merokok dan mengurangkan nikotin dalam badan. Tidak percaya cuba amalkan dengan makan petai secara mentah-mentah.

    2. Ginseng

    Ginseng berperanan untuk melawan keinginan untuk merokok. Caranya dengan ambil sedikit serbuk ginseng dan campur dalam makanan atau minuman.

    3. Halia

    Empat jam tidak merokok biasanya anda mula merasa mual dan perut tidak selesa, bukan? Atasinya dengan mengambil beberapa hirisan halia dan masukkan ke dalam secawan teh atau minuman. Ia boleh membantutkan perasaan ingin merokok dan rasa mual tadi.

    4. Vitamin A,C dan E

    Multivitamin berfungsi untuk memulihkan badan dan diperlukan untuk mengeluarkan toksin. Vitamin C antaranya berperanan menghentikan ketagih merokok. Contoh vitamin C seperti strawberi, jambu batu, oren dan lemon.

    5. Minum banyak air

    Air bertindak sebagai penyahtoksik semula jadi daripada toksin dan mempercepatkan proses untuk melawan ketagihan.

    6. Makan dark chocolate

    Dark chocolate kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk badan seperti antioksida dan flavoid. Antioksida berperanan membantu melawan radikal bebas dalam badan yang boleh menjadi barah.

    Selain itu, dark chocolate ini juga merupakan ejen rembesan dopamin semula jadi dan memberikan kesan yang sama seperti merokok. Daripada merokok, lebih baik anda makan coklat hitam, betul tak?

    Menjauhkan diri daripada orang yang merokok

    Menjauhkan diri daripada orang yang merokok

    MELALUI AMALAN 10M

    1. Melengah-lengahkan waktu merokok Tunggu lima minit atau lebih apabila timbul keinginan untuk merokok

    2. Tarik nafas panjang Tarik nafas tiga kali secara perlahan-lahan. Pasti keinginan untuk merokok itu akan hilang.

    3. Sibukkan diri Buat sesuatu bagi mengalihkan fikiran anda. Insya-Allah anda pasti terlupa untuk merokok .

    4. Menjauhkan diri daripada orang yang merokok

    5. Elakkan diri daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok

    6. Mengunyah sesuatu seperti gula getah atau gam dan buah-buahan.

    7. Membasuh tangan selalu bagi mengelak keinginan untuk memegang rokok.

    8. Mandi dengan kerap bagi meredakan keinginan untuk merokok.

    9. Meregangkan otot, lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk .

    10. Memohon doa agar dikuatkan azam dan sentiasa tingkatkan usaha. Anda pasti boleh!



    Sumber