Blog

  • Nafsu makan pada Aidilfitri jika tak dikawal pasti…

    Nafsu makan pada Aidilfitri jika tak dikawal pasti…

    HARI Raya Aidilfitri merupakan pesta makanan! Itu yang biasa diungkapkan oleh ramai orang.

    Masakan tidak, pada bulan itulah merupakan waktu terbaik menikmati juadah seperti lemang, ketupat, sate, kuah lodeh, ayam masak merah, nasi minyak, wajik, dodol dan pelbagai biskut raya.

    Memang sukar untuk menolak pelawaan daripada menikmati hidangan yang lazat terutama di rumah terbuka.

    Namun, tahukah anda, 10 hari pertama Syawal merupakan tempoh yang menakutkan.

    Masakan tidak, durasi waktu tersebut, sesiapa sahaja boleh mengalami kegemukan melampau atau obesiti. Hal berkenaan boleh terjadi sekiranya masing-masing tidak mengawal kadar pengambilan gula, garam, kalori, lemak dan protein.

    Silap langkah memang boleh memudaratkan diri!

    Justeru, apa cara terbaik untuk mendisiplinkan diri daripada makan pada kadar berlebihan? Bagaimana untuk mencegah nafsu makan yang membuak-buak? Sihat:Aktif pada minggu ini memberi panduan kepada pembaca mengenai kadar pengambilan makanan yang tepat seperti yang dikongsikan tiga pakar.

    Nafsu membuak

    MELIHAT pelbagai aneka makanan istimewa terhidang di hari raya, siapa yang tidak teruja?

    Kalau memenuhi undangan jemputan rumah terbuka, tentu lebih banyak pilihan juadah hingga membuatkan nafsu makan membuak-buak. Bergelora jiwa dibuatnya.

    Situasi itu sebenarnya pernah dialami aktres jelita tanah air, Lisa Surihani, 33.

    “Tambahan, ketika itu (Ramadan dan Syawal), Lisa berbadan dua, perasaan nak makan memang tinggi. Berat badan Lisa pernah naik mendadak hingga 30 kilogram (kg) semasa hamil anak pertama dahulu. Kiranya berat keseluruhan, hampir 80kg.

    “Semasa anak kedua, berat Lisa naik tapi tak sampai 70kg. Namun, Lisa akui berat (naik) juga dipengaruhi oleh sikap Lisa sendiri yang kurang jaga (badan) semasa hamil,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata ini dengan Sihat:Aktif baru-baru ini.

    Pelakon Ombak Rindu itu menambah, beliau mengetahui penambahan jisim tubuhnya juga disebabkan masalah edema iaitu pembengkakan akibat retensi air (air berlebihan dalam tubuh).

    “Selepas berusia 30 tahun, Lisa mula rasa susah nak turun berat badan. Apa yang Lisa lakukan, 80 peratus usaha dengan menjaga pemakanan dan 20 peratus senaman. Alhamdulillah, kini berat badan Lisa 48kg ke 49kg sahaja,” katanya.

    Lisa kini semakin langsing bersama suami tersayang, Yusry Abdul Halim.

    Lisa kini semakin langsing bersama suami tersayang, Yusry Abdul Halim.

    Hidangan berlemak

    Bukan sahaja Lisa, malah kita sendiri rasanya tidak mampu menepis godaan makan pada hari Aidilfitri. Menu khas raya seperti rendang, variasi jenis nasi, kuah kacang, kuah lodeh, kek mahupun biskut cukup mengiurkan.

    Lihat, semua hidangan tersebut kebanyakannya terdiri daripada makanan yang manis, berlemak dan tidak kurang juga mengandungi kandungan garam yang tinggi.

    Jika ada salah seorang yang mempunyai perancangan diet, percayalah, cita-cita itu mungkin ‘ke laut’. Barangkali mendapat berat tambahan. Lebih teruk, ke tahap obesiti!

    Pandangan nakal itu turut dipersetujui oleh Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang, Terengganu, Dr Mazlinah Muda.

    Dr Mazlinah

    Dr Mazlinah

    Kata Dr Mazlinah, hal tersebut boleh terjadi jika seseorang makan dalam kuantiti banyak pada kadar berterusan.

    “Memang kita perlukan kalori yang mencukupi untuk menjana tenaga tetapi jika berlebihan dan tidak dibakar, ia akan bertukar menjadi lemak yang akhirnya disimpan di dalam badan sebagai lemak berlebihan. Ini boleh menjejaskan dan membahayakan kesihatan,” katanya.

    Ujar pakar tersebut, saranan pengambilan kalori makanan berdasarkan Panduan Diet Malaysia (2010) untuk orang dewasa (berumur 18–59 tahun) seperti berikut:

    Lelaki dewasa – 2,000 kcal/ hari

    Wanita dewasa – 1,500 kcal/ hari.

    Secara umumnya, pengambilan lebihan 500 kcal hingga 1,000 kcal sehari boleh meningkatkan berat badan daripada berat badan asal sebanyak 0.5 kg hingga 1.0 kg dalam seminggu atau dua hingga empat kilogram dalam sebulan.

    “Jadi, sesiapa sahaja boleh gagal mengawal nafsu makan jika tidak beringat dan tidak mempunyai disiplin diri semasa makan,” katanya.

    Risiko pesakit kronik

    Kepada pesakit kronik, golongan itu lebih berbahaya terutama kepada pesakit diabetes. Golongan tersebut wajib menjaga kadar gula yang diambil.

    Makanan manis seperti biskut dan kuih raya sentiasa menjadi penyedap rasa hingga tidak sedar sudah menjamah hingga terlebih gula.

    Makanan manis seperti biskut dan kuih raya sentiasa menjadi penyedap rasa hingga tidak sedar sudah menjamah hingga terlebih gula.

    Pesakit darah tinggi yang tidak menjaga kandungan garam dalam makanan pula berupaya mendapat tekanan darah tidak terkawal.

    Pengambilan garam dan protein berlebihan pula boleh menyebabkan pesakit buah pinggang menjadi lebih teruk.

    Daripada semua hidangan popular pada Hari Raya, mana satu makanan yang berbahaya? Jawab Dr Mazlinah: “Makanan berlemak seperti biskut, kek dan kuih-muih seperti dodol dan wajik mengandungi kandungan gula yang tinggi.

    “Hati-hati juga dengan makanan mengandungi santan dan garam seperti rendang, lontong, lemang, ketupat, minuman berkarbonat dan juga minuman berwarna serta manis. Kena kawal pengambilannya seminimum mungkin.”

    Sebenarnya ujar pakar tersebut, terdapat ‘kunci’ bagaimana seseorang boleh mengawal berat badannya ketika musim perayaan.

    Pada pandangan beliau, seseorang hanya perlu memastikan jumlah kalori yang masuk ke dalam badan sama dengan kalori yang dikeluarkan.

    “Bagi mengekang nafsu makan supaya tidak menjejaskan kesihatan, seseorang perlu mempunyai prinsip dan pengetahuan amalan pemakanan sihat.

    “Pilih makanan rendah kalori seperti buah-buahan segar dan sebaiknya dimakan sebelum makan makanan utama,” katanya. Jelasnya lagi, secara amnya, masakan seperti rendang, gulai, kuah lontong, masak merah, kari dan masakan bersambal mempunyai kandungan minyak dan lemak yang tinggi kerana cara memasak memerlukan tumisan dengan minyak agak banyak.

    Ia ditambah lagi dengan lemak kuah daripada sumber seperti daging, ayam dan sebagainya.

    Justeru, beliau menyarankan agar orang ramai tidak menikmati kuah yang ‘bergelumang’ dengan minyak. Sebaliknya, hanya mengambil sumber proteinnya sahaja seperti ayam atau daging.

    “Bagi saya, kita perlu bersederhana dalam apa sahaja yang kita lakukan termasuklah berkaitan dengan makan. Walaupun pada Hari Raya, kesihatan diri tidak sepatutnya kita abaikan,” katanya.

    Mindful eating

    Mengulas isu sama, Pegawai Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Nurliyana Naharuddin berkata, tidak timbul masalah peningkatan berat badan jika merancang diet dengan baik.

    Nurliyana

    Nurliyana

    “Adalah disarankan untuk kita tahu keperluan kalori kita. Contohnya kita perlu 1,800 kalori dalam sehari, bayangkan dalam sehari perlu penuhi undangan enam buah rumah terbuka.

    “Jadi, rancanglah supaya kalori kita perlukan tadi dapat dibahagikan kepada enam rumah itu. Mungkin jika waktu tengah hari perlukan makan lebih di salah sebuah rumah, rumah selebihnya kurangkan ambilan kalori,” katanya.

    Kepada penganjur majlis berbuka, Nurliyana menyarankan agar mereka menyediakan pinggan bersaiz kecil.

    Menurutnya, seseorang itu masih boleh menikmati makanan di Hari Raya dan dalam masa sama mengekalkan berat badan yang sihat jika makan dengan sedar daripada makan tanpa berfikir. Ini yang dipanggil sebagai konsep “Mindful eating”.

    Katanya, antara tip mengawal porsi makanan adalah dengan meletakkan makanan dalam pinggan kecil.

    “Jadi, walaupun seseorang itu hanya ambil makanan dalam kuantiti sedikit, tapi dalam pinggan bersaiz kecil ia akan kelihatan banyak dan mungkin mereka akan berhenti setakat itu saja bila sudah kenyang,” katanya. Kepada tetamu pula, amalkan prinsip pinggan sihat iaitu ‘suku-suku separuh’ (karbohidrat dan protein suku, setengah pinggan sayur dan buah-buahan).

    “Kebiasaannya, sekiranya sesuatu makanan itu sedap, itulah yang perlu dimakan sedikit,” katanya.

    Sila berhenti makan sebelum kenyang – Kevin

    JURULATIH persendirian dan pakar pemakanan, Kevin Zahri berkata, 90 peratus daripada kita boleh mengalami penurunan berat badan pada bulan puasa.

    KEVIN

    KEVIN

    Namun, pada bulan Syawal berlaku sebaliknya.

    Menurut Kevin, pada Hari Raya, 90 peratus dalam kalangan kita akan bertambah berat badan lebih-lebih lagi pada minggu pertama Syawal.

    “10 raya pertama merupakan hari-hari yang paling susah untuk kawal dan biasanya kita akan lepas geram. Di sinilah, berat akan bertambah.

    “Rumah terbuka biasanya diadakan pada hujung minggu, jadi anda ada lima hari untuk buat pilihan yang terbaik untuk diet dan berat anda. Pastikan lima hari seminggu adalah amalan defisit kalori,” katanya.

    Menurutnya, jika seseorang kurang atau tidak bersenam sepanjang bulan puasa, tahap kecergasan sudah tentu terjejas. Namun, itu sesuatu yang normal.

    Berikut ialah antara saranan Kevin yang barangkali boleh membantu mengawal berat badan semasa Hari Raya:

    1 Jangan terus sambung intensiti seperti sebelum berpuasa. Biar intensiti lebih ringan pada permulaan.

    2 Berikan masa untuk membina tahap kecergasan dan kekuatan anda semula. Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu.

    3 Listen to your body. Badan mungkin terkejut dengan beban senaman setelah berehat sebulan. Berhenti sekiranya berasa hendak muntah, sakit atau pening.

    4 Bersenam pada Hari Raya. Itu terpulang kepada anda. Namun, agak susah jika sentiasa berdepan dengan makanan lazat, kesibukan melayan tetamu dan rumah terbuka.

    Mengulas lanjut, Kevin berkata, kita tidak perlu terlalu rakus mahu menjamah makanan di depan mata. Ambil masa 20 minit! Itulah masa yang diperlukan untuk berasa kenyang setelah suapan pertama.

    Pada tempoh tersebut, katanya, makanlah perlahan-lahan atau tetapkan saiz hidangan makanan supaya tidak makan berlebihan.

    “Sila berhenti makan sebelum kenyang,” pesan beliau lagi.

    Ditanya apakah tip yang sesuai dipraktikkan ketika menikmati juadah di rumah terbuka, jelas Kevin, sebaiknya jangan bermula dengan makanan pencuci mulut.

    “Saya akan sentiasa makan hidangan seimbang terlebih dahulu sebelum makan kuih-muih dan biskut raya. Dengan kaedah itu, saya pastikan adanya khasiat yang baik sebelum memakan kalori yang kurang baik. Ingat, sederhana itu penting.

    “Satu lagi tip, jangan lupa bekalan susu. Bukankah ia menambah lagi pengambilan kalori? Ya dan tidak. Susu (rendah lemak) ialah makanan dan minuman yang memang lengkap dari segi nutrisi dan paling penting ia mengenyangkan. Jadi secara tak langsung ia membantu kawal nafsu dan jumlah pengambilan kalori,” katanya yang turut menggalakkan orang ramai membanyakkan minum air kosong.



    Sumber

  • Kalau tiada apa yang perlu dikatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik

    Kalau tiada apa yang perlu dikatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik

    KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

    Pepatah itu sering diungkapkan jika mulut atau lidah kita terlanjur daripada membutirkan kata-kata yang boleh menyusahkan diri sendiri.

    Bukan sahaja masyarakat tidak suka, bahkan agama Islam turut melarang umatnya berkelakuan sedemikian.

    Sesungguhnya, agama Islam merupakan sebuah agama yang amat meniktikberatkan perihal akhlak.

    Disebabkan itulah Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia untuk menyempurnakan keindahan akhlak.

    Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad)

    Dalam perihal mulut pula, sememangnya terdapat hadis yang menceritakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah orang-orang yang tidak menjaga mulut atau lidahnya ketika hidup di dunia.

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga.

    Baginda SAW menjawab: “Takwa kepada ALLAH dan baik akhlaknya.” Lalu baginda ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” (Riwayat al-Tirmizi)

    Menurut Syeikh Abdullah al-Talidi, hadis itu membicarakan berkaitan sebab-sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.

    Adapun, berkaitan maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga dan berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya.

    Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.

    Sementara itu, Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan, makna mulut di dalam hadis berkenaan adalah menjaga lidahnya kerana ia boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketakwaan.

    Memang agak sukar untuk kita menjaga mulut namun, sebaiknya marilah kita sama-sama cuba menjadi seorang muslim yang baik.

    Jika dirasakan tiada apa yang perlu dikatakan, maka berdiam diri adalah lebih baik.

    (Sumber: Irsyad al-Hadith Siri ke-374: Mulut Punca ke Neraka, Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan)



    Sumber

  • Awas,hati-hati dengan garam tersembunyi dalam makanan!

    Awas,hati-hati dengan garam tersembunyi dalam makanan!

    GARAM merupakan sebatian bukan organik yang mengandungi mineral penting yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam jumlah yang kecil.

    Garam juga dikenali sebagai natrium klorida dengan menggunakan simbol NaCl.

    Sodium (nama lain bagi natrium) pula adalah mineral yang terkandung dalam garam. 1 sudu teh garam (5g) adalah bersamaan dengan 2000mg sodium (NCCFN, 2010). 5g garam? 2000mg sodium

    Walaupun garam adalah penting untuk metabolisma tubuh badan kita, namun, pengambilan garam yang berlebihan boleh meningkatkan pelbagai risiko seperti:

    – tekanan darah tinggi

    – penyakit kardiovaskular.

    Selain itu, garam berlebihan dalam badan juga boleh menyebabkan cecair dalam badan terkumpul dan membebankan buah pinggang.

    Justeru itu, anda perlu mengambil kurang daripada 1 sudu teh garam sehari untuk mengelakkan penyakit.

    Tahukah anda di mana garam boleh didapati selain dalam masakan?

    Sebenarnya, garam atau sodium boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Selain garam masakan (natrium klorida), ia juga boleh didapati dalam bahan pengawet dalam bentuk sodium nitrat dan sodium benzoat.

    Antara makanan yang menggunakan bahan pengawet termasuklah:

    1) marjerin

    2) jeruk

    3) jeli

    4) mee kuning

    5) kicap

    6) jem

    7) cili boh

    8) minuman ringan

    Sodium juga boleh didapati dalam roti dan pastri. Ini berpunca daripada penggunaan serbuk penaik yang juga dikenali sebagai sodium bikarbonat.

    Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

    Sebagai contoh, seseorang yang gemar makan roti putih bersama kacang panggang mungkin akan mengambil lebih tinggi sodium berbanding orang yang gemar makan telur asin. Disebabkan garam tersembunyi tidak memberi rasa masin.

    Kebanyakan orang cenderung untuk mengambil makanan tersebut dalam kuantiti yang banyak. Ini menyebabkan jumlah kumulatif sodium dalam diet hariannya menjadi lebih tinggi.

    Oleh itu, anda perlu mengawasi pengambilan makanan-makanan yang mempunyai garam tersembunyi.

    Sumber: Kementerian kesihatan Malaysia (KKM)



    Sumber

  • Demi Malaysia Russel tinggalkan Australia

    Demi Malaysia Russel tinggalkan Australia

    KETIKA diberi tugasan untuk mewawancara atlet sukan olahraga yang dibesarkan di Australia, Russel Alexander Nasir Tain, pelbagai andaian bermain di minda penulis mengenai kemampuannya.

    Namun, sebaik melihat ketangkasannya di padang balapan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Kejohanan Malaysia Open Grand Prix baru-baru ini meleraikan segala tanda tanya.

    Misi Russel memberi kemenangan buat Malaysia

    Misi Russel memberi kemenangan buat Malaysia

    Kelibat pelari berkulit putih dengan rambut perang itu berjaya menamatkan pusingan kedua acara 200 meter dengan catatan masa 21.24 saat telah menunjukkan sisi hebatnya.

    Menyorot peribadinya, Russel yang berusia 21 tahun dilahirkan di Kuala Lumpur. Ketika berusia tiga tahun, Russel dan keluarganya telah berpindah ke Horbart, Tasmania, Australia.

    Sejak awal lagi, Russel memang memilih untuk terlibat dalam acara larian. Bakat beliau sebenarnya dicungkil oleh gurunya ketika melihat bakat remaja kacak itu yang boleh berlari dengan pantas.

    “Ketika itu, umur saya 11 tahun. Sejak itu, saya telah diberi latihan khusus oleh jurulatih bertauliah,” kata lelaki kacukan itu dalam satu wawancara khas bersama Oh! Lelaki di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini.

    Russel berhasrat ingin mengharumkan nama Malaysia

    Russel berhasrat ingin mengharumkan nama Malaysia

    Setahun selepas itu, bintangnya bersinar apabila anak muda ini menerima Anugerah Junior National U14 dalam acara 100 meter di Australia.

    Tidak berhentik setakat di situ, Russel kemudian menggondol gelaran juara pada Junior Australia sebanyak lapan kali dengan memenangi U18 pada Kejohanan Kebangsaan Junior Australia.

    “Banyak lagi sebenarnya,” kata pelajar University of the Sunshine Coast dalam jurusan Ijazah Psikologi Sukan ini sambil tertawa kecil.

    Bagaimana permulaan Russel terpilih menjadi atlet Malaysia?

    Ini semua bermula apabila dirinya berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 200 meter pada Kejohanan Trek Klasik Queensland di Brisbane, Australia.

    Russel ingin mencipta nama sebagai atlet sukan berjaya

    Russel ingin mencipta nama sebagai atlet sukan berjaya

    Russel menduduki tangga kedua dengan catatan 20.77 saat sekali gus memadam rekod terdahulu 20.90 saat yang dilakukan oleh raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

    Kejayaan itu menjadi titik tolak kepadanya apabila beliau diberi kepercayaan untuk bertanding di tanah air sebagai atlet Malaysia.

    “Saya memang ingin mencurahkan bakat saya dengan negara kelahiran saya iaitu Malaysia.

    “Saya gembira telah menyarung jersi Malaysia. Saya rasa sudah tiba masanya saya mewakili negara. Sudah menjadi hasrat saya untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa,” kata Russel yang senang diajak berbicara walaupun sisa kepenatan masih terserlah pada wajahnya.

    Walaupun gagal menyumbangkan pingat emas pada Kejohanan Malaysia Open Grand Prix, Russel berkata berpuas hati berada di tempat kedua.

    Beliau mencatat masa 21.12 saat, tewas kepada atlet Taiwan, Tai Shenf Wei dalam pusingan ketiga.

    Ujar Russel, beliau enggan menoleh ke belakang.

    “Biasalah, tak mengapa. Saya gembira dengan keputusan baharu ini. Selepas ini, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya pada Kejohanan Olahraga Asia di Doha tidak lama lagi.

    “Saya juga akan melihat semula apa kelemahan yang boleh saya perbaiki sebelum berdepan aksi di Doha nanti,” kata Russel bersungguh.

    Bahasa Melayu

    Anak bongsu daripada tiga beradik ini kelihatan memahami apabila diajukan soalan dalam bahasa Melayu walaupun tidak mampu menjawabnya dengan baik.

    “Saya masih belajar bercakap dalam bahasa Melayu. Walaupun ayah saya berasal dari Perak dan ibu berketurunan British, kami selesa berkomunikasi guna dalam bahasa Inggeris,” beritahu Russel.

    Di sebalik ‘kekurangan’ itu, Russel bagaimanapun amat menyukai masakan Melayu terutama nasi goreng, roti canai dan nasi lemak. Beliau juga amat bertuah apabila ibunya sememangnya amat pandai memasak dan tiada masalah untuk menyediakan masakan Melayu.

    “Alhamdulillah dengan nikmat ini. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya dalam bidang olahraga,” ujarnya mengakhiri perbualan.

    Russel (dua dari kiri) ketika beraksi dalam satu pertandingan yang disertai beberapa tahun lalu

    Russel (dua dari kiri) ketika beraksi dalam satu pertandingan yang disertai beberapa tahun lalu

    PENCAPAIAN DALAM SUKAN

    Pingat Perak acara 4×100 meter lelaki Sukan Sukma 2018 Pingat Gangsa acara 200 meter Sukan Sukma 2018

    Pingat gangsa acara 4×100 meter, Sukan Sukma 2016 Tempat ke-5 larian 100 meter, Belia Sukan Komanwel di Samoa tahun 201

    Pingat gangsa di U/400 meter 1st Asian Youth Games, tahun 2015

    NAMA: Russel Alexander Nasir Taib

    UMUR: 21

    ASAL: Kuala Lumpur

    ADIK BERADIK: Anak pertama daripada tiga beradik

    LAMAN WEBSITE SUKAN:http://www.russeltaib.com

    MISI DALAM SUKAN: Terpilih dalam Sukan Asia

    SEBAB PILIH SUKAN LARIAN: Suka berlari dan tidak suka sukan secara berpasukan.

    “Bagi saya larian hanya perlukan fokus dan kekuatan stamina, itu sebab saya pilih acara larian,” katanya



    Sumber

  • Bukan sekadar penyampai

    Bukan sekadar penyampai

    UNTUK memecah tembok kebosanan ketika memandu, radio menjadi peneman setia penulis. Lazimnya, penulis akan memilih stesen radio yang memutarkan lagu-lagu yang segar dan terkini.

    Pada satu hari, secara kebetulan, stesen radio yang biasa didengar dirasakan kurang menyengat. Lantas, penulis memutar tombol hingga berhenti pada frekuensi 91.5 FM. Jika di Lembah Klang, ia merupakan radio IKIM FM iaitu radio milik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

    Tatkala mendengar butiran percakapan beberapa penyampai, hati penulis tertanya: “Mereka memang ustaz dan ustazah atau lulusan bidang agama ke?”

    Masakan tidak, susunan kata mereka begitu teratur. Mereka juga menyampaikan dakwah dengan cara paling sopan. Inti percakapan mereka penuh berilmu bukan semberono. Paling menarik, cara pendekatan mereka bersifat santai.

    Daripada hanya mendengar suara mereka di corong radio, akhirnya penulis bersua muka dengan tiga penyampai di konti IKIM FM di Kuala Lumpur baru-baru ini. Mereka ialah Norhayati Paradi, Mohammad Suffian Amrin dan Khairi Hazwan Muhammad Asri.

    Cabaran

    NORHAYATI

    NORHAYATI

    Kepada Sinar Islam, Norhayati menjelaskan, bukan semua penyampai di stesen radio itu merupakan lulusan bidang agama. Ada yang mengambil jurusan komunikasi, cuma sebahagiannya merupakan graduan dalam jurusan syariah.

    “Saya sendiri merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    “Memang saya akui, cabaran saya lebih besar lantaran radio IKIM memang mengutamakan kandungan Islamik sedangkan saya tiada latar belakang Islamik yang begitu kukuh,” ujar beliau yang mula bergelar penyampai radio IKIM sejak tahun 2007.

    Namun, Norhayati, 38, yang turut menggalas tugas sebagai penerbit rancangan tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan.

    “Kita kena berterusan belajar dan belajar. Dari situ, ALLAH berikan hidayah dan hadiahkan kita buah fikiran. Dalam masa sama, kita sendiri boleh belajar (mendalami ilmu agama). Lama-kelamaan ia akan berkembang.

    “Saya tak nafikan, kawan-kawan di sekeliling juga banyak membantu. Contohnya, mereka mencadangkan ustaz atau ustazah mana yang sesuai bercakap tentang sesuatu topik. Segala idea untuk pengisian rancangan dibincangkan bersama untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” ujarnya yang mengendalikan slot Aspirasi bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

    Norhayati meneruskan naratif ceritanya. Kali ini, beliau galak bersembang tentang pengisian IKIM pada bulan Ramadan.

    “Sebenarnya, sejak bulan Syaaban lagi sebelum masuknya bulan Ramadan, kami telah mengetengahkan sunah Rasulullah SAW. Ada masyarakat kita lakukan apa yang pernah dilakukan Nabi Muhammad SAW tetapi dengan cara yang salah. Itulah yang kami betulkan sebelum masuknya bulan Ramadan,” jelasnya yang tidak berdepan masalah ketika bersiaran pada bulan puasa.

    Digelar ustaz

    MOHAMMAD SUFFIAN

    MOHAMMAD SUFFIAN

    Seorang lagi penyampai, Mohammad Suffian merupakan bekas pelajar undang-undang. Namun, penyanyi kumpulan nasyid Saujana itu melahirkan rasa syukur kerana dapat mengembangkan cabang dakwahnya di corong radio pula.

    Suaranya boleh didengari pada segmen Warna Pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

    Meskipun sekian lama berada di landasan dakwah, Mohammad Suffian, 38, berkata, pendekatannya diolah mengikut kesesuaian.

    “Dalam menyampaikan lagu nasyid, kita perlu jaga pitching. Namun di radio, kita perlu fokuskan kepada kandungan rancangan, program dan segmen setiap hari. Segalanya mesti memberi manfaat kepada pendengar agar ia bersesuaian dengan slogan IKIM FM iaitu Inspirasi Inforia Islami.

    “Satu lagi, kita kena sampaikan dengan penuh adab walaupun mungkin ada terselit sedikit hiburan. Apa yang disampaikan bukan sekadar info semata-mata, sebaliknya kami juga sampaikan ilmu supaya pendengar dapat mendapat faedah daripadanya,” jelasnya yang sudah sembilan tahun berkhidmat di IKIM.

    Menjawab satu soalan, Mohammad Suffian berkata, IKIM FM sedaya upaya meringankan penyampaian dakwah dengan membawa isu-isu kemasyarakatan, sosial dan tular.

    “Cuma cabarannya, bagaimana kita hendak menyampaikannya dalam bentuk yang diterima ramai? Ia mesti tidaklah terlalu lawak, (seolah-olah nampak seperti) main-main atau tidak terlalu berat. Yang penting santai tetapi sampai (mesejnya),” katanya.

    Dek kerana kerjayanya yang lebih kepada dakwah itu, Mohammad Suffian pernah dipanggil ustaz oleh masyarakat.

    “Saya kurang selesa dipanggil ustaz. Saya tak kisah orang hendak panggil saya Wak Pyan sebab saya (berketurunan) Jawa, atau panggil abang atau cikgu pun okay. Saya rasa berat dengan panggilan ustaz sebab ada ramai lagi ustaz-ustaz lain yang lebih banyak mendalami bidang syariah, akidah, usuluddin dan usul fiqh,” ujarnya.

    Sebelum mengakhiri bicara, Mohammad Suffian berkata, penting baginya menelaah topik yang akan dikendalikannya bersama rakan penyampai.

    “Kita perlu temubual tetamu yang hebat dan pakar dalam bidang masing-masing, jadi saya wajib ulangkaji sesuatu topik,” ujar beliau.

    Perubahan kerjaya

    KHAIRI HAZWAN

    KHAIRI HAZWAN

    Dalam kalangan tiga penyampai IKIM FM yang penulis temubual, Khairi Hazwan, 33, adalah yang paling muda. Beliau baru berkhidmat di IKIM FM sejak lima bulan lalu.

    Sebelum itu, beliau bekerja di sebuah stesen radio terkemuka sebagai pembaca berita serta laporan trafik.

    Menceritakan permulaan kerjayanya di radio IKIM FM, Khairi Hazwan yang mesra disapa Hazwan berkata, ia bermula secara sambilan pada tahun 2017 lagi.

    “Pada Julai 2018 pula, saya menggantikan penyampai yang bercuti pada hari Sabtu dan Ahad untuk slot 6 pagi hingga 10 pagi.

    “Pada awal tahun ini, alhamdulillah, saya diterima bekerja sebagai penyampai sepenuh masa untuk segman Warna Pagi di IKIM FM bergandingan bersama Mohammad Suffian,” ujarnya.

    Mengakui terpaksa melalui perubahan bekerja di stesen baharu dengan konsep lebih Islamik, namun Hazwan tenang menghadapinya.

    “Sejak zaman sekolah menengah lagi, saya sudah mendengar IKIM FM dan tahu bagaimana konsep radio ini. Alhamdulillah, saya sendiri pun suka dengar ceramah-ceramah agama,” jelasnya yang mengamalkan kurma dan sedikit manisan daripada buah-buahan sepanjang berpuasa supaya kekal bertenaga ketika di konti.

    Pun begitu, Hazwan tidak lari daripada dihambat rasa bimbang setiap kali hendak menyelitkan unsur-unsur Islamik di dalam penyampaiannya lebih-lebih lagi ayat al-Quran dan hadis.

    “Bukannya apa, cuma saya risau hadis itu sahih atau tidak. Kadangkala, kita juga kena buat rujukan contohnya menyemaknya di portal rasmi mufti untuk mendapatkan kepastian.

    “Semua ini jauh berbeza dengan apa yang dilalui saya ketika di tempat kerja lama saya. Namun, apabila ke udara dengan ustaz dan ilmuan, saya turut menimba ilmu,” ujar beliau.

    Kepada satu soalan, Hazwan berkata: “Saya kekalkan cara saya. Saya tak nak kerana saya masuk IKIM, saya akan terus menjadi ‘baik’. Cuma, saya hendak orang pandang IKIM tidak terlalu ‘jumud’ dan apa juga pandangan.

    “Dulu, sebelum saya menyertai keluarga IKIM, itulah yang saya fikir kerana destinasi ini ibarat tempat untuk berwacana. Saya jadi takut. Bila saya di sini, saya cuba hendak jadikan ia sebagai santai supaya generasi-generasi seperti saya berfikiran terbuka untuk menerima perkara itu.”



    Sumber

  • Ini punca air ketuban jadi banyak…

    Ini punca air ketuban jadi banyak…

    AIR ketuban/ mentuban biasanya dikenali sebagai polyhydramnios. Air ketuban yang sedikit dipanggil sebagai oligohydramnios. Kalau langsung tiada air ketuban dipanggil sebagai anhydramnios.

    Air ketuban datangnya dari air kencing bayi dan dari plasenta (uri) serta sedikit komponennya berasal dari kulit bayi sendiri.

    Air ketuban sentiasa dalam keadaan keseimbangan di mana air mentuban ini akan diminum oleh bayi itu sendiri. Ibaratnya seseorang bayi dalam kandungan menghasilkan air mentuban sendiri dan dia sendiri minum air tu.

    Tidak susah pun hendak memahami konsepnya. Apa jua keadaan yang menyebabkan bayi kencing banyak atau apa jua keadaan yang menyebabkan bayi tak boleh menelan air ketuban ini semula akan menyebabkan air ketuban ini banyak dari biasa.

    Berikut antara sebab biasa air ketuban atau mentuban itu boleh menjadi banyak:

    1) Ibu ada penyakit kencing manis – Bila ibu mempunyai kencing manis, paras gula dalam badan ibu tinggi. Gula yang tinggi ini dipindahkan kepada bayi melalui tali pusat. Paras gula yang tinggi pada bayi menyebabkan bayi terkencing-kencing dengan banyaknya sekaligus air ketuban menjadi banyak.

    2) Bayi ada kecacatan pada bahagian saraf atau bahagian kepala atau pada salur pencernaan menyebabkan air mentuban ini tidak boleh ditelan dan menjadi banyak.

    3) Bayi ada masalah genetik seperti sindrom down atau sindrom Edward di mana sindrom ini ada berkaitan dengan ketaknormalan sistem pencernaan. Air ketuban tidak boleh ditelan dan ia menjadi banyak.

    Jadi, semua perkara yang berlaku ini adalah melibatkan bayi itu sendiri dan keadaan di dalam rahim. Ia tiada kaitan dengan apa yang ibu makan, apa diminum seseorang ibu atau disebabkan ibu mandi malam.

    Air mandian tidak boleh meresap melalui kulit ataupun ada laluan rahsia untuk sampai terus ke rahim dan sebabkan air ketuban menjadi banyak secara tiba-tiba.

    *Penulis ialah Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan

    Sumber: FB Muhammad Izzat



    Sumber

  • Radio medium memudahkan penyebaran dakwah

    Radio medium memudahkan penyebaran dakwah

    DAKWAH tidak semestinya dengan kata-kata atau tulisan, sebaliknya ia adalah apa sahaja yang menyebabkan seseorang itu kembali kepada jalan Tuhan.

    Pandangan itu dilontarkan pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz tentang pengertian dakwah.

    Di dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik.

    Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125) Berdasarkan ayat itu, PU Faiz berkata, jelas bahawa dakwah bermaksud menyeru atau mengajak.

    “Walaupun seseorang tak bercakap tetapi hanya dengan perbuatan, perbuatan itu sebenarnya lebih nyata dan jelas.

    “Seseorang yang berdakwah atau dipanggil dai’ mestilah berdakwah seperti mana dilakukan ketua pendakwah kita iaitu Rasulullah SAW sebagaimana disebutkan di dalam Surah al-Ahzab, ayat 46,” katanya kepada Sinar Islam.

    USTAZ HANAFI

    USTAZ HANAFI

    Sementara itu, seorang lagi tokoh agama Ustaz Hanafiah Abd Malek atau Ustaz Hanafi berkata, dakwah melalui corong radio merupakan satu medium yang memudahkan dunia dakwah.

    “Radio boleh didengari di dalam kereta, kenderaan, telefon dan sebagainya. Ya, lebih memudahkan. Namun, terpulang kepada kebijaksanaan stesen radio itu untuk selangi (penyampaian) dengan lagu-lagu ataupun kaedah-kaedah tertentu. Kalau boleh, biarlah kaedah itu tidak menyalahi atau bercanggah dengan Islam,” ujar beliau.



    Sumber

  • Piza Ssamjeang Domino’s yang pedas dan enak kembali!

    Piza Ssamjeang Domino’s yang pedas dan enak kembali!

    DOMINO’S Pizza kembali dengan Piza Ssamjeang! Kali ini Domino”s menawarkan sajian manis dan pedas, dengan sedikit sentuhan drama Korea.

    Kenapa digelar Ssamjeang? Kerana majoriti rakyat negara ini gemarkan drama Korea, bukan sahaja pelakon malah makanan negara itu cukup dekat di hati rakyat negara ini.

    Piza Ssamjeang khususnya Piza Ssamjeang daging telah menambat hati rakyat Malaysia dan menjadi piza yang terlaris pada tahun lalu.

    Rasai kelazatan dan kepedasan melalui kempen ‘So Spicy, So Drama’ dengan tiga menu yang berbeza, iaitu Piza Ssamjeang daging, ayam dan tuna.

    Rahsia kelazatan produk Domino’s ini adalah terletak pada sos pedas Koreanya yang dicipta khas oleh Domino’s sebagai asas piza bagi Pizza Ssamjeang.

    Dengan gabungan kepedasan dan kemanisan, sos Ssamjeang yang unik ini pasti membuat anda jatuh cinta selepas cubaan kali pertama.

    Bagi melengkapkan kemunculan semula Ssamjeang, Domino’s juga membawa kembali kepak ayam Haseyos, yang dibakar sempurna bersama salutan sos Ssamjeang yang lazat dan ditaburi bijan serta parsli kering.

    Domino’s sentiasa tawar produk berkualiti

    Naib Presiden Kanan, Pemasaran, Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Linda Hassan memberitahu pihaknya akan terus membawa inovasi dan menawarkan pengalaman yang menyeronokkan bersama produk yang lazat dan berkualiti tinggi dengan nilai yang hebat.

    “Kami juga berusaha untuk mempelbagaikan jenama dan akan memastikan semua pelanggan mendapat pengalaman Domino’s yang sentiasa menjadi kenangan yang terbaik.

    “Kejayaan kami di negara ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada pelanggan setia yang sentiasa memberi semangat, inspirasi dan motivasi yang menjadi tunggak usaha kami,” ujarnya.

    Nikmati tawaran hebat ‘So Spicy, So Drama’

    Rakyat Malaysia akan mendapat tawaran hebat sepanjang kempen ‘So Spicy, So Drama’, dengan promosi seperti Ssamjeang Buddy Combo yang menawarkan 1 Ssamjeang Pizza Regular, 1 Cheesy Cheddar Stix/Mozzarella Stix, 1 Ayam Haseyo dan 2 tin minuman ringan pada hanya RM39.90, sekaligus anda jimat RM25.60.

    Pelanggan juga boleh membeli Ssamjeang Super Combo, yang menawarkan 1 Ssamjeang Pizza Regular, 1 piza Regular, 1 Cheesy Cheddar Stix/Mozzarella Stix, 1 Ayam Haseyo dan 1 botol minuman ringan pada hanya RM54.90, dengan penjimatan sebanyak RM37.60.

    Untuk nilai lebih hebat, pelanggan boleh memesan 2 Pizza Deals dan mendapatkan Piza Ssamjeang dengan tambahan keju, yang boleh didapati pada harga daripada RM35.90 untuk dua piza sederhana, RM56.90 untuk dua piza besar dan RM77.90 untuk dua piza paling besar.

    Piza Ssamjeang menawarkan sajian manis dan pedas yang pasti menyelerakan.

    Piza Ssamjeang menawarkan sajian manis dan pedas yang pasti menyelerakan.

    Selain itu, Ssamjeang Pizza saiz personal boleh didapati dengan tawaran ‘Super Tuesday’ pada setiap Selasa dengan harga serendah RM3.90 untuk pesanan bawa pulang dalam talian dan RM4.90 untuk pesanan dari kaunter. Pizza Ssamjeang juga sebahagian daripada promosi Domino’s Ohsem Hari-Hari pada harga hanya RM5.00 untuk setiap piza peribadi.

    Sebagai makluman, Piza Ssamjeang boleh didapati di semua cawangan Domino’s Pizza bermula 20 Mei lalu dan untuk membuat pesanan dalam talian, anda boleh hubungi 1300-888-333.



    Sumber

  • Tip betul memilih tali leher

    Tip betul memilih tali leher

    PEMAKAIAN tali leher membuatkan lelaki lebih segak, berkarisma terutama ketika menghadiri temu duga, sesi pembentangan kerja, bertemu klien dan sebagainya. Bagi mencapai maksud itu, anda harus tahu cara memilih tali leher yang sesuai dipakai.

    Berikut ialah tip memilih tali leher dengan tepat:

    1. Kenali saiz tali leher

    Terdapat tiga jenis saiz tali leher yang ada di pasaran iaitu jenis standard (saiz 3.75 – 4 inci), narrow (saiz 2.75 – 3 inci) dan skinny (saiz 1.75 – 2 inci). Lelaki berbadan plus saiz sesuai memakai tali leher standard. Sementara bagi lelaki berbadan sederhana lebih segak mengenakan tali leher jenis narrow dan berbadan kurus sesuai dengan jenis skinny.

    2. Pilih ikut baju

    Warna, corak dan kemeja merupakan panduan asas yang anda harus tahu untuk memilih tali leher yang sesuai. Jika memakai baju berwarna neutral atau lembut, pilih tali leher warna terang. Sekiranya, memakai baju bercorak dan berbelang, tali leher plain lebih sepadan.

    3. Kedudukan tali leher

    Paras atau kedudukan tali leher seeloknya mencecah kepala tali pinggang. Tali leher terlalu pendek menampakkan sisi diri tidak matang. Tali leher yang dipakai terlalu panjang pula akan membuatkan anda kelihatan selekeh.

    4. Perlu ada dimple

    Apa yang dimasukkan dengan dimple? Dimple adalah lekukan di pangkal ikatan. Pemakaian tali leher yang baik apabila terdapat dimple. Terdapat dua cara untuk menghasilkan dimple. Pertama, anda harus menarik tali leher ke atas untuk dikemaskan pada leher. Kemudian letak jari telunjuk di atas tali leher dan tarik perlahan-lahan. Jari telunjuk akan memastikan alur dimple terbentuk. Cara kedua, menarik tali leher ke atas, lipatkan tali leher dan tarik perlahan-lahan.

    5.Cuba dahulu sebelum membeli

    Sebelum membeli tali leher, pastikan anda mencubanya terlebih dahulu. Perhatikan sama ada tali leher itu menarik atau sepadan dengan anda.

    6.Tali leher dipotong elok

    Pastikan tali leher yang dibeli itu dipotong elok. Bagi mengetahui tali leher itu berada dalam kondisi yang baik atau tidak, caranya dengan memegang hujung tali leher yang paling tirus dan biarkan ia jatuh ke bawah. Jika tali leher tidak berpintal, itu bermakna ia telah dipotong dengan baik.



    Sumber

  • Iftar bersama bukan Islam

    Iftar bersama bukan Islam

    KETIKA Ramadan tahun lalu, saya menjalani ibadah puasa di daerah Mie, Jepun. Sebulan lamanya saya bersama masyarakat di sana mengimarahkan Ramadan. Kami bertadarus al-Quran, tazkirah, iftar, solat tarawih dan sahur. Banyak pengalaman menarik dan baharu yang saya lalui.

    Salah satu yang menarik ialah iftar. Seperti kebanyakan masjid dan surau di Malaysia, Masjid Mie turut menyediakan juadah iftar percuma setiap hari. Komuniti umat Islam di situ akan bergilir-gilir memasak.

    Menjelang waktu Maghrib, masjid berkenaan akan dipenuhi dengan masyarakat Muslim setempat yang hadir untuk berbuka bersama. Namun, apa yang berbeza ialah majlis iftar itu akan disertai oleh masyarakat bukan Islam. Suasana itu berlaku hampir setiap hari.

    Mereka yang datang ada terdiri dalam kalangan guru-guru sekolah berdekatan, ada sesetengahnya yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat tertentu serta tidak kurang juga yang hadir secara individu.

    Pihak pengurusan masjid pula menyambut dan meraikan mereka dengan layanan yang baik dan mesra. Begitu juga dengan komuniti Islam yang ada di situ. Mereka saling bertegur sapa dan menerangkan sedikit sebanyak tentang amalan berpuasa yang Islam tetapkan.

    Mungkin ada yang tertanya, bolehkah orang bukan Islam turut serta iftar bersama? Jadi, mari kita lihat bagaimana Islam mengajar kita bentuk berinteraksi dengan orang bukan Islam. Prinsip asasnya seperti di dalam ayat berikut:

    Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9)

    Berdasarkan ayat itu, Islam tidak melarang kita untuk berbuat baik kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi kita.

    Sifat baik

    Mengajak berbuka bersama adalah salah satu sifat baik yang boleh ditonjolkan sempena Ramadan ini. Apatah lagi, orang bukan Islam tersebut ialah jiran-jiran kita, rakan satu pejabat, komuniti yang berdekatan masjid dan sebagainya.

    Bahkan, menjemput mereka untuk turut bersama menyertai majlis iftar merupakan salah satu cara kita menzahirkan sikap Islam yang sentiasa mengangkat nilai harmoni dalam meraikan perbezaan agama.

    Ia juga merupakan peluang dakwah yang boleh dimanfaatkan untuk kita kongsikan dengan mereka khususnya tentang ibadah puasa.

    Cuma untuk meraikan kehadiran mereka, janganlah sampai kita pula menyediakan makanan atau minuman yang dilarang oleh Islam. Tidak perlu sampai ke tahap itu.

    Begitu juga solat. Jangan sampai kita melengahkan atau mengabaikan solat dengan alasan mahu meraikan mereka. Tunjukkan bagaimana Islam mengajar kita menjadi muslim yang komited dengan ajaran agama.

    Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan kerahmatan. Maka, mari kita zahirkan rahmat tersebut dalam bentuk hubungan baik kita dengan masyarakat bukan Islam.

    Islam itu indah, maka keindahan tersebut perlu diserlahkan dengan sikap kita sebagai Muslim. Tunjukkanlah keindahan itu kepada mereka yang bukan Islam.

    ***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.



    Sumber