Blog

  • Atasi mulut berbau tatkala bulan puasa

    Atasi mulut berbau tatkala bulan puasa

    MALUNYA untuk bercakap gara-gara takut mulut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan? Masalah ini rasanya sering berlaku tatkala Ramadan.

    Kenapakah mulut berbau ya?

    Masalah itu berlaku disebabkan oleh bakteria hidup ekoran lebihan makanan yang tidak dibersihkan di antara celah gigi. Selain itu, ia juga berlaku disebabkan kekurangan air liur.

    Usah cemas, Oh! Lelaki menyediakan beberapa tip yang boleh mengurangkan bau mulut ketika berpuasa.

    Bau mulut disebabkan oleh makanan tidak dibersihkan di antara celah gigi

    Bau mulut disebabkan oleh makanan tidak dibersihkan di antara celah gigi

    1. Elak makanan manis

    Hadkan pengambilan makanan manis sepanjang bulan Ramadan. Ini kerana makanan manis cepat melekat pada gigi dan sukar dibersihkan. Akhirnya gigi cepat rosak dan menyebabkan bau mulut.

    2. Elak bawang putih dan kopi

    Bawang putih dan kopi punca nafas berbau. Amalkan pemakanan seperti cornflakes, kekacang dan buah epal yang dapat membantu membersihkan bahagian lidah paling belakang.

    3. Berkumur dengan cecair kumur

    Berus gigi sahaja tidak membantu menghilangkan lebihan makanan yang terdapat pada bahagian celah gigi, lidah dan gusi.

    Gunakan ubat kumur selepas bersahur dan berbuka bagi menghilangkan bau yang kurang menyenangkan.

    Makanan manis antara punca bau mulut

    Makanan manis antara punca bau mulut

    4. Minum banyak air kosong

    Bagi menghindari mulut kering dan berperanan menjaga keseimbangan air dalam tubuh serta membantu menghasilkan air liur.

    5. Gosok gigi dan lidah

    Caranya semasa menggosok gigi tarik keluar berus gigi dan hembuskan nafas bagi menyingkirkan bau mulut. Amalkan setiap kali waktu bersahur dan berbuka.

    6. Berkumur dengan air garam

    Amalkan selepas anda menggosok gigi dan kemudian berkumur-kumur dengan air garam serta kunyah daun pudina untuk mendapatkan kesegaran nafas dan mulut.

    7. Keju dan susu

    Keju mengandungi karbohidrat yang boleh menguatkan gigi, meningkatkan pengeluaran air liur dan mengurangkan pertumbuhan karang gigi manakala susu pula membantu mengatasi bau mulut.



    Sumber

  • ‘Jangan sampai menyusahkan tuan rumah’

    ‘Jangan sampai menyusahkan tuan rumah’

    MESKIPUN ziarah itu dituntut dalam Islam, namun jangan sampai kita mahupun ahli keluarga merosakkan majlis Hari Raya Aidilfitri tuan rumah.

    Itu ingatan pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid kepada ibu bapa jika anak mereka tidak boleh dikawal ketika bertandang ke rumah orang.

    “Sebelum pergi ke rumah orang, kita kena pesan kepada anak-anak kita supaya duduk di tempat yang disediakan dan tidak pergi ke dapur, merosakkan harta benda atau haiwan peliharaan tuan rumah dan sebagainya.

    “Ada masa-masa tertentu yang tidak sesuai iaitu ketika anak ngantuk atau lapar. Jika mereka tidak dapat dikawal, cepat-cepat minta izin untuk balik. Jangan duduk lagi. Kalau anak kita boleh merosakkan majlis, lebih baik kita undurkan diri supaya majlis itu tidak rosak disebabkan kita atau ahli keluarga kita,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

    Beliau turut mengingatkan agar setiap daripada kita memperbetulkan niat ziarah iaitu bukan untuk makan. Sebaliknya, untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan.

    “Lagi satu, elakkan ziarah pada tiga waktu ini iaitu sebelum Subuh, tengah hari dan selepas Isyak. Tuan rumah juga hendak berehat. Perkara ini ada disebut di dalam al-Quran. Jika mahu juga berziarah waktu itu, minta kebenaran masa terlebih dulu daripada tuan rumah,” ujarnya.

    IMAM MUDA ARAN

    IMAM MUDA ARAN

    Sementara itu, tokoh agama Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menitipkan pesan supaya tetamu tidak menyusahkan tuan rumah jika mahu raya secara konvoi.

    “Tiada masalah raya beramai-ramai, cuma kita kena pandai bawa diri. Jangan sampai kita menyusahkan tuan rumah. Tunjukkan kesungguhan bahawa kita datang untuk menziarahinya, bukan untuk makan.

    “Namun, jika tuan rumah tetap mahu menjamu makanan kepada kita dengan seikhlasnya, maka kita bantulah mereka menghidangkan makanan atau minuman, angkat dulang dan sebagainya,” ujar beliau.



    Sumber

  • ‘Bila-bila masa ALLAH boleh ambil nyawa saya’

    ‘Bila-bila masa ALLAH boleh ambil nyawa saya’

    NOR ASIAH NOH,39 atau Asiah adalah pejuang kanser yang cekal, beliau enggan berpaling ke belakang sebaliknya terus ke hadapan melawat penyakitnya itu. Meskipun kanser payudara kini berada pada tahap tiga, beliau tidak pernah mengganggap ia ‘penamat’ kepada kehidupannya.

    Wanita yang berstatus ibu tunggal itu meneruskan kehidupan seperti biasa dan penuh bahagia bersama empat anaknya walaupun sebelah payudaranya sudah dibuang beberapa tahun lalu bagi mengelak ia merebak.

    Bagi wanita yang berasal dari Kelantan itu, ajal dan maut sememangnya ketentuan ILLAHI. Cepat atau lambat sahaja, yang sakit belum tentu dijemput awal begitu juga dengan yang sihat. Jom ikuti perkongsian beliau bersama Femina sempena Hari Pejuang Kanser Sedunia dan juga Aidilfitri kali ini.

    1) Setiap manusia akan diuji dengan ujian yang berbeza, ada yang mampu ditangani bahkan sebaliknya. Puan telah diuji dengan kanser, bagaimana situasi puan ketika disahkan perkhabaran duka itu?

    Saya sudah boleh meramalkan jawapan yang akan diberitahu doktor. Sebenarnya, sudah lama saya mengalami kesakitan pada bahagian payudara. Pada awalnya, saya sangat sedih, diri saya melayang-layang. Sukar untuk terima. Lama saya ambil masa untuk beritahu keluarga.

    Sebagai ibu tunggal, ketakutan menyelubungi ketika itu. Jika berlaku apa-apa pada saya, siapa mahu menjaga empat zuriat saya? Ibu menjadi tempat saya mengadu nasib dan berkongsi kasih selepas saya berpisah dengan suami tujuh tahun lalu.

    Selepas dua minggu menjana kekuatan dalaman, saya memberanikan diri memberitahu ibu. Walaupun ibu terkejut, namun dia tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan motivasi buat saya. Dia minta saya ikut nasihat doktor.

    2) Anak-anak merupakan insan yang paling terkesan dengan ujian yang melanda puan, jadi bagaimana pula dengan penerimaan mereka?

    Saya ambil masa dua minggu untuk memberitahu ibu, beliau individu pertama yang dapat tahu penyakit saya. Siapa yang tidak terkejut termasuk ibu. Namun, beliau tetap beri kata-kata semangat untuk melawan penyakit itu termasuk mendekatkan diri dengan Tuhan.

    Jauh di sudut hati, saya rasa berat hati untuk menceritakan perihal penyakit ini kepada anak-anak. Saya tidak mahu mereka sedih dan berduka. Namun, lama-kelamaan anak-anak seakan dapat menghidu penyakit saya.

    Mungkin sebab saya selalu berulang-alik ke hospital dan mengambil pelbagai jenis ubat. Hingga satu masa, anak sulung bertanyakan saya berkenaan diri saya. Dia boleh mengagak dan saya hanya mengiyakan pertanyaannya.

    Saya nampak wajahnya berubah dan sebak. Dia minta saya kuatkan semangat. Walaupun dia menyedari hayat ibunya tidak panjang, saya nampak dia berusaha untuk melihat saya pulih.

    Dia kaji penyakit saya melalui internet dan minta saya lakukan sesuatu untuk kembali sembuh. Ya, atas sokongan beliau, saya kini mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil pemakanan yang berkhasiat. Perkara-perkara negatif saya buang jauh-jauh.

    Memandangkan saya tinggal berasingan dengan anak-anak, dua daripadanya tinggal di Kelantan bersama ibu manakala dua lagi di asrama sekolah, saya akui hidup agak sunyi. Justeru itu, saya isi kekosongan dengan mengambil tempahan membuat kuih. Bila diganggu aura negatif, saya akan mewarna. Ia satu terapi buat saya.

    Empat anak menjadi tulang belakang buat ibu tunggal yang cekal ini.

    Empat anak menjadi tulang belakang buat ibu tunggal yang cekal ini.

    3) Pada waktu malam sebelum tidur, adakah puan pernah terfikir andai kata keesokan harinya suami dan anak-anak akan kehilangan anda selama-lamanya?

    Alhamdulillah, bila sudah lama tidak menjalani rawatan kimoterapi, badan saya rasa lebih selesa dan dapat tidur lena. Saya seboleh-bolehnya mengelak daripada berfikir perkara-perkara yang negatif.

    Kanser sebenarnya adalah penyakit jiwa, bila kita sedih atau tertekan ia akan menguasai badan kita. Jika kita lemah sel-sel kanser lagi cepat merebak. Justeru itu, saya memilih untuk hidup seperti biasa.

    Kematian itu bila-bila masa boleh datang tidak kira orang yang berpenyakit mahupun sihat walafiat. Pun begitu, saya sentiasa reda bila-bila masa sahaja ajal saya sampai.

    4) Puan seorang wanita yang cekal dan tabah, bahkan boleh dijadikan contoh buat wanita yang mengalami nasib yang sama. Jadi, apa nasihat puan kepada mereka yang senasib dengan puan?

    Nasihat saya kepada mereka, selagi tidak berputus asa selagi itu anda tidak akan tahu sejauhmana kekuatan anda. Hanya orang yang merasa (sakit) akan tahu kekuatan diri sendiri sehingga mereka berputus asa.

    Jangan jadikan kerjaya sebagai halangan untuk anda menjalani rawatan. Jika saya boleh kenapa tidak anda? Yang penting, anda sendiri kena kuat, kena tunjukkan kekuatan anda kepada keluarga, rakan dan orang di sekeliling kita.

    Ingat, tidak ada manusia yang mahukan penyakit ini. Pada masa sama, jaga pemakanan dengan mengurangkan makanan berminyak dan tinggi gula.

    5) Adakah puan pernah terfikir andainya Aidilfitri atau Ramadan kali ini merupakan yang terakhir?

    Saya ada terfikir namun saya tetap teruskan sambutan Aidilfitri bersama anak-anak. Cuma sambutannya tidak meriah seperti sebelum ini, ala kadar sahaja. Apa yang penting saya dapat bersama anak-anak, ibu bapa dan adik beradik pada hari raya nanti di Kota Bharu.

    Sebenarnya jika difikirkan soal kematian, bila-bila masa ALLAH boleh ambil nyawa saya termasuk ketika saya ditemu ramah awak (wartawan). Saya sentiasa positif dan seboleh-bolehnya tidak mahu berfikir tentang penyakit yang bersarang dalam diri saya sekarang.

    Asiah kini menjalani kehidupan sihat serta menjaga pemakanan mengikut saranan doktor.

    Asiah kini menjalani kehidupan sihat serta menjaga pemakanan mengikut saranan doktor.

    PROFIL:

    NAMA PENUH: Nor Asiah Noh

    PANGGILAN: Asiah

    UMUR: 39 tahun

    ASAL: Kota Bharu, Kelantan

    STATUS: Ibu tunggal

    BILANGAN ANAK: Empat orang, semua lelaki

    PEKERJAAN: Pembantu Tadbir Undang-undang di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya



    Sumber

  • Amalan pemakanan sihat semasa bulan Ramadan

    Amalan pemakanan sihat semasa bulan Ramadan

    BULAN Ramadan sama seperti bulan-bulan yang lain, bezanya cuma kita makan pada waktu malam.

    Namun, jangan kerana kita berpuasa sepanjang hari kita tidak memikirkan nilai makanan yang diambil dan tidak mengendahkan kesan kepada kesihatan.

    Sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa hidangan supaya perut tidak terkejut menerima makanan sekali gus.

    Anda harus memilih makanan tidak hanya sedap tetapi perlu berkhasiat dan ada semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh bagi mengekalkan kecergasan seharian berpuasa.

    Sentiasa bersederhana ketika menjamu selera

    Sentiasa bersederhana ketika menjamu selera

    Antara amalan pemakanan sihat yang boleh diamalkan semasa bulan puasa seperti berikut:

    1. Amalan sewaktu bersahur

    – Bersahur sekurang-kurangnya setengah jam sebelum masuk waktu imsak.

    – Ambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut dan oat (mengambil masa kira-kira 8 jam untuk dicernakan).

    – Ambil juga protein turut melambatkan proses pencernaan (protein yang disyorkan seperti kekacang, soya, ayam, kasein/protein susu), daging dan ikan)

    – Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

    2. Amalan sewaktu berbuka puasa

    – Digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu. Ia bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman. -Mulakan dengan buah kurma. Kandungan fruktosa boleh memberi tenaga segera. Selain kurma juga mengandungi enzim membantu proses penghadaman makanan seterusnya.

    – Ambil makanan berdasarkan Piramid Makanan Malaysia

    – Minum banyak air sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup untuk mengelak dehidrasi.

    – Mengambil makanan yang pedas serta berempah tidak digalakkan semasa berbuka bimbang menimbulkan ketidakselesaan kepada perut.

    3. Amalan sewaktu moreh

    – Ambil snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich atau kuih-muih

    – Elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi/mi goreng pada waktu malam kerana kita tidak memerlukan tenaga yang banyak. Di samping kuantiti, kualiti makanan juga perlu dititik beratkan antaranya menepati.

    Pilih kuantiti makanan mengikut Piramid Makanan Malaysia

    Pilih kuantiti makanan mengikut Piramid Makanan Malaysia

    Tip memilih makanan agar kekal sihat dan cergas:

    1. Kurangkan penggunaan lemak ketika menggoreng dan menumis.

    2. Hadkan pengambilan makanan/minuman yang tinggi kandungan gula bagi mengelakkan pelbagai jenis masalah kesihatan .

    3. Kurangkan pengambilan makanan tinggi kandungan garam terutama ketika bersahur. Pengambilan makanan masin boleh meningkatkan rasa dahaga semasa berpuasa.

    4. Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar (membekalkan vitamin, mineral dan serat).

    5. Lebihkan pengambilan air dengan mengambil sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari. Tingkatkan juga pengambilan air melalui makanan seperti sup, bubur dan puding.



    Sumber

  • Resipi teh halia untuk tingkat metabolisme

    Resipi teh halia untuk tingkat metabolisme

    TAHUKAH anda bahawa halia adalah sejenis tumbuhan yang banyak khasiatnya?

    Selain mengeluarkan angin dalam badan, ia juga berfungsi meningkatkan metabolisme dan membakar kalori kerana sel tubuh harus mengeluarkan tenaga ekstra hingga 20 peratus untuk mengolahnya.

    Khasiat lain halia ialah meningkatkan suhu tubuh hingga merangsang mekanisme pembakaran lemak dalam tubuh.

    Bagaimana caranya? Mudah sahaja.

    1) Ambil tiga batang serai dan tiga inci halia (diketuk).

    2) Masukkan kesemua bahan tersebut bersama air dalam periuk, masak atas dapur api sederhana.

    3) Perlahankan api, masak dalam satu jam hingga air bertukar warna ala-ala teh o.

    4) Tunggu sejuk dan sedia diminum.

    Minum setiap pagi atau malam ya. Selamat mencuba!



    Sumber

  • Tip ‘sejukkan diri’ hadapi kritikan

    Tip ‘sejukkan diri’ hadapi kritikan

    TENTU kita sudah biasa dengan ‘kerja-kerja’ mengkritik. Tapi bagaimana pula jika diri sendiri pula yang dikritik?

    Bayangkan kalau terkena batang hidung sendiri, bagaimanakah penerimaan anda?

    1) Supaya tidak murung sendiri apabila anda dikritik, ini antara tip yang boleh anda ikuti:

    – Berada dalam keadaan santai, tarik nafas panjang nyatakan atau lafazkan perkataan “tenang” (relaks).

    – Bayangkan anda berada di tempat yang selamat untuk beberapa saat. Buat keputusan apa yang patut diterima atau dipercayai.

    – Anda tidak perlu menerima semua kenyataan yang dibuat mengenai diri anda, anda boleh memilih untuk menerima atau menolak kritikan tersebut kerana anda sendiri yang lebih mengetahui tentang diri anda.

    2) Jika kritikan itu membina dan bertepatan dengan diri anda:

    – Terima kesilapan dan akui kritikan itu betul.

    – Memohon maaf.

    – Ambil langkah untuk membetulkan keadaan tersebut.

    3) Jika kritikan tepat tetapi tidak membina:

    – Akui kesilapan.

    – Beri jawapan yang tegas terhadap kritikan yang menyinggung perasaan.

    – Ambil langkah pembetulan.

    4) Jika kritikan tidak tepat:

    – Dapatkan maklumat lanjut.

    – Betulkan kesilapan maklumat yang dibangkitkan.

    5) Jika kritikan tidak mesra dan ketepatannya merupakan hanya satu pandangan:

    – Cari jalan persetujuan.

    – Minta pendapat dan cadangan.

    – Fikirkan untuk menggunakan komponen bahasa tanpa lisan bagi komunikasi yang asertif contohnya duduk dengan tegak dan meyakinkan, nada suara yang terang dan tegas serta pandang tepat ke mata pendengaran.

    – Langkah-langkah ini juga akan membantu anda memberi jawapan dan dihormati.

    Sumber: http://www.myhealth.gov.my



    Sumber

  • Perodua wujudkan Laman Hijau demi melestari alam sekitar

    Perodua wujudkan Laman Hijau demi melestari alam sekitar

    PERODUA telah membuktikan komitmennya terhadap operasi hijau, mesra alam dan mampan dengan pelancaran Laman Hijau baru-baru ini.

    Terletak di kampus ibu pejabat dan pengeluaran Perodua di Sungai Choh, Selangor, Laman Hijau merupakan kawasan rekreasi terbuka untuk kakitangannya yang dihiaskan dengan tumbuhan hijau serta air pancut yang dikuasakan dengan tenaga elektrik suria.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu termasuk pemasangan panel suria di atas bumbung kilang.

    Kampus 162 hektar Perodua terdiri daripada bangunan korporat, fasiliti penyelidikan dan pembangunan, dua kilang pengeluaran kenderaan, pusat alat ganti, pusat latihan dan pusat jagaan kanak-kanak.

    “Usaha kami tidak berakhir di sini sahaja, kami juga mengumpul dan mengguna semula sumber semula jadi lain seperti air hujan dan air atmosfera sebagai usaha untuk mengurangkan pembaziran, melindungi bumi dan meningkatkan kecekapan operasi kami. “Seiring dengan produk kami yang cekap bahan api, inilah cara kami memastikan pertumbuhan yang mampan dalam ekosistem semula jadi kita,” tambah Zainal Abidin.

    Inisiatif hijau Perodua bermula pada Jun 2017 dengan pengumuman Taman ECO yang bakal dilancarkan bulan hadapan. Taman seluas 1,500 meter persegi itu menggunakan bahan kitar semula dalam pembinaannya, tenaga suria serta pelbagai tumbuh-tumbuhan.



    Sumber

  • Jangan membalas cacian orang kepada kita

    Jangan membalas cacian orang kepada kita

    APABILA berdepan kata cacian ditujukan kepada kita, memang tiada siapa yang dapat menahan betapa sakitnya hati ini tatkala mendengarnya.

    Adakah kita patut membalasnya atau berdiam diri dan memekakkan telinga sahaja?

    Sebagai orang Islam yang beriman, kita sebenarnya mempunyai dua pilihan untuk bertindak.

    Pertama, lakukan tindakan yang mendatangkan pahala dan lagi satu tindakan yang memenuhkan ‘saham’ dosa.

    Jadi, mana satu pilihan kita?

    Sebaiknya, pilihlah tindakan yang mendatangkan pahala kepada kita iaitu berdiam diri adalah lebih baik.

    Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada orang yang mencaci maki kamu tentang apa yang dia ketahui pada dirimu, janganlah kamu mencaci maki dia tentang apa yang kamu ketahui pada dirinya kerana pahalanya untuk kamu dan kecelakaan untuk dia.” (Riwayat Ad Dailami)

    Hadis itu mengingatkan kita agar jangan mudah melatah apabila dicaci, dikeji atau diumpat.

    Serahkan semua itu kepada ALLAH SWT.

    Contohilah sikap Rasulullah SAW yang sentiasa bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT.

    Malah, baginda tidak pernah membalas dengan kata-kata kesat. Sebaliknya, hanya tersenyum dan menasihati secara berhemah serta tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.

    Salah seorang sahabat yang rapat dengan baginda SAW, Anas bin Malik RA menceritakan, Rasulullah tidak pernah melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mencaci maki.

    Kata Anas bin Malik lagi, ketika seseorang mencela baginda SAW sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang sepatutnya sahaja.

    Belajarlah untuk menerima segala kepahitan cacian orang kepada kita dengan bersikap terbuka dan mengadulah pada ALLAH SWT.

    Sesungguhya, pahala yang kita cari, bukannya perkara yang mendatangkan dosa.

    (Sumber: Mohd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • Kaedah asas pujuk anak enggan makan

    Kaedah asas pujuk anak enggan makan

    PERKARA biasa apabila seorang ibu risau melihat anaknya enggan makan walau sudah dipaksa. Pelbagai cara dibuat untuk memujuk, namun anak masih tidak mahu makan.

    ‘Apakah masalah yang dihadapi oleh anak ini?’ Ini selalunya pertanyaan yang terdetik dalam hati.

    Sebenarnya ia sebahagian daripada perkembangan normal psikologi kanak-kanak dan ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Masalah ini jarang disebabkan oleh penyakit serius.

    Ajar anak makan sayur ketika mereka kecil lagi.

    Ajar anak makan sayur ketika mereka kecil lagi.

    Kanak-kanak yang berumur antara satu hingga lima tahun biasanya takut untuk mencuba makanan baru yang diperkenalkan kepada mereka.

    Kanak-kanak memilih makanan dan akan makan makanan tertentu yang digemari sahaja.

    Keengganan untuk makan merupakan sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak. Pada amnya, kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.

    Bagaimanapun, jika kanak-kanak mengalami gejala seperti penurunan berat badan, muntah berulang, perkembangan yang perlahan dan tercekik, anda perlu bawa anak berjumpa doktor.

    Jika tiada komplikasi berlaku sekiranya perkembangan dan pertumbuhan anak anda normal. Walaupun anak anda hanya mengambil beberapa jenis makanan sahaja, ini tidak bermakna anak anda mengalami kekurangan zat makanan.

    Ikuti tip ini untuk membantu kanak-kanak berselera untuk makan:

    1. Berikan makanan yang sering dielakkan oleh anak anda pada masa yang lain. Terus berusaha dan jangan putus asa.

    2. Terus memperkenalkan makanan baharu kepada anak anda.

    3. Sediakan makanan yang berbeza (termasuklah makanan yang disukai oleh anak anda ) pada setiap waktu makan.

    4. Hidangkan makanan dalam pelbagai bentuk yang menarik.

    5. Elakkan makanan manis seperti gula-gula antara waktu makan.

    6. Makan bersama ahli keluarga akan menggalakkan anak anda makan. Ia juga memberi anda peluang memberi perhatian dan mengajar anak anda makan.

    7. Berikan pujian jika anak anda mula makan jenis makan yang selama ini ditolak olehnya.

    Sumber: MyHealth



    Sumber

  • Toyota lancar cawangan 2s di Taman Petaling Utama

    Toyota lancar cawangan 2s di Taman Petaling Utama

    UMW Toyota Motor (UMWT) baru-baru ini melancarkan pusat 2S (servis dan alat ganti) baharu yang telah pun beroperasi di Taman Petaling Utama, Kuala Lumpur.

    Dikendalikan oleh Laser Motor Sdn Bhd, pusat 2S ini pastinya menjadi tumpuan para pemilik kenderaan Toyota di kawasan sekitar Petaling Jaya, Puchong dan Kinrara, kata Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K.

    “Kami memuji inisiatif Laser Motor Group yang meningkatkan kemudahan mereka dalam rangkaian Toyota di Malaysia. “Dengan lebih banyak cawangan di lokasi strategik, pelanggan tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti,” katanya.

    Pusat 2S baharu itu juga dilengkapi dengan lounge pelanggan yang serba selesa di samping perkhidmatan wifi secara percuma serta ruang permainan untuk kanak-kanak.

    • Alamat: No. 30E, Jalan PJS 1/46, PJS 1,
    • Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Kuala Lumpur
    • Servis: Dilengkapi dengan 14 petak penyelenggaraan dan 13 juruteknik terlatih untuk menyelenggara kenderaan Toyota
    • Operasi: Isnin hingga Jumaat (pukul 8 pagi hingga 5.30 petang (kecuali cuti umum).Pusat 2S UMW Toyota Motor



    Sumber