Blog

  • Raya Jimat, Raya Selamat bersama Tesco

    Raya Jimat, Raya Selamat bersama Tesco

    TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan kempen ‘Raya Jimat, Raya Selamat’ sebagai inspirasi kepada orang ramai sepanjang menjalani keadaan normal baharu yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.

    Kempen berlangsung dari 23 April hingga 11 Jun, di semua 60 cawangan Tesco dan platform atas talian termasuk Tesco Online, Lazada dan Shopee.

    Tesco memberi tumpuan kepada keperluan asas para pelanggannya sambil mengekalkan penjarakkan sosial bagi memastikan hari raya nanti dilalui dengan selamat, sihat dan bahagia.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie, kempen Raya Jimat, Raya Selamat menawarkan penjimatan besar untuk para pelanggan Tesco.

    Memahami perasaan pelanggan yang mungkin pertama kali sambut Ramadan tanpa orang tersayang, kempen Raya Jimat, Raya Selamat adalah cara Tesco membantu pelanggan mengubat duka dan mencipta kenangan berharga tahun ini sambil mengawasi perbelanjaan mereka.

    Potongan istimewa

    Sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua cawangan Tesco dilengkapi keperluan harian seperti daging, ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran segar untuk para pelanggannya.

    Namun, memikirkan cabaran kewangan yang dihadapi orang ramai disebabkan Covid-19, Tesco mengekalkan pelaburan harga ke dalam produk-produk penting bagi mengurangkan beban pelanggan.

    Keghairahan pembelian panik pada awal PKP kini telah diganti dengan pembelian yang lebih tenang, tanpa sentuhan (dalam talian) di mana pelanggan dapat meneruskan penjarakkan sosial.

    Tesco menyantuni pelanggan dengan menambah slot penghantaran dalam talian sebanyak 44 peratus dengan melancarkan perkhidmatan Order & Collect berasaskan WhatsApp dan meningkatkan penggunaan Scan & Shop.

    Sepanjang Ramadan dan Syawal, perkhidmatan ini disediakan di lapan cawangan iaitu Tesco Selayang, Mutiara Damansara, Cheras, Puchong, Desa Tebrau, Seberang Jaya, Ipoh Extra dan Melaka.

    Ia bagi membolehkan pelanggan memesan melalui platform Tesco Online. Kemudian barangan yang dipesan boleh diambil di cawangan pilihan pelanggan.

    Beroperasi sama seperti Tesco Online, pelanggan boleh memesan sehingga tiga minggu lebih awal. Pelanggan diminta memilih slot waktu pengumpulan antara 1 tengah hari hingga 6 petang setiap hari, kemudian pergi ke cawangan pilihan dan ambil pesanan dalam masa dua jam dari pada slot waktu yang dipilih.

    Kaunter Click & Collect akan ditempatkan di pintu masuk cawangan Tesco untuk memudahkan pelanggan. Seperti di Tesco Online, pelanggan hanya boleh memesan barang sehingga 30kilogram melalui Click & Collect. Tidak ada bayaran perkhidmatan yang dikenakan.

    Bagi memastikan pelanggan sentiasa selamat, Tesco turut mengikuti langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu badan, membatasi jumlah pelanggan di cawangan, mendorong pelanggan mempraktikkan kebersihan pencucian tangan, penjarakan sosial dan juga memakai topeng muka untuk elak/sebar jangkitan.

    Tabung Kiriman Ikhlas

    Ramadan bulan kebajikan, tanpa sedar anda turut menyumbang dan menderma dengan membeli-belah di Tesco.

    Untuk setiap pembelian RM30 mana-mana produk Tesco Own Brand dan RM30 produk jenama Mondelez terpilih (Cadbury, Jacobs, Tiger, Chipsmore, Oreo, Twisties dan belVita) di semua cawangan Tesco di seluruh negara, Tesco Online Lazada dan Shopee, RM1 akan disalurkan ke Tabung Kiriman Ikhlas.

    Dana yang dikumpulkan akan ditukarkan kepada barang makanan untuk diedarkan kepada penerima bantuan Food Aid Foundation (FAF) di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang April hingga Julai 2020.

    Tahun ini, Tesco bekerjasama dengan rakan Mondelez International dan NGO FAF bagi menjayakan misi bantuan bagi mengisi Tabung Kiriman Ikhlas. Tabung ini menyasarkan jumlah dana sehingga RM200,000 dalam usaha menyediakan barangan makanan penting untuk diedarkan kepada lebih 3,000 penerima FAF.

    Penerima bantuan menerima barangan keperluan harian daripada FAF menerusi inisiatif Tabung Kiriman Ikhlas.

    Penerima bantuan menerima barangan keperluan harian daripada FAF menerusi inisiatif Tabung Kiriman Ikhlas.

    Ketua Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan Mondelez, Raja Zalina Raja Safran berkeyakinan kolaboratif itu dapat diteruskan dengan FAF melalui Tesco.

    Tabung Kiriman Ikhlas dianjurkan menerusi kempen ‘Raya Jimat, Raya Selamat’ oleh Tesco yang berlangsung hingga 30 Julai depan.

    Apa yang ditawarkan?

    – Potongan hingga 30% untuk sebahagian besar barangan sejuk beku.

    – Tawaran 7 jenis buah kurma (khenaize, deglet nour, medjool, al-hisham khalas, masafii lulu, masfii rabbie dan masafii emirates), diimport dari Emiriah Arab Bersatu, Tunisia dan Palestin.

    – Barangan TOB 10% lebih murah berbanding jenama nasional seperti susu krim penuh coklat UHT (RM4.29), kordial Berry 1 liter (RM8.99), biskut mentega 454g (RM12.99) dan banyak lagi.

    – Potongan 10% tambahan untuk anak-anak bagi rangkaian pakaian keluarga Tesco Raya yang dijual di Lazada.

    – Ada lagi yang menanti! Pemegang Tesco Clubcard juga akan mendapat penjimatan tambahan kerana setiap pembelian akan diterjemahkan ke dalam kumpulan mata, kemudian ditukar menjadi baucar. Baucar yang ditukar boleh digunakan untuk pembelian pada masa hadapan.

    Cara memesan melalui Click & Collect!

    – Pesan tiga minggu lebih awal.

    – Maksimum pesanan hanya 30kg.

    – Slot waktu pesanan antara jam 1-6 petang.

    – Ambil pesanan di cawangan pilihan.

    – Ambil dalam tempoh masa 2 jam di kaunter Click & Collect.



    Sumber

  • World #QuranHour dekatkan masyarakat dengan al-Quran

    World #QuranHour dekatkan masyarakat dengan al-Quran

    SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyokong penuh penganjuran program World #QuranHour yang disifatkan sebagai usaha yang munasabah bagi mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.

    Menurutnya, penganjuran program itu mampu mengembalikan budaya masyarakat dahulu yang sentiasa mendampingi al-Quran.

    “Tidak sebagaimana khalayak masyarakat zaman dahulu, al-Quran sentiasa meniti di bibir dan mereka kelek dengan tangan mereka senaskhah al-Quran dan mereka junjung, mereka baca.

    “Kita lalu tepi-tepi rumah di kampung yang mungkin tidaklah sekukuh rumah zaman sekarang, tetapi kita tengok nenek atau kita dengar suara nenek, suara opah, suara atuk, suara pak cik, mak cik, suara pak da, mak da sedang baca al-Quran pada waktu petang.

    “Bukan semata-mata hanya baca Yasin pada malam Jumaat, tetapi lebih daripada itu. Itulah budaya mereka dahulu dan budaya ini adalah budaya Islam yang cukup baik. Mereka tetap beribadat dengan al-Quran Karim,” katanya ketika berucap pada Program World #QuranHour di TV Al-Hijrah semalam.

    Menurut Zulkifli, al-Quran adalah khazanah ALLAH SWT yang boleh diibaratkan seperti mata air yang tidak akan habis.

    “Bila kita ambil lagi jernih lagi jernih dan bila kita cuba dapatkannya dia tetap sentiasa memberikan kepada kita yang terbaik.

    “Kami harapkan bahawa al-Quranul Karim akan sentiasa dekat di hati kita dan sentiasa memenuhi jiwa dan hati kita,” katanya.



    Sumber

  • ‘Berbeza tetapi capai matlamat’

    ‘Berbeza tetapi capai matlamat’

    KUALA LUMPUR – Program World #QuranHour edisi kelima yang berlangsung semalam tampil dengan konsep berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, walaupun penganjuran World #QuranHour berbeza, namun ia berjalan dengan lancar.

    Menurut Hussamuddin, World #QuranHour tahun ini dengan tema Reboot Global Harmony memilih Surah Ar-Rahman sebagai surah pilihan mengajak umat Islam menghargai ekosistem dan nikmat dikurniakan ALLAH SWT.

    “Kira-kira lebih satu jam ini kita dapat menyampaikan mesej Surah Ar-Rahman terus ke jantung dan hati ummah dan sesuai dengan tema World #QuranHour tahun ini iaitu Reboot Global Harmony.

    “Setelah hampir dua bulan berkurung, kita dapat memperbaiki hubungan kita dengan ALLAH, perbaiki hubungan dengan manusia melalui digital teknologi dan membaiki hubungan kita dengan alam.

    Hussamuddin

    Hussamuddin

    “Biasanya kita buat (World #QuranHour) di ground event tetapi kali ini kita bersiaran langsung kerana tidak boleh mengadakan program yang besar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Alhamdulillah ALLAH permudahkan. Empat stesen TV (Alhijrah, Astro Oasis, RTM1 dan BernamaTV) bergabung menyiarkan program kali ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.Beliau ditemui selepas berakhirnya siaran langsung World #QuranHour yang disiarkan TV Alhijrah dari Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur di sini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

    Hussamuddin

    Hussamuddin

    Terdahulu, bacaan Surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 78 dipimpin qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sementara sesi tadabbur al-Quran dikendalikan Ketua Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.Hussamuddin berkata, program sejam World #QuranHour pada 20 Ramadan setiap tahun itu akan diperluaskan menerusi gabungan dengan lebih banyak negara pada masa akan datang.

    Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab juga akan diperkenalkan dalam program utama di Malaysia, namun di negara-negara luar mereka boleh menggunakan bahasa masing-masing.

    Beliau juga berharap organisasi Islam di seluruh dunia dapat mengambil World #QuranHour sebagai satu model untuk melahirkan perubahan dalam sistem nilai manusia sejagat.

    “Kalau semua umat Islam di setiap negara itu dapat berubah menjadi ummah yang perkasa, kita boleh capai satu ekosistem yang betul-betul seperti digambarkan oleh al-Quran. Al-Quran adalah solusi sejagat untuk semua termasuk haiwan dan alam,” katanya.



    Sumber

  • Bank ambil langkah proaktif fahami keperluan peminjam: BNM

    Bank ambil langkah proaktif fahami keperluan peminjam: BNM

    KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyangkal persepsi bahawa bank lebih berminat melindungi keuntungan dan bonus mereka daripada menyediakan bantuan tambahan kepada perniagaan dan individu semasa berlaku peristiwa yang belum pernah berlaku seperti pandemik koronavirus (Covid-19).

    Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank mengambil langkah proaktif mendekati peminjam untuk memahami keperluan dan bagaimana ia boleh berubah pasca Covid-19 serta memastikan dana mereka sendiri tersedia untuk membantu individu dan perniagaan yang layak.

    Semasa penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac, bank-bank bersetuju untuk menyediakan moratorium enam bulan bagi membantu peminjam yang berdepan masalah aliran tunai dan melancarkan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) bagi perusahaan kecil dan sederhana yang layak.

    “Apa yang tidak diketahui orang ramai adalah bank turut mempunyai peranan lain yang sama penting iaitu bank adalah penjaga deposit awam dan memainkan peranan melindungi dan menyediakan pulangan kepada pendeposit.

    “Mereka perlu terus mengamalkan pengurusan risiko dalam menyediakan kredit. Sistem perbankan perlu kekal kukuh supaya dapat menyokong perniagaan dan individu dalam menghadapi pemulihan ekonomi,” katanya selepas mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama negara hari ini.

    Menurutnya, selain daripada itu sektor perbankan juga menyediakan sokongan kepada graduan menerusi Program Graduan 2000 (GP2000) yang dilancarkan pada 2020.

    “Program ini bertujuan menyediakan latihan dan pengalaman kerja kepada sehingga 2,000 graduan yang menganggur dengan imbuhan RM2,000 sebulan sepanjang tempoh lapan hingga 12 bulan program tersebut.

    “Cabaran ekonomi semasa akan melalui beberapa fasa yang memerlukan pelbagai langkah dan keutamaan dasar,” katanya.

    Katanya, langkah-langkah perlu disesuaikan bagi memastikan sistem perbankan boleh memainkan peranan secara efektif dalam setiap fasa pemulihan yang berbeza serta memastikan sistem perbankan tidak menjadi sumber risiko menyebabkan kegawatan lebih buruk bagi tempoh lama.

    “Dalam tempoh terdekat selepas kejutan pandemik, kita menumpukan kepada bantuan bagi membantu mereka yang paling terjejas terutamanya dalam mengurangkan bebanan masalah aliran tunai. Ini fasa pertama dan fasa seterusnya adalah bagi ekonomi untuk melantun semula dan selepas pemulihan.

    “Fasa akhir adalah pembaharuan lebih mendalam dari segi peningkatan kemahiran dan mengguna pakai teknologi baharu yang akan memastikan kita lebih kukuh pasca normal baharu COVID-19 dan kita kekal berdaya saing,” katanya,

    Nor Shamsiah berkata, BNM menumpukan untuk melindungi kapasiti pemberian pinjaman bank-bank bagi menyokong pemulihan ekonomi yang pantas. – Bernama



    Sumber

  • Lebih 20,000 gerakkan World#QuranHour di Terengganu

    Lebih 20,000 gerakkan World#QuranHour di Terengganu

    KUALA TERENGGANU – Lebih 20,000 peserta menggerakkan program World #QuranHour di Terengganu yang berlangsung selama satu jam bermula 12 tengah hari hingga 1 petang hari ini.

    Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Afnida Aini Alwi berkata, program yang digerakkan saban tahun dengan kerjasama Rumah Ngaji Terengganu itu merupakan kempen untuk membentuk solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil keberkatan 10 hari terakhir Ramadan.

    Katanya, biarpun terpaksa mengehadkan jumlah peserta di lokasi program, program itu diteruskan dengan kerjasama kakitangan PPAT, agensi kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan serta turut melibatkan keluarga-keluarga di rumah.

    “Tahun ini World #QuranHour diteruskan dengan menggunakan pendekatan berbeza memandangkan kita masih berada dalam tempoh PKP akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

    “Jadi tahun ini World #QuranHour dijalankan secara atas talian dengan PPAT bertindak sebagai lokasi ‘hotspot’.

    “Kita jangka lebih 20,000 yang menjayakan program pada tahun ini dengan mengambil kira peserta-peserta yang berada di rumah” katanya.

    Beliau berkata, program tadabbur al-Quran ini dibuat serentak di seluruh negara bagi memartabatkan al-Quran sebagai sumber rujukan utama dan memperkasakan iqra.

    “Tahun ini surah Ar-Rahman telah dipilih untuk dibaca dengan tema Reboot Global Harmony.

    “Tahun akan datang kita jangka akan dapat jumlah peserta yang lebih ramai bagi menjayakan program penghayatan al-Quran ini,” katanya.



    Sumber

  • Kesedaran menghayati al-Quran terus meningkat

    Kesedaran menghayati al-Quran terus meningkat

    TAIPING – Kesedaran orang ramai untuk menghayati dan memahami al-Quran terus meningkat di sebalik pelbagai kekangan terutama dari segi pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Penggerak Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, mengambil contoh penganjuran World #QuranHour pada tahun ini, reaksi yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan walaupun program tersebut tidak diadakan dalam skala besar seperti tahun-tahun sebelumnya.

    Menurutnya, hikmah di sebalik pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadikan orang ramai semakin dekat dengan al-Quran dengan jumlah khalayak yang semakin ramai.

    Peserta program World #QuranHour turut mengaminkan doa yang dibacakan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disiarkan secara langsung di pelbagai platform media sosial dan stesen televisyen.

    Peserta program World #QuranHour turut mengaminkan doa yang dibacakan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disiarkan secara langsung di pelbagai platform media sosial dan stesen televisyen.

    “Jika tahun lalu semua ahli-ahli Rumah Ngaji ini ada yang datang bersendirian atau dengan suami berkumpul di satu tempat menjayakan World #QuranHour ini, namun tahun ini mereka berada di rumah masing-masing dan mereka boleh mengajak semua ahli keluarga bersama-sama menghayati al-Quran.

    “Melihat kepada keadaan itu, kita percaya jumlah penyertaan World #QuranHour pada tahun ini lebih ramai dari tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program World #QuranHour di Hospital Taiping, di sini, hari ini.

    Hadir sama memberikan sokongan dalam program tersebut, Pengarah Hospital Taiping, Dr Narimah Yusof; Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Taiping, Nurul Faiz Khairol Azmi dan Penggerak Rumah Ngaji Taiping, Hanita Hashim.

    Seramai 20 kakitangan Hospital Taiping dan ahli Rumah Ngaji Taiping turut serta menjayakan World #QuranHour di Hospital Taiping di sini hari ini,

    Seramai 20 kakitangan Hospital Taiping dan ahli Rumah Ngaji Taiping turut serta menjayakan World #QuranHour di Hospital Taiping di sini hari ini,

    Noor Mazlina berkata, selain di Hospital Taiping, beberapa lokasi lain turut mengadakan program sama antaranya Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Pendidikan Perak.

    Katanya, selain itu, beberapa jabatan kerajaan turut mengadakan program tersebut dalam skala yang kecil termasuklah di Perpustakaan Negeri Perak.



    Sumber

  • Gema surah Ar-Rahman di Institut Kanser Negara

    Gema surah Ar-Rahman di Institut Kanser Negara

    PUTRAJAYA – Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini bergema dengan bacaan surah Ar-Rahman yang dipasang melalui sistem siar raya sempena program World #QuranHour 1441H: Reboot Global Harmony yang berlangsung serentak seluruh dunia.

    Ketua Unit Hal Ehwal Islam IKN, Madya Madon berkata, selain bacaan surah melalui siar raya, seramai 500 kakitangan pelbagai jawatan di institut itu mengambil bahagian dalam membaca ayat suci al-Quran tersebut.

    “Boleh dikatakan hari ini semua pihak yang berada di IKN terlibat secara langsung dengan World #QuranHour ini apabila kita pasang bacaan surah Ar-Rahman yang melalui sistem siar raya.

    “Selepas sahaja selesai bacaan ayat suci al-Quran ini program kita diteruskan dengan tadabur bagi memberi lebih lagi kefahaman tentang surah itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

    Menurut Madya, selaras dengan IKN yang berkonsepkan hospital mesra ibadah, aktiviti keagamaan termasuk bacaan al-Quran sememangnya menjadi amalan warga kerja di institut tersebut.

    “Setiap Khamis malam Jumaat, kita pasang surah Yassin melalui siar raya. Jumaat pula kita akan pasang surah Al-Kahfi sehingga masuk waktu azan,” katanya.

    Mengulas mengenai penyertaan kakitangan IKN dalam program World #QuranHour, Madya berkata, tahun ini jumlah peserta bertambah berbanding sebelumnya.

    “Tahun ini merupakan tahun kedua IKN terlibat secara langsung dengan program ini dan pengurusan tertinggi kita juga sangat menyokong serta menggalakkan kami terlibat dalam aktiviti ini.

    “Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Karangkraf yang menyumbang al-Quran sebanyak dua kali kepada kami di sini,” katanya.



    Sumber

  • WQH 1441H sebarkan kasih sayang

    WQH 1441H sebarkan kasih sayang

    SHAH ALAM – Malaysia dan Indonesia berkolaborasi dalam menjayakan World #QuranHour: Reboot Global Harmony, yang membawa misi Surah Ar-Rahman pada hari ini (13 Mei 2020) bersamaan 20 Ramadan 1441H.

    Gerakan berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini mempunyai visi untuk “mengQurankan bangsa dan mengIkhlaskan ummah”. Dengan berpandukan al-Quran, ia mampu membentuk kerangka fikir dan karakter Muslim sebenar.

    Pengasas Ar-Rahman Qur’anic Learning Centre dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir yang juga Pentadabbur WQH 1441H yang dihubungi melalui WhatsApp berkongsi pandangannya berkaitan kempen tersebut:

    Soalan 1: Apakah pandangan ustaz mengenai program World #QuranHour dalam mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal?

    Bagi saya, sangat tepat sekali untuk mengadakan World#QuranHour di bulan Ramadan apalagi diadakan pada 10 hari terakhir. Di saat ini umat manusia sedang berdoa untuk mendapatkan sebanyak mungkin rahmat dan pertolongan daripada ALLAH, serta diberikan kekuatan dan kelembutan hati serta dicucuri rahmat. Sebagaimana kita tahu, al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan. Ia memberikan makna dan impak sangat besar kepada pada umat Islam yang menyertai program ini.

    Soalan 2: Pada tahun ini, pertama kali Indonesia dan Malaysia berkolaborasi. Apakah mesej penting yang akan dikongsikan ustaz mengenai kolaborasi tersebut dalam membawa al-Quran ke mata dunia?

    Pertama kali dua negara Muslim besar dan terbesar di dunia berkolaborasi dalam program berinteraksi dengan al-Quran. Ini memberi gambaran luar biasa bagi umat Islam sedunia dalam membawa mesej penting bahawa Islam itu perdamaian, anti kekerasan, dan penyatuan. Ia juga menafikan tuduhan Islam sebagai radikal dan menyokong ekstremisme. Kita bangsa Melayu, sudah tiba saatnya pada zaman ini, dengan izin ALLAH mendapat giliran untuk mengibarkan bendera Islam yang Rahmatan Lil Alamin.

    Soalan 3: WQH kali ini membawa misi Surah Ar-Rahman yang mengandungi 4 nikmat iaitu, al-Quran, al-Insan, Al-Bayyan, matahari dan bulan. Boleh Ustaz jelaskan apakah signifikan Surah Rahman sebagai solusi dalam menghadapai cabaran tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal?

    Setiap Muslim yang bertauhid dalam beragama tiada keraguan, ketakutan dan kecemasan kerana ALLAH memperkenalkan diri-Nya yang Maha Pengasih, rahmanul dunia wa rahimul akhirat. Mereka yakin ALLAH Maha Pengasih kepada semua makhluk-Nya. Oleh itu, orang bertauhid akan berlapang jiwa untuk berkasih sayang kepada sesama makhluk ALLAH. Bahkan ALLAH SWT Ar-Rahim yang Maha Pengampun mengampuni orang beriman.

    Terdapat empat nikmat yang disebutkan dalam Surah Ar-Rahman iaitu al-Quran, al-Insan, al-Bayan dan matahari serta bulan. Al-Quran merupakan nikmat terbesar yang diperlukan oleh manusia. Al-Quran mengajar manusia mengenai sistem sosial. Mereka yang menghayati Surah Ar-Rahman dipenuhi rasa cinta, kasih, damai, bersatu dan harmoni dalam bersosial, bermula dengan keluarga, bangsa dan negara. Kesatuan sosial paling besar adalah masyarakat dunia Islam yang membawa perdamaian. Sosial masyarakat yang dibangunkan Islam berpandukan al-quran adalah masyarakat dunia yang didasari dengan cinta kasih keadilan dan mendahulukan kepentingan umum berbanding peribadi.

    ALLAH Ar-Rahman memberi nikmat al-Bayan kepada kita untuk berkomunikasi dengan berbicara dan memberi penjelasan. Pola komunikasi seorang muslim dimulakan dengan Bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah. Pertama kali Muslim berkomunikasi dengan memberi salam. Inilah pola komunikasi hamba Ar-Rahman, yang menyebarkan rasa kasih sayang dan mendamaikan. Rasulullah SAW menyarankan kita untuk menyebarkan ucapan salam dalam kalangan umat Islam. Pola komunikasi al-Bayan juga membuatkan manusia berkomunikasi dengan alam sekitar dan makhluk lain berdasarkan tauhid, asma’ Ar-Rahman.

    Dari segi fizikal, manusia mendapat kesihatan dan kekuatan tubuh badan untuk memberi manfaat. ALLAH memberi kekuatan kepada manusia terutama energi luar seperti matahari. Dalam al-Quran, peribadi seorang Muslim adalah menjaga keseimbangan antara roh dan fizikalnya. Mereka bersyukur kepada Penciptanya dan mampu memberi manfaat secara positif kepada alam.

    Soalan 4; Bagaimana Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi mengembalikan keharmonian global atau Reboot Global Harmony, seterusnya membawa rasa syukur?

    Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi keharmonian global atau Reboot Global Harmony, seterusnya membawa syukur kepada ALLAH SWT. Surah tersebut menggambarkan pelbagai sisi kasih sayang ALLAH dan boleh menjadi panduan hidup bagi Muslim. Saat ini, masyarakat global kehilangan orientasi kemanusiaan dimana manusia menghambakan sesama manusia. Lebih lagi mereka menghambakan kepada ciptaan manusia sendiri dengan bertuhankan teknologi, wang dan kekuasaan. Pasti inilah menyebabkan kekacauan global dalam bentuk kesombongan manusia untuk menjadi orang paling berkuasa, penindas yang lemah dan membuat aturan sendiri sehingga dunia menjadi hancur. Rasulullah SAW menjadi solusi Rahmatan lil Alamin. Konsep Surah Ar-Rahman sebagai solusi global sosial. Insya-ALLAH, manusia akan menjadi selain menyayangi, menghargai dan menghormati hak-hak orang lain.

    Dalam Surah Ar-Rahman menunjukkan hak manusia yang pertama adalah hak agama, diikuti dengan hak kemanusiaan, kebebasan berbicara dan hak kesaksamaan terhadap sumber alam di sesebuah negara, seterusnya membawa manusia kepada kesyukuran. Sumber alam tidak boleh dikuasai sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkuasa dan kaya-raya. Ini makna Reboot Global Harmony yang diharapkan oleh Islam dan sistem sosial sebegini yang akan membuatkan manusia sentiasa dalam suasana bersyukur.

    Manusia yang mengambil berat tentang dan sayangkan alam akan menjauhi sikap memonopoli dan mengeksploitasi alam tanpa keseimbangan. Apabila Ar-Rahman jadi falsafah dalam pembuatan undang-undang, dan peraturan perlembagaan, maka tiada lagi kekejaman dan kekuasaan yang menyalahgunakan undang-undang. Tetapi jika ini terjadi, berlakulah penindasan untuk menguatkan yang kuat, memiskinkan yang miskin dan mengkayakan yang kaya. WQH menjadi penting dalam menyampaikan pesanan sejagat kepada global melalui Surah Ar-Rahman dalam empat pola iaitu tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal berdasarkan nikmat al-Quran, al-Insan, al-Bayyan, dan matahari serta bulan.

    5.Pandangan Ustaz mengenai hikmah di sebalik wabak Covid-19 yang perlu kita pelajari dan syukuri?

    Hikmah di sebalik wabak Covid-19 yang terbesar adalah rahmat ALLAH SWT. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, bahawa penyakit taun atau pandemik global seperti Covid-19 adalah rahmat bagi yang beriman tetapi azab bagi yang kufur. Jika ada orang beriman berada di wilayah pandemik atau wilayah epidemik tetaplah berada di dalam wilayah tersebut. Tidak usah takut mati kerana tiada hubungannya antara kematian dengan virus (taun).

    Hidup dan mati di tangan ALLAH SWT. Begitu juga seorang Mukmin yang berada di luar wilayah pandemik atau epidemik, jangan masuk agar tidak meninggal dunia di wilayah pandemik adalah kerana virus. Itu salah. Semua adalah kerana ALLAH SWT. Jadi hikmah di sebalik semua itu adalah rahmat ALLAH SWT yang ditunjukkan kepada kita. Bahkan jika ada seorang Muslim yang meninggal dunia akibat suspek diserang Covid-19, Rasulullah SAW bersabda seorang Muslim yang meninggal dunia akibat epidemik atau pandemik ini adalah orang yang mati dalam syahid, setelah melakukan pelbagai usaha. Ini adalah rahmat ALLAH SWT.

    Namun ada rahmat lain yang secara sosial kita rasakan. Pertama, manusia disarankan untuk menjalani hidup bersih sebagaimana dianjurkan oleh syariat Taharah. Paling minimum menjaga wuduk lima waktu, sering mencuci tangan, memakan makanan halal dan tayyibah, mengambil makanan bernutrisi yang memberi imunisasi dan meningkatkan daya tahan tubuh badansehingga tidak mudah diserang penyakit. Selain pola pemakanan halalan tayyiban, ada penjarakan sosial. Secara fizikal, kita memang diminta untuk berjarak agar setiap daripada kita pandai berinteraksi sosial mana yang mahram dan bukan mahram, mana yang bersih dan kotor. Tidak menjalani hidup sebagaimana haiwan yang tidak mampu membezakan antara halal dan haram, bersih dan kotor.

    Begitu juga antara hikmah besar pada masa kini adalah kembali kepada keluarga. Bekerja dari rumah secara dalam talian. Kini manusia mampu mengerjakan banyak hal dari rumah dengan efektif dan efisien. Mungkin ada penjelasan mengapa ada larangan pergi ke masjid. Mungkin selama ini, bersama umat Islam secara fizikal berjemaah di masjid tidak disertai dengan kesatuan hati dan persaudaraan hati sehingga satu masjid berjemaah namun saling tidak mengenal antara satu sama lain. Paling mengecewakan adalah perpecahan di antara kelompok Islam meskipun sama solat, kiblat dan masjid. Kita dipisahkan dahulu untuk muhasabah diri.

    6.Keistimewaan al-Quran di bulan Ramadan dan bagaimana kita hendak menjadikan al-Quran sebagai solusi dalam menangani ujian ALLAH di akhir zaman?

    Al-Quran di bulan Ramadan tidak dapat dipisahkan. Ia jelas disebut dalam Surah al-Baqarah. Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan. Bahkan sebelum syariat puasa, al-Quran terlebih dahulu disyariatkan di bulan Ramadan. Bahkan syariat berpuasa pun demi memudahkan al-Quran untuk masuk ke jiwa manusia. Pada hakikatnya Ramadan untuk melaparkan fizikal sementara, dan mengenyangkan roh dengan al-Quranul Karim.

    Maka tidak diragukan lagi perkara paling utama dilakukan di rumah adalah tilawah al-Quran, iaitu banyak berinteraksi dengan al-Quran dan memperbanyakkan khatam al-Qura, sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama Jibrail AS. Pada Ramadan tahun ini yang sangat bersejarah yang disertai Covid-19 dalam rangka akhir zaman. Antara tanda-tanda akhir zaman adalah munculnya permulaan dajjal. Tanda-tanda akan berkuasa dajjal yang pada akhirnya akan dilumpuhkan oleh Imam Mahdi. Orang yang berpegang kepada al-Quran tidak tersihir, tertipu, lalai dan tipu daya serta penyesatan oleh dajjal.

    Orang yang membaca al-Quran akan menghindari daripada kemaksiatan dan kefasikan manusia. Antaranya, lahirnya seorang majikan daripada ibu yang dijadikan hamba sahaya. Al-Quran menjadikan manusia untuk sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai kemanusiaan termasuk menghargai ibu bapa. Selama manusia berpegang kepada al-Quran, maka manusia di akhir zaman manusia tetap akan selamat kerana pada masa ini ramai orang miskin, berbaju compang-camping yang digambarkan oleh Rasulullah SAW, bahkan tidak punya selipar tapi mampu berlumba-lumba membangunkan gedung-gedung yang tinggi, dan menara yang menjulang ke langit.

    Pada hal mereka adalah orang miskin kerana sistem riba, sistem kapitalisme, dunia materialisme dajjal sudah menjadi sistem di dunia. Namun orang yang berpegang kepada al-Quran tetap dengan kemuliaannya dan tidak hanyut dalam arus kehidupan akhir zaman yang membahayakan. Apa yang pasti orang beriman sentiasa menjaga ketakwaannya di akhir zaman ini kerana menyedari pada situasi yang tidak biasa. Selama al-Quran ada di tangan, selama itu dia mendapat petunjuk, cahaya, bimbingan, aturan yang terang di hadapan matanya.

    7.Pandangan Ustaz bagaimana kita boleh mengukuhkan keluarga terutama ayah sebagai ketua keluarga dengan al-Quran?

    Ada ayah yang berperanan sebagai ayah biologi, tetapi ayah yang membaca dan menjadikan al-Quran sebagai panduan keluarga, tidak hanya menjadi ayah biologi tetapi ayah idealogi. Ketika ayah sudah mampun menjadi ketua keluarga dengan panduan al-Quran, maka seisi keluarga akan dipimpin oleh ayah ke syurga, kepada permulaan syurga di dunia, rumahku syurgaku. Ayah akan melindungi keluarga daripada pelbagai perkara haram masuk ke rumah. Sesuatu yang haram boleh menyebabkan keluarga bercerai-berai. Ayah yang berpegang kepada al-Quran menjadikan rumahtangga begitu jelas visi dan misi, tidak seperti kebanyakan keluarga yang mengikuti peradaban keluarga yang lalu, semata membesarkan fizikal anak-anaknya.

    8.Bagaimanakah aktiviti WQH di Indonesia pada 13 Mei ini?

    Di Indonesia, kempen World #QuranHour mulai berjalan dengan menyebarkan video di media sosial. Kami juga bekerjasama dengan beberapa media nasional, media Islam, para seleberiti dan influencer yang sudah berhijrah untuk bergabung bersama kami menjayakan World #QuranHour.

    8.Apakah harapan Ustaz kesan atau impak program WQH selepas ini?

    Harapan saya semoga impak program World #QuranHour selepas ini memberikan kesedaran kepada ummah untuk membaca al-Quran khususnya Surah Ar-Rahman dan menjadi Muslim yang menyebarkan kasih sayang, perdamaian, dan mengutamakan penyatuan dan mengkomunikasikan Islam dan al-Quran dengan cara yagn cerdas dan simpati sehingga membuat seluruh manusia di dunia memandang Islam yang sebenarnya. Harapan saya juga gerakan kesan sejagat melalui World #QuranHour mendapat taufik dariapda ALLAH SWT dan kita akan terus bekerjasama membesarkan ALLAH sepanjang masa.



    Sumber

  • AirAsia kaji kenaikan kadar tambang

    AirAsia kaji kenaikan kadar tambang

    KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd sedang mengkaji kemungkinan kenaikan kadar tambangnya pada masa depan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Pengerusinya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, buat masa ini syarikat masih dalam perbincangan sama ada terdapat keperluan yang mendesak bagi AirAsia untuk menaikkan kadar tambangnya pada masa depan.

    “Kalau ada (kenaikan tambang), ia takkan ketara.

    “Buat masa ini, kita tidak tahu secara tepat jumlah kenaikan tambang penerbangan (sekiranya ada) kerana kita masih belum mengetahui jumlah pesawat AirAsia yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKPB ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ di sini hari ini.

    Pada Selasa, beberapa syarikat penerbangan tempatan mengingatkan bahawa penumpang dijangka perlu membayar lebih 50 peratus untuk kadar tambang udara jika penjarakan sosial dikuatkuasakan dalam pesawat seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berikutan Covid-19.

    Malaysian Airlines Bhd dan Malindo Air bersetuju dengan cadangan itu yang memerlukan penjarakan sosial dalam kalangan penumpang yang akan menaikkan kadar tambang udara sehingga 54 peratus.

    Malaysia Airlines berkata, ini dapat dilihat di Thailand selepas kerajaannya menetapkan tempat duduk kosong antara penumpang, menaikkan kadar tambang domestik lebih 50 peratus.

    “Kami akan terus memacu harga yang dinamik bergantung kepada kapasiti dan permintaan. Promosi akan ditentukan dari masa ke masa dan apabila dilaksanakan. Kami menjangka pelanggan akan lebih peka mengenai keselamatan,” katanya dalam laporan berita semalam.

    Kamarudin berkata, kenaikan kadar tambang penerbangan tertakluk kepada kos dan AirAsia akan cuba sedaya-upaya untuk tidak menaikkannya untuk tidak membebankan penumpang.

    “Hasrat kita untuk menyambung semula penerbangan bagi memastikan operasi syarikat terus berjalan dan bukan kerana mahu mendapatkan keuntungan berikutan dalam situasi yang mencabar sekarang memang sukar untuk syarikat penerbangan membuat keuntungan.

    “Namun asalkan kita dapat membiayai kos-kos pengurusan seperti kos penyelenggaraan dan sebagainya, itu sudah memadai,” katanya.

    Katanya, operasi syarikat penerbangan tertakluk kepada arahan kerajaan dan setiap perancangan yang dirangka perlu mengikut serta selari dengan keputusan dan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan terutamanya dalam tempoh PKP.

    “Oleh itu, apabila kita telah membuat sesuatu perancangan dan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan tidak selari dengan perancangan, kita terpaksa mengubah perancangan tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Kamarudin berkata, sebanyak RM50,000 daripada jumlah dana sumbangan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas dari pasar raya ST Rosyam Mart dan ia akan diedarkan kepada lebih 1,000 buah keluarga dari pelbagai komuniti termasuk ibu tunggal, pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan persatuan kebajikan penduduk.

    “Setakat ini, kami telah mengedar bantuan ke lebih 50 buah lokasi dan kami menyedari bahawa terdapat ramai lagi komuniti yang memerlukan bantuan,” katanya.

    Sehingga kini, beliau berkata, kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ telah berjaya mengutip dana sebanyak RM911,000 melalui inisiatif derma digital awam.

    Sejak hari pertama Ramadan, pasukan Ikhlas telah mengedar barangan keperluan asas dan juadah berbuka puasa kepada lebih 5,800 buah keluarga di seluruh negara.

    Ikhlas merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Islam di seluruh dunia dengan menyediakan akses bagi pelbagai amalan berasaskan keimanan, termasuk kewajipan agama seperti umrah, korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum syariah. – Bernama



    Sumber

  • Hospital Taiping sahut kempen World #QuranHour

    Hospital Taiping sahut kempen World #QuranHour

    TAIPING – Keterbatasan pergerakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang warga Hospital Taiping menyahut kempen World #QuranHour yang berlangsung hari ini.

    Seramai 20 kakitangan Hospital Taiping bersama ahli Rumah Ngaji Taiping menjayakan kempen World #QuranHour yang diadakan di Bilik Seminar 1, Hospital Taiping di sini.

    Hadir sama dalam program tersebut, Penggerak Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah; Penggerak Rumah Ngaji Taiping, Hanita Hashim dan Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Taiping, Nurul Faiz Khairol Azmi.

    Kolaborasi di antara Rumah Ngaji Taiping dan Hospital Taiping julung kali diadakan bagi program World #QuranHour ini.

    Menurut Noor Mazlina, di Perak terdapat empat lokasi utama penganjuran program World #QuranHour iaitu di Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

    Katanya, tidak seperti penganjuran World #QuranHour sebelum ini yang diadakan di Rumah-rumah Ngaji seluruh Perak, semua ahli Rumah Ngaji melaksanakan program berkenaan di kediaman masing-masing berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Beliau berkata, penganjuran program di lokasi-lokasi utama di Perak diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan mengutamakan penjarakan sosial kepada semua peserta.



    Sumber