Blog

  • Bersama jayakan World #QuranHour di NS

    Bersama jayakan World #QuranHour di NS

    SEREMBAN – Bagi mengimarahkan bulan Ramadan, masyarakat di negeri ini diminta untuk bersama-sama menjayakan program World#QuranHour yang akan berlangsung pada 13 Mei ini.

    World #QuranHour edisi kelima akan berlangsung serentak seluruh dunia pada 20 Ramadan, dengan membawa misi Surah Ar-Rahman (55:1-78) sebagai solusi mengembalikan keharmonian global “Reboot Global Harmony”.

    Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.

    Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, penganjuran pada kali ini agak berbeza tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, apabila tiada upacara berhimpun membaca al-Quran bersama di hotspot yang ditetapkan.

    Sebaliknya kata Gharizah, umat Islam diminta untuk terus membaca al-Quran dan menjayakan World#QuranHour ini dengan membaca di tempat masing-masing, di rumah atau di ruang pejabat.

    “Walaupun kita tidak dapat berkumpul dan bersama-sama membaca al-Quran seperti yang dilakukan pada setiap tahun, tetapi itu tidak melemahkan semangat kita untuk terus menghidupkan kembali bacaan al-Quran.

    “Umat Islam perlu terus bangkit, walaupun hanya di rumah dengan melaksanakan ibadat-ibadat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan ini,”katanya kepada Sinar Harian.

    Sebahagian penduduk Pangsapuri Lobak yang menerima sumbangan dan turut menyatakan sokongan World#QuranHour

    Sebahagian penduduk Pangsapuri Lobak yang menerima sumbangan dan turut menyatakan sokongan World#QuranHour

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyampaian bantuan kelengkapan bayi kepada penduduk Islam di Pangsapuri Lobak sempena Ramadan, bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lobak di sini semalam.

    Hadir sama Pengerusi KRT Lobak, Mohd Rabek Mohamad Sharif dan Setiausaha Surau, Muhammad Khairul Anuar Amran.

    Sementara itu, menurut Mohd Rabek pihaknya bersyukur dan berbesar hati kerana banyak menerima bantuan daripada Rumah Ngaji Negeri Sembilan, termasuk Masjid Jamek Seremban dan NGO dalam menjayakan usaha membantu masyarakat Islam di pangsapuri ini.

    Katanya, masyarakat Islam di sini hanya minoriti, apabila daripada lebih 500 penduduk, hanya 65 keluarga adalah masyarakat Islam bagaimanapun, segala keperluan dan kelengkapan untuk melakukan ibadah termasuk surau boleh didapati di pangsapuri ini.

    “Dengan usaha semua pihak termasuk Rumah Ngaji banyak membantu kami membuka semula surau dan kelas mengaji di pangsapuri ini, namun disebabkan sekarang tempoh PKP, segala aktiviti terpaksa dihentikan sementara dan akan kembali aktif selepas semuanya selesai,”katanya.



    Sumber

  • World #QuranHour langkah berbaloi: Dr Zulkifli

    World #QuranHour langkah berbaloi: Dr Zulkifli

    KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini adalah satu langkah berbaloi, patut dan munasabah dalam usaha menjadikan al-Quran sejuzuk daripada akhlak masyarakat dan umat Islam negara ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, program World #QuranHour juga adalah satu usaha baik untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak lima tahun lalu di samping memaknakan sebuah kehidupan.

    Menurutnya, antara kelemahan ummah adalah apabila mereka meninggalkan al-Quran, lebih-lebih lagi manusia di akhir zaman yang cuba menghijrahkan diri daripada al-Quran.

    “Program World #QuranHour yang dilakukan sejak lima tahun lalu bagi saya satu usaha yang amat berbaloi, patut serta munasabah.

    “Kita mahukan (sifat murni) dalam al-Quran menjadi sejuzuk daripada akhlak kita, sebagaimana hadis Saidatina Aisyah RA bermaksud ‘adalah akhlak Nabi Rasulullah SAW itu al-Quran’.

    “Antara kelemahan ummah adalah apabila mereka meninggalkan al-Quran dan sebagaimana bekas Perdana Menteri Britain, William Ewart Gladstone berkata suatu ketika dahulu sambil memegang naskhah al-Quran, ‘Kalaulah umat Islam masih berpegang kepada kitab ini, kita akan sukar untuk mengalahkan mereka’,” katanya pada sidang media di studio TV Alhijrah di sini hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris dan Ahli Lembaga Yayasan Warisan Ummah IKhlas, Ahmad Yani Abd Manaf.

    Dr Zulkifli berkata, hadis Saidatina Aisyah RA itu juga menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan program World #QuranHour ini bagi menjinakkan umat Islam dengan al-Quran dan seterusnya menyebabkan mereka rajin membacanya.

    Menurutnya, umat Islam juga digalakkan untuk cuba memahami al-Quran dengan cara tadabbur dan tafsirnya disusuli usaha penghayatan al-Quran untuk memaknakan kalam ALLAH itu dalam kehidupan mereka.

    “Siapa baca al-Quran, tengok walau satu ayat al-Quran, maka kita boleh rujuk kepada sunnah Nabi SAW, boleh tengok bacaan Nabi, percakapan Nabi, suara Nabi serta interaksi Rasulullah SAW dengan para sahabat.

    Dr Zulkifli (tengah) menyokong pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini. Turut kelihatan Ahmad Yani (kiri) dan Namanzee. - Foto MOHD IZARI ROSLI

    Dr Zulkifli (tengah) menyokong pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini. Turut kelihatan Ahmad Yani (kiri) dan Namanzee. – Foto MOHD IZARI ROSLI

    “Segala sunnah tersebut adalah contoh puncak akhlak manusia paling unggul, cukup harmoni dan cukup baik,” katanya.

    Dr Zulkifli turut menegaskan pemilihan Surah Ar-Rahman sebagai tema perbincangan program World #QuranHour adalah bertepatan memandangkan surah itu cukup menarik kerana dinamakan bersempena dengan sifat ALLAH cukup hebat iaitu Ar-Rahman.

    Menurutnya, rangkuman perbicaraan berkenaan al-Quran dalam Surah Ar-Rahman menggambarkan kepada manusia betapa sifat ALLAH iaitu Ar-Rahman dijelmakan kepada manusia sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini.

    “Dan ia juga dipandukan dengan kedatangan Rasulullah SAW yang membawa al-Quran sebagai petunjuk, menjadi petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk dan yang juga pembezaan antara kebatilan dan kebenaran.

    “Tidak cukup dengan itu, al-Quran dinyatakan Rasulullah SAW mempunyai terlalu banyak kelebihan mukjizat yang menjadi perlembagaan dalam hidup manusia, dengan Rasulullah SAW yang telah menyampaikan al-Quran tanpa syak dan ragu-ragu bagi membimbing dan memanualkan manusia dalam bentuk manual kehidupan lebih baik,” katanya.

    Dr Zulkifli juga menjelaskan santunan daripada Surah Ar-Rahman mengajar kepada manusia untuk lebih mensyukuri nikmat ALLAH SWT, lebih-lebih lagi bila dikaitkan realisasi kehidupan umat Islam dengan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

    “Dengan sebab ALLAH kurniakan kepada kita dengan berbagai nikmat dan kurniaan, maka kesyukuran menjadi perkara utama.

    “Kita boleh menangani Covid-19 dengan cukup baik, baik menerusi akal diberi, rezeki dikurniakan, pengurusan yang baik, good governance, kerjasama ta’awun yang tinggi, hikmah kebersamaan yang wujud serta bantuan dari berbagai bentuk.

    “Ini menunjukkan apabila kita kaji betul-betul, kesyukuran kepada ALLAH yang kita dambakan dalam kehidupan kita, insya-ALLAH,” katanya.

    Dr Zulkifli turut berharap satu jam diperuntukkan untuk program World #QuranHour ini bukan semata-mata dianjurkan pada bulan Ramadan, tetapi juga kepada apa-apa waktu sesuai untuk mendekatkan khalayak masyarakat dan umat Islam dengan al-Quran.

    “Saya ucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakannya seperti Karangkraf, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), TV Alhijrah, Bernama TV, Astro Oasis dan sebagainya.

    “Inisiatif ini sebenarnya telah memberi satu isyarat baik untuk kita kembali memartabatkan syiar Islam melalui pembacaan, pembudayaan, pengamatan dan penghayatan al-Quran untuk difahami ummah dengan sebaik-baiknya,” katanya.

    World #QuranHour edisi kelima akan berlangsung sentak seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan 13 Mei 2020 dengan membawa misi Surah Ar-Rahman (55:1-78) sebagai solusi mengembalikan keharmonian global “Reboot Global Harmony”.

    Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.



    Sumber

  • Beli insurans hayat ketika muda lebih jimat

    Beli insurans hayat ketika muda lebih jimat

    KUALA LUMPUR – Jika anda berusia dalam lingkungan 20-an dan baru sahaja memulakan kerjaya, inilah masa yang terbaik untuk mendapatkan perlindungan untuk diri.

    Ketua Pegawai Jualan Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Ong Pin Hean berkata, kebanyakan belia tidak nampak keperluan membeli insurans hayat pada usia muda.

    “Anda muda dan sihat, adakah ia benar-benar perlu untuk membeli insurans hayat seawal ini? Jawapannya ialah ya dan lebih awal lebih bagus,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

    Beliau berkata, sikap tidak menyedari kepentingan membeli insurans hayat merupakan fenomena biasa bagi belia.

    “Selalunya tumpuan mereka lebih kepada pembelian kereta atau bersedia untuk memulakan perancangan untuk membeli rumah.

    “Jika mereka berfikir untuk membeli insurans, ia selalunya tentang membeli kad perubatan. Sekiranya mereka berfikir bahawa kesejahteraan dan kesihatan sentiasa berpihak kepada mereka, ia adalah sebuah tanggapan yang salah,” katanya.

    Pin Hean berkata, mempunyai polisi insurans hayat akan menjadi jaring keselamatan kewangan untuk keluarga sekiranya seseorang itu meninggal dunia secara tidak diduga dan ia boleh menggantikan sumber pendapatan yang hilang serta melangsaikan hutang.

    Katanya, pemegang polisi yang lebih muda dan sihat juga akan menerima perlindungan lebih komprehensif kerana dianggap mempunyai rekod kesihatan yang baik.

    Tambahan pula katanya, orang ramai mampu berjimat lebih banyak menerusi pembayaran premium.

    Dalam pada itu beliau berkata, tiada satu polisi yang memenuhi keperluan semua, tetapi Allianz PowerLink boleh dikatakan paling hampir dengannya.

    Katanya, pelan tersebut menawarkan perlindungan insurans perubatan dan hayat yang mempunyai elemen pelaburan di dalamnya dan menjadikan Allianz penanggung insurans sehenti pelanggan.

    “Jika anda mampu membayar premium, anda juga boleh memilih untuk mendapatkan perlindungan tambahan,” katanya.

    Pin Hean berkata, Allianz PremierLink turut menawarkan perlindungan hayat untuk mereka yang menginginkan perlindungan insurans hayat yang lebih di atas perlindungan sedia ada dengan premium serendah RM250 sebulan untuk polisi insurans hayat berjumlah RM1 juta.

    Untuk maklumat lanjut tentang Allianz PowerLink dan Allianz PremierLink, sila layari allianz.com.my/ powerlink dan allianz.com.my/allianzpremierlink.

    Orang ramai juga boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Allianz di talian 1-300-22-5542.

    Allianz Life menawarkan insurans hayat dan kesihatan dan produk- produk berkaitan pelaburan dan bagi tahun kewangan 2019, Allianz Life mencatatkan premium bertulis kasar (GWP) sebanyak RM2.73 bilion dan merupakan salah sebuah penanggung insurans hayat yang berkembang paling pesat di Malaysia.

    Allianz Life telah menerima Anugerah Dekad Jenama Ikonik The BrandLaureate 2019 untuk Insurans Hayat.



    Sumber

  • Hari-Hari bantu peniaga kecil jual kuih, biskut raya

    Hari-Hari bantu peniaga kecil jual kuih, biskut raya

    PUSAT Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd (Hari-Hari) melancarkan Kempen Bazaar Kita Tolong Kita 2020 untuk membantu usahawan kecil berdekatan dengan cawangannya menjual kuih atau biskut raya secara percuma.

    Hari-Hari dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif itu diambil susulan tiada Bazaar ataupun pasar malam pada musim perayaan ini.

    Menurut kenyataan itu, usahawan atau peniaga tidak perlu membayar sebarang sewa dan keuntungan 100 peratus milik mereka.

    “Mereka hanya perlu hubungi mana-mana cawangan Hari-Hari dan jika dipilih, mereka hanya perlu menghantar produk ke cawangan tersebut dan staf kami akan tolong jual.

    “Hanya lima peniaga yang akan dipilih untuk satu cawangan. Kempen ini diharapkan dapat membantu serba sikit usahawan kecil yang susah nak jual kuih raya mereka,” kata kenyataan itu.

    Kempen Bazaar Kita Tolong Kita 2020 berlangsung bermula 12 Mei sehingga 31 Mei 2020.

    Kempen Bazaar Kita Tolong Kita 2020 berlangsung bermula 12 Mei sehingga 31 Mei 2020.

    Tempoh pendaftaran bermula hari ini sehingga cukup lima peniaga bagi satu cawangan dan tempoh jualan berlangsung bermula 12 Mei sehingga 31 Mei 2020.

    Langkah-langkah yang perlu diambil oleh peniaga ialah menghubungi cawangan https://ibb.co/y4M7bwd diminati dan nyatakan produk yang hendak dijual.

    Hanya kuih raya atau biskut Raya (makanan kering) yang dibenarkan dan jika dipilih, peniaga perlu menghantar produk mereka ke cawangan tersebut serta mengisi borang.

    Peniaga perlu meletakkan harga pada produk mereka untuk memudahkan pelanggan membelinya dan kakitangan Hari-Hari akan membantu menjualnya sepanjang tempoh kempen iaitu 12 Mei sehingga 31 Mei 2020.

    Peniaga boleh menebus semula duit jualan selang hari atau menambah stok mereka dan baki produk itu yang tidak dijual boleh diambil selepas 31 Mei 2020.

    Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook Hari-Hari https://www.facebook.com/harihari/



    Sumber

  • Agih sumbangan al-Quran kepada pesara polis

    Agih sumbangan al-Quran kepada pesara polis

    MELAKA TENGAH – Polis Melaka akan mengagihkan sebahagian sumbangan 1,000 naskhah al-Quran yang diterima menerusi Program Wakaf Quran kepada pesara- pesara polis bagi menyemarakkan dan membudayakan membaca kitab suci itu.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kassim Karim berkata, sebahagian al-Quran yang diterima akan diberikan kepada pesara polis atau balu mereka sebagai berkongsi rezeki bersama individu yang pernah berkhidmat dan berjasa dalam badan beruniform ini.

    “Sebahagian lagi akan diagihkan kepada anggota dan pegawai polis di negeri ini bersama sumbangan berbentuk makanan.

    “Itu yang akan kita lakukan dalam program memberi sedekah keperluan asas kepada golongan itu, kita selitkan bersama satu al- Quran,” katanya.

    Mat Kassim berkata demikian selepas Program Wakaf Quran Mu’Jam yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini semalam.

    Hadir sama, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang; Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki dan Pengurus Besar Book2U Sdn Bhd, RJ Shahfaizal Khairudin.

    Tambah Mat Kassim, pihaknya menghargai dan menyambut baik program wakaf al-Quran seumpama ini dan berharap anggotanya dapat bersama mencari peluang menghayati al-Quran dalam kesibukan menjalankan tugas lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

    “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita dapat sumbangan pakaian perlindungan diri (PPE), topeng muka dan cecair pembasmi kuman dan kelainan sumbangan kali ini kita menerima al-Quran untuk kita sama-sama menghayatinya.

    “Dalam masa sama kita juga berdoa semoga wabak koronavirus (Covid-19) dapat ditangani dan dapat kita berhari raya tanpa sebarang gangguan, insya-ALLAH,” katanya.



    Sumber

  • Jadikan tindakan para Nabi contoh

    Jadikan tindakan para Nabi contoh

    SHAH ALAM – Sebagai Muslim, segala tindakan para Nabi perlu dijadikan contoh termasuk Nabi Ismail AS yang tetap memanggil ayahnya dengan panggilan lembut walaupun nyawanya terancam.

    Timbalan Pengerusi Dewan Dakwah, Majlis Dakwah Negara, Zul Ramli M Razali berkata, seorang anak wajib memanggil kedua orang tuanya dengan panggilan lembut dan sebutan yang baik

    Menurutnya, panggilan yang boleh dijadikan contoh untuk dilakukan adalah sapaan Nabi Ismail AS kepada ayahnya, iaitu Ya Abati atau wahai ayah kesayangan ku walaupun selepas diperintah untuk disembelih.

    “Apa rahsianya kata ulama, yang mungkin kita boleh renungkan. Kenapa keluar perkataan Abati daripada mulut (Nabi Ismail As) ketika diperintah untuk disembelih. Itu sangat mengejutkan.

    “Benar apa yang dikatakan Saidina Umar bagaimana seorang ayah yang baik berjaya mempengaruhi hati anak menjadi baik dan ketika dia menjadi anak dia juga berbuat baik kepada ibu dan ayahnya,” katanya di program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Mencipta kenangan terindah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini, semalam.

    Hadir sama, Imam masjid berkenaan, Sheikh Abdul Karim Almakki yang mengalunkan bacaan Surah Al Baqarah, ayat 126 hingga 129 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

    Zul Ramli berkata, dalam Islam, orang tua diwajibkan untuk memanggil anak-anaknya dengan sebutan yang sangat sopan dan baik serta jauh dari perkataan-perkataan yang kasar.

    “Kenapa Nabi Ismail itu boleh menjadi anak yang sangat baik kepada ayahnya pada ketika menerima perintah yang sangat berat berbanding perintah ayah pada masa ini bukanlah ‘ekstrem’ pun.

    “(Anak-anak masa ini) kadang-kadang disuruh menyapu sahaja, suruh basuh pinggan sahaja, sudah tarik muka tetapi kalau belanja piza senyum meleret dan apabila diberi tugasan berlaku sebaliknya.

    “Saya bercakap tentang semua peringkat, sebab kita tahu ayah akan tetap jadi ayah walaupun anaknya sudah berumur 50 tahun kalau ayah masih hidup, anak tetap ada hubungan dengan ibu dan ayahnya,” kata beliau.

    Menurutnya, jika kita mahu anak-anak kita menjadi seorang yang baik maka jadilah seorang anak yang baik kepada kedua ibu dan bapa kita.

    “Sekiranya kita mahu anak anak mengingati diri kita maka perkara yang sama perlu dilakukan terlebih dahulu iaitu dengan mengingati kedua ibu bapa kita,” katanya.



    Sumber

  • Jadikan al-Quran sebagai sahabat

    Jadikan al-Quran sebagai sahabat

    ALOR SETAR – Polis Kedah menerima 1,500 naskhah al-Quran daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sempena Program Wakaf Al-Quran AlHarmain di sini kelmarin.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menghargai sumbangan berkenaan dan berharap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu menjadikan al-Quran sebagai sahabat dan panduan dalam hidup mereka.

    “Apabila mendekati al-Quran, hati akan menjadi lebih tenang dan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih produktif,” katanya pada sidang akhbar selepas kunjungan hormat dan Penyerahan Wakaf Al-Quran yang disampaikan Sekretariat Program Wakaf al-Quran WUIF, Hashim Anang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Program Wakaf Al-Quran berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Alhijrah, Majlis Dakwah Negara, Ideaktiv dan Sinar Harian untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan melawan koronavirus (Covid-19).Zainuddin berkata, polis Kedah akan memberi sokongan terhadap Program World #QuranHour yang akan mentaddabur surah Ar-Rahman pada 13 Mei depan.

    Sementara itu, Hashim berkata, sumbangan ini sebagai sokongan dan dorongan penyumbang wakaf untuk memperkukuhkan spiritual dan emosi petugas barisan hadapan.

    Beliau yang juga Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf yakin al-Quran tersebut dapat dimanfaatkan oleh anggota polis di semua daerah di Kedah dengan mewujudkan al-Quran Corner.

    “Pada masa sama dapat dikongsi dengan orang ramai yang berurusan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya.



    Sumber

  • Tadabbur al-Quran normal baharu rakyat Malaysia

    Tadabbur al-Quran normal baharu rakyat Malaysia

    PROGRAM World #QuranHour yang bermula sejak tahun 2016 ternyata mendapat sambutan menggalakkan masyarakat pelbagai agama dan kaum di seluruh negara sehingga ia menjadi acara yang ditunggu-tunggu pada tarikh 20 Ramadan setiap tahun. Pada tahun ini, tarikh 20 Ramadan jatuh pada Rabu, 13 Mei 2020.

    Buktinya, sehingga tahun 2019, World #QuranHour yang penganjurannya masuk tahun kelima telah diadakan di lebih 3,000 lokasi di Malaysia dan 300 lokasi di 76 negara. Dari segi media sosial, ia telah menjangkau 1.46 bilion capaian dalam tempoh empat tahun sahaja.

    Gerakan berinteraksi dengan al-Quran menerusi konsep Baca, Faham dan Amal itu mempunyai visi MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah dalam usaha mengubah pemikiran masyarakat agar menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

    Namun, seluruh dunia termasuk Malaysia kini berdepan dengan ancaman kemanusiaan dan kesihatan yang terbesar pada abad ini: Covid-19.

    Dalam wawancara khas Sinar Harian bersama Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub semalam, beliau berkongsi visi dan misi World #QuranHour pada tahun ini dalam usaha menghayati al-Quran sebagai amalan normal baharu susulan pandemik Covid-19.

    SINAR HARIAN: Apakah kelainan program World #QuranHour pada tahun ini?

    HUSSAMUDDIN: Insya-ALLAH pada 13 Mei ini, kita akan meneruskan program World #Quran Hour yang diadakan setiap tahun pada 10 terakhir Ramadan. Namun kali ini berbeza sedikit.

    Kebiasaan setiap tahun sebelum ini kita ada satu program utama di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, tetapi tahun ini kita akan buat dalam studio tanpa penonton.

    Kita harap dapat menggerakkan semua orang Islam di seluruh dunia dan pertama kali juga tahun ini, terdapat empat stesen televisyen akan bekerjasama untuk siaran langsung. Sebelum ini, hanya Astro Oasis yang menyiarkan siaran langsung tetapi tahun ini TV Alhijrah, Astro Oasis, RTM1 dan BernamaTV.

    Konsep tahun ini iaitu Reboot Global Harmony bersesuaian dengan keadaan semasa. Sebenarnya sejak bulan November lagi kita sudah memulakan kempen Reboot Global Harmony.

    Dengan apa yang berlaku sekarang, Covid-19 dan seluruh dunia berkurung, kita melihat ini sebenarnya percaturan ALLAH. Maknanya ini adalah betul-betul untuk reboot global harmony. Bukan sahaja harmoni dengan manusia tetapi manusia dengan alam. Kita tengok dalam masa dua bulan PKP ini, alam pun damai.

    Tahun ini kita pilih Surah Ar-Rahman untuk ditadabbur dan dikongsikan di seluruh dunia. Siaran langsung tahun ini berbeza. Kita akan guna teknologi. Dulu kita pancar dari Malaysia, kali ini kita akan bergabung dengan Indonesia dan dipancarkan ke seluruh dunia.

    Mesej yang kita bawa ialah Surah Ar-Rahman iaitu mesej perdamaian. Memang misi kita adalah mengQURANkan bangsa dan mengIKHLASkan ummah. Sebab itu kita buat World #QuranHour.

    Berbanding dahulu dan sekarang, bagaimana sambutan orang ramai terhadap program Islamik ini?

    Kita tengok kini, minat orang untuk memahami al-Quran semakin meningkat. Sebagai contoh, program Malaysia #QuranTime bersama TV Alhijrah secara live setiap hari sepanjang PKP ini, alhamdulillah, saya tengok viewers setiap hari yang menonton TV sahaja dekat 900,000 hingga sejuta orang.

    Itu belum yang tengok secara online. Semalam (kelmarin) berita TV Alhijrah yang keluar online pun berjuta-juga (penonton). Lihat pada maklum balas, penonton datang dari seluruh dunia, Amerika Syarikat, Australia, Singapura.

    Maknanya kesedaran orang memahami al-Quran itu sudah mula timbul. Sekarang program membaca al-Quran ada di mana-mana, cuma usaha yang cuba Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) buat ini ialah kita tekankan lebih kepada aspek pemahaman dan penghayatan.

    Selama ini kita menitikberatkan membaca al-Quran tetapi apabila tidak memahami, ia dapat tidak diterjemahkan kepada akhlak dan karakter.

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

    Jadi ini sebenarnya kesan yang kita lihat hasil program yang kita buat lima enam tahun dulu. Kita bersyukur kerana Malaysia jadi pencetus dan tahun ini Indonesia ingin bersama kita.

    Memandangkan ini merupakan gerakan dari bawah, kebanyakan kerjasama kita peroleh itu adalah people to people.

    Insya-ALLAH kali ini kita berharap lebih banyak penglibatan daripada pihak kerajaan. Contohnya, tahun ini kita dapat sokongan penuh daripada Menteri Agama (Senator Datuk Seri Dr Mohamad al-Bakri) dan Menteri Komunikasi dan Mutimedia (Datuk Saifuddin Abdullah) untuk membawa misi ini ke satu tahap lain.Tahun lepas kita dapat 1.46 bilion capaian media sosial sepanjang kempen. Dulu kita kempen awal dua tiga bulan dan kita boleh bergerak ke seluruh dunia.

    Selama ini kita menitikberatkan membaca al-Quran tetapi apabila tidak memahami, ia dapat tidak diterjemahkan kepada akhlak dan karakter.

    Sekarang disebabkan Covid-19, pergerakan terbatas, maka pasukan kita tidak boleh berhubung dengan pihak di luar negara. Dari segi capaian, kita mungkin tidak dapat macam tahun kepas. Tetapi tahun ini kita akan dapat sasarkan audiens kerana kita masih dalam peringkat PKP Bersyarat.

    Sekarang ramai yang bekerja dari rumah. Live audience kita mungkin tidak seramai capaian tahun lalu tapi kali ini saya rasa live audience di Malaysia akan ramai.

    Alhamdulillah, Menteri Agama sudah sahkan akan hadir dan membaca doa khusus untuk dunia. Sekurangnya-kurangnya sejuta orang yang mengikuti Malaysia #QuranTime di TV Alhijrah ketika ini akan ikut dan mempromosi program World #QuranHour

    Mereka akan ikut membaca (al-Quran) di rumah masing-masing. Saya rasa sekurang-kurangnya lima juta orang di Malaysia akan boleh ikut sama dan kita berharap mesej-mesej al-Quran akan masuk ke hati mereka.

    Selepas lima tahun penganjuran, apakah impak program ini kepada masyarakat?

    Tujuan kita sekarang, kita nak masukkan al-Quran itu ke hati, jantung dan minda mereka. Dari segi kuantiti, kita tidak boleh kerana kita ada halangan pada tahun ini. Tetapi dari segi impak, saya rasa insya-ALLAH kita akan dapat jauh lebih banyak kerana objektif kita supaya nilai al-Quran itu masuk ke hati dan minda serta diterjemahkan ke akhlak.Kita sudah terkurung selama tujuh minggu. Saya rasa kita sudah ‘disekolahkan’ dan menghasilkan satu kumpulan ummah yang berbeza, yang ada al-Quran dalam sistemnya.

    Sekarang melalui Malaysia #QuranTime, kita lancarkan kempen wakaf al-Quran untuk hospital sebanyak 80,000 naskhah setakat hari ini (semalam) dan 50,000 daripada jumlah itu sudah diedarkan kepada hospital, pusat kesihatan dan petugas barisan hadapan seperti polis dan sebagainya.

    Masa rehat, mereka sudah mula membaca al-Quran. Jadi kita berharap pada 13 Mei nanti, al-Quran yang kita edarkan itu akan juga dibaca oleh seramai mungkin orang. Kita mahu cipta satu budaya baru. Apabila waktu rehat, mereka membaca al-Quran yang ada terjemahan dan mereka faham serta dijadikan sebagai kaedah mereka menguruskan diri.

    Adakah ia memberi apa-apa kesan ke atas orang bukan Islam?

    Saya tengok sendiri kadang-kadang masa program Malaysia #QuranTime dan Majlis Ayah, yang menonton itu ramai yang bukan Islam. Ini yang saya selalu sebut, Covid-19 dan PKP sebenarnya kerja Tuhan. Al-Quran diturunkan untuk semua. Solusi untuk semua, bukan untuk orang Islam sahaja. Selama ini mungkin kerana sibuk dan tidak menjadi keutamaan atau orang memandang remeh terhadap al-Quran.

    Tetapi dengan PKP ini, saya rasa belum ada lagi usaha yang membuatkan orang melihat al-Quran secara terperinci dan dikaitkan dengan keadaan semasa.Ini akan membuka mata ramai dan menyebabkan orang Islam lebih faham al-Quran dan agama. Malah, orang bukan Islam sudah tidak lagi takut dengan Islam. Ini yang saya katakan kerja Tuhan.

    Betullah al-Quran ini solusi untuk ummah, manusia sejagat, bukan untuk orang Islam sahaja. Dalam al-Quran dijelaskan, manusia diciptakan dalam berbagai bangsa untuk saling mengenal, bukan saling membenci. Inilah peluang kita betul-betul reboot global harmony.

    Kita kena sampaikan al-Quran itu dalam mesej yang jelas supaya semua orang boleh faham termasuk bukan Islam. Kita jangan cuba hadkan al-Quran untuk kita sahaja, sebenarnya ia menawarkan solusi untuk semua orang. Kena sampaikan dan diterjemahkan dalam bahasa yang mudah difahami orang dan mesti ada interaksi dua hala.

    Al-Quran diturunkan untuk semua, bukan untuk orang Islam semata-mata. Selama ini, kita rasa al-Quran terlalu eksklusif dan tidak boleh dipegang orang lain (bukan Islam). Kalau tidak pegang, tidak baca macam mana? Tetapi kita ada orang Jepun, jadi kena ada al-Quran terjemahan bahasa Jepun, orang Jerman kena ada al-Quran terjemahan bahasa Jerman, begitu juga bahasa mandarin.

    “Kita kena sampaikan al-Quran itu dalam mesej yang jelas supaya semua orang boleh faham termasuk bukan Islam. Kita jangan cuba hadkan al-Quran untuk kita sahaja.”

    Kita kena gerakkan program World #QuranHour, kalau semua orang faham al-Quran sama ada orang Islam atau bukan Islam, orang bukan Islam tidak akan lagi takut kepada Islam. Itu juga bergantung kepada akhlak umat Islam tentang bagaimana untuk meyakinkan orang bukan Islam agar mendekati al-Quran. Ia akan menyebabkan orang rasa tertarik sebagaimana pada zaman sahabat Nabi Muhammad SAW di mana orang rasa tertarik untuk masuk Islam kerana akhlak para sahabat. Jadi kita hendak kembalikan dan itu reboot-nya.

    Sejauh manakah World #QuranHour membantu usaha mengQURANkan bangsa?

    Tanggungjawab mengQURANkan bangsa ini adalah tanggungjawab semua, maknanya pihak kerajaan, guru al-Quran atau sesiapa sahaja. Saya harap semua orang berfikir bahawa bukanlah satu beban untuk mereka membantu usaha mengQURANkan bangsa.

    Cuma kita berharap semua pihak harus bekerjasama. Sebenarnya World #QuranHour enam, tujuh tahun lalu digerakkan oleh media. Pada masa itu, semua organisasi media bersatu. Media Prima, Karangkraf, Utusan, Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), semua bersatu menggerakkan program ini. Itu yang membolehkkan kita membawa program ini kepada satu tahap. Tetapi dua, tiga tahun lepas, disebabkan perubahan pengurusan di banyak organisasi media menyebabkan kerjasama tersebut tidak berapa lancar macam dahulu lagi.

    Jadi kita harap dan menyedari ini sebenarnya bukan masalah kerajaan. Maknanya kalau media boleh bersatu, saya kira macam dahulu, insya-ALLAH kita boleh promosi program ini semula.

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

    Sekurang-kurangnya Covid-19 ini menyebabkan kita kembali bersatu. Kalau kita bersatu, takkan hendak mengal-Qurankan bangsa pun peranan kerajaan. Jadi ini peranan kita, pemain media sebagai penggerak. Sekurang-kurangnya mengapa saya mengambil inisiatif menjadikan media sebagai platform menggerakkan program World #QuranHour kerana saya rasa itu tanggungjawab media yang mempunyai pengaruh tersendiri.

    Kita kena bertanggungjawab dan boleh menjawab kepada ALLAH nanti, yang saya ada pengaruh dan saya sudah menggunakan pengaruh saya untuk membawa manusia ke jalan yang mana.

    Susulan Covid-19, apakah terdapat normal baharu dalam membudayakan al-Quran sekarang?

    Pada awal pelaksanaan program ini, yang ikuti program kita hanya golongan wanita dan ibu. Tapi sekarang kerana PKP, orang muda termasuk golongan ayah sudah mula ikut. Ayah ini adalah pemimpin untuk membentuk keluarganya. Cara membentuk keluarga yang betul adalah melalui wahyu, ilmu yang ada dalam al-Quran. Ayah itu sendiri kena belajar. Kempen ini untuk semua orang Islam terutama membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan sebelum menyebarkan.

    Bagi saya ini satu normal baharu. Jika kita faham al-Quran, dengan sendirinya kita solat menepati masa. Orang akan berzakat, berinfak dan bersedekah.

    Apa yang paling penting, kita kena jadi orang yang bertanggungjawab. Sebelum pandemik ini, semua orang bercerita tentang hak, sedikit sangat bercerita pasal tanggungjawab. Sedangkan dalam al-Quran banyak menceritakan tentang tanggungjawab.

    Sekarang ini normal baharu adalah tanggungjawab kita. Bila tengok tempat sesak, kita yang kena berundur. Tengok orang tidak beratur, kita yang beratur, bukan kita pun sama pergi redah.

    Bagi saya ini satu normal baharu. Jika kita faham al-Quran, dengan sendirinya kita solat menepati masa. Orang akan berzakat, berinfak dan bersedekah.

    Tanggungjawab kita untuk memastikan kita yang amalkan penjarakan sosial dan dengan sendirinya orang lain akan malu alah. Ini normal baharu yang berasaskan tanggungjawab.

    Apakah ada perbezaan antara golongan profesional yang faham al-Quran dan yang sebaliknya?

    Sebenarnya bukan aspek memahami terjemahan al-Quran yang mengubah sikap manusia, tetapi penghayatan al-Quran serta inisiatif menggunakan ilmunya dalam kerja seharian.

    Ada sesetengah pengurus di seluruh dunia yang hafal al-Quran pun menipu juga. Yang penting bagaimana anda mengambil roh al-Quran untuk dijadikan sebagai sistem operasi kehidupan seharian. Itu akan jadi berbeza.

    Ayah yang menghafal al-Quran dan pukul isteri pun ramai juga. Tetapi kalau menjadi ayah yang menghayati al-Quran, dia tidak belasah isteri dia. Jadi itu bezanya dari aspek bagaimana kita amalkan al-Quran. Jadi kempen kita adalah baca, faham dan amal.

    Kerana al-Quran berada dalam dada mereka, sistem kerangka pemikiran mereka berteraskan al-Quran. Jadi kita akan tengok kerajaan akan jadi bersih, pengurusan syarikat akan jadi bersih, CEO akan jadi lebih bertanggungjawab, pekerja juga akan jadi lebih bertanggungjawab kerana mereka menjadikan tauhid sebagai perkara nombor satu.

    Program World #QuranHour 2019 yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada tahun lalu.

    Program World #QuranHour 2019 yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada tahun lalu.

    Rezeki bertambah, produktiviti meningkat

    SINAR HARIAN: Sejauh manakah al-Quran boleh menjadi solusi dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti pada musim Covid-19 ini?

    HUSSAMUDDIN: Saya rasa, pertama orang akan jadi lebih bertanggungjawab. Kalau orang yang faham, dia akan jadi lebih bertanggungjawab. Bila dia tahu tanggungjawab dirinya, dia akan bekerja lebih keras, akan belajar ilmu dengan lebih mendalam untuk dia menjadi lebih pandai. Bila sudah pandai, dia akan menjadi lebih kreatif.

    Sebab itu ayat al-Quran pertama yang diturunkan adalah berkaitan membaca dalam Surah Al-Alaq iaitu Iqra’ atau ‘Bacalah’, supaya dia belajar, menjadi lebih kompetitif dan dapat menguruskan masa kehidupan dengan lebih baik.

    Dia kena hidup berkitarkan waktu solat. Contohnya, mereka kena siapkan kerja sebelum solat Zohor. Itu new normal yang sepatutnya berlaku. Saya yakin dan ALLAH sudah janjikan rezeki itu ada. Lepas solat Jumaat, keluarlah pergi cari rezeki. Kita kena yakin rezeki itu ada.

    Tetapi pada masa ini, kita merasakan rezeki kita itu bergantung dengan cara bagaimana kita bodek bos kita. Itu yang ALLAH halang rezeki kita.

    Maknanya kita tahu kita kerja kerana ALLAH dan sekarang kita kerja di sebuah syarikat, jadi apa objektif di sebuah syarikat? Jadi kita tidak boleh rasuah. Kita tidak boleh kerja curi masa. Dengan sendiri kalau semua orang fokus masa untuk bekerja, kita akan dapat rezeki lebih baik.

    Dalam masa PKP, ramai orang dapat rezeki baharu. Bila dia duduk rumah, dia solat dengan lebih baik, hubungan dengan setiap ahli keluarga semakin baik, bila memasak untuk keluarga dan kemudiannya hasil lebihan masakan dijual secara dalam talian, dia akan mendapat jumlah rezeki lebih banyak.

    Selain itu, budak penghantar makanan itu turut mendapat rezeki baharu. Jadi ini yang saya katakan ALLAH sedang reboot dunia.

    Syarikat-syarikat besar sekarang memang susah. Tetapi Covid-19 memberi peluang orang kecil untuk bangkit dengan memberi mereka peluang-peluang baharu.

    Cuma dia kena usahalah. Saya hendak beri contoh anak bongsu saya, dia tidak bekerja dengan Karangkraf. Dia seorang pakar dron, sekali dapat kontrak kerja, dia akan mengenakan caj perkhidmatan mencecah RM30,000.

    Jadi bila menerima satu atau dua kontrak kerja sebulan, dia akan pergi melancong bersama isteri dan anaknya. Tetapi kerana PKP lapan minggu, apa yang dia buat? Dia membantu mempromosi masakan isterinya menerusi online dan akhirnya mampu beroleh pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 seminggu.

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. – Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

    Daripada jual item masakan isterinya. Jadi maknanya dengan sendirinya, dia tidak terfikir isterinya ada kepakaran itu dan dia ada kepakaran membantu mempromosi kempen produk isterinya.

    Pada saat ini, syarikat yang besar-besar termasuk Karangkraf memang susah. Tapi bagi orang-orang kecil, mereka boleh kembali bangkit.

    Itu sebab kita kena ada keyakinan. Rezeki memang ALLAH yang beri tetapi kita kena berusaha, berdoa dan belajar bersyukur. Kalau kita bersyukur banyak, ALLAH akan beri rezeki lebih kepada kita.

    Tetapi mengapa kebanyakan syarikat di seluruh dunia bermasalah? Kerana kita ada masalah tauke tidak bersyukur, rezeki banyak ini tauke hendak lebih.

    Pekerja dapat gaji banyak ini, tidak bersyukur dan asyik hendak mengeluh sahaja. Jadi kerja sudah tiada keikhlasan. Itu yang menyebabkan ALLAH tarik sekaligus nikmat rezeki di seluruh dunia.

    Syarikat yang menderita selain syarikat menjual peralatan penjagaan kesihatan seperti topeng muka dan cecair basmi kuman memang banyak dan ranap di seluruh dunia.

    Tetapi ALLAH beri peluang banyak kepada manusia untuk menjayakan aspek entrepreneurship. Jadi inilah masa untuk melahirkan usahawan-usahawan baharu.

    Berapa rakyat rakyat Malaysia yang work from home? Berapa ramai yang tidak pernah jual ikan buat jualan secara ‘delivery’? Jadi cara meraih rezeki ini banyak. Jadi saya rasa ini adalah design ALLAH untuk tukar ekosistem bumi ini.

    Kalau tidak, sistem itu kapitalis. Sekarang kapitalis tidak boleh bersaing dengan peniaga kecil-kecilan. Tetapi syarat anda kena betul-betul ikut cara Islam. Maknanya rezeki ALLAH itu akan ada kalau kita yakin.



    Sumber

  • World #QuranHour sasar penyertaan lima juta rakyat

    World #QuranHour sasar penyertaan lima juta rakyat

    SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyasarkan sekurang-kurangnya lima juta rakyat Malaysia mengikuti World #QuranHour pada 20 Ramadan 1441H bersamaan Rabu, 13 Mei ini.

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, jumlah itu berdasarkan peningkatan minat orang ramai untuk memahami al-Quran dan penerimaan baik terhadap program Malaysia #QuranTime yang diadakan sejak awal Ramadan lalu.

    “Malaysia #QuranTime sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini bersama TV Alhijrah diadakan secara langsung setiap hari dan alhamdulillah ditonton antara 900,000 hingga satu juta orang.

    “Program itu turut mendapat sambutan daripada jutaan penonton melalui online selain menerima maklum balas positif dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Singapura.

    “Jadi saya rasa mereka akan ikut dan sebarkan World #QuranHour pada 13 Mei dengan membaca di rumah masing-masing dan saya menyasarkan lima juta orang di Malaysia akan turut serta,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

    Hussamuddin berkata, pada masa sekarang terdapat banyak program membaca al-Quran termasuk di media sosial dan WUIF mengambil inisiatif menganjurkan World #QuranHour dengan memberi penekanan terhadap aspek pemahaman dan penghayatan.

    Program World #QuranHour 2019 yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada tahun lalu.

    Program World #QuranHour 2019 yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada tahun lalu.

    Menurutnya, penganjuran tahun ini membawa misi Surah Ar-Rahman, 55: 1-78, sebagai solusi mengembalikan keharmonian global.

    “Ini merupakan gerakan berinteraksi dengan AL-Quran: Baca, Faham dan Amal dengan visi MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah.

    “Tujuan kita memasukkan al-Quran itu ke hati, jantung dan minda mereka serta diterjemahkan kepada akhlak dan karakter.

    “Tahun lepas kita menerima 1.46 bilion capaian di media sosial. Sekarang oleh kerana pandemik Covid-19, ramai yang bekerja dari rumah dan saya rasa live audience di Malaysia akan ramai,” katanya.

    “Tujuan kita memasukkan al-Quran itu ke hati, jantung dan minda mereka serta diterjemahkan kepada akhlak dan karakter.

    Tambah beliau, World #QuranHour akan bersiaran di studio tanpa penonton di TV Alhijrah dengan tayangan bersama di Astro Oasis, Bernama TV dan RTM serta dikongsi siar langsung di platform digital Sinar Harian dan Ideaktiv.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan kehadiran pada program tersebut bagi membacakan doa untuk seluruh dunia.

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

    Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB



    Sumber

  • Inflasi keseluruhan menurun kepada -0.2 peratus pada Mac: BNM

    Inflasi keseluruhan menurun kepada -0.2 peratus pada Mac: BNM

    INFLASI keseluruhan menurun kepada -0.2 peratus pada Mac 2020 daripada 1.3 peratus pada Februari 2020, menurut Bank Negara Malaysia.

    “Inflasi yang negatif ini mencerminkan penurunan inflasi pengangkutan yang disebabkan oleh harga bahan api runcit yang lebih rendah berikutan harga minyak sedunia yang merosot dengan ketara, “ kata bank pusat itu dalam sorotan bulanannya hari ini.

    Ekonomi negara sebelum ini menjadi deflasi dalam tempoh Januari-Februari tahun lepas, kali pertama selepas berlakunya krisis kewangan global pada 2009. Indeks Harga Pengguna (IHP), masing-masing mencatat -0.7 peratus dan -0.4 peratus pada Januari dan Februari 2019.

    BNM berkata, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 1.3 peratus.

    Katanya, pasaran kewangan domestik mengalami aliran keluar bukan pemastautin sebanyak RM17.7 bilion (AS$4.1 bilion) pada Mac berikutan peningkatan sentimen penghindaran risiko ekoran ketidakpastian yang semakin ketara mengenai tahap betapa teruknya pandemik koronavirus (Covid-19) dan potensi impak kepada ekonomi.

    Meskipun langkah rangsangan monetari dan fiskal berskala besar dilaksanakan di seluruh dunia, kegiatan penghindaran risiko global kekal ketara, katanya.

    “Hal ini menyebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap aset yang lebih selamat dan mudah cair seperti wang tunai dan sekuriti Perbendaharaan AS. Selain itu, kejatuhan harga minyak dunia yang ketara terus menjejaskan sentimen pasaran kewangan global,” kata BNM.

    Kesan daripada perkembangan tersebut, ringgit menyusut nilai berbanding dolar AS sebanyak 1.8 peratus, FBM KLCI merosot sebanyak 8.9 peratus untuk ditutup pada 1,351 mata dan kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 52.9 mata asas.

    Katanya, kesemua perkembangan ini sejajar dengan pasaran kewangan serantau. – Bernama



    Sumber