Blog

  • Bertadarus di wad pengisian di bulan Ramadan

    Bertadarus di wad pengisian di bulan Ramadan

    ALOR SETAR – Program Wakaf Al-Quran yang dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas berjaya menghidupkan amalan bertadarus buat kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) serta pesakit yang mendapatkan rawatan di situ.

    Wakil Rumah Ngaji negeri Kedah, Saloni Mustaffa berkata, ia berikutan HSB telah mewujudkan sudut al-Quran yang menjadi medium pengisian rohani untuk kakitangan dan pesakitnya.

    Menurutnya, setelah penyerahan dibuat pada 15 April lalu, pihak HSB telah mengagihkan al-Quran berkenaan di beberapa lokasi umum termasuk wad dan pusat kuarantin.

    “Alhamdulillah, di wad itu bukan sahaja doktor dan jururawat malah pesakit juga mengadakan tadarus sebagai pengisian waktu senggang mereka terutama di bulan Ramadan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, beliau berharap semoga mukjizat al-Quran dapat membantu memberi semangat kepada pesakit mahupun petugas-petugas di HSB, lebih lebih lagi pada saat semua orang memerlukan pertolongan ALLAH SWT.

    Seorang jururawat menunjukkan plakad sebagai tanda menyokong Program Wakaf Al-Quran oleh Yayasan Warisan Rumah Ikhlas.

    Seorang jururawat menunjukkan plakad sebagai tanda menyokong Program Wakaf Al-Quran oleh Yayasan Warisan Rumah Ikhlas.



    Sumber

  • Min House Camp terima al-Quran wakaf

    Min House Camp terima al-Quran wakaf

    KOTA BHARU – Pertubuhan Rumah Ngaji Kelantan (PRNNK) akan memastikan al-Quran yang diwakafkan oleh penduduk Kelantan khusus untuk rakyat negeri ini diagihkan secara telus.

    Ketua Biro Penyelaras Biro Wakaf Quran, Norhayati Abdul Halim berkata, terdapat pelbagai pihak mewakafkan al-Quran menerusi PRNNK dan ia akan diedarkan secara berperingkat kepada Rumah Ngaji terpilih dan juga agensi tertentu.

    “Pertubuhan mengalu-alukan niat mulia pelbagai pihak dan individu tertentu yang sama-sama berkongsi pahala dengan menggalakkan masyarakat membudayakan amalan membaca al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.

    Terdahulu beliau menyerahkan 20 al-Quran kepada pemilik Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli ataupun dikenali sebagai Rumah Ngaji Dalam Taman di Kubang Kerian.

    Hadir sama, Pengerusi Biro Latihan PRNNK, Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad dan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Kelantan, Dr Johari Yap.

    Sementara itu, Wan Noriah berkata, al-Quran tersebut akan dimanfaatkan untuk digunakan oleh tetamu di Min House Camp.

    “Di setiap sudut taman ini kita letakkan al-Quran dan juga buku-buku ilmiah, jadi sesiapa sahaja yang datang boleh membacanya di mana-mana ruang.

    “Tetamu juga boleh menghayati bacaan masing-masing di tepi sungai untuk lebih mencari kedamaian,” katanya.



    Sumber

  • 160 naskhah al-Quran untuk HSM

    160 naskhah al-Quran untuk HSM

    LUMUT – Sebanyak 160 naskhah al-Quran telah diserahkan kepada petugas barisan hadapan Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, Khamis lalu.

    Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, al-Quran yang diwakafkan melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu ditempatkan di #QuranCorner untuk digunakan oleh petugas, pesakit dan pelawat.

    “WUIF berharap petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus menangani pandemik Covid-19 menjadikan al-Quran sebagai petunjuk serta kekuatan untuk terus berbakti kepada negara.

    “Kesemua al-Quran ditempatkan di #QuranCorner. Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk, penyembuh dan rahmat untuk kita semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Hadir sama pada majlis penyerahan al-Quran, Ketua Unit Kualiti HSM, Dr Nurul Huda Azira Abdul Razak; Pengasas Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datuk Nazli Alias; Penyelia Bina Insan Kemas Parlimen Lumut, Rafidah Mohamed dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam HSM, Nor Sa’adah Abdullah Zawawi.



    Sumber

  • Misi Surah Ar-Rahman sebagai Solusi “Reboot Global Harmony”

    Misi Surah Ar-Rahman sebagai Solusi “Reboot Global Harmony”

    HARI ini saya ingin berkongsi program tahunan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, berinteraksi dengan Al-Quran, World #QuranHour, tahun ke 5, akan berlangsung serentak di seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan hari Rabu, 13 Mei 2020 membawa misi Surah Ar-Rahman, 55: 1- 78 sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, “Reboot Global Harmony”.

    Kesan Sejagat COVID-19

    Ujian pandemik COVID-19 ini telah memberi kesan sejagat kepada seluruh warga global dari segi cara hidup, sosial, ekonomi dan tentu sekali kepada mental, emosi dan spiritual kita.

    Sekiranya kita tidak segera menanganinya dengan sikap dan cara berfikir yang betul kesan pandemik ini berpotensi melemahkan kita dalam banyak segi, terutamanya dari sudut semangat serta daya tahan mental dan emosi kita.

    Solusi dari Al-Quran

    Buat seorang Muslim, kita berharap Keagungan Al-Quran menjadi kekuatan kita bersama untuk menghadapi cabaran besar dan tahun-tahun sulit yang dijangka tiba.

    Dengan kekuatan dalaman, syukur dan yakin, Insya-Allah kita tidak akan berputus asa dari Rahmat Allah SWT. Kita akan bangkit menjadi lebih baik setelah ini.

    Kami bawakan World #QuranHour dengan Misi Surah Ar-Rahman pada 10 hari terakhir Ramadan tahun ini sebagai solusi menuju kepada ketenteraman jiwa dan membina rasa syukur di kalangan ummah global dengan tidak mendustakan empat nikmat besar yang Allah berikan kepada kita sebagaimana dirakamkan dalam Surah Agung ini.

    Hadiah dari Allah

    Kita tidak dapat menafikan bahawa COVID-19 ini telah menjadi cabaran besar di seluruh dunia, namun pada masa yang sama telah menjadi “hadiah’ dari Allah SWT untuk menyelesaikan masalah keharmonian global dan isu ketegangan kaum dan agama.

    Kita telah menyaksikan masalah yang seolah-olah tidak ada solusi berkesan sebelum ini seperti pencemaran alam dan masalah sesama makhluk juga selesai.

    Dunia seperti sedang melalui proses “Reboot” dari Allah SWT. Oleh itu, saya merasakan betapa perlunya kita segera mengambil momentum ini dengan mengadakan gerakan besar-besaran berinteraksi dengan Kalam Ilahi, mendoakan agar apa yang sedang kita lalui akan memberi impak kepada jiwa manusia untuk tunduk menginsafi kelemahan kita dan betapa kita perlukan “Divine Intervention” agar kita dapat bangkit bagi memakmurkan dunia. Biidznillah.

    Tentang World #QuranHour

    Pelaksanaan Malaysia #QuranHour telah bermula sejak tahun 2015 dan World #QuranHour bermula pada tahun 2016 secara tahunan. Sehingga tahun 2019, pelaksanaan World #QuranHour telah diadakan di lebih 3000 lokasi berdaftar di seluruh Malaysia, 300 lokasi berdaftar di 76 buah negara dan telah mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial.

    Gerakan berinteraksi dengan Al-Quran: Baca, Faham dan Amal ini mempunyai Visi untuk MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah. Dengan membaca dan menikmati keajaiban Al-Quran serta memahami mesej dari Allah kepada kita, kita berharap cara fikir ummah diluruskan dengan panduan dari Al-Quran. Semoga akan terbentuk “way of life” berlandaskan Al-Quran; pengurusan hidup di rumah, di tempat kerja dan dalam negara semuanya merujuk kepada Al-Quran, Insya-Allah.

    Komitmen dan solidariti dari semua media cetak dan elektronik serta digital telah membantu kami membawakan misi berinteraksi dengan Al-Quran ini dari Malaysia ke seluruh dunia.

    Selama 1 jam, antara jam 12 tengahari hingga 1 petang, semua yang terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan akan membaca, memahami mesej dari Allah melalui tadabbur Al-Quran dan menggariskan apa perkara yang perlu mereka perlu laksana dan amalkan dalam menguruskan hidup mereka.

    Tahun ini menjadi pengalaman baru kepada seluruh penggerak World #QuranHour yang terlibat kerana ramai rakyat berada di rumah atau di ruang pejabat.

    Alhamdulillah, selain sokongan rakan sinergi utama untuk menyebarluaskan misi ini seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Islamic Tourism Center Malaysia, 4 stesen TV dan platform digital akan menayangkan program 1 jam berinteraksi dengan Al-Quran, Baca, Faham dan Amal secara siaran langsung menjelang zuhur, bermula Jam 12 tengahari hingga 1 petang pada hari Rabu 20 Ramadan bersamaan 13 Mei 2020 ini.

    Stesen TV dan media yang telah mengesahkan komitmen untuk bersama ialah TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv.

    Program yang dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Malaysia, kali ini akan bekerjasama dengan Ar Rahman Quranic Learning Center dari Indonesia bagi mengisi program 1 jam ini.

    Apa yang perlu dilakukan dalam 1 jam pada 20 Ramadan ini?

    Ikuti dari rumah atau ruang kerja masing-masing. Siapkan Al-Quran Terjemahan

    Ikuti siaran langsung di TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis dan atas talian di FB; Sinar Harian, TV AlHijrah, World #QuranHour

    Sebagai solidariti bersama, semasa 1 jam World #QuranHour, ambil gambar sendiri atau bersama keluarga dan rakan (jaga penjarakan sosial) dan pos ke media sosial dengan tanda pagar: World #QuranHour

    Bagi mendapatkan maklumat terkini serta info untuk bahan World #QuranHour 2020, mohon LIKE FB page: QuranHour

    Bersama-sama kita doakan keharmonian global dengan Kalam dari Ar Rahman. Kita gemakan Surah Ar Rahman, 55: 1-78, dari Malaysia & Indonesia ke seluruh dunia untuk santapan jiwa ummah global.

    Mohon bantuan SHARE.

    Jom kita sama-sama gelombangkan gerakan mengQURANkan BANGSA dan mengIKHLASkan UMMAH ini ke seluruh negara dan dunia.

    Salam buat semua.

    Mendoakan keharmonian buat semua,

    Hussamuddin Haji Yaacub

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

    World #QuranHour

    #WorldOfCompassion



    Sumber

  • AXA eMedic tawar pembelian kad perubatan dalam talian

    AXA eMedic tawar pembelian kad perubatan dalam talian

    KUALA LUMPUR – Memiliki kad perubatan pada masa sekarang boleh dianggap sebagai satu keperluan hidup, bukan lagi kehendak. Mengapa kita perlu ada kad perubatan atau medical card dalam kehidupan?

    Mungkin ramai yang tidak sedar betapa pentingnya keperluan ini kepada diri sendiri dan ahli keluarga. Tidak mustahil juga ada yang terlepas pandang selain menganggap ia perkara remeh dan tidak perlu.

    Tidak sakit tidak bermakna anda boleh abaikan persediaan. Sakit boleh datang tanpa dijangka. Bayangkan anda tidak ada sebarang persediaan dari segi kewangan. Kos perubatan pula saban tahun meningkat seiring kemajuan dan teknologi semasa. Apa akan jadi?

    Situasi pada hari ini juga semakin menakutkan. Wabak Covid-19 yang menular di seluruh dunia pada ketika ini memaksa kita sentiasa berwaspada agar tidak dijangkiti.

    Meskipun anda sudah ada segala keperluan alat pelindung untuk mengelak jangkitan tetapi ia tidak akan lengkap tanpa kad perubatan.

    Masih belum terlambat untuk dapatkan kad perubatan walaupun kita semua sedang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Jangan risau, walaupun tidak boleh ke mana-mana, tidak boleh berjumpa sesiapa tetapi anda masih boleh dapatkan kad perubatan AXA eMedic. Kekal duduk di rumah dan anda hanya perlu menekan beberapa klik!

    Beli insurans perubatan secara dalam talian, perkhidmatan pertama di Malaysia! AXA eMedic membolehkan kad perubatan dibeli sekarang melalui telefon atau komputer hanya dalam 5 minit!

    Apa keistimewaan AXA eMedic?

    One plan atau pelan untuk satu famili ditawarkan dengan kadar RM150 sebulan untuk empat orang.

    Percaya atau tidak, ramai individu yang mempunyai insurans kesihatan tidak tahu manfaat yang mereka miliki. Mereka ambil pelan dan bayar. Mereka tidak membaca manfaat yang tercatat dalam polisi atau sijil takaful. Ini yang selalu terjadi.

    plan2

    plan2

    Kesannya, mereka tidak tahu apa yang mereka ambil, tidak tahu pelan yang mereka ikuti, tidak tahu apa faedah yang mereka boleh nikmati. Sedangkan mereka telah membayar ratusan ringgit setiap bulan.

    Apa kelebihan AXA eMedic?

    Lebih menarik lagi, Had Tahunan sebanyak RM100,000 setiap individu ditetapkan semula ke nilai asal setiap tahun tidak kira berapa banyak yang digunakan pada tahun sebelumnya (tidak terhad seumur hidup).

    Jika sakit dan perlu diwadkan, jangan gusar. AXA eMedic menawarkan kemasukan tanpa tunai di kebanyakan hospital terkenal seperti Pusat Perubatan Prince Court, Gleneagles, Hospital Pantai, Hospital Columbia Asia, Hospital KPJ, Pusat Perubatan Sunway dan banyak lagi.

    Malah AXA eMedic menyediakan perlindungan penuh jika anda dimasukkan ke hospital kerana Covid-19. Siapa yang layak?

    Semua warganegara Malaysia bermula dari usia bayi (15 hari) hingga dewasa (49 tahun) layak mendapatkan kad perubatan AXA eMedic. Ia memberi perlindungan sehingga usia 80 tahun.

    Jadi, kenapa tunggu lagi? Sekaranglah masa terbaik untuk dapatkan perlindungan insurans perubatan! Sesuai untuk anda yang mencari insurans perubatan dengan harga berpatutan dan boleh dinikmati seisi keluarga.

    Anda perlukan banyak kos untuk bergaya, tetapi kad perubatan AXA eMedic hanya RM37!

    Anda perlukan banyak kos untuk bergaya, tetapi kad perubatan AXA eMedic hanya RM37!

    Jangan ragu-ragu, inilah kemajuan. AXA eMedic boleh disertai bila-bila masa hanya di hujung jari sama seperti anda membeli insurans perjalanan dan kereta dalam talian. AXA eMedic juga diluluskan oleh Bank Negara seperti syarikat insurans lain di Malaysia.

    Malah AXA eMedic adalah salah satu jenama insurans terbesar di pentas dunia. Pada 2018 telah dinobatkan sebagai jenama insurans nombor 1 global oleh Interbrand bagi tahun ke-10 berturut-turut.

    Ciri-Ciri produk AXA eMedic yang perlu anda tahu

    * Perlindungan penuh untuk Covid-1

    * Serendah RM37/sebulan (individu)

    * Serendah RM150/sebulan (1 keluarga 4 orang)

    * Kemasukan tanpa tunai ke hospital* panel AXA

    * 5% diskaun untuk pelan keluarga

    * Tambahan 5% diskaun untuk bayaran tahunan

    * Satu pembayaran bulanan untuk seisi keluarga

    * RM100,000 setiap tahun untuk bil hospital bagi setiap ahli keluarga

    * Perlindungan merangkumi penyakit dan kemalangan

    * Tidak perlu pemeriksaan kesihatan

    * Mohon dan buat pembayaran dalam talian

    * Tambahan Perlindungan Insurans Hayat dengan jumlah diinsuranskan sehingga RM500,000

    Jangan bertangguh, untuk maklumat lanjut mengenai AXA eMedic layari di sini.



    Sumber

  • Pesakit tenang baca al-Quran

    Pesakit tenang baca al-Quran

    SERDANG – Pemberian wakaf al-Quran kepada pesakit yang berada di wad Hospital Serdang di sini akan menggalakkan mereka untuk membaca kitab suci itu di wad masing-masing.

    Ketua Unit Hal Ehwal Islam Hospital Serdang, Ustaz Mohammad Hafiz Bakren berkata, pesakit yang sering membaca al-Quran ketika berada di wad akan menarik perhatian pesakit lain untuk turut sama berbuat demikian.

    “Ketika Ramadan ini, pihak hospital juga menganjurkan program tadarus membabitkan kakitangan di setiap unit pada waktu rehat dan al-Quran terjemahan ini menjadikan mereka lebih bersemangat,” katanya selepas menerima sumbangan Program Wakaf Al-Quran menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di sini semalam.

    Dr Mohd Arshil (lima dari kanan) menerima sebanyak 200 naskah al-Quran di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS, Serdang semalam.

    Dr Mohd Arshil (lima dari kanan) menerima sebanyak 200 naskah al-Quran di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS, Serdang semalam.

    Bagi Timbalan Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen, selain pesakit, al-Quran tersebut dapat digunakan lebih 200 petugas pelbagai agensi.

    Menurutnya, majoriti daripada 102 pesakit di pusat kuarantin itu terdiri daripada golongan pelajar tahfiz dan kluster tabligh.

    “Al-Quran ini akan diletakkan di surau berasingan untuk pesakit dan petugas,” kata beliau.

    Projek wakaf al-Quran yang dilancarkan sejak 3 April lalu itu mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah Untuk Ummah dengan membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.



    Sumber

  • Latih ahli keluarga sentiasa bersyukur untuk bahagia

    Latih ahli keluarga sentiasa bersyukur untuk bahagia

    SHAH ALAM – Keluarga bahagia adalah keluarga yang sentiasa bersyukur kepada ALLAH SWT di atas segala nikmat diperoleh mereka.

    Oleh demikian bagi mencapai keluarga bahagia, Penolong Profesor Kuliyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Abdul Latiff Abdul Razak menasihatkan golongan bapa sebagai ketua keluarga supaya melatih anak mereka berbuat demikian.

    Menurut beliau, antaranya melatih anak mengucap Alhamdulillah setiap kali bangun daripada tidur kerana bersyukur masih lagi bernafas.

    “Kadang-kadang kita ini tidak fokus kepada apa yang kita ada tetapi fokus kepada apa yang kita tidak ada. Itu yang menjadikan kita stres, tertekan dan risau kerana kita suka mencampuri urusan-urusan di luar kemampuan kita.

    “Sedangkan rezeki kita itu ALLAH sudah tentukan. Mereka yang berusaha, ALLAH akan memberikan kejayaan tetapi kejayaan itu bukan kerana usaha kita sebaliknya ditentukan ALLAH.

    “Jadi apa perlunya usaha? itu amal soleh kita, bekalan kita, ikhtiar kita yang ALLAH suruh,” katanya pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Nasihat Buat Ayah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini hari ini.

    Hadir sama, Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2019, Ustaz Abdul Khair Jalil yang mengalunkan bacaan Surah Luqman Ayat 12 hingga 19 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

    Program tersebut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian (portal, Facebook (FB),YouTube dan Twitter) serta FB Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 6 hingga 7 petang setiap hari sepanjang Ramadan.

    Siaran ulangan di TV AlHijrah (4.30 hingga 5.30 pagi) dan di Astro Oasis (10.30 hingga 11.30 malam) pada hari berikutnya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut menyediakan sesi ‘Berinteraksi dengan Al-Quran; Baca, Faham dan Amal’ khusus buat golongan lelaki terutama yang bergelar ayah.

    Menurutnya, antara pengisian program adalah membina perancangan bersama golongan ayah, baca dan tadabbur ayat al-Quran bersama qari pilihan serta pentadabbur.

    “Pengisian lain, dengarkan ‘Pesan Pakar’ dan ‘Pesan Ulama’, panduan dan solusi dari al-Quran, Call to Action buat ayah serta doa bersama.

    “Semoga negara ini terbina dengan para ayah dengan mindset al-Quran, memimpin keluarga, isteri dan anak-anak masuk syurga sekeluarga,” katanya.



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi selepas Fed kekal kadar faedah tidak berubah

    Ringgit dibuka tinggi selepas Fed kekal kadar faedah tidak berubah

    KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas didorong kenaikan harga minyak mentah global, di tengah-tengah pengumuman awal pagi oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bagi mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

    Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3500 ketika ditutup semalam.

    Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent naik 4.61 peratus kepada AS$23.56 setong ketika peniaga tenaga berspekulasi bahawa permintaan minyak mentah akan terus meningkat susulan paras pengeluaran global dikurangkan selepas kapasiti penyimpanan semakin berkurangan.

    Penganalisis Kanan Pasaran Oanda, Edward Moya berkata, Fed akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah sehingga mereka yakin ekonomi AS akan pulih semula.

    Beliau berkata Fed juga akan mendapatkan pakar kesihatan dalam menentukan unjuran, oleh itu bank pusat tersebut tidak dapat memberi sebarang ketetapan hari ini.

    Katanya, dolar AS meneruskan penurunan selepas Fed mengatakan sekiranya sokongan lanjutan diperlukan, bank pusat AS itu akan mempertingkat langkah rangsangan ekonomi.

    “Pelbagai rangsangan oleh Fed bagi menangani pandemik (koronavirus) Covid-19 ini berkemungkinan menjadikan dolar AS lebih lemah,” katanya.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkat,a lengkungan rata jangkitan Covid-19 di Malaysia, kenaikan harga minyak mentah serta komitmen Jawatankuasa Terbuka Fed yang melaksanakan dasar monetari bagi Fed untuk mengewangkan hutang, merupakan petunjuk baik bagi Malaysia.

    “Sentimen risiko global semakin meningkat dan semua faktor ini seharusnya memberi dorongan kepada ringgit,” katanya.

    Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

    Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0653/0739 daripada 3.0720/0757 ketika ditutup pada Rabu, dan tinggi berbanding yen kepada 4.0551/0652 daripada 4.0790/0849.

    Mata wang tempatan juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3870/4003 daripada 5.3948/3023 dan stabil berbanding euro kepada 4.7019/7132 daripada 4.7165/7228 semalam. – Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia catat kenaikan memberangsangkan ketika dibuka

    Bursa Malaysia catat kenaikan memberangsangkan ketika dibuka

    BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini selepas mencatatkan peningkatan memberangsangkan di hampir semua kaunter, disokong oleh sentimen pasaran positif yang muncul semula.

    Pada jam 9.05 pagi, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 8.44 mata kepada 1,388.74 daripada 1,380.30 ketika ditutup semalam.

    Lingkungan pasaran berada dalam aliran meningkat dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 339 berbanding 70 manakala 168 kaunter tidak berubah, 1,344 kaunter tidak diniagakan dan 69 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 379.80 juta saham bernilai RM152.45 juta.

    Malacca Securities menerusi nota ekuitinya hari ini berkata, saham di Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi susulan pengumuman mengenai kelonggaran bagi sektor yang diluluskan untuk mereka beroperasi pada kapasiti penuh.

    “Aktiviti ekonomi yang bergerak semula secara berperingkat merupakan petanda baik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi sekali gus menaikkan keyakinan pelabur bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan boleh ditamatkan pada 12 Mei ini,” menurut firma pembrokeran itu.

    Ia berkata, berasaskan penyambungan semula aktiviti ekonomi yang mungkin semakin rancak sehingga kembali seperti biasa, ditambah dengan petanda perkembangan positif mengenai rawatan berpotensi ke atas koronavirus (Covid-19), ini sekali gus membolehkan FBM KLCI terus memberi reaksi positif.

    “Ia akan menguji semula paras 1,400 dalam jangka terdekat. Sementara itu, paras rintangan seterusnya pada 1,420 manakala 1,360 dan 1,340 pula sebagai paras sokongan,” katanya.

    Bagi kaunter berwajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 14 sen kepada RM5.28, Maybank meningkat enam sen kepada RM7.47, Tenaga Nasional menambah 12 sen kepada RM12.22 dan Public Bank menokok lapan sen kepada RM16.08.

    Bagi saham aktif, Sapura Energy dan Velesto masing-masing naik lima sen kepada 8.5 sen dan 13.5 sen sementara AirAsia Group menambah dua sen kepada 80.5 sen.

    Bagi saham untung, saham produk dan perkhidmatan pengguna mengukuh dengan Dutchlady melonjak 48 sen kepada RM48.00 manakala Carlsberg, British American Tobacco dan Heineken Malaysia masing-masing meningkat 36 sen, 22 sen dan 16 sen kepada RM28.50, RM12.62 dan RM24.68.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 68.41 mata kepada 9,705.47, Indeks FBMT 100 menokok 64.14 mata kepada 9,571.37, Indeks FBM Emas Syariah naik 66.50 mata kepada 10,774.35, FBM ACE menambah 43.27 mata kepada 4,745.29 sementara FBM 70 melonjak 102.56 mata kepada 11,636.34.

    Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 81.27 mata kepada 12,338.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.58 mata kepada 117.01 sementara Indeks Perladangan turun 9.08 mata kepada 6,236.88. – Bernama



    Sumber

  • Kontrak niaga hadapan KLCI dibuka tinggi

    Kontrak niaga hadapan KLCI dibuka tinggi

    KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dibuka tinggi hari ini menjejaki prestasi pasaran tunai yang positif.

    Pada jam 9.12 pagi, April 2020 meningkat 9.5 mata kepada 1,393.50, Mei 2020 menambah 8.0 mata kepada 1,390.0, Jun 2020 naik 8.0 mata kepada 1,385.5 dan September 2020 menokok 10.0 mata kepada 1,378.0.

    Jumlah dagangan sebanyak 1,326 lot manakala minat terbuka pada 36,223 kontrak.

    Petunjuk pasaran, FBM KLCI naik 11.68 mata kepada 1,391.98 selepas 30 minit dagangan. – Bernama



    Sumber