Blog

  • Infak al-Quran beri harapan baharu buat penerima

    Infak al-Quran beri harapan baharu buat penerima

    IPOH – “Saya tak fasih membaca al-Quran, saya harap ibadah saya diterima ALLAH walau dengan membaca terjemahan.”

    Itu antara reaksi penerima program infak al-Quran yang digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di sini.

    Perkara itu dikongsi Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah dalam misi penyerahan sumbangan berkenaan kepada penduduk di beberapa lokasi penempatan di sekitar Ipoh.

    Noor Mazlina berkata, ada kalangan penerima yang sebak dan menangis sebaik menerima naskhah al-Quran itu.

    “Al-Quran ini kita agihkan kepada orang ramai yang benar-benar memerlukan, ada antara mereka yang langsung tiada naskhah al-Quran di rumah, jika ada pun sudah lusuh dan lama.

    Wakil Rumah Ngaji Perak, Latipah Mohammad mengagihkan naskhah al-Quran yang diinfakkan penyumbang kepada penerima memerlukan di sini.

    Wakil Rumah Ngaji Perak, Latipah Mohammad mengagihkan naskhah al-Quran yang diinfakkan penyumbang kepada penerima memerlukan di sini.

    “Paling saya terkesan apabila ada yang tidak fasih membaca al-Quran, jadi mereka mohon al-Quran terjemahan dengan harapan sekurang-kurangnya boleh membaca terjemahan itu,” katanya.

    Beliau berkata, buat masa ini, Rumah Ngaji Perak menerima 300 naskhah hasil keprihatinan penyumbang yang menginfakkan al-Quran

    Katanya, sebahagian sumbangan itu telah diagihkan kepada penduduk di Taman Perpaduan, Flat Bercham dan Kampung Sri Klebang.

    “Kita harap, usaha kecil ini menjadi titik tolak kepada semua penerima untuk membudayakan amalan membaca al-Quran di rumah masing-masing,” katanya.



    Sumber

  • World #QuranHour budaya amalan membaca al-Quran

    World #QuranHour budaya amalan membaca al-Quran

    IPOH – Polis Perak menyokong penuh program interaksi World #QuranHour yang akan bersiaran secara langsung pada 13 Mei ini bersamaan 20 Ramadan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, inisiatif digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu merupakan aktiviti yang baik dalam membudayakan amalan membaca al-Quran.

    “Pada 20 Ramadan ini, kita akan adakan World #QuranHour atas sumbangan pewakaf-pewakaf ini. Terima kasih kepada semua penyumbang,” katanya.

    Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak semalam menerima 1,500 naskhah al-Quran menerusi Program Wakaf Quran Mu’Jam.

    Warga IPK Perak turut sedia menyokong inisiatif digerakkan WUIF.

    Warga IPK Perak turut sedia menyokong inisiatif digerakkan WUIF.

    Sumbangan tersebut disampaikan Sekretariat Projek Wakaf al-Quran WUIF, Hashim Anang dan turut dihadiri Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah.

    Razarudin berkata, pihaknya akan memastikan semua naskhah al-Quran yang diterima diedarkan kepada semua bahagian dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) negeri untuk dimanfaatkan sebaik mungkin.

    World #QuranHour yang memasuki tahun ke-5 ini akan membawa misi Surah Ar-Rahman sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, Reboot Global Harmony.

    Selain Sinar Harian, program berkenaan akan bersiaran selama satu jam mulai jam 12 tengah hari menerusi empat stesen televisyen dan platform digital lain iaitu TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis dan Ideaktiv.



    Sumber

  • Polis Perlis hargai usaha wakaf al-Quran

    Polis Perlis hargai usaha wakaf al-Quran

    KANGAR – Polis Perlis menghargai sumbangan 500 naskhah al-Quran kepada anggotanya menerusi Program Wakaf Quran Mu’Jam yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

    Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, beliau yang mewakili Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengucapkan jutaan terima kasih atas ingatan dan sumbangan kepada kontinjen negeri tersebut.

    Menurutnya, pihaknya bersedia untuk menyertai dan menyokong sebarang aktiviti yang digerakkan oleh WUIF seperti World Quran Hour selepas ini.

    “Diharapkan dengan semangat al-Quran ini dapat memberikan galakan dan juga motivasi kepada pasukan polis di Perlis ini untuk terus membacanya termasuk memahami setiap terjemahan ayat-ayat sucinya.

    “Selain sering membaca kitab suci ini, ia secara tidak langsung dapat memupuk anggota untuk memahami maksud dan isi kandungannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

    Sumbangan tersebut disampaikan Wakil Penyelaras Rumah Ngaji Perlis, Harmi Puteh dan turut hadir Penyelaras Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa.

    Sementara itu, Harmi berkata, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang sebarang program berkumpul beramai-ramai pihaknya menyarankan aktiviti membaca al-Quran diadakan di setiap balai polis di seluruh negeri dengan memperuntukkan masa 20 minit hingga 40 minit membaca kitab suci itu.

    “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada IPK Perlis yang menyambut baik program wakaf al-Quran ini. Saya juga bagi pihak WUIF mendoakan agar para petugas barisan hadapan mendapat kekuatan dan terus bersabar dalam melaksanakan tugas di dalam menghadapi ujian Covid-19 ini, insya-ALLAH pertolongan ALAH tetap akan tiba,”katanya.



    Sumber

  • Tembikai susu laris ketika Ramadan

    Tembikai susu laris ketika Ramadan

    TANGGAPAN pengusaha kebun tembikai susu atau honey dew di Kampung Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor bahawa buah yang dipetik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu tidak terjual ternyata silap kerana permintaan daripada pemborong melebihi hasil kebun.

    Saiful Anuar Suad yang mula terlibat dalam bidang penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran sejak 2012 berkata, tembikai susu diusahakan di atas tanah berkeluasan satu ekar itu telah mengeluarkan hasil sebanyak lapan tan pada Mac lalu.

    “Ketika PKP pertama dilaksanakan, tembikai di kebun telah memasuki fasa masak dan boleh dipetik pada bila-bila masa. Pada masa itu, saya sangkakan PKP tidak disambung tetapi kerajaan menyambung lagi PKP bagi fasa dua.

    “Ketika itu saya sedikit risau jika ia tidak terjual selepas kebun memberikan hasil memuaskan tahun ini. Saya cuba menghubungi rakan-rakan pemborong dan ada juga mengiklankan di media sosial seperti Facebook berkenaan jualan borong serta runcit. Alhamdulillah, permintaan daripada pemborong cukup tinggi melebihi hasil kebun,” katanya kepada Sinar Harian.

    Selain tembikai susu, lelaki berusia 31 tahun itu berkata, dia juga mengusahakan tembikai merah dan kuning yang telah habis dituai sebelum PKP lagi.

    “Setakat ini jumlah tuaian terkumpul bagi tembikai susu yang telah dijual kepada pemborong adalah sebanyak 21 tan.

    “Kalau ikutkan setiap hari kita petik kira-kira 1 tan tetapi masih tidak cukup untuk tampung permintaan.

    Tembikai susu dari kebun Saiful Anuar yang siap untuk dijual secara pukal mahupun runcit.

    Tembikai susu dari kebun Saiful Anuar yang siap untuk dijual secara pukal mahupun runcit.

    Selain menjual tembikai secara pukal, Saiful Anuar berkata, dia turut menjual secara runcit kepada penduduk di kawasan sekitar pada harga berpatutan.

    “Saya cuma ambil keuntungan minimum sahaja kepada mereka yang datang membeli di kebun saya. Selain berniaga kita bersedekah di bulan yang mulia ini,” katanya.

    Saiful Anuar berkata, tembikai susu di Sabak Bernam adalah antara yang terbaik kerana rasanya lebih manis berbanding di kawasan lain.

    “Ada satu kajian yang dibuat oleh Taiwan mendapati antara faktor menyebabkan buah kita lebih sedap berbanding mereka ialah faktor tanah di tepi laut.

    “Ini antara sebab saya usahakan tanaman ini kerana kita mempunyai kelebihan daripada jenis tanah yang memberikan rasa lebih baik,” katanya.

    Saiful Anuar mengusahakan tanah seluas 2 ekar tanah bagi tanaman tembikai merah dan kuning serta tembikai susu di Kampung Sungai Haji Dorani

    Saiful Anuar mengusahakan tanah seluas 2 ekar tanah bagi tanaman tembikai merah dan kuning serta tembikai susu di Kampung Sungai Haji Dorani

    Berbakti

    Walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kebudayaan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), namun ia tidak menghalang Saiful Anuar untuk berbakti kepada tanah.

    Katanya, dia mula berjinak-jinak dalam dunia pertanian sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di universiti berkenaan.

    Menurutnya, dia berhasrat untuk menanam buah-buahan dan sayu-sayuran dalam skala yang lebih besar bagi memenuhi permintaan setempat jika mempunyai modal.

    “Setakat hari ini, saya mengusahakan kira-kira tujuh ekar tanah bagi tujuan pertanian yang disewa daripada penduduk di Kampung Sungai Haji Dorani ini.

    “Setahun akan ada tiga musim penanaman iaitu buah-buahan seperti tembikai, kemudian sayur dan jagung,” katanya.

    Menurutnya, menanam buah bukan satu pekerjaan mudah kerana ia menuntut disiplin yang tinggi.

    “Kalau kita tak ikut disiplin ketika membaja dan meracun buah tidak akan menjadi, malah, buah juga mudah rosak dan diserang oleh penyakit,” katanya.

    Tembikai susu dipetik dikumpul terlebih dahulu sebelum diambil oleh pemborong.

    Tembikai susu dipetik dikumpul terlebih dahulu sebelum diambil oleh pemborong.



    Sumber

  • Rahmat besar buat umat Islam

    Rahmat besar buat umat Islam

    PENGANJURAN program membudayakan al-Quran, World #QuranHour bagi tahun kelima yang bakal berlangsung serentak di seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan hari Rabu, 13 Mei 2020 membawa rahmat besar buat umat Islam.

    Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, World #QuranHour kali ini diadakan pada bulan Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi dilaksanakan.

    Menurutnya, tidak dinafikan bukan mudah untuk seseorang individu itu mengubah kebiasaan atau rutin harian kerana ia menuntut mereka untuk berfikiran positif terhadap perubahan drastik.

    Beliau mengakui penguatkuasaan PKP bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) membuatkan ramai berasa terkongkong walaupun masih ada rakyat yang dibenarkan keluar bekerja.

    Justeru, bagi mengharungi tempoh berkurung yang agak panjang ini, beliau mengajak umat Islam meneruskan rutin membaca al-Quran di rumah dan menyertai program World #Quran Hour.

    “Sebelum PKP, jadual harian mungkin agak padat dan waktu bersama keluarga terbatas. Jadi, tempoh PKP ini ramai yang memanfaatkannya dengan membaca al-Quran di rumah bersama keluarga.

    “Jadi ini semua sudah berlaku sebelum Ramadan dan sekarang sudah memasuki Ramadan dan kita ada World #QuranHour. Ini adalah satu rahmat besar sebenarnya kepada kita,” kata beliau kepada Sinar Harian di sini semalam.

    Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) ini membawa misi surah Ar-Rahman, 55: 1-78, sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, Reboot Global Harmony.

    Dengan membaca dan menikmati keajaiban al-Quran serta memahami mesej daripada ALLAH, WUIF berharap cara fikir ummah dapat diluruskan berpandukan al-Quran.

    Dengan membaca dan menikmati keajaiban al-Quran serta memahami mesej daripada ALLAH, WUIF berharap cara fikir ummah dapat diluruskan berpandukan al-Quran.

    Mengulas lanjut, Fadzilah mengakui ujian pandemik Covid-19 memberi kesan sejagat kepada seluruh dunia dari segi cara hidup, sosial, ekonomi dan tentu sekali kepada mental, emosi dan spiritual.

    “Jadi saya yakin World #QuranHour ini, (ketika) PKP dengan Covid-19 pada Ramadan dalam keadaan kita terkurung menjadi satu rahmat yang sangat besar buat umat Islam.

    “Saya yakin banyak perubahan positif akan berlaku dan mudah-mudahan kebiasaan membaca al-Quran semasa PKP dan Ramadan ini akan jauh lebih berkesan daripada bulan dan tahun sebelumnya.

    “Jika dahulu kita mungkin terbatas dengan jadual ketat tugasan, masa terhad sebab sibuk dengan pekerjaan dan sebagainya iaitu halangan kita untuk mendekati al-Quran,” katanya.

    Beliau berharap penganjuran World #QuranHour pada tahun ini membawa iman lebih bermakna, lebih mendalam dan mudah mudahan lebih ramai umat Islam menjadikan pembacaan al-Quran sebagai satu tabiat.

    Sementara itu, pelaksanaan Malaysia #QuranHour sudah bermula sejak tahun 2015 manakala World #Quran Hour dimulakan pada tahun 2016. Program itu diadakan setiap tahun.

    Sehingga tahun 2019, pelaksanaan World #QuranHour diadakan di lebih 3,000 lokasi berdaftar di seluruh Malaysia, 300 lokasi berdaftar di 76 buah negara dan telah mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial.

    Gerakan berinteraksi dengan al-Quran: baca, faham dan amal mempunyai visi untuk mengQURANkan bangsa dan mengikhlaskan ummah.

    Pelaksanaan Malaysia #QuranHour telah bermula sejak tahun 2015 dan World #QuranHour pula diadakan pada tahun 2016 secara tahunan.

    Pelaksanaan Malaysia #QuranHour telah bermula sejak tahun 2015 dan World #QuranHour pula diadakan pada tahun 2016 secara tahunan.

    Keajaiban

    Dengan membaca dan menikmati keajaiban al-Quran serta memahami mesej daripada ALLAH, WUIF berharap cara fikir ummah diluruskan dengan panduan daripada al-Quran.

    Semoga akan terbentuk ‘way of lifeberlandaskan al-Quran, pengurusan hidup di rumah, di tempat kerja dan dalam negara semuanya merujuk kepada al-Quran.

    Komitmen dan solidariti daripada semua media cetak dan elektronik serta digital telah membantu WUIF membawakan misi berinteraksi dengan al-Quran ini dari Malaysia ke seluruh dunia.

    Selama 1 jam antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 13 Mei 2020, semua yang terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan akan membaca, memahami mesej daripada ALLAH melalui tadabbur al-Quran dan menggariskan perkara yang perlu mereka perlu laksanakan dan amalkan dalam menguruskan hidup mereka.

    Wabak Covid-19 pada tahun ini menjadi pengalaman baharu kepada seluruh penggerak World #QuranHour yang terlibat kerana ramai rakyat berada di rumah atau di ruang pejabat.

    Sokongan rakan sinergi utama juga menyebarluaskan misi ini seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Islamic Tourism Center Malaysia, empat stesen TV dan platform digital akan menayangkan program 1 Jam Berinteraksi dengan al-Quran, Baca, Faham dan Amal secara siaran langsung menjelang Zuhur, bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 13 Mei 2020 ini.

    Stesen TV dan media yang mengesahkan komitmen untuk bersama ialah TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv.

    Program dicetuskan WUIF di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Malaysia ini turut bekerjasama dengan Ar Rahman Quranic Learning Center dari Indonesia.



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka rendah

    Bursa Malaysia dibuka rendah

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan dagangan bagi bulan Mei dengan dibuka rendah pagi ini sejajar dengan prestasi lemah di Wall Street pada Jumaat minggu lepas.

    Pada 9.07 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 29.35 mata atau 2.09 peratus kepada 1,378.43 daripada paras penutup 1,407.78 pada Jumaat.

    Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 486 berbanding 75, manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,106 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah 419.38 juta saham bernilai RM181.48 juta.

    Sentimen pasaran terjejas oleh situasi perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang tercetus semula apabila Presiden AS, Donald Trump mengenakan semula ancaman ke atas China dengan mendakwa negara itu menyebarkan pandemik koronavirus (Covid-19) dan mengancam tarif perdagangan.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiTrade, Stephen Innes berkata, penyambungan semula perang perdagangan akan menjejaskan harga minyak bagi tempoh jangka masa panjang.

    “Bagaimanapun dengan permintaan yang masih belum pulih, sebarang petanda pengimbangan semula sama ada menerusi pembukaan semula ekonomi atau pengurangan lagi bekalan, dijangka menyokong harga minyak pada paras semasa,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

    Penanda aras harga minyak mentah Brent, turun 2.72 peratus kepada AS$25.72 setong.

    Di pasaran tempatan, dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank turun 20 sen kepada RM7.37, TNB susut 12 sen kepada RM12.12, Public Bank berkurangan 30 sen kepada RM16.08, IHH Healthcare jatuh 14 sen kepada RM5.11, Petronas Chemicals turun 16 sen kepada RM5.44 manakala Maxis susut lapan sen kepada RM5.40.

    Dalam kalangan kaunter cergas, Key Alliance, Hibiscus Petroleum dan Ekovest semuanya turun setengah sen masing-masing kepada sembilan sen, 48.5 sen dan 48.5 sen, manakala Sapura Energy, Hubline dan Xidelang tidak berubah pada 8.5 sen, 5.0 sen dan 6.5 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 174.7 mata kepada 9,633.88, Indeks FBMT 100 susut 172.71 mata kepada 9,504.5, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 190.71 mata kepada 10,699.43, FBM ACE jatuh 74.62 mata kepada 4,720.48 manakala FBM 70 jatuh 88.03 mata kepada 11,572.2.

    Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 232.67 mata kepada 12,240.24, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.42 mata kepada 118.02 manakala Indeks Perladangan jatuh 142.93 mata kepada 6,218.09. -Bernama



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar

    RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS dalam sesi dagangan awal hari ini berikutan permintaan lemah terhadap mata wang tempatan itu apabila sentimen belian terjejas oleh penurunan harga minyak global.

    Pada 9.45 pagi, unit tempatan berada pada 4.3400/3520 berbanding dolar AS daripada 4.2950/2050 pada Khamis minggu lepas.

    Seorang peniaga berkata sentimen pasaran terhadap ringgit terjejas oleh penurunan harga minyak berikutan kebimbangan lebihan minyak global berterusan ekoran ketegangan perdagangan yang tercetus semula antara Amerika Syarikat (AS)-China yang dilihat akan melambatkan lagi pemulihan ekonomi.

    Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) turun 7.6 peratus kepada US$18.27 setong manakala penanda aras minyak mentah global Brent susut 3.4 peratus kepada AS$25.54 setong.

    Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0596/0691 daripada 3.0461/0543, susut berbanding yen kepada 4.0652/0772 daripada 4.0253/0358.

    Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4076/4235 daripada 5.3675/3808 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7527/7672 daripada 4.6639/6765. -Bernama



    Sumber

  • Celcom tawar 100,000 telefon pintar percuma

    Celcom tawar 100,000 telefon pintar percuma

    CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menawarkan 100,000 telefon pintar dengan pilihan meluas secara percuma kepada rakyat Malaysia yang mendaftar pelan pascabayar Celcom MEGA Lightning.

    Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada tawaran syarikat berkenaan untuk menyokong dan menyuntik semangat positif rakyat dalam krisis penularan koronavirus (Covid-19) dengan kempen Ramadan dan Syawal iaitu #StaySafe #RamadanKu serta #StaySafe #RayaTetapBersama.

    “Sebagai tambahan, Celcom turut menyediakan pelbagai tawaran untuk pelanggan pascabayar dan prabayar dalam tempoh ini antaranya ialah bermula 1 Mei sehingga 24 Jun, pelanggan Celcom mengikuti perkembangan terkini dengan kandungan Nak Hadiah Raya melalui kod USSD *118*9# meliputi akses percubaan percuma seminggu bagi Muslim Kids TV, tiga lagu Ramadan atau raya dan banyak lagi kandungan digital Raya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Beliau berkata, Celcom juga menawarkan potongan 50 peratus bil pascabayar Celcom MEGA dan talian keluarga selama tiga bulan.

    “Tawaran sah sehingga 31 Mei 2020 dan rebat ditawarkan kepada pendaftaran baharu Celcom MEGA dengan pas seperti Unlimited M, Unlimited L, atau Lightning M, L, atau XL melalui Celcom Online Shop.

    “Bermula 1 Mei sehingga 30 Jun 2020 pula Celcom menawarkan pelan dalam talian eksklusif bagi prabayar seperti pek Celcom Xpax SIM kini tersedia di Celcom Online Shop,” katanya.

    Celcom merupakan operator mudah alih swasta pertama di Malaysia yang mempunyai liputan meluas bagi rangkaian 2G, 3G dan 4G LTE.

    Syarikat yang ditubuhkan pada 1988 itu mempunyai kira-kira 13 juta pelanggan setakat ini.



    Sumber

  • Al-Quran pengubat spiritual pesakit

    Al-Quran pengubat spiritual pesakit

    SHAH ALAM – Pemberian sumbangan naskah al-Quran terjemahan kepada Institut Kanser Negara (IKN) mendapat maklum balas baik daripada warga hospital itu terutama pesakit.

    Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron berkata, selain perubatan moden, pesakit kanser juga memerlukan pengubat spiritual.

    Menurutnya, membaca al-Quran dan terjemahan akan membuatkan pesakit kanser rasa lebih tenang.

    “Setiap Khamis malam dan pagi Jumaat, pihak hospital memasangkan audio Surah Yassin dan Surah Al-Kahf. Berdasarkan maklum balas pesakit, mereka berasa lebih tenang dan bersemangat.

    “Dengan adanya al-Quran terjemahan ini, pesakit dapat meluangkan masa membaca dan mendalami terjemahan,” katanya kepada Sinar Harian.

    IKN antara hospital yang menerima sumbangan naskah al-Quran terjemahan yang diwakafkan orang ramai melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

    Dr Mohd Anis menerima sumbangan wakaf al-Quran daripada WUIF.

    Dr Mohd Anis menerima sumbangan wakaf al-Quran daripada WUIF.

    Sementara itu Ketua Unit Hal Ehwal Islam IKN, Ustaz Madya Madon berkata, pihaknya menyantuni pesakit secara berhemah agar dapat mendekatkan diri mereka dengan membaca al-Quran.

    Menurutnya, pihak hospital turut menyediakan sudut bacaan yang bersesuaian kepada pesakit bukan Islam.

    “Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petugas yang kebiasaannya membaca Surah Yassin seminggu sekali kini memanfaatkan al-Quran wakaf di tempat kerja melalui Program Mari Mengaji sempena Ramadan,” katanya.

    Sementara itu, di LUMUT – Sebanyak 160 naskhah al-Quran telah diserahkan kepada petugas barisan hadapan Hospital Seri Manjung (HSM), di sini kelmarin.

    Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, al-Quran yang diwakafkan melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu ditempatkan di #QuranCorner untuk digunakan oleh petugas, pesakit dan pelawat.

    “WUIF berharap petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus menangani pandemik Covid-19 menjadikan al-Quran sebagai petunjuk serta kekuatan untuk terus berbakti kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.



    Sumber

  • Sasar dua bilion capaian media sosial

    Sasar dua bilion capaian media sosial

    #QURANHOUR merupakan satu kempen berimpak tinggi cetusan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bertujuan menggalakkan setiap individu Muslim berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

    Kempen #QuranHour merangkumi World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour yang membawakan visi islah dengan al-Quran, membentuk ciri-ciri Muslim sejati berasaskan kerangka fikir al-Quran dengan misi 100 juta ummah berinteraksi dengan al-Quran di seluruh dunia, memberi inspirasi kepada ummah untuk berinteraksi bersama al-Quran serta menyebarkan kebaikan dan membuat perubahan.

    Ia juga membawakan matlamat al-Quran sebagai tali untuk menyatukan ummah seluruh dunia.

    Pada tahun kelima penganjurannya pada 30 Mei 2019, World #QuranHour mengangkat tema ‘Solusi Cabaran Sejagat’ mengajak masyarakat untuk memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi yang diibrahkan daripada surah al-Kahf.

    Hampir 3,000 peserta menyertai kempen tersebut yang berlangsung di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak bermula jam 12 tengah hari.

    Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat mencemar duli bersama mengimarahkan Ramadan dengan penghayatan al-Quran melalui kempen itu.

    Sebahagian peserta yang menjayakan program World#Quranhour di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh pada 7 Jun 2018.

    Sebahagian peserta yang menjayakan program World#Quranhour di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh pada 7 Jun 2018.

    Selain di UIAM, kempen itu juga diadakan serentak di lebih 2,100 lokasi berdaftar dalam negara dan lebih 79 lokasi di 27 negara luar.

    Sementara itu, program Malaysia #QuranHour yang diadakan pada 30 Ogos 2019 telah memasuki tahun keenam penganjurannya membawakan tema ‘Pesan Kemerdekaan Surah al-Kahf’ terus menempa sejarah apabila buat pertama kalinya dianjurkan di negara yang pernah menjadi saksi berkembangnya syiar Islam iaitu Sepanyol.

    Sinar Harian melaporkan, penganjuran program tersebut di negara yang dikenali sebagai Andalusia pada zaman kegemilangan Islam itu merupakan satu lagi kejayaan besar penganjur.

    Bacaan ayat suci al-Quran diadakan di Kedutaan Malaysia di Madrid, Sepanyol pada jam 3 petang (9 malam waktu Malaysia).

    Untuk rekod, gerakan #QuranHour telah bermula pada 2015 di bawah WUIF dan sehingga kini telah mencapai 1.46 bilion jangkauan di media sosial pada 2019 berbanding 87 juta pada 2016.

    Untuk tahun 2020, WUIF berharap gerakan itu dapat mencapai dua bilion capaian media sosial dan World #QuranHour dapat dilaksanakan di 100 buah negara pada 20 Ramadan bersamaan 13 Mei ini.



    Sumber