Blog

  • ‘Panjatkan doa agar dipertemukan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan’

    ‘Panjatkan doa agar dipertemukan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan’

    MENDAMBAKAN malam Lailatulqadar, namun tidak pernah berdoa memohon kepada ALLAH SWT agar dipertemukan dengan malam istimewa.

    Itu teguran terbuka pendakwah Ustaz Mohd Jaafarudin Md Ali terhadap sikap segelintir umat Islam yang memandang ringan malam yang cukup istimewa pada bulan Ramadan itu.

    “Kita tak minta dengan ALLAH untuk jumpa dengan Lailatulqadar. Ia ibarat kita cari barang yang hilang tanpa meminta petunjuk dengan ALLAH. Bagaimana hendak jumpa?

    “Justeru, mulai sekarang, berdoalah kepada ALLAH ‘Ya ALLAH, pertemukanlah aku dengan Lailatulqadar dan jadikanlah aku ada kekuatan untuk menghidupkan malamnya’. Maka, panjatkan doa agar kita dipertemukan dengan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan itu,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

    Pada masa sama, beliau menitipkan pesan agar umat Islam bijak memilih sama ada mahu merebut ‘promosi’ ALLAH SWT pada malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan atau tawaran hebat di kedai dan pasar raya yang menjual persiapan Aidilfitri.

    “Ya, kita tidak boleh lari daripada fitrah. ALLAH berikan kita ‘promosi’ pada 10 malam terakhir Ramadan dan pada masa sama kita juga bergelut dengan ‘promosi’ jualan di sekeliling kita.

    “ALLAH kurniakan kita akal untuk berfikir, pilihlah yang mana satu kita hendak. Promosi ALLAH atau promosi manusia?” soalnya.

    Kepada satu soalan, Ustaz Mohd Jaafarudin berkata: “Kenal pasti kekuatan ibadah masing-masing. Contohnya, ada orang tak rajin solat sunat tetapi rajin mengaji. Jadi tingkatkanlah ibadah itu pada 10 malam terakhir Ramadan.”

    DAI HAMIDAH

    DAI HAMIDAH

    Sementara itu, seorang lagi pendakwah Ustazah Hamidah Ab Razak yang dikenali sebagai Dai Hamidah berkata, wanita yang datang bulan dan tidak boleh berpuasa masih berpeluang untuk mengumpul pahala dengan ibadah-ibadah lain.

    Menurut beliau, antara yang boleh dilakukan adalah menyediakan makanan bagi orang yang bersahur dan membantu mengejutkan orang lain bersahur. “Ia termasuk dalam amalan yang sangat besar pahalanya bagi wanita haid dalam bulan Ramadan.

    “Kebaikan walau sekecil apapun akan jadi bernilai kerana dilipat gandakan segala amalan dalam bulan Ramadan,” katanya.

    Ia sebagaimana di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, dia mendapatkan pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Riwayat at-Tirmizi)

    Bukan itu sahaja, ujar Dai Hamidah, golongan itu juga dituntut memperbanyakkan zikir yang dapat melahirkan rasa cinta kepada ALLAH, mendengar bacaan al-Quran dan berdoa, selain menginfakkan harta.

    “Jangan disangka hanya solat dan puasa sahaja sebagai ibadah. Ketidaksedaran ini membuatkan wanita yang datang bulan mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadan. Ingatlah bahawa ALLAH Maha Pemurah. Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hamba-hamba-Nya,” ujar beliau.



    Sumber

  • BMW i3s

    BMW i3s

    PENGENALAN BMW i3s menjadi penambahan terbaharu dalam portfolio kenderaan Mobiliti Bervisi BMW Group Malaysia dan ia memperkukuhkan kedudukan BMW Group Malaysia sebagai pembekal e-mobiliti terkemuka di

    Sumber

  • Putihkan wajah anda dengan beras pulut

    Putihkan wajah anda dengan beras pulut

    ADAKAH anda tahu bahawa asid amino dan vitamin yang terkandung dalam beras pulut sebenarnya menjadikan ia sebagai agen pencerahan yang terbaik untuk kulit.

    Pun begitu, ia perlu diamalkan selalu sama ada dimakan atau menjadikan ia sebagai masker dan skrub. Sebaik-baik, seminggu sekali. Selamat mencuba ya!

    Bahan-Bahan:

    – 4 sudu besar beras pulut,

    – 2 sudu besar putik bunga ros (rose bud)

    – 1 sudu besar susu tepung

    – sedikit air mawar.

    Cara-Cara membuatnya:

    1) Kisar kering semua satu persatu hingga halus.

    2) Kemudian, bancuh ketiga-tiga bahan ini mengikut keperluan yang anda nak guna.

    3) Kemudian titiskan air mawar mengikut tahap kepekatan. Paling penting senang nak sapu pada muka nanti.

    4) Sapu pada seluruh wajah dan boleh juga digunakan pada seluruh badan.

    5) Biarkan kering, sekurang-kurangnya 30 minit.

    6) Sebelum bilas dengan air bersih, basahkan masker dan lulurkan dahulu sebentar.

    7) Sental kulit muka dengan perlahan-lahan.

    8) Basuh muka dengan air suam hingga bersih. Siap!



    Sumber

  • Sebelum orang menjauhi kita baik cepat-cepat atasi bau badan

    Sebelum orang menjauhi kita baik cepat-cepat atasi bau badan

    BAU badan biasanya si empunya diri adakalanya tidak menyedari mereka berhadapan dengan masalah ini. Ia sesuatu yang subjektif dan sensitif untuk diperkatakan. Sudah semestinya mereka yang sedar diri mereka ada masalah ini akan berasa malu, rendah diri kecewa, bimbang serta kemurungan. Oleh itu, isu ini perlu ditangani, jika tidak ia akan menimbulkan keadaan yang kurang menyenangkan.

    Masalah ini dipengaruhi oleh peluh. Peluh pada badan kita tidak berbau, sebaliknya bakteria yang terdapat pada permukaan kulit menyebabkan peluh jadi kurang menyenangkan. Cara terbaik dengan kerap mandi dan membersihkan tubuh sebaiknya setiap hari.

    **

    Punca;

    Toksin

    Bahan buangan yang terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna

    Toksin ini akan disingkirkan sekiranya ginjal, hati, dan saluran usus berfungsi dengan baik.

    Akibat sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan baik, maka toksin akan terkumpul di dalam badan.

    Mereka yang gemar makan daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai badan berbau.

    Ini kerana makanan ini mengandungi banyak Choline.

    Bakteria

    Bau badan adalah gabungan peluh dan bakteria. Bakteria memecahkan peluh kepada ‘aromatic fatty acids’ yang menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

    Bau badan turut dipengaruhi oleh perasaan, diet, sembelit dan ubat-ubatan tertentu.

    Kesan sampingan daripada ubat-ubatan tersebut boleh menyebabkan peluh berlebihan.

    Genetik

    Bau badan juga boleh disebabkan faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif.

    Kafien dan rempah

    Pengambilan kafein dan bahan berempah seperti bawang putih juga akan menyebabkan bau badan yang keterlaluan.

    Kurangkan makanan tinggi Choline bagi mengelakkan tubuh diselebungi bau.

    Tip elak bau badan

    1. Elak makanan tinggi Choline

    2. Amalkn pemakaian deodoran yang mengandungi bahan antiseptik

    3. Mandi dengan kerap sekurangnya tiga kali sehari

    4. Cukur rambut halus pada bahagian sulit secara berkala

    5. Pilih pakaian daripada fabrik kapas dan longgar bagi meminimumkan rembesan peluh.

    6. Amalkan penggunaan cecair pencuci mengandungi tiga peratus hidrogen peroksida, pewangi dan anti peluh.

    7. Jika serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan.



    Sumber

  • Kesan buruk gajet kepada remaja

    Kesan buruk gajet kepada remaja

    MEDIA sosial dan teknologi mengubah cara manusia berinteraksi. Kini jarak dan tempat tidak lagi menjadi halangan untuk kekal berhubung.

    Dengan hanya satu klik di hujung jari, jaringan interaksi sosial maya membolehkan anda kekal terhubung dengan orang lain tanpa mengira waktu.

    Penggunaan teknologi moden juga mengubah persekitaran perkembangan anak anda.

    Berbeza dengan generasi terdahulu yang hanya mengenal gajet dan teknologi di usia dewasa, anak anda mungkin terdedah kepada penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer daripada usia bayi lagi.

    Oleh itu, adalah penting untuk anda sebagai ibu bapa mengetahui kesan penggunaan gajet kepada perkembangan mental anak anda.

    Kaitan langsung antara penggunaan gajet dan kemerosotan kesihatan mental remaja masih diperdebatkan antara saintis.

    Masalah seperti kemurungan dan keresahan adalah masalah kesihatan yang rumit. Genetik, persekitaran, trauma masa lalu dan masalah buli boleh memainkan peranan.

    Namun, satu perkara yang pasti, statistik menunjukkan terdapat peningkatan dalam kemerosotan psikologi remaja selari dengan peningkatan penggunaan telefon pintar.

    Telefon pintar mungkin bukan satu-satunya faktor penyumbang kepada masalah ini, tetapi boleh meningkatkan risikonya. Berikut antara dilema boleh dihadapi golongan ini:

    1) Masalah kekurangan tidur

    Berdasarkan kajian, hampir 80 peratus remaja tidur dengan telefon pintar mereka di sisi dan menggunakannya sebagai jam loceng. Secara purata, mereka menghantar 34 mesej selepas berbaring di atas katil untuk tidur.

    Sesetengah pakar tidur memberi amaran bahawa waktu tidur remaja boleh terganggu dengan lampu daripada skrin telefon yang menghalang mereka mencapai tidur nyenyak.

    Memandangkan rima sirkadian atau kitaran tidur/ jaga tidak dapat membezakan cahaya matahari dan skrin gajet, cahaya tersebut boleh mengelirukan otak menyebabkan masalah tidur.

    Penggunaan gajet menyebabkan 45 peratus remaja mendapat tidur kurang daripada lapan jam yang mereka perlukan.

    Kekurangan tidur memberi kesan psikologi kepada remaja termasuklah mudah marah, kemahiran sosial terjejas dan memori lemah yang boleh memberi kesan kepada pencapaian akademik mereka.

    Risiko diabetes, tekanan darah tinggi, penambahan berat badan dan kemurungan juga dilaporkan meningkat dengan kekurangan tidur.

    2) Kemurungan Facebook

    Kemurungan Facebook merujuk kepada fenomena akibat menghabiskan masa secara berlebihan pada laman media sosial.

    Dalam remaja yang sihat bersosial, penggunaan media sosial dikaitkan dengan peningkatan hubungan sosial tetapi sebaliknya dalam remaja yang berisiko mengalami kemurungan.

    Namun, remaja dan orang dewasa yang normal pun berisiko mengalami masalah mood dan kepuasan hidup jika menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial.

    Lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja yang mempunyai masalah keyakinan diri. Ini disebabkan ilusi kesempurnaan hidup yang dipamerkan menyebabkan masing-masing berasa tidak memenuhi jangkaan hidup mereka.

    3) Sindrom Swafoto gadget

    Dalam sebuah kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, hampir 91 peratus remaja mempamerkan gambar mereka di sosial media.

    Kaji selidik tentang imej diri oleh AOL.com dan TODAY Show mendapati 65 peratus remaja perempuan berasa selfie atau swafoto menambah keyakinan diri mereka.

    Namun 53 peratus merasakan foto mereka yang dimuat naik oleh orang lain membuatkan mereka berasa buruk.

    Disebabkan itu remaja terus berusaha mempamerkan imej diri mereka yang terbaik melalui swafoto, menambahkan lagi masalah narsisisme. Narsisisme mencerminkan imej diri yang diperbesarkan yang sebenarnya menyembunyikan masalah tidak yakin diri.

    Di samping keinginan untuk swafoto ‘sempurna’, remaja juga boleh terjebak dalam menghantar swafoto bogel atau secara seksual kepada seseorang atau menerima foto seksual daripada seseorang.

    Ini mendedahkan mereka kepada pemangsa seperti pedofilia.

    4) Komunikasi dan Tumpuan

    Penyelidik dalam neurobiologi menyatakan bahawa remaja yang memanfaatkan teknologi mungkin dapat melakukan pelbagai tugas pada masa yang sama, tetapi kemasukan maklumat baru yang berterusan sebenarnya boleh mengakibatkan ketidakupayaan menumpukan dan menapis maklumat, serta meningkatkan tekanan perasaan.

    Antara risiko lain yang turut meningkat adalah kesusahan sesetengah remaja memahami nuansa komunikasi dan emosi dalam interaksi sebenar.

    Disebabkan mereka banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar, mereka lebih menggemari komunikasi dengan respon laju dan pantas.

    Satu kajian melaporkan bahawa pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja rumah mereka untuk lebih daripada dua minit tanpa perhatian mereka dialihkan oleh gajet mereka.

    Apa yang perlu dirisaukan adalah kemungkinan generasi remaja masa kini akan belajar bukan secara mendalam seperti generasi sebelumnya kerana ketidakmampuan mereka memproses maklumat secara mendalam disebabkan gangguan-gangguan sewaktu belajar.

    Peranan ibu bapa: kawalan dan didikan

    Sesetengah pakar melihat cabaran utama dalam dunia keibubapaan masa kini bukanlah teknologi itu sendiri, sebaliknya lebih tentang bagaimana remaja menggunakan teknologi.

    Menetapkan had penggunaan teknologi adalah penting untuk keseluruhan keluarga-bukan hanya untuk anak-anak.

    Kebanyakan pakar bersetuju bahawa penggunaan teknologi secara bersederhana adalah penting untuk semua peringkat umur dan ibu bapa mesti mengawasi tabiat penggunaan gajet mereka sendiri sebagai contoh ikutan yang sihat kepada anak-anak.

    Berikan galakkan kepada anak anda untuk terlibat dengan aktiviti luar dan aktiviti keluarga. Tetapkan had kepada anak anda seperti penetapan menutup telefon pada waktu tidur, atau mengecas telefon semalaman di bilik lain.

    Ibu bapa juga wajar mendidik anak mereka bahawa tentang penggunaan telefon pintar secara sihat.

    Sumber: https://hellodoktor.com/



    Sumber

  • Menjejaki penduduk Long Busang

    Menjejaki penduduk Long Busang

    BARU-BARU ini penulis berpeluang ke perkampungan Long Busang yang terletak di daerah Belaga, Sarawak. Jika diikutkan radius perjalanan darat, jarak antara perkampungan itu dengan Kuching lebih 720 kilometer.

    Nama Long Busang memang wujud dalam carian Google Maps, namun, untuk ke sana, tiada penunjuk arah yang spesifik. Paling terdekat untuk memastikan seseorang tidak tersesat ialah berdasarkan petunjuk Sungai Balui dan Sungai Llang.

    Bayangkan bagaimana perjalanan penulis bersama rombongan Yayasan Ikhlas yang ke sana demi menjayakan Projek Baik Pulih Masjid Darul-Rahmah, Long Busang, Sarawak dan Sumbangan Bakul Kasih Ramadan.

    Turut menyertai program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli; Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Kamaruddin Kassim dan dua lagi sukarelawan. Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

    Untuk ke kampung itu, ia mengambil masa lebih setengah hari dengan menggunakan jalan laut dan darat.

    Minoriti Islam

    Menelusuri historiografi kampung berkeluasan tiga hektar itu, memang unik. Kampung Long Busang telah diasaskan oleh orang Islam meskipun 70 peratus penduduknya beragama Kristian.

    Kepada Sinar Islam, Ketua Kampung Long Busang, Yusuf Zawawi berkata, sekitar tahun 1975 perkampungan itu sudah wujud dan diasaskan oleh arwah bapanya, Zawawi Bilong.

    “Penduduk kampung terdiri daripada suku Kenyah Badeng yang berasal daripada Baram dan Miri.

    “Ketika zaman pemerintahan British, ramai yang kurang senang (tinggal di situ) kerana takut diserang. Kami berpindah-randah lebih kurang 20 tahun sebelum menemui kawasan ini,” katanya sambil menjelaskan bapanya dan penduduk kampung lain menjumpai penempatan itu sekitar tahun 1972.

    Bermula dengan 30 buah keluarga, kini, penduduk di situ berkembang melebihi 1,000 orang melibatkan 121 buah keluarga.

    Berdasarkan statistik, terdapat 350 penduduk beragama Islam manakala lebih 900 orang lagi beragama Kristian di Kampung Long Busang.

    Menurut Yusuf, arwah bapanya yang telah meninggal dunia tujuh tahun lalu, bukanlah beragama Islam sejak dilahirkan. Zawawi mula memeluk Islam pada tahun 1973.

    “Sayangnya, entah di mana silapnya, ada juga orang Islam yang murtad. Walaupun komuniti Islam di sini sedikit tetapi ia semakin bertambah melalui perkahwinan,” kata Yusuf.

    Rata-rata penduduk di Kampung Long Busang bekerja dalam bidang pertanian seperti mengusahakan tanaman padi bukit dan berkebun. Ada sesetengah mereka yang menangkap ikan dan berburu.

    Meskipun tinggal di kawasan pedalaman, penduduk di sini mempunyai kemudahan sekolah kebangsaan dan klinik.

    Terima jalur lebar

    Ketika kunjungan rombongan Yayasan Ikhlas ke kampung itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan kemudahan jalur lebar untuk penduduk. Ia merupakan projek perintis Kerajaan Negeri Sarawak sebagai percubaan untuk menghubungkan kemudahan itu di kawasan pedalaman di Sarawak. Ia hanya melibatkan dua kawasan iaitu Long Busang dan Long San.

    Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan baharu masjid berkenaan. Ia akan diuruskan JAIS menerusi Pejabat Agama Islam Bahagian Kapit.

    Sebelum berita gembira itu diterima, Yayasan Ikhlas berkesempatan membantu proses membaik pulih Masjid Darul-Rahmah di Kampung Long Busang yang dijangka siap sebelum bulan Ramadan. Menurut Yusuf, itu merupakan kali pertama masjid itu dibaik pulih sejak lebih tiga dekad.

    “Masjid Darul-Rahmah dibina pada tahun 1986. Sebelum wujudnya masjid ini, kami ada surau tetapi bukan di tapak ini,” ujar beliau yang berbangga apabila alatan beduk masih kekal tersimpan di rumah ALLAH itu.

    “Beduk itu memainkan peranan penting ketika waktu berbuka puasa. Bila kedengaran ketukan beduk bertalu-talu, semua orang akan tahu bahawa sudah masuk waktu berbuka,” katanya.

    Sumbangan

    Sementara itu, Kamaruddin berkata, kehadiran Yayasan Ikhlas di perkampungan itu dengan visi besar dalam menyemarakkan sinar Islam di sana.

    “Kami hadir dengan membantu membaik pulih sistem pendawaian elektrik di masjid dan rumah tamu yang terletak bersebelahan.

    “Kami juga mengecat masjid dan rumah tamu. Selain itu, Yayasan Ikhlas turut membaik pulih kotak kawalan elektrik daripada panel solar. Di sini, penduduk mendapat bekalan elektrik melalui janakuasa menggunakan diesel. Selain kami, terdapat beberapa badan lain yang terlibat dalam baik pulih masjid itu,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan Bakul Kasih Ramadan kepada 85 keluarga di kampung itu baru-baru ini.

    Selain di Belaga, kata Kamaruddin, pihaknya menyasarkan agihan sumbangan kepada 5,000 penerima di 14 kawasan di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Ini merupakan tahun keempat pihaknya melaksanakan program itu.

    Pada masa akan datang, Yayasan Ikhlas katanya, merancang untuk membuka sebuah pusat dialisis di Kuching.



    Sumber

  • Zaidi cipta ‘penawar’ gearbox

    Zaidi cipta ‘penawar’ gearbox

    INDUSTRI automotif memang ada menawarkan banyak ruang perniagaan yang berdaya saing. Salah satu daripadanya adalah perniagaan membaiki dan menyelenggarakan kenderaan yang biasanya mampu membawa pulangan menarik.

    Jumlah kenderaan yang ada di jalan raya semakin meningkat. Sama ada lama atau baharu ia perlu diselenggarakan dengan baik supaya tidak rosak dan membebankan si pemilik. Bukan saja ia penting dari segi keselesaan dan penjimatan kos menggunakan kenderaan, malah kerja penyelenggaraan kenderaan merupakan salah satu aspek penting dalam keselamatan memandu.

    Pengalaman 10 tahun jadi taruhan

    Ini diakui pemilik JV Auto Resources, Mohmd Zaidi Mohmd Soude. Dunia automotif bukanlah suatu yang asing buatnya. Minat yang mendalam terhadap dunia automotif, mendorong Mohmd Zaidi membuka bengkel sendiri dan kepakarannya lebih kepada pengkhususan dalam auto transmisi sejak 10 tahun lalu.

    Ketelitian merupakan elemen penting dalam baik pulih transmisi.



Ketelitian jadi elemen penting membaik pulih transmisi.

    Ketelitian merupakan elemen penting dalam baik pulih transmisi.
    Ketelitian jadi elemen penting membaik pulih transmisi.

    “Saya memulakan pembelajaran secara formal dalam bidang automotif ketika belajar di Sekolah Vokasional Kajang dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Politeknik Ungku Omar dan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Selepas tamat pengajian, saya belajar jurusan automotive transmission secara dalam talian sahaja.

    “Lama kelamaan saya dapati tidak ramai yang berminat akan bidang ini. Antara sebab utama adalah ilmu pengendalian transmisi adalah lebih terperinci secara teknikal dan lebih rumit,” katanya.

    Tambah Mohmd Zaidi atau lebih selesa disapa dengan panggilan Zaidi, sistem automotive transmission sangat berbeza dengan sistem enjin kerana model dan fungsi transmisi yang pelbagai. Kesabaran dalam mempelajari sistem gearbox amat diperlukan sekiranya ada yang berminat dalam bidang automotive transmission ini.

    Zaidi sendiri mengakui bahawa dia masih dalam tempoh belajar kerana teknologi gearbox sentiasa berubah. Sistem yang sentiasa diperbaharui misalnya transmisi CVT dan terbaharu sistem hibrid memerlukan seseorang mekanik itu sentiasa peka akan perubahan semasa. “Secara peribadi, saya berasakan persaingan dalam bidang perusahaan bengkel agak sengit. Terdapat banyak bengkel membaiki kenderaan yang dibuka kini.

    “Kemahiran seseorang mekanik itu sendiri yang membezakan antara satu bengkel dengan yang lain. Apa yang penting kalau ingin berniaga lama perlu jujur dan amanah dengan pelanggan. Pelanggan pasti akan datang jika mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi,” katanya yang kini memiliki 20 pekerja.

    Cabaran

    Berbicara soal cabaran, menurut Zaidi lumrah dalam perniagaan mesti ada pasang surut dan kekangan untuk capai ke tahap yang boleh dibanggakan. Kos operasi dan alat ganti yang tinggi pernah menjadi punca dia terpaksa menutup perniagaan bengkelnya dan melupakan hasratnya untuk terus menjadi pengusaha bengkel. Namun itu tidak menjadi penghalang untuk dia terus bangkit dan maju seperti hari ini.

    Atas minat dan keinginan melihat industri ini terus maju, Zaidi kini turut mengajar mekanik yang berminat secara percuma. Zaidi tidak lokek berkongsi ilmu dan kemahiran dalam bidang transmisi kerana bidang ini yang sentiasa berubah dan mencabar. Dengan pengalaman yang ada dalam bidang penjagaan transmisi, Zaidi melangkah setapak lagi dengan menghasilkan rangkaian produk penjagaan enjin dan transmisi kereta di bawah jenama JV Auto Lube.

    JV Auto Lube

    Idea asal penghasilan JV Auto Lube Transmission Treatment bermula apabila Zaidi sendiri mendapati kos yang perlu ditanggung pemilik kereta amat tinggi sekiranya berlaku kerosakan pada gearbox. Bagi mengelakkan daripada berlaku, Zaidi mencari formula untuk mencegah kerosakan awalan dalam masa yang sama menjaga transmisi.

    JV Auto Lube Transmission Treatment merupakan produk berasaskan bio. Ia berfungsi melembutkan semula getah yang terdapat dalam gearbox. Produk ini merupakan antara penerima anugerah di Asia Automotive Award 2019 dalam kategori pelinciran pada Januari lalu. Sebelum dipasarkan secara komersial, JV Auto Lube Transmission treatment telah menjalani ujian makmal selama tiga tahun.

    Produk Jv Autolube semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

    Produk Jv Autolube semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

    Kajian yang dijalankan oleh barisan pakar dalam bidang kimia mendapati teknologi ini dapat diaplikasikan secara umum. Bagi meningkatkan lagi keyakinan pengguna, produk JV Auto Lube Transmission Treatment turut dilindungi insurans.

    “Antara kelebihan JV Auto Lube Transmission Treatment adalah ia bersifat neutral tanpa bahan campuran kimia. Melalui laporan material safety data sheet (MSDS) yang dikeluarkan membuktikan bahawa produk ini tidak bersifat menghakis dan ia sesuai digunakan oleh semua jenis transmisi.

    “Setelah lima tahun berada di pasaran, JV Auto Lube Transmission Treatment semakin diterima pengguna. Antara maklum balas yang diterima ialah penggunaan produk ini dapat mengurangkan kos pengguna dalam penjagaan transmisi,” katanya.

    Perbandingan jenis-jenis treatment yang berasaskan petrol.




Perbandingan jenis-jenis treatment yang berasaskan petrol.

    Perbandingan jenis-jenis treatment yang berasaskan petrol.
    Perbandingan jenis-jenis treatment yang berasaskan petrol.

    Produk itu boleh didapati melalui 400 ejen di seluruh negara selain di kedai alat ganti kereta. Sehingga kini, terdapat empat produk di bawah jenama JV Auto Lube iaitu engine treatment, transmission treatment, engine carbon detox dan fuel injector treatment.



    Sumber

  • Resorts World Genting meraikan ulangtahun ke-80 Batman

    Resorts World Genting meraikan ulangtahun ke-80 Batman

    BUAT peminat Detective Comics (DC), Mei 1939 adalah hari yang sangat bermakna buat watak adi wira yang cukup popular di seantero dunia itu.

    Superhero Batman atau juga dikenali sebagai Caped Crusader dan The Dark Knight menyambut ulang tahunnya yang ke-80 pada tarikh itu.

    Tempoh lapan dekad adalah jangka masa yang lama buat Batman yang bukan sahaja dikenali sebagai ikon komik aksi, bahkan ia turut diminati melalui penampilan siri televisyen dan juga filem.

    Justeru itu, Resorts World Genting mengambil inisiatif menganjurkan sambutan ulang tahun ke-80 Batman buat julung kali di Asia Tenggara di SkyAvenue Resorts World Genting, baru-baru ini.

    Menariknya, sambutan itu akan diadakan selama dua bulan bermula 10 Mei hingga 10 Julai di lokasi sama termasuk pertunjukan ‘mesti tonton’ Batman SkySymphony, pertama seumpamanya di dunia yang merangsang deria audio dan visual apabila 1,001 bebola lampu berubah menjadi pelbagai versi Bat-Emblem.

    Orang ramai mengambil peluang melihat lebih dekat watak superhero di ruang pameran pusat membeli-belah itu.

    Orang ramai mengambil peluang melihat lebih dekat watak superhero di ruang pameran pusat membeli-belah itu.

    Salah seorang ahli Kelab Peminat Batman Malaysia teruja menyaksikan superhero itu menerusi gaya wayang kulit.

    Salah seorang ahli Kelab Peminat Batman Malaysia teruja menyaksikan superhero itu menerusi gaya wayang kulit.

    Pada masa sama, skrin gergasi LED 360 darjah akan memaparkan grafik daripada pelbagai era sepanjang sejarah 80 tahun Dark Knight.

    Peminat juga boleh bergambar bersama-sama patung Batman saiz sebenar, replika 1:1 patung Batmobile daripada filem arahan Tim Burton pada 1989 dan Batmobile daripada Batman v Superman: Dawn of Justice.

    Persembahan langsung Batman dan acara Batman Meet & Greet juga akan diadakan tiga kali sehari pada tarikh terpilih di Times Square Stage.

    Turut diadakan persembahan Wayang Kulit yang memaparkan Batman menerusi gaya wayang kulit.

    Ketika berucap pada majlis sambutan ulangtahun Batman, Naib Presiden Bahagian Hiburan dan Program, Kevin Tan Choon Keat meluahkan rasa bangga apabila Resort World Genting menjadi lokasi sambutan pada kali ini atas kerjasama Warner Bros yang membawa karakter kesukaan ramai itu.

    Sementara itu, Kelab Peminat Batman Malaysia yang turut hadir menyatakan keterujaan dapat meraikan ulangtahun ikon yang diminati mereka sejak sekian lama.

    Presidennya, Razman Shah Mohd Razali yang hadir bersama hampir 20 ahli kelab turut gembira apabila dapat melihat lebih dekat superhero yang diminati itu.

    Jadi, selamat ulangtahun ke-80 Batman!

    Razman Shah (dua kiri) bersama ahli Kelab Peminat Batman Malaysia yang turut hadir memberikan sokongan.

    Razman Shah (dua kiri) bersama ahli Kelab Peminat Batman Malaysia yang turut hadir memberikan sokongan.



    Sumber

  • Xiaomi lancar inovasi baharu yang lebih menakjubkan di Malaysia

    Xiaomi lancar inovasi baharu yang lebih menakjubkan di Malaysia

    JENAMA telefon pintar, Xiomi melancarkan inovasi terbaharu mereka, Redmi Note 7 dalam siri Redmi Note semalam.

    Jenama ini meneruskan tradisi dengan ciri paparan telefon yang lebih besar, jangka hayat bateri lebih baik, kamera telefon ke tahap baharu dengan julat harga berpatutan-bermula pada angka RM679.

    Redmi Note 7

    Redmi Note 7

    Redmi Note 7 boleh mula dibeli pada 27 Mac ini.

    Sebagai tambah nilai, telefon jenis ini boleh diakses dengan pelbagai peranti ekosistem pintar.

    Antaranya ialah Mi Home Security Camera 360, 1080P, Mi Mentol Pintar LED dan Mi Sensor Smart Set.

    Mi Sensor Smart Set

    Mi Sensor Smart Set

    Pelakon, Aeril Zafrel dipilih sebagai wajah penghias untuk jenama Redmi Note 7.

    Aeril Zafrel sebagai wajah penghias untuk jenama Redmi Note 7

    Aeril Zafrel sebagai wajah penghias untuk jenama Redmi Note 7

    Jom baca ciri-ciri menarik yang ada pada Redmi Note 7:

    1. Gaya premium baharu dengan bahagian depan dan belakang meliputi Corning Gorilla Glass 5. Telefon ini dikatakan tahan pecah, tahan goresan, tahan calar, tahan air dan tidak mudah retak.

    2. Memiliki ketumpatan piksel yang tinggi

    3. Mempunyai kepekaan cahaya yang menjadikan imej 12MP dihasilkan lebih cerah dan lebih jelas.

    4. Ciri-ciri AI terkini termasuk ciri fotografi mod malam. Ia dapat mencantikkan potret.

    5. Hayat bateri lebih lama dengan kuasa 4000mAh yang besar. Proses recharge melalui port USB Type C. Masa pengecasan lebih pendek dan tahan lebih lama.

    6. Turut dilengkapi dengan sensor infra merah. Boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh dan serasi dengan sebilangan besar alat elektronik dan perkakas rumah.

    Pengurus Besar Xiaomi Malaysia dan Singapura, Allen An dan Aeril ketika majlis pelancaran Redmi Note 7

    Pengurus Besar Xiaomi Malaysia dan Singapura, Allen An dan Aeril ketika majlis pelancaran Redmi Note 7



    Sumber

  • Penyakit nyanyuk sukar dikawal, namun boleh dikurangkan

    Penyakit nyanyuk sukar dikawal, namun boleh dikurangkan

    BUAT pertama kalinya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan garis panduan berhubung pencegahan dan pengurusan penyakit dementia (dementia).

    Dalam masyarakat Malaysia, dementia dikenali sebagai nyanyuk.

    Risiko dementia boleh dikurangkan dengan

    1. Banyak melakukan aktiviti fizikal/ bersenam

    2. Berhenti merokok

    3. Amalkan pemakanan sihat

    3. Jauhi minuman beralkohol

    4. Mengawal dan merawat darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes

    Penyakit dementia ialah penyakit yang mengganggu fungsi otak, dan akan berlaku secara berterusan (progresif).

    Ia menyebabkan penurunan fungsi mental sehingga mengganggu aktiviti harian seseorang.

    Antara fungsi otak yang menerima kesan dalam penyakit dementia ialah kehilangan memori, proses berfikir dan tabiat sosial.

    Tiada rawatan untuk memulihkan penyakit ini tetapi rawatan hanya diberikan untuk mengelak ia menjadi lebih teruk.

    Dianggarkan 50 juta orang menghidap dementia di seluruh dunia dan hampir 10 juta pesakit baharu setiap tahun.

    Komplikasi

    Jika dementia tidak dikesan awal, beberapa akibat mungkin terjadi, seperti:

    – Peningkatan dalam penyakit fizikal atau penyakit mental

    – Peningkatan dalam kadar kematian.

    – Dementia boleh membawa kepada kemasukan dalam institusi penjagaan dengan lebih awal.

    – Ia boleh menimbulkan tekanan kepada penjaga dan menimbulkan penyakit fizikal dan mental di kalangan penjaga.

    – Ia boleh menyebabkan penderaan ke atas pesakit.

    Bolehkah dementia dirawat?

    Pada masa ini dementia tidak boleh diubati, tetapi pembelajaran dan sokongan kepada pesakit dan penjaga pesakit dementia dapat membantu dalam mengawal sesetengah gejala penyakit.

    Ada terdapat beberapa jenis ubatan yang boleh menolong dalam mengawal gejala dan meningkatkan fungsi kognitif. Ada juga ubatan yang digunakan untuk merawat psikosis, kemurungan dan masalah emosi.

    Pencegahan

    Kajian mendapati bahawa aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur, membaca dan sebagainya dapat mengurangkan risiko berlakunya dementia. Amalan cara hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat dementia.

    Rehabilitasi

    Terdapat banyak terapi psikososial yang memberi manfaat kepada pesakit dementia. Ini termasuk memberi sokongan kepada pesakit dalam menjalani aktiviti harian mereka, menggalakkan aktiviti yang merangsang fungsi mental dan pancaindera mereka serta banyak lagi. Kumpulan sokongan yang berdekatan anda dapat membantu anda dalam memberi cadangan tentang aktiviti yang berkesan.

    Kumpulan sokongan

    Alzheimer’s Disease Foundation of Malaysia

    Johor Bahru Alzheimer’s Disease Association (Jobada)

    Sumber: KKM



    Sumber