Blog

  • Rawat sakit tapak kaki

    Rawat sakit tapak kaki

    ANTARA keadaan yang paling biasa pada sakit tumit adalah yang dikenali sebagai plantar fascitis.

    Keadaan ini berlaku kerana kecederaan mikro dan keradangan pada tisu tapak kaki. Keradangan tisu menyebabkan sakit, bengkak dan lebam.

    Fascia / tisu pada tapak kaki terdiri daripada jalur berserabut tisu tebal di bahagian tapak kaki. Ia melapisi dari tumit ke pangkal jari kaki. Ia juga bertindak seperti getah untuk mewujudkan ketegangan dan mengekalkan bentuk kaki.

    Apakah gejala sakit pada tapak kaki?

    Pada lazimnya sakit tapak kaki adalah sangat tajam dan terletak di pangkal tumit. Ia juga boleh tersebar ke seluruh tapak kaki.

    Sakit paling teruk adalah pada waktu pagi bila bangun daripada tidur dan bila mengambil langkah pertama selepas untuk tempoh yang panjang berehat.

    Anda juga mungkin mengalami bengkak, sakit bila sentuh tisu tapak kaki dengan kuat (selalunya di tempat yang khusus bahagian dalam tumit).

    Senaman ringan boleh mengurangkan sakit untuk sementara. Tetapi berjalan lama sering membuat sakit teruk.

    Merehatkan kaki anda biasanya mengurangkan kesakitan.

    Kadang-kala sakit dirasai apabila melakukan regangan pada tisu tapak kaki.

    Anda mungkin berjalan dengan tempang atau tidak dapat menanggung berat badan pada kaki yang terjejas.

    Apakah punca sakit pada tapak kaki?

    Anda lebih cenderung untuk mencederakan fascia plantar anda dalam keadaan tertentu. Sebagai contoh:

    – Jika anda banyak berjalan, berlari, berdiri (aktiviti berterusan yang melebihi 1 jam).

    – Jika anda mempunyai postur kaki yang lemah (bentuk tapak kaki yang leper atau tinggi).

    – Jika anda mempunyai kaki atau sendi pergelangan yang keras.

    – Jika anda mempunyai kelemahan otot (terutama otot betis).

    – Jika terdapat penggunaan yang berlebihan pada kaki atau regangan secara tiba-tiba pada tapak kaki. (Contoh: latihan yang tidak sesuai atau berlebihan, atlet yang meningkatkan latihan intensiti berjalan atau jarak dengan mendadak).

    – Jika anda mempunyai otot yang ketat (terutama otot betis).

    – Jika anda mempunyai berat badan berlebihan (ini akan meletakkan tekanan tambahan pada tumit anda).

    – Jika anda mempunyai perbezaan panjang kaki.

    – Jika anda telah memakai kasut dengan span yang berkurangan atau sokongan yang lemah pada bentuk kaki. (Elakkan memakai kasut yang longgar dengan tapak yang nipis).

    Siapakah lebih cenderung mendapat sakit tapak kaki?

    Adalah dianggarkan sekitar seorang daripada 10 orang akan mendapat sakit tapak kaki di Amerika Syarikat dalam kehidupan mereka.

    Ia adalah dua kali ganda lebih biasa dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Atlet juga lebih cenderung mendapat sakit tapak kaki. Selalunya melibatkan lingkungan orang yang berusia antara 40 hingga 60 tahun.

    Apakah komplikasi jika sakit tapak kaki tidak dirawat?

    Mengabaikan sakit tapak kaki boleh menyebabkan sakit menjadi kronik dan memberi kesan pada kehidupan harian seseorang.

    Anda juga boleh mendapat masalah pada kaki, lutut, pinggul atau belakang kerana sakit tapak kaki membawa kepada perubahan cara berjalan anda.

    Apakah Rawatan Fisioterapi?

    Rawatan fisioterapi adalah penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan, memastikan hasil yang optimum dan mengurangkan kemungkinan sakit berulang.

    Fisioterapi akan melakukan penilaian pada kaki anda, membantu anda untuk melegakan kesakitan, meningkatkan fleksibiliti otot, meningkatkan kekuatan otot, juga membantu anda untuk merancang kembali aktiviti harian bila gejala beransur pulih.

    Rawatan Fisioterapi boleh terdiri daripada:

    Ais atau rawatan haba

    Elektroterapi (seperti Ultra Sound)

    Senaman untuk meningkatkan keseimbangan, kekuatan dan fleksibiliti (terutamanya otot-otot betis)

    Urutan tisu lembut

    Mobilisasi pada sendi otot

    Taping (plaster)

    Pendidikan (kasut yang bersesuaian dan pengubahsuaian aktiviti harian)

    Sumber: http://www.myhealth.gov.my



    Sumber

  • Promosi Aidilfitri Ford Ranger

    Promosi Aidilfitri Ford Ranger

    SIME Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal Ford di Malaysia mengumumkan jualan promosi sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Bermula dari 1 Mei sehingga 30 Jun 2019, pelanggan boleh memiliki Ford Ranger dengan bayaran ansuran serendah RM436 sebulan dengan penjimatan sehingga RM11,000. Kadar pinjaman serendah sifar peratus juga turut ditawarkan kepada yang layak.

    Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, sepanjang dua bulan tempoh promosi tersebut, 30 pelanggan berpeluang untuk memenangi barangan elektrik bernilai sehingga RM2,000 setiap satu terdiri daripada TV pintar, peti sejuk, mesin basuh dan tablet.

    “Kami mahu memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik bagi meringankan beban tanggungan pada hari raya ini. “Promosi kami membenarkan bayaran ansuran bulanan yang rendah dengan kadar pinjaman serendah sifar peratus, disertakan dengan rebat tunai dan hadiah-hadiah menarik,” katanya.

    Diiktiraf sebagai Built Ford Tough dengan perincian dalaman seumpama sebuah kereta, Ranger dilengkapi dengan rangkaian teknologi pintar yang kebanyakannya adalah yang pertama dan tunggal dalam segmen tersebut.

    Gabungan semua ciri itu membolehkan Ranger memenuhi keperluan dan gaya hidup untuk setiap segmen dalam pasaran. Ranger juga didatangkan dengan pengalaman pemilikan yang hebat dan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau sehingga 100,000 km, yang mana dahulu.

    Ranger yang telah memenangi pelbagai anugerah boleh didapati dalam sembilan varian merangkumi Ranger Raptor yang direka khusus untuk kelajuan tinggi dan pemanduan lasak, Ranger Wildtrak dari siri premium, juga XLT Plus, XLT dan XL yang versatil.



    Sumber

  • Petua kekal cantik dan awet muda ikut Islam!

    Petua kekal cantik dan awet muda ikut Islam!

    ANDA mahu kekal tampak muda? Jangan bergantung kepada produk kecantikan semata-mata sebaliknya, cubalah petua yang diajarkan Islam ini.

    Petua ini paling mudah dipraktikkan, jika tidak sekarang, kesannya akan kelihatan apabila anda menginjak ke usia emas.

    1) Minum air suam sebaik bangun dari tidur.

    Sejurus bangun tidur pada waktu pagi, minum air suam terlebih dahulu. Adalah disarankan minum air suam dengan cara membiarkan air di dalam mulut kira-kira 10 saat sambil selawat tiga kali, kemudian baru telan.

    Air liur basi dikatakan mempunyai enzim yang boleh menjadi ubat.

    Boleh juga amalkan petua Nabi Muhammad SAW, minum segelas air suam dicampur sedikit madu. Madu ialah penawar berbagai penyakit.

    2) Urut wajah dengan air dari bawah dagu hingga ke dahi diiringi selawat 3 kali. Amalkan setiap hari.

    Urutan perlu dimulakan daripada bawah ke atas bukan dari atas ke bawah. Jika di urut dari atas ke bawah, dikhuatiri akan makin cepat berkedut.

    3) Amalkan membaca ayat 35 – 38 surah Al-Waqiah dalam hati setiap kali mandi.

    Dianjurkan membaca surah itu ketika curahan air yang pertama, ia perlu bermula pada kepala. Jika mandi menggunakan shower, bacalah ketika air menyentuh kepala.

    4) Setiap kali lepas solat subuh, amalkan baca surah Yusuf dan minum air suam tiga teguk sahaja.

    Amalan ini perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas. Insya-Allah, wajah anda akan kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.

    5) Setiap kali anda berhias di hadapan cermin, bacalah doa dan selawat di kedua tapak tangan kemudian sapukan ke muka sambil niat dalam hati agar diindahkan wajah seperti Nabi Yusuf.

    Ia perlu diamalkan setiap pagi. Doanya begini:

    ‘Segala puji-pujian bagi Allah sebagaimana Engkau telah menantikkan diriku dan juga akhlakku. Semoga Engkau menjauhkan wajahku daripada api neraka’

    6) Paling penting jangan tinggal solat.

    Solat perkara yang diwajibkan dalam Islam, air wuduk yang disapu pada wajah lima kali sehari itulah pencuci muka paling berkesan untuk menyerikan wajah dan juga hati kita.

    #Jadi, apalagi selamat beramal ya!



    Sumber

  • Obses luar biasa sanggup menginspirasikan sebagai tema perkahwinan

    Obses luar biasa sanggup menginspirasikan sebagai tema perkahwinan

    TERCETUSNYA minat atau kesukaan terhadap sesuatu benda atau perkara ada kalanya atas faktor orang tersayang.

    Situasi itu berlaku kepada Saiful Nizam Hassan, 35. Lelaki ini sangat obses terhadap karakter kartun popular Doraemon dan Hello Kitty.

    Kepada Oh! Lelaki, Saiful berkata, beliau cenderung dengan karakter itu bermula apabila beliau menerima hadiah daripada arwah ibunya, Siti Zawyah Abdullah.

    Saiful dan Nur Sakeena gembira kehendak mereka inginkan konsep Doraemon dan Hello Kitty tercapai

    Saiful dan Nur Sakeena gembira kehendak mereka inginkan konsep Doraemon dan Hello Kitty tercapai

    “Ketika tadika, saya dihadiahkan sebentuk kunci bahagian kepalanya ada Doraemon. Sejak itu, saya obses kepada watak ini. Saya akan simpan duit belanja sekolah untuk membeli barangan Doraemon,” kata penjaga stor itu.

    Tema perkahwinan

    Tetamu yang hadir tidak sabar untuk bergambar dengan pelamin

    Tetamu yang hadir tidak sabar untuk bergambar dengan pelamin

    Saiful tidak malu untuk berkongsi apa yang digilainya sejak kecil bersama orang sekeliling.

    Perkara terbesar yang dilakukannya ialah menjadikan karakter Doraemon dan Hello Kitty sebagai tema perkahwinannya.

    Hari bahagia bersama pasangannya, Nur Sakeena Kamarol Zaman, 24, yang berlangsung pada 14 Januari tahun lalu di Meru Klang, Selangor menjadi tular.Lebih melucukan, bukan diri mereka yang menjadi objek perhatian tetamu tetapi pelamin mereka!

    “Idea untuk menggunakan konsep Doraemon dan Hello Kitty kami putuskan sebulan sebelum majlis perkahwinan. Tiba-tiba kami fikir mahu mengadakan majlis yang berbeza. Kami mahu sesuatu yang dapat menceritakan minat kami. Jadi, saya upah perancang perkahwinan yang bernama Seriheza untuk mewujudkan fantasi Doraemon dan Hello Kitty.

    “Hasilnya kami sendiri tidak percaya. Malah tetamu yang datang juga tidak sabar untuk bergambar. Sebaik kami turun dari pelamin, ramai yang serbu hendak bergambar. Ingatkan hendak bergambar dengan kami, rupanya dengan pelamin,” kata Saiful sambil ketawa berdekah-dekah.

    Pengaruhi isteri

    Tidak lengkap hobi mengumpul Doraemon (kucing jantan) tanpa pasangannya, Hello kitty (kucing betina). Di Jepun, Doraemon dan Hello Kitty dikenali sebagai kucing jantan dan kucing betina.

    Tahukah anda, Saiful orang yang bertanggungjawab membuatkan isterinya berminat dengan hobi suka mengumpul barangan Hello Kitty. Beliau menyuntik semangat itu dengan memberikan hadiah karakter Hello Kitty pada awal perkenalan mereka.

    “Saya tahu dia minat warna merah jambu. Jadi, saya hadiahkan dia Hello Kitty. Semenjak itu dia mula meminati Hello Kitty ini.

    “Setelah kami berkahwin, lebih mudah saya mengumpul kedua-dua koleksi ini,” katanya.

    Koleksi

    Koleksi Hello Kitty milik Saiful

    Koleksi Hello Kitty milik Saiful

    Beritahu Saiful, koleksi Hello Kitty lebih banyak dikeluarkan di pasaran berbanding Doraemon.

    Pada setiap tahun, Hello Kitty mempunyai koleksi terhad yang dikeluarkan oleh McDonalds, Guardian, Giant dan di panggung-panggung wayang.

    Berbeza dengan Doraemon, lelaki ini akan membelinya secara online melalui laman web, My Japan.

    Kadang-kadang beliau akan membeli secara bidaan.

    “Harga yang dibida itu tidak akan melebihi RM1,000,” katanya.

    Saiful berterus-terang yang beliau telah membelanjakan sebanyak RM10,000 semenjak mengumpul koleksi Doraemon dan Hello Kitty sejak kecil lagi.

    Setakat ini, beliau mempunyai 3,000 jenis koleksi barangan Doraemon. Antaranya seperti cawan, pinggan-mangkuk, jaket, seluar, patung Doraemon dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea, Vietnam, Bangladesh, India, Thailand dan Singapura. Barangan Doraemon yang eksklusif seperti barangan kereta, basikal dan barangan dapur juga ada.

    Untuk barangan Hello Kitty dia mempunyai 7,000 jenis item seperti pensel, buku, kasut, barangan dapur, kereta dan barangan kemas.

    Saiful turut menjual koleksi Doraemon dan Hello Kitty di pasaran online dan kepada kawan-kawan yang berminat untuk membelinya.

    Berbaloikah dengan wang yang dikeluarkan untuk semua itu? Jawabnya: “Saya okay kerana karakter Doraemon mengingatkan saya kepada ibu dan Hello Kitty pula sebagai ingatan tulus dan kasihnya kepada isteri saya.”



    Sumber

  • Lima alatan diperlukan untuk tingkatkan penjagaan oral

    Lima alatan diperlukan untuk tingkatkan penjagaan oral

    ASAS Penjagaan Oral

    Gosok gigi anda sekali pada waktu pagi dan malam selama dua minit setiap sesi menggunakan berus gigi yang lembut dengan kepala bersaiz kecil dan sederhana, bersama ubat gigi berflorida.

    Pegang berus gigi pada kedudukan 45 darjah menghala ke arah gusi.

    Gosok seluruh permukaan gigi (bahagian sisi dan permukaan mengunyah di atas).

    Guardian mempunyai berus gigi yang anda perlukan untuk rutin penjagaan oral ini. Cuba “Guardian Activ’ Care Giant Head Toothbrush” dengan bulu lebih banyak untuk membersih permukaan lebih luas dengan lebih pantas.

    Sementara itu, “Guardian Ecolo Green Tea Toothbrush” pula lebih mesra alam. Anda juga boleh membawanya ke mana-masa sahaja dengan “Guardian Dental Travel Kit”.

    Ia memang ideal untuk digunakan ketika bercuti, boleh diisi ke dalam beg tangan, beg gimnasium dan laci meja bersama penutup berus gigi yang bersih. Jadi, anda boleh memberus gigi apabila perlu sepanjang hari.

    Penjagaan Oral Yang Lebih Menyeluruh

    1. Flos gigi anda

    Memberus gigi setiap hari hanya membersih tiga daripada lima permukaan gigi anda. Tingkatkannya ke satu tahap lebih tinggi dengan membersihkan celah-celah gigi menggunakan berus interdental atau flos. Flos penting untuk mencegah penyakit gusi. “Guardian Activ’ Care Dental Floss Mint” ideal kerana ia kecil, padat dan muat di dalam poket dengan perisa pudina yang menyegarkan.

    2. Flos pencungkil gigi untuk pembersihan yang lebih menyeluruh

    Jika anda tidak boleh melakukan flos sepenuhnya, gunakan “Guardian Floss Toothpicks” untuk menanggalkan plak dan sisa makanan di celah-celah gigi dan di sekitar garis gusi secara efektif, terutama di kawasan yang sukar dicapai. Ia hadir dalam bungkusan satu persatu, jadi anda boleh menyimpannya di dalam beg tangan atau poket seluar untuk membersihkan mulut dengan pantas selepas menikmati hidangan tengah hari.

    3. Fishbone Toothpicks (Pencungkil Gigi Tulang Ikan) apabila makanan melekat di celah-celah gigi

    Cuba “Guardian Fishbone Toothpicks” baharu yang sangat baik untuk mengeluarkan sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi dengan lembut. Tip pro: Lakukan regim penjagaan oral anda di dalam bilik air atau secara bersendirian.

    4. Selesaikan masalah nafas berbau dan plak dengan pembersih mulut

    Pembersih mulut boleh meningkatkan rutin penjagaan oral harian anda kerana ia boleh menjangkau kawasan yang tidak boleh dicapai oleh berus gigi dan flos. Ambil sedikit dan kumur dalam tempoh 30 ke 40 saat dengan bibir ditutup rapat. Kemudian buang dan jangan telan. Sesetengah produk pembersih mulut memiliki kandungan anti-bakteria untuk membantu mengurangkan masalah nafas berbau dan plak. Gunakan “Guardian Fresh Mouth Six Action Mouthwash” untuk nafas lebih segar, mengurangkan plak, menguatkan gigi, menggalakkan gusi yang lebih sihat dan memulihara mineral pada enamel.

    5. Bersihkan lidah anda

    Plak terdiri daripada satu lapisan yang mempunyai jutaan bakteria. Kita sering kali lupa untuk membersihkan lidah. Membersihkan lidah merupakan satu rutin kebersihan oral harian yang penting. Gunakan “Guardian Tongue Cleaner” untuk membantu menghilangkan lapisan dan sisa makanan daripada lidah.



    Sumber

  • Lailatulqadar malam teragung

    Lailatulqadar malam teragung

    DETIK waktu berlalu dengan sangat pantas. Sedar atau tidak, hanya berbaki 11 hari lagi Ramadan akan mengucapkan selamat tinggal. Sesungguhnya, berpisah dengan bulan yang penuh keinsafan dan kemaafan itu sangat memilukan.

    Jika panjang umur dan mendapat keizinan Yang Maha Esa, insya-ALLAH, kita akan dipertemukan dengan keindahan Ramadan sekali lagi.

    Sebelum masa itu berlalu, apa kata umat Islam seboleh-bolehnya menumpukan kepada 10 malam terakhir meningkatkan amal ibadah.

    Pada tempoh tersebut, terdapat satu malam yang dipanggil sebagai malam Lailatulqadar. Ia akan menjelma tanpa kita tahu tarikh dan masanya secara spesifik.

    Hal itu secara jelas dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam satu surah pendek iaitu Surah al-Qadr. Sesungguhnya, malam yang terpilih itu dipanggil sebagai malam penuh keberkatan dan ia dihadiahkan oleh Maha Pencipta kepada hamba-Nya yang beramal dengan khusyuk dan ikhlas berdoa.

    Malam tersebut juga sering disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan sebagaimana firman ALLAH SWT:

    “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)

    Mengapa ia terlalu istimewa sehingga sehingga disebutkan khusus dalam satu surah di dalam al-Quran?

    Malam penentuan

    Menjelaskan persoalan itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid bagi berkongsi ilmu.

    Jelas agamawan itu, Lailatulqadar secara umumnya bermaksud malam penentuan ataupun takdir.

    “Ada juga pendapat yang memberi maksud Lailatulqadar sebagai malam kekuasaan yang diambil daripada sifat ALLAH SWT Yang Maha Berkuasa,” ujar beliau.

    Ustaz Bakhtiar Fitri berkata, ayat satu hingga tiga dalam Surah al-Qadr, ALLAH menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun!

    “Ia membawa maksud sesiapa sahaja yang beribadah pada malam tersebut, mereka akan memiliki pahala beribadah selama 1,000 bulan atau 83 tahun. Bahkan, ia lebih baik lagi daripada 1,000 bulan.

    “Andaikan kita bertarawih pada 10 malam terakhir Ramadan dan malam tersebut adalah Lailatulqadar, ia seumpama kita berterawih selama 83 tahun tanpa henti.

    “Begitu juga jika kita membaca al-Quran, bertahajud atau berzikir, ia seumpama kita beribadah selama 83 tahun tanpa henti,” katanya sambil menjelaskan pada malam itu jugalah turunnya al-Quran, mukjizat terbesar buat Nabi Muhammad SAW.

    Tanda-tanda

    USTAZ BAKHTIAR FITRI

    USTAZ BAKHTIAR FITRI

    Bilakah malam Lailatulqadar akan muncul? Menurut Ustaz Bakhtiar Fitri yang juga Perunding Utama Nadi Ilmu Training Management, ada banyak riwayat dan pandangan ulama mengenainya.

    Bagaimanapun, hakikatnya, hanya ALLAH SWT Yang Maha Mengetahui bilakah tarikh dan waktunya yang sebenar.

    Namun demikian, Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir Ramadan daripada malam-malam yang ganjil.

    Sabda Rasulullah SAW: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad)

    Ujar pendakwah itu lagi, tanda-tanda berlakunya Lailatulqadar juga ada disebut dalam hadis. Antaranya disebut bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air, suasana sangat tenang, nyaman dan tenteram, tidak panas dan tidak sejuk.

    “Pada keesokan harinya selepas berlaku Lailatulqadar, disebutkan bahawa matahari terbit dengan sinaran yang tidak terlalu silau atau terlalu panas terik,” katanya.

    Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis baginda SAW: “(Malam) Lailatulqadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Keesokan harinya cahaya sinar mataharinya seakan kemerah-merahan.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar)

    Pun demikian, Ustaz Bakhtiar Fitri sekali lagi mengingatkan kepada semua umat Islam, hanya ALLAH SWT yang lebih mengetahui bilakah secara tepat berlakunya Lailatulqadar.

    “Ia disembunyikan daripada pengetahuan hamba-Nya dengan hikmah-hikmah tertentu iaitu supaya manusia lebih gigih dan bersungguh-sungguh beribadah setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan.

    “Apa yang pasti, sesiapa sahaja yang beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan, pasti akan bertemu dengan satu malam yang dinamakan Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

    “Bukan itu sahaja, hikmah disembunyikan bilakah malam Lailatulqadar agar manusia lebih menghargai pertemuan dengan malam itu. Sesuatu yang sukar dimiliki, sudah pasti lebih disayangi dan dihargai. Begitu juga dengan Lailatulqadar yang menjadi satu kenangan indah buat pemburunya,” ujarnya.

    Kepada pembaca Sinar Islam, Ustaz Bakhtiar Fitri berkongsi doa yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW untuk dibaca apabila beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

    Dalam sebuah hadis, Saidatina ‘Aisyah RA berkata: “Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bilakah malam Lailatulqadar terjadi, apa yang harus aku ucapkan?” Baginda SAW menjawab: “Ucapkanlah: “Ya ALLAH, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

    Amalan

    DR MOHD NOR

    DR MOHD NOR

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat turut melontarkan pandangannya untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan.

    Jelas beliau, hidupkanlah malam hari dengan iktikaf dan solat malam iaitu solat sunat tajahud, taubat, hajat dan sebagainya. Selain itu, perbanyakkan zikir kepada ALLAH SWT dalam jumlah yang kita mampu.

    Dr Mohd Nor turut memperincikan amalan yang disarankan dilakukan apabila seseorang individu terpilih oleh ALLAH SWT bertemu dengan bertemu malam Lailatulqadar.

    “Apabila Rasulullah SAW ditanya oleh ‘Aisyah RA apakah amalan yang patut dilakukan jika bertemu Lailatulqadar? Baginda SAW menyarankan supaya perbanyakkan doa mohon keampunan, dikurniakan syurga dan dijauhkan azab neraka.

    “Selain itu, digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah,” katanya.

    Beliau mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak menyibukkan diri dengan membeli-belah di sana sini atau sibuk membuat kuih raya sehingga terabai ibadah-ibadah khusus malam yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

    Ujar Dr Mohd Nor, Rasulullah SAW sendiri begitu memfokuskan malam-malam terakhir Ramadan dengan melaksanakan ibadah.

    “Malah baginda SAW juga memohon izin isteri baginda untuk meninggalkan giliran tidur di rumah masing-masing dan beriktikaf di masjid dengan ibadah solat-solat malam,” katanya.

    Rasulullah SAW bersabda: “Carilah ia dalam sepuluh terakhir dan jika salah seorang dari kamu adalah terlalu lemah atau tidak dapat beribadat, maka hendaklah dia tidak membenarkan dirinya daripada terlepas tujuh malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Pensyarah itu menambah, malam Lailatulqadar sememangnya kurniaan yang terhebat bermakna.

    “Begitu istimewanya malam Lailatulqadar itu adalah apabila para malaikat turun untuk merayakan keberkatan dan rahmat ALLAH yang sangat banyak.

    “Sebahagian mentafsirkan para malaikat rahmat turun memenuhi bumi membawa bersama rahmat serta mendoakan untuk semua hamba yang beribadah dengan penuh keimanan.

    “Kata Imam Al-Qurtubi, mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar,” ujar beliau sambil menjelaskan ia digambarkan ALLAH SWT menerusi firman-Nya di dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5.

    Apa yang pasti, kedatangan Lailatulqadar adalah suatu yang pasti dalam bulan Ramadan.

    “Kita hanya perlu istiqamah melaksanakan amalan yang dianjurkan setiap malam. Pastinya salah satu malam adalah Lailatulqadar dan semestinya milik kita,” jelas beliau.



    Sumber

  • Proton bertukar dokumen untuk dua perjanjian di Beijing

    Proton bertukar dokumen untuk dua perjanjian di Beijing

    PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) bertukar dokumen perjanjian di Beijing bersama dua rakan kongsi dari Pakistan dan China untuk membantu merancakkan pelan pengembangan masa depan syarikat itu.

    Pertukaran dokumen yang pertama ialah Perjanjian Perlesenan dan Bantuan Teknikal dengan ALHAJ Automobile (ALHAJ) bagi membina sebuah kilang pembuatan kereta Proton di Karachi untuk pasaran Pakistan.

    Manakala pertukaran yang kedua merupakan kemudahan perbankan yang ditawarkan oleh China Construction Bank (CCB) yang bernilai RM1.88 bilion.

    Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sempat meluangkan sedikit masa daripada jadual padatnya untuk menyaksikan pertukaran dokumen antara pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad dan rakan kongsinya dari Pakistan dan China.

    Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, syarikat itu berharap dapat mengembangkan operasi antarabangsanya dan Pakistan dengan kadar penggunaan kereta yang masih rendah akan menjadi pasaran yang baik.

    “Pertukaran dokumen antara Proton dan rakan niaga kami, ALHAJ dan CCB adalah langkah penting dalam usaha syarikat untuk mencapai matlamat jangka panjangnya. “Kilang pemasangan pertama Proton di Pakistan itu akan terletak di Islamabad yang akan memasang kereta Proton unit terurai untuk dipasang (CKD) bagi pasaran negara tersebut,” katanya.

    Proton mengumumkan hasratnya untuk membuka kilang pemasangan di Pakistan semasa lawatan Perdana Menteri ke negara Asia selatan itu pada Mac lalu, yang juga menyaksikan upacara pecah tanah kilang tersebut bersama rakan sejawatannya dari Pakistan, Imran Khan.



    Sumber

  • Cara penjagaan rambut ‘rebonding’

    Cara penjagaan rambut ‘rebonding’

    FEMINA yakin ramai wanita yang gemar melakukan rawatan rambut secara ‘rebonding’. Anda harus tahu bahawa rambut yang telah melalui proses ini mengandungi lebih banyak bahan kimia di dalamnya.

    Jadi, ia sangat memerlukan penjagaan yang lebih teliti berbanding rambut normal. Berikut adalah beberapa tip cara penjagaannya:

    1) Bagi memastikan kesemua bahan kimia yang digunakan betul-betul meresap ke dalam rambut anda, pastikan anda tidak membasahkan rambut sehingga 2-3 hari.

    2) Pada peringkat awal rebonding, ia akan mudah terbentuk dalam bentuk apa yang ditentukan. Oleh itu, jangan ikat atau selitkan rambut pada telinga anda.

    3) Sentiasa berjaga-jaga dengan kedudukan rambut anda sewaktu tidur kerana anda tidak mahu bangun dengan rambut yang berbentuk sangat pelik.

    4) Selepas 2-3 hari, cuci rambut anda dengan syampu dan perapi. Biarkan perapi itu pada rambut anda untuk beberapa minit tambahan.

    5) Sebaik-baiknya, elak daripada melakukan rawatan rambut dalam tempoh enam bulan. Kenapa? kerana rambut anda perlu rehat daripada segala bahan kimia yang digunakan tempoh hari.

    6) Jangan guna alat penjagaan rambut yang panas seperti pengering rambut).

    7) Jangan guna air panas untuk mencuci rambut, sebaliknya guna air sejuk. Air panas hanya akan menyingkir minyak semula jadi yang rambut anda hasilkan.

    8) Elak daripada mendedahkan rambut anda kepada faktor-faktor alam sekitar seperti sinaran matahari yang kasar, angin sejuk dan hujan. Gunakan topi atau payung.

    9) Sekiranya rambut anda terkena air hujan, segera cuci rambut anda kerana garam dan bahan-bahan polusi yang ada dalam air hujan itu akan merosakkan struktur rambut anda.

    10) Pastikan anda cuci kesemua bahan kimia selepas 2 ke 3 hari ya. Cuci bersih-bersih!



    Sumber

  • Dua pemuzik berbakat dalam pembikinan

    Dua pemuzik berbakat dalam pembikinan

    DUA sahabat baik ini mudah untuk memberi kerjasama. Sebaik penulis menghubungi Mohd Najib Mohd. Nor, 39, atau mahu disapa Najib, beliau terus mengajak penulis ke studio muzik, Sarang Suara di Seri Kembangan, Selangor.

    Sarang Suara umpama rumah kedua lelaki ini bersama teman yang juga rakan seperjuangannya, Ahmad Nuredzuan Zaizi atau Wan.

    “Di sini tempat kami mencurahkan idea muzik kami. Muzik ibarat perumpamaan isi dan kuku, memang kami tak boleh berpisah dengan muzik,” kata Najib penuh kesungguhan.

    Bicara kami pada petang itu terus rancak. Rupa-rupanya ada banyak kisah yang dileraikan oleh kedua-dua personaliti pada minggu ini.

    Penulis memulakan kisah Najib terlebih dulu. Menariknya tentang lelaki graduan jurusan Fotografi dari Universiti Teknologi MARA ini, beliau langsung tiada asas dalam bidang muzik. Ironinya, minat telah mengatasi segala-galanya.

    NAJIB

    NAJIB

    “Saya memang tidak belajar tentang not muzik ataupun sebarang peralatan dari mana-mana institusi awam atau swasta di negara. Namun, kecintaan saya terhadap gema muzik lahir sejak kecil.

    “Pada zaman remaja, saya suka main muzik dan sering menyertai kugiran band. Ketika itu, saya dan kawan-kawan seperti Wan dan Faris Aydeen telah tubuhkan band kami sendiri. Sejak dulu, kami bertiga memang ada pasang impian untuk membuka sebuah studio,” ujar Najib sambil Wan mengiakan pernyataan daripada sahabatnya itu.

    Pun demikian, manusia hanya merancang, ALLAH yang menentukan. Seperti yang disuratkan, Faris meninggal dunia pada tahun 2009.

    Enggan menoleh ke belakang, Najib dan Wan tetap meneruskan hasrat itu dan niat membuka studio muzik itu berjaya direalisasikan pada tahun 2017.

    Bagaimana pula dengan cerita Wan? Wan sedikit berbeza kerana ilmu tentang muzik penuh di dadanya.

    WAN

    WAN

    Lelaki berusia 39 tahun ini yang pernah mengikuti program Komposisi Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

    Kolaborasi kebolehan Najib dan Wan barangkali berupaya menyuntik suasana yang lebih segar dan luar biasa dalam dunia seni tanah air.

    SARANG SUARA

    Studio milik Najib dinamakan Sarang Suara. Kenapa memilih nama berkenaan?

    Menjawab pertanyaan itu, Najib memberitahu, beliau mahu menjadikan studio itu sebagai payung yang menyatukan vokalis, peminat muzik termasuk sesiapa sahaja yang mahu bermain alat muzik atau istilah lebih mudah, jamming.

    Sarang Suara juga menyediakan servis seperti lagu terbitan iklan, mempakej lagu baharu, klip video termasuk menerbitkan lagu untuk individu dan kumpulan.

    Studio berkenaan juga lengkap dengan segala peralatan muzik. Antaranya gitar, dram, piano, set lengkap rakaman lagu, pembesar suara, Digital Audio Workstation dan banyak lagi. Keluasan bilik studio juga memuaskan dengan kedap bunyi.

    Kedua-dua berkebolehan bermain kesemua instrumen muzik kecuali jenis tiupan.

    “Sarang Suara dibuka hingga lewat malam kerana kami memahami rata-rata penggemar muzik suka jamming pada waktu begini,” kata Wan.

    Kepada anda yang berkebolehan membuat lagu tanpa reti bermain instrumen, Najib dan Wan sedia membantu.

    “Ada di antara klien kami, dalam kepala mereka dah ada melodi lagu termasuk lirik tetapi tak pandai bermain (muzik), kami telah menolong dengan menterjemahkan idea mereka ke dalam susunan muzik yang menarik. Jadi, mereka yang mempunyai hasrat untuk buat lagu sendiri, jom ke Sarang Suara,” katanya.

    STUDIO Sarang Suara memiliki hampir semua instrumen muzik.

    STUDIO Sarang Suara memiliki hampir semua instrumen muzik.

    Nampaknya, Sarang Suara berpotensi untuk maju ke hadapan.

    Masakan tidak, setakat artikel ini ditulis, kedua-dua lelaki ini telah mengeluarkan 50 buah lagu atas permintaan klien mereka.

    BANTU ARTIS

    Najib dan Wan memberitahu Oh! Lelaki, Sarang Suara sebenarnya telah berjaya menghasilkan mini album untuk lima artis malar segar iaitu Mac Rahayu, Azie atau Roeziah Mustapha, Haslinda, Norlie Tamam dan Adilla yang bakal membuat comeback tidak lama lagi.

    “Kami memainkan peranan sebagai penyusun muzik dan rakaman sepenuhnya dibuat Sarang Suara.

    “Jadi kepada semua artis tidak kira baharu atau lama, mari bertandang ke studio kami. Kami bersedia membantu menghasilkan lagu, melodi, lirik dan sebagainya. Studio kami juga boleh membuat live recording.

    “Sudah semestinya juga harga kami amat berpatutan berbanding yang ditawarkan oleh syarikat muzik yang lain,” kata Najib.

    KEPADA artis yang ingin merakam lagu atau mempunyai idea membuat lagu, Najib dan Wan boleh membantu menterjemahkan idea anda!

    KEPADA artis yang ingin merakam lagu atau mempunyai idea membuat lagu, Najib dan Wan boleh membantu menterjemahkan idea anda!

    Selain itu, menariknya tentang dua pemuzik ini, selain orang perseorangan, mereka berdua juga telah mencipta lagu untuk beberapa syarikat pengiklanan, organisasi kementerian yang mahukan sebuah lagu mengikut keperluan masing-masing.

    “Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki daripada ALLAH SWT. Kami harap dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat dalam industri muzik negara,” kata mereka senada.

    Semoga Najib dan Wan akan terus berjaya. Mana tahu suatu hari nanti mereka memiliki artis di bawah label Sarang Suara!



    Sumber

  • Ini kelebihan makanan organik

    Ini kelebihan makanan organik

    APA itu makanan organik?

    Kini semakin ramai yang sedar akan kelebihan mengambil makanan organik. Secara amnya, pengguna yang membeli makanan organik adalah kerana mementingkan kesihatan, rasa dan keselamatan makanan tersebut.

    Menurut kajian, mereka yang mengalami alergi kepada makanan, bahan kimia atau pengawet selalunya akan mengalami simptom yang berkurangan apabila mengambil makanan organik sahaja.

    Kepentingan menjaga alam sekitar juga adalah penyebab mengapa pengguna memilih makanan organik.

    Perkataan ‘organik’ bermaksud cara makanan tersebut dihasilkan iaitu melalui proses semula jadi sepenuhnya dan mesra alam.

    Makanan organik terbahagi kepada dua jenis iaitu tumbuhan dan haiwan.

    Tanpa racun

    Makanan organik ialah makanan yang berasal daripada tanaman yang ditanam tanpa racun perosak, baja berasaskan petroleum dan baja yang berasaskan hasil kumbahan.

    Tanaman organik mestilah ditanam dalam tanah yang selamat, tiada pengubahan dan mestilah diasingkan daripada produk makanan konvensional.

    Manakala daging haiwan dikatakan organik apabila diternak tanpa menggunakan antibiotik, hormon pertumbuhan serta sebarang hasil keluaran haiwan.

    Haiwan organik ini juga diberi lebih ruang untuk bergerak dan diberi makan makanan organik.

    Logo khas

    Kedua-dua produk organik tersebut juga tidak boleh diubahsuai suai secara genetik (non-GMOs). Cara untuk memastikan bahawa makanan itu organik atau tidak, anda mestilah melihat logo khas yang biasanya terdapat pada bungkusan makanan.

    Makanan organik biasanya lebih mahal, lebih sihat dan lebih berkhasiat. Rupa makanan organik ini biasanya tidaklah secantik makanan bukan organik kerana tiada perlindungan dari faktor serangga, haiwan perosak dan juga persekitaran.

    Apakah kelebihan makanan organik?:

    Tiada penggunaan racun perosak

    Makanan organik adalah selamat daripada racun perosak. Racun perosak ialah bahan kimia seperti racun kulat (fungicides), racun herba ( herbicides) dan racun serangga (insecticides).

    Racun perosak tersebut digunakan secara meluas dalam pertanian konvensional dan sisa racun kekal dalam makanan yang kita makan.

    Bahan kimia dalam racun perosak boleh menyebabkan beberapa penyakit seperti kanser, leukimia, ketidaksuburan, penyakit Parkinson, kemurungan dan kekejangan.

    Lebih segar

    Makanan organik adalah lebih segar disebabkan tidak mengandungi bahan pengawet yang boleh membuatkannya tahan lama. Makanan organik juga mempunyai rasa yang lebih sedap.

    Mengurangkan pencemaran

    Perladangan dan penternakan organik boleh mengurangkan pencemaran udara, air dan tanah, memulihara air, mengurangkan hakisan tanah dan meningkatkan kesuburan tanah.

    Perladangan tanpa penggunaan racun perosak juga menyediakan persekitaran yang baik bagi haiwan-haiwan seperti burung dan haiwan kecil serta manusia yang tinggal atau bekerja berdekatan dengan ladang.

    Lebih sihat

    Disebabkan tiada racun perosak,bahan kimia atau bahan tambahan dalam makanan bermakna kurang risiko untuk menghidap pelbagai penyakit.

    Manakala, haiwan ternakan yang diberi lebih ruang untuk bergerak akan membuatkan haiwan itu sihat. Maka, daging yang dihasilkannya juga adalah sihat.

    Kaya dengan nutrien

    Mengambil makanan organik boleh meningkatkan pengambilan antioksida sebanyak 20 peratus ke 40 peratus.

    Daging dan susu haiwan organik adalah kaya dengan asid lemak omega-3 sehingga 50% lebih tinggi berbanding dengan haiwan yang diternak dengan cara konvensional.

    Selain itu, makanan organik juga mempunyai lebih vitamin dan mineral seperti zat besi dan zink.

    Tiada organisma diubahsuai secara genetik (non-GMOs)

    Organisma diubahsuai secara genetik (GMOs) ialah makanan atau haiwan yang terbina secara genetik yang DNA makanan tersebut telah diubah dalam cara yang bukan semulajadi, biasanya untuk tahan kepada racun perosak.

    Makanan yang diubahsuai secara genetik boleh menyebabkan alergi dan melemahkan sistem imunisasi.

    Sumber: http://www.gayahidupsihat.com



    Sumber