Blog

  • Tip bersahur dan kekal kenyang

    Tip bersahur dan kekal kenyang

    WAKTU berbuka puasa adalah satu waktu yang sangat menyeronokkan dengan pelbagai jenis juadah menarik terhidang, tersedia untuk dinikmati.

    Namun, bagaimana pula dengan waktu sahur? Adakah ia membosankan? Sedangkan ia merupakan waktu penting untuk memastikan anda kekal bertenaga sepanjang hari ketika berpuasa.

    Jadi, apakah tip bersahur ringkas dan kekal menjadikan anda kenyang sepanjang hari? Ikuti artikel ini.

    Tip bersahur ringkas dan mudah:

    Jem buah-buahan

    Bangun sahur pada awal pagi mungkin adalah satu perkara di luar kebiasaan bagi sesetengah individu. Apatah lagi untuk mengambil makanan berat seperti nasi.

    Jadi, mungkin anda boleh menghasilkan jem segera dari buah-buahan lembut dan tidak berbiji seperti pisang dan strawberi.

    Ia bukan sahaja mudah untuk dihasilkan, tetapi turut membekalkan nutrisi yang secukupnya untuk memberikan anda tenaga sepanjang hari. Anda boleh sapukan jem segera ini di atas roti dan taburkan sedikit gula, jika perlu.

    Oat

    Oat sememangnya merupakan sejenis makanan yang baik untuk kesihatan yang dapat membantu mengawal tahap kolesterol dalam badan, malah ia juga mengenyangkan.

    Antara pilihan cara untuk menikmati oat ini adalah dengan membeku atau menyejukkan ia semalaman sebelum memakannya pada waktu sahur.

    Pelbagai jenis resipi boleh diperoleh dalam talian dan anda boleh mencampurkan oat dengan makanan kegemaran anda seperti kismis, kacang, kurma, atau buah-buahan segar yang dipotong kecil, tuangkan susu segar sehingga menutupi lapisan oat dan simpankan dalam peti ais.

    Garam dan air

    Garam boleh berfungsi sama ada sebagai penyerap atau penyimpan air. Sewaktu berpuasa, pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam boleh mempercepatkan dehidrasi dan membuatkan anda lebih cepat berasa haus.

    Pengambilan air yang berlebihan, terutama ketika bersahur juga boleh menyebabkan tindak balas yang sama.

    Jadi, sebaiknya, minumlah sekurang-kurangnya 2-3 gelas sahaja pada waktu sahur dan lebihkan pengambilan air pada waktu malam sebelum anda tidur.

    Makanan tinggi protein

    Makanan yang mengandungi kandungan protein yang tinggi atau berasaskan protein boleh menghindarkan anda dari mudah penat dan mengekalkan anda untuk lebih aktif sepanjang hari.

    Makanan dari sumber protein juga mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam dan sekali gus menjadikan anda kenyang untuk tempoh yang lebih lama.

    Antara pilihan makanan yang baik adalah seperti telur, keju, ikan dan kekacang. Jika anda mempunyai alahan laktosa – sejenis gula yang terdapat secara eksklusif dalam susu dan produk tenusu – anda boleh memilih susu soya atau susu badam.

    Jika anda sukakan makanan protein seperti daging dan ayam, pilihan dada ayam atau daging merah pejal adalah lebih baik.

    Sumber: https://hellodoktor.com



    Sumber

  • Empat golongan yang dihalang masuk ke syurga

    Empat golongan yang dihalang masuk ke syurga

    DALAM kita sibuk mengejar urusan di dunia, jangan sampai mengabaikan bekalan di hari akhirat nanti.

    Sebab itulah, kita selalu dengar orang berpesan supaya berwaspada, berjaga-jaga, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melakukan sesuatu perkara.

    Bukannya apa, bimbang jika apa yang dilakukan itu tidak seperti yang diharapkan.

    Lebih membimbangkan lagi apabila syurga ALLAH yang kita harapkan semakin menjauh, sebaliknya neraka pula yang menanti. Nauzubillah, mintalah dijauhkan.

    Dalam sebuah hadis, ada dinyatakan tentang empat golongan yang dihalang daripada memasuki syurga.

    Rasulullah SAW bersabda: “Ada empat golongan manusia yang menjadi hak ALLAH untuk tidak memasukkan mereka itu ke dalam syurga dan tidak akan diberi rasa kenikmatan syurga iaitu orang yang mengekalkan minum minuman keras, memakan riba, memakan harta anak-anak yatim tanpa hak dan berani melawan kedua orang tua.” (Riwayat Hakim dan al-Baihaqi)

    Justeru, berjaga-jagalah, jangan sehingga terleka akibat hanyut dengan urusan duniawi.

    Maklumlah, iman kita memang ada pasang surutnya.

    Jagalah diri kita daripada hasutan-hasutan jahat yang boleh memakan diri.

    Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan tadi.

    (Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • Allianz Motorcycle Plus lindungi penunggang motosikal

    Allianz Motorcycle Plus lindungi penunggang motosikal

    ALLIANZ General Insurance Company (Malaysia) Bhd, cabang insurans am Allianz Malaysia Bhd, melancarkan insurans motosikal yang pertama bagi motosikal di bawah 245cc, Allianz Motorcycle Plus, meliputi perlindungan ke atas motosikal dan penunggang bermula Mei tahun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, perlindungan insurans itu terdiri daripada dua kategori iaitu Allianz Motorcycle Plus (komprehensif) dan Allianz Motorcycle Plus (pihak ketiga sahaja).

    Allianz Motorcycle Plus menawarkan perlindungan meliputi kemalangan sebanyak RM5,000 bagi kematian dan hilang upaya kekal, pendapatan hospital sebanyak RM50 sehari sehingga 60 hari serta perlindungan insurans khas jumlah penuh bagi semua keadaan bahaya seperti banjir dan tanah runtuh.

    Manakala Allianz Motorcycle Plus pula menawarkan perlindungan kemalangan sebanyak RM5,000 bagi kematian dan hilang upaya kekal serta pendapatan hospital sebanyak RM50 sehari sehingga 60 hari tanpa sebarang premium tambahan.

    “Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan tidak boleh dikawal dan disediakan hanya untuk pengukuhan jenama, ia perlu berguna dan memenuhi tujuan melindungi serta memenuhi kehendak pelanggan.

    “Menurut Statistik Keselamatan Jalan Raya JKJR 2018 menunjukkan kira-kira 13.6 juta motosikal berada di jalan raya pada tahun lalu dan menjadi punca utama kemalangan maut. Jadi adalah penting untuk mereka dilindungi insurans.

    “Setakat ini, insurans motosikal di negara ini hanya melindungi kenderaan, bukan penunggang,” katanya pada sidang media semasa majlis pelancaran mudah Allianz Motorcycle Plus di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



    Sumber

  • Anggun di pagi raya bersama TudungPeople, TudungRuffle

    Anggun di pagi raya bersama TudungPeople, TudungRuffle

    RASANYA terlalu awal untuk bercerita tentang Aidilfitri. Namun, persiapan untuk meraikan hari raya perlu dilakukan awal bagi mengelak kita bersesak-sesak pada saat-saat akhir.

    Selain daripada busana, kepada hijabista, pilihan tudung satu elemen yang sangat signifikan. Daripada lambakan jenama hijab, Femina pada minggu ini memilih dua jenis jenama tudung yang semakin mendapat tempat di hati ramai penggemarnya iaitu TudungPeople dan TudungRuffle.

    TudungPeople menyerlahkan peribadi si pemakai.

    TudungPeople menyerlahkan peribadi si pemakai.

    TudungPeople menyerlahkan keanggunan wanita.

    TudungPeople menyerlahkan keanggunan wanita.

    TudungPeople tampil dengan warna merah hati.

    TudungPeople tampil dengan warna merah hati.

    TudungPeople anggun dengan mainan warna lembut.

    TudungPeople anggun dengan mainan warna lembut.

    TudungPeople

    Tidak keterlaluan untuk disebut bahawa jenama TudungPeople sudah dekat di hati si hijabista. Justeru, pada musim perayaan kali ini, mereka menampilkan koleksi baharu dengan tema Realiti Raya.

    Berbeza dengan label terkenal lain, TudungPeople didatangkan dengan rekaan yang lebih ringkas, santai dan mudah dari aspek pemakaiannya.

    Masakan tidak, jenis kain yang dipilih membuatkan tudung label ini tidak perlu diseterika dan pemakaiannya tidak memerlukan pin.

    Koleksi hijab jenis kasual itu memang direka supaya ia mudah digayakan dan selesa dipakai tatkala malam raya, memasak aneka juadah raya atau melayan sanak-saudara yang bertandang ke rumah.

    Matlamat TudungPeople mahu setiap pemakainya tampil bergaya dan selesa dengan variasi warna yang menarik.

    Nampaknya, tahun 2019 merupakan tahun yang bertuah bagi TudungPeople apabila buat pertama kalinya berpeluang berkolaborasi dengan jenama kosmetik terkenal Indonesia, Wardah untuk menghasilkan rekaan edisi khas yang dikenali sebagai Wardah White Secret.

    Selain itu, mereka juga bekerjasama dengan jenama HijUP sebagai salah satu usaha untuk melebarkan sayap TudungPeople ke Indonesia.

    TudungRuffle tampak eksklusif dengan taburan batu-batu kristal Swarovski yang diimport khas dari Austria.

    TudungRuffle tampak eksklusif dengan taburan batu-batu kristal Swarovski yang diimport khas dari Austria.

    Fesyen TudungRuffle yang tampak moden dan elegan.

    Fesyen TudungRuffle yang tampak moden dan elegan.

    TudungRuffle

    Tudung Ruffle yang sinonim dengan tudung bawal membawakan satu inovasi baharu yang berupaya menawan hati para hijabista, kata pengasasnya, Hanis Arif.

    Hanis berkata, beliau mahu mengubah stigma umum yang kerap mengaitkan penggayaan tudung bawal sebagai fesyen lapuk dan ketinggalan zaman.

    “Koleksi raya kali ini, kita masih mengekalkan elemen bawal ditambah dengan bulu sintetik daripada burung unta.

    Sebenarnya, sentuhan bulu itu memberi kelainan buat si pemakai. Ia sebenarnya tampak lebih ekslusif berbanding bawal biasa,” katanya.

    Sebagai tambah nilai, ujarnya, perincian eksklusif batu-batu kristal Swarovski yang diimport khas dari Austria turut ditatarias pada tudung berkenan sebagai menampakkan satu identiti baharu pada koleksi baharu labelnya.

    Pada kali, wanita itu berkata, TudungRuffle memilih rona warna pastel yang lazimnya digemari oleh kaum Hawa. berkenaan.



    Sumber

  • Cara berkesan memujuk pasangan merajuk

    Cara berkesan memujuk pasangan merajuk

    BILA hati tertusuk sembilu geram dan benci kesannya akan membuatkan seseorang itu merajuk. Bukan hanya wanita boleh merajuk lelaki juga tidak kurang hebatnya dalam bab merajuk. Masing-masing ada ego yang ingin dipertahankan dan tidak ada lagi istilah pujuk memujuk. Akhirnya rajuk itu hilang dengan sendiri dan rumah tangga kembali berseri kembali.

    Namun harus diingat tidak semua orang boleh hilang dan padamkan perasaan benci dan marah itu sebegitu sahaja, walau kata maaf sudah dilafazkan. Untuk itu, cubalah memujuk pasangan dengan cara ini.

    Reka ayat kemaafan paling indah

    Ingat kembali saat romantik anda. Apa salahnya memujuk isteri, banyak keistimewaan yang boleh anda dapat. Pujuk dengan ayat kemaafan yang paling indah. Hati perempuan ada yang lembut. Ada juga yang keras.Malah lebih keras dari batu pun ada. Reka satu ayat maaf yang paling indah untuk diucapkan.Kalau boleh ucap dengan nada yang jelas dan yakin.

    Hadiah paling bermakna

    Sesekali memujuk isteri dengan memberikan hadiah kepadanya pasti dia akan seronok. Cukup bermakna jika anda dapat memberikan hadiah yang sangat diingini oleh isteri ketika itu. Jika kena pada apa yang anda berikan pasti isteri akan tersenyum manja dan hilang segala rajuk. Anda pula tidak akan terasa di hati apabila layanan isteri begitu istimewa, anda terasa seperti raja.

    Layan kehendak isteri

    Ada ketikanya topik pergaduhan itu tidak seberapa tetapi mungkin disebabkan anda sentiasa sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan keluarga. Rajuk isteri dan anda yang mula menyampah dengan situasi itu membuatkan hubungan bertambah kronik. Perbaiki hubungan itu dengan melayan isteri anda. Mungkin dengan teman dia membeli belah atau belanja dirinya ke spa. Cara ini menghapuskan rajuk isteri kerana kebaikan mampu mengatasi keburukan.

    Tawar diri melakukan kerja rumah

    Salah satu punca tidak seronok dalam jiwa para isteri dan menimbulkan perasaan tidak puas hati ini, kerana mereka melakukan semua aktiviti di rumah. Dari soal memasak, mengemas rumah dan melayan kerenah anak-anak. Sebelum isteri anda merajuk lebih lama dan merajuk untuk melakukan kerja rumah, apa kata anda mengambil hati dengan melakukan kerja rumah yang dibuat oleh isteri anda. Biarkan isteri anda santai dan menonton televisyen.

    Bawa keluarga menjamu selera

    Sesekali bawa keluarga anda menjamu selera. Sebaik-baiknya bawa sekali ibu bapa kedua belah pihak. Jika mampu jemput sekali anak-anak yatim makan di restoran. Tujuannya agar perasaan merajuk isteri akan hilang melihat kesungguhan anda membawa kebahagiaan kepada orang sekeliling. Anda akan turut merasa bahagia memberi makan anak-anak yatim. Niat yang baik Allah akan bantu hambanya melalui kebahagian rumah tangga.

    Nasihat Datuk Fadzilah Kamsah mengatasi merajuk

    • Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
    • Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) pasangan
    • Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
    • Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
    • Mengubah diri untuk merangsang perubahan kepada pasangan.



    Sumber

  • 6 negeri catat kes denggi tertinggi

    6 negeri catat kes denggi tertinggi

    DENGGI terus membunuh apabila 71 nyawa telah menjadi korban sejak 1 Januari hingga 4 Mei 2019. (Data Kementerian Kesihatan Malaysia – KKM)

    Jumlah kes denggi pula terus meningkat iaitu sebanyak 46,607 di seluruh negara antara 1 Januari hingga 11 Mei 2019.

    Daripada data dikongsikan KKM, enam negeri catat kes denggi tertinggi

    1. Selangor 27,172 kes

    2. Kuala Lumpur (4,124)

    3. Johor (3,641)

    4. Pulau Pinang (2,507)

    5. Sabah (2,092)

    6. Kelantan (1,391)

    BAGAIMANA CARA UNTUK MENCEGAH DENGGI?

    Pada masa sekarang tiada vaksin untuk mengubati demam denggi. Walau bagaimanapun usaha-usaha sedang dijalankan untuk menghasilkan vaksin tersebut.

    Elakkan gigitan nyamuk dengan:

    Gunakan ubat nyamuk.

    Gunakan kelambu semasa tidur.

    Gunakan ‘repellent’ jika perlu.

    Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi – 8 pagi dan 5.30 petang – 8 malam).

    Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar dari rumah.

    Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.

    Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk:

    Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.

    Kerap tukar air di bekas minuman haiwan peliharaan.

    Jika anak anda disyaki mengalami sakit denggi dan dipantau sebagai pesakit luar (tidak dimasukkan ke wad), bawa anak anda segera ke hospital/klinik jika:

    Muntah berlarutan/berpanjangan.

    Sakit perut.

    Kurang bermaya/sawan.

    Sesak nafas.

    Pucat/sejuk pada tangan dan kaki.

    Pendarahan: daripada gusi/hidung, muntah darah, najis berdarah dan tanda-tanda merah pada kulit.

    Sumber: http://idengue.remotesensing.gov.my



    Sumber

  • Berdoa dan mohon kepada ALLAH untuk membina takwa yang sebenar-benarnya

    Berdoa dan mohon kepada ALLAH untuk membina takwa yang sebenar-benarnya

    TAKWA memang mudah disebut, namun untuk mempraktikkannya bukan mudah.

    Apatah lagi, untuk menggapai takwa ini, banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi.

    Sebenarnya, di manakah letaknya takwa?

    Dalam hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Takwa itu terletak di sini, sambil baginda menunjuk ke dada/hati baginda tiga kali.” (Riwayat Muslim)

    Disebabkan tempatnya di hati, maka sukarlah untuk dilaksanakan kecuali mereka yang dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

    Benar, soal hati tiada siapa yang tahu dan hanya ALLAH sahaja yang dapat menguasainya.

    Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Ketahuilah, sesungguhnya seorang hamba hanya mampu melalui tahap-tahap perjalanan menuju (reda) ALLAH dengan hati dan keinginannya yang kuat, bukan (cuma sekadar) dengan (perbuatan) anggota badannya.

    “Dan takwa yang hakiki adalah takwa (dalam) hati dan bukan takwa (pada) anggota badan (saja),” kata beliau.

    Cuba tanya pada diri kita, sudahkah kita menjadi insan bertakwa?

    Jika jawapannya ya, sejauhmanakah takwa kita kepada ALLAH?

    Jika tidak, bermakna iman kita belum mencapai tahap ‘cemerlang’ dalam mengabdikan diri kepada Sang Pencipta.

    Ramai yang menganggap takwa hanya menunaikan hak ALLAH SWT sahaja, sedangkan ia juga merangkumi akhlak yang baik.

    Apabila baik akhlak seseorang itu, maka, dia akan dapat menunaikan hukum dan hak ALLAH SWT.

    Mana mungkin orang yang berakhlak buruk akan melaksanakan hak-hak terhadap ALLAH, bukan?

    Justeru, pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan bulan menggapai takwa ini, apa kata kita mohonlah kepada ALLAH SWT supaya kita mampu membina takwa yang sebenar-benarnya.

    Sesugguhnya, takwa itu mudah andai ALLAH sentiasa di sisi untuk membantu.

    (Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • Hyundai lancar Elantra baharu

    Hyundai lancar Elantra baharu

    HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan model sedan segmen-C, Hyundai Elantra baharu yang ditawarkan pada harga RM109,888.

    Hanya satu varian ditawarkan bagi model ini iaitu 2.0L Executive dengan enjin 2.0 liter sama seperti digunakan untuk model terdahulu dengan kuasa 152 PS pada 6,200 rpm dan tork 192Nm pada 4,000 rpm. Model paling laris Hyundai di Malaysia sejak diperkenalkan pada 2012 itu tampil dengan rekaan dalam dan luaran berwajah baharu yang lebih sporty serta elegan.

    Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata, syarikat menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan penumpang bersaiz sederhana.

    “Elantra sentiasa menjadi pesaing hebat dalam segmen-C menerusi rekaan, prestasi enjin dan fungsi termaju,” katanya pada majlis pelancaran yang berlangsung di Jalan Klang lama, baru-baru ini.

    Elantra baharu direka lebih panjang 70 milimeter (mm) dengan 4,620mm, tetapi jarak rodanya masih lagi kekal sama seperti sebelum ini.

    Perbezaan lain yang boleh dilihat menerusi lampu utama hadapan, belakang dan kabus dengan reka bentuk segi tiga, selain padanan jeriji baharu sporty. Ia juga boleh dibezakan dengan bampar belakang dua tona serta posisi nombor pendaftaran berada di bahagian bawah bampar.

    Elantra juga dilengkapkan ciri terkini seperti Sistem Bantuan Parkir Belakang, kamera pandang belakang dengan Panduan Parkir Dinamik dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar serta kunci pintar dengan punat penghidup tekan (start-stop). Sistem infotainmen memuatkan skrin sentuh LCD 7 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Juga fungsi konektiviti auksiliari, USB, Blueetooth dengan pengecaman suara.

    Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Polar, Metal Fluid, Merah Fiery, Biru Teal dan Hitam Phantom dengan lima tahun waranti atau 300,000 kilometer.



    Sumber

  • Lima rekaan beg eksklusif daripada Victoria Sloane

    Lima rekaan beg eksklusif daripada Victoria Sloane

    WANITA dan beg tangan memang tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu. Kepada sesetengah wanita, bertukar beg tangan dengan kerap merupakan perkara biasa.

    Pada Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Pengarah Urusan Nouvelles Visages, Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau Rita hadir dengan produk baharu berupa beg tangan, Victoria Sloane Spring Summer 2019.

    Ujar Rita yang ditemui baru-baru ini semasa pelancaran Victoria Sloane di Kuala Lumpur baru-baru ini, nama Victora Sloane merupakan gabungan dua nama tempat iaitu Victoria Street dan Sloane Street.

    Kedua-dua tempat itu menjadi lokasi kegemaran beliau setiap kali berkunjung ke London.

    Reka bentuknya unik dan moden.

    Reka bentuknya unik dan moden.

    Boleh digayakan mengikut cita rasa sendiri.

    Boleh digayakan mengikut cita rasa sendiri.

    Beliau berkata, menariknya pada koleksi kali ini, pihaknya menampilkan beg tangan yang berkualiti dan sesuai digayakan ke pelbagai acara termasuk majlis makan malam atau kasual di tempat kerja.

    Jika diperhatikan kepada reka bentuknya yang classy dan selari dengan trend terkini, beg jenama itu sesuai untuk digayakan mereka yang pelbagai peringkat usia.

    Mainan warna seperti warna-warna cerah memberikan impak ceria kepada si pemakai.

    Warna merah dan biru sesuai untuk digayakan golongan yang lebih muda manakala hitam, coklat dan perak lebih sinonim buat mereka yang nampak lebih matang dan berusia.

    Merah menjadi buruan buat mereka yang berani.

    Merah menjadi buruan buat mereka yang berani.

    Hitam tampak sofistikated.

    Hitam tampak sofistikated.

    “Ciri-ciri yang ada pada beg itu menyerlahkan lagi fungsi dan gaya si pemakai sekali gus menjadikannya nampak unik berbanding beg-beg jenama lain di pasaran,” kata Rita.

    Rekaan beg Victoria Sloane turut diperkemaskan dengan jahitan dari Itali. Ia juga dihasilkan dengan tangan menggunakan material yang menyerupai kulit (faux leather).

    Terdapat lima rekaan beg ekslusif yang diberi nama Warwick, Essex, Holborn, Abbey dan Kew.

    Ujar Rita, sesiapa pun boleh memiliki buah tangan baharunya kerana harganya tidak sampai RM200.

    Pembelian Victoria Sloane cuma boleh dibuat melalui online Shopee sahaja mulai 18 April lalu.

    Untuk keterangan lebih lanjut layari https://shopee.com.my/ritasosilawati.os dan Instagram Victoria Sloane.



    Sumber

  • Cara Rasulullah SAW menzahirkan cinta

    Cara Rasulullah SAW menzahirkan cinta

    Ramai orang sebenarnya baik, namun sedih sekali ramai juga yang tidak pandai menzahirkannya kebaikannya. Ramai pasangan yang saling mencintai antara satu sama lain tetapi tidak pandai menzahirkan cintanya. Seolah-olah cinta mereka dibungkus rapi dan dikuburkan dalam sudut hati yang paling dalam.

    Sehingga natijahnya kedua-dua insan yang menyayangi menderita, bersedih, menangis dan meraung kerana akhirnya semakin jauh dan terpisah. Saling mencintai malah teramat cinta telah bertukar menjadi membenci sebegitu benci sehingga tidak nampak walaupun satu kebaikan lagi.

    Gambar hiasan

    Gambar hiasan

    Kebencian itu telah menjadi hijab untuk melihat kebaikan pasangan. Yang ternampak hanya kelemahan demi kelemahan sedangkan manusia mana yang tiada kelemahan. Kebencian itu menular menjadi barah yang memakan percintaan seterusnya menjadikan diri semakin mati dalam melayari bahtera percintaan. Hanya menunggu sedikit pukulan ombak maka karamlah bahtera perkahwinan di tengah pelayaran sebelum sampai ke destinasi yang ingin digapai.

    Masalah ini berpunca daripada diri kita yang tidak mencintai Nabi SAW dengan hakikat sebenarnya. Orang yang teramat cinta kepada Nabi SAW maka seluruh kehidupannya sentiasa mencontohi akhlak Nabi SAW.

    Akhlak Nabi SAW sebagai suami yang boleh dicontohi;

    1. Paling baik kepada keluarganya

    Nabi SAW membuat segala kerja rumah ketika berada di rumah. Nabi SAW merupakan orang yang paling rajin ketika berada di rumah. Hinggakan baju dan kasut yang koyak beliau jahit sendiri.

    2. Sentiasa makan berjemaah

    Minum dari tempat isterinya minum. Makan sebekas dan sehingga licin. Sangat menghargai makanan anugerah tuhan. Membuat hati orang yang memasak menjadi gembira, tidak mengkritik makanan walau terjumpa rambut dalam makanan.

    3. Ketika isteri Nabi SAW membuatnya marah

    Baginda tetap boleh melihat dan menyebut kebaikan isterinya. Kadangkala hanya berdiam, mendoakan dan memanggil isterinya dengan panggilan yang mulia dan disukai oleh isterinya.

    4. Menerima kekurangan pada isteri

    Walaupun baginda SAW manusia paling sempurna dan tiada manusia sepertinya. Baginda SAW sentiasa memaafkan itulah sifat kekasih Allah SWT. Baginda SAW manusia yang paling sempurna.

    5. Sentiasa berbaring di atas ribaan isteri

    Nabi SAW tidur bersama dalam selimut ketika isteri didatangi haid dan membersihkan darah haid isteri yang menitik di lantai. Akhlak seperti ini benar-benar membuatkan hati isteri rasa tersentuh dan dapat merasai benar-benar dihargai.

    6. Sentiasa meminta maaf kepada isterinya

    Walaupun baginda tidak melakukan kesalahan dan sentiasa dengan sabar menerangkan sebab segala tindakannya. Baginda SAW tidak perlu berbuat begitu kerana baginda adalah seorang Rasul. Baginda pernah berkata ini salah saya kepada isterinya walaupun Baginda SAW tidak mungkin salah.

    7. Sentiasa menghiasi wajah dengan senyuman

    Abdullah ibnu Haris ra berkata aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak senyum berbanding Nabi Muhammad SAW.

    8. Nabi SAW saat bersalam

    Atau pegang tangan tidak akan menarik tangan sehingga orang itu lepaskan. Tidak akan mengalihkan telinga sehingga orang itu habis bercakap. Yakni Baginda seorang pendengar yang teramat baik. Baginda tidak akan biarkan orang itu berlalu tanpa Baginda SAW dapat membantu menyelesaikan.

    Amalan paling utama ialah kedua-dua pasangan sentisa menjaga solat. Rasulullah SAW apabila mendengar azan tanpa berlengah akan terus ke masjid. Utamakan Allah dan Rasul serta perjuangan agama dalam segala urusan. Allah SWT pasti akan memelihara sesebuah keluarga itu. Reda Allah SWT pasti akan menjadikan segalanya menjadi sempurna dan baik.



    Sumber