Blog

  • Kegilaan terhadap game online ada faedah tak?

    Kegilaan terhadap game online ada faedah tak?

    BUKAN mudah untuk mengatakan tidak atau berhenti apabila terlalu asyik dengan game online atau permainan video. Keseronokan yang dinikmati dan mengejar matlamat dalam permainan yang belum sampai membuatkan pemain tidak sedar masa berlalu. Akhirnya perkara yang perlu diselesaikan dan menjadi kewajipan ketika itu terbengkalai.

    Laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) amat mengejutkan, apabila mengklasifikasikan ketagihan permainan video online atau ‘gaming disorder’ sebagai penyakit mental dalam manual penyakit 2018. Dalam draf kedua kemas kini ke-11 Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11) WHO, ketagihan permainan video telah dimasukkan dalam kategori ‘gangguan mental, tingkah laku atau perkembangan otak.’

    Seteruk itulah kesan kepada mereka yang terlalu obses terhadap permainan online ini. Apakah game online ini tidak dapat dikawal oleh seseorang itu apabila mula bermain. Dan apakah sebenarnya yang dicari oleh kaki game ini dalam menikmati permainan atas talian?. Oh! Lelaki membincangkan topik menarik ini dengan menemu bual mereka yang terlalu obses pada permainan ini.

    Perlu ada jadi diri

    Permainan video tidak asing bagi Amir Azareen Omar, yang lahir era 80-an iaitu pada awal kemunculan ‘video game’. Pentadbir Kanan Sistem di Pos Digicert Sdn Bhd itu berkata, dia bermula dengan permainan video Snes, Sega Genesis, playstation, ps2, ps3, ps4 dan komputer. Pelbagai genre game dikuasai, namun kini dia lebih fokus kepada permainan berbentuk sukan atau PVP (Player-Versus-Player).

    AMIR

    AMIR

    **

    Game yang menjadi fokus adalah PES. Daripada hobinya ini jangan terkejut Amir telah dilantik sebagai pro-gaming, berfokuskan PES (Pro Evolution Soccer) bersama rakan sepasukannya yang diberi nama Degasa Malaysia dalam sukan elektronik (eSport).

    Bagi Amir, menentang sekerasnya permainan video ini boleh membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan. Semua itu bergantung kepada seseorang itu cukup kuat untuk berhadapan dengan apa yang dibuatnya. Ujarnya, tidak perlu berbicara tentang game, aplikasi WhatsApp sahaja sudah mampu merosakkan jika seseorang itu tidak ada jati diri.

    “Saya kerap mendengar tentang masalah ini dan game (permainan) dipersalahkan. Ini sama sekali seperti situasi, ‘lain bengkak, yang lain menanah’. Game sering dijadikan alasan sedangkan kendiri seseorang itu tidak cukup kuat. Apabila anda bermain game jika tanpa kawalan ia sama seperti anda hidup di alam yang lain,” kata Amir beremosi.

    Amir memperuntukkan masa antara tiga jam sehari untuk bermain permainan video. Tiada isu perbezaan masa antara pemain luar negara, kerana setiap permainan itu ditadbir penuh oleh pembekal game tersebut.

    Menurutnya, mereka akan meletakkan pelayan di setiap rantau, contohnya Asia Tenggara, pelayan (game server) terletak di Singapura dan di situ hanya pemain dari rantau Asia Tenggara akan ‘berjumpa’ secara maya. Namun konfigurasi setiap game berbeza dan pemain untuk sesuatu game harus tahu tentang ini.

    Amir berkongsi kesan positif kepada pemain yang bermain secara betul. Antaranya memberi kemahiran kognitif, koordinasi tangan-mata. Pemain game mempunyai tindakan refleks yang bagus daripada permainan yang memerlukan sesuatu tindakan cepat dan tepat.

    Game ini juga memberi manfaat dari segi kemahiran berkomunikasi. Contohnya dalam permainan, memerlukan pergerakan sebagai satu pasukan, komunikasi memainkan peranan besar di mana mereka memerlukan untuk berkomunikasi dengan jelas dan ringkas bagi membuahkan pasukan mereka kemenangan.

    “Selain rakan-rakan yang dibina melalui rangkaian permainan, boleh menjadi rakan dalam dunia realiti. Menguatkan silaturahim dan tali persahabatan dengan mereka yang tidak dikenali,” kata Amir.

    Namun semua itu kata Amir, memerlukan pemain itu ada disiplin yang tinggi, nilai etika yang betul dan ilmu yang cukup apabila terlibat dengan game online ini.

    Mungkin tuah buat Amir yang mana hobinya suka bermain permainan video ini dilantik sebagai pro-gaming dalam sukan elektronik. Semua itu tidak mustahil berlaku kepada pemain video lain jika serius dalam sesuatu permainan.

    “Terdapat pertandingan secara kecil-kecilan atau besar-besaran di dalam komuniti anda, dan jika anda berani cubalah. Setiap pasukan eSport akan mencari prospek dalam pertandingan ini. Mungkin ini akan menjadi tanda permulaan karier eSport anda,” kata Amir yang menentang konsep taruhan dan judi.

    Sepanjang dirinya dalam arena eSport Malaysia, tiada unsur taruhan pernah muncul di depan matanya. Jika ada pun mereka akan diboikot oleh ‘gamer’ Malaysia.

    Perlu ada had masa bermain

    Bagi juruteknik Anon Sukphasin tidak merasakan permainan video mempengaruhi kerjanya. Ini kerana baginya sebagai orang dewasa seseorang itu harus tahu yang mana perkara penting menyumbang kepada kewangan dan hobi masa lapang.

    ANON

    ANON

    Dia yang mula bermain game semenjak usia 13 mengatakan game itu hanya untuk mengisi masa lapang dan hari minggu sahaja. Apabila bekerja Anon mempunyai prinsip tidak akan menyentuh permainan itu. Jika teringin untuk bermain pada hari bekerja dia akan main selepas waktu kerja.

    “Saya tidak pernah berhadapan dengan masalah kehadiran walau suka bermain game online ini. Saya memang ada kumpulan apabila bermain. Namun kumpulan itu hanya bermain untuk berseronok dan waktu untuk kami luangkan masa bersama.

    “Memang tidak dinafikan perbezaan zone apabila kita melibatkan pemain seluruh negara. Biasanya mereka bermain 24 jam dan mereka buat duit melalui permainan itu. Saya tidak terlibat dalam permainan sebegini.

    “Jika ada pun rasanya tidak ada masalah bagi pemain kerana pemain dari luar negara ini pun tahu masa kita. Mereka sudah tetapkan waktu dan pemain memilih masa yang sesuai dengan mereka jika mahu bermain,” kata Anon.

    Menurut Anon, pemain boleh buat duit melalui permainan online. Mereka akan menjual barang ‘rare’ atau ‘legend’ kepada pemain lain yang memerlukan barang itu untuk menambah kuasa permainan mereka.

    Harga barangan itu boleh mencecah ribuan ringgit untuk satu barang. Namun tidak semua permainan video ini boleh dijual antaranya seperti CS: Go dan Dota 2.

    Tidak dinafikan juga kata Anon, ada orang menggunakan permainan ini untuk berjudi. Namun nasihat Anon sebaiknya tidak dibuat. Ini kerana jika hal ini diketahui oleh pihak developer, pemain boleh ditutup akaunnya.

    Menurut Anon dia mula terjebak dalam permainan video ini daripada pengaruh rakan-rakannya. Sehingga sekarang Anon masih aktif bermain, antara permainan yang disukainya seperti Worked 3, Dota Allstar, yang sekarang ini telah menjadi Dota 2, dan Counter Strike Zero.

    Bagi Anon, dia masih boleh mengawal hobinya itu dan tidak akan obses dengan permainan online ini. Dia lebih suka bermain di kafe siber yang ada konsol dan selalunya akan habiskan masa selama enam jam. Jika di rumah dia menggunakan telefon bimbit.



    Sumber

  • 6 golongan pesakit kencing manis mudah mata rosak

    6 golongan pesakit kencing manis mudah mata rosak

    AWAS buat pesakit kencing manis.

    Retinopati Diabetik iaitu kerosakan pada retina mata boleh disebabkan oleh komplikasi penyakit diabetes.

    Ia terjadi akibat dinding salur darah yang lemah, menyebabkan berlaku kebocoran lemak dan penyumbatan kapilari.

    Gejala ini boleh menyebabkan penglihatan mata merosot dan seterusnya buta.

    Golongan berisiko:

    1. Semua pesakit diabetes yang mempunyai paras gula yang tidak terkawal (paras glycated hemoglobin Hb1Ac yang tinggi).

    2. Pesakit diabetes yang sedang hamil.

    3. Pesakit yang mempunyai paras tekanan darah tinggi dan kolesterol yang tidak terkawal.

    4. Pesakit yang didiagnos mengidap diabetes lebih dari lima tahun.

    5. Pesakit yang mempunyai paras hemoglobin yang rendah.

    6. Pesakit diabetes yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti.

    Sumber: FB Kementerian Kesihatan Malaysia



    Sumber

  • Jangan buruk sangka individu tidak bertarawih di masjid

    Jangan buruk sangka individu tidak bertarawih di masjid

    ANTARA hikmah terbesar diturunkan solat tarawih pada bulan mulia ini adalah untuk memberitahu tentang keistimewaan Ramadan, kata pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

    Beliau berkata, tarawih merupakan satu-satunya solat sunat yang datang setahun sekali pada bulan Ramadan.

    “Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga mahu memberikan keampunan kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang beriman (dalam bulan Ramadan).

    “Sesiapa yang mengerjakan tarawih, maka diampunkan dosa-dosanya bukan sekadar pada malam itu tetapi juga dosa-dosa terdahulu pun akan diampunkan,” katanya kepada Sinar Islam.

    Ujar beliau, dengan mengerjakan solat tarawih, ia sebenarnya menggalakkan umat Islam supaya bersatu padu pada malam bulan Ramadan.

    “Ramai yang akan ke masjid atau surau. Pelbagai orang yang datang sama ada orang kaya, miskin dan ada juga yang sakit turut datang bertarawih. Pada masa itulah kita akan kenal sesama kita. Kita tahu ada orang susah, sakit dan sebagainya.

    “Kita juga digalakkan untuk melakukan sedekah kerana disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW bahawa sedekah pada bulan Ramadan merupakan sebaik-baik sedekah,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ustaz Fauzi berpesan agar umat Islam tidak berburuk sangka dengan orang yang tidak melakukan solat tarawih di masjid kerana ia perbuatan dosa yang disebut di dalam al-Quran.

    “Barangkali ada orang solat di rumah atau solat di masjid lain. Ingatlah bahawa solat tarawih tidak wajib secara berjemaah, buat secara sendirian pun boleh, buat dengan keluarga juga boleh dan tak semestinya ditunaikan di masjid. Malah, tunaikanlah di pejabat, kilang atau pasar raya sekalipun,” katanya.

    DAI FUAD

    DAI FUAD

    Sementara itu, seorang lagi tokoh agama, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dai Fuad mengingatkan agar kita menjaga rukun dan syarat sah solat ketika mengerjakan solat tarawih.

    “Pastikan bacaan Surah al-Fatihah betul sebutannya dan lancar. Lagi satu, kena pastikan ada tamakninah,” jelasnya yang turut menegur masjid di Bandung, Indonesia yang melakukan solat tarawih 23 rakaat dalam masa tujuh minit.

    Hakikatnya, kata Dai Fuad, solat sebegitu pantas bukanlah menarik orang muda tetapi ia seolah-olah mempermainkan agama.

    “Saya dapati video tular yang memaparkan imam membaca surah al-Fatihah adalah tidak jelas. Bahaya kalau anak muda pandang begitu dan mereka akan fikir, tiada masalah sekiranya mereka membaca dalam nada begitu ketika solat.

    “Boleh buat daya penarik untuk anak muda solat tarawih tetapi jangan sampai ia melanggar syariat yang telah ditetapkan,” ujarnya.

    Dai Fuad turut mencadangkan cara anak muda untuk bertarawih secara berjemaah di masjid atau surau antaranya dengan mengetengahkan golongan itu ke hadapan jika mereka mampu untuk menjadi imam.

    “Selain itu, boleh juga wujudkan liga imam di mana kita mempelbagaikan imam yang boleh membaca seperti mana amalan orang Syria dan Mesir. Walaupun imam itu berbangsa Melayu, ia akan membuatkan golongan belia teruja,” katanya.



    Sumber

  • Jom kenali tabiat suami curang

    Jom kenali tabiat suami curang

    SUAMI anda yang dahulunya garang dan ego secara tiba-tiba berubah menjadi penyayang dan romantis. Secara tiba-tiba menunjukkan rasa ambil berat melampau terhadap anda.

    Awas! Ada sesuatu yang tidak kena. Kemungkinan dia cuba menyembunyikan sesuatu daripada anda.

    Ingat, kecurangan boleh berlaku tanpa anda sedari. Curang juga bukan satu kesilapan tetapi pilihan lelaki itu sendiri ya!

    Jom kenali tabiat suami curang:

    1) Menipu

    Kerjanya asyik menipu dan alasan yang diberikan tak masuk akal. Apabila isteri ajak keluar bersama, dia kerap mengelak dengan pelbagai alasan seperti ada mesyuarat dan perlu menghadiri program atau majlis rasmi.

    2) Marah tak tentu pasal

    Suami yang dahulunya seorang yang ‘cool’ secara tiba-tiba berubah menjadi pemarah. Ada sahaja perkara yang dibuat isteri tidak kena pada matanya. Lama-kelamaan hubungan anda dan si dia mula menjadi hambar.

    3) Bawa telefon bimbit ke mana-mana sahaja

    Nah, tabiat ini memang menyeramkan. Anda mungkin perasan suami kerap bawa telefon bimbit bersama termasuk ketika ke tandas. Bila waktu tidur pula, telefon itu disimpan bawah bantal atau berdekatan dengannya.

    4) Memasang kata laluan (password) pada telefon bimbit

    Tanpa disedari wujud kata laluan pada telefon bimbit suami. Dia langsung tidak membenarkan anda menyentuh telefonnya apatah lagi menjawab sebarang panggilan telefon. Awas, ada sesuatu yang tidak kena!

    5) Tidak menjawab panggilan dan mesej anda

    Berkali-kali anda hubunginya namun tiada jawapan. Mungkin suami anda sedang sibuk melayan teman wanita di pusat membeli-belah atau pusat karaoke.

    6) Kemesraan mula pudar

    Bila wujudnya syak wasangka, maka hubungan kalian mula jadi hambar. Rasa sayang dan cinta mulai hilang sedikit demi sedikit.

    7) Kerap kelihatan gelisah

    Jika anda bersama suami di rumah, dia kelihatan gelisah dan tidak senang duduk. Dia mungkin sedang mencari alasan untuk keluar bersama teman wanitanya.

    8) Selalu terlepas cakap atau tersasul

    Tabiat ini paling mudah dikesan sebenarnya. Jika suami anda tersasul memanggil nama anda ‘baby’ atau ‘sayang’ walhal dia menggelarkan anda ‘ibu’, maka berhati-hatilah. Ada insan lain sedang mengetuk pintu hatinya sekarang.

    9) Melayan telefon bimbit 24 jam

    Suami akan melayan telefon bimbitnya tanpa mempedulikan kehadiran anda dan anak-anak. Secara tiba-tiba dia akan tersenyum sendiri, itu petanda ada sesuatu yang tidak kena.

    10) Gemar mencari kesalahan anda

    Apa sahaja yang anda lakukan, ada sahaja yang tidak kena pada matanya. Dia akan membebel dan mula memarahi anda termasuk isu-isu kecil berkaitan anak dan bil-bil utiliti seperti elektrik dan air.

    11) Tidak melayan anda

    Sikapnya semakin dingin terhadap anda. Dulu suami kerap bertanyakan hal-hal di pejabat anda, kini dia banyak mendiamkan diri dan melayan telefon bimbitnya.

    12) Mengubah penampilan diri lebih menarik

    Dahulunya, suami gemuk dan penampilannya tidak terurus namun kini, berubah. Dia mula menjaga pemakanan dan pakaiannya sentiasa tampak kemas. Contohnya, dulu tak gemar pakai seluar jeans kini kerap mengenakan seluar itu dan mula memakai pakaian berjenama. Dia juga mula memakai minyak wangi, pelik bukan?

    13) Terlebih memberi perhatian kepada anda secara tiba-tiba

    Ya, tabiat ini apa kurangnya. Dia mula menunjukkan sikap mesranya dan penyayangnya terhadap isteri dan anak-anak. Dulu sikapnya ala kadar tetapi kini berubah.

    Perkara ini tidak dinafikan ya, lambat laun ‘deria magik isteri’ pasti dapat merasai perubahan sikap suami hingga dapat menghidu kecurangan pasangannya itu.

    #Nasihat Femina, selidik betul-betul hingga terbukti suami anda curang, barulah buat keputusan yang tepat untuk anda dan masa depan anak-anak.



    Sumber

  • Ini sebabnya mengapa lelaki asyik main game

    Ini sebabnya mengapa lelaki asyik main game

    Mungkin ada sebab mengapa seseorang itu terlalu asyik dengan game online ini. Sukar sekali untuk mereka stop apabila bermain game.Pandangan pakar mengenai kegilaan bermain game online mungkin menjawab persoalan obses game ini..

    Pensyarah Pembangunan Game, Management and Science University, Faizal Md Fadzil berkata, permainan video ini ada pro dan kontranya. Paling penting katanya, pembangunan daripada game ini telah membuatkan kerajaan memperkenalkan sukan elektronik atau e-Sport.

    Pensyarah Pembangunan Game, MSU, Faizal Md Fadzil

    Pensyarah Pembangunan Game, MSU, Faizal Md Fadzil

    E-Sport ini menjurus kepada sukan elektronik dan atletnya dalam kalangan mereka yang suka bermain game dalam skop yang lebih besar. Contohnya, pasukan Malaysia menang dalam pertandingan game Dota dan telah membawa pulang USD500,000 (RM2,041,368.43).

    Selain itu, kata Faizal, permainan video ini turut dijadikan wadah permainan untuk seseorang itu membuat duit sampingan.

    Mereka boleh menjual barangan rare dalam permainan kepada pemain yang lain di alam maya. Contohnya, barangan senjata yang mana pemain tidak mahu menjalani proses yang lama dalam permainan mereka, akan membeli untuk menambah kuasa permainan mereka. Harga barangan itu boleh menjadi tinggi bergantung kepada legend atau rare barang itu.

    Beliau juga berpendapat, permainan video ini juga dijadikan pilihan kepada mereka yang hendak lari daripada kehidupan sebenar.

    Di alam permainan video ini mereka boleh ada keluarga juga boleh setkan temu janji.

    “Mungkin kehidupan mereka sebenar teruk. Jadi, mereka tumpukan pada game yang boleh membahagiakan mereka. Ini mungkin salah satu sebab mereka tidak boleh berhenti dan hanya berehat sekejap bagi membolehkan mereka terus ‘hidup’ di alam maya,” kata Faizal yang menjelaskan bahawa game popular kini ialah Mobile Legends, 4J dan Dota. Pun demikian, katanya, game online boleh mendatangkan kesan negatif, namun ia bergantung kepada diri seseorang pemain itu.

    Gambar hiasan

    Gambar hiasan

    “Mereka perlu mengawal diri untuk tidak terlibat dengan unsur keganasan yang terdapat dalam permainan itu. Pemain juga perlu menghindarkan diri membeli game yang dirasakan memberi unsur negatif kepada diri.

    “Setiap pemain yang ingin terlibat dalam permainan video ini harus tahu had kehidupan mereka. Mereka harus bijak mengurus masa dengan baik jika mahu terlibat dalam game online ini,” ujar beliau.



    Sumber

  • Bahaya gosok mata terlalu kuat

    KETIKA penat, mengantuk atau gatal, secara tak sedar anda mungkin akan terus menggosok mata dengan tangan. Kebiasaan ini, meski membuat mata terasa lebih selesa, ternyata bukanlah hal yang baik.

    Menggosok dapat merangsang produksi air mata yang dapat membantu melembapkan mata kering dan menghilangkan partikel yang mengganggu.

    Ini juga dapat merangsang refleks oculocardiac, di mana tekanan pada bola mata menyebabkan perlambatan denyut jantung dan mengarah ke perasaan pengurangan stres.

    Itulah sebabnya mengapa anda cenderung merasa lebih baik segera setelah menggosok mata.

    Namun, menggosok terlalu kuat dan kerap boleh merosakkan mata anda dan struktur di sekitarnya. Jika ada debu, bulu mata atau partikel asing di permukaan mata anda, ia akan menyebabkan goresan pada kornea.

    Kornea yang tergores boleh terasa sakit, seperti ada sesuatu yang menempel di mata yang tidak dapat keluar, seringkali membuat mata berair, merah dan peka terhadap cahaya.

    Menggosok mata terlalu kuat juga boleh menjejaskan pembuluh darah di bahagian putih mata anda, membuatkannya kelihatan merah. Kulit di sekitar mata juga akan lebih gelap.

    Pada tahap yang lebih dalam, pesakit yang memiliki predisposisi, menggosok mata gatal yang berlebihan boleh menyebabkan penipisan dan perubahan bentuk kornea yang progresif atau dikenal sebagai keratoconus.

    Keratoconus secara signifikan mengurangi penglihatan. Jika itu terjadi, anda mungkin perlu pembedahan untuk memperbaikinya.

    Oleh sebab itu, hindari menggosok mata terlalu kuat lebih-lebih lagi jika Anda memakai lensa kontak atau telah menjalani operasi lasik.

    Mereka yang telah menjalani operasi lasik berisiko lebih tinggi terkena infeksi dari menggosok mata kerana prosedur lasik yang membuat flap di lapisan luar kornea boleh tergores dan menyebabkan komplikasi hingga kornea tercedera.

    Apabila mata gatal atau penat, cubalah titiskan ubat mata. Kurangi stres dengan teknik pernafasan untuk menenangkan diri, bukan menggosok-gosok mata.

    Sumber: https://www.medcom.id



    Sumber

  • Hukum puasa apabila mandi wajib selepas azan Subuh

    Hukum puasa apabila mandi wajib selepas azan Subuh

    BAGI mereka yang berhadas besar, perlu mandi wajib untuk berpuasa, apatah lagi jika mahu menunaikan solat.

    Namun, bagaimana jika seseorang itu mandi wajib selepas azan Subuh? Sah ke puasanya?

    Dalam hal itu, mandi hadas (mandi wajib) perlu disegerakan kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah melambat-lambatkan mandi wajib sehingga terlepas waktu solat.

    Walaupun demikian, puasa seseorang yang mandi hadas besar selepas waktu Subuh ialah sah.

    Namun, jika individu sengaja melambat-lambatkan sehingga luput waktu solat subuh, maka dia berdosa.

    Ada dua kesalahan yang dilakukan iaitu sengaja melambatkan mandi hadas dan tidak solat subuh.

    Pada asasnya, mandi hadas tidak termasuk dalam syarat sah puasa.

    Syarat sah puasa ialah Islam, baligh, suci daripada haid dan nifas serta dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.

    Bagi wanita yang datang haid atau nifas, maka tidak sah puasa mereka pada hari datangnya haid atau nifas.

    Sekiranya haid atau nifas datang pada waktu siang hari, maka batallah puasanya pada hari itu.

    Jika wanita itu bersih daripada haid atau nifas pada waktu malam, wajib ke atasnya berpuasa keesokannya, sekalipun dia belum sempat mandi hadas (mandi wajib).

    Kesimpulannya, sah puasa walaupun mandi wajib dilakukan selepas waktu subuh.

    Meskipun, sah puasa kita, janganlah kita memandang remeh hal itu kerana ia berkaitan soal ibadah kita.

    (Sumber: Portal Rasmi Kemusykilan Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)



    Sumber

  • Toyo Proxex TR1 kini di Malayisa

    Toyo Proxex TR1 kini di Malayisa

    TOYO Tyre melancarkan tayar Toyo Proxes TR1 untuk pasaran Malaysia secara rasmi baru-baru ini.

    Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales And Marketing Malaysia Sdn Bhd, Tan Song Chye berkata, Proxes TR1 adalah versi terbaharu daripada siri tayar prestasi Sporty Ultra yang disasarkan untuk menyampaikan pengalaman menyeronokkan bagi peminat permotoran dan pemilik kereta sedan sports.

    Proxes TR1 merupakan versi terkini dalam siri tayar prestasi Ultra Sporty Toyo yang direka khusus bagi mereka yang mahukan pengalaman pemanduan menarik, sama ada di litar lumba mahupun jalan raya biasa.

    “Di Malaysia, tayar-tayar ini boleh didapati dalam 24 saiz, merangkumi 15 hingga 19 inci diameter rim dengan harga pasaran antara RM199 hingga RM800 seunit, bergantung kepada saiz tayar,” katanya.

    Binaan tayar ini terdiri daripada tiga ciri iaitu lapisan atas yang bergulung bagi menyokong kestabilan ketika pengendalian permukaan basah dan kering. Lapisan keluli berketegaran tinggi pula untuk meningkatkan pengendalian dan kestabilan arah.

    Sementara lapisan terakhir bahan manik berkepadatan tinggi bagi memberikan tindak balas linear lebih baik dan tahan lama.

    Menurut Song Chye lagi, bersempena dengan pelancaran Proxes TR1, pengguna akan dihadiahkan sebuah beg Targus bernilai RM109 dengan setiap pembelian satu set tayar Proxes TR1 (empat biji tayar) sepanjang Mei ini sementara stok masih ada. Toyo Tires di Malaysia diniagakan di bawah nama Toyo Tyre Sales And Marketing Malaysia Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kepada Toyo Tire Corporation Jepun.



    Sumber

  • Hajarose tawan hati wanita Malaysia

    Hajarose tawan hati wanita Malaysia

    SANGGUP meninggalkan kerjaya hebat di sebuah bank terkenal demi mengejar cita-cita menjadi usahawan. Itu nekad seorang wanita penuh karisma, Hajar Roslin Mohamad, 55, atau mesra disapa Hajar.

    Meskipun Hajar mengetahui bahawa dunia perniagaan diselimuti dengan pancaroba yang bukan biasa-biasa, beliau tidak gentar malah bersedia demi mengukuhkan empayar bisnesnya iaitu Hajarose.

    Jenama kecantikan Hajarose cukup bermakna buat wanita itu. Ketika ditemui Femina baru-baru ini, Hajar galak menceritakan tentang produk-produk khas yang diciptanya sesuai untuk digunakan untuk kaum Hawa di negara ini.

    “Hajarose bermula dengan produk penjagaan rambut dan saya sedang mengorak langkah dengan lebih luas dengan memperkenalkan tudung di bawah jenama sama,” katanya yang gembira apabila jenama itu semakin menawan hati wanita Malaysia.

    Ibu kepada lima anak itu berkata, besar harapannya untuk melihat Hajarose menjadi jenama yang terus kukuh dan setanding dengan label kecantikan yang lain.

    Ikuti intipati wawancara eksklusif Femina bersama wanita korporat penuh iltizam itu baru-baru ini.

    1) Melihat kepada latar belakang puan bukan calang-calang. Puan pernah juga berkhidmat sebagai pengurus dan penganalisis kewangan. Apakah faktor yang menyebabkan puan membuat keputusan meninggalkan lombong emas itu demi menceburkan diri dalam bidang perniagaan?

    Benar, saya mempunyai pengalaman menguruskan bank dan pernah bertugas dengan beberapa syarikat gergasi lain. Jika dibandingkan dengan ahli perniagaan lain, saya agak ketinggalan kerana mula membabitkan diri dalam dunia baharu ini ketika usia sudah menginjak 40 tahun. Saya bulatkan tekad untuk berhenti makan gaji kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan. Tambahan lagi, keluarga suami kebanyakannya terlibat dalam perniagaan. Ia telah menyuntik inspirasi kepada saya untuk turut berjaya.

    Alhamdulillah, suami sentiasa memberi sokongan agar saya memulakan perniagaan selepas melihat masa saya banyak dihabiskan di pejabat sehinggakan masa saya terhad untuknya dan anak-anak. Sebagai langkah awal, saya memulakan operasi salun rambut selepas idea itu dicadangkan oleh anak-anak saya sendiri. Kebetulan saya juga minat dengan pengurusan dan rawatan rambut. Saya nampak perniagaan itu kurang dimonopoli oleh bumiputera, jadi, ia menjadi pemangkin kepada saya bersaing dengan bangsa lain dalam industri ini.

    2) Setiap kewujudan produk di pasaran mempunyai sejarahnya tersendiri. Bagaimana pula dengan historiografi Hajarose yang mengambil inspirasi daripada nama puan itu?

    Idea menghasilkan produk ini timbul ketika saya menguruskan dua salon rambut di pusat beli-belah Bangsar Village dan Hartamas, Kuala Lumpur. Kebanyakan pelanggan saya ialah wanita. Ketika melakukan rawatan rambut terhadap wanita yang bertudung, saya dapati ramai dalam kalangan mereka mempunyai masalah rambut dan kulit kepala. Bermula dari saat itu, saya tergerak untuk menghasilkan produk yang boleh membantu golongan berkenaan.

    Produk ini amat mengekalkan kualiti yang sebenar dan bersifat profesional setaraf dengan pasaran antarabangsa. Maka dari situ, saya formulasikan produk jenama Hajarose. Pelanggan tetap dan saudara-mara menjadi tempat saya membuat testimoni untuk melihat sejauhmana tahap keberkesanannya. Hampir dua tahun juga saya lakukan uji kaji. Selepas melihat maklum balas positif, barulah saya ada keyakinan untuk memasarkan produk itu secara meluas kepada umum.

    3) Nampaknya, produk Hajarose semakin dikenali dalam kalangan pengguna di Malaysia. Boleh puan ceritakan apakah produk-produk yang dicipta di bawah jenama Hajarose?

    Hajarose sebenarnya sudah bertapak kira-kira dua tahun di Malaysia iaitu bermula pada November 2016. Di sebalik jenama ini, kita memberi tumpuan kepada produk penjagaan rambut umpamanya syampu, perapi, serum dan hair mist (pewangi rambut). Nama-nama syampu diambil bersempena dengan bunga-bunga tempatan. Bagi pewangi rambut pula, terdapat tiga haruman yang diekstrak daripada bunga-bungaan segar iaitu teratai, mawar dan juga melur. Kenapa kami hasilkan produk ini? Sudah menjadi matlamat kami mahu membantu mereka yang mempunyai masalah rambut seperti keguguran dan gatal-gatal pada kulit kepala.

    Baru-baru ini, Hajarose telah memperkenalkan Miracle Detangler; khas untuk kanak-kanak yang mengalami masalah rambut kusut. Melalui penggunaan detangler itu, rambut yang kusut insya-ALLAH dapat diuraikan. Jika tiada aral melintang, sebelum raya, syampu untuk kanak-kanak pula akan memasuki pasaran.Produk kami berprinsipkan 100 peratus halal dan telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia juga berkualiti dan semua golongan boleh menggunakannya tanpa was-was.

    4) Produk yang bagus biasanya dihasilkan daripada bahan-bahan yang terbaik. Bagaimana pula dengan Hajarose?

    Ingin saya tegaskan bahawa produk keluaran kami adalah 100 peratus buatan tempatan. Walaupun Hajarose bukan organik namun kandungan kimianya sangat rendah. Sebenarnya, bahan kimia sangat penting bagi membolehkan produk bertahan lama dan tidak mudah rosak. Namun penggunaannya, sangat minimum. Pun begitu, bahan-bahan yang digunakan masih semula jadi dan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Saya menggunakan campuran habbatus sauda dan 11 jenis herba semula jadi yang lain.

    Semua bahan itu berfungsi untuk menyihatkan kulit kepala dan menggalakkan pertumbuhan rambut baharu. Berkenaan pewangi rambut pula, produk yang dihasilkan berbeza dengan produk yang berada di pasaran. Kebanyakannya tidak asli kerana banyak campuran air dan pewangi. Hajarose cukup berbeza kerana pewangi rambut kami mengandungi vitamin B dan E. Apabila diaplikasikan, rambut bukan sahaja harum bahkan dapat melindungi bau hapak. Vitamin B yang ada dalam produk pewangi rambut pula berperanan untuk melembabkan rambut manakala vitamin E mengandungi antioksida yang berfungsi untuk melindungi rambut daripada kekotoran, kering, cahaya dan bau hapak tadi.

    Produk penjagaan dan kecantikan rambut Hajarose.

    Produk penjagaan dan kecantikan rambut Hajarose.

    Hajar bersama produk serum yang mendapat sambutan memberangsangkan.

    Hajar bersama produk serum yang mendapat sambutan memberangsangkan.

    5) Boleh puan kongsikan bagaimana cara penggunaan yang berkesan untuk memakai kesemua produk Hajarose ini?

    Pertama sekali, untuk mereka yang ingin mencuci rambut, perlu gunakan syampu Hajarose, kemudian disusuli dengan perapi. Kedua-duanya berfungsi untuk membersihkan rambut dan membuang segala kekotoran yang melekat pada akar rambut. Untuk keberkesanan yang jitu, aplikasikan serum Hajarose pada kulit kepala. Serum berperanan untuk menjaga rambut yang sedia ada serta mengawal pertumbuhan rambut baharu yang lebih baik. Serum berbeza dengan tonik rambut, ia tidak berminyak. Hanya titiskan pada bahagian kepala dan biarkan ia meresap sendiri, tidak perlu urut.

    Bagi pewangi rambut Hajarose pula, ia boleh dipakai setiap hari selepas mengambil serum. Caranya cukup mudah, hanya semburkan ia pada bahagian rambut. Ia langsung tidak berminyak. Di sini saya mahu berkongsi, mana-mana wanita bertudung khususnya yang tiada masa untuk mencuci rambut, anda boleh menggunakan pewangi itu untuk melindungi rambut daripada cuaca panas dan bau yang kurang menyenangkan. Sebenarnya, memakai tudung dalam keadaan rambut yang basah adalah amalan yang tidak sihat. Rambut seharusnya dikeringkan dahulu sebelum memakai tudung.

    6) Setiap produk ada kelebihan masing-masing, jadi apa kelebihan produk Hajarose berbanding dengan produk-produk lain di pasaran?

    Sebagai produk yang mahu membantu pengguna, saya sangat mementingkan kualiti dan penggunaan bahan-bahannya agar ia bertindak balas dengan baik. Berkenaan dengan harga pula, ia sangat mampu milik. Sebelum produk saya dikeluarkan, saya berharap agar Hajarose mampu dibeli oleh setiap lapisan masyarakat. Harganya bermula RM39 hingga RM70. Setiap produk ada kelompok penggunanya begitu juga dengan Hajarose. Pada asalnya, produk ini memberi tumpuan kepada wanita bertudung, namun, selepas melihat maklum balas yang diterima, wanita yang tidak bertudung juga menggunakan produk kami.

    7) Setiap cabang perniagaan tidak dinafikan mempunyai cabaran dan halangannya yang tersendiri. Bagaimana pula dengan cabaran dalam perniagaan salon dan produk Hajarose?

    Ya, saya akui cabarannya sangat besar. Pada awal perniagaan salun di Bangsar Village, memang banyak dugaan dan rintangan yang perlu dihadapi sebelum saya berjaya membuka cawangan kedua di Hartamas. Masa saya banyak dihabiskan di salun bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam. Selepas dua tahun, barulah perniagaan mula berjalan lancar. Namun, saya lihat bisnes salun ini sangat terhad untuk terus berkembang. Lantaran itu, wujudnya idea untuk mengembangkan perniagaan dengan menghasilkan produk Hajarose. Saya akui perniagaan produk juga berhadapan kekangan apabila terpaksa bersaing dengan lambakan produk lain di pasaran termasuk farmasi.

    Bukan sahaja produk tempatan, malah produk import yang sudah kukuh di pasaran juga nyata memberi persaingan sengit. Proses syarikat untuk memperkenalkan jenama kepada umum juga mengambil masa yang lama. Bukan senang, banyak risiko saya hadapi. Dalam tempoh setahun, banyak sangat ujian. Namun, selepas itu, alhamdulillah, jenama Hajarose semakin dikenali. Disebabkan itu, jika ada mana-mana acara di Malaysia termasuk di Singapura, Brunei dan Dubai, Hajarose akan mengambil bahagian. Bagi tujuan bersaing dengan produk-produk yang sudah kukuh dan dikenali, kami menggunakan teknologi yang bermutu tinggi agar keberkesanan penggunaannya terserlah.

    8) Selain produk penjagaan rambut, difahamkan puan mahu memperkenalkan tudung di bawah jenama yang sama. Bagaimana jenis tudung yang akan menjadi identiti Hajarose itu?

    Sebenarnya berkenaan tudung, kami telah keluarkan ia pada Mac lalu. Kesemua nama tudung itu diberi bersempena dengan nama-nama bunga tempatan sepertimana produk penjagaan rambut. Saya memang pencinta bunga sejak kecil. Bagi saya bunga sangat cantik dan memberikan sejuta inspirasi buat saya yang turut cintakan kehijauan dan alam sekitar. Sejumlah tujuh corak bunga telah dikeluarkan dimulai dengan mawar, melati, kemboja, kenanga, melur, kamelia dan teratai. Saya masih mengekalkan fesyen bawal dengan materialnya jenis satin yang mudah dibentuk.

    9) Akhir bicara, apa harapan puan terhadap jenama Hajarose milik puan?

    Saya berharap Hajarose terkenal sebagai jenama yang kukuh di negara ini. Selepas produk penjagaan rambut, mungkin saya akan keluarkan produk penjagaan kulit, alat solekan dan juga produk khas untuk lelaki pada masa akan datang. Saya yakin jika pelanggan percaya kepada jenama Hajarose, Insya-ALLAH mereka akan terima setiap produk yang dikeluarkan di bawah label sama. Misi saya mahu melihat jenama Hajarose kukuh dan dapat bersaing secara sihat dengan jenama lain.

    Warna biru memberi ilustrasi muda dan berani.

    Warna biru memberi ilustrasi muda dan berani.

    Paduan warna oren dan hitam menyerlahkan gaya si pemakai.

    Paduan warna oren dan hitam menyerlahkan gaya si pemakai.

    Koleksi tudung dahlia.

    Koleksi tudung dahlia.

    Koleksi tudung kamelia

    Koleksi tudung kamelia

    ANEKDOT

    Nama penuh: Hajar Roslin Mohamad atau Hajar

    Umur: 55 tahun

    Asal: Ipoh, Perak

    Latar belakang pendidikan:

    1) Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Ohio, Amerika Syarikat

    2) Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kewangan, Universiti Indiana Bloomington, Amerika Syarikat

    Suami: Wan Ahmad Satria Wan Hussein, 56

    Jumlah anak:

    Lima orang

    1) Wan Noor Daneah (27 tahun)

    2) Wan Asyraf (25 tahun)

    3) Wan Camelia (17 tahun)

    4) Wan Armand (12 tahun)

    5) Wan Nadia (11 tahun)

    Pengalaman kerja:

    – Pernah berkhidmat sebagai pengurus di Hong Kong Bank

    – Pernah bertugas sebagai pegawai kanan dengan Petronas

    – Mantan Penganalisis Kewangan, AIA

    Kerjaya sekarang:

    – Pengasas produk dan tudung Hajarose

    – Pemilik salon rambut Kool Kutz Inc di Bangsar Village dan Hartamas



    Sumber

  • Pengasas cosmetik lelaki berjaya meletakkan jenama Anas Cosmetic di 33 outlet Sasa Malaysia dan Fashion Valet.

    Pengasas cosmetik lelaki berjaya meletakkan jenama Anas Cosmetic di 33 outlet Sasa Malaysia dan Fashion Valet.

    MEMAHAMI bahawa golongan wanita di negara ini yang sentiasa mahu tampil menawan, seorang jejaka iaitu Mohamad Anas Zahrin Atan atau Anas telah mencipta produk kecantikan yang dinamakan Anas Cosmetic.

    Beliau yang bertindak sebagai Pengarah Urusan dan Pengasas Anas Cosmetics telah mengeluarkan produk baharu iaitu Ultra Madness Super Volume Mascara dan Concealers.

    Secara keseluruhannya, terdapat 20 jenis produk termasuk gincu, pembayang mata, maskara, penutup cela, pemerah pipi dan bedak asas.

    Antara produk Anas Cosmetic

    Antara produk Anas Cosmetic

    Walaupun baru setahun jagung dalam dunia kosmetik, lelaki ini berbangga apabila produknya boleh didapati 33 outlet Sasa Malaysia dan di Fashion Valet.

    Percaya atau tidak, Anas Cosmetic sudah menjengah pasaran antarabangsa apabila peruncit kosmetik terkemuka Hong Kong telah membeli produk Anas. Kini jenama Anas Cosmetics diletakkan sebaris dengan jenama premium lain.

    Susulan itu, lelaki itu meraikan kejayaannya dalam satu program khas di Flora Terrace, Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu.

    Pada majlis itu juga, Ayda Jebat diumumkan sebagai duta baharu Anas selain Rozita Che Wan sebagai duta maskara. Selain itu, penyampai berita TV9, Hawa Rizwana dan model muslimah, Intan Liana sebagai wajah penghias Anas Cosmetic.

    Ujarnya, pelantikan beberapa wajah baharu ini adalah simbolik dalam meraikan dan memperjuangkan hak wanita yang berani, bebas, moden dan indah.

    “Kerjasama ini diharapkan dapat memperluaskan dan menemui para pengguna baharu jenama ini,” katanya.

    Permulaan Anas Cosmetic

    Kejayaan yang dikecapi oleh Anas ini bertitik tolak kesungguhan dirinya yang mahu mengubah nasib keluarga yang dibesarkan sebagai anak petani. Zaman kanak-kanaknya membesar dalam suasana serba kekurangan. Dengan adik beradik yang ramai memerlukan dia berusaha mengejar impian dirinya.

    “Minat suka berniaga sememangnya sudah diterap daripada kecil. Bapa mengajar kami untuk tidak malu mencari duit sendiri dengan berniaga. Masa itu dapat upah RM2 sehari pun saya sudah gembira.”cerita Anas menyatakan duit upah itu begitu bernilai buat dirinya.

    Sejak itu Anas nekad mengubah kehidupan keluarga dengan menimba ilmu sebanyak mungkin.

    Mengimbau detik awal, tamat persekolahan, beliau terus mengorak langkah menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi dengan mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan dan seterusnya Sarjana Muda Pengajian Pemasaran di Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) dan selepas itu, menimba ilmu “Short Course” di London Fashion School selama tiga bulan pada 2013, dengan tajaan sendiri

    Ayda Jebat diumumkan sebagai duta baharu Anas

    Ayda Jebat diumumkan sebagai duta baharu Anas

    Jangan tidak tahu Anas ini turut mempunyai bakat fotografi. Bakat ini telah digunakan oleh dirinya semasa berada di universiti untuk membuat duit poket dengan mengambil upah merakamkan potret menarik.

    Dia dikenali sebagai Annas Easkey telah menggunakan kamera yang dipinjam dan telah membuat duit poket sehingga mencecah RM4,000 ke RM5,000.Tamat pelajaran Anas telah membuka studio dan banyak berkolaborasi dengan rakan-rakan artis di samping aktif di media sosial.

    Kenalan artis popular dan rakan media massa ini membantu Anas mendaki cita-cita dirinya melebarkan sayap dalam bidang kosmetik.

    Kejayaan yang ditempa kini menunjukkan tidak mustahil untuk seorang lelaki berjaya dalam bidang yang dimonopoli oleh wanita. Bak kata perpatah Melayu ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.



    Sumber