Blog

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini, disokong oleh minat belian susulan pengumuman pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai dasar monetari, kata peniaga.

    Pada jam 9 pagi ini, ringgit disebut harga pada 4.2350/2410 berbanding dolar AS daripada paras 4.2485/2555 yang dicatatkan pada penutupan dagangan, semalam.

    Dalam nota penyelidikannya, AmBank Reseach berkata, dolar AS susut sebanyak 0.38 peratus yang menandakan penurunannya dalam masa tiga bulan selepas pihak Fed bertindak mengekalkan kadar faedahnya pada 0.25 peratus seperti yang dijangkakan.

    “Pihak Fed juga berikrar untuk mengekalkan kadar tersebut pada paras semasa dan meneruskan program pembelian aset sehingga ekonomi pulih daripada impak penularan Covid-19,” katanya.

    Pada masa sama, firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara 4.2237 hingga 4.2364 manakala paras rintangan pada 4.2706 hingga 4.2804.

    “Tumpuan utama hari ini termasuk indeks harga pengeluar AS bagi Mei dan kadar pengangguran manala di Malaysia membabitkan indeks pengeluaran pembuatan untuk April,” katanya.

    Pada pembukaan dagangan hari ini, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen yang menyaksikannya susut kepada 3.9568/9636 daripada 3.9565/9641 pada Rabu.

    Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0631/0690 daripada 3.0662/0723 semalam, meningkat berbanding euro pada 4.8220/8305 daripada 4.8259/8342 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3935/4035 daripada 5.4177/4275. – Bernama



    Sumber

  • MARii, FVC jalin kerjasama bantu PKS dapatkan dana

    MARii, FVC jalin kerjasama bantu PKS dapatkan dana

    CYBERJAYA- Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat yang baharu memulakan operasi bakal menarik nafas lega apabila Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Ficus Venture Capital (FVC) menjalinkan kerjasama untuk membantu industri mendapatkan dana.

    Kerjasama antara MARii dan FVC yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU).

    Ketua Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari dalam kenyataannya berkata, MoU itu menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama erat dalam pengembangan rangkaian usaha pembiayaan untuk perniagaan.

    “Ia adalah berkaitan dengan teknologi dan mewujudkan akses pasaran lebih besar untuk syarikat teknologi tempatan,” katanya.

    Menurutnya, kerjasama itu juga menyediakan kepimpinan pemikiran dan panduan untuk PKS selain pengembangan teknologi dan pembiayaan pengkomersialan harta intelek.

    “Bagi pengembang kemampuan perniagaan, objektif adalah meletakkan PKS pada kedudukan yang kukuh sehingga mereka dapat bersinar apabila tiba waktunya sekaligus dapat meningkatkan dana,” katanya.

    Beliau berkata, pada ketika persaingan untuk mendapatkan dana semakin sengit dari hari ke hari, MoU tersebut melengkapkan ekosistem untuk kerangka pengembangan perniagaan yang komprehensif.

    “Ini melengkapi program pengembangan kapasiti sebagai senjata MARii dengan meningkatkan akses bagi perniagaan untuk mengumpulkan dana dalam usaha memastikan skalabiliti,” katanya.

    Sementara itu, Rakan Urusan, Ficus Venture Capital, Baiza BAin berkata, menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan mengenal pasti syarikat teknologi yang berpotensi untuk dipertimbangkan untuk pembiayaan modal teroka sama ada secara langsung oleh pihaknya atau oleh rakan pembiayaan lain.

    Katanya, komitmen awal RM30 juta telah dijamin untuk inisiatif itu daripada pelbagai pihak pelaburan.

    “Kerjasama ini sangat penting bagi kami kerana selain mendapatkan rakan kongsi untuk pembiayaan modal teroka, tetapi juga rakan kongsi organisasi yang sangat berwibawa yang memiliki pengetahuan mutakhir dalam bidang teknologi,” katanya.



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT meneruskan momentum kenaikan pada Jumaat lepas untuk diniagakan tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal hari ini didorong minat belian baharu.

    Pada 9.08 pagi, ringgit berada pada 4.2400/2500 berbanding dolar AS daripada 4.2640/2700 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata, pasaran memberi respons positif terhadap pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

    “Mata wang tempatan dijangka mencatatkan prestasi baik dalam beberapa sesi minggu ini.

    “Susulan sentimen risiko semakin baik, turun naik ketara pasaran ekuiti dan mata wang kian berkurangan, pelabur yang memburu hasil akan memastikan semua ini seiring dengan dagangan di seluruh rantau ini, dengan itu ringgit boleh terus mencatatkan pergerakan meningkat dalam konteks sentimen bertambah baik terhadap mata wang serantau,” katanya.

    Ringgit juga meningkat semula memandangkan harga minyak mentah naik melebihi paras AS$40 setong disokong oleh keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan lain-lain termasuk Rusia (OPEC+) untuk meneruskan pengurangan pengeluaran.

    Ketika ini, penanda aras minyak mentah antarabangsa, Brent berada pada AS$41.34 setong.

    Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0523/0606 daripada 3.0604/0658 ketika ditutup pada Jumaat lepas dan naik berbanding euro kepada 4.7895/8025 daripada 4.8328/8409.

    Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 3.9234/9334 daripada 3.9019/9085 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3954/4098 daripada 5.3859/3947. – Bernama



    Sumber

  • Rehda sambut baik insentif untuk industri hartanah

    Rehda sambut baik insentif untuk industri hartanah

    SHAH ALAM – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyambut baik Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

    Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, langkah itu menunjukkan komitmen Kerajaan untuk melindungi perniagaan dan individu dari semua status sosioekonomi.

    “Kami percaya bahawa langkah-langkah ini akan memainkan peranan penting dalam mereformasi kedudukan ekonomi semua industri dengan mendorong penggunaan dan perbelanjaan, dan pada masa yang sama meningkatkan pekerjaan.

    “Rehda mengalu-alukan insentif yang diberikan kepada industri dan berbesar hati atas pengumuman yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, insiatif bagi industri terdiri daripada pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berkuat kuasa dari 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021;

    Selain itu, turut diberikan pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) berkuat kuasa dari 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021; dan penghapusan had pinjaman kepada nilai hartanah ( LTV) untuk unit kediaman berharga dari RM600,000 dan ke atas dalam tempoh HOC.

    “Kami yakin bahawa insentif ini akan membantu meringankan beban pembeli dalam pemilikan rumah dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.



    Sumber

  • Karangkraf serah 400 al-Quran wakaf

    Karangkraf serah 400 al-Quran wakaf

    BACHOK – Kumpulan Karangkraf dengan kerjasama Sinar Harian, Yayasan Nur Karangkraf, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia dan rakyat negara ini meneruskan usaha untuk menjayakan impian setiap rumah memiliki al-Quran menerusi misi Senaskah Al-Quran Setulus Kasih.

    Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, misi tersebut membawa harapan besar untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan yang membawa kepada keharmonian sejagat.

    Menurutnya, selain mengajak pelbagai pihak termasuk orang ramai menderma atau mewakafkan al-Quran, beliau juga mengharapkan dengan inisiatif dijalankan secara bersama itu membolehkan setiap kediaman mempunyai al-Quran untuk dimanfaatkan.

    “Dunia semasa hari ini kita lihat terdapat pelbagai pertelingkahan berlaku, yang kadang-kadang dilihat melampaui batasan sehingga ‘mengherdik’ normal kehidupan seharian.

    “Apabila setiap rumah mahupun agensi-agensi memiliki al-Quran, al-Quran itu dibaca, dihayati dan diamalkan ia boleh dijadikan sebagai rawatan untuk jiwa masing-masing dan seterusnya melahirkan seorang Islam yang sejati dalam masyarakat majmuk.

    “Kembalilah kepada al-Quran, bacalah al-Quran, bertadabur dan amalkan kebaikan yang diajar di dalam al-Quran supaya masyarakat dunia Islam kita hari ini disirami dengan nilai-nilai yang murni untuk kesejahteraan seluruh umat,” katanya di sini kelmarin.

    Terdahulu, beliau menyerahkan 400 naskhah al-Quran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf, Cakna Bachok Peringkat DUN Pantai Irama di Dewan Tok Bachok Masjid Mahmudi.

    Muhammad Nasir juga memberitahu, selain diberikan kepada masjid, al-Quran yang diwakafkan itu juga diagihkan kepada agensi dan juga barisan petugas hadapan yang berkhidmat memerangi wabak koronavirus di seluruh negara.

    Katanya, program tersebut diteruskan dari masa ke masa memandangkan terdapat pelbagai pihak tampil menyokong usaha dilakukan selain menerima sumbangan orang ramai untuk mewakafkan al-Quran.

    Sementara itu, menyokong usaha dijalankan tersebut, Mohd Huzaimy berkata, al-Quran yang dihulurkan itu akan diagihkan kepada pejabat kerajaan di sekitarnya selain didermakan kepada rumah anak-anak yatim.

    “Kita menyokong inisiatif yang digerakkan Kumpulan Karangkraf dan Sinar Harian ini dalam membentuk masyarakat yang dekat dengan al-Quran kerana ia selari dengan apa dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

    “Dalam kehidupan seharian kita, ia tidak boleh lari daripada menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup,” katanya.

    Beliau mengharapkan al-Quran yang diwakafkan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima supaya semua yang terlibat mendapat rahmatnya.

    “Terima kasih kepada semua yang mewakafkan al-Quran ini dan saya mendoakan supaya setiap insan ini menerima kebaikannya dan lebih ramai yang akan menderma,” katanya.



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi

    Bursa Malaysia dibuka tinggi

    BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik dan keyakinan dalam kalangan pedagang mengenai Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan dilancarkan pada bulan ini, kata peniaga.

    Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.77 mata kepada 1,516.46 daripada 1,507.69 semasa ditutup pada Selasa.

    Indeks dibuka tinggi 7.99 mata kepada 1,515.68.

    Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 359 berbanding 135, manakala 247 kaunter tidak berubah, 1,127 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 685.33 juta unit bernilai RM332.06 juta.

    Dalam nota, Public Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI melonjak lebih tinggi selepas Dow ditutup positif untuk hari kedua berturut-turut, berikutan pelabur memberi perhatian mereka kepada prospek mengenai aktiviti perniagaan sepenuhnya susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Dow Jones Industrial Average meningkat 1.1 peratus, untuk ditutup kepada 25,742.65 manakala indeks S&P 500 naik 0.8 peratus, ditutup kepada 3,080.82.

    Prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik turut mendorong pasaran serantau lain untuk diniagakan lebih tinggi.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga dan Public Bank, masing-masing meningkat enam sen kepada RM11.96 dan RM14.64, manakala Petronas Chemicals naik 14 sen kepada RM6.32.

    Daripada saham wajaran tinggi, Maybank naik sembilan sen kepada RM7.60, Tenaga meningkat enam sen kepada RM12.06, Public Bank menambah 14 sen kepada RM15.78, Petronas Chemicals menokok 10 sen kepada RM6.32 dan IHH Healthcare naik satu sen kepada RM5.52.

    Indeks FBM Emas meningkat 60.63 mata kepada 10,710.24, Indeks FBMT 100 menambah 55.1 mata kepada 10,555.98, Indeks FBM Emas Shariah menokok 26.64 mata kepada 12,231.42, FBM 70 naik 44.82 mata kepada 13,263.36 manakala FBM ACE merosot 42.77 mata kepada 5,830.3.

    Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.39 mata kepada 132.8, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 174.00 mata kepada 12,865.7 dan Indeks Perladangan meningkat 19.1 mata kepada 6,772.95. – Bernama



    Sumber

  • Fenomena ‘ketagihan’ tadabbur al-Quran

    Fenomena ‘ketagihan’ tadabbur al-Quran

    SHAH ALAM – Penerbitan program My #QuranTime bermula 8 Jun ini di TV Alhijrah dijangka mencetuskan fenomena ketagihan mentaddabur al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program kesinambungan rancangan #QuranTime dengan misi musa’adah koronavirus (Covid-19) di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ini bakal menggalakkan umat Islam untuk bukan sahaja khatam al-Quran, bahkan khatam tadabbur dan tazakkur al-Quran.

    Hussamuddin Yaacub - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Hussamuddin Yaacub – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Menurutnya, inisiatif penyiaran My #QuranTime yang dianggarkan mengambil tempoh hampir tiga tahun untuk khatam tadabbur 114 surah al-Quran amat penting bagi memupuk kaedah pemikiran dan peradaban umat yang berlandaskan agama Islam.

    “Sehingga kini, umat Islam di dunia ini digambarkan sebagai umat paling gagal dan apabila kajian ringkas dibuat, punca stigma itu berlaku kerana majoriti umat Islam tidak memahami agama, tidak faham serta amalkan ajaran al-Quran.

    “Kini melalui program My #QuranTime yang bakal disiarkan sejam sehari di TV Alhijrah, kita mahu membentuk golongan penagih membaca al-Quran di mana apabila mereka sudah ketagihan, mereka akan cuba memperbaiki pemahaman ilmu al-Quran dengan mencari tenaga pengajar yang lebih berilmu.

    “Sebagaimana seorang penagih dadah akan bertukar menjadi pengedar apabila mereka semakin memahami selok-belok dadah, begitu juga dengan seorang penagih tadabbur al-Quran yang mungkin akan berubah daripada seorang pelajar kepada tenaga pengajar al-Quran kepada insan lain suatu hari ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program televisyen baharu, My #QuranTime merangkumi 604 episod yang akan disiarkan TV AlHijrah setiap hari, antara jam 12 hingga 1 tengah hari bermula 8 Jun depan.

    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF dan juga Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail serta Penasihat Modul WUIF, Safri Muhammad Zein.

    Dari kiri: Safri, Namanzee, Hussamuddin, Marhaini dan Fazrul pada sidang akhbar di Shah Alam semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Dari kiri: Safri, Namanzee, Hussamuddin, Marhaini dan Fazrul pada sidang akhbar di Shah Alam semalam. – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Hussamuddin yang juga Pengerusi TV Alhijrah berkata, kerjasama antara WUIF dan TV Alhijrah untuk membawakan al-Quran ketika tempoh Perlaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) amat tepat pada waktunya dan mendapat bantuan ALLAH SWT.

    Menurutnya, penerbitan program My #QuranTime adalah susulan kejayaan Malaysia #QuranTime yang berjaya mencatatkan hampir 1.6 juta tontonan di platform televisyen dengan lebih 10 juta tontonan di Facebook Live TV Alhijrah sepanjang PKP lalu.

    “Sejak tujuh tahun lalu, WUIF membawakan gerakan mengQurankan bangsa dan mengIkhlaskan ummah ini dengan tiga inisiatif utama iaitu membina pusat pengajian al-Quran percuma di seluruh negara, melaksanakan kempen di peringkat negara dan dunia melalui #QuranHour dan membina jaringan Sahabah al-Quran.

    “Segala inisiatif ini penting bagi mengubah ekosistem kehidupan masyarakat agar melalui perubahan kerangka fikir berlandas al-Quran dalam kalangan orang Islam bagi melahirkan perilaku sebagai seorang Muslim sejati.

    “Melalui program My #QuranTime di Saluran 114 TV Alhijrah, matlamat kami agar umat Islam akan terdidik dan berubah dengan nilai-nilai diambil dari 114 surah al-Quran akan semakin jelas,” katanya.

    Hussamuddin turut menyeru semua ulama dan pakar al-Quran di seluruh negara untuk bergabung dengan WUIF dan TV Alhijrah bagi menyumbang intipati pentafsiran tadabbur al-Quran dengan lebih mudah dan berkesan untuk dikongsikan kepada umat Islam.

    “Saya menyeru golongan ini bergabunglah dengan pihak kami untuk sama-sama menyediakan kandungan program My #QuranTime supaya 604 episod yang bakal disiarkan akan menjadi satu khazanah warisan anak bangsa bagi tempoh ratusan tahun akan datang,” katanya.



    Sumber

  • My #QuranTime platform mengQurankan bangsa, mengIkhlaskan ummah

    My #QuranTime platform mengQurankan bangsa, mengIkhlaskan ummah

    SHAH ALAM – Kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan TV Alhijrah melancarkan penerbitan program televisyen baharu, My #QuranTime bermula 8 Jun ini merupakan platform terbaik yayasan itu bagi mencapai objektif ‘mengQurankan bangsa, mengIkhlaskan ummah’.

    Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, melalui siaran baharu itu yang dianggarkan mengambil tempoh hampir tiga tahun untuk khatam tadabbur seluruh 114 surah dalam al-Quran, WUIF akan mengekalkan pendekatan mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran menerusi kaedah baca, faham dan amal.

    Lebih menarik, beliau menegaskan My #QuranTime merupakan satu program televisyen yang buat pertama kali dalam sejarah akan mengajak penonton untuk sama-sama mentadabbur al-Quran dari halaman pertama hingga halaman 604, halaman terakhir, selama satu jam setiap hari.

    “Justeru, program My #QuranTime dianggap lebih menyeluruh berbanding program Malaysia #QuranTime sebelum ini yang hanya memfokuskan kepada surah pilihan di dalam memberi sokongan dan solusi ke atas isu wabak koronavirus (Covid-19) yang berlaku.

    “My #QuranTime akan bersiaran secara langsung bermula Isnin ini di TV Alhijrah dan live streaming di Facebook TV Alhijrah, Sinar Harian dan QuranHour, setiap hari, antara jam 12 hingga 1 tengah hari.

    “Bagi penonton yang terlepas siaran langsung, siaran ulangan sebanyak tiga kali sehari di saluran sama, TV Alhijrah akan ditayangkan dengan semua episod juga boleh ditonton di saluran YouTube QuranHour Channel,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program televisyen baharu, My #QuranTime merangkumi 604 episod yang akan disiarkan TV AlHijrah setiap hari, antara jam 12 hingga 1 tengah hari, bermula 8 Jun hadapan.

    Marhaini berkata, WUIF yang bertanggungjawab ke atas isi program My #QuranTime juga memperkenalkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (konten) serta kawalan kualiti bagi memantau pengisian program sebelum dan semasa program berlangsung.

    Menurutnya, WUIF turut berharap usaha penelitian terhadap ayat-ayat al-Quran turut didokong dengan kerjasama pakar-pakar al-Quran dan Sunnah terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi dan individu terlibat secara langsung dengan pengkajian ilmu al-Quran dan Sunnah.

    “Penyelidikan dan pembangunan merujuk tafsir-tafsir al-Quran yang muktabar dan ulum hadith secara usahasama pelbagai pihak ini merupakan langkah-langkah perlu dilaksanakan agar dapat memberi impak kepada diri, keluarga, organisasi, komuniti, negara dan global.

    “Kajian daripada pakar dan ilmuan wajar dikongsikan bagi melahirkan satu resolusi dan ‘call to action’ supaya al-Quran dapat memberikan implikasi nilai mulia di sudut aqidah, syariat dan akhlak kepada penonton berdasarkan sebab turunnya ayat (asbabun Nuzul) dan dari perumpamaan-perumpamaan dinyatakan al-Quran,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris menyifatkan program My #QuranTime adalah sangat dekat di hati dan berbeza dengan rancangan sedia ada kerana berkeupayaan menghubung dan menyimpulkan solidariti ummah selain daripada mengangkat kalam suci ALLAH sebagai mukjizat teragung.

    “Dalam jangka masa tiga tahun, TV Alhijrah turut bercadang menganjurkan lapangan khusus bagi mempromosi My #QuranTime dan kerjasama dari pihak korporat yang berminat untuk menaja amatlah dialu-alukan,” katanya.



    Sumber

  • My #QuranTime di TV Alhijrah

    My #QuranTime di TV Alhijrah

    MY #QuranTime, rancangan terbaru di TV Alhijrah selepas Malaysia #QuranTime: Musaadah Covid-19, bakal melakarkan sejarah apabila memfokuskan 114 surah untuk dibaca dan ditadabbur setiap hari pada jam 12 hingga 1 tengah hari bermula 8 Jun ini.

    Ketua Pegawai Operasi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program berinteraksi dengan al-Quran kali ini lebih istimewa kerana pendekatan dengan penonton untuk bersama al-Quran sejam setiap hari.

    “Ia diharapkan menjadi khazanah atau rujukan dalam bentuk video untuk belajar dan bertadabbur al-Quran dari halaman 1 hingga halaman terakhir 604.

    “Awalnya, Musaadah Covid-19 Malaysia #QuranTime bersiaran di TV Alhijrah di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 18 Mac. Program itu membawa penonton untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini memfokuskan pengisian emosi dan spiritual dalam menghadapi cabaran Covid-19.

    “Kami sebenarnya tidak jangka sambutan luar biasa apabila menerima lebih 1.5 juta penonton Malaysia #QuranTime.

    “Ramai penonton meminta program tersebut diteruskan agar sentiasa bersama dengan al-Quran. Ia selari dengan matlamat kempen My #QuranHour yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu. Bersama TV Alhijrah, kita teruskan dengan projek My #QuranTime.

    “Kami menyasarkan projek tersebut untuk menjadikan kebiasaan sejam sehari kita berinteraksi dengan al-Quran, melalui baca, faham dan amal.

    “Kita fokus kepada solusi al-Quran dalam menangani cabaran dalam diri, keluarga, komuniti, organisasi, negara dan global.

    “Nilai-nilai yang kita pelajari melalui panduan al-Quran dapat membentuk kerangka fikir, sistem operasi diri dan akhlak mulia seterusnya mencapai misi mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah.

    “Apabila keluarga dan rakyat faham dengan nilai yang dibangunkan al-Quran, maka lahir tabiat yang lebih banyak masa dengan al-Quran, solat dan infaq (QSI),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

    Ujian Covid-19

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation, Namanzee Harris Manzek berkata, gabungan serta kerjasama erat TV Alhijrah dan WUIF yang mempunyai pengalaman dan kemahiran masing-masing dalam satu landasan sama dapat menghasilkan formula yang sempurna program My #QuranTime yang sempurna untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

    “Jumlah tontonan melebihi 1.5 juta bagi Malaysia #QuranTime sepanjang musim PKP dan PKPB, kita mengambil langkah untuk mengadakan fasa seterusnya iaitu My #QuranTime.

    “Pendekatan QuranTime adalah hasil cetusan perkataan Quarantine Time daripada WUIF dalam membantu masyarakat menghadapi tekanan ujian Covid-19.

    “Hasil perbincangan dengan Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Marhaini, kita menjadikan My #QuranTime lebih bersifat peribadi kepada penonton.

    “Program tersebut akan berterusan selama hampir tiga tahun di mana kita akan review bersama team TV Alhijrah, WUIF, Jakim dan Sinar Harian.

    “Kita meletakkan keyakinan penuh apabila meletakkan program al-Quran sebagai landasan utama, ia merupakan pemangkin kejayaan program-program dakwah yang sedia ada. Ia umpama salah satu ‘ibu’ program di TV Alhijrah,” katanya.

    Jelasnya, ramai penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kerabat diraja, profesional, ahli politik mahupun orang awam memberi maklum balas positif dan mengharapkan #QuranTime diteruskan.

    My #QuranTime mengekalkan pentadabbur, Fazrul Ismail iaitu Ketua Pegawai Penyelidik WUIF dan dua qari iaitu Ustaz Ahmad Termizi Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

    “Gabungan ketiga-tiga individu itu telah berjaya menarik minat orang ramai dari segi persembahan, pengolahan dan penyampaian intipati ayat al-Quran.

    “Kita akan mengekalkan formula yang sama, cuma ada beberapa penambahbaikan sedikit dari segi look and feel di set serta pengisian tema tersendiri setiap hari. Konsep My #QuranTime lebih fokus tema berkaitan kehidupan kita seharian dengan berpandukan al-Quran.

    “Orang ramai juga berpeluang menonton My #QuranTime menerusi FB LIVE TV Alhijrah.

    “Saya secara peribadi berharap penonton My #QuranTime dapat membudayakan kehidupan mereka selama sejam bersama al-Quran setiap hari, tidak kira bila dan di mana mereka berada.

    “TV Alhijrah turut menyediakan program dakwah untuk kembali melihat al-Quran sebagai sumber rujukan agar kita boleh mendapat petunjuk dan menterjemahkan apa yang terkandung dalam al-Quran sebagai cara hidup kita,” katanya.

    Namanzee berkata, program #QuranTime turut menarik minat golongan korporat dan agensi kerajaan untuk menaja.

    “Saya yang mempunyai latar belakang dalam bidang penyiaran dan komunikasi melihat media penyiaran memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju idea dan sikap masyarakat.

    “Kita sebagai peneraju program bersifat Islamik berasa pentingnya program TV yang berlandaskan al-Quran dan agama agar ada sifat mendidik sambil menghibur yang seimbang,” katanya.



    Sumber

  • Pomen aplikasi bantuan kecemasan di jalan

    Pomen aplikasi bantuan kecemasan di jalan

    DIASASKAN pada Januari tahun lalu dan dilancarkan sekitar Oktober 2018, Pomen App ialah sebuah aplikasi ekosistem bantuan 24 jam/7 hari seminggu bertujuan membantu para pemandu mendapatkan pertolongan secepat saat diperlukan.

    Antara ciri menarik yang ditawarkan pada Pomen App ini ialah kebolehan untuk mengumpulkan kesemua ahli keluarga di bawah satu profil yang sama.

    Ini membolehkan setiap individu menerima notifikasi sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan melibatkan ahli keluarga. Aplikasi ini juga memudahkan mereka untuk mengesan penyedia perkhidmatan Pomen App dalam masa nyata dan fungsi yang sangat berguna kepada golongan sasaran, khususnya pemandu wanita.

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Bosch Automotive Aftermarket, hanya 1 peratus pemandu wanita yang mampu menyelesaikan masalah berkaitan kereta tanpa bantuan, jika dibandingkan dengan 48 peratus pemandu lelaki. Ini merupakan fokus utama Pomen App dalam memberikan perlindungan keselamatan dan perkhidmatan yang boleh dipercayai terutama terhadap pemandu wanita.

    Jaminan yang diberikan termasuklah mendapatkan perkhidmatan jejak masa nyata, harga tetap tanpa sebarang kos tambahan serta keahlian percuma bagi mengelakkan sebarang insiden penipuan oleh bengkel yang tidak bertauliah. Antara servis yang ditawarkan termasuklah jump-start bateri, penukaran tayar dan perkhidmatan servis kenderaan yang boleh didapati menerusi 100 bengkel yang berdaftar di bawah Program Transformasi Bengkel MARii.

    Pomen App kini terdapat di seluruh Malaysia khususnya di Lembah Klang, Ipoh, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Aplikasi tersebut boleh dimuat turun secara percuma di platform Google Play Store dan Apple App Store.



    Sumber