Fenomena ‘ketagihan’ tadabbur al-Quran

Fenomena ‘ketagihan’ tadabbur al-Quran

SHAH ALAM – Penerbitan program My #QuranTime bermula 8 Jun ini di TV Alhijrah dijangka mencetuskan fenomena ketagihan mentaddabur al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program kesinambungan rancangan #QuranTime dengan misi musa’adah koronavirus (Covid-19) di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ini bakal menggalakkan umat Islam untuk bukan sahaja khatam al-Quran, bahkan khatam tadabbur dan tazakkur al-Quran.

Hussamuddin Yaacub - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Hussamuddin Yaacub – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurutnya, inisiatif penyiaran My #QuranTime yang dianggarkan mengambil tempoh hampir tiga tahun untuk khatam tadabbur 114 surah al-Quran amat penting bagi memupuk kaedah pemikiran dan peradaban umat yang berlandaskan agama Islam.

“Sehingga kini, umat Islam di dunia ini digambarkan sebagai umat paling gagal dan apabila kajian ringkas dibuat, punca stigma itu berlaku kerana majoriti umat Islam tidak memahami agama, tidak faham serta amalkan ajaran al-Quran.

“Kini melalui program My #QuranTime yang bakal disiarkan sejam sehari di TV Alhijrah, kita mahu membentuk golongan penagih membaca al-Quran di mana apabila mereka sudah ketagihan, mereka akan cuba memperbaiki pemahaman ilmu al-Quran dengan mencari tenaga pengajar yang lebih berilmu.

“Sebagaimana seorang penagih dadah akan bertukar menjadi pengedar apabila mereka semakin memahami selok-belok dadah, begitu juga dengan seorang penagih tadabbur al-Quran yang mungkin akan berubah daripada seorang pelajar kepada tenaga pengajar al-Quran kepada insan lain suatu hari ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program televisyen baharu, My #QuranTime merangkumi 604 episod yang akan disiarkan TV AlHijrah setiap hari, antara jam 12 hingga 1 tengah hari bermula 8 Jun depan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF dan juga Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail serta Penasihat Modul WUIF, Safri Muhammad Zein.

Dari kiri: Safri, Namanzee, Hussamuddin, Marhaini dan Fazrul pada sidang akhbar di Shah Alam semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Dari kiri: Safri, Namanzee, Hussamuddin, Marhaini dan Fazrul pada sidang akhbar di Shah Alam semalam. – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Hussamuddin yang juga Pengerusi TV Alhijrah berkata, kerjasama antara WUIF dan TV Alhijrah untuk membawakan al-Quran ketika tempoh Perlaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) amat tepat pada waktunya dan mendapat bantuan ALLAH SWT.

Menurutnya, penerbitan program My #QuranTime adalah susulan kejayaan Malaysia #QuranTime yang berjaya mencatatkan hampir 1.6 juta tontonan di platform televisyen dengan lebih 10 juta tontonan di Facebook Live TV Alhijrah sepanjang PKP lalu.

“Sejak tujuh tahun lalu, WUIF membawakan gerakan mengQurankan bangsa dan mengIkhlaskan ummah ini dengan tiga inisiatif utama iaitu membina pusat pengajian al-Quran percuma di seluruh negara, melaksanakan kempen di peringkat negara dan dunia melalui #QuranHour dan membina jaringan Sahabah al-Quran.

“Segala inisiatif ini penting bagi mengubah ekosistem kehidupan masyarakat agar melalui perubahan kerangka fikir berlandas al-Quran dalam kalangan orang Islam bagi melahirkan perilaku sebagai seorang Muslim sejati.

“Melalui program My #QuranTime di Saluran 114 TV Alhijrah, matlamat kami agar umat Islam akan terdidik dan berubah dengan nilai-nilai diambil dari 114 surah al-Quran akan semakin jelas,” katanya.

Hussamuddin turut menyeru semua ulama dan pakar al-Quran di seluruh negara untuk bergabung dengan WUIF dan TV Alhijrah bagi menyumbang intipati pentafsiran tadabbur al-Quran dengan lebih mudah dan berkesan untuk dikongsikan kepada umat Islam.

“Saya menyeru golongan ini bergabunglah dengan pihak kami untuk sama-sama menyediakan kandungan program My #QuranTime supaya 604 episod yang bakal disiarkan akan menjadi satu khazanah warisan anak bangsa bagi tempoh ratusan tahun akan datang,” katanya.



Sumber