Blog

  • BNM umum Timbalan Gabenor, Penolong Gabenor baharu

    BNM umum Timbalan Gabenor, Penolong Gabenor baharu

    KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan pelantikan Marzunisham Omar sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Jun 2020.

    Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata sebagai Timbalan Gabenor, Marzunisham akan memantau keseluruhan bidang pengurusan korporat Bank, termasuk mata wang dan kewangan, digital dan teknologi, modal insan dan perkhidmatan korporat.

    Beliau juga akan menjadi Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan.

    “Marzunisham akan menjadi ahli Lembaga Pengarah dan akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa Bank. Ini termasuk Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko,” kata BNM.

    Bank pusat itu berkata, Marzunisham juga akan menjadi pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC).

    Marzunisham memulakan kerjaya beliau di BNM pada tahun 1993 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada University of Cambridge, United Kingdom. Beliau mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam pelbagai bidang Perbankan Pusat.

    BNM turut mengumumkan pelantikan Dr Norhana Endut sebagai Penolong Gabenor yang akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Ekonomi, Dasar Monetari, Pengurusan Data & Statistik serta Jabatan Antarabangsa.

    Sebelum pelantikan tersebut, Dr Norhana telah berkhidmat di Jabatan Ekonomi dan Jabatan Dasar Monetari.

    Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi daripada Washington University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Warwick, United Kingdom. – Bernama



    Sumber

  • Prego prihatin bebanan golongan B40 dan B20 akibat wabak Covid-19

    Prego prihatin bebanan golongan B40 dan B20 akibat wabak Covid-19

    SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, hampir keseluruhan rakyat Malaysia turut menerima kesan kewangan kerana wabak berkenaan terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan B20).

    Dengan semangat kekitaan bersandarkan kepada slogan #kitajagakita, seluruh warganegara bersatu untuk membantu mereka yang terbeban dengan masalah kewangan dan kesulitan hidup ini.

    Rakyat Malaysia berusaha menggunakan pelbagai cara dan platform untuk menyalurkan sumbangan dan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial, jenama Prego Malaysia terpanggil untuk menyerlahkan nilai keprihatinan kepada masyarakat.

    Oleh itu, melalui program amal #PregoCares satu inisiatif pengumpulan sumbangan diwujudkan di mana setiap rakyat Malaysia boleh menyumbang apabila membeli sebarang produk keluaran Prego bermula 1 Jun lalu sehingga 30 Jun nanti.

    Setiap unit produk Prego yang terjual, sebanyak RM0.30 akan disumbangkan untuk membeli barangan keperluan bagi dihulurkan kepada kumpulan sasar.

    Pada akhir kempen sumbangan itu nanti, Campbell Malaysia akan menyalurkan pek bantuan barangan keperluan harian termasuk semua produk rangkaian Campbell Malaysia bernilai RM50 setiap kepada 1,400 isi rumah.

    Justeru itu, rakyat Malaysia diseru untuk menghulurkan sumbangan dengan cara membeli sebarang produk Prego sama ada melalui platform pembelian secara atas talian, Lazada atau mengunjungi mana-mana kedai mahupun pasaraya yang menjual produk jenama Prego di seluruh negara.

    Dengan cara ini, setiap lapisan masyarakat dapat membantu satu sama lain terutamanya mereka yang memerlukan bantuan akibat masalah pandemik Covid-19 ini.

    Bukan sekadar itu sahaja, pihak Prego juga turut melaksanakan aktiviti turun padang melalui program amal bantuan makanan #PregoCares yang bermula pada 27 Mei lalu hingga 29 Jun.

    Jenama sos pasta terkemuka di Malaysia ini menyasarkan untuk menyediakan 70,000 bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

    Melalui Program Amal Bantuan Makanan #PregoCares, sejumlah 14,000 hidangan akan diedarkan selama tempoh 28 hari iaitu sebanyak 500 hidangan sehari.

    Hidangan makanan berkenaan disumbangkan kepada komuniti yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang.

    Prego dan rakan kerjasama seperti Chef on Wheel serta PBSMM gembira dalam memberi sumbangan kepada komuniti PPR di Lembah Klang.

    Prego dan rakan kerjasama seperti Chef on Wheel serta PBSMM gembira dalam memberi sumbangan kepada komuniti PPR di Lembah Klang.

    Program amal Prego ini juga menyaksikan kolaborasi bersama syarikat katering; Chef on Wheels dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang bertindak sebagai kumpulan pengedaran makanan.

    Prego berharap dengan sumbangan bantuan makanan ini mampu meringankan beban dihadapi golongan B40 dan B20 dengan menyediakan hidangan yang menyihatkan untuk seisi keluarga.

    Prego berharap dengan sumbangan bantuan makanan ini mampu meringankan beban dihadapi golongan B40 dan B20 dengan menyediakan hidangan yang menyihatkan untuk seisi keluarga.

    Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa sepanjang program #PregoCares dengan melayari laman web Prego Malaysia dan Facebook Prego Malaysia.



    Sumber

  • Langkah kerajaan guna pinjaman domestik disifatkan tepat, wajar

    Langkah kerajaan guna pinjaman domestik disifatkan tepat, wajar

    KALANGAN ahli ekonomi memuji pendirian kerajaan untuk memanfaatkan pinjaman domestik bagi membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disifatkan sebagai tepat serta wajar.

    Dua pakej bantuan kewangan yang diumumkan baru-baru ini adalah terbesar dalam sejarah negara – Prihatin berjumlah RM260 bilion manakala Penjana sebanyak RM35 billon berbanding RM67 bilion yang dibelanjakan bagi menangani impak negatif ketika krisis kewangan global lebih sedekad lepas.

    Walaupun membabitkan angka besar pada kali ini, ahli ekonomi itu berpendapat perbelanjaan tersebut adalah wajar berikutan impak akibat penularan Covid-19 yang jauh lebih buruk berbanding krisis ekonomi global pada 2009.

    “Malah, krisis Covid-19 ini dialami hampir semua negara baik yang bergelar negara maju serta kurang maju dengan impaknya yang jauh lebih buruk,” kata ahli ekonomi MIDF Research, Mazlina Abdul Rahman dalam temu bual dengan Bernama.

    Setakat ini, jumlah suntikan fiskal terhadap pakej rangsangan tersebut mencecah RM45 bilion.

    “Sebarang usaha meningkatkan perbelanjaan dalam keadaan hasil yang merosot akan menyukarkan kedudukan fiskal kerajaan bagi tahun ini. Faktor seperti penyusutan harga minyak global dan jangkaan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 akan menjejaskan lagi hasil yang diraih kerajaan.

    “Kerugian dialami perniagaan serta pengecualian cukai yang diumumkan dalam pakej rangsangan termasuk Penjana akan turut mengurangkan jumlah kutipan cukai kerajaan,” katanya.

    Namun Mazlina berkata, ini merupakan satu trend global ketika kebanyakan negara terpaksa menyuntik wang bagi mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik tersebut.

    Ini termasuk pakej rangsangan yang diumumkan oleh negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia yang setara dengan Malaysia.

    Singapura misalnya menyuntik sokongan berjumlah S$92.9 bilion yang akan menjadikan jumlah defisit republik itu mencecah 15.4 peratus daripada KDNK.

    Mazlina berkata, biarpun pinjaman domestik mewakili sebahagian besar jumlah pinjaman kerajaan, langkah itu turut bergantung kepada beberapa keadaan.

    “Pada 2019, dianggarkan 74 peratus daripada hutang awam dipinjam daripada sumber domestik manakala bakinya daripada asing.

    “Keputusan untuk berhutang menerusi sumber domestik atau asing akan bergantung kepada kadar faedah. Secara amnya, jika kadar (pinjaman) tempatan lebih rendah berbanding asing, hutang dalam negara akan meningkat…jika lebih tinggi maka hutang luar akan meningkat.

    “Bagaimana pun, langkah pembiayaan pakej rangsangan menerusi sumber domestik itu merupakan keputusan tepat kerana ia menyebabkan kurang terdedah kepada (risiko) perubahan kadar faedah asing khususnya dalam penularan pandemik ketika ini. Malah, ia (pinjaman menerusi sumber domestik) adalah di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia,” katanya.

    Sementara itu, ahli akademik kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, pinjaman domestik tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara.

    “Sebagai contoh (jika kita meminjam daripada) Tabung Kewangan Antarabangsa yang amat ketat (peraturannya) sedangkan pinjaman domestik ini lebih banyak kelonggaran memandangkan wang itu masih berada di dalam negara,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru itu juga perlu untuk mengelak berlakunya masalah sosioekonomi lain seperti peningkatan pemberhentian pekerja dan kadar jenayah yang akan mencetuskan kekacauan dalam masyarakat.

    Dalam pada itu, Mazlina juga berpandangan pinjaman domestik itu turut membabitkan pendedahan kepada risiko penyusutan mata wang yang lebih rendah kerana hutang tersebut dalam denominasi ringgit.

    “Pada 2019, hutang dalam denominasi ringgit adalah 96.4 peratus daripada keseluruhan hutang kerajaan manakala bakinya pula dalam denominasi mata wang asing,” katanya.

    Selain itu, dasar monetari dan fiskal dilihat perlu dilaksanakan ketika berlakunya kelembapan atau kemelesetan ekonomi.

    “Walaupun kaedah yang digunakan mengikut dasar ini berbeza namun matlamatnya sama. Gabungan kedua-duanya akan mempercepat pemulihan ekonomi,” katanya.

    Beliau berkata, semasa krisis kewangan global 2009, defisit belanjawan kepada KDNK adalah 6.7 peratus berikutan suntikan fiskal.

    Pada masa sama, kadar dasar semalaman (OPR) juga dikurangkan kepada 2.0 peratus, yang terendah setakat ini.

    “Saya yakin, gabungan kedua-dua ini akan membantu Malaysia pulih dengan pantas daripada krisis ini. Penurunan kadar faedah akan mengurangkan beban pemilik rumah dan perniagaan, sekali gus membolehkan ekonomi pulih kembali,” katanya.

    Bagaimanapun, semasa tempoh kemelesetan, Mazlina berkata langkah itu mungkin tidak mencukupi kerana lazimnya wujud perangkap mudah tunai disebabkan kadar faedah rendah serta ditambah dengan pengguna yang memilih untuk menyimpan berbanding melabur.

    Justeru, katanya, kerajaan perlu memainkan peranan dengan membayar skim pelaburan baharu dan mewujudkan pekerjaaan secara langsung.

    Mengenai sasaran untuk mengecilkan semula defisit fiskal kepada kurang 4.0 peratus daripada KDNK bagi tempoh tiga tahun akan datang, Mazlina berkata ia boleh dicapai memandangkan kebanyakan insentif yang diumumkan menerusi pakej rangsangan berkenaan adalah bersifat sekali bayar.

    “Berlandaskan rangsangan itu, ekonomi ini dijangka lebih baik, hasil akan meningkat dan defisit akan turun,” katanya.

    Setakat 2019, beliau berkata nisbah hutang kerajaan Persekutuan kepada KDNK adalah 52.5 peratus.

    “Tertakluk kepada peraturan had nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pada 55 peratus dan penyusutan KDNK dijangka tahun ini, kapasiti fiskal yang tersedia mengalami kekangan. Berdasarkan keseluruhan suntikan fiskal berjumlah RM45 bilion, kami berpandangan hutang kerajaan akan meningkat melebihi 55 peratus pada 2020.

    “Oleh itu, kami percaya kerajaan perlu meningkatkan peraturan mengenai had daripada 55 peratus kepada mungkin 60 peratus supaya lebih banyak ruang fiskal tersedia bagi perbelanjaan masa depan yang, sudah pasti, tertakluk kepada kelulusan Parlimen,” kata Mazlina. – Bernama



    Sumber

  • redONE tawar setahun langganan pascabayar percuma

    redONE tawar setahun langganan pascabayar percuma

    PENGENDALI Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) pascabayar pertama dan terbesar Malaysia, redONE Network Sdn Bhd (redONE) memberikan setahun langganan pascabayar percuma melalui kempen We Pay Your Bill yang berlangsung dari 1 hingga 30 Jun ini.

    Dalam satu kenyataannya, redONE menjelaskan, tawaran terbuka kepada semua pelanggan baharu, port-in (MNP) dan pelanggan sedia ada yang menambah talian tambahan dengan melanggan satu pelan pascabayar redONE iaitu Amazing38 atau Amazing58 dengan bayaran bulanan minimum RM38.

    “Pelanggan yang terpilih akan dihubungi dan perlu menjawab satu soalan mudah untuk menang.

    “Jika menang, pelanggan tersebut akan menerima satu langganan tahunan percuma untuk harga pelan asas selama setahun bermula Julai 2020,” menurut kenyataan itu.

    Nama pemenang akan diumumkan Facebook rasmi redONE @redONEMobile dan laman web redONE.com.my.

    Seramai dua orang akan dipilih pada setiap hari sepanjang kempen berkenaan berlangsung.

    Maklumat lanjut berkaitan kempen boleh diperoleh dengan mengunjungi cawangan redONE terdekat, kedai rakan niaga di seluruh negara atau layari redONE.com.my.

    Dalam pada itu, redONE menjelaskan, pihaknya telah memperbaharui pelan pascabayar mereka dengan menawarkan lebih data kepada semua pelanggannya.

    “Amazing38 menawarkan 33GB data dan panggilan tanpa had pada harga RM38 sebulan manakala Amazing58 pula menawarkan panggilan tanpa had ke semua rangkaian dengan jumlah data 60GB pada harga RM58 sebulan,” katanya.



    Sumber

  • Nantikan kehebatan Huawei Nova 7 series bersama Huawei AppGallery

    Nantikan kehebatan Huawei Nova 7 series bersama Huawei AppGallery

    KUALA LUMPUR – Huawei bakal memperkenalkan telefon pintar baharunya, Huawei Nova 7 series yang menjanjikan pengalaman digital yang lebih menarik.

    AppGallery: Lebih Selamat, Lebih Storan, Lebih Ganjaran

    Pastinya akan timbul persoalan daripada pengguna, bagaimana dengan semua aplikasi yang dimuat turun melalui Google Play sebelum ini jika bertukar kepada Huawei Nova 7 series.

    Jawapannya cukup mudah! Huawei Nova 7 series didatangkan dengan aplikasi mobil ketiga terbesar di mana AppGallery mempunyai 390 juta pengguna sebulan di seluruh dunia. Aplikasi kegemaran majoriti rakyat Malaysia boleh dimuat turun melalui Huawei AppGallery.

    Melalui Huawei AppGallery anda tidak perlu risau kehilangan pelbagai aplikasi yang anda minati daripada telefon lama anda. Jika anda pengguna Huawei Nova 7 series, anda tidak perlu risau tentang masalah privasi dan sekuriti kerana Huawei AppGallery mempunyai pensijilan industri dan keselamatan terbaik di bawah CC EAL5.

    Selain daripada itu, anda tidak perlu risau tentang masalah kekurangan storan kerana anda akan mendapat 50GB storan pada Huawei Cloud Storage secara percuma selama satu tahun.

    Oleh itu, Huawei AppGallery adalah ‘teman rapat’ terbaik untuk telefon pintar anda dengan hampir keseluruhan ditawarkan bermula untuk urusan kehidupan harian, aplikasi bermanfaat sehingga kepada keseronokan permainan video seperti penerokaan dunia media sosial seperti telekomunikasi, sosial, permainan, hiburan, perbualan serta navigasi. Semuanya hanya di hujung jari anda.

    Bagi pengguna Huawei, anda boleh menuntut ganjaran apabila menggunakan Huawei AppGallery.

    Dengan sistem ganjaran anda akan memperolehi lebih banyak mata Huawei apabila anda kerap memuat turun dan anda boleh menggunakan Huawei ID untuk menebus ganjaran serta hadiah menarik di Pusat Hadiah Huawei AppGallery.

    Terdapat juga banyak tawaran cabutan bertuah yang berterusan untuk pengguna dengan pelbagai hadiah menarik – pastinya setiap orang pasti akan merasai ganjaran apabila menggunakan Huawei AppGallery.

    Huawei Phone Clone memudahkan pemindahan data

    Tak kisah sama ada anda pengguna iOS ataupun Android – Huawei Phone Clone ini tetap serasi dengan telefon pintar anda tanpa mengira jenama. Muat turun secara percuma di Google Play atau Apple Store dengan pemindahan pantas sehingga boleh mencapai kelajuan 1GB dalam masa seminit.

    Foto-foto kesayangan, video dan nombor telefon dan fail-fail lain akan dipindahkan dengan mudah serta selamat melalui rangkaian keselamatan penyulitan tanpa wayar. Tiada sokongan dalam simpanan awan. Tiada lagi bebanan kepada cakera keras..

    Huawei Phone Clone juga tidak memerlukan Wi-Fi atau data – Hanya menggunakan kod QR atau lokal hotspot pada telefon pintar baharu. Sedia untuk melakukan pindahan.

    Manfaatkan sepenuhnya aplikasi Huawei Phone Clone ini untuk pemindahan data dan memudahkan memindahkan nombor telefon, SMS, log panggilan, nota, bahan ramakan, kalendar, foto-foto, lagu, video, dokumen-dokumen dan pelbagai aplikasi daripada telefon lama anda kepada telefon pintar terbaharu Huawei.

    FindApps mudahkan anda mencari aplikasi kegemaran

    Pengguna boleh menggunakan FindApps untuk mencari aplikasi kegemaran mereka dan pastikan Huawei AppGallery adalah pengganti terbaik untuk Google.

    Aplikasi Huawei FindApps juga merupakan satu hub untuk membantu pengguna mencari aplikasi yang mereka perlukan dan mengarahkannya ke sumber yang sepatutnya.

    FindApps boleh membantu anda mencari aplikasi yang popular seperti Facebook, Telegram, WhatsApp, Instagram dan lain-lain lagi. Jika pengguna tidak dapat mencari aplikasi diingini, mereka bole memuat turun apk melalui Huawei Brower, ataupun melalui kedai aplikasi pihak ketiga seperti Aptoide dan Aurora.

    Jadi, apa lagi yang kena risau sekiranya pengguna boleh memuat turun kebanyakan aplikasi yang ada di pasaran.

    Bagaimana Huawei AppGallery pengganti terbaik Google?

    **media[734978]*

    Pastinya ramai yang teruja menunggu kemunculan Huawei Nova 7 series di pasaran Malaysia kerana segalanya tidak mustahil untuk dibuat dengan bantuan Huawei AppGallery yang mantap.

    Tonton video DISINI untuk mengetahui lebih lanjut!

    Maklumat lanjut mengenai HUAWEI AppGallery: https://consumer.huawei.com/en/mobileservices/appgallery/

    Huawei Nova 7 akan dilancarkan pada 19 June 2020. Untuk informasi tentang Huawei AppGallery ini, sila layari HUAWEI



    Sumber

  • Tesco buka dua cawangan baharu di Teluk Intan dan Mines

    Tesco buka dua cawangan baharu di Teluk Intan dan Mines

    TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) membuka dua lagi cawangan baharu, sekali gus menjadikannya memiliki 62 cawangan di seluruh negara.

    Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie berkata, dua cawangan baharu itu ialah di Teluk Intan, Perak yang memulakan operasinya pada 10 Jun dan di Mines, Selangor yang dijangka beroperasi pada 17 Jun ini.

    Menurutnya, Tesco Teluk Intan berkeluasan 3,000 meter persegi manakala Tesco Mines pula 2,000 meter persegi.

    “Tesco juga secara kolektif menggajikan lebih dari 100 rakan sekerja tempatan di cawangan Tesco Teluk Intan dan Tesco Mines, sekali gus mewujudkan kesan sosioekonomi yang positif di kedua-dua kawasan tersebut.

    “Kedua-dua cawangan Tesco Teluk Intan dan Tesco Mines adalah 100 peratus dikendalikan oleh rakyat Malaysia. Ia menunjukkan komitmen kami dalam mewujudkan pekerjaan untuk rakyat berikutan ramai yang kehilangan sumber pendapatan mereka akibat penularan koronavirus (Covid-19),” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Paul berkata, bagi memastikan Tesco menjadi tempat yang selamat untuk berbelanja, pihaknya telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di semua cawangannya termasuk Tesco Teluk Intan dan Tesco Mines.

    “Kedua-dua cawangan baharu ini juga diaktifkan dengan aplikasi Scan and Shop serta kaunter pembayaran layan diri tanpa tunai sepenuhnya.

    “Gabungan kedua-dua perkhidmatan ini membolehkan pelanggan terus mempraktikkan penjarakkan sosial ketika berbelanja,” katanya.



    Sumber

  • Malindo Air sambung semula operasi penerbangan domestik

    Malindo Air sambung semula operasi penerbangan domestik

    KUALA LUMPUR – Malindo Air menyambung semula penerbangannya ke hampir semua destinasi domestik di Malaysia bermula esok apabila kerajaan melonggarkan secara berperingkat peraturan ke atas perjalanan dan sekatan sosial.

    Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan berjadual yang disambung semula operasi termasuklah penerbangan harian daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Kota Bharu; Pulau Pinang; Alor Setar; Johor Bahru; Kuala Terengganu; dan Langkawi, manakala perkhidmatan Ipoh ke Johor Bahru akan disambung dengan tiga penerbangan seminggu.

    “Penerbangan kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu; Kuching dan Langkawi juga akan disambung sepenuhnya,” kata Malindo Air.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pembukaan berperingkat perjalanan udara dijangka progresif bermula dengan pasaran domestik.

    “Kami sudah pastinya akan menyambung semula perkhidmatan antarabangsa kami dalam rangkaian secara berperingkat sebaik sahaja situasi kesihatan global bertambah baik dan sekatan kawal selia ditarik balik sepenuhnya.

    “Kami berharap pengembara akan bersemangat untuk memulakan semula perjalanan tidak lama lagi, yang akan memberi manfaat kepada industri sekali lagi,” katanya sambil menambah pengembara yang menggunakan perkhidmatan penerbangan dengan Malindo Air perlu memahami dan mematuhi dengan ketat syarat-syarat kesihatan dan imigresen dan sekatan perjalanan yang ditetapkan kerajaan.

    “Pemulaan semula perjalanan domestik kami ini susulan penarikan semula sekatan perjalanan adalah bahagian penting dalam pemulihan ekonomi kerana kira-kira 10 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia adalah daripada pelancongan dan kebanyakannya daripadanya bergantung kepada perjalanan udara,” katanya.

    Malindo juga menawarkan promosi Balik Raya dengan tambang sehala bermula daripada RM199 bagi perjalanan dalam Semenanjung Malaysia dari Lapangan Terbang Subang; tambang sehala bermula daripada RM289 bagi perjalanan antara KLIA dan Kuching; dan tambang sehala bermula daripada RM389 dari KLIA ke Kota Kinabalu dengan tempoh tempahan dan perjalanan dari sekarang sehingga 21 Jun 2020.

    Malindo Air ingin mengulangi bahawa pelanggan yang penerbangannya dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19 akan dapat mengekalkan nilai penuh bahagian tiket mereka yang tidak digunakan dalam bentuk Baucar Perjalanan yang tempoh penebusan dilanjutkan kepada 12 bulan manakala tempoh perjalanan sehingga 11 bulan.

    “Penumpang yang menebus baucar beliau pada Mac 2021 boleh menempah penerbangan sehingga Februari 2022.

    “Malindo Air juga membenarkan penumpang memindahkan nilai Baucar Perjalanan kepada keluarga dan rakan-rakan atau menggunakannya sebagai Baucar Hadiah,” kata syarikat penerbangan itu. – Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

    Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

    BURSA Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih rendah, menjejaki penyusutan pasaran Asia susulan kelemahan prestasi semalaman Wall Street.

    Kenyataan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah rendah semalam, juga membayangkan bahawa kadar semasa akan terus kekal sehingga 2022 yang turut memaparkan prospek ekonomi lebih suram.

    Perkembangan itu menyebabkan saham-saham AS susut, kata peniaga.

    Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.31 mata kepada 1,559.96 daripada 1,575.27 yang dicatatkan pada Rabu.

    Sewaktu dibuka indeks itu naik 2.38 mata kepada 1,577.65 dan berlegar dalam jajaran 1,559.01 hingga 1,586.22 sepanjang dagangan awal.

    Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 727 berbanding 294 manalala 379 kaunter lain tidak berubah, 509 tidak didagangkan dan 20 lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 5.56 bilion unit bernilai RM2.85 bilion.

    Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi namun susut akibat tekanan jualan merentasi semua papan pada tengah hari ini.

    Malah sentimen juga secara amnya agak suram ketika para pelabur memilih aset selamat, katanya.

    Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global, AxiCorp Stephen Innes berkata, gabungan kenyataan Fed dan laporan peningkatan kes virus Covid-19 di Texas telah menyebabkan kekalutan dan pasaran menjadi tidak menentu.

    “Ini kerana pasaran tidak menjangkakan penularan virus di Texas berlaku sedemikian pantas ketika ekonomi baru dibuka semula secara beransur-ansur.

    “Namun, penularan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan ketika peniaga sebaliknya memberi tumpuan kepada tanda-tanda sama ada risiko terhadap aset akan terus berlanjutan atau sebaliknya,” katanya.

    Di peringkat serantau, pasaran Nikkei Jepun susut 2.54 peratus kepada 22,537.51, Straits Times Singapura merosot 2.49 peratus kepada 2,730.91 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong menguncup 1.03 peratus kepada 24,791.36.

    Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi 16 sen kepada RM8.04, Public Bank merosot 22 sen kepada RM17.12 manakala IHH Healthcare turun dua sen kepada RM5.55.

    Tenaga naik dua sen kepada RM11.98 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.90.

    Bagi saham aktif, AT Systematization naik 4.5 sen kepada 17 sen, Luster Industries dan waran AT Systematization masing-masing menambah dua sen kepada 12 sen dan 8.5 sen, Minetech Resources meraih 2.5 sen kepada 26 sen manakala Pegasus kekal pada satu sen.

    Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas merosot 110.40 mata kepada 10,993.12, Indeks FBM Emas Shariah turun 92.29 mata kepada 12,420.27 dan FBM 70 jatuh 121.42 mata kepada 13,581.31.

    FBM ACE pula susut 78.56 mata kepada 5,916.99 manakala Indeks FBMT 100 merosot 104.18 mata kepada 10,847.07.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna susut 1.62 mata kepada 140.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 221.77 mata kepada 13,625.59 namun Indeks Perladangan naik 2.25 mata kepada 6,838.91. – Bernama



    Sumber

  • Celcom Xpax tawar internet, panggilan tanpa had serendah RM12

    Celcom Xpax tawar internet, panggilan tanpa had serendah RM12

    CELCOM Xpax memperkenalkan pelan prabayar inovatif yang menawarkan internet dan panggilan tanpa had kepada pengguna pada harga serendah RM12.

    Celcom Axiata Berhad (Celcom) menjelaskan, pas Tanpa Had Celcom Xpax itu memberikan fleksibiliti kepada pelanggan untuk memenuhi kehendak digital mereka secara dalam talian.

    Menurutnya, melalui pelan tersebut pelanggan prabayar Celcom Xpax boleh menikmati kemudahan akses internet berkelajuan tinggi di mana dan bila-bila sahaja melalui aplikasi Celcom Life.

    “Pas internet mingguan tanpa had Celcom Xpax pada RM12 dan pas bulanan pada RM35 membolehkan pelanggan menikmati internet dengan kelajuan 3Mbps serta panggilan ke semua rangkaian.

    “Sebagai tambahan, pelanggan prabayar Celcom Xpax juga akan menikmati data hotspot mingguan 1GB percuma dan data hotspot bulanan 3GB percuma,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Pas internet tanpa had Celcom Xpax dipadankan dengan rangkaian 4G Celcom bagi membolehkan pengguna menikmati dan menjalankan aktiviti digital mengikut kesesuaian.

    Ia tersedia kepada semua pelanggan prabayar Celcom sedia ada dan baharu.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, pelan prabayar Tanpa Had Celcom Xpax memperlihatkan inisiatif inovatif syarikat telekomunikasi itu untuk menyokong rakyat Malaysia dalam keadaan yang mencabar ketika ini.



    Sumber

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi

    Bursa Malaysia dibuka tinggi

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini walaupun Wall Street susut semalaman ketika pelabur menilai kenyataan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah rendah, semalam, kata peniaga.

    Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.29 mata kepada 1,580.56 daripada 1,575.27 pada Rabu.

    Sewaktu dibuka, indeks utama itu naik 2.38 mata kepada 1,577.65.

    Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 317 berbanding 108 manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,225 tidak diniagakan dan 20 lain digantung dagangannya.

    Jumlah dagangan berjumlah 722.78 juta unit bernilai RM213.40 juta.

    Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata pasaran ekuiti dijangka tidak banyak berubah susulan langkah Fed mengekalkan kadar faedah semasa yang sememangnya dijangkakan pasaran, sekali gus membayangkan prospek ekonomi lebih suram.

    “Di peringkat tempatan, sentimen sebaliknya akan terus dipacu oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi yang dapat menjana semula pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

    “Bagaimana pun, kami berpendapat aspek (mengambil) keuntungan turut menjadi tumpuan ketika aktiviti perdagangan terus meningkat dalam beberapa hari ini,” katanya.

    Sementara itu Rakuten Trade Sdn Bhd berkata, aktiviti pengambilan untung itu ketara di Wall Street walaupun Fed terus memberi jaminan bahawa kadar faedah itu kekal rendah.

    “Kami menjangkakan pasaran serantau akan terus melakukan pembetulan teknikal hari ini di tengah-tengah kehadiran mudah tunai yang ketara.

    “Bagi pasaran tempatan, kami melihat FBM KLCI kekal bertenaga dipacu oleh sokongan daripada kedua-dua institusi dan peruncit tempatan. Berikutan itu, indeks penanda aras itu dijangka dalam lingkungan 1,570 hingga 1,580 pada hari ini,” katanya.

    Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing susut empat sen kepada RM8.16 dan RM17.30 manakala Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM6.89.

    Tenaga naik dua sen kepada RM11.98 dan IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM5.65.

    Bagi saham aktif, Pegasus naik setengah sen kepada 1.5 sen, AT Systematization meningkat lima sen kepada 17.5 sen, Lust Industries dan waran AT Systematization masing-masing menambah tiga sen kepada 13 sen dan 9.5 sen manakala waran Pegasus sebaliknya tidak berubah pada setengah sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 35.36 mata kepada 11,138.88 dan Indeks FBMT 100 bertambah 34.32 mata kepada 10,985.57 manakala FBM 70 menokok 63.60 mata kepada 13,766.33.

    Indeks FBM Emas Shariah pula meningkat 61.08 mata kepada 12,573.64 dan FBM ACE naik 32.59 mata kepada 6,028.14.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.40 mata kepada 142.29, Indeks Perladangan menokok 29.67 mata kepada 6,866.33 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.66 mata kepada 13.836.70. – Bernama



    Sumber