Blog

  • Rangkaian klasik moden Triumph 2019

    Rangkaian klasik moden Triumph 2019

    FAST Bikes Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal jenama Triumph di Malaysia melancarkan lima model yang baharu untuk pasaran Malaysia pada tahun ini.

    Mereka memperkenalkannya secara unboxing. Upacara itu antara lain menyaksikan kotak yang berisi motosikal itu dibuka di hadapan wakil media dan tetamu jemputan.

    Rangkaian klasik moden Triumph 2019 terdiri daripada Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin yang baharu dengan harga masing-masing bermula dari RM55,900, RM64,900, RM80,900, RM86,900 dan RM73,900. (Harga yang disebutkan termasuk 10 peratus cukai jualan dan perkhidmatan).

    




Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al Malique (dua dari kiri) bersama motosikal Triumph Scrambler 1200 ketika majlis pelancaran motosikal itu di Petaling Jaya baru-baru ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al Malique (dua dari kiri) bersama motosikal Triumph Scrambler 1200 ketika majlis pelancaran motosikal itu di Petaling Jaya baru-baru ini.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razak Al Malique berkata, model Street Twin 2019 ditawarkan menerusi tiga pilihan warna iaitu matt ironstone, korosi red dan jet black. Dijana enjin Bonneville 900cc yang dipertingkat, ia membolehkan jentera-jentera ini menghasilkan kuasa 65 PS pada 7,500 rpm dan tork maksimum 80Nm pada 3,800 rpm.

    “Antara teknologi yang hadir pada motosikal-motosikal ini termasuk mod tunggangan Road dan Rain baharu, keupayaan memilih aksesori Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), kawalan cengkaman boleh tukar serta dilengkapi angkup brek depan Brembo dengan empat omboh baharu,” katanya pada majlis pelancaran Rangkaian Klasik Moden Triumph 2019 di Petaling Jaya baru-baru ini.

    Berikut ialah ciri-ciri menarik pada setiap model.

    Triumph Street Twin

    Pertama kali dilancarkan pada tahun 2016, Street Twin merupakan model paling kontemporari dalam rangkaian Triumph Bonneville dan menjadi motosikal klasik moden paling tinggi jualannya. Ini berikutan penampilan custom yang menarik, tunggangan yang meyakinkan dan enjin tork tinggi yang berkuasa.

    Street Scrambler 2019

    Street Scrambler 2019

    Street Twin 2019 yang baharu kini menawarkan lebih kuasa, spesifikasi peralatan yang lebih tinggi, tunggangan lebih selesa dan teknologi termaju dalam kelasnya. Enjin tork tinggi Bonneville 900cc yang dinaik taraf membekalkan kuasa sebanyak 65PS @ 7500rpm. Digabungkan dengan tork puncak sebanyak 80Nm pada pusingan serendah @ 3,800rpm serta penyerap bunyi berkembar yang melentik ke atas. Model baharu ini juga menawarkan bunyi British Twin yang unik dan tunggangan Street Twin yang responsif dan meyakinkan.

    Street Twin 2019 yang baharu memiliki pengendalian yang dinamik, keselesaan penunggang dan pembonceng yang hebat, serta tahap spesifikasi yang lebih tinggi untuk memberikan lebih kawalan dan tunggangan yang dipertingkatkan. Angkup brek depan Brembo dengan 4 omboh yang baharu menampilkan jenama premium Brembo memberikan kuasa berhenti yang terbaik dengan cengkaman dan kawalan yang lebih meyakinkan untuk penunggang.

    Triumph Street Scrambler

    Mula dilancarkan pada tahun 2017, Street Scrambler yang lasak dan versatil merupakan antara moden klasik tulen Triumph yang paling digemari. Street Scrambler 2019 membawakan dimensi baharu dalam prestasi menerusi peningkatan kuasa dan spesifikasi yang ketara, teknologi termaju dalam kelasnya dan tahap kemasan yang lebih tinggi serta butiran perincian yang cantik.

    Enjin tork tinggi Bonneville 900cc telah dinaik taraf untuk memberikan kuasa puncak sebanyak 65PS @ 7,500 rpm, untuk kelebihan sebanyak 18 peratus berbanding enjin sebelum ini. Digabungkan dengan penghantaran tork tinggi yang unik dengan kemuncak sebanyak 80Nm pada putaran rendah @ 3,200rpm dan sistem ekzos tahap tinggi.

    Ia menawarkan bunyi motosikal lasak yang luar biasa dan tunggangan lincah, responsif lagi mengujakan. Angkup brek depan Brembo dengan 4 omboh baharu yang menampilkan jenama premium Brembo memberikan kuasa berhenti yang terbaik dengan cengkaman dan kawalan lebih meyakinkan untuk penunggang.

    Sepit udang hadapan katrij berspesifikasi lebih tinggi dengan gaiter getah ala motosikal lasak dan pergerakan penuh 120mm memberikan keselesaan pada laluan sedikit lasak. Street Scrambler 2019 mempunyai pilihan warna iaitu fusion white, cranberry red dan khaki green dan matt aluminium.

    Triumph Scrambler 1200 XC dan XE

    Scrambler 1200 XC dibina untuk keseronokan menunggang di jalan raya dan laluan lasak sebenar. Manakala Scrambler 1200 XE dilengkapi dengan keupayaan laluan lasak yang lebih tinggi. Menerusi kerjasama yang unik dengan Ohlins dan casis Scrambler baharu yang disesuaikan secara khusus untuk keupayaan laluan lasak dan keselesaan ergonomik penunggang, Scrambler 1200 dibangunkan untuk keupayaan berkembar ‘klasik dan penerokaan’ yang pertama dalam kelasnya.

    Kedua-dua model menampilkan unit suspensi belakang Ohlins Spring berkembar boleh laras sepenuhnya yang memberikan keupayaan pergerakan dan suspensi roda pendahulu kategori untuk kelebihan laluan lasak dan kelegaan tanah yang hebat. XC memberikan pergerakan roda 200 mm sementara XE memberikan pergerakan 250 mm. Kedua-duanya dilengkapi dengan takungan gendong.

    Triumph Street Scrambler 2019

    Triumph Street Scrambler 2019

    Kedua-dua Scrambler memiliki lengan ayun aluminium pergerakan panjang yang baru direka. Lengan ayun ini lebih panjang pada versi XE, menjadikan XC dan XE baharu benar-benar berupaya menempuh semua keadaan tunggangan. Kedua-dua model 1200 XC dan XE menyediakan tork peneraju kategori dan ‘penalaan scrambler’ yang khusus sumbangan enjin Bonneville High Power 1200cc generasi terkini.

    Triumph Street Twin

    Triumph Street Twin

    Selang pembakaran 270° yang menarik memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan sekata daripada kotak gear enam kelajuan yang mantap. Enjin memberikan kuasa puncak 90 PS @ 7,400 rpm, 38 peratus melebihi Street Scrambler 2019. Enjin turut ditala untuk memberikan ‘tork tinggi’ di jalan raya dan di laluan lasak, pada putaran rendah dan sederhana dengan tork kemuncak 110Nm. Pada putaran rendah 3,950 rpm, 37.5 peratus lebih tinggi berbanding Street Scrambler.

    Triumph Speed Twin

    Paling mencuri tumpuan dalam pelancaran kali ini ialah model Speed Twin 2019. Dipertontonkan buat julung kali di Malaysia, Speed Twin merupakan petanda aras bagi sesebuah custom roadster. Casis yang ringan dan sistem suspensi yang baharu memberikan tunggangan lebih ergonomik dan selesa dengan prestasi pengendalian yang mendahului kelas dan mengujarkan.

    Dengan casis dan pemasangan suspensi baharu yang lebih ringan, Speed Twin memberikan ergonomik roadster yang selesa. Apabila digabungkan dengan sepit udang hadapan katrij berspesifikasi lebih tinggi dan unit suspensi belakang berkembang dengan spring pramuatan boleh laras memberikan tunggangan yang tiada bandingan.

    Angkup paksi berkembar Brembo dengan 4 omboh berspesifikasi tinggi pada bahagian depan dengan cakera berkembar dan angkup terapung dengan 2 omboh serta cakera tinggal pada belakang, memberikan kuasa berhenti yang mantap serta menyokong ciri motosikal roadster moden.

    Speed Twin memiliki enjin Bonneville berkembar selari 1200cc High Power 8-injap, dikemaskinikan secara khusus dengan talaan Thruxton untuk menghasilkan kuasa puncak 97PS @ 6,750rpm dan tork puncak 112 Nm @ 4,950rpm, masing-masing 49 dan 40 peratus lebih tinggi berbanding model 2018.

    Scrambler_1200_XC_TFT Display

    Scrambler_1200_XC_TFT Display

    Speed Twin baharu menampilkan teknologi mengutamakan penunggang untuk memberikan kawalan dan keselamatan kepada penunggang. Selain meningkatkan keyakinan diintegrasikan secara jitu untuk mengekalkan gaya dan ciri Bonneville yang ikonik. Ini termasuklah tiga pilihan mod tunggangan Sport, Road dan Rain.

    Setiap satunya dengan tetapan map pendikit dan kawalan cengkaman untuk kuasa dan keselamatan yang dipertingkatkan bagi penunggang. Dalam mod sport pula, tindak balas pendikit yang lebih pantas, kawalan cengkaman boleh tukar untuk kawalan tunggangan yang lebih baik. Maklumat lanjut mengenai model baharu Triumph, layari www.triumphmotorcycles.my

    Triumph Street Twin

    Triumph Street Twin



    Sumber

  • Proton X70 atasi rekod jumlah penyerahan dalam segmen SUV

    Proton X70 atasi rekod jumlah penyerahan dalam segmen SUV

    KENDERAAN utiliti sukan (SUV) pertama Proton, X70, telah mengatasi semua catatan terdahulu bagi jumlah penyerahan dalam segmen itu, sekali gus memperkukuh jenama automotif nasional sebagai antara peneraju dalam pasaran SUV Malaysia.

    Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia telah menjual 8,500 unit Proton X70 hanya dalam tempoh 100 hari selepas SUV itu dilancarkan.

    Selain itu Proton turut merekodkan kadar pertumbuhan jualan tertinggi dalam kalangan tiga jenama automotif utama di Malaysia, apabila mencapai 42 peratus bagi tempoh dua bulan pertama 2019.

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata pemacu utama prestasi ini adalah Proton X70, yang menjadi model paling popular pada Januari dan Februari (berdasarkan angka pendaftaran rasmi) dan ia berada di landasan untuk mencapai pengiktirafan yang sama bagi bulan ketiga berturut-turut.

    “Ini membuktikan pembeli kereta di Malaysia telah meminati SUV pertama kami, dan Proton akan terus menghargai sokongan mereka malah sentiasa berusaha menyiapkan lebih banyak unit secepat mungkin bagi mengurangkan tempoh menunggu,” katanya dalam kenyataan itu. -Bernama



    Sumber

  • Sifat sabar dipandang tinggi oleh ALLAH SWT

    Sifat sabar dipandang tinggi oleh ALLAH SWT

    SEBAGAI hamba kepada Sang Pencipta, kita tidak lari daripada sebarang ujian.

    Untuk menghadapinya, ia memerlukan kesabaran yang tinggi dalam diri.

    Kenapa sifat sabar itu begitu ditekankan di dalam Islam?

    Imam Ghazali menyebut dalam dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin bahawa terdapat lebih 74 perkataan sabar di dalam al-Quran!

    Bayangkan, begitu banyaknya perkataan itu yang sudah pasti ada sebab kenapa ALLAH SWT mahukan hamba-Nya bersabar.

    Sebenarnya, sifat sabar ini akan mendekatkan jiwa hamba-Nya kepada Yang Maha Esa.

    Tidak mungkin seseorang itu bersabar melainkan dia teringatkan Tuhannya kerana sabar adalah penawar yang mendekatkan diri pada-Nya.

    Kita bukan sahaja dituntut bersabar ketika menghadapi ujian sahaja, bahkan juga dalam memerangi hawa nafsu.

    Di dalam kalam ALLAH, ada satu surah yang amat menekankan aspek sabar yang hasilnya membawa ke syurga.

    Firman ALLAH SWT: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-Asr: 1-3)

    Kepada orang-orang yang bersabar, ALLAH SWT juga bakal mengurniakan kebaikan berterusan dengan pahala yang berpanjangan.

    Ia sebagaimana firma ALLAH SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar: 10)

    Erti sabar sebenarnya tidak semudah seperti menyebutnya.

    Sentuhannya perlu datang daripada hati yang reda.

    Apapun, ingatlah sifat sabar ini begitu dipandang tinggi oleh ALLAH SWT.

    Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang sabar.

    (Sumber: Fatin Nor Izzati)



    Sumber

  • Em Fitness pupuk staf E-Mutiara lebih cergas

    Em Fitness pupuk staf E-Mutiara lebih cergas

    KONSORTIUM E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) melancarkan pusat kecergasan di ibu pejabat syarikat itu di Kota Bharu, Kelantan bagi menggalakkan semua kakitangannya mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

    Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pusat kecergasan yang diberi nama Em Fitness itu diharap mampu memberi manfaat kesihatan untuk jangka panjang kakitangan syarikat. Menurutnya, Em Fitness berkonsepkan santai dengan staf E-Mutiara boleh menggunakan kemudahan bersenam mengikut jadual ditetapkan tanpa bayaran.

    “Memang dah lama kita rancang nak buat satu tempat riadah dan akhirnya ia menjadi kenyataan. Kita galakkan semua kakitangan guna kemudahan ini mengikut waktu lapang mereka kerana ia percuma. “Sebagai syarikat pengendali bas ekspres, saya mahu mereka menjadi warga kerja yang sihat dan bebas daripada masalah kesihatan agar boleh datang bekerja setiap hari dengan badan yang cergas,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Em Fitness sempena Hari Sukan E-Mutiara di Kota Bharu baru-baru ini. Hadir sama Pengarah Pentadbiran dan Undang-Undang E-Mutiara, Naemah Ya’acob dan Pengurus Kewangan, Siti Norzulhaida Yusoff.



    Sumber

  • Hukum memakai gincu bibir ketika puasa

    Hukum memakai gincu bibir ketika puasa

    MENJADI kebiasaan setiap wanita untuk mengenakan gincu bibir sebelum ke mana-mana walaupun, hanya olesan tipis sahaja.

    Namun, di dalam bulan Ramadan ini, bolehkah kita memakai gincu ketika sedang berpuasa pada waktu siangnya?

    Menjawab persoalan itu, hukum penggunaan gincu bibir pada siang hari Ramadan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana kita tidak menelan masuk ke dalam rongga.

    Hanya sekadar ‘rasa’ pada bibir, maka, ia tidak membatalkan puasa kita.

    Namun, sekiranya ia ditelan (memasuki rongga), rasa yang terdapat pada gincu itu, maka, batal puasa kita.

    Ia berdasarkan fatwa Ibn ‘Abbas RA mengenai merasa makanan: “Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya selagi ia tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (9277))

    Di dalam kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menyebut: “Tiada batal puasa sebab merasai makanan dengan lidah dan jika sampai rasa makanan itu kepada rukungan (kerongkong) sekalipun daripada kerana rasa makanan itu athar’ jua bukan ‘ain.”

    Apabila seseorang merasa makanan, sudah pasti ia akan memberikan kesan rasa kepada yang merasanya iaitu lidah.

    Selagi mana seseorang itu tidak menelannya, maka, tidaklah batal puasanya.

    Begitu juga keadaannya dengan gincu bibir iaitu sekadar terdapat rasa sahaja, ia belum membatalkan puasa melainkan kita menelannya yang menyebabkan batalnya puasa kita.

    Apapun, memakai gincu untuk memperlihatkan kepada orang lain dalam keadaan berlebihan (tabarruj) adalah amat tidak digalakkan di dalam Islam.

    Bagaimanapun, untuk suami, ia dibenarkan sebagai berhias diri.

    (Sumber: Irsyad al-Fatwa Khas Ramadhan #75: Hukum Penggunaan Lipstick Ketika Berpuasa, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



    Sumber

  • Ekspo MCVE 2019 kembali lagi Jun ini

    Ekspo MCVE 2019 kembali lagi Jun ini

    BUAT kali keempat tahun ini, Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) kembali lagi dengan pembukaan pameran bertempat di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC) Seri Kembangan, Selangor bermula dari 20 hingga 22 Jun depan.

    MCVE yang bertemakan Masa Hadapan Pengangkutan di Malaysia bakal mempamerkan kira-kira 70 buah syarikat dan pengendali industri komersil dalam dan luar negara.Pameran terbesar di Asia Tenggara yang dikhususkan untuk kenderaan komersial telah menarik 60 penyertaan dan lebih daripada 6,700 pengunjung bagi edisi terdahulu.

    Pada tahun ini pula, pihak penganjur menyasarkan jumlah peserta yang sama. Acara MCVE ini turut mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan.

    Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcve.com.my.



    Sumber

  • Usah ceritakan aib sendiri

    Usah ceritakan aib sendiri

    APABILA terdengar orang bercerita tentang amal kebaikan yang dilakukannya, kita tidak hairan kerana itu sememangnya sifat manusia yang suka menunjuk-nunjuk.

    Namun, jika ada yang bercerita membuka aib diri sendiri dan berbangga dengan apa yang dilakukannya, sudah tentu kita berasa pelik, bukan?

    Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan. Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu. ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT dari dirinya.” (Riwayat Muslim)

    Hadis itu memberi peringatan pada kita. Seandainya kita melakukan kesalahan, biarlah ia menjadi rahsia diri kita sahaja.

    Bahkan, ALLAH SWT juga telah berjanji akan menutup aib seseorang kecuali, jika kita sendiri yang membuka pekung sendiri.

    Sedar atau tidak, ia banyak berlaku di dalam media sosial.

    Ada yang menceritakan perihal rumah tangga, masalah peribadi dan krisis dengan jiran menerusi media sosial.

    Apa agaknya yang berlaku apabila semua orang membaca ‘luahan’ kita itu?

    Itu belum lagi bila kisah kita itu dijaja dan disebarkan serta orang ramai pula memberikan pandangan peribadi pada ruangan komen.

    Bukan nama kita sahaja yang bakal menjadi sebutan.

    Malah, mungkin suami atau keluarga kita juga terpalit sama.

    Ya ALLAH, malunya…

    Hakikatnya, bukan itu caranya untuk kita mendapatkan ketenangan tatkala dibelenggu masalah.

    ALLAH SWT sudah menyediakan sebaik-baik cara jalan penyelesaian buat hamba-Nya yang berada dalam kesusahan.

    Apa kata, kita cuba cara ini:

    1. Banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT. Ketika berdoa, luahkan segala isi hati, permintaan dan bantuan yang diingini. Lakukan dengan bersungguh-sungguh.

    2. Lakukan solat taubat. Mana tahu, segala yang berlaku adalah disebabkan dosa-dosa secara sengaja atau tidak yang kita lakukan.

    3. Menyesal. Berazam untuk tidak lagi akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.

    4. Dekatkan diri dengan orang positif supaya kita sentiasa berasa tenang dan jauh daripada perkara-perkara negatif.

    Jadi, berhati-hatilah. Jangan kita tersilap langkah sehingga membuka pekung di dada.

    (Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • Kilang Proton pertama di Pakistan

    Kilang Proton pertama di Pakistan

    SATU projek kilang pemasangan CKD bagi kereta-kereta Proton yang pertama di Pakistan secara rasminya akan dilaksanakan apabila Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, menandatangani plak marmar pada satu majlis yang diadakan di Islamabad, Pakistan baru-baru ini.

    Kilang yang akan dibina di tapak Greenfield di Karachi akan dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive, pengedar rasmi untuk kereta-kereta Proton di Pakistan dan dijangka memulakan operasi sebelum akhir tahun 2020. Pada tahun 2017, Proton melancarkan strategi tujuh bintang iaitu pelan hala tuju untuk mencapai matlamat jangka panjang kereta termasuklah menyasarkan jualan 400,000 unit menjelang 2027.

    Sasaran pertumbuhan utama pada masa hadapan bagi syarikat ialah jualan eksport dan penubuhan kilang pemasangan CKD di pasaran luar negara. Ia merupakan salah satu langkah yang diambil untuk mengembangkan angka tersebut.

    Bagi menubuhkan Proton di Pakistan, satu perjanjian bersama ALHAJ Automotive telah ditandatangani pada 29 Ogos 2018 yang mana kumpulan tersebut dilantik sebagai pengedar tunggal untuk kereta-kereta Proton di Pakistan. Pelan yang telah dirangka iaitu membina sebuah kilang pemasangan yang baharu antara lain untuk memanfaatkan pengurangan cukai bagi kenderaan CKD di negara ini.

    Pengerusinya, Datuk Sri Syed Faisal Albar berkata, Proton sangat berbesar hati dengan hubungan strategik bersama ALHAJ Automotive. Ia bergerak maju sejak syarikat menandatangani perjanjian Ogos lalu.

    “Bagi mengembangkan jualan kereta-kereta Proton di luar Malaysia adalah penting bagi kami untuk mencapai matlamat jangka panjang dan berharap pasaran automotif Pakistan menjadi salah satu daripada punca pertumbuhan kami untuk masa hadapan. “Sebagai pengedar dan pemasang kenderaan yang terkenal, ALHAJ Automotive mempunyai pengalaman dan sumber-sumber yang diperlukan untuk mengurus dan meningkatkan jualan kereta-kereta Proton di Pakistan,” katanya.



    Sumber

  • Ketahui beza demam biasa, selesema

    Ketahui beza demam biasa, selesema

    KETAHUI tanda-tanda demam biasa dan selesema, apa perbezaannya dan bagaimana kebersihan yang baik boleh membantu melindungi anda seisi keluarga daripada kuman yang menyebabkan penyakit ini.

    Demam biasa dan selesema adalah disebabkan oleh virus-virus yang disebarkan daripada orang lain kepada orang lain.

    Cara anda boleh dijangkiti demam dan selesema termasuklah:

    Bernafas dalam titisan air kecil yang mengandungi virus yang dilancarkan ke udara setiap kali seseorang yang menghidapi demam atau selesema bersin, batuk atau bercakap.

    Dengan menyentuh permukaan tercemar, seperti tisu yang telah digunakan oleh orang yang dijangkiti, pemegang pintu, pemegang jalan dan telefon, malah dengan menyentuh hidung dan mata anda.

    Elakkan bersentuhan dengan orang yang dijangkiti.

    Apakah perbezaan antara demam biasa dan selesema?

    Kadangkala sukar untuk tahu. Kebanyakan tanda-tanda adalah sama dan kedua-duanya disebabkan oleh virus, bukan bakteria.

    Ini bermakna anda tidak boleh merawat demam dan selesema dengan antibiotik. Tanda-tanda demam adalah lebih sederhana berbanding selesema, dan ia tidak menyebabkan masalah kesihatan yang serius, tetapi selesema boleh.

    Ringkasan tentang demam biasa

    Demam biasa adalah jangkitan yang memberi kesan kepada sistem pernafasan. Puncanya adalah virus selesema, virus sinsitium pernafasan (RSV), virus parainfluenza, adenovirus dan coronavirus.

    Tanda-tanda ini boleh muncul dalam pendedahan dalam 10-12 jam dan termasuklah:

    Hingus meleleh,

    Sakit atau kegatalan tekak

    Batuk

    Bersin

    Demam sedikit (biasanya kanak-kanak)

    Ringkasan tentang selesema

    Terdapat tiga jenis virus selesema.

    Virus jenis A merupakan penyebab utama selesema terhadap manusia dan haiwan.

    Jenis B pula adalah kurang biasa dan menyebabkan penyakit yang kurang serius.

    Jenis C pula menyebabkan selesema sederhana dan jarang sekali dijangkiti.

    Tanda-tanda selesema biasanya lebih serius berbanding demam biasa dan ia termasuklah:

    Demam mengejut (biasanya 39°C atau ke atas)

    Batuk kering

    Sakit otot

    Pening Sakit tekak

    Keletihan melampau

    Hingus meleleh atau hidung tersumbat

    Mual, muntah dan cirit-birit (biasanya kanak-kanak)

    Bagaimana kebersihan boleh melindungi anda daripada demam dan selesema?

    Kebersihan yang baik boleh membantu mencegah demam dan menghalang penyebaran virus demam dan selesema di sekitar rumah anda.

    – Tutup mulut dan hidung anda dengan tisu apabila anda bersin dan batuk.

    – Buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan basuh tangan selepas itu.

    – Jika anda tidak mempunyai akses kepada sabun dan air, sila gunakan pembasmi kuman tangan.

    – Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air atau gunakan pembasmi kuman.

    – Bersihkan dan basmi kuman di kawasan yang disentuh dengan kerap, seperti pemegang pintu, pemegang jalan dan pili. Elakkan bersentuhan dengan orang yang dijangkiti demam atau selesema apabila seseorang menghidapi demam atau selesema.

    – Duduk di rumah dan jauhkan diri dari orang lain. Minum banyak cecair seperti air. Jika perlu, ambil ibuprofen atau paracetamol untuk meredakan tanda-tanda jangkitan. Amalkan kebersihan yang terbaik.

    Berapa lama selesema akan berjangkit?

    Tempoh pengasingan untuk selesema biasanya adalah satu ke tiga hari selepas dijangkiti. Jika anda menjangkiti selesema, anda boleh menjangkiti seseorang sehari sebelum tanda-tanda ini muncul, dan kadangkala sehingga lima hari selepas tanda-tanda ini muncul.

    Itu bermakna anda boleh menjangkiti seseorang sebelum anda tahu anda menjangkitinya.

    Kebanyakan orang sembuh daripada selesema, tetapi ia mungkin membawa komplikasi seperti bronkitis, pneumonia dan kes jarang seperti meningitis.



    Sumber

  • Keberkatan mencari rezeki pada waktu pagi

    Keberkatan mencari rezeki pada waktu pagi

    ISLAM begitu menggalakkan umatnya mencari rezeki pada waktu pagi.

    Waktu pagi sebenarnya adalah saat yang penuh berkat untuk kita melakukan pelbagai perkara.

    Alangkah ruginya seandainya kita gunakan masa ini untuk menyambung tidur usai solat Subuh.

    Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan.” (Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)

    Kenapa waktu pagi dikatakan sebagai waktu yang berkat dan membawa keuntungan?

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Shakhr bin Wada’ah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa agar umatnya diberikan berkah pada waktu pagi.

    Shakhr adalah seorang pedagang biasa yang mengirimkan barang dagangannya pada pagi hari sehingga beliau menjadi kaya dan banyak hartanya.

    Ini bermakna, Shakhr bin Wada’ah adalah orang yang selalu menyambut keberkahan ALLAH SWT pada waktu pagi.

    Hakikatnya, tidak semua daripada kita mudah untuk bangun pagi.

    Kadangkala, ada dalam kalangan kita terpaksa mengunci jam berkali-kali supaya dapat bangun tepat pada waktunya.

    Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan, tidur yang sangat tidak disukai oleh orang-orang soleh ialah tidur di antara solat Subuh dan terbit matahari.

    Kerana apa? Sebab pada detik itu sebenarnya terdapat satu keistimewaan sehinggakan jika dikatakan seseorang melakukan perjalanan sehari suntuk, dia tidak dapat menandingi kelebihan mencari rezeki pada waktu pagi.

    Bahkan, Rasulullah SAW sendiri, usai solat Subuh, baginda akan akan duduk di tempat solatnya sehingga terbit matahari.

    Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa solat fajar (solat Subuh) berjemaah di masjid kemudian, tetap duduk berzikir mengingati ALLAH hingga terbit matahari lalu, solat dua rakaat (solat duha), maka, seakan-akan ia mendapatkan pahala haji dan umrah dengan sempurna, sempurna dan sempurna.” (Riwayat at-Tirmizi)

    Alangkah ruginya jika kita mensia-siakan peluang yang ALLAH berikan pada waktu pagi untuk mencari rezeki.

    Marilah kita ubah aktiviti biasa kita kepada yang lebih baik.

    Mudah-mudahan apa yang ditawarkan oleh ALLAH SWT akan menjadi milik kita juga.

    (Sumber: Mohd Nasruddin Dasuki)



    Sumber