Blog

  • Pesakit di Asia alami kegagalan jantung sedekad lebih muda berbanding pesakit Eropah

    Pesakit di Asia alami kegagalan jantung sedekad lebih muda berbanding pesakit Eropah

    SERAMAI lebih 26 juta orang mengalami kegagalan jantung di seluruh dunia dan penyakit ini mencatatkan kadar morbiditi dan kematian yang tinggi.

    Meskipun kegagalan jantung boleh dialami oleh sesiapa saja pada sebarang usia, kegagalan jantung di negara-negara Asia Tenggara berlaku pada usia yang lebih muda berbanding dengan negara-negara Barat.

    Kegagalan jantung di rantau ini mempunyai ciri-ciri klinikal yang lebih teruk, dengan faktor-faktor risiko vaskular seperti hipertensi (tekanan darah tinggi), obesiti (kegemukan) dan diabetes (kencing manis).

    Pesakit-pesakit di Asia yang mengalami kegagalan jantung yang stabil juga sekurang-kurangnya satu dekad lebih muda daripada pesakit Eropah.

    Oleh yang demikian, terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini di negara kita.

    Di Malaysia, kegagalan jantung merupakan punca utama kemasukan hospital dan membentuk enam ke 10 peratus daripada semua kemasukan perubatan, dengan kematian seorang dalam 10 pesakit yang dimasukkan ke hospital.

    Pakar Perubatan dan Perunding Kardiologi, Hospital Serdang, Dr Abdul Muizz Abd Malek menerangkan, kegagalan jantung merujuk kepada keadaan jantung yang tidak boleh mengepam darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh badan.

    “Bagaimanapun, ramai orang salah faham dan menyangka bahawa jantung tidak lagi dapat berfungsi bila seseorang mengalami kegagalan jantung.

    “Memang menakutkan jika kita didiagnos mengalami kegagalan jantung, tetapi dengan kemajuan perubatan dan teknologi, serta perubahan kepada gaya hidup yang sihat dan sokongan keluarga, pesakit boleh menjalani hidup yang sihat dan normal,” katanya sempena program Heart Failure Camp dianjurkan oleh Jabatan Kardiologi, Hospital Serdang dengan sokongan Novartis Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini

    Dalam pada itu, menurutnya, terdapat beberapa simptom kegagalan jantung, dengan kesesakan nafas, buku lali yang bengkak dan kelesuan menjadi simptom-simptom yang paling umum.

    Di Malaysia, penyakit arteri koronari dan hipertensi telah dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan jantung dan membentuk hampir 70 peratus daripada semua kes.

    “Meskipun pencegahan dan intervensi awal adalah penting, langkah-langkah yang lain seperti memberi kaunseling kepada pesakit dan anggota keluarga mereka tentang kegagalan jantung, mengawal diet dan pengambilan air juga penting.

    “Begitu juga senaman dan perubahan gaya hidup seperti kepatuhan mengambil ubat, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol juga penting untuk menguruskan penyakit ini,” katanya.



    Sumber

  • Cara terhormat lupus al-Quran

    Cara terhormat lupus al-Quran

    KETIKA sedang membaca al-Quran, Safiah Mohamad, diganggu anaknya berusia dua tahun yang bermain berhampiran tempat beliau mengaji.

    Si kecil itu, Humairah Ayub, tanpa sengaja telah menyebabkan helaian muka surat al-Quran yang dibaca wanita itu terkoyak.

    Safiah, 30, tidak tahu hendak buat apa dengan helaian yang terkoyak itu. Bukan sahaja terkoyak dua, malah cetakannya sudah tidak berapa jelas untuk dibaca.

    Hendak dibuang, Safiah rasa serba salah. Ia adalah kitab suci umat Islam. Kalam ALLAH pula. Bolehkah dibuang begitu sehaja?

    Fikirannya menerawang seketika. Mana mungkin beliau boleh berbuat demikian sedangkan mahu memegang al-Quran pun perlu ada wuduk.

    Jika tidak dilupuskan, ia mungkin boleh jadi bahan ‘mainan’ anaknya yang masih tidak mengerti apa-apa. Apa yang harus dilakukannya?

    Dalam hal ini, penulis percaya, bukan sahaja Safiah tetapi ramai lagi yang pernah menghadapi situasi sama, bukan? Mungkin juga ada di antara anda yang masih lagi menyimpan al-Quran lama gara-gara tidak tahu buat apa-apa.

    Bagaimana cara melupuskan al-Quran lama atau helaian al-Quran yang terkoyak menurut perspektif Islam?

    Tiga kaedah

    MOHAMAD SHUKRI

    MOHAMAD SHUKRI

    Bagi menjelaskan perkara tersebut, Sinar Islam mendapatkan pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

    Jelas beliau, ada beberapa cara pelupusan yang boleh dilakukan mengikut syariat Islam. Mohamad Shukri berkata, pada zaman lampau, situasinya berbeza.

    “Dakwat al-Quran yang digunakan tidak kekal. Jadi, apabila direndam di dalam air, tulisan ayat al-Quran itu boleh tanggal,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Teknik kedua adalah melalui cara pembakaran, ujar beliau.

    “Namun, pembakaran yang menjamin kehormatan al-Quran agar ia tidak dicemari. Antaranya ialah tempat pembakaran itu tertutup dan abunya tidak diterbangkan oleh angin.

    “Kemudian, cara sesetengah pihak membentuk abu al-Quran menjadi kiub-kiub kecil dan dibawa ke laut untuk ditenggelamkan juga boleh dilaksanakannya,” katanya.

    Agamawan itu menambah, pendekatan lain ialah dengan menanam abu di tempat yang tinggi agar bebas daripada dipijak atau laluan manusia.

    “Ini agak sukar kerana mungkin perlu naik ke puncak bukit dan sebagainya,” katanya.

    Namun, kata Mohamad Shukri, kaedah yang banyak diamalkan masyarakat pada hari ini adalah membakar helaian kalam ALLAH tersebut.

    “Sebelum dibakar, helaian al-Quran dipotong halus agar dapat dibakar hangus hingga menjadi abu. Abu itu kemudiannya ditenggelamkan di dasar laut. Bila abu masuk ke dalam air, ia akan larut. Maka, tiadalah (isu) orang hendak terlangkah dan sebagainya,” ujarnya.

    Apabila sudah menjadi abu, bagaimana dengan kehormatan al-Quran itu?

    Menjawab soalan ini, Mohamad Shukri berkata: “Kalau al-Quran dalam bentuk biasa, hendak menyentuhnya, kita kena berwuduk. Namun, kalau sudah dibakar dan ayat-ayat al-Quran itu sudah hilang, maka, tidak lagi perlu disentuh abu itu dalam keadaan kita berwuduk.

    “Bagaimanapun, abu itu masih ada penghormatannya sebagai al-Quran. Apa-apa tindakan yang hendak kita ambil adalah terus mengekalkan penghormatan al-Quran itu walaupun, ia sudah menjadi abu. Hanya sifat sahaja yang berubah tetapi tidak pada penghormatannya. Ia masih lagi perlu dipelihara,” jelasnya.

    Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan.” (Surah al-Waqi’ah, ayat 79)

    Ujar Mohamad Shukri, ayat itu jelas menunjukkan al-Quran itu perlu dihormati walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

    Kalamullah

    ​​

    USTAZ HADI TALHAH

    USTAZ HADI TALHAH

    Sementara itu, pendakwah, Ustaz Hadi Talhah turut memberikan pandangannya tentang pelupusan al-Quran yang wajib berpandukan syarak. Ujar beliau, al-Quran bukan sahaja kalamullah tetapi juga perkataan suci daripada ALLAH SWT yang sudah tentu mempunyai nilai tinggi.

    “Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Maka, sebab itu kalau ada mushaf al-Quran yang sudah rosak atau koyak atau reput kertasnya, ia perlu dilupuskan dengan cara yang dianjurkan syarak. Ia agar kalam ALLAH itu tidak dibiar begitu sahaja atau dilangkah atau diletak di tempat yang tidak sepatutnya.

    “Sebab itulah al-Quran dilupuskan dengan cara antaranya dibakar dan abunya dibuang ke laut. Ia lebih mulia, tidak seperti kitab-kitab atau buku-buku yang lain,” katanya kepada Sinar Islam.

    Sebenarnya, tiada masalah jika seseorang ingin menyimpan al-Quran lama atau helaian yang terkoyak di tempat khas yang terpelihara.

    “Cuma lebih elok jika ia dibakar dan dilupuskan dengan cara sepatutnya kerana ia dibimbangi mungkin dilangkah atau diletakkan di tempat yang bercampur-campur dengan barang lain yang menyebabkan proses pemeliharaan al-Quran sukar dicapai,” jelas beliau.

    Hari kiamat

    Menurutnya, betapa pentingnya al-Quran untuk dipelihara umat Islam kerana kalam ALLAH itu akan diangkat sebelum berlakunya hari kiamat nanti.

    Jelas beliau, maksud diangkat adalah ayat-ayat al-Quran akan dihilangkan daripada mushaf itu sendiri. Mungkin sekarang masih ada tulisan ayat-ayat al-Quran pada mushaf berkenaan, namun, sebelum berlakunya hari kiamat nanti, tulisan itu akan hilang. Al-Quran akan menjadi kosong! Semuanya atas kuasa-Nya.

    “Itu merupakan antara tanda-tanda kiamat. Sebab apa al-Quran diangkat? Sebab Kalamullah ini tak binasa, tidak seperti makhluk-makhluk lain. Inilah kesucian al-Quran.

    “Jadi, ALLAH SWT hilangkan al-Quran sebelum berlakunya kiamat supaya dapat dipelihara al-Quran itu. Ia bukan satu benda yang binasa di sisi ALLAH. Sebab itu ia dijaga sebelum berlakunya kiamat,” ujar beliau.

    Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya, Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

    Ayat itu kata Ustaz Hadi, memberi jaminan tentang kesucian dan kemurnian al-Quran selama-lamanya.

    Jelasnya, ini bermakna, ALLAH SWT yang menjaga dan memelihara sifat al-Quran menyebabkan ia tidak akan hilang sampai bila-bila.

    “Ia tidak akan hilang seperti mana kitab Taurat, Injil dan Zabur, sebaliknya, ALLAH akan pelihara al-Quran.

    “Satu lagi, al-Quran tidak boleh diubahsuai. Ia tidak seperti kitab Taurat, Injil dan lain-lain di mana orang Yahudi dan Nasara mengubahsuai kitab berkenaan sehinggakan orang tidak tahu mana satu yang asli. Namun, al-Quran memang tidak boleh diubahsuai kerana yang menjaganya bukan manusia tetapi ALLAH SWT,” jelas beliau.

    Ustaz Hadi menambah, pada zaman sahabat Rasulullah SAW, tiada pelupusan al-Quran berlaku sebaliknya, ketika itulah al-Quran dikumpulkan dan kemudian mukjizat ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW itu dibukukan.

    “Namun, pada zaman kita ini, cetakan al-Quran terlalu meluas dan banyak serta kadangkala ada kesilapan atau rosak. Melihat perkara ini, ilmuan-ilmuan Islam berijtihad tentang bagaimana hendak menjaga kehormatan al-Quran.

    “Maka, ulama kita berpandangan agar dibakar al-Quran lama atau helaian yang rosak dan kemudian, abunya dibuang di laut. Inilah cara yang sebaiknya supaya ia tidaklah diletak di tempat-tempat tidak sepatutnya,” katanya.

    Kepada satu soalan, Ustaz Hadi menjelaskan: “Jika ada buku-buku yang mengandungi ayat al-Quran, cara pelupusannya adalah sama seperti al-Quran.

    “Sebenarnya, buku-buku agama ini adalah mulia, sama seperti al-Quran yang memang sangat mulia 100 peratus. Buku-buku ini tidak boleh kita hina sebab ada sebahagian kandungan dalam buku ini mengandungi ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.

    “Perkara ini mesti dijaga dan jangan dilangkah seperti mana kalam ALLAH. Sama juga seperti buku Surah Yasin. Sekiranya ia sudah buruk, reput dan sebagainya, bakarlah dan kemudian abunya dibuang di laut atau sungai,” jelas beliau.



    Sumber

  • Proton terus kekalkan kecemerlangan

    Proton terus kekalkan kecemerlangan

    PROTON mengekalkan kecemerlangan awal tahun 2019 apabila mengakhiri suku pertama dengan peningkatan jualan.

    Rekod pendaftaran bagi Mac mencecah 6,145 unit iaitu pegangan pasaran sebanyak 11 peratus, peningkatan 2.6 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun 2018.

    Pada bulan sama juga, ia menyaksikan pertumbuhan positif bagi industri automotif dengan anggaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) meningkat sebanyak 11.8 peratus dari tahun ke tahun. Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, Proton sekali lagi mengatasi pasaran dengan peningkatan pendaftaran sebanyak 46.1 peratus, bersamaan kadar pertumbuhan hampir empat kali lebih tinggi daripada keseluruhan industri.

    X70

    X70

    “Bagi tiga bulan pertama tahun 2019, angka kumulatif adalah 43.5 peratus atau lebih daripada enam kali bilangan TIV sebanyak 6.7 peratus. “Kedudukan keseluruhan jualan Proton adalah yang paling kehadapan berbanding jenama pesaing lain bagi bulan ini dan suku pertama 2019,” katanya.

    Ujar Chunrong, prestasi itu juga bermakna syarikat mendahului jenama automotif keempat terlaris di Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan popular dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia.

    “Angka yang dicatatkan oleh Proton bagi tahun 2019 merupakan hasil daripada usaha jitu yang dilakukan oleh setiap pekerja.

    “Pencapaian ini juga adalah disebabkan oleh pembukaan cawangan-cawangan 3S/4S, peningkatan kualiti produk, tumpuan penuh pada perkhidmatan pelanggan serta penambahbaikan pada bahagian-bahagian yang lain.

    “Dengan pelancaran pelbagai lagi model oleh syarikat pada tahun ini, Proton yakin pelaburannya dalam perniagaan akan terus memberi kelebihan kepada pertumbuhan jualan,” katanya.



    Sumber

  • JPBM terima 5,340 naskhah al-Quran wakaf

    JPBM terima 5,340 naskhah al-Quran wakaf

    PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) akan mengagihkan 5,340 naskhah al-Quran yang diterima daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kepada 316 balai dan ibu pejabat.

    Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ia bagi mewujudkan Quran Corner di setiap balai.

    “Ini satu usaha untuk kita memanfaatkan al-Quran ini dan mengamalkan dalam pekerjaan,” katanya.

    Beliau ditemui ketika JPBM yang diwakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menerima sumbangan tersebut dalam Majlis Infaq di sini hari ini.

    Hadir sama, Sekretariat WUIF, Hashim Anang.

    Abdul Wahab berkata, al-Quran tersebut melengkapkan program kerohanian yang dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Agama JBPM.

    “Unit ini merangka pelbagai program antaranya pertandingan musabaqah al-Quran, Nuzul Quran dan sebagainya,” kata beliau.



    Sumber

  • Bahaya sepi tidak berteman

    Bahaya sepi tidak berteman

    Warga emas dalam golongan ini akan berasa sedih keterlaluan, rasa diri tidak berguna dan dipinggirkan

    PENUAAN merupakan satu proses yang sangat mencabar.

    Cabaran itu bukan hanya kepada warga emas itu sendiri malah tempias turut terkena kepada individu yang berada di sekelilingnya.

    Berdasarkan statistik, 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia mengalami Sindrom Sarang Kosong iaitu rasa kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian kerana berjauhan dengan anak-anak (www.myhealth.gov.my, 2017).

    Keadaan itu menyebabkan golongan tersebut mudah terkena pelbagai penyakit termasuk kemurungan.

    Jika keadaan menjadi lebih serius, kemurungan juga boleh mendorong seseorang bertindak di luar kewarasan diri sehingga ke tahap hendak membunuh diri.

    Namun, apa yang dibimbangi, Malaysia bakal mencapai status negara warga emas (negara menua) yang dijangka berlaku pada 2030.

    Sejauhmana mana persediaan masyarakat Malaysia dalam berdepan trend itu? Bagaimana kita boleh memainkan peranan membantu golongan berkenaan?

    Ikuti kupasan lanjut mengenai isu yang menjadi dilema dalam kalangan warga emas.

    MARYAM AHMAD, 60, tinggal bersendirian di rumahnya sejak suami tercinta meninggal dunia dua tahun dulu.

    Beliau mempunyai tiga orang anak dengan kesemuanya sudah berkeluarga. Dua anaknya tinggal berjauhan, cuma seorang sahaja anak yang tinggal berhampiran. Namun, itu pun jarang menjenguknya.

    “Memang anak-anak ada ajak tinggal bersama mereka tetapi saya sayangkan kenangan di rumah ini dan tidak ingin menyusahkan anak dan menantu.

    “Saya lebih selesa tinggal di rumah sendiri. Memang rasa sunyi dan kesedihan saya semakin menjadi-jadi sejak setahun lalu,” katanya kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.

    Bagaimanapun, Maryam berkata, selepas berjumpa pihak hospital, pakar mengesyakinya mengalami perasaan kesunyian melampau dan juga kemurungan.

    “Ketika menghadiri rawatan susulan, saya berterus-terang dengan pakar tentang perasaan yang membelenggu saya. Sejak itu, pihak klinik dan hospital mengatur beberapa kaunseling terapi dan juga menjemput anak saya untuk kaunseling bersama keluarga,” katanya.

    Merujuk kepada laporan Banci 2000, kira-kira tujuh peratus daripada 1.4 juta warga tua di negara ini yang berumur 60 tahun ke atas tinggal bersendirian. Mereka berkemungkinan menghadapi pelbagai masalah kesihatan, sosial dan psikologikal.

    Menurut laman web www.myhealth.gov.my, kira-kira 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia (2017) mengalami masalah kesunyian.

    Sementara itu, 72 peratus warga tua di bandar (seperti di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor) akan tinggal bersama anak-anak menjelang tahun 2020. Namun, kebanyakan anak mereka keluar bekerja (Kertas Kerja Seminar Antarabangsa bersama UKM-UNHAS Ke-V 2011).

    Situasi itu dikatakan berupaya menyebabkan ibu bapa berhadapan dengan situasi kesepian dan kesedihan di samping hal-hal berkaitan dengan keselamatan diri. Ia sebenarnya sama seperti kes dialami oleh Maryam.

    Keadaan akan menjadi bertambah buruk apabila golongan warga emas rata-ratanya sudah uzur, kurang upaya dan mempunyai penyakit kronik yang memerlukan penjagaan rapi.

    Melihat kepada statistik Jabatan Perangkaan baru-baru ini yang menyaksikan peningkatan jangka hayat iaitu 61.6 tahun bagi lelaki dan 65.6 tahun bagi wanita pada tahun 1970-an kepada 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita pada tahun 2016 menunjukkan jangka hayat warga emas semakin panjang.

    Persoalannya, adakah akan lebih ramai orang tua di Malaysia menghadapi masalah kesepian?

    Sindrom Sarang Kosong

    Penulis juga risau apabila meneliti hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia kali ke-5 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (2014).

    Laporan itu antara lain menyebut, seramai 34.2 peratus atau satu per tiga warga emas di Malaysia pernah menghidapi sindrom kesunyian.

    Kesepian dalam kalangan warga emas di negara ini dikatakan semakin bertambah akibat perubahan struktur keluarga, psikososial dan gaya hidup semasa.

    Bagi mengulas fenomena tersebut, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Keluarga & Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Aznan Md Aris.

    Prof Aznan

    Prof Aznan

    Warga emas dalam kategori tersebut dikenali sebagai Empty Nest Syndrome (Sindrom Sarang Kosong) iaitu merujuk kepada perasaan keseorangan dan kesedihan, kata Dr Mohd Aznan.

    “Sindrom ini biasanya boleh berlaku apabila anak-anak pesakit mula meninggalkan rumah ibu bapa mereka untuk bekerja, belajar atau berkahwin. Selain itu, ia terjadi apabila warga emas ini kehilangan pasangan hidup akibat kematian atau penceraian.

    “Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu memasuki era persaraan atau tidak bekerja. Pendek kata apabila tinggal bersendirian, mereka merasakan kesepian, kesedihan secara berlebihan, kemurungan, rasa diri tidak berguna dan rasa dipinggirkan,” katanya yang turut mengendalikan kes warga emas, Maryam.

    Seperti dijangka, kaum wanita mendominasi sindrom ini (41.5 peratus) berbanding lelaki (25.5 peratus).

    Beritahu Dr Mohd Aznan, golongan bujang, tidak berkahwin atau bercerai, berpendidikan rendah, berpendapatan rendah dan mempunyai hubungan yang tidak baik dengan anak atau mempunyai penyakit kronik juga berpotensi mendapat gejala serupa.

    Bahaya

    Mampukah sindrom kesepian mampu ditangani?

    “Apa yang saya boleh katakan, mereka akan berisiko tinggi menghidapi penyakit kemurungan. Kesan buruk kemurungan pula akan meningkatkan mobiditi dan mortaliti dalam kalangan warga emas,” katanya.

    Pakar Perubatan Warga Emas, Hospital Universiti Galway, Ireland, Dr Mohd Zaquan Arif Abd Ghafar turut melahirkan rasa bimbang tentang fenomena tersebut.

    Dr Zaquan

    Dr Zaquan

    Jelasnya, jika ia berlaku dengan kerap dan berlanjutan, kesepian boleh jatuh dalam kategori ‘penyakit sosial’.

    Dalam topik yang dibincangkan kali ini, beliau senada dengan fakta-fakta yang disuarakan Dr Mohd Aznan terutama menyentuh aspek kemurungan.

    Malah kata Dr Mohd Zaquan, jika keadaan lebih serius, kemurungan boleh sampai ke tahap hendak membunuh diri!

    “Bukan itu sahaja, penyakit lain yang berkait dengan masalah kesepian ini termasuk lemah daya tahan jangkitan kuman, tekanan darah tinggi serta pengurangan keupayaan kognitif,” katanya.

    Dalam pada itu, pakar itu berkata, mereka yang hidup terasing daripada masyarakat tidak semestinya dalam kesepian.

    Dalam satu situasi berbeza, katanya, terdapat individu hidupnya ditemani keluarga dan masyarakat tetapi masih merasai kesepian.

    “Kesepian merupakan perasaan dan keadaan yang wujud bila seseorang berhasrat untuk membina sesuatu hubungan tetapi tidak dapat mencapainya.

    “Kebanyakan mereka hidup bersendirian atau ditinggalkan keseorangan untuk tempoh yang lama sepanjang hari dan tidak mampu atau tidak berpeluang untuk berinteraksi dengan sesiapa,” katanya.

    Dalam hal ini, Dr Mohd Zaquan berkata, tiada jalan lain yang boleh dilakukan menangani isu melainkan dengan mengukuhkan institusi kekeluargaan.

    “Saya percaya hal ini boleh diselesaikan sebaik mungkin. Masyarakat sememangnya memiliki adat ketimuran yang sangat menekankan pentingnya anak-anak menjaga ibu bapa mereka yang telah tua.

    “Namun begitu, kerajaan juga bertanggungjawab untuk terus memberi pelbagai inisiatif dan bantuan supaya sistem kekeluargaan ini berjaya.

    “Kerajaan juga boleh mengadakan kempen untuk menggalakkan pelajar sekolah dan universiti menganjurkan program bersama warga emas untuk memupuk rasa hormat kepada warga emas sekali gus dapat membantu membasmi masalah kesepian,” katanya.

    Apa khabar Maryam sekarang? Kepada Sihat:Aktif, Dr Mohd Aznan berkata, warga emas itu telah menjalani beberapa siri terapi dan mengambil preskripsi ubat-ubatan yang dicadangkan.

    “Alhamdulillah, kini warga emas itu lebih ceria dan positif dalam kehidupannya,” ujar beliau.

    Kaunseling awal, berteman dengan kucing terapi paling baik

    PENDEKATAN secara kaunseling mampu membantu golongan yang mengalami sindrom kesepian, kata, Pensyarah Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Mohd Noor Idris.

    CR Mohd Noor

    CR Mohd Noor

    Ujar beliau, cara itu boleh dilakukan jika kes dirujuk awal kepada kaunselor.

    “Sesi kaunseling yang berlaku secara bersemuka sudah semestinya memberikan kelegaan kerana apa sahaja yang ingin diceritakan pesakit didengari kaunselor.

    “Selain itu, pendekatan terapi rational emotif behavior mampu mengembalikan semula pemikiran pesakit yang negatif kepada positif. Pelbagai teknik lain juga akan diterapkan seperti teknik main peranan, terapi seni dan terapi permainan mampu memberikan ruang kepada pesakit untuk lebih memahami diri mereka,” katanya ketika dihubungi Sihat:Aktif baru-baru ini.

    Mohd Noor menambah, warga emas berusia lebih 70 tahun lebih mudah untuk berasa kesepian dan jika perasaan itu tidak ditangani dari peringkat awal, ia mampu mengarah kepada gangguan depresi.

    “Ia boleh membuka kepada permasalahan lain seperti mengelak untuk makan minum, membersih dan mengurus diri yang akhirnya bukan sekadar memberi kesakitan kepada jiwa bahkan kepada fizikal seseorang.

    “Kemurungan yang berpanjangan menjadi penyebab kepada risiko mengalami penyakit jiwa yang berkekalan atau ‘gila’ yang memerlukan rawatan khusus,” katanya.

    Dalam pada itu, menurut laman web www.myhealth.gov.my, terapi bersama kucing juga berkesan dalam menangani sindrom kesepian.

    “Ini kerana hubungan persahabatan antara manusia dan kucing dapat membantu mereka yang kesepian. Hanya dengan memiliki kucing di rumah dan menghabiskan masa bersama dapat membantu mengurangkan rasa sunyi,” kata laman web berkenaan.

    x-default

    x-default

    Strategi rawat dan kawal kesepian:

    1. Sokongan sosial

    i. Keluarga terutama anak-anak Kerap melawat ibu dan ayah. Kerap bertanya khabar contoh telefon. Kerap membawa ibu bapa bersama dalam aktiviti sosial.

    ii. Jiran-jiran

    iii. Kawan-kawan

    2. Aktif dalam aktiviti keagamaan dan komuniti.

    3. Amalkan cara hidup sihat seperti bersenam, penjagaan makanan dan relaxation techniques.

    Cara mengatasi:

    Belajar menerima perubahan:

    Tumpukan kepada membantu anak anda untuk berjaya dan hidup secara berasingan.

    Pada masa sama, hargai kebebasan dan pelepasan daripada tanggungjawab.

    Mengakui perasaan anda meskipun anda berfikir bahawa tiada siapa memahami.

    Berikan masa untuk menyesuaikan diri dengan perasaan.

    Berkongsi perasaan anda dengan pasangan anda.

    Luangkan masa bersama pasangan

    Sumber: Mayo Clinic, April 2018



    Sumber

  • Hormati ayat al-Quran, hadis lambang keimanan seseorang

    Hormati ayat al-Quran, hadis lambang keimanan seseorang

    MENGHORMATI ayat al-Quran dan hadis merupakan sebahagian daripada lambang keimanan seseorang.

    Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, walaupun cebisan ayat-ayat itu terdapat pada akhbar atau surat yang sudah lusuh, ia perlu dihormati.

    DR ZULKIFLI

    DR ZULKIFLI

    “Dikatakan di dalam sejarah bagaimana seorang sufi yang menyucikan nama ALLAH SWT ketika jatuh ke tanah. Lantas, dia telah diubah dalam kehidupannya menjadi manusia yang benar-benar bertakwa kepada ALLAH SWT,” katanya dipetik menerusi Irsyad Al-Fatwa ke-12: Melupuskan al-Quran Lama di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

    Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut mencadangkan agar cebisan al-Quran dikumpulkan setempat, dibakar dan kemudiannya ditanam.

    Jelas beliau, ia berdasarkan tindakan khalifah Islam ketiga, Uthman bin Affan RA ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf.

    “Beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya. Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat.

    “Ibn Batthal mengatakan, perintah Uthman supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran itu menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama ALLAH SWT boleh dibakar dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya daripada dipijak oleh kaki manusia dan memeliharanya daripada dibuang di atas tanah,” ujar beliau.

    USTAZ WAN AKASHAH

    USTAZ WAN AKASHAH

    Sementara itu, pendakwah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, seperti mana keadaan kita mahu mengebumikan jasad manusia, begitulah juga perkara yang perlu dilakukan ketika ingin ‘mengebumikan’ kitab suci umat Islam iaitu al-Quran.

    Katanya, Islam amat menitikberatkan akhlak dan tingkah laku yang sopan serta baik.

    “Bukan setakat kita jaga adab al-Quran yang memang merupakan wahyu ALLAH ataupun mukjizat yang besar kepada Nabi Muhammad SAW. Malah, sehinggakan haiwan sekalipun, kita disuruh tanam jika ia mati,” katanya kepada Sinar Islam.

    Jelas Ustaz Wan Akashah, Islam menggariskan beberapa adab dalam pelupusan al-Quran iaitu pertama, perlu menghilangkan terlebih dahulu tulisan ayat-ayat kitab suci sama ada dengan cara dibakar atau menggunakan mesin.

    “Kedua, selepas dibakar, alirkan (abu al-Quran tadi) di laut atau sungai. Yang penting, air itu biarlah yang mengalir dan tak boleh dilakukan tempat-tempat yang kotor seperti longkang.

    “Lebih cantik lagi, kalau orang yang menguruskan (proses pelupusan al-Quran) itu ada air wuduk.

    “Kalau boleh, elakkan daripada wanita-wanita yang datang bulan. Biar orang lelaki atau wanita yang ‘bersih’ sahaja yang mengendalikannya,” ujarnya.

    Apabila semua perkara itu dijaga dengan baik, kata beliau, insya-ALLAH umat Islam akan mendapat keberkatan dan syafaat daripada al-Quran itu sendiri.



    Sumber

  • Shell lancar rangkaian Rimula Light Duty

    Shell lancar rangkaian Rimula Light Duty

    SHELL Malaysia Trading Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan rangkaian baharu minyak pelincir enjin Shell Rimula untuk pikap dan trak ringan.

    Rangkaian Shell Rimula Light Duty baharu terdiri daripada Shell Rimula Light Duty LD4 15W-40 (API CI-4) dan LD5 10W-40 (API CK-4) Synthetic Technology.

    Minyak pelincir ini dirumus khas untuk memastikan prestasi yang optimum untuk trak yang beroperasi dalam keadaan berhenti-mula dan melahu (berjalan ke sana ke mari tanpa tujuan) dengan kerap serta membawa pelbagai beban yang berat. Shell Rimula Light Duty LD4 berasaskan minyak mineral dicipta untuk memenuhi keperluan trak ringan yang menjadi kenderaan pengangkut utama bagi hampir semua jenis perniagaan komersil.

    Shell Rimula Light Duty LD5 sintetik pula sesuai untuk pikap dan trak 4×4 yang lain. Kedua-dua pelincir ini terdapat di bengkel-bengkel yang terpilih, kedai alat ganti dan stesen minyak Shell. Shell Rimula Light Duty LD4 dan LD5 disediakan dalam bekas 7.5 liter, sesuai untuk sekali pertukaran minyak tanpa memerlukan pelincir tambahan, sekali gus menawarkan kemudahan dan penjimatan kepada pemilik trak.

    Harga runcit yang disyorkan bagi Shell Rimula Light Duty LD4 ialah RM120 di Semenanjung Malaysia dan RM121.50 di Sabah dan Sarawak. Sementara itu, harga Shell Rimula Light Duty LD5 pula ialah RM195 (Semenanjung Malaysia) dan RM196.50 (Sabah dan Sarawak).



    Sumber

  • Manjakan ibu sempena hari istimewa di Hotel Pavilion Kuala Lumpur

    Manjakan ibu sempena hari istimewa di Hotel Pavilion Kuala Lumpur

    SEMPENA Hari Ibu Sedunia hari ini, Hotel Pavilion Kuala Lumpur yang diuruskan oleh Banyan Tree telah menyusun pakej makan istimewa di Restoran Ebisu dengan lima hidangan khas.

    Antara ialah Salad Garden Wild with Raw Seafood, Crab Stick and Japanese Cucumber dengan sos mayonis, California Roll dan Prawn Tempura Roll termasuk variasi pencuci mulut yang lazat.

    Harga bermula pada kadar RM380 (untuk tiga hingga empat orang).

    “Di Hotel Pavilion Kuala Lumpur, kami benar-benar mahu memberi kegembiraan kepada ibu-ibu dengan tawaran yang hebat dan memuaskan,” kata Pengurus Besar Hotel Pavilion Kuala Lumpur, Anders Dimblad.

    Menu Hari Ibu istimewa itu disediakan pada Ahad lalu bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang dan makan malam (6 petang hingga 11 malam).

    Selain itu, bagi memanjakan lagi ibu tersayang, apa kata anda membawa mereka berurut dengan tukang urut profesional di Banyan Tree Spa.

    Menariknya perkhidmatan itu berterusan hingga 31 Mei depan. Sebarang tempahan boleh e-mel [email protected]



    Sumber

  • Karangkraf kongsi pengalaman cara lupus al-Quran

    Karangkraf kongsi pengalaman cara lupus al-Quran

    RIBUAN naskhah al-Quran yang kelihatan masih baharu dan belum terusik di dalam palet memenuhi sebahagian ruang simpanan pelupusan di pejabat Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) yang terletak di Shah Alam, Selangor.

    Sekali imbas, tiada apa yang tidak kena dengan al-Quran itu. Namun, sebenarnya ia merupakan antara al-Quran yang sudah siap dijilid kemas, namun, disebabkan tidak memenuhi piawaian, ia terpaksa dilupuskan.

    Ada yang disebabkan masalah cetakan yang tidak jelas, ada sesetengah tulisannya hilang dan beberapa muka surat yang didapati kotor. Jadi, ia terpaksa ditolak.

    Benar, al-Quran memang tidak boleh dibuat main-main. Sebagai umat Islam, kita perlu memelihara kitab suci yang menjadi panduan hidup manusia dengan sebaiknya. Sebenarnya, bagi melupuskan al-Quran, Karangkraf mempunyai teknologi khas untuk tujuan itu.

    Kepada Sinar Islam, Eksekutif Unit Pelupusan Ultimate Print Sdn Bhd (Ultimate Print), Muhamad Azmi Abdul Rahman berkata, Unit Pelupusan Ultimate Print mempunyai mesin insinerator yang digunakan syarikat itu sejak Oktober 2017.

    Pembakaran

    Muhamad Azmi menunjukkan kesilapan pada al-Quran yang menyebabkan ia terpaksa dilupuskan.

    Muhamad Azmi menunjukkan kesilapan pada al-Quran yang menyebabkan ia terpaksa dilupuskan.

    “Sebelum ini, kami menggunakan dram yang telah diubahsuai. Dalam sehari, sekitar 200 kilogram (kg) al-Quran termasuk helaiannya berjaya dibakar.

    “Namun, dengan adanya insinerator, kerja-kerja kami bertambah mudah. Lebih banyak lagi pembakaran boleh dilakukan iaitu sekitar 300kg hingga 350kg sehari setiap hari,” jelasnya ketika ditemui selepas proses pembakaran al-Quran dilakukan di tapak pembakaran di Karangkraf, Shah Alam, Selangor, Khamis minggu lalu.

    Menjelaskan bagaimana mesin itu berfungsi, Muhamad Azmi berkata, insinerator itu menggunakan gas untuk membakar semua al-Quran.

    “Sesekali, pekerja kontrak yang ditugaskan menguruskan proses pembakaran itu akan mengacau abu di dalam insinerator itu supaya pembakarannya sekata. Pada masa sama, petugas itu turut memasukkan helaian atau al-Quran yang baharu,” katanya.

    Muhammad Azmi berkata, proses tersebut memakan masa selama lapan jam. Abu yang terhasil akan dibiarkan sejuk semalaman.

    “Keesokan paginya, abu yang masih bersisa bara akan diangkat dan dimasukkan ke dalam tong dan disimbah air supaya ia benar-benar sejuk.

    “Ia kemudian dibiarkan selama dua atau tiga hari untuk dikeringkan. Kemudian, abu itu akan dimasukkan ke dalam guni. Kita kumpulkan dulu dan sampai masa, abu itu akan dibuang di dalam laut,” katanya sambil menegaskan, semua proses pelupusan yang dilaksanakan pihak Karangkraf mengikut syariat Islam dan merujuk kepada beberapa agamawan.

    Selain al-Quran dan helaiannya, Karangkraf turut menguruskan pelupusan plat cetak al-Quran dengan menggunakan mesin khas bagi menghilangkan ayat-ayat al-Quran tersebut. Pada hari Jumaat minggu lalu, abu al-Quran hasil pembakaran daripada teknologi insinerator Karangkraf dipunggah ke atas kapal di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Klang, Selangor untuk dilepaskan di perairan Pulau Angsa berhampiran Kuala Selangor.

    Kali ini, ia mengandungi 30 tan abu al-Quran. Penulis difahamkan, abu itu telah dikumpulkan sejak setahun lalu.

    Proses pemunggahan itu diketuai Eksekutif Perhubungan Awam Komunikasi Korporat Karangkraf, Kesumawati Kamarudin bermula pada pukul 9 pagi hingga 5.30 petang.

    Lakar sejarah

    Karangkraf turut mengendalikan pelupusan ayat-ayat al-Quran pada plat cetak al-Quran.

    Karangkraf turut mengendalikan pelupusan ayat-ayat al-Quran pada plat cetak al-Quran.

    Pada hari Sabtu minggu lalu, kira-kira pukul 9.15 pagi, 30 tan abu diangkut dengan kapal angkut PT2 milik polis marin, KPD Setia dengan jarak perjalanan sekitar 10 batu nautika.

    Sebaik tiba di perairan Pulau Angsa 45 minit kemudian, semua abu al-Quran dilepaskan ke perairan pulau berkenaan dalam tempoh satu jam 30 minit.

    Untuk operasi kali ini, Karangkraf disertai 43 kakitangan bekerjasama dengan dua pegawai dan 16 anggota pasukan polis marin daripada Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Ultimate Print, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

    Pelupusan al-Quran kali ini melakar sejarah kepada Karangkraf kerana melibatkan jumlah terbesar berbanding lima tan pada tahun sebelumnya.



    Sumber

  • Ranger Raptor tampil dua warna baharu

    Ranger Raptor tampil dua warna baharu

    BERMULA pada bulan April, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar tunggal Ford di Malaysia memperkenalkan Ranger Raptor yang boleh didapati dalam dua lagi pilihan warna terbaharu iaitu putih (arctic white) dan hitam (absolute black). Ia adalah tambahan kepada barisan warna sedia ada iaitu biru (blue lightning) dan kelabu (conquer grey).

    Bermakna untuk tahun 2019, pelanggan tempatan mempunyai empat pilihan warna.

    Ranger Raptor yang merupakan trak pikap pertama dan satu-satunya berprestasi tinggi di Malaysia turut dilengkapi peredam hentak perlumbaan, FOX Racing Shox yang memberikan 30 peratus lebih pergerakan roda berbanding Ranger. Bagaimanapun, ruang dalaman masih lagi menggunakan kemasan benang biru untuk tempat duduk separa kulit. Semuanya kekal sama dengan senarai spesifikasi ketika model ini diperkenalkan tahun lalu.

    Menggunakan enjin Panther 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat silinder diesel yang menghasilkan sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 10-kelajuan 10R80 Getrag untuk memberikan maklum balas yang lebih baik. Kelengkapan lain antaranya DRL dan lampu kabus LED, sistem tanpa kunci dengan butang push start, kawalan cruise, active noise cancellation, kawalan pendingin hawa dua zon dan banyak lagi. Stereng juga lebih tebal dengan balutan kulit serta ada paddle shifter.

    Bagi sistem infotainmen, ia menggunakan sistem SYNC 3 dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Dari segi keselamatan, ada enam beg udara, ABS dan EBD, kawalan kestabilan, kawalan menuruni bukit, ISOFIX dan lain-lain. Ranger Raptor dijual pada harga RM199,888 atas jalan tanpa insurans dan datang dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer.



    Sumber