Blog

  • Tempoh ambil lesen PSV dilanjutkan tiga bulan lagi

    Tempoh ambil lesen PSV dilanjutkan tiga bulan lagi

    PEMANDU e-hailing yang belum memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) boleh menarik nafas lega apabila tarikh akhir untuk membuat lesen itu dilanjutkan tiga bulan lagi bermula 12 Julai lalu.

    Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dibuat selepas Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan.

    Anthony memberitahu, hanya 10 peratus pemandu e-hailing mempunyai lesen PSV.

    Lanjutan tempoh tersebut merupakan pendekatan ke arah mengawal selia industri e-hailing, katanya.

    Menurutnya, pemandu yang belum memiliki PSV masih dibenarkan memandu sepanjang tempoh tiga bulan yang dipanjangkan. Mereka hanya akan menerima amaran dan peringatan terakhir.

    Walaupun keperluan PSV hanya diumumkan oleh kerajaan tahun lepas, proses pendaftaran dan latihan untuk lesen PSV hanya bermula pada 1 April lalu. Itu hanya memberikan pemandu e-hailing kira-kira tiga bulan untuk mendapatkan lesen.

    Sebelum ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyeru lanjutan 30 hari tarikh akhir asal bagi pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen PSV.

    Naib Presiden Kanan FOMCA, Datuk K Koris Atan berkata, pemandu perlu diberi tempoh yang lebih panjang.

    Gabungan Teksi SeMalaysia sebelum itu juga pernah menggesa Kementerian Pengangkutan supaya tetap tegas dalam menguatkuasakan keperluan PSV.

    Walau apapun, tempoh lanjutan itu membantu kedua-dua pihak penumpang dan pemandu yang menjalankan perkhidmatan e-hailing.



    Sumber

  • Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS

    RINGGIT ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini berikutan para pelabur menunggu perkembangan daripada dua acara penting minggu depan, iaitu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS), dan juga perbincangan perdagangan AS-China.

    Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1180/1210 berbanding 4.1130/1160 ketika ditutup pada Khamis.

    Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata perbincangan perdagangan antara AS dan China disambung pada Selasa di Shanghai, para pelabur tetap mengambil pendekatan berhati-hati dengan pertemuan itu.

    “Memandangkan konflik perdagangan yang berlarutan kekal sebagai pemacu utama sentimen pasaran global, para pelabur mungkin memberi tindak balas terhadap sekecil manapun perkembangan terhadap kebuntuan AS-China,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata para pelabur juga kekal tidak memasuki pasaran kerana Rizab Persekutuan AS dijangka menurunkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2008, dengan pengurangan 25 mata asas, menurut ramalan pasaran.

    Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama.

    Ia tinggi sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0091/0118 daripada 3.0116/0143 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.7905/7936 daripada 3.8048/8086.

    Mata wang tempatan juga naik berbanding pound British kepada 5.1211/1265 daripada 5.1314/1372, tetapi merosot berbanding euro kepada 4.5879/5920 daripada 4.5765/5815. – Bernama



    Sumber

  • Haji nazar, wasiat wajib ditunaikan

    Haji nazar, wasiat wajib ditunaikan

    SEBAGAI anak, wajib untuk kita taat dan berbakti kepada ibu bapa masing-masing.

    Jika mereka sudah tiada lagi di dunia sekalipun, kita masih lagi boleh berbakti untuk orang tua yang selama ini membesarkan kita seperti mendoakan mereka dan bersilaturahim dengan sahabat kedua ibu bapa kita.

    Namun, bagaimanakah dalam ibadah haji? Sebagai anak yang kematian ibu bapa, adakah wajib untuk kita dan adik-beradik lain mengerjakan haji bagi kedua ibu bapa masing-masing?

    Menjawab persoalan itu, menunaikan haji merupakan Rukun Islam ke-5 iaitu wajib apabila memenuhi syarat-syaratnya iaitu Islam, baligh, berakal, mampu dan merdeka.

    Adapun, badal haji dibenarkan syarak untuk dilakukan berdasarkan hadis sahih al-Bukhari tentang seorang wanita yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW berkaitan menunaikan haji nazar oleh ibunya. Baginda SAW menjawab, ia ialah hutang ALLAH SWT yang wajib dibayar.

    Para ulama sepakat, jika haji itu nazar atau wasiat, maka ia wajib ditunaikan, manakala jika tiada wasiat atau nazar, maka terdapat perselisihan ulama dalam kes berkenaan.

    Sebahagian pandangan menyatakan sunat, manakala sebahagian lagi menyatakan harus sahaja.

    Dalam syarat-syarat badal haji, tidak sah badal haji bagi mereka yang mampu untuk melakukannya sendiri dan tidak boleh melakukan badal haji untuk orang lain kecuali individu berkenaan telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri.

    Selain itu, seseorang yang diwakilkan untuk melakukan badal haji tidak boleh mewakilkan pula kepada orang lain, dengan syarat ia perlu diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan dia bersetuju dengan tindakan itu.

    Apapun, ia mestilah diwakilkan atau diupah haji itu kepada seorang yang baik, jujur, amanah dan berilmu untuk melaksanakan badal haji tersebut.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), pendakwah dan penulis.



    Sumber

  • Cara lupuskan kad undangan yang ada kalimah Basmallah

    Cara lupuskan kad undangan yang ada kalimah Basmallah

    PERASAN atau tidak, kad undangan perkahwinan yang kita terima selalunya bukan sahaja cantik, tetapi ada juga yang mengandungi perkataan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi.

    Apabila undangan walimah sudah dipenuhi, kadangkala kita akan buang kad berkenaan.

    Barangkali ada yang gemar menyimpan kad kahwin unik, tetapi tidak ramai yang berbuat demikian.

    Dalam kes kad kahwin yang mengandungi kalimah ALLAH, bagaimana kaedah terbaik untuk melupuskannya?

    Asalnya, pelupusan al-Quran yang terkena banjir, koyak ataupun berlaku perkara-perkara yang tidak boleh lagi dibaiki lagi pada al-Quran itu, maka para ulama terbahagi kepada dua pandangan.

    Mazhab Hanafi dan Hanbali menyatakan, hendaklah ditanam, manakala Mazhab Syafie dan Maliki pula menyatakan, hendaklah dibakar.

    Hukum itu berdasarkan kepada tindakan Amirul Mukminin Saidina Uthman bin Affan RA.

    Ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf, beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya.

    Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat RA.

    Imam Ibn Battal mengatakan bahawa perintah Uthman RA supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama-nama ALLAH SWT boleh dibakar dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya daripada dipijak oleh kaki-kaki manusia dan memeliharanya daripada dibuang di atas tanah.

    Pendapat Imam Ibnu Battal itu juga terpakai kepada apa-apa sahaja risalah atau kertas yang tertulis kalimah ALLAH SWT.

    Ia hendaklah dibakar atau boleh juga ditanam mengikut sebahagian pandangan ulama yang lain.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), pendakwah dan penulis.



    Sumber

  • Shark Hydrographic pakar ‘celup’

    Shark Hydrographic pakar ‘celup’

    TERDAPAT pelbagai kaedah untuk mengubahsuai kereta pada masa kini. Tujuannya sama ada untuk peningkatan prestasi atau mentransformasikan luaran kenderaan atau kosmetik.

    Jika mementingkan aspek ketrampilan, sudah pasti pada akhir modifikasi, hasil yang mahu dilihat adalah luar biasa.

    Antara diidamkan, jentera bertambah ‘cantik’ atau canggih dengan aksesoriaksesori yang tampak mahal.

    Sekiranya itu yang dihajatkan, salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan Hydrographic Water Transfer Printing.

    Kaedah itu lebih dikenali sebagai ‘celup karbon’ merupakan satu proses dekorasi tiga dimensi (3D) yang dapat mencetak objek yang rumit seakan airbrush.

    BMW e46 dengan bonet karbon yang dicelup.

    BMW e46 dengan bonet karbon yang dicelup.

    Dengan pendekatan itu, ia secara tidak langsung dapat menyuntik rasa puas apabila kenderaan yang dipandu di atas jalan berupaya mencuri tumpuan ramai.

    Kelebihan itu diakui peminat dunia automotif yang juga pemilik bengkel Shark Hydrographic, Mohd Saupe Alawi atau lebih mesra disapa dengan panggilan Saupe.

    CECAIR activator yang berfungsi mencairkan dan menstabilkan filem dalam air.

    CECAIR activator yang berfungsi mencairkan dan menstabilkan filem dalam air.

    Beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, kepakaran pemuda berusia 36 tahun itu dalam bidang percetakan Hydrographic Water Transfer Printing memang tidak dinafikan.

    Kepada Sinar Turbo, Saupe berkata, beliau melakukan kerja-kerja itu sejak tiga tahun lalu.

    “Sebut saja hiasan objek pada semua bahagian dari segala macam model kenderaan yang dimahukan, dengan proses percetakan hidrografik, semuanya mampu dilakukan.

    'WAJAH' bonet kereta yang telah dicelup.

    ‘WAJAH’ bonet kereta yang telah dicelup.

    “Itu termasuk pada dashboard kereta dan bahagian-bahagian lain seperti bonet, bampar, fender dan komponen yang terdapat pada enjin,” katanya baru-baru ini.

    Potensi pasaran

    Bercerita lanjut, Saupe berkata, kemahiran yang dimiliki olehnya dan abangnya, Mohd Sukiman Alawi, 39, yang juga rakan kongsinya dalam perniagaan bukanlah melalui pendidikan secara formal.

    Sebaliknya, mereka hanya belajar daripada pengalaman dan laman video Youtube mengenai kaedah memproses percetakan hidrografik.

    “Saya dapati tidak ramai yang berminat bidang itu, tetapi ia sebenarnya mempunyai nilai pasaran yang besar. Mungkin ilmu pengendalian Hydrographic Water Transfer Printing itu agak rumit.

    “Pada tahun 2016, saya baru belajar teknik ‘mencelup’ dan mengecat secara serius. Abang juga memang mahir, jadi kami bersama-sama bersepakat membuka bengkel sendiri,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu.

    Tambah anak muda berbakat itu lagi, beliau juga kini masih tidak berhenti belajar dan mengkaji supaya hasil yang dapat ditawarkan kepada pelanggan berada pada tahap yang sempurna dan memuaskan.

    Cabaran

    Ditanya cabaran dihadapi, menurut Saupe, sudah tentu dari segi memperkenalkan Shark Hydrographic kepada pelanggan dan apa itu teknologi hidrografik dalam pasaran di Malaysia.

    Kata beliau, walaupun Hydrographic Water Transfer Printing telah diperkenalkan dan diusahakan secara industri di Jepun dan Amerika Syarikat lebih dari 20 tahun lalu, namun di Malaysia ia masih dianggap baharu.

    Menurutnya, selain itu, permulaan modal pusingan juga dianggap tinggi. Ramai pengusaha hidrografik tidak berjaya bertahan untuk kekal konsisten pada tahun pertama.

    Bagaimanapun, Saupe dan abangnya terus berjuang dalam industri itu, malah Shark Hydrographic kini aktif mempromosikan teknik tersebut melalui media sosial Facebook dan Instagram.

    “Mungkin suatu hari nanti, kami akan bergabung mewujudkan lagi syarikat keluarga atau membuka cawangan dengan menjadi rakan kongsi sekiranya perniagaan sudah betul-betul stabil.

    “Itu perancangan jangka panjang dan saya sendiri masih proses bertatih. Untuk itu kami giat dengan aktiviti autoshow supaya lebih dekat dengan pelanggan,” katanya.

    Saupe (duduk, kiri) dan Mohd Sukiman (duduk, kanan) bersama sebahagian kakitangan Shark Hydrographic di Seksyen 7, Shah Alam.

    Saupe (duduk, kiri) dan Mohd Sukiman (duduk, kanan) bersama sebahagian kakitangan Shark Hydrographic di Seksyen 7, Shah Alam.

    ANEKDOT

    Hydrographic Water Transfer Printing

    • Menggunakan film yang dicairkan melalui semburan khas yang dikenali sebagai pengaktif cecair. Ia berfungsi mencairkan dan menstabilkan film dalam air.
    • Sebelum dicelup ke dalam air, objek dicat terlebih dahulu dengan cat dasar. Setelah kering dan halus, warna cat dasar disesuaikan untuk mendapatkan hasil yang sesuai dengan corak film dipilih. Contohnya, jika film bercorak serat kayu akan menggunakan cat dasar berwarna coklat, manakala untuk film karbon kebanyakannya menggunakan cat dasar hitam atau kelabu.
    • Proses pembuatan mengambil masa tiga ke empat hari. Selepas proses mencelup, semburan clear coating akan dilakukan untuk lapisan atas sebagai perlindungan supaya film tidak rosak. Proses terakhir, objek akan digilap untuk mendapatkan kemasan yang berkilat.
    • Sangat rumit. Perlu berhati-hati supaya hasilnya memuaskan atau mengulangi proses yang sama dari awal.



    Sumber

  • Kadar jangka pendek ditutup stabil

    Kadar jangka pendek ditutup stabil

    KADAR jangka pendek kekal stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

    Lebihan dalam sistem konvensional berkurangan kepada RM23.59 bilion daripada RM27.35 bilion pada sebelah pagi manakala dalam sistem Islam, ia susut kepada RM8.17 bilion daripada RM12.12 bilion.

    Terdahulu hari ini, bank pusat menawarkan tiga tender pasaran wang konvensional dan dua tender Qard.

    Pada 4 petang, ia melaksanakan tender pasaran wang konvensional bernilai RM23.60 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM8.10 bilion, kedua-duanya bagi wang tiga hari.

    Kadar faedah semalaman Islam purata berada pada 2.96 peratus manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus. -Bernama



    Sumber

  • Solat wanita selepas kering darah haid

    Solat wanita selepas kering darah haid

    SETIAP kali selepas mandi wajib apabila darah haid telah kering, Salmah Harun, 25, akan menunaikan solat fardu waktu berkenaan berserta dengan satu lagi solat fardu bagi waktu sebelumnya.

    Ini kerana, ada pandangan ulama mengatakan, contohnya jika mandi wajib selepas Asar, maka wanita perlu solat Asar dan tambah satu lagi solat sebelumnya iaitu Zuhur kerana dikhuatiri darah itu sudah kering sebelumnya lagi.

    Namun, perbuatan Salmah itu ditegur seorang rakannya, Nurul Ain Mohamad kerana beliau berpandangan Salmah tidak sepatutnya berbuat demikian.

    Salmah jadi keliru tentang solat bagi wanita selepas kering darah haid.

    Adakah cara yang dilakukannya selama ini betul?

    Menjawab persoalan itu, asal dalam menentukan sesuatu hukum ialah yakin ataupun sangkaan yang kuat.

    Apabila seorang wanita haid dan berlalu tempoh biasa haid serta telah kering, maka wajib baginya mandi seperti hadis sahih riwayat Aisyah RA ketika ada wanita bertanya tentang perkara itu.

    Memang tidak dinafikan ada pandangan ulama seperti di atas.

    Namun, yang kuat dan menjadi pegangan ialah keyakinan yang pasti serta sangkaan yang kuat telah keringnya haid itu, lalu dia mandi tanpa menggantikan solat sebelumnya.

    Adapun, jika belum kering berdasarkan keyakinan dan sangkaan yang kuat, maka dia belum boleh mandi wajib dan tidak menunaikan solat kerana tidak sah.

    Menghindari larangan syarak ialah pahala bagi yang menjauhinya apabila datang perkara yang menghalangnya melakukan ibadah seperti masalah haid itu.

    Namun, antara perkara yang sering diremehkan ialah belum mandi dan solat ketika haid telah kering.

    Ia ialah satu perbuatan yang salah dan wajib dijauhi.

    Jika ini berlaku, maka wajib ganti berdasarkan kesepakatan empat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), pendakwah dan penulis.



    Sumber

  • Langkah membersihkan wajah dengan betul

    Langkah membersihkan wajah dengan betul

    PROSES membersihkan wajah bukan bertujuan untuk menanggalkan sisa solekan semata-mata, bahkan ia juga penting untuk mendapatkan wajah yang kekal segar dan sihat.

    Berikut beberapa tip yang boleh diikuti bagi mendapatkan wajah yang bersih dan sekata.

    1) Pemilihan produk pembersih

    Pilih yang sesuai dengan kulit wajah anda bagi mengelak iritasi atau kemerah-merahan. Berhati-hati memilih produk yang mengandungi bahan kimia dan baca label dengan teliti sebelum membeli. Seeloknya pilihlah produk yang berasaskan air dan bahan-bahan semula jadi.

    2) Bersihkan wajah mengikut keperluan

    Bersihkan wajah sekurang-kurangnya dua kali sehari. Jika terlalu kerap, ia mengganggu proses penghasilan minyak semula jadi yang baik untuk kulit. Gunakan tiga jari tengah ketika membersihkan wajah.

    4) Guna suhu air yang sesuai

    Elakkan membersihkan wajah dengan air panas, ia mampu menyebabkan kulit wajah menjadi kering. Sebaiknya guna air suam atau air suhu biasa.

    5) Bersihkan wajah dengan sempurna

    Pori pada wajah akan tersumbat jika tidak dibersihkan dengan betul.

    6) Penggunaan skrub untuk pembersihan wajah

    Jangan guna skrub terlalu kerap. Sebaiknya dua kali seminggu sahaja.

    7) Lap muka dengan lembut

    Jangan gosok muka dengan tuala, hanya lap dengan lembut pada bahagian itu. Jika anda menggosok dengan kasar, ianya akan menyebabkan tahap elastik kulit menurun.

    8) Gunakan pelembap selepas membersihkan wajah

    Pakai pelembap selepas anda membersihkan wajah bagi memastikan ianya menyerap dengan dengan baik. Jika wajah dibiarkan kering dalam tempoh lama sebelum memakai pelembap, proses penyerapan bahan aktif ke kulit menjadi lebih sukar.

    Sumber : tipspetua.blogspot.com



    Sumber

  • Khasiat nanas yang harus anda tahu

    Khasiat nanas yang harus anda tahu

    NANAS antara buah yang sering menjadi kegemaran ramai. Selain rasanya yang manis dan sedap, masih ramai tidak tahu nanas sebenarnya mempunyai banyak khasiat.

    JADIKAN nanas sebagai snek harian anda.

    JADIKAN nanas sebagai snek harian anda.

    Secara asasnya, buah tersebut mempunyai kandungan vitamin C, vitamin B, B1, B3 (niacin), karbohidrat, potassium, sodium dan enzim bromelin.

    Terdapat banyak manfaat nanas kepada kesihatan. Antaranya ialah:

    1. Melawan radikal bebas

    Rasa manis, masam dan segar dengan kandungan vitamin C sangat baik untuk mencegah radikal bebas dari memasuki badan dan boleh menyebabkan banyak gangguan pada kulit atau organ dalaman.

    Bagi mendapat manfaatnya, menikmati nanas secara berkala sama ada dalam bentuk jus, yogurt atau dimakan secara langsung.

    2. Mengekalkan kesihatan jantung

    Kandungan kalium yang ada pada buah nanas dapat mengimbangi kandungan air dalam badan dan mengurangkan risiko hipertensi.

    Selain itu, kandungan vitamin C yang ada pada buah nanas dapat mencegah gangguan pada saluran darah akibat ketebalan kolesterol yang tidak baik.

    3. Membantu mengurangkan lemak

    Buah nanas mengandungi gula semula jadi yang cukup baik untuk tubuh dan mencetuskan pembakar lemak dalam badan untuk berjalan lancar.

    Jadikan nanas sebagai snek harian anda.

    4. Meningkatkan ketahanan

    Nanas yang mengandungi banyak vitamin C boleh meningkatkan daya tahan. Kandungan antioksidan membolehkan tubuh sentiasa berjaga-jaga terhadap serangan bakteria, kulat dan virus.

    5. Tulang lebih sihat

    Nanas mengandungi sebatian mangan yang bagus untuk tulang dan tendon otot yang mengelilinginya.

    Selain itu, nanas juga baik untuk mata, menghindari sembelit, cirit-birit, mengurangkan keradangan usus, mengawal diabetes dan sebagainya lagi.

    Sumber: doktersehat.com



    Sumber

  • Lalat pun hisap darah?

    Lalat pun hisap darah?

    JIKA berbicara mengenai lalat, pastinya sesiapa akan mengambarkan serangga itu pengotor, pembawa penyakit dan banyak lagi andaian.

    Namun tahukah anda bahawa lalat terdiri daripada pelbagai spesies dan mempunyai diet yang berbeza?

    Ada juga lalat yang ‘dietnya’ bertumpu kepada darah manusia dan haiwan dan sering ditemui di ladang penternakan lembu, kambing dan kuda.

    Terdapat dua jenis lalat yang biasa ditemui iaitu lalat kandang ialah bentuk mulut yang berbentuk jarum.

    Mulut lalat kandang lebih tajam boleh menghisap darah manusia dan haiwan. Jika haiwan dikerumuni lalat itu, ia akan menjadi anemia dan lemah.

    Bagi lalat kandang pula, mereka tidak mempunyai mulut yang tajam tetapi lalat betina tetap menghisap darah untuk mendapatkan protien demi proses pembiakan.

    Menurut perkongsian majalahsains.com, lalat kuda bersaiz besar dan sering menyerang haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kuda.

    Ada juga lalat yang biasa kita lihat seperti:

    Lalat rumah

    Musca domestica merupakan salah sejenis lalat yang paling biasa ditemui. Kira-kira 90 peratus daripada semua lalat di kawasan perumahan merupakan lalat rumah. Ia sangat terkenal sebagai pembawa kuman yang boleh membawa hampir 100 jenis patogen yang di antaranya termasuk virus, bakteria dan parasit.

    Lalat cuka

    Sejenis lalat yang tertarik dengan bau buah yang telah rosak dan dengan bau buah rosak yang menyerupai bau cuka (tergolong di bawah famili Drosophilidae).

    Lalat buah

    Lalat buah mengerumuni buah-buahan segar dan boleh menyebabkan kerugian ekonomi (tergolong di bawah famili Tephritidae).

    Lalat longkang

    Lalat yang menyerupai kupu-kupu dan sering dijumpai di bilik mandi. Lalat itu juga digelar sebagai lalat limbah, ia tidak berbahaya dan hanya akan menjadi kegusaran apabila populasinya menjadi tinggi.

    Walaupun lalat menpunyai reputasi yang buruk, namun ada yang penting untuk sektor pertanian, ekologi, makanan dan perubatan.



    Sumber