Nilai jualan syarikat jualan langsung diunjur RM30 bilion

Nilai jualan syarikat jualan langsung diunjur RM30 bilion

[DIKEMASKINI] NILAI jualan syarikat jualan langsung diunjurkan kepada RM30 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah itu mengambil kira industri jualan langsung mempunyai potensi besar.

“Nilai jualan bagi tahun 2021 bagi industri ini adalah RM27 bilion,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan Geran Kajian, Pembangunan dan Pengkomersilan (R&D&C) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung di kementerian itu, di sini pada Rabu.

Menurutnya, industri jualan langsung menunjukkan impak positif melalui sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Industri ini sebenarnya sangat berpotensi untuk mereka yang tidak mahu bekerja pada waktu pejabat, dihambat masa atau tersekat dalam kesesakan kerana dalam segmen ekonomi gig, mereka boleh menggunakan jualan langsung sebagai satu medium untuk meraih pendapatan yang lumayan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif pemberian Geran R&D&C bertujuan untuk memperkembangkan perniagaan sektor itu khususnya kepada syarikat jualan langsung yang mengeluar dan memasarkan produk tempatan berasaskan sumber alam.

“Sebelum ini terdapat kira-kira 400 syarikat jualan langsung dan hanya 18 peratus sahaja daripada jumlah tersebut merupakan syarikat asing.

“Oleh itu, kita mahu syarikat-syarikat tempatan yang berjaya dalam bidang jualan langsung ini terus maju ke hadapan terutamanya dalam bidang kecantikan, kosmetik dan kesihatan yang menghasilkan produk-produk herba, vitamin serta makanan tambahan,” katanya.

Tegas Salahuddin, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan produk jualan langsung kerana ia dipantau dan diberi kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Apabila dikeluarkan lesen kepada syarikat berkenaan, maknanya pelanggan tak perlu bimbang mengenai kualiti kerana dalam jawatankuasa tersebut terdapat wakil daripada KKM,” katanya.

Pada majlis itu, 14 syarikat jualan langsung menerima lesen baharu dan 54 syarikat menerima lesen pembaharuan.

Pada perkembangan lain, Salahuddin berkata, KPDN dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan mesyuarat susulan peningkatan harga ayam di peringkat ladang.

“Ini kerana ada desas desus beberapa hari kebelakangan ini, jadi kedua-dua kementerian adakan pertemuan untuk periksa secara tuntas dan mungkin kita boleh umumkan esok (Khamis) apa hasil pertemuan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Salahuddin menyifatkan pelancaran aplikasi Kita Jaga oleh Kementerian Ekonomi merupakan satu compliment ke arah memudahkan pelanggan menyemak lokasi atau kedai yang menawarkan harga berpatutan.

“Sesiapa pun boleh ada aplikasi itu, lebih banyak pun tak apa. Tetapi kita akan terus bersama bagi memastikan data itu boleh berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Sumber