Nidji Raikan Ulang Tahun Ke-23 dengan Konsert Solo Pertama di Axiata Arena!

Setelah dua dekad lebih mengukir kejayaan dalam industri muzik Indonesia, Nidji masih menjadi antara kugiran yang disegani dan digemari di seluruh Nusantara.

Walaupun sudah berusia lebih dari 20 tahun, populariti Nidji tidak pernah pudar. Sebaliknya, mereka terus berjaya menarik perhatian generasi baharu, terutamanya dengan lagu hit terbaru mereka, Sumpah Dan Cinta Matiku, yang kini menjadi fenomena di aplikasi TikTok.

Mula diperkenalkan pada tahun 2002, Nidji sudah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya mereka, dari album pertama mereka hingga terlibat dalam projek-projek besar, termasuk menjadi pengiring muzik filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pada tahun 2013. Lagu-lagu mereka seperti Hapus Aku, Sang Mantan, dan Disco Lazy Time sudah menjadi siulan peminat setia. Bahkan, lagu Sumpah Dan Cinta Matiku yang kembali membawa mereka ke puncak populariti telah memberi impak besar di kalangan peminat muzik di Indonesia dan Malaysia.

Namun, selepas bertahun-tahun beraksi di festival dan bersama pemuzik lain, kini masanya telah tiba untuk Nidji memberikan sesuatu yang lebih besar dan intim buat para peminat mereka. Untuk pertama kali dalam sejarah mereka, Nidji akan mengadakan konsert solo terbesar mereka, bertajuk Nidji 2.3: The New Chapter, yang bakal berlangsung pada 2 Februari 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Konsert ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-23 penubuhan Nidji dalam industri muzik dan dijanjikan bakal menjadi malam yang penuh dengan kenangan dan pengalaman luar biasa bagi peminat setia mereka.

Nidji

Nidji 2.3: The New Chapter” bukan hanya sekadar konsert, tetapi ia adalah penghargaan kepada peminat yang telah bersama mereka selama lebih dua dekad. Dengan album baru yang bakal dilancarkan pada bulan November 2024, konsert ini adalah sebuah pengembaraan muzik yang menggabungkan lagu-lagu lama yang telah menempa kejayaan bersama karya-karya terbaru yang pasti menggugah emosi dan memberi semangat baru kepada semua yang hadir.

Penganjur konsert, MND Sport & Event, mengungkapkan bahawa idea untuk menganjurkan konsert solo pertama Nidji di Malaysia timbul setelah melihat sambutan yang luar biasa terhadap persembahan mereka di pelbagai festival dan acara. Mereka percaya bahawa Nidji bukan sahaja mempunyai legasi muzik yang kukuh tetapi juga mempunyai kekuatan untuk menarik perhatian generasi baharu, terutama melalui populariti mereka di media sosial seperti TikTok.

Bagi Nidji, konsert solo mereka ini adalah satu peluang untuk kembali mengimbau kenangan lama serta berhubung lebih dekat dengan peminat mereka, baik yang lama mahupun yang baharu. Vokal utama Nidji, Yusuf Ubay, mengungkapkan bahawa Nidji 2.3: The New Chapter adalah pengalaman yang sangat dinanti-nantikan dan konsert ini akan menjadi pentas bagi mereka menunjukkan sisi energetik mereka yang selama ini telah mengalir dalam darah mereka.

“Kami sangat teruja untuk tampil secara solo di Malaysia selepas bertahun-tahun. Konsert ini juga menjadi satu kesempatan untuk peminat mengenali lebih dekat perjalanan muzik Nidji, dan pastinya kami akan memberikan persembahan yang penuh tenaga dan semangat yang tidak pernah luntur,” ujar Yusuf.

Selain itu, konsert ini juga menandakan bahawa Nidji tidak hanya popular kerana satu atau dua lagu sahaja, tetapi mereka memiliki banyak lagu hits yang mengukir sejarah dalam industri muzik. Dengan beberapa hits yang terus relevan seperti Hapus Aku, Sang Mantan, dan Sumpah Dan Cinta Matiku, Nidji 2.3: The New Chapter dijangka bakal menyajikan satu persembahan yang dinantikan oleh ribuan peminat yang datang dari pelbagai latar belakang.

Tiket untuk konsert Nidji 2.3: The New Chapter sudah mula dijual pada 8 November 2024 melalui platform penjualan tiket ILASSOTICKETS. Tiket dijual dengan pelbagai kategori harga, termasuk CAT 1 (RM168), CAT 2 (RM108), VIP (RM258), GENERAL ADMISSION (RM158), serta MEET & GREET PASS (RM198). Peminat yang mahu merasai pengalaman lebih eksklusif boleh memilih pakej Meet & Greet, yang memberi peluang untuk bertemu secara peribadi dengan anggota Nidji.

INFORMASI

ARTIS: NIDJI

ACARA: NIDJI 2.3: THE NEW CHAPTER

TARIKH: 2 FEBRUARI 2025 

LOKASI: AXIATA ARENA, BUKIT JALIL

PENGANJUR: MND SPORT & EVENT

HARGA TIKET: CAT 1(RM168), CAT 2 (RM108), VIP (RM258), GENERAL ADMISSION (RM158), MEET & GREET PASS (RM198)

PEMBELIAN TIKET: ILASSOTICKETS

RAKAN MEDIA: ERA FM, SINAR FM DAN ASTRO GEMPAK