KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada hari kedua berturut-turut, menjejaki prestasi lemah dalam niaga hadapan emas di Bursa Komoditi New York (Comex) Amerika Syarikat dalam tempoh semalaman.
Pada penutupan dagangan, kontrak bagi bulan semerta September 2023 menyusut kepada AS$1,929.30 bagi setiap auns troy daripada AS$1,938.20 pada Selasa, manakala kontrak Oktober 2023 berkurangan kepada AS$1,939.10 daripada AS$1,948.0 sebelum ini.
Kontrak bagi November 2023, Disember 2023, Februari 2024 dan April 2024 pula masing-masing ditutup pada AS$1,949.10 bagi setiap auns troy.
Jumlah dagangan meningkat kepada 49 lot berbanding dua lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka naik kepada 124 kontrak daripada 77 kontrak sebelum ini.
Harga emas fizikal adalah AS$1926.10 bagi setiap auns troy seperti yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Jongkong London berdasarkan penetapan pada 5 September. – Bernama